BAB 8
PADA hujung minggu itu, Dr. Faiz dan Dr. Hanita ke Perlis untuk menghadiri perkahwinan anak saudara Dr. Faiz. Hanya tinggal Laily dan Uzair tidak dapat ikut kedua ibubapa mereka untuk bersama-sama meraikan perkahwinan tersebut kerana pada hari Isnin, Laily akan menduduki peperiksaan semester akhir. Manakala Uzair ada ujian bulanan. Tetapi sejak dari pagi, kelibat Laily dan Uzair sudah tidak kelihatan di dalam rumah. Safiah menuju ke arah Durrah yang berada di halaman rumah. Dilihatnya gadis itu sedang membersihkan halaman rumah dari rerumput yang tumbuh meliar. Tersenyum dan melangkah perlahan ke arah Durrah.
“Dura…” panggil Safiah.
Durrah mengalihkan badan ke arah Safiah dan mendongakkan wajah memandang Safiah yang berdiri tegak di belakangnya.
“Ya, Mak Lang?” Durrah membalas senyuman Safiah.
Wanita separuh abad itu mencangkung dan mencapai sudip kecil dan menggemburkan tanah-tanah yang berada di dalam pasu berdekatannya.
“Mak Lang nak pergi rumah kawan Mak Lang kat Rawang. Dura kenal kan dengan Acik Oyah?” soal Safiah kepada Durrah. Gadis tersebut seperti berfikir sesuatu. Kemudian, mengangguk perlahan-lahan.
“Anak dia buat cukur jambul.” Sambung Safiah.
“Anak Acik Oyah yang mana satu, Mak Lang?” giliran Durrah pula bertanya. Boleh dikatakan kesemua anak-anak Sauyah, Durrah mengenalinya kerana Sauyah bersahabat dengan Safiah sejak dari zaman sekolah.
“Aulia. Baru bersalin anak pertama.” Ujar Safiah. Sekali lagi Durrah mengangguk perlahan. Kembali meneruskan kerjanya meletakkan baja ke dalam pasu-pasu tersebut.
“Mak Lang mungkin tak balik petang ni. Sebab esok Acik Oyah ada buat kenduri untuk arwah suami dia pulak.” Jelas Safiah. Durrah mengangkat wajahnya semula dan mengerutkan dahi memandang Safiah.
“Jadi, Mak Lang malam ni tak balik rumah?” soal Durrah.
Safiah melepaskan keluhan perlahan dan mengangguk. Dengan tidak semena-mena, Durrah menjadi gelisah.
“Tinggal Dura dengan Laily dan…” ayat Durrah tergantung. Safiah tahu apakah sebab yang menjadi kerisauan Durrah.
“Mak Lang Piah tahu Dura risau. Tapi Mak Lang dah pesan pada Laily untuk perhatikan tindak-tanduk Uzai.” Ujar Safiah. Tetapi hati Durrah masih tidak berasa tenteram dengan kata-kata Safiah.
“Jadi, Laily dah tau?” soal Durrah. Safiah mengangguk perlahan. Wajah Durrah yang kegelisahan membuatkan hati Safiah juga resah.
“Mak Lang terpaksa bagitau. Jadi, dia boleh tengok-tengokkan Dura.” Jelas Safiah. Durrah melepaskan keluhan perlahan. Lambat-lambat dia mengangguk. Ibu saudaranya itu menepuk perlahan belakang Durrah.
“Dahlah. Jangan dok risau. Mak Lang pi sehari ja.” Sela Safiah. Sekali lagi Durrah mengangguk.
“Mak Lang pi masuk siap sat, na. Sat lagi, kawan Mak Lang nak mai ambil.” Safiah berkata sambil berjalan meninggalkan Durrah seorang di halaman rumah.
Durrah berpaling dan matanya merenung ke arah bunga-bungaan yang berwarna-warni di halaman rumah. Satu keluhan perlahan dilepaskan. Hati Durrah tidak tenang selagi Safiah tidak ada bersamanya. Dia kembali duduk mencangkung. Menggemburkan tanah yang berada di dalam pasu bunga.
