BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, December 3, 2008

Dari KL ke Luxembourg 33

BAB 33

DERUMAN enjin kereta kedengaran di garaj. Fareez mematikan enjin dan dia duduk termenung di dalam kereta. Hatinya membara melihat gambar-gambar tadi masih lagi ada. Dia mengeluh. Betulkah apa yang dilihatnya? Atau itu sekadar hendak mengaburi matanya? Dia sendiri tidak pasti. Fareez keluar dari kereta. Matanya meliar ke arah sekeliling garaj. Kereta Qaseh tiada. Kemanakah dia? Dia mengeluarkan beg bimbit dan kotnya yang diletakkan di kerusi belakang. Fareez membuka pintu rumah. Segera Fareez menuju ke tingkat atas. Dia perlu membuat perhitungan dengan Qaseh. Tetapi dia harus membersihkan dirinya dahulu dan bersolat. Selepas selesai bersolat Isyak, Fareez turun ke tingkat bawah dan menuju ke ruang tamu. Masih tiada tanda-tanda bahawa isterinya sudah pulang. Fareez memasang televisyen di ruang tamu. Fokusnya tidak tertumpu di kaca televisyen. Sekejap matanya memandang jam di tangan, sebentar kemudian memandang ke luar. Tertunggu-tunggu kepulangan Qaseh.
Qaseh tiba dihadapan rumah. Menekan butang yang membuka pintu pagar secara automatik. Qaseh masuk ke dalam rumah dengan menjinjing beg tangan dan beg bimbit serta beg-beg kertas yang berisi storyboard-storyboard pelanggan. Fareez pura-pura tidur. Qaseh mengalihkan pandangan ke arah ruang tamu apabila terdengar seperti suara orang sedang bercakap. Tiba-tiba telefon bimbit Qaseh berbunyi. Dia melihat nama pemanggil di skrin telefon. Dijawab panggilan tersebut.
“ Hello…” Qaseh amat mengenali suara itu.
“ Qaseh dah sampai rumah?”
“ Yup.”
“ Qaseh okay?”
“ Yup.” Ringkas sahaja jawapan Qaseh.
“ Wad harap Qaseh tak banyak berfikir tentang perkara ibu kandung Qaseh, ya?” nasihat Ashwad. Dia begitu ambil berat akan diri Qaseh.
“ Okay.” Jawab Qaseh.
“ Take care.” Pesan Ashwad.
“ Wad?” panggil Qaseh perlahan.
“ Ya?”
“ Terima kasih kerana menjadi pendengar setia.” Qaseh berkata.
“ No problem. Kita kawan, kan?”
“ Ya.”
“ Okay. Bye. Take good care of yourself.” Ujar Ashwad.
“ Okay. Thanks, Wad.” Mereka sama-sama mematikan talian. Qaseh tidak tahu Fareez mendengar perbualannya. Hati Fareez yang pada mulanya sejuk, kini membara kembali. Qaseh berjalan ke arah ruang tamu. Fareez hanya duduk diam tanpa berkata sepatah perkataan pun. Tidak jadi hendak berpura-pura tidur.
“ Abang tak tidur lagi?” tanya Qaseh. Dia melabuhkan punggung di sofa di sebelah Fareez. Tiada respon.
“ Awak ke mana?” tanya Fareez.
“ Qaseh baru balik dari kerja.”
“ Bercakap dengan siapa tadi?” tanya Fareez. Qaseh tergamam. Dia tidak tahu hendak memberi jawapan kepada suaminya.
“ Aku tanya ni. Kau bercakap dengan siapa tadi?” penggunaan bahasa Fareez mula kasar.
“ Qaseh bercakap dengan…dengan….” Tergagap-gagap Qaseh hendak menuturkan ayatnya.
“ KAU BERCAKAP DENGAN SIAPA TADI?!!” Fareez mula meninggikan suara. Kecut perut Qaseh mendengar suara Fareez yang lantang. Sudah lama dia tidak mendengar Fareez bersuara kasar. Apakah penyebabnya Fareez mula bertindak begitu?
“ Ashwad.” Qaseh hanya menundukkan wajahnya. Tidak berani hendak menatap wajah bengis Fareez.
“ Kau jumpa dia lagi?” tanya Fareez tetapi belum sempat Qaseh berkata sesuatu, ayatnya sudah dipintas oleh Fareez.
“ Aku memang dah agak. Memang inilah perangai sebenar kau. Mula-mula tunjuk baik. Lepas tu, tunjuk belang.” Mundar-mandir Fareez dihadapan Qaseh.
