BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday, December 21, 2008

Kasih Aishah Najyha BAB 9

BAB 9

HARIZ membaringkan diri di atas katil. Badan terlalu letih kerana seharian menemani Diyana membeli belah barang hantaran. Ke hulur ke hilir Diyana membawa Hariz. Hanya Hariz sahajalah yang Diyana boleh meminta tolong. Gadis itu memang rapat dengan abang sepupunya itu. Almaklumlah, Diyana selalu ‘menempek’ di rumah Hariz sejak kecil lagi. Sudah dianggap Diyana sebagai adiknya. Mata Hariz memerhatikan kipas siling yang sedang ligat berputar itu. Siapakah Aishah? Gadis itu dapat menggoyangkan hati lelakinya. Belum pernah ada gadis yang cuba membuatkan hati Hariz yang kontang kembali berair selepas Julia meninggalkan dia terkapai-kapai dalam mencari cinta yang tidak kesampaian. Lirikan mata, bibir dan senyuman yang manis itu. Entah kenapa pertama kali dia berjumpa dengan gadis itu, hatinya mula bergetar hebat. Dia tidak pernah rasa terhadap mana-mana gadis lain. Bukan tidak ada gadis yang lebih cantik atau lebih seksi dari Aishah. Tetapi hatinya berkata-kata. Dia mesti mengorek rahsia mengenai gadis itu daripada Diyana. Hariz segera bangun dari perbaringan dan mencapai telefon bimbit yang diletakkan di atas meja kecil di tepi katil. Didail nombor Diyana dan dia menekan punat hijau. Lama. Tiada respon. Hariz mencuba kali kedua. Masih tiada respon. Voice message sahaja. Hariz menekan menu dan dipilih message. Dia menaip sesuatu. Kemudian, dia menekan phonebook. Dia menekan D dan terkeluar nama Diyana. Dia menghantar mesej tersebut kepada Diyana.
Diyana yang sedang asyik ber e-mail dengan rakan sekolah mencapai telefon bimbit di sebelah meja komputer apabila komputernya menerima isyarat gangguan. Diyana melihat skrin telefon bimbit. Banyaknya missed calls. Kesemua nama Hariz. Ada SMS. Pun dari Hariz juga. Dibuka dan membaca khidmat pesanan ringkas yang dihantar oleh Hariz. Apa sahaja yang dimahukan orang tua ni malam-malam sebegini, omel Diyana.

D, sok jmp kat S.B kol 3 ptg.

Diyana menaip dan menghantar semula mesej itu kepada Hariz. Agak lama Hariz tidak menerima sebarang mesej balasan dari Diyana. Hariz mula risau. Diyana sudah tidurkah? Hariz melihat jam loceng. Baru sahaja pukul 11 malam. Diyana jarang tidur awal. Paling awal pun Diyana tidur pukul 2 pagi. Manalah tahu sekarang ini dia mula tidur awal. Yalah, tidak lama lagi majlis perkahwinannya. Dia mestilah hendak tampak segar dan berseri. Hariz memeluk tubuh sambil melontarkan pandangan diluar jendela. Telefon bimbit Hariz berbunyi. Dia tahu ada mesej yang masuk. Dengan pantas Hariz mencapai telefon bimbit di atas katil dan membaca SMS yang dihantar oleh Diyana.

Sori…D x bkk sound. Vibrate kn je. Wat pe? S.B tu pe?

Hariz menepuk dahi. Macam mana Diyana hendak tahu? Kod itu hanya digunakan untuk kawan-kawannya sahaja. Dia menaip semula.

Starbucks. Ade lah bende yg angah nk ckpkn. URGENT!

Diyana menyanyi kecil. Hatinya riang apabila Khazrul mengirimkan bunga dan hati digital yang bergerak-gerak di dalam e-mail. Walaupun Khazrul sibuk dengan kerja, dia tetap tidak lupa menyatakan kata cintanya. Tambah-tambah hari perkahwinan mereka semakin dekat. Satu SMS baru sahaja masuk. Diyana membaca. Menaip.

