BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, December 15, 2008

Kasih Aishah Najyha BAB 2

KESEMUA anak-anak Syed Mahfuz berkumpul di bilik bacaan. Nina dan Aishah sedang membuat kerja rumah yang diberikan oleh cikgu masing-masing. Khairul sedang membuat tugasan yang seharusnya dihantar pada esok hari. Tahun ini Nina akan menghadapi STPM manakala Aishah bakal menghadapi SPM pada penghujung tahun. Khairul pula berada di tahun akhir bagi jurusan yang diambilnya. Juga tahun penentu ketiga-tiga anak Syed Mahfuz dan Nurradiah. Hanya Nadira sahaja tidak membuat kerja rumahnya. Khairul memandang Nadira dengan pandangan tajam. Tetapi Nadira buat-buat tidak nampak sahaja.
“Apasal Dira tak baca buku?” tanya Khairul sambil tangannya masih lagi pantas mengetuk papan kekunci. Nadira yang tengah asyik membaca buku novel, tersentak. Memandang Khairul.
“Dira dah siapkan kerja rumah.”
“Ooo….Kalau dah siap, tak payah baca buku. Gitu?” Khairul mengalihkan pandangannya ke arah Nadira.
“Relax lah, Ong. Dira baru form 2. Ada lagi masa Dira nak baca buku.” Kata Nadira dan meneruskan kembali bacaannya yang tergantung. Kakak-kakaknya hanya menggeleng. Ada harapan kena marah dengan Along mereka nanti.
“Banyak Dira punya relax. Dira tahun depan PMR. Apa salahnya kalau mula membaca buku sekarang? Tak ada salah kan?” Khairul menyambung semula kerjanya. Nadira meletakkan semula buku novel ke atas rak buku dan mengambil buku Sejarah. Sesekali dia mendengus. Melepaskan amarah yang berbuku di hati kerana abangnya itu tidak langsung memberikan peluang kepada dia untuk merehatkan fikiran. Entah apa yang dibacanya. Satu habuk pun tidak masuk di kepalanya. 2-3 kali dia terpaksa mengulangi ayat yang sama. Sesekali matanya memandang buku novel yang terletak di sebelah. Sikit sahaja lagi hendak dihabiskan novel itu. Sudah sampai ke klimaksnya.
“Orang lain pun nak berehat jugak. Tapi ada masanya kena baca buku.” Kata Khairul tiba-tiba. Nina dan Aishah mengangkat muka memandang Khairul.
“Ong tengok Dira dari tadi asyik tengok tv. Lepas tu, bukan nak baca buku tapi baca novel. Bila masa Dira belajar pun, Ong tak tahu. Ong bukan nak paksa Dira. Tapi Ong fikirkan masa depan Dira. Tak salahkan kalau Dira mula membaca sekarang. Taklah besok bila dah nak dekat PMR baru tergesa-gesa nak baca.” Kata Khairul sambil memandang ke arah adik bongsunya itu. Nadira berhenti mendengus. Ada benar kata-kata Khairul itu. Nina dan Aishah tahu kata-kata Khairul itu juga ditujukan kepada mereka berdua. Mereka meneruskan mengulangkaji.
Khairul sedang leka dengan kerjanya. Nina bangun dari kerusi yang diduduk dan berjalan ke arah abangnya. Dia membuka halaman yang hendak ditanya soalan. Setelah menjawab soalan Nina, Khairul meneruskan kerjanya semula. Tiba-tiba telefon bimbit berdering. Khairul segera menjawab panggilan tersebut. Dia seperti sudah tahu siapakah pemanggilnya. Agak lama mereka bersembang. Panggilan tersebut dimatikan. Khairul meraup rambut ke belakang.
“Siapa tu, Ong?” tanya Aishah.
“Kak Sabrina.” Ringkas jawapan Khairul. Aishah mengangguk. Tidak bertanya lebih lanjut.
“Dia nak apa?” tanya Nina.
“Dia ajak keluar.”
“Habis tu?”
“Ong malaslah. Kalau Ong ada kat sini, boleh jugak Ong tolong kamu semua buat kerja rumah.” Ujar Khairul. Memang sebegitulah sikap Khairul. Dia melebihkan adik-adik lagi daripada kekasih sendiri. Kadangkala Sabrina naik bosan dengan sikapnya.
“Ong jangan buat Kak Bri macam tu. Kita orang tak kisah. Kita orang buat kerja sendiri. Kalau tak faham jugak, kita orang tunggu Ong balik. Lagipun kerja Ong dah siap kan? Pergilah Ong. Nanti apa pulak kata Kak Bri.” Nasihat Aishah. Nina mengangguk. Tanda setuju dengan kata-kata Aishah. Khairul tersenyum dan segera keluar dari bilik bacaan itu.