“ Tak cukup ke apa yang kau dapat daripada aku, hah?” jerkah Fareez. Qaseh terkejut. Air matanya mula bertakung di tubir mata. Perlahan-lahan jatuh menitis pipinya yang gebu itu.
“ Abang, sebenarnya…” Qaseh cuba memberitahu perkara yang sebenar. Fareez tidak mahu mendengar kata-kata Qaseh.
“ Ke sini kau.” Panggil Fareez. Qaseh masih tidak berganjak dari tempat duduknya. Darah Fareez mula mendidih. Fareez mencengkam lengan Qaseh dengan kuat. Qaseh meronta-ronta.
“ Kau memang nak cabar kesabaran aku, ke?”
“ Abang, tolong lepaskan Qaseh. Sakit, Bang.” Merayu-rayu Qaseh meminta tolong. Fareez tidak mempedulikannya. Qaseh meronta-ronta.
“ Ooo…dengan aku pandai pulak sakit. Bila jantan tu pegang tangan kau, tak pulak kau kata sakit.” Marah Fareez. Diheret Qaseh menaiki tangga. Qaseh cuba memegang tangga tetapi tangannya terlalu licin. Dia terlepas. Fareez menendang pintu bilik Qaseh dan melempar Qaseh ke atas katil. Qaseh sudah teresak-esak. Fareez menutup pintu dengan kasar dan mengunci pintu tersebut. Perlahan-lahan Fareez mendekati katil itu. Qaseh berundur ke belakang.
“ Abang, tolonglah. Jangan buat macam ni. Qaseh boleh jelaskan perkara sebenar.” Qaseh masih cuba merayu daripada suaminya itu. Tetapi rayuannya bagaikan angin lalu. Fareez mencengkam tangan Qaseh dengan kuat. Fareez mula menindih badan Qaseh. Bajunya dikoyak dengan ganas. Apakah yang merasuk Fareez? Qaseh sendiri tiada jawapannya. Qaseh tahu dia tidak akan terdaya melawan kekuatan Fareez. Dia hanya menyerahkan segala-galanya. Malam itu, bukanlah seperti malam pertama Fareez mendatangi dirinya. Penuh kebahagiaan. Tetapi malam itu, penuh dengan kebencian dalam diri Fareez terhadap dirinya.
Fareez terbaring di sebelah Qaseh. Dia tertidur. Sudah puas Fareez kerjakan Qaseh seperti binatang. Air mata Qaseh seperti tidak mahu berhenti mengalir. Diusap rambut Fareez. Hatinya tertanya-tanya. Apakah yang menyebabkan Fareez bertindak sebegitu? Qaseh bangun dari perbaringannya. Dibuka pintu almari. Qaseh menarik keluar beg pakaian. Dia mengambil pakaian-pakaiannya dan dilipat kemas. Kemudian, dimasukkan ke dalam beg. Qaseh berjalan ke arah meja solek. Dikeluarkan sehelai kertas dan pen.
Selepas itu, Qaseh mengambil begnya dan berjalan keluar dari bilik tersebut. Dia menoleh semula dan memandang Fareez yang sedang nyenyak tidur. Air matanya turun lebih laju dari tadi. Ditutup semula pintu bilik itu. Qaseh berjalan pula ke arah bilik Amirul. Dibuka pintu bilik tersebut dan dipandang ke sekeliling bilik. Nasib baik Amirul tiada di rumah waktu itu kerana bermalam di rumah nenek. Amirul sememangnya tidak patut mendengar raungan Qaseh dan suara lantang Fareez. Ditutup semula pintu tersebut. Perlahan-lahan dia menuruni anak tangga. Qaseh mencapai kunci keretanya. Qaseh memasukkan beg pakaian ke dalam but kereta. Sekali lagi, matanya meneliti setiap inci di dalam rumah banglo itu. Rumah yang banyak meninggalkan kenangan buat dirinya. Kenangan pahit dan manis. Dia mula menghidupkan enjin dan menderum pergi. Dia tidak tahu ke mana arah tujuan yang pasti. Fikiran Qaseh buntu. Dia terus sahaja memandu tanpa arah yang pasti. Dia tidak pasti ke mana harus dia melangkah.
Fareez terjaga dari tidurnya apabila terdengar deruman enjin kereta. Dia melihat di sebelah. Tiada kelibat Qaseh. Tiba-tiba tangannya tersentuh satu surat. Fareez membetulkan duduknya. Digosok mata yang sedikit kabur. Cuba membaca tulisan bertinta hitam beserta kad kahwin. Fareez membaca kad kahwin tersebut. Nama pengantin lelaki itu seperti dikenalinya sahaja.