Kat ner? Lmbt sket bleh x? Sok D de janji ngan kengkawan. Nk
lunch 2gether.

Hariz membaca SMS itu. Dia mengeluh. Hariz berfikir sesuatu. Pukul 5 petang dia ada janji dengan Julia, bekas kekasihnya. Ada benda yang perlu diselesaikan. Tidak mengapa. Dia batalkan sahaja perjumpaannya dengan Julia. Kemudian hari dia boleh berjumpa lagi dengan perempuan itu. Perempuan yang telah menyebabkan hati dia luka dan berdarah. Dia perlu cepat-cepat memikat gadis yang sedang bermain di fikirannya kini. Ditaip semula.

Ok. Kol 5.30 ptg. K?

Diyana sedang leka membaca e-mail jenaka kiriman Lily. Dia ketawa mengekeh. Lucu. Sampai terkeluar air mata. Diyana mengambil tisu dan dilap air mata. Sambil itu dia membaca SMS.

K.

Hariz lega. Kini, dia perlu menyusun kata-kata untuk memberi alasan yang terbaik kepada Julia. Dia berfikir sesuatu. Menarik nafas dan menghembusnya perlahan-lahan. Satu persatu nombor Julia didail. Hariz keresahan. Tidak lama kemudian, ada seseorang menjawab panggilan itu. Lega.
“Ju, I ni.” Hariz berkata perlahan.
“Hai, Hariz. Kenapa ni Riz? Suara you macam ada yang tak kena.” Julia seolah-olah mengambil berat akan dirinya. Hariz terbatuk kecil.
“I kurang sihatlah. I rasa esok I terpaksa batalkan pertemuan kita.” Hariz terbatuk lagi. Hariz pura-pura sakit. Julia mengeluh perlahan tetapi cukup untuk Hariz menangkap keluhan itu. Dia tahu kelemahan wanita itu. Kalau dia berlakon sakit sewaktu mereka bercinta dahulu, sekali sahaja Julia mendengar suara Hariz yang lemah, terus sahaja Julia terpa ke rumah sewanya. Tetapi kini tidak lagi. Jurang yang dibina oleh Julia menyebabkan Hariz tidak mahu lagi perempuan itu muncul dihadapannya.
“I ingat kalau kita jumpa esok, bolehlah kita selesaikan perkara ni. Lagipun I nak serahkan kad kahwin I kat you. Tapi you tak sihat pulak. Tak pelah. Bila you dah sihat nanti, you call I. Kita tetapkan hari. Ok?” kata Julia. Hariz mengurut dada. Julia sudah termakan alasannya. Dia tersenyum kecil.
“Ok. Thanks, Ju.”
“It’s ok. Get well soon. ” Mereka sama-sama mematikan talian. Hariz melepaskan nafas kelegaan. Bila rasanya dia hendak berjumpa dengan Julia, barulah dia akan menelefon. Tetapi sudah tentu bukan dalam masa terdekat ini.
SUDAH hampir 2 tahun Hariz mengelak untuk berjumpa dengan Julia. Julia adalah gadis pertama yang dicintainya sepenuh hati. Tetapi gadis itu hendak berkahwin dengan pilihan keluarga. Mereka terpaksa berpisah atas alasan yang Hariz rasakan langsung tidak munasabah. Mana ada di zaman yang serba canggih dan berteknologi moden ini, anak-anak zaman sekarang harus berkahwin dengan orang yang menjadi pilihan keluarga. Hariz rasakan itu semua sudah tidak praktikal lagi jika diamalkan di zaman ini. Tapi, apa yang boleh dia lakukan untuk mengembalikan semula kenangan lalu. Hariz tidak dapat menerima alasan yang diberikan Julia. Mereka berkawan daripada zaman sekolah rendah lagi. Bila ke sekolah menengah yang sama, mereka mula berpacaran. Mereka sama-sama diterima masuk ke salah sebuah universiti di United Kingdom. Bertambah erat lagi hubungan mereka yang mereka bina. Tinggal lagi 2 bulan sebelum kepulangan mereka ke Malaysia, tiba-tiba sahaja Julia memutuskan hubungan mereka. Julia mengajaknya keluar untuk berbincang sesuatu perkara. Hariz menyangka Julia hendak membincangkan bagaimana untuk memberitahu keluarga mereka tentang perhubungan mereka.