LAILY memarkirkan keretanya di dalam garaj. Keluar dari perut kereta dengan menggalas beg sandang dan juga mengendong buku-buku pelajarannya. Kelihatan Durrah sedang mengangkat kain dari jemuran. Diletakkan kain-kain jemuran tersebut ke dalam bakul yang disediakan di sebelahnya. Diangkat bakul tersebut kemudian berjalan menuju ke pintu dapur. Melintasi dapur sebelum ke bilik khas yang diletakkan di sebelah biliknya dan juga bilik Safiah. Laily memberi salam dan melangkah masuk ke dalam rumah. Pintu utama tidak berkunci. Laily menggelengkan kepalanya. Sudahlah tinggal berseorangan, pintu pagar juga tidak berkunci. Durrah betul-betul cuai! Tidak mengapa jika barangan dalam rumah dicuri, tetapi jika apa-apa terjadi kepada Durrah, siapa yang mahu bertanggungjawab.
Laily melangkah pantas ke bilik dobi. Kelihatan Durrah sedang leka melipat baju sambil mendengar radio. Gadis itu bernyanyi kecil apabila lagu kegemarannya dendangan Dato’ Siti Nurhaliza berkumandang di radio. Laily melepaskan keluhan dan menggeleng. Dia berdehem kecil. Tiada reaksi daripada Durrah. Sekali lagi Laily berdehem. Tangan Durrah yang pada mulanya lincah melipat baju, kemudian mula bertukar perlahan. Hati Durrah tiba-tiba sahaja menjadi kurang enak. Turun naik dadanya menahan nafas. Berdebar, seram, gerun dan bermacam lagilah perasaan yang menerjah benaknya kini. Sekali lagi orang itu berdehem di belakangnya. Peluh laju memercik di dahi. Perlahan-lahan Durrah mengalihkan kepalanya ke belakang. Memandang orang yang sedang berdiri tegak di belakangnya. Senyuman Laily mematikan segala keresahan yang melanda diri Durrah.
“Laily ni buat terkejut Dura je lah.” Durrah pura-pura marah sedangkan dalam hati hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa leganya dia apabila didapati Laily yang pulang awal ke rumah. Khuatir juga jika Uzair yang pulang dahulu.
“Nasib baik tau Laily yang balik dulu. Dura ni careless lah. Dengan pintu tak berkunci. Atleast kalau tak kunci pintu rumah, kuncilah pintu pagar, Cik Durrah oiii….” Durrah menepuk dahi selepas mendengar kata-kata Laily itu. Terlupa pula untuk mengunci pintu pagar dan juga pintu utama selepas Safiah keluar rumah sebentar tadi.
“Maafkan Dura, ya. Dura tak perasan.” Ucap Durrah. Laily tersenyum dan mengangguk perlahan.
“Laily nak makan apa malam ni? Cakap je. Dura masak.” Durrah sudah berdiri dan menghadap Laily. Kerja-kerja melipat baju sudah selesai.
Laily melurut dagunya dan seperti berfikir sesuatu. Perlahan-lahan bibirnya mengukirkan senyuman.
“Apa kata malam ni kita makan kat luar? Laily belanja.” Cadang Laily. Durrah kelihatan serba-salah. Laily masih lagi menanti jawapan setuju untuk keluar dari mulut gadis dihadapannya itu.
“Tak apa ke? Tak susahkan Laily?” soal Durrah bertubi. Laily mengerutkan dahi.
“Apa yang nak disusahkan? Bukan Laily nak kena suap Dura kan. Kita makan sendiri-sendiri. Jadi apa yang susahnya.” Perli Laily. Durrah tersenyum dan mengiakan kata-kata Laily.
“Tapi Dura seganlah sebab Laily belanja.” Luah Durrah. Gadis tinggi lampai dihadapan Durrah itu melepaskan mendengus perlahan.
“Tak apalah, Dura. Sekali-sekala. Lain kali Dura pulak belanja Laily.” Usik Laily. Pantas Durrah mengangguk.
“Nanti lepas Maghrib, kita keluar. Okaylah....Laily nak naik atas. Nak mandi dan berehat kejap.” Ujar Laily. Membetulkan tali beg sandang yang mula melurut jatuh dari bahunya. Sekali lagi Durrah mengangguk. Laily beredar dari bilik dobi dan menuju ke tingkat atas. Durrah kembali menyelesaikan kerjanya yang terbengkalai.
TEPAT jam 8 malam, Laily melangkah turun ke tingkat bawah sambil menjinjing tas tangan Coach yang baru sahaja dibelinya minggu lepas di KLCC. Durrah sudah sedia menunggu Laily di ruang tamu. Laily menepuk bahu Durrah yang sedang membaca majalah itu. Terkejut dengan tepukan itu, Durrah mengangkat muka dan mengurut dadanya. Laily menyusun sepuluh jarinya dan diangkat dihadapan wajah Durrah tanda memohon maaf.