Abang,
Maafkan Qaseh kerana Qaseh meninggalkan Abang seperti ini. Tak minta izin daripada Abang. Tetapi Qaseh tak sanggup diperlakukan sebegini lagi. Qaseh ada perasaan. Qaseh juga manusia biasa. Kenapa Abang? Apa salah Qaseh? Apa yang Qaseh buat hingga menimbulkan rasa tidak puas hati Abang? Kalau betul Qaseh buat salah, Abang tegurlah Qaseh. Qaseh sayangkan Abang. Tapi bukan begini caranya Abang membalas kasih sayang Qaseh. Buat sementara waktu, Qaseh rasa lebih elok kita berpisah. Qaseh perlukan ketenangan. Benarkanlah Qaseh pergi mencari ketenangan itu. Qaseh juga berikan masa kepada Abang untuk Abang berfikir. Qaseh harus pergi jauh dari sini. Qaseh cintakan Abang. Abang percayalah cakap Qaseh. Qaseh dah tak ada perasaan pada Ashwad. Qaseh hanya menganggap dia sebagai sepupu Qaseh sendiri.


Abang,
Teruskanlah hidup Abang seperti biasa. Abang jangan risau akan keadaan Qaseh. Tahulah Qaseh menjaga diri. Benarkan Qaseh melihat Abang dari jauh. Benarkan Qaseh membayangkan senyuman yang terukir di bibir Abang. Benarkan Qaseh simpan kenangan gelak ketawa kita bersama. Qaseh akan sentiasa menyimpan kenangan kita bersama selamanya. Benarkanlah Qaseh membawa pergi sekeping hati milik Abang. Benarkan Qaseh menyimpan cinta Abang.

Abang,
Qaseh minta Abang percaya cakap Qaseh. Maafkan Qaseh, Abang. Qaseh tidak mahu terluka lagi. Biarlah Qaseh pergi mencari diri Qaseh yang sebenarnya. Qaseh menyintai Abang dan akan tetap menyintai Abang selama-lamanya. Janganlah Abang curigakan kasih sayang Qaseh ini. Ia tetap utuh dan sejati. Walaupun ada cabaran dan dugaan yang mendatang.

Akhir kata, sampaikan salam sayang Qaseh buat Mirul. Mirul tidak perlu tahu akan kisah kita. Katakan juga kepada Ashwad bahawa Qaseh tidak dapat pergi ke kenduri kahwinnya dan Qaseh benar-benar minta maaf padanya. Sekian sahaja. Warkah Qaseh buat Abang.


Salam Sayang,
Qaseh

Tanpa Fareez sedari, air matanya menitis. Kenapa dia sanggup melukakan hati Qaseh kembali? Sepatutnya dia bertanya dahulu. Tetapi disebabkan dia selalu membayangkan sindiran dan senyuman sinis Shilea, membuatkan Fareez tidak keruan. Kalau Shilea tahu, pasti dia sudah bersorak kegembiraan kerana kemenangan telah menjadi miliknya. Perasaan menyesal datang bertimpa. Kenapalah aku ni bodoh sangat? Tak bertanya dulu. Hatinya berkata-kata. Menyalahkan diri sendiri kerana kebodohan yang dilakukannya. Dilipat kembali surat tersebut. Kepalanya disandarkan ke kepala katil. Qaseh mesti tidak pergi jauh lagi. Dia masih boleh mengejarnya. Dengan pantas Fareez melompat turun dari katil. Dia mencapai baju T-shirtnya. Fareez menuruni tingkat bawah dan segera mencapai kunci kereta. Dia menghidupkan enjin kereta dan menderum pergi untuk mencari isteri yang telah dilukai hatinya.