“Riz, I rasa kita tak patut teruskan hubungan ni lagi.” Julia memandang muka Hariz yang putih merah. Wajah itu bertambah merah kerana disinari cahaya matahari walaupun sekarang musim dingin.
“What??!! But why, Ju? I ada buat salah? Kalau I bersalah, I mintak maaf.” Hariz menggenggam erat jari jemari gadis dihadapannya. Julia mengeluh.
“You tak bersalah. Tapi I terpaksa putuskan jugak.” Perlahan-lahan Julia menarik jari jemarinya. Rasa bersalah menebal di dalam diri.
“Sebab apa?” Hariz bingung.
“My parents dah pilihkan jodoh untuk I. Balik je ke Malaysia, I kena kahwin.” Kata-kata Julia tidak munasabah. Mana ada zaman sekarang orang kahwin dengan pilihan ibubapa. Kalau ada pun, sesetengahnya sahaja.
“You tak beritahu dia orang pasal I?” tanya Hariz lembut walaupun hatinya membentak marah.
“Dah. Tapi dia orang tak nak dengar. Lagipun I nak kahwin dengan anak Tan Sri. Perkahwinan ni untuk merge company Papa I dengan Tan Sri tu.” Julia meraup anak rambut yang berjuntaian ditiup angin ke belakang telinga. Dia berasa rimas. Hariz mengerutkan dahi dan memandangnya tajam.
“Anak Tan Sri? Ooo.…Ya. I forgot. You pun anak Datuk kan? Perkahwinan you boleh bawak keuntungan pada business bapak you. Kalau you kahwin dengan I, keuntungan apalah sangat yang boleh bapak you dapat. I ni bukannya anak orang berpangkat. Hanya anak businessman kecil-kecilan saja. Tak dapat bertanding dengan bapak you.” Hariz mengetuk meja dengan kuat. Julia terkejut dengan perbuatan Hariz. Wajah Hariz merah padam. Menahan marah. Tidak dapat ditahan lagi amarah yang sedang membakar diri.
“Bukan itu maksud I, Riz.” Kata Julia lembut.
“Kalau bukan sebab tu, sebab apa lagi?” tanya Hariz dalam nada tegang.
“You pun tahu kan. Business Papa I dah mengalami kerugian berjuta-juta ringgit disebabkan keadaan ekonomi sekarang. Jadi, I harus berkorban untuk selamatkan company Papa I.” jelas Julia. Dia rasa bersalah kerana terpaksa memutuskan perhubungan ini. Tidak tahukah Hariz, dia yang sedang melakukan perngorbanan. Julia terlalu cintakan Hariz. Dia tidak mahu Hariz diapa-apakan kerana Papanya pernah mengugut untuk mengapa-apakan Hariz jika Julia tidak mahu berkahwin dengan anak Tan Sri yang disebut-sebutkan itu. Dia terlalu sayangkan lelaki itu. Tidak sanggup melihat setitis darah pun yang mengalir dari tubuh itu.
“Sudahlah, Ju. I pun rasa kita tak patut teruskan hubungan kalau relationship ni berdasarkan materialistik. Harta duniawi. Boleh pergi jalanlah dengan harta bapak you tu!” Hariz berkata dan mengetuk meja itu sekali lagi sebelum beredar dari situ. Meninggalkan Julia yang terpinga-pinga. Julia tidak sempat berkata apa-apa. Semenjak daripada itu, Hariz selalu mengelak daripada berjumpa dengan Julia. Berkali-kali juga Julia cuba menghubunginya dan bermacam-macam alasan jugalah yang diberikan oleh Hariz. Tidak mahu mengenangkan kisah lalu. Buat apa berduka sedangkan orang lain bersuka? Hariz redha dan menerima ketentuannya.


