SYAHIRA yang menunggu hampir 1 jam itu memasamkan muka apabila ternampak bayangan Nina dan Aishah yang sedang berjalan ke arahnya. Syahira pura-pura merajuk. Dia mengalihkan pandangan ke arah lain. Nina ketawa kecil. Aishah hanya tersenyum.
“Wei, kau tu dah tua tau. Buat lah perangai macam orang dewasa sikit. Buruk benor muka kau merajuk. Cuba kau tengok dalam cermin.” Kutuk Nina. Bertambah muncung mulut Syahira. Panas sahaja hatinya.
“Kau ni bukan nak pujuk aku. Kutuk lagi adalah.”
“Sorrylah. Aku lambat sikit. Puas pujuk Adik nak datang jumpa kau. Lepas tu, jalan jam lagi. Tu yang lambat. Bukan sengaja aku nak lambat.” Terang Nina. Dia melabuhkan punggung menghadap Syahira.
“Kepala hotak kau! Malam-malam macam ni mana ada jalan jam. Kalau ye pun kau nak bagi alasan, bagilah yang munasabah sikit.” Kata Syahira sambil membetulkan duduk. Nina tersengih.
“Aku buat lawak je lah. Itu pun nak marah.” Nina berkata.
“Itulah kau kan janji melayu.” Marah Syahira.
“Macam mana nak buat. Aku memang orang melayu pun. Hey, tak semua orang melayu suka buat janji melayu. Cuma serius aku cakap, jalan jam. Ada accident tadi.” Bersungguh-sungguh Nina berkata.
“Betul ni, Adik?” tanya Syahira kepada Aishah.
“Betul, Kak Syira. Teruk jugak accident tadi.” Ujar Aishah pula.
“Aku main-main je. Aku pun baru sampai.” Syahira tersengih.
“Ahh…kau pun janji melayu jugak.” Nina berkata. Mereka tergelak besar sehingga orang di sekeliling mereka hanya memerhatikan tiga gadis pingitan itu.
“Eii….kalau mak mentua lalu pun tak hingin tengok kita ni. Gelak macam langsuir betul la.” Kata Syahira sambil menahan gelaknya.
“Kau tu kan dah ada mak mentua. Aku dengan Adik je yang belum lagi. Aku dah confirm. Si Adik ni haa....” ujar Nina dan melirik pandang ke arah Aishah yang masih meneruskan gelaknya.
“Hah cerita pasal mak mentua kau. Macam mana orang tua tu. Sihat lagi ke?” Nina bertanya sambil menggawang ke arah seorang pelayan yang sedang duduk bersantai. Bukan hendak kerja, curi tulang sahaja, omel Nina dalam hati.
“Ehh…Kau…kau…orang nak minum apa?” tergagap-gagap Syahira bertanya pada Nina. Syahira tidak mahu ceritanya dikhabarkan dahulu. Biarlah mereka bersantap dengan tenang. Pelayan restoran tersebut mendekati mereka bertiga.
“Bagi saya Orange Juice.” Kata Nina kepada pelayan tersebut. Pelayan itu mencatit sesuatu di buku nota kecil yang dibawanya bersama di dalam poket apron.
“Bagi saya Iced Lemon Tea.” Kata Aishah pula. Pelayan itu terangguk-angguk.
“Makan?” tanya pelayan itu.
“Kau orang nak makan apa?” tanya Syahira sambil membelek menu dihadapannya. Nina memandang Aishah. Adiknya itu hanya menggeleng.
“Tak naklah. Dah makan kat rumah tadi.” Ujar Nina. Syahira menyerahkan menu tersebut kepada pelayan itu.
“That’s all.” Pelayan itu mengulangi pesanan mereka dan beredar dari situ setelah mengesahkan pesanan.
“Apa cerita kau nak jumpa aku ni?” tanya Nina. Syahira hanya termenung jauh. Nina memandang muka Syahira. Berat benar masalah sahabatnya itu.
