BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, December 24, 2008

Kasih Aishah Najyha BAB 12

BAB 12

AISHAH meletakkan tas tangan di dalam laci. Semak betul mejanya dengan fail-fail yang berselerakkan. Dikemas sedikit agar senang dia mencari fail yang dikehendaki. Dia mengambil fail yang bertanda nama D dan dibukanya. Satu persatu diselak. Disemak semula sebut harga. Kalkulator memang tersedia disebelah fail tersebut. Dikira semula sebut harga itu. Gambar baju-baju pengantin dan pelamin yang dikehendaki oleh Diyana, semuanya sudah diselitkan di dalam fail itu. Cerewet juga sahabatnya ini.
Semalam Diyana ada menelefon. Katanya ada hal mustahak yang hendak dicakapkan kepada Aishah. Mereka bercadang hendak berjumpa dan sekali keluar makan tengah hari bersama. Loceng pintu kedai berbunyi. Aishah mengangkat muka memandang ke arah pintu butik. Putri sedang melangkah masuk dengan tersengih.
“Sorry, Kak Adik. Lambat hari ni.” Kata Putri sambil meletakkan bungkusan nasi lemak kegemaran Aishah dihadapan ketuanya itu. Memang itulah rutin harian Putri setiap pagi. Membelikan makanan untuk Aishah dan dirinya sendiri.
“It’s ok. Akak yang datang awal.” Aishah masih menyelak fail itu. Putri segera berlalu ke pantri. Dia memang biasa makan di situ. Aishah mencapai bungkusan nasi lemaknya dan menuju ke pantri untuk menyertai Putri.
“Hmm…Kak Adik. Sebelum Put lupa. Semalam Cik Rozy datang. Tapi Kak Adik tak ada. Dia nak jumpa Kak Adik. Pasal…pasal…pasal apa, ya?” Putri tergaru-garu. Aishah sudah dapat mengagak perkara ini akan berlaku. Si Putri ini bukannya hendak mencatit apa yang dipesan oleh pelanggan.
“Haa…” baru Putri teringat sesuatu. Hampir tersedak Aishah dengan sergahan seperti itu. Diurutnya dada.
“Sorry, Kak Adik.” Putri meminta maaf.
“Apa yang dipesan Cik Rozy?”
“Dia nak tukar sikit gaya pelamin. Lepas tu, dia nak bunga korsaj untuk usherer and family. Lagi…dia nak bunga segar untuk pelamin. Nak bunga…bunga….bunga…” tergagap-gagap Putri berkata sambil cuba mengingatkan kembali kemahuan Cik Rozy.
“Bunga apa, Put?” tanya Aishah sambil menyuapkan sesudu lagi nasi lemak ke mulut. Putri menggarukan kepalanya yang tidak gatal.
“Yang bunga Kak Adik guna untuk hias pelamin Sharifah Mastura tu.” Kata Putri. Banyak betul pesanan bakal pengantin baru ini.
“Ohh…bunga Sundal Malam?” Aishah bertanya.
“Haa…yang itulah. Tapi itu untuk pelamin akad je tau. Pelamin sanding dia nak bunga…bunga….halamak! Tak ingat pulak. Kak Adik tanya sendirilah dengan Cik Rozy. Saya pun tak paham apa yang Cik Rozy nak.” Putri menyuap nasi lemak ke mulut. Aishah mengeluh. Apalah yang hendak diubahnya lagi? Perkahwinan tak sampai seminggu sahaja lagi. Kepala Aishah Najyha semakin pening. Dia harus mengawal 3 kenduri kahwin sekaligus. Kakaknya, Nina, anak Datin Hawa, Anne dan Cik Rozy. Nasib baiklah Nina tidak secerewet mereka berdua itu. Dia menggeleng perlahan.
Aishah memasukkan bungkusan nasi lemak yang kosong itu ke dalam plastik. Dibuang ke dalam tong sampah yang ada di situ. Dia membancuh air milo ‘kaw’ untuknya dan Putri. Dihulur cawan tersebut kepada Putri.
“Thanks, Kak.” Ucap Putri. Aishah tersenyum kecil.
“Kalau ada apa-apa lagi, panggil Akak. Akak ada kat meja.” Kata Aishah. Putri mengangguk dan meneruskan kembali suapan ke mulut. Kaki Aishah pantas menuju ke mejanya. Dia duduk dan mata tertancap pada fail-fail yang berada dihadapan.


