BAB 18
KERETA Honda Civic kepunyaan Aishah meredah kegelapan malam membawa hati yang tidak keruan. Air mata menitis bagaikan tidak mahu berhenti. Hafiz sudah pulang. Ini bermakna, bila-bila masa sahaja dia akan berjumpa atau terserempak dengan Hafiz. Hafiz kan rakan karib kakaknya? Sudah tentu mereka akan berjumpa. Pasti mereka akan berjumpa suatu hari nanti. Semasa kenduri kahwin Nina, Hafiz tidak pulang. Pasti ada perkara yang hendak disembangkan. Kakinya menekan pedal minyak dan kelajuan kereta semakin meningkat. Wajah Hafiz terbayang-bayang di mata. Setiap hari hatinya seperti pungguk rindukan bulan. Dia bagaikan pungguk yang cuba menggapai bulan yang nun jauh di angkasa. Hatinya makin pedih apabila teringatkan kata-kata Syahira beberapa bulan dulu. Hafiz bukan pulang sendirian. Membawa pulang bersama sekeping hati gadis lain bersamanya.
Aishah membuat keputusan untuk pulang ke rumah. Dia tidak tahu hendak ke mana lagi. Fikirannya buntu.
Tiba sahaja di hadapan rumah, Aishah memarkirkan kereta di dalam garaj. Perlahan-lahan kakinya melangkah ke arah Taman Mewah Indah. Taman yang banyak memberi ketenangan dalam hidupnya selama ini. Aishah melabuhkan punggung diatas kerusi yang terletak di dalam gazebo tersebut. Termenung.
‘Dia sudah pulang.’ Aishah berkata perlahan.
‘Habis tu? Apa yang kau nak buat?’ kata hatinnya tiba-tiba sahaja menyampuk.
‘Aku akan meluahkan perasaanku kepadanya.’ Sudah puas Aishah berfikir untuk beberapa ketika.
‘Kau sudah gila, agaknya.’ Marah kata hati.
‘Kenapa? Salahkah aku berterus terang.’ Aishah melawan kembali. Tidak puas hati. Kenapa disaat dia sudah bersedia untuk berterus-terang, ada pula yang menghalang? Salahkah dengan keputusannya ini?
‘Memang tidak salah. Tetapi Hafiz membawa pulang bakal
tunangnya.’ Kata hati memberi peringatan.
‘Ah! Itu bakal. Belum tentu menjadi kenyataan.’ Aishah masih cuba untuk melawan kata.
‘Kau memang gila. Dulu, bila si dia hendak meneruskan
perhubungannya dengan kau, kau menolaknya dengan keras. Kata
kau, kau tak sanggup menjadi bahan cemuhan rakan-rakannya. Kini,
kau nak merampas kebahagiaan orang lain? Hei, ini bukan Aishah
Najyha yang aku kenal.’ Bentak kata hati dengan kuat.
‘Ini memang bukan Aishah Najyha yang sama. Bukan lagi Aishah
Najyha yang dulu. Semenjak dia pergi, aku tak pernah menjadi diriku
semula.’ Ucap Aishah lemah dan semakin lemah.
‘Jadi, siapa Hariz di mata kau? Di hati kau?’ tanya kata hati.
‘Dia tak lebih dari seorang kawan dan juga abang. Dia amat
memahami perasaan aku. Di hati aku hanya Hafiz seorang sahaja.’
‘Kau bermain dengan api.’ Kata hati mencemuh Aishah. Tidak suka dengan apa yang bakal gadis ini lakukan.
‘Memang aku suka bermain dengan api.’
‘Kau akan membakar diri kau sendiri.’ Bentak kata hati lagi.
‘Biar terbakar. Biar hangus. Biar rentung. Asalkan Hafiz menjadi
milikku seorang.’ Aishah puas dapat meluahkan kata-kata itu.
‘Wah! Begitu senang kau meluahkan kata-kata tanpa memikirkan
akibat yang akan terjadi.’ Kata hati berkata dalam nada sindiran.
‘Aku tak sanggup kehilangannya.’ Rintih Aishah.