“Hoi! Aku datang sini nak dengar masalah kau. Bukan nak tengok kau termenung.” Nina menepuk meja. Mengejutkan Syahira yang sedang memikirkan sesuatu. Syahira mengeluh besar.
“Aku dah bercerai dengan Helmy.” Terkejut besar Nina dan Aishah apabila mendengar kenyataan yang meluncur laju dari mulut Syahira.
“Kau biar benar, Syira?” Syahira mengangguk perlahan. Aishah hanya mendiamkan diri. Tidak mahu berkata apa-apa. Lagipun dia tidak begitu rapat dengan bekas suami Syahira walaupun selalu juga Nina mengajak Aishah untuk turut serta dalam majlis perjumpaan rakan-rakan sekolah. Apakah yang menyebabkan sehingga Syahira menuntut cerai dari Helmy Iskanda? Lelaki pertama yang dicintainya. Lelaki yang dicintai daripada zaman sekolah.
Syahira dan Helmy Iskanda. Pasangan kekasih yang terkenal di zaman sekolah. Begitu juga dengan Nina Latasya dan Sofyan. Mereka berempat berkawan baik. Kemana sahaja pasti berempat. Selepas sahaja tamat tingkatan 5, Helmy Iskanda terus masuk meminang Syahira. Puas sudah Nina memberi nasihat kepada Syahira untuk memikirkan perihal ini semasak-masaknya. Ini bukan perkara main-main. Bukan perkara kecil. Mereka baru lepas SPM. Kerja pun belum. Mampukah Is hendak memberi makan anak dara orang? Itulah kata-kata yang selalu keluar dari mulut Nina dan setiap kali itulah Syahira pasti membela Helmy Iskanda.
“Kenapa sampai nak bercerai? Apa masalah kau orang?” pertanyaan Nina itu mematikan lamunan Aishah.
“Mak mentua aku dan Makcik Helmy tak suka aku. Dia orang nak jodohkan anak masing-masing. Lepas tu, Helmy suruh pulak mak dia masuk minang aku. Dia orang macam putus harapanlah. Dah dekat 10 tahun kita orang kahwin. Tak dapat anak. Mak mentua aku kata mungkin aku mandul. Dia suruh Helmy kahwin lain untuk dapatkan zuriat. Helmy tak nak. Macam-macam mak mentua aku buat. Pura-pura sakitlah. Dia kata kena buatan orang tapi tuduh aku yang guna-gunakan dia. Banyak cantik muka dia! Tak teringin aku nak guna-gunakan dia. Buat tambah dosa, adalah. Lagipun buat habis duit aku je pergi jumpa bomoh atau dukun. Kalau aku, aku suka kerja senang. Cekik dia je. Tak payah keluarkan duit pun.” Sempat lagi Syahira berseloroh. Nina menggeleng perlahan. Tetapi tidak dapat ditahan gelaknya apabila Syahira berjenaka.
“Macam-macam dia dan adik dia hasut Helmy. Sampai Helmy betul-betul percaya dan benci gila dengan aku. Tanpa pengetahuan aku, Helmy dan sepupu dia tu berkahwin. Semua tu rancangan mak dan makcik dia lah tu.” Terang Syahira. Mukanya merah padam. Menahan marah. Nina menggeleng.
“Habis tu, kau buat apa?”
“Mak Helmy paksa Helmy ceraikan aku. Helmy ni macam pak turut, kau tau tak? Dia pun ceraikanlah aku. So, sekarang ni aku single lah.” Syahira berkata dengan wajah ceria. Nina menggeleng.
“Kau tak protect diri kau sendiri? Hiii…Kalau akulah, memang nahas tau orang tua tu.” kata Nina sambil menggenggam penumbuk.
“Aku cakap apa pun, Helmy takkan percaya. Diakan anak mak.” Pelayan tersebut menghantar pesanan mereka bertiga. Syahira menghirup air yang dihidangkan dihadapannya. Dahaga segera hilang apabila dapat menghirup air kegemaran.