TELEFON bimbit itu dipandang sepi. Hatinya sudah tawar untuk bercinta. Tetapi kemunculan gadis yang diperkenalkan oleh Diyana di butik tadi, telah membuka pintu hatinya semula. Hati yang kering telah menjadi merah dan berdarah kembali. Pintu bilik diketuk. Terkejut dia. Kaget sebentar. Sedang enak berangan, ada pula yang datang mengacau daun. Hariz memandang jam loceng di tepi katil. Sudah pukul 1.30 pagi. Siapalah yang mengacau pagi-pagi buta ini? Dengan langkah perlahan, Hariz menuju ke pintu bilik dan membuka selak pintu tersebut. Terjengul wajah adik perempuannya, Dewi Hanita. Tersengih-sengih melihat abangnya.
“Apa yang Nita nak? Ketuk tengah-tengah malam ni. Nita tak tidur lagi ke?” Hariz pura-pura marah. Sedangkan dia sendiri belum tidur. Hanita segera meminta maaf.
“Eleh…Angah pun apasal tak tidur lagi?” tanya Hanita.
“Angah tengah tidur lah tu. Lepas tu Nita datang kacau.” Ujar Hariz.
“Angah jangan nak tipu. Nita dengar bunyi message masuk je.” Hanita menyerkap jarang. Hariz tersengih kecil.
“Macam mana Nita boleh dengar?” Hariz bertanya pula.
“Nita tak pekak lagi tau.”
“Sudahlah. Malas nak layan Nita. Apahal Nita ketuk bilik Angah ni?” Hariz bertanya lagi. Hanita menggarukan kepalanya. Sudah lupa tujuan sebenar ke bilik Hariz.
“Nita lupalah.” Kata Hanita masih menggaru kepala yang tidak gatal.
:Nilah perangai Nita. Asyik pelupa je. Hei!!! Belum tua lagi dah pelupa. Esok dah tua, macam manalah pulak.” Sindir Hariz. Hanita menjeling.
“Haaa…..baru Nita ingat.” Jerkah Hanita.
“Apa dia? Terkejut Angah tau.” Hariz mengurut dada.
“Angah, pinjam laptop.” Manja sahaja suara Hanita.
“Nak buat apa?”
“Adalah. Jangan banyak tanya.” Hanita berkata. Hariz berjalan ke meja tulisnya dan mengambil laptop. Diserahkan kepada Hanita yang sedang tersenyum.
“Pinjamlah sekali broadband wireless.” Hanita tersengih. Selepas menyerahkan broadband wireless kepada Hanita, sempat lagi Hariz berpesan kepadanya.
“Reti pakai, reti jimat. Bukan Nita yang nak bayar. Angah yang kena bayar.” Hariz memberi amaran. Hanita tersengih dan mengangguk. Dia segera berlalu ke biliknya. Hariz menutup semula pintu bilik dan menghempaskan badan ke atas katil. Masa untuk berangan!
Matanya semakin lama semakin mengecil. Menguap. Bertambah kecil dan akhirnya tertutup. Berdengkur.