‘Kenapa kau lepaskan dia pergi dulu? Kenapa kau tak pinta
penjelasan mengenai duit yang diberikan oleh Lutfi? Adakah benar
itu duit taruhan? Atau duit yang hendak mengaburkan mata kau
supaya kau memutuskan hubungan kau dengan dia? Kau bukan tidak
kenal Shila. Kau juga kenal Lutfi. Shila juga turut menyukai Hafiz.
Mungkin Shila yang mengupah Lutfi untuk merosakkan hubungan
kau orang berdua. Apakah kau tidak memikirkan kemungkinan
tersebut? Terus terusan sahaja kau hendak menyalahkan Hafiz.
Tetapi sekarang, kau hendak memutuskan hubungan yang baru dibina
demi menjalinkan hubungan yang telah lama terputus? Kau memang
sah gila.’ Kata-kata hatinya mati begitu sahaja. Air mata merembes keluar. Dia telah membuat perhitungan yang silap. Sepatutnya dia bertanya kepada Hafiz mengenai kebenaran perkara itu. Seminggu selepas berita Shila dirogol oleh Lutfi tersebar, Shila datang menangis dihadapan Aishah sambil meminta maaf kerana memerangkap Hafiz. Shila begitu menyesal sekali kerana terlibat dengan Lutfi. Tetapi apakan daya, nasi sudah menjadi bubur. Tubuh Shila sudah dijamah oleh lelaki tidak guna itu. Apa guna lagi Shila datang menangis dan menyesali perbuatannya. Perkara sudah berlalu. Aishah sudah memaafkan Shila.
Hujan mula merintik. Membasahi bumi. Turut menangisi nasib anak gadis yang baru sahaja belajar dari kesilapannya yang lalu. Kenapalah hatinya begitu payah hendak menerima kehadiran lelaki baru seperti Hariz dalam hidupnya. Bukanlah begitu susah. Cuma belajar mencintai diri lelaki itu sepenuh hati sepertimana dia mencintai diri Hafiz.
Aishah segera masuk ke dalam rumah. Tanpa disedari sepasang mata kuyu milik Nina menatap wajah Aishah yang kuyup. Bukan kerana disimbahi air hujan tetapi kerana air mata yang tidak pernah berhenti. Aishah segera menuju ke tingkat atas. Dia masuk ke dalam bilik. Duduk menghadap cermin solek. Dia buka kotak barang aksesori. Gelang kristal pemberian Hafiz masih tersimpan rapi di dalam kotak tersebut. Sebelum Hafiz berangkat ke London, dia sempat memberi gelang tersebut kepada Nina untuk diserahkan kepada Aishah. Air mata menuruni pipi putih gebu itu. Aku tidak segila itu hendak merampas kasih sayang orang lain, fikir Aishah. Pintu bilik diketuk. Aishah segera mengelap air mata. Nina masuk ke dalam bilik adiknya. Aishah tersenyum memandang kakaknya. Semenjak berkahwin, Nina semakin cantik. Sudah berkurangan sikap ‘tomboy’nya. Nina melabuhkan punggung di atas katil.
“Akak tak tidur lagi?” tanya Aishah.
“Tak boleh tidur.” Nina berkata perlahan.
“Apasal?” tanyanya lagi.
“Adik tak balik lagi.”
“Kan Adik dah balik? Kenapa dengan Akak ni?” Aishah mengerutkan dahi.
“Kenapa Adik balik lewat malam? Mama risau tau. Tengok Adik tak balik lagi. Sampai dia tak nak tidur. Kak Na yang paksa dia tidur. Papa pun risau. Papa beria-ia nak pergi tengok Adik kat butik. Nasib baik Abang Sof kata dia pergi tengok. Abang Sof balik tadi dia kata Adik dah tak ada kat butik. Adik pergi mana sebenarnya?” tanya Nina. Perasaan risaunya semakin memuncak apabila Sofyan balik sahaja ke rumah dan memberitahu Aishah tiada di butik. Butiknya sudah tutup. Aishah menekur pandangan ke lantai. Dia mengeluh. Kemudian dia mengangkat muka dan memandang wajah Nina. Tersenyum.
“Jalan-jalan. Banyak sangat kerja tadi.” Jelas Aishah ringkas. Nina memandang wajah itu. Dia tahu bukan itu yang mengacau fikiran Aishah.