AISHAH meletakkan beg galas di hadapan pintu rumah supaya senang untuk dia mencapai. Dia duduk di meja dan bersarapan pagi bersama keluarganya. Selepas Syed Mahfuz membacakan doa makan, mereka menjamu selera. Aishah mencapai kuih karipap dan diletakkan di atas pinggan. Disuapkan karipap yang masih panas ke mulut. Kemudian dia menghirup sedikit air milo yang masih berwap. Kelam kabut dia menghabiskan sarapan pagi. Dibawa pinggan dan gelas yang digunakan ke dapur. Dibasuh. Aishah mencium Nurradiah dan bersalaman dengan Syed Mahfuz. Dia bersalaman dengan kesemua adik beradiknya dan segera menuju ke pintu rumah.Begitulah rutin harian yang mereka semua lakukan. Bersalaman dengan setiap ahli keluarga. Syed Mahfuz tidak lupa menerapkan nila-nilai menghormati orang tua kepada anak-anaknya. Aishah menyarungkan kasut dan segera berjalan ke arah pintu pagar. Dia sudah berjanji hendak berjalan ke sekolah dengan Zanariah, Amy dan Soraya.
Semasa mereka sedang menapak ke sekolah, tiba-tiba mereka berempat dikejutkan dengan hon dari arah belakang. Kerana terlalu terkejut, Amy tertolak Aishah ketepi sehingga gadis itu terjatuh ke atas bahu jalan. Zanariah dan Soraya memarahi pemandu tersebut. Soraya menolong Amy mengangkat Aishah bangun. Aishah mengabus habuk yang melekat dibaju. Zanariah masih tidak habis-habis memaki hamun pemandu itu. Pemandu itu keluar dari kereta dan segera meminta maaf dengan mereka. Zanariah terus tidak jadi meneruskan maki hamunnya. Mereka berempat terkejut. Tidak disangka-sangka bahawa ‘orang itu’ adalah pemandu kereta tersebut. Pemandu tersebut tersenyum manis ke arah mereka. Zanariah mencebikkan bibir.
“Maafkan saya. Saya tak berniat nak terkejutkan awak semua.” Kata pemandu tersebut dengan lembut.
“Lain kali, kalau dah tahu hon tu macam hon lori, tolong jangan hon pada orang. Hon tu dikhaskan untuk menghon kereta. Nasib baik kita orang ni tak ada sakit jantung tau. Kalau tak, mahu terkujat kat sini.” Marah Zanariah tidak habis lagi. Pemandu itu tersenyum dan mengangguk.
“Jom, Shah.” Zanariah memaut lengan Aishah dan dengan selambanya mereka berempat meninggalkan pemandu itu terpinga-pinga.
Sampai sahaja di sekolah, mereka menuju ke tempat perhimpunan. Pengawas-pengawas sekolah sedang berkawal ketat di pintu pagar. Mereka akan menangkap sesiapa sahaja yang tiba lewat. Pemandu yang membunyikan hon kepada mereka tadi tiba di sekolah lewat 10 minit tetapi namanya tidak dicatit oleh pengawas yang bertugas. Kalau mereka, sudah tentu nama mereka akan dihantar ke guru disiplin.
“Kenapa dia orang tak catat nama Hafiz?” tanya Soraya.
“Kata, Tengku Nora yang jaga. Dia sukakan si Hafiz. Hafiz tu buatlah macam mana pun. Tengku Nora takkan catit nama dia. Tu lah dia berlagak sikit. Macam sekolah ni bapak dia punya.” Kata Amy yang sedang mengikat tali kasutnya. Mereka memandang Amy dengan penuh minat.
“Apa bercakap-cakap lagi ni? Tak reti duduk diam-diam ke?” marah Ku Nilam. Zanariah menjeling. Lelaki seorang ini memang tidak boleh tengok mereka bercakap. Ada sahaja yang tidak kena.
“Kenapa beratur bengkang-bengkok macam ni? Macam ular kena palu. Beratur lah betul-betul. Zana, cuba luruskan barisan.” Ku Nilam memang suka menyakitkan hati Zanariah. Zanariah mendengus geram. Amy dan Soraya ketawa mengekeh.