HARIZ terkejut jaga apabila ada orang mengetuk pintu biliknya dengan kuat. Dia duduk di birai katil. Terkebil-kebil matanya cuba untuk membuka kelopak mata yang berat. Menguap berkali-kali. Perasaan mengantuk masih menguasai diri. Ketukan di pintu masih tidak berhenti. Dengan langkah longlai, Hariz membuka pintu. Terjengul wajah Hanita. Hariz menyandarkan badan ke pintu. Hanita hanya tersengih.
“Angah, sekarang dah pukul 8.15. Angah tak kerja ke hari ni?” tanya Hanita. Hariz menggosok mata. Dia melihat jam loceng di tepi katil. Jam loceng menunjukkan pukul 7 pagi. Selepas sahaja solat Subuh, dia terus menyambung kembali tidurnya.
“Nita ni tak ada kerja ke? Kacau Angah pagi-pagi ni. Baru pukul 7.” Hariz menguap. Dia masih bersandar di pintu. Matanya dipejamkan.
“Pukul 7? Angah cuba tengok jam Nita. Dah pukul 8.15. Angah tak reti tengok jam ke?” Hanita menunjukkan jam tangannya kepada Hariz. Mata Hariz terbeliak. 8.15 pagi. Dia sudah terlewat. Pejabatnya bermula dari jam 8.30 pagi. Bangunan pejabat itu pula berada di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur yang selalu sibuk dengan kenderaan. Macam mana boleh ‘terlajak’ ni? Hatinya mengetus sendirian. Selalunya pukul 7, dia akan bangun dan bersiap. Ini mesti sebab jam loceng sudah kehabisan bateri dan tidak berbunyi menyebabkan dia leka. Kenapa mesti disalahkan jam loceng itu? Sedangkan orang-orang tua dahulu paling pantang jika kita tidur kembali selepas sahaja mengerjakan solat Subuh.
“Apalagi yang termenung tu? Cepatlah pergi mandi.” Kata Hanita sambil menolak badan abangnya.
Hariz mandi ala kadar sahaja. Cukuplah badannya terkena air sedikit. Yang selebihnya, disemburkan sahaja dengan minyak wangi Hugo Boss miliknya. Dia hanya menggantung tali leher di lehernya sahaja. Hariz keluar dari bilik dan menuruni tangga untuk ke tingkat bawah. Dia terus melangkah ke arah almari kaca yang menyimpan kesemua kunci kereta dan menuju ke garaj. Hariz mengendong beg bimbit, kasut dan fail-fail yang diperlukan semasa mesyuarat nanti. Beg bimbit dan fail-fail diletakkan di kerusi bahagian belakang. Dia masuk ke dalam kereta dan menghidupkan enjin kereta. Pintu pagar dibuka secara automatik. Keretanya menderum pergi. Meninggalkan perkarangan rumah banglo dua tingkat itu.
Tepat jam 9.30 pagi, Hariz tiba di hadapan bangunan pejabatnya. Dia segera memarkirkan kereta di tempat letak kereta khas untuk Manager. Hariz mengikat tali leher dan memakai stoking serta kasut yang tidak sempat dipakai di rumah tadi. Dia turun dan mengambil beg bimbit dan fail-fail yang diletakkan di bahagian belakang. Tergesa-gesa menuju ke arah lif yang terbuka itu. Dia menekan butang G. Lif itu terbuka di tingkat yang ditekan oleh Hariz. Hariz sekali lagi berlari ke arah lif yang menuju ke pejabatnya. Lif yang dinaiki sebentar tadi adalah lif daripada Basement. Jadi, untuk pergi ke pejabat dia perlu menaiki lif yang ada di Ground Floor. Semasa pintu lif itu terbuka, Hariz segera masuk dan hampir melanggar seseorang.
“Sorry.” Hariz segera meminta maaf.
“It’s ok.” Hariz mengangkat muka memandang orang itu. Dia terpana. Orang itu tersenyum ke arahnya. Belum sempat Hariz berkata apa-apa, pintu lif itu tertutup. Hariz menyesal tidak bertanya khabar kepada orang itu.
Pintu lif terbuka. Hariz segera keluar. Kakinya laju sahaja melangkah ke arah bilik mesyuarat. Dibuka pintu bilik mesyuarat. Semua mata tertumpu ke arahnya.