“Helmy tu pengecutlah. Dia tak nak lukakan hati mak dia, kot?” Nina mengacau air jus orennya dengan straw.
“Betul cakap kau, Nin. I’ve made a biggest mistake in my life. Tapi yang peliknya, aku tak pernah menyesal. Saat menjadi isteri Helmy adalah saat yang paling bahagia. Dia benar-benar layan aku sebagai seorang perempuan. Dia tak buat aku macam orang gaji walaupun aku surirumah. Dia layan aku macam isteri. Dan…saat paling bahagia adalah mengandungkan zuriat Helmy.” Kata-kata Syahira mendapat reaksi terkejut daripada Nina dan Aishah. Mereka memandang wajah Syahira dengan perasaan tidak percaya. Syahira tersenyum. Wajahnya berseri-seri.
“Kau mengandung, Syira?” tanya Nina sekali lagi. Inginkan kepastian. Syahira mengangguk perlahan.
“Berapa bulan?”
“Dah 2 bulan. Tapi, aku baru dapat tahu seminggu sebelum tarikh prosiding kat mahkamah syariah.” Jelas Syahira. Nina seperti berfikir sesuatu.
“Tak sah kan lafaz cerai Helmy tu?”
“Memanglah sebab aku tengah mengandung masa kami bercerai. Tapi habis je tempoh pantang, baru sah lafaz cerai tu. So, sekarang ni kita orang dah tak duduk bersama.” Jelas Syahira. Mereka berdua mengangguk perlahan. Agama Islam melarang berlakunya perceraian semasa isteri tengah mengandung. Tetapi hukum sebegitu sebenarnya memberikan masa kepada pasangan untuk memikirkan semula hubungan mereka. Mungkin dengan adanya zuriat akan mengikat kembali tali kasih yang terlerai.
“Kalau Helmy nak rujuk balik dengan kau, kau nak buat apa?” tanya Nina. Syahira melepaskan keluhan besar. Sudah semalaman dia memikirkan akan perkara ini.
“Tak mungkin, Nin. Hati aku dah kosong. Luka aku dah lama kering. Kalau toreh sekalipun hati aku ni, dah tak keluar darah dah.” Ucap Syahira lirih.
“Sabar jelah, Syira. Mungkin dugaan untuk kau jugak. Nak tengok samada kau nak salahkan takdir atau kau menerima dugaan dengan hati yang terbuka. Habis tu, kau nak buat apa sekarang?” Nina bertanya kerana dia begitu mengambil berat akan keadaan sahabat yang sedang berbadan dua itu.
“Aku akan pindah balik ke rumah Mummy dan Daddy aku. Kerja dengan Daddy aku. Lepas aku bersalin, aku akan cari kerja lain dan pindah dari rumah tu. Aku akan cuba hidup berdikari dan sebagai ibu tunggal kepada anak aku ni.” Terang Syahira. Nina tersenyum lebar mendengar penjelasan Syahira.
“Lega aku dengar kau cakap macam tu.” Nina menghirup airnya. Aishah tersenyum. Tabah sungguh wanita dihadapannya itu.
“Kau ada dengar tak pasal Hafiz?” tiba-tiba persoalan itu yang ditimbulkan oleh Syahira. Aishah tersentak.
“Kenapa?” Nina bertanya kembali. Ekor matanya dapat menangkap wajah Aishah yang kegelisahan. Kenapalah Syahira membangkitkan soal ini?
“Aku dengar bulan 8 ni, dia nak balik ke Malaysia. Tapi bawak bakal tunang. Kata adik si Hafiz, lawa bakal tunang dia tu. Macam Arab. Jumpa kat sanalah, kot.” Kata Syahira sambil bersungguh-sungguh cerita.
“Kau ada contact Hafiz ke?” tanya Nina.
“Tak bertelefon. Ber e-mail je. Tapi dia kata dia selalu contact kau.”