“Jom.” Ajak Laily.
Durrah meletakkan semula majalah yang diambil dari bawah meja kopi ke tempat asalnya. Berjalan membuntuti Laily yang menuju ke kereta Gen-2 berwarna hitam miliknya. Sebaik sahaja Durrah masuk ke dalam perut kereta, telefon bimbit Laily berbunyi nyaring. Segera dicapai telefon yang terbenam di dalam tas tangannya. Sesekali Laily mengangguk dan berdehem kecil. 5 minit kemudian, Laily mematikan talian. Laily menghidupkan enjin kereta.
“Uzai kata malam ni dia tak balik rumah. Dia tidur rumah kawan.” Ujar Laily.
Gadis disebelahnya itu mengangguk perlahan. Tetapi dalam hatinya, terasa lega apabila mendengar kata-kata Laily. Tidak perlu menghadap wajah Uzair pada malam itu. Dan dia juga boleh tidur dengan tenang.
“Dura tak payah risaulah. Malam ni dia tak balik.” Laily menepuk perlahan peha Durrah. Gadis kecil molek itu mengerutkan dahi.
“Kita nak pergi makan kat mana ni, Laily?” soal Durrah apabila kereta Laily perlahan-lahan meninggalkan kawasan rumah banglo milik ahli keluarganya.
“Laily nak bawa Dura pergi makan kat satu tempat special. Lepas tu, kita siar-siar area K.L. Dah dekat 7 bulan Dura datang sini, tapi sekalipun Dura tak pernah jalan-jalan kat K.L waktu malam kan?” tanya Laily. Wajah Durrah kelihatan sedikit teruja.
“Laily nak bawa Dura jalan-jalan kat K.L?” soalan berbalas soalan. Laily tersenyum dan mengangguk.
“Seronoknya.” cadangan Laily itu diterima baik oleh Durrah.
Keretanya dihalakan ke arah jalanraya yang sedikit sesak walaupun malam sudah dinihari. Warga kota berpusu-pusu keluar dari rumah kerana pada hari minggu sebegitu adalah masa untuk mereka melepaskan segala tekanan yang terbeban selama 5 hari bekerja.
Jam ditangan Laily sudah menginjak ke pukul 12 malam. Letih sudah kaki Durrah berjalan mengelilingi bandaraya Kuala Lumpur. Tidak Durrah menyangka bahawa di waktu malam, Kuala Lumpur lebih meriah dengan warga kota dan warga asing. Tidak kurang juga yang mengunjungi kelab-kelab malam di seluruh bandar.
“Puas Dura dapat berjalan?” tanya Laily apabila melihat Durrah tersandar di kerusi keretanya.
“Puas. Seronok sangat. First time Dura dapat tengok K.L waktu malam.” Ujar Durrah teruja. Laily tersenyum melihat gelagat Durrah itu.
Kereta Laily membelok masuk ke dalam kawasan rumah dan diparkir di dalam garaj. Mereka berjalan beriringan menuju ke arah pintu utama. Laily melangkah masuk dahulu kemudian diikuti oleh Durrah.
“Laily naik dulu, ya. Nak rehatlah. Penat sangat.” Ujar Laily meminta diri. Durrah mengangguk. Dia juga perlu merehatkan dirinya yang sudah keletihan. Memerhatikan bayangan Laily hilang di sebalik pintu biliknya di tingkat atas.
Durrah membuka pintu bilik dan baru sahaja berniat ingin membaringkan dirinya ke atas katil, tetapi telefon bimbit yang berbunyi mematikan niat Durrah. Segera dicapai telefon yang ada di dalam beg sandang. Tanpa melihat nama yang tertera di skrin, dijawab panggilan tersebut.
“Hello?” Durrah menjawab malas.
“Assalamualaikum....” si pemanggil memberi salam. Durrah melihat nama yang tertera di skrin telefonnya. Terus sahaja Durrah membetulkan duduknya.
“Waalaikumussalam, Mak. Mak dengan Ayah sihat? Hasan macam mana? Mak pasai pa tak tidoq lagi?” bertubi soalan yang keluar dari mulut Durrah. Kedengaran Hasanah berdehem kecil.
