BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, December 16, 2008

Kasih Aishah Najyha BAB 4

BAB 4

“APA kau buat kat sini?” tanya seseorang. Aishah memandang orang itu yang sedang berdiri menghadapnya.
“Eh, Kak Nora. Saya hantarkan stick Kak Nina.” Kata Aishah sesopan yang mungkin. Tengku Nora mendengus kasar.
“Apa Kak Nora? Panggil aku Tengku.” Kata Tengku Nora sambil menolak bahu Aishah perlahan. Dia sengaja hendak menyakiti hati gadis itu. Tetapi Aishah tiada niat untuk berlawan cakap dengan Tengku Nora. Dia tidak mahu menjadi kurang ajar dengan seniornya.
“Maafkan saya, Tengku.” Aishah tidak mahu berkata apa-apa lagi. Dia hanya menumpukan penuh perhatian ke pancaragam tersebut.
“Kau tengoklah badan dia, Bil. Gemuk. Tapi ada hati suka kat Hafiz. Tak sedar diri. Entah-entah Hafiz tu pandang muka dia pun tidak. Lainlah macam aku ni. Kurus, lawa, anak kerabat diraja. Bapak aku lebih kaya daripada bapak dia.” Tengku Nora sengaja berkata-kata dengan kuat. Aishah hanya menahan perasaan. Dia tidak mahu nampak terlalu lemah. Matanya sudah berair. Kata-kata Tengku Nora itu disambut oleh Nabila. Mereka berdua ini sama sahaja.
“Aku pun rasa si Hafiz takkan suka dia. Aku tak boleh bayangkan orang sekacak Hafiz menyukai orang sehodoh dia. Tapi, dari cara Hafiz beri layanan pada kau, aku dapat rasakan yang Hafiz memang ada hati kat kau. Mesti kau orang couple lah lepas ni. Confirm. Tengok dari gaya Hafiz pandang kau. Cara dia peluk kau masa kau hampir-hampir nak terjatuh kat kantin tu. Aku rasa kau orang akan jadik pasangan yang romantik gitu.” Nabila berkata dengan suara yang lagi kuat dari bunyi dram-dram pancaragam itu. Tengku Nora pura-pura gelak manja.
Hafiz meletakkan dramnya ke bawah. Dilap peluh dengan lengan baju. Tengku Nora berlari ke arah Hafiz dengan membawa air untuk membasahkan tekak. Hafiz mengucapkan terima kasih. Tengku Nora memeluk lengan Hafiz dan tersenyum menggoda. Sesekali dilirik dengan ekor mata ke arah Aishah yang sedang memandang mereka. Tengku Nora tersenyum sinis. Dilap peluh Hafiz dengan tuala yang dibawa bersama. Hafiz berasa rimas dengan layanan tersebut. Tetapi dia tidak sampai hati hendak memalukan Tengku Nora dihadapan mereka semua. Sesetengah ahli kumpulan tersebut meluahkan rasa cemburu mereka kepada Hafiz kerana mendapat layanan yang istimewa daripada Tengku Nora. Hafiz hanya tersengih. Di dalam hatinya menyampah yang amat sangat terhadap Tengku Nora. Mata Hafiz tertancap pada Aishah yang sedang bersembang dengan Nina.
“Wei, Nora. Sudah-sudahlah tu. Aku pun ada boyfriend jugak. Tapi taklah tergedik tahap dewa macam kau.” kata-kata Nina pedas. Hafiz rasa tersindir. Dipandang wajah Aishah. Gadis itu langsung tidak memandang muka dia tetapi sebaliknya memandang ke tempat lain.
“Alaa….Kau tu jealous sebab Sof tak ada kat sini. Tak boleh kau nak bermanja. Orang sebelah kau tu pun jealous jugak. Perasan ada orang suka kat dia.” Tengku Nora menjeling. Dielus pipi Hafiz. Hafiz menepis perlahan. Tidak suka dengan layanan Tengku Nora yang berlebihan.
“Apahal pulak kau nak kaitkan dia? Kau memang nak cari gaduh dengan aku, ya?” Nina seorang yang panas baran. Dia cepat naik darah apabila orang memburuk-burukkan adik beradiknya terutama Aishah. Dia segera berdiri. Aishah menarik lengan Nina untuk bersabar. Dia tidak mahu pergaduhan berlaku.
“Sudahlah tu, Nora. Apa yang kau tak puas hati lagi ni?” Hafiz meleraikan pelukan lengan Tengku Nora.
“Dialah, Fiz. Dia suka kacau Nora.” Rengek Tengku Nora. Hafiz semakin meluat dengan perangai kebudak-budakan itu.
“Kalau kau tak mula dulu, takkan Nina nak kacau kau. Sekarang ni, siapa kacau siapa?” Hafiz menjarakkan diri daripada Tengku Nora. Rimas dia berada dengan perempuan itu lama-lama. Hafiz menuju ke arah Nina dan Aishah. Tengku Nora membuntuti Hafiz.
“Kenapa Fiz nak sebelahkan dia? Fiz ada hati pada dia?” serang Tengku Nora bertubi-tubi. Hafiz tersenyum sinis dan menggeleng. Perempuan, fikirnya. Memang perasaan cemburu buta tetap ada.
“Aku anggap dia macam kawan. Macam Sof. Sof suruh aku jaga dia. Dari dulu aku dan dia hanya kawan. Yang kau nak cemburu tak tentu pasal, apahal? Aku bukan kawan kau, jauh sekali kekasih kau.” Hafiz mulai geram dengan perangai Tengku Nora yang tidak habis-habis hendak cemburu.
“Ooo….Sekarang Fiz dah pandai nak marah Nora. Kalau Fiz tak ada perasaan pada Nina, takkan Fiz ada perasaan pada buntal ni?” Tengku Nora menunjal kepala Aishah dengan jari telunjuk. Hafiz terdiam seribu bahasa. Aishah hanya menundukkan muka. Darah Nina semakin mendidih. Pantang dia melihat Tengku Nora memperlakukan sebegitu kepada Aishah. Dia terus berdiri dan meluru ke arah Tengku Nora. Dia memegang kolar baju gadis itu. Hampir-hampir sahaja wajah Tengku Nora yang bertempek dengan bedak setebal 1 inci itu menjadi sasaran penumbuk sulung Nina. Nasib baik Hafiz sempat memeluk pinggang Nina dan membawanya jauh daripada Tengku Nora. Rakan-rakan pancaragam perempuan yang lain tidak berani hendak memegang Nina. Kerana dia, lagi tinggi dan badannya lagi tegap daripada ahli-ahli pancaragam perempuan yang lain. Yang lelaki lagilah tidak berani memegang Nina. Silap haribulan, mereka pula yang menjadi mangsa amukan gadis itu. Hanya Hafiz sahaja yang bertindak untuk menyabarkan gadis itu sebelum terjadinya perkara-perkara yang tidak diingini. Nina seorang yang tidak boleh diduga sikapnya. Dia masih tidak berpuas hati.
“Hoi, betina. Kau jangan sentuh adik aku. Kalau kau nak kena belasah dengan aku, kau cuba buat lagi. Kalau kau tak masuk ICU, ni bukan Nina Latasya lah.” Jerit Nina lantang. Ditepuk-tepuk dadanya berulangkali. Hafiz meleraikan pelukan. Tengku Nora kecut perut juga apabila Nina mengangkat penumbuknya. Tengku Nora masih tidak puas hati. Disepak Aishah perlahan. Gadis itu cuba mengelak. Nina seperti singa dan berlari menuju ke arah Tengku Nora. Seperti hendak menerkam mangsa. Sempat juga Tengku Nora melarikan diri. Takut juga dia dengan Nina yang lari pantas seperti harimau kumbang itu. Kalau tidak kerana larian Nina yang pantas, dia tidak akan menjadi olahragawati dan mewakili sekolah setiap pertandingan. Setiap kali bertanding, pasti juaralah miliknya. Pasti gelaran olahragawati yang disandang setiap tahun.
Aishah tidak mahu langsung mengangkat wajah. Dia rasa terhina dengan sepakan Tengku Nora itu. Tidak pernah dia berasa harga dirinya serendah itu. Air mata masih tidak mahu keluar. Entah kenapa. Mungkin dengan penghinaan sebegitu dia tidak harus mudah kalah. Dia mesti tunjukkan kepada Tengku Nora. Dia bukanlah lemah seperti yang disangkakan oleh Tengku Nora. Hafiz menuju ke arah Aishah tetapi cepat-cepat Aishah bangun dan menjauhkan diri daripada Hafiz. Dia tidak mahu bercakap dengan Hafiz buat masa ini. Dia keliru. Kenapa Hafiz tidak mahu berkata sesuatu semasa Tengku Nora bertanya kepadanya? Adakah Hafiz mempunyai perasaan kepadanya? Tidak mungkin. Hafiz tidak pernah bertegur sapa dengannya. Hanya pagi tadi. Itupun disebabkan insiden Hafiz membunyikan hon sahaja. Tetapi kenapa Hafiz tidak berkata apa-apa. Dia malas mahu berfikir panjang.
“Kalau aku dapat betina tu, siaplah. Dia memang nak kena dengan aku. Jangan ingat dia anak kerabat diraja, aku takut.” Luah Nina geram. Mereka yang menyaksikan kejadian yang berlaku dihadapan mata itu, tergamam dengan keadaan tersebut. Tidak mereka sangka bahawa Nina mempunyai sikap panas baran. Sesuailah Nina dengan Sofyan. Nina seorang yang panas baran tetapi Sofyan pula seorang yang pendiam. Kurang bercakap.
“Dah tak ada apa-apa, kan?” tanya Nina kepada Hafiz. Pantas sahaja Hafiz menggeleng. Nina menarik lengan Aishah dengan kasar dan mereka sama-sama menuju ke pintu pagar sekolah untuk pulang ke rumah.
“Aishah…” Hafiz ingin berkata sesuatu tetapi kata-katanya itu terasa seperti tersekat di kerongkong.
Nina dan Aishah menunggu teksi di perhentian bas. Nina terjenguk-jenguk mencari teksi jika ada yang lalu bolehlah menahannya. Nina perlu mandi untuk menyejukkan hati yang panas. Aishah turut mencari bayangan teksi. Tetapi hampa, tiada. Tiba-tiba matanya tertancap pada sebuah kereta yang perlahan-lahan menyusur keluar dari kawasan sekolah dan menuju ke arah perhentian bas. Lama-kelamaan kereta tersebut berhenti dihadapan mereka berdua. Pemandu itu menurunkan cermin tingkap. Nina menjenguk ke dalam kereta tersebut. Dia berkata sesuatu. Kemudian Nina menggamit ke arahnya. Aishah berjalan ke arah Nina.
“Hafiz nak hantar kita balik.” Kata Nina.
“Tak naklah, Kak Na. Kalau Kak Na balik dengan dia, Kak Na baliklah. Adik jalan kaki je.” Aishah menolak pelawaan itu. Nina memandang muka Aishah. Dia kesiankan adiknya itu. Hafiz keluar dari kereta.
“Naiklah, Aishah.” Pujuk Hafiz. Aishah terpaksa juga menaiki kenderaan tersebut. Hafiz tersenyum. Kali ini, Aishah berkeras hendak duduk di belakang. Kalau tidak, dia akan tetap dengan keputusannya untuk berjalan kaki ke rumah. Nina mengalah.
Kereta Hafiz meluncur pergi. Sepanjang perjalanan, Aishah hanya mendiamkan diri. Tidak berkata sepatah pun. Nina banyak berbual dengan Hafiz. Sekali sekala Hafiz melirik ke kerusi belakang melalui cermin pandang belakang. Aishah memandang ke luar. Tidak berminat untuk turut serta di dalam perbualan tersebut. Fikirannya melayang-layang.
Entah bila kereta Hafiz berada betul-betul dihadapan rumah mereka. Nina pantas meninggalkan mereka berdua untuk berbual. Aishah masih berangan. Entah apa yang difikirkannya. Hafiz berdehem kuat. Aishah tersedar. Cepat-cepat dia membuka pintu kereta itu. Hafiz segera menahannya. Dia tidak jadi untuk keluar.
“Saya nak minta maaf dengan kelakuan Tengku Nora hari ni.” Kata Hafiz.
“Buat apa awak nak minta maaf? Awak tak bersalah.” Kata Aishah perlahan.
“Tak patut Tengku Nora buat awak macam tu.” Ujar Hafiz lagi.
“Biarlah dia. Saya sedar, siapa saya. Tak layak berkawan dengan awak. Awak pun tentu sedar. Awak kan orang paling popular kat sekolah. Manalah boleh berkawan dengan saya. Tengku Nora buat macam tu bersebab. Awak tak payah nak minta maaf. Saya pun tak salahkan dia.” Aishah meluahkan apa yang berada di fikirannya. Hafiz terdiam. Tidak tahu hendak berkata apa-apa lagi. Aishah segera membuka pintu dan selepas mengucapkan terima kasih, dia hendak segera beredar dari situ. Tidak sanggup lagi berlama di dalam kereta itu.
“Awak sudi berkawan dengan saya?” pertanyaan Hafiz membuatkan Aishah kaku dikerusi.
“Awak dah fikir masak-masak? Saya tak mahu menjadi bahan hinaan Tengku Nora dan kawan-kawan awak.” Pedas Aishah berkata. Hafiz tersenyum dan menggeleng. Dihulurkan tangannya ke arah Aishah. Lama Aishah berfikir. Kemudian tangan itu bersambut.
“Senyumlah sikit untuk kawan baru awak ni.” Kata-kata Hafiz disambut dengan senyuman Aishah yang paling manis sehingga menampakkan lesung pipitnya. Hafiz hampir-hampir terpukau dengan senyuman itu. Aishah turun dari kereta Hafiz dan berjalan ke arah pintu pagar. Dia sempat melambai ke arah Hafiz dan kereta tersebut menderum pergi. Aishah masuk ke dalam rumah dengan senyuman melebar. Nina yang mengintai di sebalik jendela keluar dari tempat persembunyian dan menggawang-gawangkan jari telunjuknya dihadapan Aishah. Mereka sama-sama tergelak.
Keesokkannya semasa Aishah berada di sekolah, Hafiz banyak kali terserempak dengannya dan dia ditegur dihadapan kawan-kawan Hafiz. Nampaknya Hafiz tidak segan untuk berkawan dengan dia. Hampir 3 bulan mereka berkawan. Kadangkala Hafiz mengajak Aishah keluar makan di luar kawasan sekolah tetapi dia perlu mendapatkan keizinan daripada Nina dahulu. Kakaknya itu pula sangat sporting. Hafiz selesa berkawan dengan Aishah yang selalu ada sahaja isu yang hendak dibincangkan apabila mereka berdua.



NURDINNI menyinggung Shila. Shila segera berjalan ke arah Hafiz. Dipeluk lengan Hafiz. Hafiz terkejut dengan perbuatan Shila itu. Tidak pernah Shila hendak bermanja dengannya. Selalu hendak bercakap kasar sahaja. Entah apa kena dengannya hari ini. Aishah yang baru sahaja hendak pulang dari sekolah terkejut dengan perbuatan Shila. Shila memegang pipi Hafiz dan mengusap rambut lelaki itu. Mereka bercakap-cakap sambil tergelak. Mesranya! Tidak pernah Hafiz memberitahunya bahawa dia dan Shila sedang berpacaran? Kenapa mesti aku cemburu? Siapa aku dimata Hafiz? Tidak lebih dari seorang kawan. Hafiz hanya ingin menjadi sahabat aku. Selepas mereka bercakap-cakap, Hafiz beredar dari situ. Aishah berjalan pantas ke arah kereta Hafiz. Tetapi kereta Hafiz menderum pergi. Bukankah Hafiz menunggunya? Kenapa…? Shila dan Nurdinni berjalan ke arah Aishah.
“Kau sendiri dah tengokkan. Betapa mesranya Hafiz layan aku. Kau ni sebenarnya tak ada langsung dalam hati dia. Tapi dia terpaksa layan kau sebab kau tak ada kawan lelaki.” Kata-kata Shila bagaikan menghiris ulu hati. Aishah menyabarkan hati. Sabarlah wahai hati, Aishah berkata sendirian.
“Hafiz ikhlas berkawan dengan aku.” Aishah membela Hafiz. Dia memandang Shila.
“Hafiz cakap dengan aku. Hafiz berkawan dengan kau sebab dia bertaruh dengan kawan dia. Kawan Hafiz kata kalau Hafiz dapat buat kau jatuh cinta dengan Hafiz, Hafiz akan menang pertaruhan itu. Nampaknya, Hafiz dah menang. Aku kena ucapkan tahniah pada dia.” Shila masih mahu menyakiti hati Aishah yang sudah sedia terluka. Shila dan Nurdinni berkira-kira hendak meninggalkan Aishah.
“Lagipun, mana ada lelaki yang sudi nak berkawan dengan orang yang gemuk macam kau ni. Hanya orang gila saja yang boleh jatuh cinta pada kau. Kau cermin-cerminlah diri tu sikit. Sedar diri.” Shila menyambung kata-kata lagi. Air mata Aishah bertakung di tubir mata. Shila dan Nurdinni ketawa besar kerana dapat membuatkan Aishah menangis.
“Jom, Dinni. Hafiz ajak aku keluar hari ni. So, aku nak balik tukar baju.” Lantang suara Shila berkata-kata. Air mata Aishah merembes keluar. Sampai hati Hafiz memperlakukan dirinya sebegini. Apa salah dia? Aishah terus menuju ke luar kawasan sekolah dan menahan sebuah teksi. Dia menaiki teksi tersebut dan teksi itu meluncur laju menuju ke arah kawasan taman perumahannya. Air mata seperti tidak mahu berhenti. Dia rasa terhina. Amat terhina.
Semasa makan malam, Aishah ditegur oleh Khairul kerana mata bengkak. Aishah hanya menggeleng dan mengatakan matanya termasuk habuk. Nasib baik Syed Mahfuz tiada di rumah untuk makan malam bersama. Kalau dia nampak Aishah berkeadaan begitu, pastinya dia akan disoal siasat sehingga Aishah memberitahu keadaan sebenar. Nina tidak percaya akan alasan Aishah itu. Baru sahaja Rozita menelefonnya dan mengatakan Aishah dihina oleh Shila dan Nurdinni. Rozita pulang lewat hari itu kerana hendak menyiapkan kerja tetapi semasa dia berjalan menuju ke arah pintu pagar sekolah, dia terdengar kata-kata Shila yang agak kuat itu. Sekolah itu bergema dengan suara Shila. Darah Nina mula mendidih. Selepas makan malam, Aishah terus menuju ke bilik tidur. Dia tidak mahu memikirkan masalah yang melanda. Nina menuju ke tingkat atas. Dia mengetuk pintu bilik adiknya. Tiada jawapan. Kali ini, ketukan semakin kuat. Aishah membukakan pintu kepada kakaknya itu. Dia berpaling dan menuju semula ke arah katil. Kerja rumah harus diselesaikan. Walaupun apa yang terjadi, kerja rumahnya tidak harus dibiarkan begitu sahaja. Nina mengeluh. Kemudian, menggeleng.
“Kenapa Adik?” tanya Nina. Adiknya mendongakkan kepala dan memandang ke arah Nina yang sedang duduk menghadapnya.
“Kenapa apa, Kak?” soalan berbalas soalan.
“Akak tahu kenapa mata Adik bengkak.” Jawapan Nina mengejutkan.
“Apa yang Akak tahu?” tanya Aishah lagi.
“Akak tahu yang Shila dan Dinni sakitkan hati Adik masa kat sekolah tadi.”
“Tak ada apa-apalah, Kak.”
“Ni semua mesti pasal Hafiz kan?” soal Nina. Aishah memandang ke tempat lain. Dia seboleh-bolehnya tidak mahu lagi membicarakan soal ini. Dia sudah bosan memikirkannya.
“Besok Akak jumpa dengan dia orang.” Kata-kata Nina membuatkan adiknya kaget. Apa yang ingin dilakukan oleh kakaknya itu? Nina bangun dan terus sahaja keluar dari bilik itu tanpa berkata apa-apa lagi. Tidak sempat untuk Aishah berkata-kata.



PINTU bilik Aishah diketuk. Dia bangun perlahan-lahan dan menuju ke pintu bilik. Dibuka selak yang merantai pintu bilik tersebut. Terjengul wajah Syed Mahfuz.
“Bangun. Solat Subuh.” Kata Syed Mahfuz. Aishah mengangguk perlahan. Dia menggosok mata. Masih ada sisa mengantuk. Semalam dia tidur lewat. Dia menutup semula pintu dan mencapai tuala yang disangkut di atas penyidai baju sebelah pintu bilik air. Usai bersiap, Aishah turun ke tingkat bawah dan bersarapan bersama keluarganya.
“Ma, Pa….Nina pergi dulu.” Kata Nina sebaik sahaja dia selesai bersarapan. Menyalami ahli keluarganya satu kemestian.
“Ma, Pa…Adik mintak diri.” Aishah juga segera bangun. Setelah bersalaman, dia bangun dan menuju ke pintu. Menyarungkan kasut dan cuba mengejar kakaknya yang sudah jauh meninggalkan dia.
“Kak…..” panggil Aishah. Nina berjalan laju tanpa mempedulikan dia. Aishah cuba berjalan dengan lebih laju.
“Kak…..” laung Aishah kali kedua. Masih tiada respon.
“Kakkkk……” jerit Aishah kali ini lebih kuat. Nina berhenti tetapi tidak berpaling. Aishah berjalan dengan termengah-mengah dan berdiri di sebelah Nina sambil menunduk-nunduk menahan mengah.
“Kak, tolonglah Kak. Jangan buat kecoh kat sekolah.” Kata Aishah dalam nafas yang sedikit semput.
“Ohhh…selama Akak cuba nak protect Adik, sebenarnya Akak memang buat kecoh kat sekolah. Gitu?” marah Nina. Membara dia dengan kata-kata adiknya itu. Aishah sedikit terkejut. Dia tidak menyangka Nina akan berkata begitu. Dia pantas menggeleng.
“Akak jangan salah faham. Kali ini, biarlah Adik selesaikan masalah Adik sendiri. Adik tahu Akak sayangkan Adik. Tapi, takkan selama-lamanya Adik nak biarkan Akak selesaikan masalah untuk Adik. Adik tak nak selalu bergantung pada Akak. Nanti kalau satu hari Akak dah ada keluarga sendiri tapi dalam masa yang sama Adik ada masalah. Takkan Akak nak datang dan tolong Adik selesaikan masalah. Nanti apa pula kata Abang Sof. Dia tentu rasakan Akak lebihkan Adik dari dia. Tak eloklah macam tu.” Terang Aishah panjang lebar. Ada benarnya juga kata-kata dia itu.
“Siapa kata Akak nak kahwin dengan Abang Sof?” Nina berkata sambil menyembunyikan senyumannya daripada Aishah. Adiknya itu tersenyum dan memeluk Nina. Dia mengurut belakang gadis itu.
“Tapi Adik kena janji dengan Akak satu perkara.”
“Apa dia, Kak?” tanya Aishah.
“Kalau Adik ada masalah yang besar sangat sampai Adik tak boleh nak selesaikan sendiri, jangan lupa mintak tolong dengan Akak. Akak janji walau Akak ada kat ceruk mana sekalipun, Akak akan tolong Adik.” Nina meminta adiknya itu untuk berjanji. Gadis itu mengangguk. Mereka sama-sama berjalan menuju ke sekolah.

BERSAMBUNG......

1 tukang komen paling setia:

eija said...

akak ecah nk n3 lg...