“Adalah sekali dua. Tanya pasal aku. Pasal Sof. Tapi dia tak dapat balik masa kenduri kahwin aku nanti.” Perlahan sahaja Nina berkata. Aishah hanya menundukkan wajah. Tidak mahu ikut serta dalam ruang sembang mereka. Hatinya hancur, luluh. Tunang? Apakah Hafiz sudah lupakan dia? Tidak adakah sekelumit cinta buat diri dia? Tapi tidak boleh menyalahkan Hafiz. Bukan salah Hafiz. Dia yang tidak berterus terang pada lelaki itu. Hafiz tidak tahu akan perasaannya itu. Aishah mengeluh perlahan. Penantiannya selama 12 tahun, hanyalah sia-sia. Tidak bermakna. Dirinya sudah dilupai. Sesekali Nina memandang ke sebelah. Memerhatikan seraut wajah adiknya yang sedari tadi asyik mengelamun.
Syahira dan Nina bersembang sehingga terlupa kehadiran Aishah disitu. Lama mereka bersembang. Almaklumlah sudah lama sudah tidak berjumpa.
SEPANJANG perjalanan pulang ke rumah, sepatah perkataan tidak terkeluar dari mulut Aishah. Hanya alunan lagu dari radio sahaja buat peneman mereka.
Dengarlah matahariku
Puisi tentang hidupku hanya untukmu
Kini kau pergi dari hidupku
Ku harus relakan mu walau aku tak mau….
Sepotong lagu Matahariku nyanyian Agnes Monica yang mengundang rasa pilu di hati Aishah. Lagu ini juga benar-benar menggambarkan tentang dirinya. Segera Nina menutup radio tersebut. Nina tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada pemanduan. Dia harus berkata sesuatu.
“Adik, maafkan Kak Na.” Aishah memandang Nina yang sedang memandang ke hadapan. Dia tersenyum kecil.
“Kenapa nak maafkan Kak Na? Kak Na tak buat salah.”
“Pasal Hafiz.”
“Kenapa dengan dia?” perlahan Aishah menyoal kembali. Walaupun dia sudah dapat mengagak apa yang hendak dikatakan oleh kakaknya itu.
“Kak Na tahu dia nak balik bulan 8 ni. Kak Na pun tahu pasal dia nak bawak balik bakal tunang dia ke Malaysia.” Kata Nina. Dia berharap yang Aishah tidak akan memarahinya kerana menyimpan rahsia itu daripada pengetahuan Aishah.
“Adik tak marahkan Kak Na lah. Kak Na tak usah rasa bersalah. Memang dari dulu lagi hati dia tak ada pada Adik. Cuma Adik je yang perasan lebih.” Aishah berkata-kata sambil tergelak kecil. Menyembunyikan hati yang lara. Nina tidak langsung rasa untuk ketawa.
“Adik, Kak Na serius ni.” Kata Nina. Sebentar kemudian, ketawa Aishah mati. Dia tersenyum hambar.
“Kak Na, no worries, ok? I’m fine.” Aishah berkata perlahan. Untuk menyedapkan hati kakaknya. Nina tersenyum kecil walaupun dia tahu pada hakikat sebenarnya Aishah cuba menyembunyikan perasaannya.
Sampai sahaja di rumah, Aishah terus menuju ke bilik. Nurradiah yang baru sahaja melintasi ruang tamu bertanya kepada Nina. Anaknya itu hanya menjungkitkan bahu. Tidak mahu berkata panjang-panjang. Nurradiah mengeluh. Pasti ada sesuatu yang menganggu fikiran Aishah. Masakan tidak, anaknya itu pasti duduk bersembang dengan Mamanya dahulu sebelum masing-masing ke kamar tidur.
SUDAH 2 hari Aishah tidak dapat menumpukan perhatian terhadap kerja-kerja di kedai butik pengantinnya. Semua diserahkan kepada Putri untuk menguruskan pelanggan-pelanggan yang berkunjung ke kedai tersebut. Fikirannya tiada di situ. Aishah membuat keputusan untuk pulang sahaja ke rumah.