“Sekurang-kurangnya Adik telefonlah dulu. Akak risau tau.” Dipandang wajah Nina sekilas.
“Adik janji. Lain kali, Adik takkan buat macam ni lagi.” Mereka sama-sama senyap. Nina mengatur butir bicara. Menyusun ayat supaya kata-kata yang akan dikeluarkan sebentar lagi dapat diterima oleh Aishah. Banyak kali Nina mengeluh menyebabkan Aishah kehairanan.
“Kenapa dengan Akak ni?”
“Adik tahu kan, hari ni Hafiz pulang?” tanya Nina berterus terang. Sedaya upaya Aishah menahan perasaan. Dia mengangguk perlahan. Mengiakan kata-kata kakaknya.
“Hafiz telefon Abang Sof tadi. Dia ajak kita orang keluar. Dia nak jumpa. Masa kenduri hari tu, dia tak balik. So, dia nak bersembang panjang-panjang. Dan…” ayat Nina tergantung. Aishah memandang muka Nina.
“…perkenalkan tunang dia kepada kita orang.” Sambung Nina. Segera dia memandang muka Aishah. Tetapi tiada reaksi daripada adiknya itu. Hanya tersenyum dan mengangguk.
“Baguslah tu, Kak. Adik tumpang gembira untuk dia.” Kata Aishah cuba untuk menyembunyikan perasaan yang bergelodak.
“Adik…”
“Kak Na, perkara dah berlalu. Adik dah cuba lupakan dia. Adik tengah menyesuaikan diri Adik dengan seseorang.” Bohong Aishah.
“Ye ke? Siapa?” tanya Nina dengan nada gembira.
“Hariz.” Jawapan pendek daripada Aishah itu menyebabkan Nina tergamam. Bala besar!
“Kak Na, Adik dah penatlah. Adik tidur dulu, yeh?” kata Aishah sambil mencapai tuala dan berkira-kira hendak melangkah masuk ke bilik air. Nina seakan-akan faham kata-kata adiknya itu terus sahaja melangkah keluar tanpa berkata apa-apa. Dia menuju ke kamar tidur.
Sebaik sahaja Nina menutup pintu bilik, Aishah melangkah ke jendela. Dibuka jendela tersebut dan dibiarkan angin bertiup. Masih hujan di luar sana. Air matanya turun bersama-sama hujan yang lebat. Aku sudah kalah. Sudah kalah walaupun aku belum lagi berjuang, hatinya berkata-kata. Aishah berbaring di atas katil. Entah bila masa dia terlelap, dia sendiri tidak tahu.
KEESOKKAN paginya, Aishah bangun dari tidur dan menuju ke meja solek. Dilihat wajah di cermin. Mata bengkak, muka sembap. Bagaimana dia hendak berhadapan dengan pekerja-pekerja dan pelanggan-pelanggannya? Apa kata mereka nanti? Pintu bilik diketuk. Aishah membuka pintu bilik dan terjengul wajah Nadira yang tersengih.
“Akak baru bangun?” tanya Nadira.
“Kenapa?” Aishah bertanya kembali.
“Sekarang dah pukul 10. Akak tak pergi butik hari ni?”
“Pukul 10?” tanya Aishah meminta kepastian. Nadira mengangguk pantas.
“Alamak! Akak ada appointment dengan client pukul 10.30.” Aishah segera mencapai tuala dan menuju ke bilik. Dia mesti membersihkan diri kerana semalam dia tertidur tanpa membersihkan diri. Selepas itu, dia tergesa-gesa keluar dari bilik air. Mengambil baju dari dalam almari dan disarungkan. Dia menyolek wajahnya ala kadar. Aishah menutup pintu bilik dan menuju ke tingkat bawah. Dia mencapai kunci kereta yang tergantung di dalam almari kaca. Nurradiah yang baru sahaja keluar dari dapur terlihat anaknya itu yang sedang tergesa-gesa.
“Adik tak sarapan dulu?” tanya Nurradiah.