“Maafkan saya, Tuan Syed. Terlewat hari ni.” Kata Hariz. Syed Mahfuz memandang wajah anak muda yang tercungap-cungap kerana kepenatan.
“Kamu berlari ke, Hariz?” tanya Syed Mahfuz lalu menurunkan sedikit cermin mata. Hariz hanya tersengih dan segera duduk di tempatnya.
“Tak apalah. Kita continue mana yang kita stop tadi. Yes, Nureen. As you were saying…” Syed Mahfuz mengalihkan pandangan ke arah Ketua Projek, Nureen. Mereka memulakan semula perbincangan mereka yang terhenti sebentar tadi.
“Baiklah. Saya rasa sampai sini saja meeting kali ni. Next meeting I will inform Sakinah. Meeting adjourned.” Syed Mahfuz bangun dan sebelum tangannya sempat mencapai pemegang pintu bilik mesyuarat namanya dipanggil. Syed Mahfuz berpaling.
“Tuan Syed. Hari ni birthday Kairul. Kita orang ingat nak pergi lunch ramai-ramai. Tuan Syed boleh join kita orang.” Kata Syafiq. Salah seorang orang terpenting dalam syarikat itu. Syed Mahfuz hanya tersenyum.
“Kamu cakap lambat sangat. Saya dah janji dengan girlfriend baru saya nak lunch bersama. Tak apalah. Kamu pergi je, saya belanja. Nanti resit bagi kat saya.” Kata Syed Mahfuz. Dia memang baik dengan anak-anak buahnya. Mereka bersorak kegembiraan. Baru sahaja kaki Syed Mahfuz hendak melangkah keluar, Syafiq berkta lagi. Dia mengalihkan pandangannya ke arah anak muda itu.
“Tuan Syed pergi lunch dengan girlfriend baru ni Puan Nur tak marah ke?” tanya Syafiq. Syed Mahfuz tergelak kecil.
“Puan Nur kamu sporting.” Mereka semua tergelak. Syed Mahfuz keluar dari bilik mesyuarat itu dan menuju ke biliknya.
Tengah hari itu, pejabat mulai kosong apabila kebanyakan pekerja keluar untuk makan. Syed Mahfuz masih berada di dalam biliknya. Hariz juga masih berada di dalam bilik. Syafiq mengetuk pintu bilik pejabat Hariz. Hariz memandang sahabatnya yang sedang tersengih itu.
“Riz, jomlah. Pergi makan. Kita nak celebrate sekali birthday Kairul.” Kata Syafiq. Hariz masih menundukkan wajah untuk menyelesaikan kerjanya.
“Kejap. Sikit lagi. Tak pun kau pergi dululah, Syaf. Nanti aku jumpa kau kat mana-mana.” Kata Hariz. Syafiq mengangguk dan beredar dari situ. Setelah selesai kerjanya, Hariz keluar dari bilik pejabat. Hampir-hampir dia terlanggar seseorang.
“Sorry.” Kata Hariz.
“It’s ok.” Hariz mengangkat muka. Orang itu lagi. Orang yang dilanggarnya semasa bertembung di lif pagi tadi. Buat apa dia ke sini?
“Adik….” Panggil Syed Mahfuz. Aishah menuju ke arah Syed Mahfuz. Dicium tangan Papanya itu. Hariz bingung. Syed Mahfuz mencium dahi anak kesayangannya itu. Hariz semakin bingung.
“Hariz…” panggil Syed Mahfuz dan digamit ke arah Hariz. Perlahan-lahan Hariz menuju ke arah Syed Mahfuz dan Aishah.
“Hmm…Lupa nak kenalkan Hariz dan Adik. Adik, nilah Hariz. Manager baru syarikat ni. Hariz, ni Aishah Najyha. Girlfriend baru saya.” Terang Syed Mahfuz. Dia memeluk bahu Aishah Najyha.
“Hi…” Aishah tersenyum ke arah Hariz. Hariz tersenyum hambar. Hancur hati apabila Syed Mahfuz berkata begitu. Rupa-rupanya hati Aishah sudah dimiliki. Tapi tidak sedarkah Aishah yang dia telah melukakan hati isteri Tuan Syed? Hati Hariz bergetus sendirian. Tuan Syed ni pula tak sedar diri. Dah tua. Tapi ada hati nak berpacaran dengan yang muda. Hati Hariz berdetik lagi sekali.
“Tak apalah, Tuan Syed. Saya minta diri dulu.” Syed Mahfuz hanya mengangguk. Hariz segera beredar dari situ.