Tiba sahaja di rumah, Aishah segera menaiki tangga dan menuju ke bilik. Dia terus merebahkan diri ke atas katil empuk. Dia menekup muka dengan bantal. Menangis semahu-mahunya. Puas dia menunggu selama 12 tahun. Tetapi hati tetap terluka. Penantiannya hanya membuatkan jiwa lebih merana. Kenapa Hafiz memberikan harapan kepadanya? Memberi harapan bahawa dia akan tetap mengingati persahabatan ini sehingga bila-bila.
‘Mungkin aku tidak erti akan maksud persahabatan.’
‘Sudah aku katakan kepada kau dahulu bahawa kau hanya bermimpi
di siang hari. Kau tidak mahu mendengar. Sekarang siapa yang
terluka?’ kata hatinya tiba-tiba menyampuk.
‘Aku memang bodoh kerana tidak tahu erti sebenar makna sahabat. Dia
memang hanya hendak bersahabat dengan aku sahaja. Betapa
bodohnya aku rasa diriku ini.’
‘Kau masih belum terlambat untuk menerima cinta mana-mana lelaki.
Belajarlah untuk menyayangi mereka sebagaimana kau menyayangi
lelaki itu.’ Kata hati memberi semangat.
‘Aku takkan terlalu lemah. Aku takkan terlalu lemah! Tapi aku terlalu
menyintainya.’ Aishah bertingkah lagi dengan kata hatinya. Air mata seperti tidak mahu berhenti. Pintu bilik diketuk. Aishah segera mengelap air mata. Dia bangun perlahan-lahan dari katil dan menuju ke pintu. Dibuka selak pintu dan pintu kayu yang menutupi kamar itu terbuka. Terjengul wajah Nadira. Tersenyum sahaja adik bongsunya itu. Aishah sedikit terkejut dengan kepulangan Nadira. Dipeluk adiknya itu sekuat hati.
“Bila Dira sampai?” tanya Aishah.
“Baru je, Kak. Dira ada bawak balik seseorang.” Kata Nadira sambil tersipu-sipu malu. Aishah mengerutkan dahi.
“Siapa? Mamat bermata biru ke?” usik Aishah. Walaupun hatinya masih lara tetapi gembira bukan kepalang melihat adiknya sudah pulang.
“How I wish. Adalah. Akak jomlah turun tengok.” Nadira menarik tangan kakaknya dan mereka sama-sama turun ke tingkat bawah. Aishah masih terpinga-pinga. Tidak faham dengan tindak-tanduk adiknya.
“Tadaa….” Nadira menunjukkan ke arah seorang lelaki. Aishah seperti mengingati sesuatu. Dia pernah nampak lelaki itu di satu tempat. Perlahan-lahan memori dahulu muncul kembali.
“Kak Adik?” panggil lelaki itu.
“Fuzey?” lelaki itu mengangguk. Shah Fuzey tunduk menyalami Aishah. Mereka semua tersenyum.
“Tak sangka akan jumpa Fuzey balik. Ingatkan Fuzey dah lupa kat kita orang.” Kata Nina. Shah Fuzey melabuhkan punggung di sebelah Nurradiah.
“Macam mana Fuzey datang ke rumah ni?” tanya Syed Mahfuz.
“Fuzey terserempak dengan Dira kat airport. Mula-mula Dira yang tegur Fuzey. Fuzey tak perasan pun dia. Sebab dah makin cantik. Lama kita orang sembang kat airport. Lepas tu, Dira ajak Fuzey datang rumah.” Terang Shah Fuzey. Mereka semua terangguk-angguk mendengar penjelasan Shah Fuzey itu. Wajah Nadira merona merah apabila dipuji sebegitu oleh lelaki dihadapannya itu. Aishah tersenyum simpul. Dia tahu sangat Nadira suka sangat berkelahi dengan Shah Fuzey sewaktu mereka masing-masing masih kecil lagi. Berebut permainan, cuba untuk mendapatkan perhatian Mama dan Papa dan juga berebut untuk mendapatkan sahabat yang sama, Nazari. Macamlah mereka tidak boleh berkongsi sahabat sama-sama.