SEPERTI yang Aishah janjikan dengan Diyana, sahabatnya itu datang ke butik dan mereka sama-sama menuju ke Restoran Only Mee yang terletak di SACC. Pilihan Diyana. Aishah tidak kisah makan dimana-mana. Mereka memilih kerusi yang berada di luar kedai. Aishah mahu mengambil angin. Kalau duduk di dalam kedai, pasti sesak dengan bau masakan yang menusuk hidung. Pelayan restoran itu mendekati mereka berdua dan menyerahkan menu kepada Aishah dan Diyana.
“Bagi saya Ice Lemon Tea dan Spaghetti Bolognaese.” Aishah menutup menu itu selepas memberikan pesanan.
“For me, Black and White. And Mee Rebus Mamak. Chicken Siew Mai ada?” tanya Diyana. Pelayan itu mengangguk.
“Hmm…bagi satu.” Diyana menutup menu itu. Pelayan tersebut mengambil menu itu dan menyerahkan kertas yang bercatit pesanan mereka berdua kepada tukang masak yang berada di dapur.
“Black and White tu apa?” tanya Aishah. Pelik. Tidak pernah dengar lagi.
“Air soya campur cincau. Dipanggilnya Black and White. Aku nak bagi kau rasa Dim Sum Chicken Siew Mai. Kat sini memang sedap.” Habis-habisan Diyana merekomenkan kepada Aishah. Sahabatnya itu mengangguk.
“Apahal kau nak jumpa aku ni? Pasal wedding gown kau lagi ke? Kau jangan nak banyak songeh, haa…Majlis kau tinggal beberapa hari lagi.” tanya Aishah. Dia sudah pening hendak menguruskan perkahwinan sahabatnya ini.
Ada pelanggan yang baru sahaja menempah dia untuk menguruskan majlis perkahwinan anaknya. Pelanggan itu pun nampak seperti cerewet. Yang bakal pengantinnya, tiada apa-apa. Yang lebih-lebih, selalunya yang turut sama menguruskan perihal perkahwinan itu. Kepala dia naik pening melihat fail yang bertimbun dan ada pesanan pelanggan yang masih belum diselesaikan.
“Taklah. Pasal abang sepupu aku, Hariz.” Kata Diyana tiba-tiba.
“Kenapa dengan dia?” Aishah bertanya lagi. Dia mengerutkan dahi.
“Dia kirim salam kat kau.”
“Waalaikumussalam.” Ucap Aishah perlahan.
“Sebenarnya…ada benda lain lagi.” Sambung Diyana.
“Apa dia?”
“Hmm….Mmm…Hish! Aku tak tau nak cakap macam mana kat kau.” Diyana seperti orang kegelisahan.
“Cakap je lah. Aku bukan budak-budak lagi. Tak paham cakap kau.” Paksa Aishah. Diyana menarik nafas sedalamnya.
“Tak apalah. Lupakan saja.” Diyana berkata pula.
“Kau ni kan. Dari dulu lagi macam ni. Kalau ada apa-apa yang kau tak puas hati, cakap je. Kau kan bayar aku.” Aishah berkata. Pelayan restoran menghantar minuman kepada mereka. Cepat sahaja Diyana menghirup air tersebut untuk menghilangkan dahaga. Aishah memain-mainkan straw di dalam gelas. Diyana mengangkat muka memandang Aishah yang sedang merenungnya tajam. Akhirnya, Diyana mengalah.
“Oklah. Benda ni tak ada kena-mengena dengan wedding aku.” Kata-kata Diyana melegakan hati Aishah.
“Habis?” tanya Aishah lagi.
“Abang saudara aku tu….” Ayat Diyana tergantung.
“Kenapa dengan dia?”
“Dia….ada hati…kat…kat…” lambat-lambat Diyana menuturkan kata-kata. Takut Aishah tidak dapat menerima. Gadis dihadapan Diyana itu sudah kurang sabar.
“Kat siapa?” sergah Aishah.
“Kau.” Pendek sahaja jawapan Diyana. Bertambah-tambah kerutan di dahi gadis itu. Diyana menelan air liur. Dia tahu Aishah belum dapat menerima mana-mana lelaki lagi di dalam hidupnya.
“Laa…itu je ke? Aku ingatkan apa tadi.” Aishah tertawa kecil. Diyana langsung tidak turut sama ketawa. Dia merenung Aishah yang sudah berhenti ketawa. Diyana memandang Aishah lama. Memohon pengertian sahabat yang satu. Aishah serba salah. Dilepaskan keluhan perlahan.
“D, kau tahu kan? Aku…..” ayat Aishah tergantung.
“Shah, sampai bila kau nak macam ni? Kau nak tunggu dia sampai bila? Sampai kau dah tua? Baru hati kau nak terbuka? Shah, belajarlah untuk mencintai lelaki lain pulak. Kau tak nak ada orang yang menjaga kau? Kau tak nak zuriat?” bertubi-tubi soalan yang keluar dari mulut Diyana seperti peluru. Aishah mengeluh. Inilah yang amat ditakutinya. Hati dia bukan senang untuk dibuka kepada lelaki lain. Hatinya masih pada seorang lelaki. Selagi lelaki itu belum memulangkan serpihan hati yang berderai itu, selagi itulah dia tidak akan membuka pintu hatinya untuk lelaki lain. Dia tidak mahu memberikan harapan kepada mana-mana lelaki selagi dia tidak yakin dia dapat mencintai lelaki lain seperti mana dia mencintai Hafiz.
“D, maafkan aku. Aku tak boleh…” belum sempat Aishah menghabiskan ayat, Diyana sudah memotong.
“Kenapa kau nak minta maaf dengan aku? Kau tak bersalah pada aku.” Ucap Diyana sambil merenung bebola mata yang berwarna hazel cair itu.
“Aku…aku….” Aishah seperti sudah kehilangan kata-kata. Tidak mampu lagi meluahkan apa yang terbuku dihati.
“Sampai bila kau nak tunggu Hafiz? Dah tentu dia tak balik keseorangan. Dia dah jumpa orang yang boleh memikat hati dia.” Kata-kata Diyana membuatkan Aishah terkejut besar. Dikerutkan dahi.
“Mana kau tahu Hafiz nak balik dan dia balik bukan seorang diri?” tanya Aishah sedikit curiga. Diyana tahu dia sudah terlepas cakap. Diyana menjelirkan lidah. Dek kerana kelancangan mulutnya, dia sendiri terperangkap dengan rahsia yang cuba disimpan selama ini. Gadis itu tersengih.
“Kau sendiri cakap dengan aku kan? Hafiz nak balik bulan 8 ni. Bawak balik bakal tunang sekali.” Diyana cepat-cepat menyembunyikan perkara sebenar. Aishah mengangkat kening ala-ala Ziana Zain.
“Aku ada cakap dengan kau, ya?”
“Ada. Kau dah lupa kot?” Diyana menghembus nafas lega. Nasib baik Aishah percaya dengan kata-katanya. Selepas ini, dia harus berhati-hati bila berbicara.
Pesanan yang dipesan oleh mereka sudah siap dihidangkan oleh pelayan restoran tersebut. Perlahan-lahan Diyana menyuapkan Mee Rebus Mamak yang masih berasap itu ke mulut. Persoalan itu mati begitu sahaja. Tanpa ada jawapan yang pasti. Aishah memainkan Spaghettinya dengan garfu. Tiada selera hendak menjamah makanan. Hanya 2-3 suap sahaja yang boleh masuk. Dia seperti memikirkan sesuatu.
“Kau masih teringatkan Hafiz?” tanya Diyana tiba-tiba. Aishah mengangkat muka memandang Diyana.
“Mana ada. Dia pun tentu dah lama lupakan aku.” Ujar Aishah, tunduk merenung makanan yang masih bersisa.
“Aku ni bukannya apa. Kau masih muda, Shah. Banyak lagi lelaki lain yang kau boleh luahkan perasaan cinta. Kau sendiri cakap dengan aku yang kau tak pernah beritahu Hafiz yang kau cintakan dia. Mungkin dia tak expect perasaan tu daripada kau. Mungkin jugak dia ada perasaan yang sama. Tapi…Kau tak bagi jawapan yang pasti pada dia. Dia tak boleh nak mengharapkan kau. Dia takut dia bertepuk sebelah tangan.” Diyana masih cuba menasihati Aishah. Sahabatnya ini memang boleh dikatakan pakar cinta. Sesiapa sahaja yang ada masalah, boleh datang berjumpa dengannya. Aishah hanya tersenyum dan mengangguk. Tidak mahu berkata apa-apa. Biarlah. Orang lain tidak akan memahami perasaan orang yang mengalaminya.
“Aku tahu kau ambil berat tentang diri aku, D. Tapi berilah aku masa. Untuk menerima cinta lelaki lain.” Ujar Aishah. Diyana mengangguk perlahan tanda lega apabila Aishah berkata begitu. Mereka terus menjamu selera.