“Tak apalah, Mama. Adik dah lambat. Nanti Adik breakfast je kat ofis. Adik pergi dulu.” Aishah tunduk menyalami tangan Mamanya. Nurradiah mengusap rambut Aishah. Seperti memahami penderitaan anaknya itu. Nurradiah sudah dimaklumkan mengenai kepulangan Hafiz semalam oleh Nina. Aishah segera meninggalkan Nurradiah. Dia menuju ke kereta dan menghidupkan enjin kereta. Kereta Honda Civic miliknya meninggalkan perkarangan rumah banglo dua tingkat yang tersergam indah itu.
Mata Nurradiah melihat kelibat Aishah hilang. Dia berpaling semula dan masuk ke dalam. Nina sedang duduk bersarapan di meja makan. Sofyan sedang membancuh kopi. Nurradiah menggeleng.
“Aii…suami kamu yang bancuh kopi. Bukannya kamu.” Kata Nurradiah.
“Dia yang nak buat Mama. Lagipun, kopi yang dia bancuh sedap.” Nina menyuap nasi lemak ke mulutnya.
“Sekalipun dia bancuh kopi sedap tapi kamu sebagai isteri kenalah tahu tanggungjawab isteri. Jangan semua benda pun Mama nak kena beritahu.” Nasihat Nurradiah. Nina hanya diam membisu. Tidak berkata apa-apa. Sofyan yang baru sahaja keluar dari dapur membawa seteko kopi.
“Tak apalah, Mama. Sof dah biasa. Duduk kat overseas dulu pun, Sof yang buat semua ni. Sof tak kisah.” Sofyan meletakkan teko kopi di atas meja. Nina menuang kopi ke dalam cawan untuk Sofyan dan untuk dirinya. Sofyan melabuhkan punggung di sebelah Nina.
“Kamu jangan manjakan isteri kamu ni sangat. Suruh dia buat kerja-kerja rumah. Mengemas ke, masak ke. Mama dulu pun tak tahu jugak. Tambah-tambah Mama anak orang yang berharta. Ada orang gaji. Semua orang gaji yang buat. Lagipun Mama anak orang putih, manalah nak tahu pasal masakan orang Melayu ni. Tapi Mama rajin belajar. Kalau kamu nak apa-apa Sof, suruh je Nina buat. Jangan bagi muka sangat.” Pesan Nurradiah.
“Baiklah, Mama.” Kata Sofyan sambil tersenyum. Nina asyik menyuap makanan ke mulut. Tidak mempedulikan perbualan mentua dan menantu.
“Pukul berapa kamu nak pergi jumpa Hafiz tu?” tanya Nurradiah.
“Tengah hari.” Jawab Nina ringkas.
“Jadi, kamu tak balik lunch lah, ye?”
“Nampaknya macam tulah, Mama.” Jawab Sofyan pula. Nurradiah mengangguk perlahan.
“Kamu nak pergi jumpa si Hafiz ni, Adik tahu?” tanya Nurradiah lagi. Nina mengangkat muka memandang wajah Nurradiah.
“Tahu, Ma.”
“Apa katanya?”
“Dia tak kata apa-apa. Cuma boleh nampak muka dia berubah.” Ujar Nina. Dia menyenduk sedikit sambal nasi lemak ke dalam pinggan Sofyan. Nurradiah mencapai cawan dan menghirup kopi yang masih berwap.
“Mama ni kesian dengan Adik. Tapi Adik tak kesiankan diri dia sendiri.” Kata Nurradiah. Tidak ada selera untuk dia menjamu sarapan pagi itu. Asyik memikirkan perihal anak yang seorang itu.
“Adik kata bagilah dia masa sikit. Bukan dia tak cuba untuk menyintai lelaki lain, Ma. Tapi biasalah. Perempuan kalau first love susah nak dilepaskan. Mama tentu faham kan perasaan Adik. Papa first love Mama.” Jelas Nina.
“Dan, Sof first love Nina.” Kata Nurradiah. Kedua anak dan menantunya saling berpandangan. Kemudian, tertunduk malu.