“ HELLO?” jawab satu suara.
“ Ecah…” Qaseh menjawab dalam keadaan teresak-esak.
“ Qaseh? Kenapa ni?” tanya Aishah, cemas. Qaseh masih tidak dapat menjawab soalan Aishah. Hanya esakan yang kedengaran.
“ Qaseh…” panggil Aishah lembut.
“ Aku nak jumpa kau.” Akhirnya Qaseh bersuara. Aishah lega.
“ Nak jumpa kat mana?” tanya Aishah lagi.
“ Aku ada kat Masjid Putrajaya.” Kata Qaseh. Esakannya mula perlahan.
“ Ok. 10 minit lagi aku sampai. Tunggu kat situ. Jangan pergi mana-mana.” Pesan Aishah. Talian dimatikan. Qaseh berjalan ke arah kerusi yang sengaja diletakkan di luar masjid. Dia melabuhkan punggungnya dan duduk memeluk lutut. Air mata tidak berhenti mengalir. Agak lama dia berkeadaan begitu. Tiba-tiba, bahunya dipegang seseorang. Qaseh terkejut. Dia segera memandang orang itu. Aishah tersenyum ke arahnya. Qaseh terus berdiri dan memeluk sahabat baiknya itu. Teresak-esak Qaseh menangis di bahu Aishah.
“ Jom. Ikut aku balik rumah.” Kata Aishah. Dipimpin tangan Qaseh dan mereka sama-sama menuju ke kereta Qaseh. Zahrien yang berada di luar kereta memandang isterinya.
“ Ayang bawak kereta Qaseh, ya?” ujar Zahrien. Aishah mengangguk. Mereka sama-sama masuk ke dalam perut kereta. Zahrien membuntuti kereta Qaseh yang dipandu oleh Aishah. Kereta Qaseh menuju ke rumah Aishah yang terletak di kawasan perumahan Putrajaya.
Sampai sahaja di rumah, Aishah memarkirkan kereta Qaseh di sebelah keretanya. Aishah mengajak Qaseh masuk. Zahrien awal-awal lagi sudah masuk ke dalam rumah. Apabila Qaseh menjejakkan kakinya ke dalam rumah, dia terpegun dengan hiasan di dalam rumah tersebut. Pandai Aishah menghiasnya. Rumah besar tetapi perabutnya sedikit. Menampakkan lagi keluasan sebenar rumah itu.
“ Masuklah, Qaseh.” Pelawa Aishah. Qaseh menuju ke ruang tamu. Dia duduk di situ. Zahrien membawa masuk beg Qaseh ke dalam bilik tetamu. Aishah membancuh minuman untuk Qaseh. Dia membawa dua gelas air kopi dan menghulurkan segelas kepada Qaseh. Aishah menarik kerusi dan duduk berhadapan dengan Qaseh. Zahrien pula melabuhkan punggungnya di sebelah Aishah.
“ Aku tak menyusahkan kau ke, Ecah?” Qaseh risau kalau-kalau dia banyak menyusahkan Aishah.
“ Tak adalah.” Aishah tidak mahu Qaseh menganggap dirinya sebagai bebanan kepada Aishah.
“ Betul tu, Qaseh. Kitakan kawan. Apa pulak nak menyusahkan.” Kata-kata Zahrien membuatkan Qaseh lega. Dia takut Zahrien tidak suka dengan kehadirannya. Huarghh! Sudah entah ke berapa kali Zahrien menguap.
“ Abang pergilah tidur. Esok Abang ada meeting. Nanti bangun lambat pulak.” Ujar Aishah. Zahrien mengangguk dan melangkah menuju ke arah bilik tidur utama. Qaseh hanya memandang kelibat Zahrien hilang.
“ Sorry, sebab menyusahkan kau pagi-pagi.”
“ Tak ada susahlah.” Ujar Aishah.
“ Kau keluar pergi ambil aku, Marsha dan Fika tinggal dengan siapa?” tanya Qaseh. Dihirup sedikit air kopi dihadapannya.
“ Mak aku.” Kata Aishah.
“ Parents kau ada kat sini ke?” tanya Qaseh. Lehernya dipanjangkan dan terjenguk-jenguk ke arah bilik tetamu. Aishah mengangguk.