“Encik Ku Nilam, tak boleh ke Encik tengok saya ni senang sikit? Sufira boleh pulak beratur suka-suka hati dia. Bila saya, ada je benda yang tak kena. Apa benda yang Encik Ku Nilam tak puas hati dengan saya?” lemah-lembut sahaja Zanariah berkata-kata walaupun hatinya cukup membara ketika itu. Ku Nilam tersenyum sinis dan beredar dari situ. Bertujuan hendak menyakitkan hati Zanariah yang sedia sakit. Aishah tersenyum dan menggeleng.
Bunyi loceng menandakan perhimpunan akan bermula sebentar sahaja lagi. Kesemua pelajar-pelajar beratur di dalam barisan mengikut kelas masing-masing. Pengetua memberikan ucapan. Diikuti dengan guru penolong kanan, guru hal ehwal pelajar, guru disiplin dan akhir sekali guru bahasa Inggeris. Minggu ini merupakan minggu bahasa Inggeris. Kesemua pelajar dikehendaki bercakap di dalam bahasa Inggeris sepanjang minggu. Zanariah menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Mereka bersurai dan masuk ke dalam kelas.
“Shah, kau kena tolong aku cakap omputih.” Kata Zanariah.
“Itulah. Bila kelas Ms. Jenny, kau asyik lari. Senggugutlah, kepala lutut nak tercabutlah, mata kau berpinarlah. Macam-macam alasan. Tup-tup, kau ada kat kantin. Tengah seronok mentekedarah.” Terkeluar loghat Kedah Amy. Zanariah tersengih. Dia tahu itu salahnya. Dia tidak boleh kalah. Dia mesti mencipta alasan lagi.
“Macam mana aku nak buat? Dah sakit tu datang waktu kelas Ms. Jenny je.” Ujar Zanariah. Aishah dan Soraya hanya menggeleng. Mereka berdua memang suka bertekak. Ada sahaja benda yang tidak kena.
“Kau ni memang patut dengan Ku Nilam.” Kata Amy secara tiba-tiba. Zanariah menjegilkan mata ke arah Amy.
“Kau jangan kaitkan aku dengan manusia hati busuk tu.” Zanariah memang tidak suka namanya dikaitkan dengan Ku Nilam. Nama Ku Nilam seperti satu virus terhadap diri Zanariah. Virus yang merbahaya dan boleh membunuh. Aishah dan Soraya ketawa kecil. Kelas berjalan lancar sepanjang pagi itu. Zanariah menghadirkan diri di dalam kelas Ms. Jenny. Dia bertekad tidak lagi mahu ponteng.
Loceng berbunyi dua kali menandakan tamat waktu pembelajaran dan tiba masa untuk mereka semua merehatkan diri sambil menjamu selera di kantin. Aishah tidak mahu pergi ke kantin. Tiada selera hari itu.
“Sebelum kau orang keluar makan, ada satu pengumuman ni. Cikgu Norkiah tak dapat datang. Jadi, kelas dia lepas ni dibatalkan.” Selepas sahaja Shukri berkata-kata, kedengaran pelajar-pelajar di dalam kelas 5 Amanah bersorak kegembiraan.
“Tapi…dia bagi kerja rumah.” Shukri menyambung. Sorakan itu bertukar kepada keluhan. Mereka semua mencatit kerja rumah yang perlu dilakukan.
Selepas itu, barulah mereka semua keluar dari kelas dan menuju ke kantin. Aishah tidak terus ke kantin sebaliknya dia melangkah ke arah perpustakaan. Dia mengendong buku Ekonomi. Aishah memilih satu sudut yang agak terlindung dari pandangan luar. Senang sikit dia hendak menumpukan perhatian. Susah dia hendak menyudahkan kerja jika ada orang yang lalu lalang dihadapan perpustakaan. Dibahagian belakang juga banyak buku rujukan Ekonomi. Setelah memilih buku rujukan yang hendak dijadikan panduan, Aishah melabuhkan semula punggungnya di kerusi. Aishah begitu tekun menyiapkan kerja rumahnya sehingga tidak sedar akan keadaan sekeliling.
“Assalamualaikum…” tegur satu suara.
“Waalaikumussalam.” Aishah menjawab. Didongakkan kepala memandang gerangan dihadapannya. Aishah tidak menyangka bahawa orang yang dipuja selama ini akan menegur dia di perpustakaan. Hafiz tersenyum.
Walaupun Hafiz berkulit hitam manis tetapi dia tetap menjadi kegilaan gadis-gadis di sekolah tersebut. Dengan wajah yang seiras Won Bin pelakon Korea yang terkenal dengan cerita Autumn in My Heart dan Taegukgi itu, memang mampu memikat mana-mana gadis. Aishah tiba-tiba merasa rendah diri. Dia tahu dirinya tidak sepadan dengan Hafiz. Badan yang gempal kadangkala menjadi bahan ejekan di sekolah. Setiap hari ada sahaja pelajar lelaki yang akan memanggilnya dengan bermacam panggilan. Gemuk, Buncit, Tembam dan bermacam-macam lagilah. Tetapi telinganya sudah lali. Lebih baik dipekakkan sahaja telinga.
Aishah merenung wajah Hafiz. Apabila Hafiz tersenyum kepadanya, barulah dia kembali ke realiti. Aishah pura-pura mencari pen sedangkan pen biru itu berada di hadapan matanya. Hafiz tersenyum kecil melihat gelagat Aishah yang sedikit kelam kabut. Hafiz berdehem.
“Awak tak apa-apa?” tanya Hafiz. Aishah memandang Hafiz dengan kerutan di dahi. Tidak faham dengan kata-kata Hafiz.
“Maksud saya, pasal incident pagi tadi.” Hafiz mengingatkan Aishah mengenai kejadian pagi tadi. Baru Aishah teringat.
“Saya tak apa-apa.”
“Betul ni? Sebab saya nampak kawan awak tertolak awak sampai jatuh.” Hafiz cuba mencari kepastian di dalam kata-kata Aishah.
“Betul. Saya tak apa-apa. Perkara kecik je.” Ujar Aishah. Malu-malu hendak merenung bola mata Hafiz yang berwarna hitam pekat. Hafiz tersenyum.
Gadis dihadapannya ini sangat menarik. Jarang jumpa gadis seperti dia. Tidak berani menentang mata dengan Hafiz. Tidak seperti Tengku Nora dan Shila. Semua hendak membalas renungan. Hafiz mula tertarik dengan gaya gadis yang bernama Aishah ini. Hafiz merenung Aishah. Selama ini dia tidak perasan akan kehadiran gadis yang bernama Aishah. Mungkin selalu bertembung tetapi tidak sempat untuk berkenalan. Almaklumlah. Fizikal Aishah menjarakkan mereka. Rambut Aishah ikal mayang berwarna keperang-perangan. Alis mata yang lentik. Kening yang teratur dan nipis. Kulit yang putih gebu. Senyuman yang menawan serta mempunyai bibir yang merah merekah. Walaupun Hafiz tidak dapat memandang anak mata Aishah dengan lama tetapi dia dapat melihat anak mata itu setiap kali Aishah cuba melirik pandang. Anak mata berwarna hazel cair. Pasti memikat mana-mana lelaki. Cuma…Cuma apa? Fizikal yang membuatkan dirinya seakan-akan disamakan dengan orang cacat? Hafiz rasa gadis dihadapannya adalah seorang gadis yang sempurna. Aku pasti kau akan dapat seorang lelaki yang akan menyayangi kau, kata hati kecil Hafiz.
Tiba-tiba bahu Hafiz ditepuk. Dia tersentak dari lamunan. Segera memandang orang yang menepuk bahunya. Tersengih sahaja orang itu kepada Hafiz.
“Kau ni tak ada kerja lain ke, Nina?” tanya Hafiz.
“Aku patut tanya kat kau soalan tu.” Kata Nina sambil tersengih. Aishah memandang mereka berdua bersilih ganti.
“Tanya soalan apa?” Hafiz bingung.
“Apa yang kau kacau adik aku ni?” soalan yang muncul dari mulut Nina amat mengejutkan Hafiz. Adik? Kenapa Nina dan Aishah berlainan? Nina mempunyai bentuk badan seperti seorang model. Kulitnya agak coklat. Wajah juga sudah ditumbuhi sedikit jerawat. Mungkin kerana terlalu banyak berfikir dan dia juga aktif bersukan. Kening yang lebat tetapi teratur. Anak mata berwarna hitam. Memang lain dari Aishah.
“Adik kau?” tanya Hafiz. Inginkan kepastian. Nina mengangguk seraya tersenyum. Hafiz tercengang.
“Kenapa lain?” tanya Hafiz lagi tanpa berselindung.
“Adik ikut Mama aku. Aku ikut Papa aku. Papa aku ada keturunan Arab. Mama aku English lady. Kau pernah jumpa kan Mama aku? Dia ada rupa Mama aku tak?” tanya Nina. Lambat-lambat Hafiz mengangguk. Aishah tersenyum kecil.
“Tak apalah. Aku blah dulu. Tengku Nora ajak aku makan dengan dia.” Kata Hafiz berkira-kira hendak beredar dari situ.
“Aik? Tak habis-habis lagi pasal perempuan kureng tu?” tanya Nina. Tersenyum sinis. Aishah menundukkan wajah. Pura-pura menumpukan perhatian terhadap kerja rumahnya. Sedangkan telinga dia dapat menangkap butir bicara mereka berdua. Segan berhadapan dengan lelaki pujaannya itu.
“Macam mana nak buat? Orang dah gila bayang kat aku. Aku ni kan jejaka paling handsome dalam sekolah ni dan juga seluruh Malaya.” Sengaja Hafiz memuji dirinya sendiri dihadapan Nina.
“Uwekk…Pigirah…” Nina terus melabuhkan punggung di kerusi yang menghadap Aishah. Hafiz beredar dengan ketawa besar. Aishah memerhatikan belakang Hafiz sehinggalah bayangannya menghilang di sebalik pintu perpustakaan.
“Apa yang Adik pandang tu?”
“Tak ada apalah. Kenapa Kak Na tak pergi makan?” Aishah bertanya soalan untuk menutup keresahan hati sebelum Nina dapat menghidu sesuatu.
“Boringlah. Asyik makan je. Kak Na dah lama tak datang library. Sini senyap sikit.” Nina bangun dan berjalan ke arah rak buku dan mencapai buku sebuah buku novel. Sudah lama dia tidak merehatkan otak dengan membaca buku novel. Aishah meneruskan kerja rumahnya.
“Nanti kita balik sama, ya?” kata Nina. Aishah mengangkat muka memandang Nina yang sedang tekun membaca sinopsis novel tersebut.
“Kak Na tak ada praktis ke?”
“Hari ni, dibatalkan. Sebab Abang Din tak dapat datang.” Aishah memang sedia maklum dengan aktiviti kakaknya pada setiap hari.
Hari Isnin, perjumpaan kesemua ahli pancaragam. Nina sudah tentu kena hadir kerana dia Naib Presiden Kumpulan Pancaragam Sekolah. Hari Selasa, perjumpaan Ahli Kelab Bola Tampar dan latihan bermain bola tampar. Rabu, latihan berkawad untuk pasukan unit beruniform Tentera Laut. Khamis, study group. Jumaat pula, latihan pancaragam. Dan Sabtu, latihan seni mempertahankan diri. Dia melibatkan diri di dalam kelab Judo. Hari Ahad sahaja Nina mempunyai masa lapang untuk bersama keluarga. Aishah tidak seaktif kakaknya. Itulah sebab berat badannya semakin bertambah.


BERSAMBUNG......


2 tukang komen paling setia:

ceritaku MEMORIKU said...

citer nie best.
ble nk update episode bru?
xsbr.kik33.chay0k2.-na`dz

Aishah Hamzah said...

tgh odw.....
eheheh
thanx ya