“Mak dengan Ayah sihat. Dura macam mana?” giliran Hasanah pula bertanya. Ingin Durrah luahkan apa yang tersirat dihatinya. Tetapi tidak terluah di mulut.
“Dura baik, Mak. Dura sihat. Dura rindu kampung. Rindu dengan Mak, Ayah dan Hasan.” Luah Durrah. Di corong telefon terdengar Hasanah menahan esakan. Hasanah terdiam seribu bahasa.
“Mak...Mak janganlah macam ni.” Durrah memujuk.
“Mak tak apa-apalah, Dura. Mak cuma rindu ja kat Dura.” Jawab Hasanah. Durrah menggigit bibir. Sudah mahu terkeluar pertanyaan mengenai Nizam dan Salina. Tidak pasti samada mahu bertanya atau tidak.
“Mak telefon ni pasal...Sal.” perlahan sahaja Hasanah menuturkan kata. Durrah menarik nafasnya dan dilepaskan perlahan.
“Kenapa dengan Sal?” Durrah menyoal.
Tiada respon daripada Hasanah. Sedikit gelisah Durrah dibuatnya. Janganlah terjadi apa-apa kepada adiknya itu. Walaupun Salina sering menyakiti hati Durrah tetapi tidak sampai hati Durrah untuk mendoakan keburukan buat adiknya.
“Mak...Mak janganlah buat Dura risau macam ni. Mak cakaplah pasai pa.” Ujar Durrah sedikit memaksa. Sudah tidak sabar dengan reaksi emaknya itu yang hanya mendiamkan diri.
“Sal...Sal dah masuk hospital.” Kata-kata Hasanah terus membuatkan lutut Durrah menjadi lemah. Apakah yang telah berlaku terhadap kandungan Salina? Berlegar persoalan itu dimindanya.
“Pasai apa dia masuk hospital?” soal Durrah lagi. Hatinya berdegup pantas. Lebih kencang sedari tadi.
“Dia dah nak bersalin.” Sambung Hasanah. Debaran di dada Durrah sedikit berkurangan. Sudah tidak sekencang tadi.
“Alhamdulillah. Bila masuknya?” sekali lagi Durrah menyoal.
“Maghrib tadi. Yang Mak risaunya, sampai sekarang dia masih tak bersalin lagi.” Luah Hasanah. Kerisauannya memuncak apabila Salina disahkan masih berada di dalam wad bersalin tetapi belum bersalin.
“Sabaqlah, Mak. Kejap lagi tu, kot.” Durrah cuba menenangkan hati tua itu. Ibu mana yang tidak sayangkan anak walaupun sudah bermacam perkara yang dilakukan Salina terhadap Hasanah dan Karim.
“Ni Mak ada kat mana?” tanya Durrah sambil melihat jam dinding yang tergantung di dalam biliknya.
Jam hampir menggerakkan jarumnya menuju ke pukul 1 pagi. Durrah menguap kecil sambil menekup mulutnya. Patutlah mengantuk, desis Durrah dalam hati.
“Mak ada kat rumah. Tunggu berita daripada Nizam. Tapi sampai sekarang belum ada tanda-tanda si Sal tu nak bersalin.” Hati tua Hasanah semakin risau apabila setiap kali menelefon kepada Nizam, hanya belum sahaja jawapan yang diterima daripada menantunya itu.
“Ayah dengan Hasan?” Durrah bertanya lagi. Hasanah melepaskan keluhan.
“Ayah ada dok dalam bilik tu. Hasan dah tidoq. Esok dia nak sekolah.” Ujar Hasanah. Baru Durrah teringat bahawa Kedah, Kelantan dan Terengganu sahaja yang bersekolah pada hari Ahad.
“Mak pun pi lah tidoq. Nanti kalau Sal dah bersalin, Nizam mesti telefon Mak.” Tutur Durrah.
Betapa terseksanya hati Durrah untuk menyebut nama Nizam. Tetapi dia tidak boleh bersedih. Sudah berjanji dengan Hasanah dan juga Safiah untuk meneruskan hidup dengan bahagia tanpa memikirkan masa lampau.
“Yalah. Dura pun pi lah tidoq, na.” Hasanah menyambung kata.
“Yalah, Mak. Assalamualaikum.” Ucap Durrah sebelum mereka sama-sama mematikan talian.