Shah Fuzey, anak angkat keluarga Syed Mahfuz dan Nurradiah. Muda 2 tahun dari Aishah. Kedua ibubapa Shah Fuzey tidak begitu mengambil berat akan dirinya. Dia menumpang kasih dengan Syed Mahfuz dan Nurradiah. Segala kasih sayang yang diperlukan oleh Shah Fuzey terdapat di rumah itu. Sebab itulah dia tidak pernah melupakan mereka semua. Jasa mereka terlalu besar. Budi mereka terlalu banyak untuk dibalas. Pemergian Shah Fuzey untuk melanjutkan pelajarannya di luar negara pun atas bantuan Syed Mahfuz dan Nurradiah. Bukan ibubapanya orang susah. Mereka orang berada. Tetapi perhatian mereka lebih kepada kakak-kakak dan abang kepada Shah Fuzey. Jadi, mereka tidak begitu mempedulikan keadaan Shah Fuzey. Kesian pada budak ini. Kini, dia sudah berjaya membuktikan walaupun hanya dengan bantuan keluarga angkatnya, dia berjaya menyelesaikan pelajarannya dan bekerja sambil menyambung kembali pelajarannya di peringkat ph.D.
Nadira yang duduk di sebelah Aishah begitu asyik merenung Shah Fuzey semasa lelaki itu sedang leka bersembang. Shah Fuzey yang perasan akan diri ditenung membalas pandangan itu. Nadira menundukkan wajah. Aishah hanya memerhatikan gelagat mereka berdua. Dia tersenyum kecil. Aishah tersenyum ke arah Shah Fuzey yang leka memandang Nadira. Shah Fuzey memandang ke arah Aishah. Kelam kabut Shah Fuzey mengawal tindakannya.
“Nak main-main mata pun tunggulah kami dah blah dari sini dulu.” Bisik Aishah perlahan di telinga Nadira. Adiknya itu tertunduk malu.
Manja Shah Fuzey apabila dia memeluk lengan Nurradiah. Sudah lama dia tidak bermanja dengan keluarga angkatnya. Semenjak dia melanjutkan pelajaran ke United Kingdom selepas tamat SPM.
“Dira baru balik dari melancong ke?” pertanyaan itu membuatkan Nadira mengangkat muka memandang Shah Fuzey. Dikerutkan dahi.
“Melancong?”
“Yelah. Fuzey nampak Dira bawak beg besar.”
“Ooo…Hmm…Bukan. Dira balik cuti. Semester break. Patutnya ada trip pergi Holland. Tapi Dira tak ikut sebab nak balik kenduri kahwin Kak Nina.” Nadira memberi penjelasan.
“Dira belajar kat mana?” tanya Shah Fuzey lembut.
“U.K.” ringkas jawapan Nadira.
“Samalah dengan Fuzey.” Kata Shah Fuzey lagi.
“Fuzey bila nak balik ke U.K?” tanya Nurradiah.
“Bulan depan, Ma.”
“Hmm…Dira pun nak balik bulan depan. Fuzey tolonglah Mama. Tolong tengok-tengokkan si Dira. Dia satu universiti dengan Fuzey.” Kata Nurradiah. Aishah menyiku lengan Nadira. Adiknya itu tergelak kecil.
“Oh, ya ke, Mama? Tapi kenapa tak pernah jumpa Dira?” Shah Fuzey berkata sedikit pelik. Takkanlah selama bertahun-tahun dia belajar di situ, sekalipun dia tidak pernah bertemu dengan Nadira? Tapi sekarang dia senang hati. Dapat berjumpa gadis pujaannya itu selalu. Dia memang menyukai Nadira semenjak mereka berada di sekolah menengah. Tetapi masa itu, Shah Fuzey sudah ada kekasih manakala Nadira dikatakan kaki ‘lelaki’ semasa di sekolah. Setiap minggu pasangannya akan bertukar. Jadi, perasaan Shah Fuzey itu hanya dipendamkannya sahaja.