Nurradiah senang melihat kelakuan mereka. Nadira juga tidak lama lagi akan menjadi menantu orang. Keluarga Shah Fuzey sudah masuk meminang. Nurradiah tidak perlu risau akan anak-anaknya yang lain. Hanya Aishah yang menjadi kerisauan sekarang. Anak yang seorang itu belum lagi berpunya tetapi tidak mahu belajar mencintai lelaki lain. Kalau Nadira kahwin dahulu, langkah bendul pula nanti. Kalau boleh, Nurradiah mahu Aishah berkahwin dahulu. Tetapi kalau jodohnya belum sampai dan dia belum ada calon, Nurradiah redha. Dia menerima sahaja kehendak Yang Maha Esa.
NINA sedang menuruni anak tangga beriringan dengan Sofyan. Mereka berpimpin tangan. Nurradiah berada di dalam dapur. Sedang mencuci pinggan mangkuk. Nadira sedang menonton televisyen. Dia memandang kakak dan abang iparnya sekali imbas.
“Kak Na nak pergi mana?” tanya Nadira. Matanya masih ditumpukan di kaca televisyen.
“Nak jumpa Abang Hafiz.”
“Ohh…”
“Hey! Dira ni dah nak kahwin tau. Cuba-cubalah tolong Mama kat dapur tu. Ni tak. Asyik tengok tv je.” Kata Nina yang mengusik adiknya.
“Elehh…cakap orang. Dia pun sama.” Balas Nadira.
“Ma, kami pergi dulu.” Laung Nina. Nurradiah keluar dari dapur dan mengangguk sambil tersenyum.
“Dira, meh tolong Mama kat dapur. Kamu dah nak kahwin. Tapi apa benda pun tak tahu nak buat lagi. Fuzey suka makanan yang dimasak kat rumah. Dia bukan suka sangat makan kat kedai. Mama nak ajar kamu masak gulai.” Bebel Nurradiah. Nina dan Sofyan tertawa kecil. Nadira memasamkan muka. Dia segera bangun dan menutup peti televisyen dan menuju ke dapur.
Nina dan Sofyan menuju ke kereta mereka yang diletakkan di dalam garaj. Mereka menuju ke destinasi yang dijanjikan dengan Hafiz. Sepanjang perjalanan, Nina hanya mendiamkan diri. Dia seperti memikirkan sesuatu. Sofyan memandang wajah Nina. Kemudian, dia menggenggam jari jemari isteri yang baru sahaja dikahwininya. Nina terjaga dari lamunan dan memandang Sofyan. Dia tersenyum.
“Apa yang sayang fikirkan?”
“Tak tahulah, Bang. Macam mana nak berhadapan dengan Hafiz.” Kata Nina meluahkan kerisauan yang dipendam sejak semalam.
“Kenapa sayang cakap macam tu?” Sofyan bertanya sedangkan dia tahu apa yang mahu dikatakan oleh Nina.
“Kalau Hafiz tanya pasal Adik. Takkanlah kita nak cakap yang Adik masih menantikan dia.” Luah Nina.
“Kita terus-terang saja.”
“Bukan senang, Bang. Hafiz dah nak bertunang. Kalau kita beritahu Hafiz yang Adik masih tunggu dia, mesti dia akan kecewakan tunang dia.” Jelas terpancar kerisauan Nina. Bukan mereka sehari dua mengenali jejaka bernama Mohd Hafiz ini.
“Sayang jangan risau. Abang kenal benar dengan Hafiz. Dia tidak akan melukakan perasaan orang sekeliling. Tambah-tambah, perasaan orang yang disayanginya.” Sofyan menangkis perasaan negatif yang bercambah di dalam diri Nina mengenai Hafiz.
“Tapi, Bang…”
“Dah. Sayang jangan fikir bukan-bukan. Kita dah nak dekat sampai dah ni. Jangan tunjukkan kerisauan sayang. Nanti tentu Hafiz tertanya-tanya.” Sofyan mencari tempat letak kereta yang berdekatan dengan pintu masuk kompleks membeli-belah Midvalley. Mereka bernasib baik. Ada sebuah kereta yang baru sahaja keluar dari tempat letak kereta yang berdekatan dengan pintu masuk.
BERSAMBUNG.....
Tuesday, December 30, 2008
Kasih Aishah Najyha BAB 18
Yang merepek merapu meraban Aishah Hamzah at 12/30/2008 07:59:00 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 tukang komen paling setia:
best2.
suke2.
agaga.
-na`dz
Post a Comment