Perlahan-lahan Durrah bangun dari katilnya dan menuju ke arah jendela. Membuka tingkap tersebut untuk membiarkan angin malam berhembus masuk. Dalam diam terpaksa juga Durrah akui bahawa dia amat cemburukan Salina kerana selepas ini pasti Nizam akan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada anak mereka. Anak hasil perkongsian hidup Nizam bersama Salina. Ini kerana Nizam amat menyayangi anak-anak kecil. Durrah menarik dan melepaskan keluhan kuat.
Biarlah hati ini tenang. Wahai angin malam, pulangkanlah cinta ku ini kepada Nizam kerana aku sudah tidak berhak memilikinya. Hanya Salina yang perlu ada dihatinya. Bukan aku, hati Durrah berkata-kata tenang.
BERSAMBUNG....
Wednesday, March 31, 2010
SEINDAH AL-HAMRA BAB 8
Yang merepek merapu meraban Aishah Hamzah at 3/31/2010 10:19:00 AM 1 tukang komen paling setia
Friday, March 26, 2010
Dalam Kenangan!
Salam semua,
Saya tahu anda para pengunjung blog ini tentu tertanya-tanya kan kemana hilangnya saya hampir seminggu dua ini. Langsung tidak posting sebarang aktiviti atau menyambung e-novel saya. Bukan niat untuk menghilangkan diri tetapi ada sesuatu yang telah berlaku di dalam keluarga saya.
Bonda tercinta telah pun pulang ke Rahmahtullah pada Selasa 23 Mac 2010 pada jam 12.57 pagi. Sewaktu alam sejagat masih lena dibuai mimpi indah. Kami dikejutkan dengan berita sedih pula. Sekarang ini masih belum ada mood yang sesuai untuk post kan apa-apa pun. Maafkan saya beribu kali. Bukan niat dihati tidak mahu menyambung S.A.H. Untuk pengetahuan semua, S.A.H telah pun berjaya di sambung ke bab seterusnya.
Berbalik kepada tajuk Dalam Kenangan. Emak saya telah mengadu kepada ayah saya bahawa dia sesak nafas dan meminta ayah saya membukakan lampu bilik untuknya. Tetapi sebaik sahaja ayah saya buka lampu, kelihatan emak tercungap-cungap mengambil nafas. Ayah mengurut belakang emak. Terdengar bunyi nafasnya yang naik turun. Seperti orang semput. Sebelum ini emak tidak semput. Dan tidak pernah mempunyai sejarah penyakit semput. Saya segera menelefon ambulans apabila kelihatan emak seperti orang keresahan. Saya menelefon pada jam lebih kurang 12.15 pagi. Tetapi ambulans hanya tiba pada jam 12.55 pagi. Semasa kakak berada di samping emak, dia kata emak duduk di antara dua sujud. Kemudian bersujud di atas tilamnya sekali dan berbaring serta duduk berulangkali. Keresahan! Kakak juga berkata, dia terdengar emak ada menyebut nama Allah sebanyak 3 kali. Selepas itu, dia berbaring semula. Kakak turut ke tingkat bawah untuk menjenguk jika ambulans sudah sampai dan saya diminta duduk disisi emak. Tetapi emak sudah berbaring secara mengiring dan tercungap-cungap menarik nafas. Matanya dipejam dan dibuka berulangkali. Berkali-kali saya memanggil nama panggilan emak, MAMA! Akhirnya, dia melihat ke arah saya dalam lebih kurang seminit dua, kemudian dia memandang semula ke atas. Menarik nafasnya sekali dan tiada reaksi seterusnya daripada dia. Sebaik sahaja ambulans tiba pada jam 12.55 pagi, mereka cuba untuk melakukan CPR dan memberikan ubat untuk penyakit asthma. Tetapi juga tiada reaksi dari emak. Nadi emak sudah semakin lemah. Akhirnya, diumumkan waktu kematian emak pada jam 12.57 pagi oleh M.E (Medical Examiner) tersebut. Kami sekeluarga redha dengan pemergian emak. Moga dia ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.
MAMA, rehatlah Mama di sana. Kami tahu Mama banyak susah hati dengan perangai anak-anak yang tidak menentu. Tapi Mama jangan risau, kami bertiga janji, kami akan jaga Bapak sebaik mungkin. Rehatlah dengan tenang. Mama sentiasa dalam ingatan kami semua.