AISHAH membuka pintu kedai dan menuju ke meja yang menghadap pintu tersebut. Diatas meja terletak jambangan bunga yang cantik. Ros putih dan merah jambu kegemarannya digubah elok menjadi jambangan bunga yang besar. Entah siapa yang punya. Aishah sempat mengambil jambangan bunga tersebut dan dicium bau. Memang wangi. Putri melintasi mejanya.
“Putri…” panggil Aishah. Putri berhenti dihadapan mejanya. Dia tersenyum memandang gadis itu.
“Kenapa, Kak?”
“Siapa punya bunga ni?” tanya Aishah dan diunjukkan ke arah bunga tersebut.
“Akak punyalah. Ada lelaki cina daripada kedai Espariza Florist datang hantar bunga ni.” Kata Putri.
“Siapa agaknya yang hantar, ya?”
“Akak cubalah baca kad tu.” Kata Putri sambil menudingkan jari ke arah kad yang bersampul kuning pekat yang diselit di celah-celah jambangan bunga itu. Aishah menarik keluar kad tersebut dan mula membaca bait-bait yang tertulis di dalam kad tersebut. Tiada nama yang tertulis. Hanya nama samaran yang digunakan.
“Siapa bagi, Kak?” tanya Putri tidak sabar.
“Entahlah. Dia tak tulis nama. Dia cuma tulis nama samaran. Ermm…Camar Kesepian.” Kata Aishah. Putri menggaru-garukan kepalanya. Camar Kesepian? Pelik sungguh nama samaran orang ini. Adakah dia tidak mahu dikenali? Kenapa? Dia yang beria-ia menghantar jambangan bunga. Tetapi tidak mahu dikenali. Pelik…pelik.
Aishah memasukkan semula kad tersebut ke dalam sampul surat itu dan meletakkan kad tersebut di dalam laci. Dirungkaikan balutan kertas yang mengikat bunga tersebut. Aishah mengambil pasu bunga kaca yang memang ada di tepi meja dan berlalu ke pantri dan mengisi air daripada air oksigen yang memang tersedia di situ. Tujuannya adalah untuk mengekalkan kesegaran bunga itu. Diletakkan bunga itu ke dalam pasu bunga kaca. Sudah lama pasu bunga itu tidak terisi dengan bunga segar. Sempat dia mencium bunga itu. Dia meletakkan bunga itu di atas mejanya.