“ Kau esok tak kerja?”
“ Tak. Aku cuti. Saja nak teman parents aku. Haa…kau dah ada kat sini, bolehlah kau teman aku bawak parents aku jalan-jalan.” Kata Aishah. Qaseh tersenyum. Aishah seorang anak yang baik. Sanggup mengambil cuti semata-mata hendak menemani kedua orang tuanya. Aishah juga tidak lupa memberikan duit belanja setiap bulan kepada ibubapanya. Beruntung Puan Asma dan Tuan Hamzah mempunyai anak seperti Aishah. Qaseh tidak boleh bertanggungjawab terhadap kedua ibubapanya. Dia rasa Aishah sangat untung. Mempunyai ibubapa dan seorang suami yang bertanggungjawab serta baik. Qaseh? Dia hanya mempunyai Datuk yang sangat menyayanginya dan seorang suami yang tidak memahami dirinya.
“ Boleh aku tahu, kenapa kau lari malam?” tanya Aishah. Dia takut tersinggung perasaan Qaseh. Qaseh mengeluh.
“ Kalau kau tak nak cerita pun tak apa.” Ujar Aishah.
“ Tak. Kau memang patut tahu.” Sela Qaseh.
Satu persatu diceritakan kepada Aishah. Dari A hingga Z. Aishah hanya menggeleng kepala apabila mendengar kisah derita Qaseh. Tidak disangkanya sampai begitu sekali Qaseh terluka kerana perbuatan Fareez. Aishah mengubah tempatnya dan duduk bersebelahan Qaseh. Digenggam jari-jemari Qaseh. Disabarkan sahabatnya itu. Esakan Qaseh sudah tiada tetapi air matanya tetap mengalir.
“ Aku tertanya-tanya. Kenapa dia buat aku macam ni? Apa salah aku?”
“ Kau tak salah. Mungkin ada sesuatu yang menganggu fikiran dia.”
“ Kalau aku tak salah, tak mungkin dia seksa aku macam ni.” Esakan Qaseh berbunyi semula.
“ Sudahlah, Qaseh. Kau tak perlu fikir pasal Fareez lagi sekarang ni.” Pujuk Aishah. Badan Qaseh terhinggut-hinggut.
“ Aku terlalu sayangkan dia. Lepas dia datang kat aku malam tu, aku rasa aku dan dia akan hidup bahagia selamanya. Tapi….” Ayat Qaseh tergantung.
“ Kau juga tak sangka perkara macam ni akan berlaku, kan? Kau tak boleh merancang. Ini semua sudah ketentuan. Tapi, kau jangan salahkan takdir.” Nasihat Aishah. Qaseh mengelap air matanya.
“ Aku tak pernah salahkan takdir. Dah tertulis sejak azali nasib aku akan jadi begini. Aku terima dengan redha. Sikit pun aku tak salahkan takdir.” Kata-kata Qaseh begitu menyentuh hati Aishah.
Aishah membiarkan Qaseh menangis sepuasnya.
“ Kau tentu dah penat, kan? Kau pergilah masuk tidur.” Aishah bangun dan Qaseh membuntuti Aishah. Aishah mematikan suis lampu di ruang makan dan ruang tamu. Mereka sama-sama mendaki tangga menuju ke tingkat atas. Aishah menunjukkan bilik tetamu untuk Qaseh.
“ Kau rehatlah sepuas-puasnya.” Aishah berkata. Qaseh mengangguk dan menutup pintu biliknya. Aishah pula menuju ke bilik tidur utama.
Qaseh membaringkan diri di atas katil. Keletihan yang teramat sangat. Tetapi matanya tidak mahu lelap. Dia terasa kesejukan. Penghawa dingin di dalam bilik itu terasa menggigit kulitnya. Kalau dia merengkot kesejukan seperti ini, pasti Fareez akan memeluk dan menghangatkan badannya. Kenapalah aku asyik terfikirkan dia? Aku sudah berjanji hendak memberikan ruang kepadanya untuk berfikir. Getus hati Qaseh.