DIYANA menggawang-gawangkan tangan di hadapan muka Hariz. Hariz tersedar dari lamunan dan memandang wajah Diyana dengan terpinga-pinga. Diyana mengeluh.
“Kenapa dengan Angah ni? Kata ada benda penting yang Angah nak cakapkan dengan D. Apa dia?” tanya Diyana. Dia menghirup air Ice Blended Mocha Caramelnya.
“Pasal Aishah.”
“Kenapa? Angah suka kat dia ke?” serkap jarang soalan Diyana. Gadis ini memang seorang yang suka berterus-terang.
“Apa gunanya Angah suka dia pun? Dia dah ada yang punya.” Diyana sedikit terkejut dengan kenyataan Hariz. Tetapi segera disembunyikan rasa terkejutnya itu.
“Mana Angah tahu dia dah ada yang punya?” tanya Diyana perlahan.
“Tadi, boyfriend dia yang introduce dia pada Angah.” Diyana semakin terkejut dengan kata-kata Hariz.
“Boyfriend dia dah balik?” tanya Diyana dengan mata terbeliak.
“Bila masa pulak boyfriend dia pergi mana-mana?” Hariz mengerutkan dahi sambil memandang Diyana yang tergaru-garu.
“Kan boyfriend dia…Ah! Tak ada apa-apalah. Lupakan je.” Dahi Diyana berkerut. Dia memeluk tubuh memandang lelaki dihadapannya.
“Rupa-rupanya taste dia orang tua, ya?” Hariz seakan-akan berbisik. Diyana ternganga. Orang tua? Hafiz hanya tua 2 tahun dari Aishah Najyha dan setahun tua dari Hariz. Dia menggaru kepala yang tidak gatal.
Sebenarnya Diyana sudah tahu perkara sebenar yang terjadi di antara Hafiz dan Aishah. Tetapi dia tidak pernah memberitahu Aishah bahawa dia kenal akan Hafiz. Dia hanya hendak membuat kejutan kepada sahabatnya itu. Tetapi kini Hariz menyukai diri Aishah. Ah! Masak….Masak…, fikir Diyana.
“Angah ni biar betul?” tanya Diyana mahukan kepastian.
“Betullah. Bos Angah, boyfriend dia.” Hariz berkata sambil menghirup minumannya. Kemudian, mengeluh lagi.
“Bos Angah?” Diyana bertanya lagi.
“Bos Angah, Syed Mahfuz dia tu…” belum pun Hariz habis berkata-kata, ayatnya sudah dipotong oleh Diyana.
“Nanti…nanti. Apa nama bos Angah?”
“Syed Mahfuz. Kenapa?” soalan berbalas soalan. Hariz mengerutkan dahi. Diyana tergelak besar. Hariz tidak faham dengan ketawa Diyana yang tiba-tiba itu.
“Angah…Angah….Angah tak nak tahu nama penuh Aishah?”
“Buat apa? Dia kan dah ada yang punya?” kata Hariz hampa.
“Nama penuh dia Syarifah Aishah Najyha binti Syed Mahfuz.” Diyana berkata. Hariz tergamam.
“Cuba D ulang lagi sekali.”
“Syarifah Aishah Najyha binti Syed Mahfuz. Angah silap orang, ya?” ketawa Diyana pecah. Hariz tersenyum sumbing. Cuba menyembunyikan muka. Malu.

BERSAMBUNG......

1 tukang komen paling setia:

ceritaku MEMORIKU said...

agaga.kantoi.citer makin best!!
nak n3 baru.agaga.-na`dz