'Losing a mother, is like losing the other half of me. Who or what am I without her.'- kata pujangga dari Aishah Hamzah.
Sekian.
NOTES: Mama saya yang pakai tudung warna coklat kekuningan and baju kurung warna coklat tu....
Yang merepek merapu meraban Aishah Hamzah at 3/26/2010 04:21:00 PM 10 tukang komen paling setia
Labels: Dalam Kenangan
Wednesday, March 17, 2010
Pilihan untuk Dan Sebenarnya!
Salam semua,
Terima kasih di atas kesudian anda untuk mencampakkan vote anda ke atas pilihan2 watak saya yang agak merapuzzzz.....hehe! Pape pun, ingin saya maklumkan kepada anda bahawa talian undian telah pun ditutup dan pilihan anda telah pun saya masukkan di kolum paling bawah sekali dalam blog saye ini. Untuk makluman semua, saya tidak dapat memilih Remy Ishak sebagai Mohd Hafiz kerana saya rasa kolaborasi antara Remy Ishak dan Fizo Omar sangat tak kena. Anda juga fikir begitu?! Jadi, dengan segala hormatnya ingin dimaklumkan bahawa watak Mohd Hafiz telah bertukar dari Remy Ishak kepada Adi Putra. Watak Mohd Hariz masih lagi dikekalkan untuk Fizo Omar dan Aisyah Najyha untuk Nora Danish. Sekian, trimas. Terimalah watak2 untuk Dan Sebenarnya!
Presenting......Fezrull Faizal!
Presenting....Dizyan Farhana!
For the first time presenting the antagonist character....Ku Zhety!
Keep on voting at the poll.....Tenkius! Komen la skali skala pe salahnye....hehe
Yang merepek merapu meraban Aishah Hamzah at 3/17/2010 03:00:00 PM 2 tukang komen paling setia
Labels: Dan Sebenarnya
Wednesday, March 10, 2010
Hero & Heroin Pilihan anda.....
Salam semua,
Trimas kepada sesiapa sahaja yang sudi mengundi watak2 untuk e-novel pertama saya, D.K.L.K.L.....
Sekarang, saya nak korang undi pulak hero & heroin K.A.N......
Hero pilihan untuk watak MOHD HAFIZ!
Hero pilihan untuk watak MOHD HARIZ!
Heroin pilihan untuk watak SYARIFAH AISYAH NAJYHA!
Keep on voting di poll sebelah, ottay! Tenkius......
Daaaa for now.........
Yang merepek merapu meraban Aishah Hamzah at 3/10/2010 01:47:00 PM 0 tukang komen paling setia
Labels: Kasih Aisyah Najyha
Wednesday, March 3, 2010
Watak2 D.K.L.K.L!
Salam semua,
Ini adalah pilihan untuk watak2 e-novel D.K.L.K.L....sila vote di poll sebelah! Tenkius.....
Watak utama lelaki....Amer Fareez!
watak perempuan pulak.....Qaseh Soraya!
minggu depan pula untuk watak2 K.A.N!
Yang merepek merapu meraban Aishah Hamzah at 3/03/2010 01:07:00 PM 5 tukang komen paling setia
Labels: Dari K.L ke Luxembourg
sorry u gys!
Salam semua,
Minta maaf banyak2 sebab makin lama makin lambat nk postkn entry. bukan apa,idea x de nk mencanak dalam blog nie pun....bile idea mencurah2, mcm2 hal yg mendatang. bile idea x de, blank trus otak nie....sori lah yea, kalo S.A.H belum disambung.
Okay sekarang ni kisah D.S pulak! dh tny org kaki novel tue, die kate D.S dh masuk dlm list.hopefully,dpt terus sampai ke pencetak yea....doa2kn la...rezeki korg gak nk bace D.S tu nnt. maybe ade changes on title. atau maybe akan stay ngan D.S. x taw lagi...sori ah, dh mengarut2 nie sbb otak pun dh konpius. tp skrg nie tgh giat nk menyiapkan e-novel yg ke-4 n ke-5 skali harung.....
okay so skrg nie, saya nk uols berikan cadangan, pendapat, pandangan n ape sajelah kepada gambar2 utk watak2 nie....but it maybe take a while for me to hupload it! hehe.....sabo jelah ngan aku nieh....
Daaaaaa for now........
Yang merepek merapu meraban Aishah Hamzah at 3/03/2010 12:45:00 PM 1 tukang komen paling setia