KERETA Fareez berpusing-pusing di tempat yang sama. Kereta Qaseh tidak kelihatan di rumah Rafidah. Tidak juga di rumah arwah ibubapa Qaseh. Tidak mungkin Qaseh ke rumah ibubapa Fareez. Nanti apa pula kata ibubapanya melihat Qaseh pulang seorang diri di awal pagi tanpa Fareez dalam keadaan tidak bersemangat. Fareez sudah tidak tahu hendak ke mana lagi. Tiba-tiba Fareez terfikir sesuatu. Mungkin Qaseh di rumah sahabat baik yang selalu diceritakan kepada Fareez. Siapa namanya? Ais…Aish…Aishah! Tetapi di mana pula rumah Aishah? Fareez menepuk dahi. Dia tidak pernah mengambil tahu siapa kawan Qaseh. Dia tidak pernah ambil peduli itu semua kerana dirasakan tidak penting. Tetapi sekarang baru Fareez sedar betapa pentingnya perkara itu.
Fareez mencapai telefon bimbit dan mula mendail nombor Qaseh. Ada nada deringan tetapi tidak berangkat. Dicuba kali kedua dan kali ketiga. Masih tidak dijawab. Mungkin benar Qaseh ingin menjauhi dirinya buat seketika. Dicuba kali keempat. Tetapi panggilannya disambung ke mel pesanan suara. Qaseh menutup telefon bimbitnya. Qaseh benar-benar tidak mahu bercakap dengan Fareez. Dia berhenti mencuba. Fareez pulang semula ke rumah. Dia memarkirkan kereta di garaj rumah. Dia masuk ke dalam rumah. Fareez mendail nombor telefon bimbit Zikri. Dia melihat jam dinding yang berdenting sebanyak 4 kali. Baru pukul 4 pagi. Tidak mungkin Zikri akan bangun seawal itu untuk menjawab panggilan telefonnnya. Dimatikan semula telefon tersebut.
Fareez mundar-mandir di ruang tamu. Dia sudah tidak tahu hendak buat apa. Sudah buntu dia mencari Qaseh. Wanita itu seperti lesap. Bayangannya juga tidak dapat dikesan. Fareez terduduk di atas sofa. Lagu kegemarannya terngiang-ngiang di telinga.