“Tak tahulah. Mungkin tak ada jodoh sebelum ni.” Kata Syed Mahfuz yang memberikan maksud yang amat mendalam. Aishah dan Nina tersenyum. Begitu juga dengan Nurradiah. Nadira hanya tertunduk malu. Shah Fuzey mendiamkan diri.
“Kak Nina nak kahwin?” tanya Shah Fuzey tiba-tiba. Nina mengangguk.
“Bila?” tanyanya lagi.
“Minggu depan. Memang tepatlah Fuzey balik pun. Boleh datang kenduri sekali. Ong pun selalu tanyakan Fuzey. Bila Fuzey nak balik? Fuzey tak pernah call ke? Dia frust sangat sebab Fuzey tak balik kenduri kahwin dia.” Kata Nina.
“Ong dah kahwin?”
“Dah.” Kata Aishah pula.
“Dengan siapa? Kak Bri ke?”
“Yelah tu.” Kata Nina sambil menghulurkan segelas air sirap kepada Shah Fuzey. Shah Fuzey menyambut huluran itu.
“Fuzey tidur mana malam ni?” tanya Nurradiah.
“Tak tahulah, Mama. Sebab Fuzey balik ni pun, Ibu tak tahu.” Shah Fuzey menghirup sedikit air itu.
“Apa kata kalau Fuzey tidur sini? Banyak benda Kak Adik nak cerita kat Fuzey.” Cadang Aishah. Nadira sedikit terkejut dan memandang kakak yang berada di sebelah.
“Bagus jugak cadangan tu. Hah! Apa kata kamu, Fuzey?” tanya Syed Mahfuz.
“Saya ikut je, Papa. Kalau kedatangan saya disini dialu-alukan, saya lagi suka.” Suara sengaja dikuatkan. Matanya melirik ke arah Nadira yang sedang leka bersembang dengan Aishah.
“Fuzey tidur bilik yang dulu ke?” Nurradiah memandang Shah Fuzey. Sudah banyak berubah anak lelaki ini.
Dulu badan melengkung kerana terlalu kurus. Sekarang ini, badannya boleh tahan juga tegap. Banyak buat workout agaknya, fikir Nurradiah. Wajah yang dahulu putih bersih kini ditumbuhi janggut-janggut liar. Alis mata tetap lentik seperti dulu. Semakin kacak. Tapi satu sahaja yang tidak berubah, perangai yang hormatkan orang tua. Dari dahulu itu sahaja yang tidak diubahnya. Walaupun telah menetap di United Kingdom hampir 6 tahun, Shah Fuzey tetap Shah Fuzey yang dahulu. Tidak hairanlah jika ada gadis-gadis muda yang tergila-gilakannya.
“A’ah, Mama.” Kata Shah Fuzey kepada Nurradiah sekaligus mematikan lamunan Nurradiah yang sudah menerawang jauh.
“Nur, sediakan biliklah.” Kata Syed Mahfuz.
“Eh, tak payah susah-susah, Mama…Papa…Mama tak ubah apa-apakan?” tanya Shah Fuzey kepada Nurradiah. Nurradiah tersenyum dan mengangguk.
“Kalau macam tu, Fuzey pergilah naik berehat. Dah tentu Fuzey penatkan? Perjalanan yang panjang. Takkan tak jet lag?” Ujar Nina.
“Alah, Kak Na. Dah biasa.” Kata Shah Fuzey.
“Pergilah berehat, Fuzey. Malam nanti kita sembang panjang-panjang lagi.” Kata Syed Mahfuz. Shah Fuzey mengangguk. Dia segera menjinjing beg pakaian dan menuju ke bilik yang didiaminya dahulu.
BAB 11 BERSAMBUNG..... |
1 tukang komen paling setia:
eeii..
kesiannye kat aisyah..
huhu..
smbung2..
Post a Comment