HAMPIR seminggu dia menerima bunga yang sama dan juga daripada pengirim yang sama. Aishah semakin pelik. Bait-bait yang ditulis pada kad juga berlainan.

‘Izinkan saya mengenali hati budi saudari dengan lebih dekat. Sudikah
saudari menerima pelawaan saya ini?’

‘Tinta ini tidak bermaksud untuk menganggu ketenangan saudari, tetapi
sekadar mengetuk pintu hati milik saudari.’

‘Wajah saudari semakin berseri dengan segaris senyuman saudari yang manis
itu. Saya hanya mengenali saudari dari jauh sahaja. Tidak sudikah
saudari menerima salam persahabatan ini?’

‘Adakah senyuman saudari itu ikhlas pada pandangan saya?
Mengapa saudari sembunyikan lesung pipit yang membuatkan hati ini
terpikat?’

‘Sudah tiadakah segaris senyuman yang mekar untuk diri ini?’

Bermacam-macam lagilah yang ditulis di dalam kad yang sederhana besar itu. Aishah semakin keliru. Tidak tahu samada hendak menerima pelawaan lelaki yang tidak dikenali itu atau tidak. Bagaimana kalau dia seorang perogol? Seram juga Aishah memikirkannya. Tetapi ayatnya begitu puitis. Apakah dia seorang ahli falsafah yang terkenal? Camar Kesepian adalah seorang yang terpelajar. Dari gaya bait disusun menjadi satu ayat yang indah didengari. Itu memang Aishah tidak menafikan. Camar Kesepian pandai bermain dengan kata-kata. Kadangkala perasaannya terbuai dengan keasyikan bait-bait ayat itu.

‘Apakah hati saudari sudah dimiliki?’

Ayat terakhir daripada jambangan bunga yang terakhir. Yang ditulis dalam kad yang terakhir. Selepas itu tiada lagi bunga, kad atau ayat yang memberikan kata-kata semangat kepada Aishah. Ayat terakhir itu membuatkan hati Aishah berdegup kencang. Adakah Camar Kesepian tahu mengenai Hafiz? Tetapi dia hanya mengenali diriku dari jauh. Ah! Tak mungkinlah, getus hati kecil Aishah. Masakan dia tahu segala-galanya tentang diri Aishah. Adakah dia diintip?
Aishah meletakkan kepala di atas meja. Pintu butik berbunyi. Dia tidak begitu ambil peduli akan bunyi loceng kedai tersebut. Putri pasti akan menyambut pelanggan itu. Biarlah dia hendak menenangkan fikiran yang kusut.
“Assalamualaikum, Aishah.” Kata satu suara garau.
“Waalaikumussalam.” Jawabnya. Perlahan-lahan Aishah mengangkat kepala memandang lelaki yang berdiri tercegat dihadapannya.
“Hmmm…”Aishah cuba mengingati sesuatu.
“Hariz?” Aishah meneka nama lelaki tersebut. Lelaki itu tersenyum dan mengangguk. Terpegun Aishah seketika melihat ketampanan Hariz.
“Camar Kesepian.” Kata Hariz tiba-tiba. Aishah terpinga-pinga.
“Camar Kesepian?” tanya Aishah kembali. Dilihatnya Hariz hanya tersenyum. Dia seperti tidak percaya Hariz adalah orang yang selalu menghantar bunga kepadanya.
“Sudikah saudari keluar makan tengah hari bersama saya?” tanya Hariz. Aishah melihat jam di tangan. Hampir pukul 1.30 tengah hari. Aishah kaget dengan pelawaan itu.
“Kita berdua?” tanya Aishah. Dia menggigit bibir. Satu lagi kebiasaannya apabila dia terkejut. Dilihatnya Hariz mengangguk.
“Ermm…” Aishah tidak tahu hendak memberikan persetujuan atau tidak. Dia tidak begitu mengenali Hariz. Dia cuma mengenali lelaki itu melalui Diyana. Itupun Diyana tidak menceritakan dengan lebih terperinci tentang diri Hariz. Hariz itulah, Hariz inilah. Seperti mempromosi pula abang saudaranya itu kepada Aishah.
“Sebagai kawan?” pujuk Hariz lagi.
“Ok.” Aishah membuat keputusan dan mencapai tas tangan. Dia segera bangun dari kerusi. Hariz tersenyum. Tidak menyangka pelawaannya diterima.
“Put, Akak nak keluar makan kejap. Jaga kedai, ya?” kata Aishah. Putri tersenyum dan mengangguk pantas. Aishah dan Hariz keluar beriringan dari kedai tersebut. Putri intai dari dalam kedai. Dia tersenyum sendirian. Ada juga sepasang mata yang memerhatikan gerak geri dua insan itu. Dan, dibibirnya terukir senyuman lebar.


HARIZ memarkirkan kereta ditempat letak kereta terbuka dihadapan SACC. Eloklah tu. Dia dengan adik sedara dia sama saja. Makan pun kat tempat yang sama, fikir Aishah. Hariz membukakan pintu kereta untuk Aishah. Dia menjadi segan dengan sikap gentleman yang ditunjukkan oleh Hariz. Mereka sama-sama menuju masuk ke dalam SACC. Tetapi kaki Hariz berhenti melangkah dihadapan Restoran Asiari. Dilihat menu yang dipamerkan dihadapan restoran tersebut.
“Apa kata kalau kita makan kat sini?” tanya Hariz.
“Saya tak kisah. Ikut awak je.” Kata Aishah. Hariz melangkah masuk ke dalam restoran tersebut. Aishah membuntuti Hariz. Mereka memilih tempat di satu sudut. Seperti restoran makanan Jepun sahaja pemilik restoran itu menyusun tempat duduk. Pelayan restoran itu membawa menu dan menyerahkan kepada mereka berdua. Aishah meneliti satu persatu makanan di dalam menu tersebut. Tidak banyak masakan yang berasaskan pedas. Kebanyakannya sup. Kurang pedas. Dia tidak tahu hendak memilih makanan apa. Hariz membuat pesanan. Pelayan itu bertanya pula kepada Aishah.
“ Sama macam dia lah.” Aishah menutup menu tersebut dan diserahkan semula kepada pelayan itu. Setelah mengulangi pesanan, pelayan tersebut beredar.
“Makanan kat restoran ni lain sikit. Sebab dia banyak masakan Vietnam. Banyak sup.” Ujar Hariz. Aishah terangguk-angguk mendengar penjelasan Hariz. Agak lama mereka mendiamkan diri tanpa seorang pun yang memulakan kata-kata.
“Apa yang membuatkan awak ingin tahu mengenai diri saya?” terus terang Aishah bertanya setelah bosan diam diri. Tanpa ada selindung. Hariz tersenyum. Dia sudah dapat mengagak soalan itu yang akan ditanya oleh Aishah. Dia sudah sedia dengan jawapan. Tetapi tidak disangka secepat ini gadis dihadapannya bertanya.
“Banyak. Saya nak tahu tentang latar belakang awak. Adik beradik awak. Macam-macam. Kalau awak tak kisah, saya jugak nak tahu tentang kisah silam hidup awak.” Kata Hariz. Aishah mengerutkan dahi. Hariz tahu mengenai Hafiz? Aishah tidak berkata apa-apa.
“Kalau awak keberatan, tak apalah. Saya tak kisah.” Ucap Hariz apabila dilihatnya wajah Aishah berubah semasa Hariz menyebut kisah silam. Apa yang menyebabkan dia berubah wajah?
“Ok…Ok….Apa yang awak nak tahu dulu?” tanya Aishah pula.
“Nama penuh awak dan adik beradik yang lain.”
“Nama saya Syarifah Aishah Najyha binti Syed Mahfuz. Bos awak tu.” Kata Aishah sambil tersenyum.
“Nama adik beradik awak?”
“Cukuplah awak tahu nama saya. Sebab awak nak berkenalan dengan saya. Bukan dengan adik beradik saya.” Bidas Aishah. Hariz tersenyum. Pandai juga dia berkata-kata walaupun pada hakikatnya dia nampak seperti seorang yang pendiam.
“Ok, fine. Awak dulu belajar kat mana? Maksud saya dari sekolah rendah sampai sekolah menengah. And then, awak pergi universiti mana?” banyak betul yang Hariz hendak tahu mengenai dirinya.
“Saya sekolah rendah kat Seksyen 6. Masa menengah pulak, Seksyen 2. SSAAS. Lepas tu saya sambung belajar kat New Zealand. Ambil degree dalam Mass Communication.” Jelas Aishah. Hariz dilihatnya sedikit terangguk-angguk.
“Hmm...Belajar dalam Mass Communication tapi kenapa boleh terlibat dalam bidang wedding planner?” Hariz bertanya. Soalan itu dibiarkan tergantung apabila pelayan menghantar hidangan makanan mereka. Selepas pelayan itu beredar dari situ, Aishah memberikan jawapan untuk pertanyaan Hariz itu.
“Mass Communication terlalu susah. Lagipun, pilihan saya untuk jadi wartawan. Tapi saya tak boleh nak teruskan. Too hectic. I can’t stand it.” Aishah menghirup air dihadapannya.
“Jadi, sebab itulah awak memilih bidang ini?”
“Yup. More relaxing and I can take my own sweet time to finish my work.” Disuapkan makanan yang masih berasap itu ke mulut. Panasnya! Nasib baik tidak melecur mulut.
“Kejap lagi kita sambung lagi. Sekarang makan dulu.” Akhirnya Hariz berkata begitu.

BERSAMBUNG.....

1 tukang komen paling setia:

ceritaku MEMORIKU said...

hariz adek-badeq dgn hafiz an??
hariz pon dh mnt kat aisyah.
tp xdpt nak agak spe bkal teman idop aisyah.
agaga.
xsbr tggu n3 seterusnye.
-na`dz