No I can't forget this evening, Or your face as you were leaving. But I guess that's just the way the story goes. You always smile but in you eyes your sorrow shows. Yes it shows. No I can't forget tomorrow, When I think of all my sorrow, When I had you there but then I let you go. And now it's only fair that I should let you know What you should know I can't live, if living is without you. I can't give, I can't give any more. Can't live, if living is without you. Can't give, I can't give any more.


Bait-bait lagu itu menggambarkan dirinya sekarang. Diri yang sedang kesepian. Tidak boleh meneruskan hidup tanpa cinta wanita itu. Tidak boleh bernyawa tanpa kehadiran wanita itu disisinya. Fareez terasa sangat bodoh kerana mempercayai kata-kata Shilea dengan mudah. Sepatutnya dia menyiasat dahulu perkara ini. Fareez sudah masuk jerangkap samar buatan Shilea dan Fauzi. Dia tahu waktu itu sudah tidak boleh berpatah kembali. Dia harus mara kehadapan dan memperbetulkan keadaan. Fareez berbaring di atas sofa. Tangan diletakkan di atas dahi. Mengharapkan ini semua hanyalah mimpi ngeri. Dia terlelap.
Fareez terjaga sewaktu jam dinding berdenting sebanyak 9 kali. Dia segera duduk. Memegang kepalanya yang terasa berputar. Fareez memandang telefon bimbit yang terletak di atas meja kopi. Dicapainya dan mula mendail satu persatu nombor Qaseh. Ada nada deringan.
“ Hello?” seseorang menjawab panggilan tersebut tetapi itu bukan suara Qaseh. Suara wanita itu lebih lembut dari ini.
“ Hello?” sapa suara itu lagi.
“ Hello…Ermm…Boleh saya bercakap dengan Qaseh?” tanya Fareez.
“ Fareez, ya?” tanya orang itu pula.
“ Ya, saya. Boleh saya tahu siapa ni?” tanya Fareez kembali.
“ Saya Aishah. Kawan Qaseh.” Orang itu memperkenalkan diri.
“ Ohh…Qaseh banyak cerita tentang Aishah.”
“ Ya, saya tahu. Hmm…Fareez nak bercakap dengan Qaseh?” tanya Aishah lagi. Dia memang tahu itulah niat Fareez menelefon Qaseh.
“ Tolong?” pinta Fareez.
“ Tunggu sebentar, ya.”
Agak lama Fareez menunggu Qaseh untuk menjawab panggilannya. Seketika kemudian, Fareez mendengar ada suara orang berdehem kecil. Dia tahu itu mesti Qaseh.
“ Qaseh?” tanya Fareez. Tiada jawapan.
“ Qaseh, maafkan Abang. Abang tahu Abang tak patut buat Qaseh macam tu. Abang patut siasat dulu perkara ni sebelum Abang menghukum Qaseh.” Jelas Fareez. Masih tiada respon daripada Qaseh.
“ Perkara apa?” akhirnya Qaseh bertanya. Fareez sedikit lega mendengar suara manja itu. Dia tahu Qaseh mendengar kata-katanya.
“ Shilea bagi gambar kat Abang. Gambar pertemuan diantara Qaseh dan Ashwad.” Sambung Fareez lagi. Qaseh mendengus perlahan tetapi cukup kuat di telinga Fareez. Qaseh rasa dirinya tidak dipercayai oleh Fareez.
“ Nampaknya, Abang tak percayakan Qaseh. Qaseh dah pernah beritahu pada Abang. Qaseh tak ada apa-apa hubungan dengan Ashwad. Kenapa Abang lebih percayakan bekas isteri Abang daripada isteri Abang yang sah?” Qaseh benar-benar perlukan penjelasan daripada Fareez. Terdiam lelaki itu. Dia tidak dapat berkata apa-apa. Benar kata-kata Qaseh. Kenapa dia lebih mempercayai Shilea daripada Qaseh?
“ Abang…” belum sempat Fareez berkata, ayatnya sudah dipintas oleh Qaseh. Sudah lama Qaseh memendam rasa. Biarlah Fareez tahu akan perasaannya yang sebenar.
“ Sudahlah, Bang. Perkara dah berlaku.”
“ Tapi, Qaseh…kembalilah pada Abang. Kita mulakan hidup baru.” Pujuk Fareez. Hati Qaseh menjadi lembut apabila mendengar kata-kata sebegitu daripada Fareez. Tetapi Qaseh tidak mahu pisang berbuah dua kali. Cukuplah sekali Fareez menyeksanya. Kali ini Qaseh mahu menenangkan fikiran.
“ Seperti yang Qaseh tulis dalam surat Qaseh, Qaseh perlukan masa untuk kembali kepada Abang. Abang berilah sedikit masa. Kalau Abang cintakan Qaseh, walau apapun yang terjadi, Qaseh tetap akan kembali pada pangkuan Abang. Tetapi buat masa sekarang, Qaseh tak boleh. Qaseh masih dihantui oleh perkara semalam. Maafkan Qaseh, Bang. Bukan niat Qaseh untuk menjadi isteri derhaka. Memang Qaseh tak boleh. Kalau kita masih ada jodoh, Qaseh tetap akan kembali sebagai isteri Abang.” Panjang lebar Qaseh memberikan penjelasan. Dia mahu Fareez faham akan situasi dirinya yang sedang dalam kelukaan yang amat dalam.
“ Abang halalkanlah makan minum Qaseh selama Qaseh jadi isteri Abang. Tak kira apapun yang Abang buat kepada Qaseh, Qaseh tetap cintakan Abang.” Kata Qaseh dalam esakan yang sangat perlahan.
“ Qaseh…” panggil Fareez lembut.
“ Maafkan Qaseh, Abang. Jaga diri Abang baik-baik. Selamat tinggal.” Selepas sahaja Qaseh berkata begitu, dia terus mematikan talian. Fareez terpinga-pinga. Dia cuba menelefon telefon Qaseh sekali lagi. Tetapi masuk ke mel pesanan suara. Fareez termangu sendirian. Benarkah Qaseh sudah membuang dirinya jauh-jauh?

BERSAMBUNG.....

0 tukang komen paling setia: