BAB 42 HARI Raya tahun ini amat bermakna buat Zhulianna kerana kepulangan Qaseh adalah perkara yang paling dinantikan. Qaseh menolong Zhulianna memasak rendang daging dan rendang ayam. Qaseh juga sudah pandai memasak sekarang. Masak lodeh, soto dan kuah kacang. Katakan apa sahaja. Pasti Qaseh akan membuatnya. Lontong adalah makanan kegemarannya. Soto, makanan kegemaran Fareez. Masih diingat lagi makanan kegemaran suaminya. Kuah kacang bersama nasi impit pula makanan kegemaran Zhulianna. Zhulianna menuju ke dapur. Masakan Qaseh menusuk hidungnya. Pengumuman sudah dibuat dan esok adalah Hari Raya. Qaseh sibuk menyiapkan hidangan untuk di makan pada pagi raya esok. Farah dan Faizal bersama-sama kanak-kanak di kawasan itu bermain bunga api dihadapan rumah mereka. Qaseh baru sahaja menerima panggilan daripada Adib bahawa Maria dimasukkan ke wad bersalin apabila air ketubannya sudah pecah. Qaseh seperti tidak senang duduk di dapur. Dia perlu pergi melawat Maria. Zhulianna memegang bahu Qaseh. Qaseh terkejut dengan kehadiran Zhulianna. Dia memandang wajah Ibunya. “ Qaseh pergilah tengok Maria.” Kata Zhulianna memandang wajah anaknya yang kegelisahan. “ Tapi, Bu…Siapa nak tolong Ibu?” “ Qaseh kan dah siap masak. Nak tolong apa lagi?” “ Masak nasi impit.” “ Itu tak payah risaulah. Dah banyak tahun Ibu buat sendiri. Qaseh pergilah. Ibu tahu. Hati Qaseh tak tenteram. Pergilah tengok Maria.” Zhulianna tersenyum. Qaseh mengangguk. Dia menuju ke bilik dan menyarung tudung. Dia turun semula ke bawah dan mencapai kunci kereta. Dia menuju ke keretanya. “ Farah…Izal, Mama nak pergi tengok Aunty Maria. Duduk dengan nenek tau? Jangan nakal-nakal. Mama pergi sekejap je.” Kata Qaseh kepada kedua anak kembarnya itu. Mereka mengangguk tanda patuh dengan kata-kata Qaseh. Kereta Qaseh menderum keluar dari garaj. Ada sebuah kereta hanya memerhati kereta Qaseh meninggalkan perkarangan rumah Zhulianna. Perlahan-lahan kereta BMW 7 series itu mengikuti kereta Qaseh. Hari-hari kereta itu menunggu dihadapan rumah Zhulianna selama kepulangan Qaseh ke Malaysia. Entah kenapa kereta itu selalu memerhatikan kawasan rumah Zhulianna. Qaseh membelok masuk ke perkarangan hospital, kereta yang mengikuti Qaseh itu hanya berhenti di tempat yang agak terlindung. Orang di dalam kereta itu hanya memerhatikan gerak geri Qaseh yang berjalan masuk ke dalam hospital itu. Qaseh menuju ke arah kaunter pertanyaan. Jururawat yang berada di situ hanya tersenyum kepada Qaseh dan memberikan ucapan selamat malam. Qaseh menjawab dengan lembut. “ Tumpang tanya, boleh saya tahu dimana wad bersalin?” tanya Qaseh kepada jururawat itu yang memakai tag nama Dewi. “ Ermm…Puan jalan terus kemudian Puan belok ke kiri. Lepas tu, Puan jalan terus lagi. Puan akan nampak papan tanda yang tulis kat situ wad bersalin.” Jururawat itu memberikan arah tujuan kepada Qaseh. Selepas mengucapkan terima kasih, Qaseh terus menuju ke wad bersalin dengan mengikut arahan jururawat itu tadi. Qaseh menuju ke kaunter jururawat. Seorang jururawat menyapa Qaseh dengan baik. “ Ada apa yang boleh saya tolong, Puan?” tanya jururawat yang memakai tudung itu. Qaseh tersenyum. “ Boleh saya tahu nombor bilik Puan Nur Maryam Christina Stahlberg Abdullah?” susahnya menyebut nama Maria. Sampai terbelit lidahnya. Maria tidak mahu menukar nama yang lain. Dia lebih senang menggunakan nama Maria. Orang Melayu juga ada menggunakan nama Maria. Tetapi Adib lebih suka nama Maryam. Akhirnya Maria menuruti kehendak suaminya. “ Sebentar, ya.” Jururawat itu meneliti nama di komputer dihadapannya. Kemudian, dia mengangkat muka memandang Qaseh yang berdiri tercegat. “ Dia berada di wad 3A. Bilik Kenchana.” Kata jururawat itu sambil tersenyum. Qaseh menuju ke wad yang dinyatakan oleh jururawat tersebut. Dia menunggu lif dan menuju ke tingkat 3. Apabila Qaseh tiba sahaja di wad 3A itu, dia terpegun. Wad kelas satu? Tidak hairanlah Maria berada di wad kelas satu. Adib mampu untuk memberikan keselesaan kepada isterinya. Sewaktu dia melahirkan Farah dan Faizal dahulu, hanya kelas kedua sahaja yang Qaseh mampu. Itupun dengan pertolongan Ibunya dia dapat tinggal di wad yang lebih selesa. Qaseh tiba dihadapan Bilik Kenchana. Dia mengetuk pintu bilik itu. Qaseh menguak pintu bilik itu. Kesemua yang berada di dalam bilik itu tertumpu kepada Qaseh yang baru sahaja melangkahkan kakinya masuk ke dalam bilik tersebut. Qaseh menuju ke arah Mak Lang. “ Eh! Bila Qaseh balik?” tanya Mak Lang Raiyyah. “ Dah seminggu.” Jawab Qaseh. “ Mak Lang tak tahu pun. Ummi kamu tak beritahu pada Mak Lang.” “ Qaseh yang cakap pada Ummi, jangan beritahu sesiapa.” “ Kenapa?” “ Qaseh tak nak susahkan sesiapa.” Ujar Qaseh “ Maria macam mana, Mak Lang?” tanya Qaseh kepada Raiyyah. “ Entahlah, Qaseh. Belum bersalin lagi. Kesian Mak Lang tengok Adib. Mundar-mandir aje depan teater bersalin tu.” Kata Raiyyah. Risau pula dia melihat anak lelakinya itu. Qaseh memegang bahu Raiyyah. Walaupun Qaseh menantu abang sulungnya, Tan Sri Firdaus, tetapi Raiyyah pernah menganggap Qaseh sebagai menantunya sewaktu Qaseh berpacaran dengan Ashwad. Sudah banyak kali dia bersua muka dengan Qaseh. Dia begitu berkenan dengan perwatakan Qaseh yang lemah lembut. Tetapi percintaan mereka terpaksa diputuskan kerana Ashwad sudah ditunangkan dengan anak sahabat baik suaminya sejak dari kecil lagi. Ashwad pula hanya duduk di sebelah isterinya sambil memeluk bahu isteri kesayangan. Cemburu pula Qaseh melihat kemesraan itu. Bukan kerana dia masih ada perasaan cinta kepada Ashwad tetapi dia sudah lama tidak merasa kemesraan itu. Dia mengalihkan pandangan ke tempat lain apabila dia dapat rasakan pandangan Linda begitu tajam. Bukannya seperti Qaseh hendakkan Ashwad kembali. Dia cuma cemburu melihat kemesraan itu. Tiba-tiba pintu bilik wad itu terkuak. Qaseh sangkakan Adib tetapi sangkaannya itu meleset. Terjengul wajah Fareez. Fareez tersenyum dan menyalami Mak Lang dan Pak Lang serta semua yang berada di situ. Bila Fareez tiba dihadapan Qaseh, dia tidak terkejut. Dia memang agak akan bertemu dengan cintanya di sini. Kerana Fareez mengikuti Qaseh daripada rumahnya tadi sehinggalah ke hospital. Dia memang begitu ingin melihat wajah Qaseh setelah sekian lama. “ Ummi dan Walid tak dapat datang. Dia orang tengah buat persiapan.” Kata Fareez. Hanisham mengangguk. “ Tak apa. Pak Lang faham. Esok nak raya. Mesti sibuk nak buat persiapan.” “ Mula-mula dia orang nak datang. Tapi Fareez yang halang. Ummi pun memasak tak siap lagi.” Jelas Fareez. “ Apa yang dua beranak tu sembangkan?” tanya Raiyyah. “ Tak adalah. Abang awak tak dapat datang. Tengah buat preparation untuk esok.” Kata Hanisham kepada isterinya. “ Tak apalah, Fareez. Fareez datang ni pun dah cukup besar.” Kata Raiyyah. Fareez tersenyum. Dari ekor matanya, dia dapat rasakan Qaseh tidak memandang langsung ke arah dia. Qaseh tidak berjauhan dengan Raiyyah. Dia asyik berkepit dengan Raiyyah. Langsung muka Fareez tidak dipandangnya. Mereka yang berada di situ sedar akan keadaan yang melanda rumahtangga Qaseh dan Fareez. “ Qaseh, Mak Lang dahagalah.” Kata Raiyyah. Sengaja mengumpan Qaseh. Qaseh memandang muka Raiyyah. “ Biar Qaseh pergi beli air.” kata Qaseh seraya bangun dan menuju ke pintu. Dia berpaling semula. “ Ada siapa-siapa nak kirim apa-apa?” tanya Qaseh. “ Pak Lang pun dahaga. Wad dan Lin nak minum jugak ke?” tanya Hanisham. Ashwad dan Linda hanya mengangguk. “ Fareez?” tanya Hanisham kepada anak buahnya itu. Fareez hanya menggeleng. Qaseh tidak tunggu lama. Dia terus sahaja keluar dari bilik yang terasa bahangnya itu walaupun cukup dilengkapi dengan alat penghawa dingin. Qaseh menuju ke kafeteria. Membeli minuman untuk mereka berlima. Lambat-lambat Qaseh berjalan menuju ke bilik itu. Dia tidak sanggup menghadapi Fareez. Wajah Fareez mengingatkan dia kembali kepada luka lama yang telah sembuh walaupun masih ada parut. Qaseh hanya berdiri tercegat di luar pintu bilik wad itu. Biarpun hanya mendengar suara Fareez bercakap-cakap dengan Ashwad dan Hanisham, hatinya tetap menangis. Menangis kerana Fareez seperti sudah tidak ada perasaan terhadap dirinya. Fareez tidak mempedulikan dirinya lagi. Fareez sudah mempunyai permaisuri hidup yang barukah? Kalau itu benar, kenapa Fareez tidak melepaskannya secara baik? Kenapa mesti diseksa jiwa dan raga Qaseh? Qaseh bersandar pada dinding. Air mata berjuraian menuruni pipi. Nasib baik malam itu tidak ramai jururawat yang lalu-lalang untuk memeriksa pesakit. Jadi, tidak ada orang yang menyaksikan air matanya. Qaseh berjalan ke arah kerusi yang disediakan di luar wad. Dia hanya duduk di situ dan menangisi nasib diri. Fareez keluar dari bilik wad tersebut dengan tujuan ingin mengambil angin. Fareez ternampak Qaseh yang sedang duduk dan badan terhingut-hingut menahan tangis. Fareez tidak tahan melihat air mata Qaseh. Dia seperti hendak berlari ke arah Qaseh dan memeluk wanita itu dan berjanji tidak akan membiarkan Qaseh menangis lagi. Qaseh mengesat air mata. Dia begitu asyik memandang keadaan sekeliling yang agak senyap. Tiba-tiba, matanya bertentang dengan mata Fareez yang berdiri tercegat menghadap Qaseh. Keadaan bertambah sunyi. Seperti memberikan peluang kepada mereka untuk membuai perasaan masing-masing. Ditundukkan mukanya. Dia memang kalah kalau bertentang mata dengan Fareez. Diangkat semula muka. Berharap dia hanya membayangkan Fareez. Bukan Fareez yang sebenar berada di situ. Tetapi dia silap. Memang Fareez yang ada disitu. Dia tidak bermimpi. Dosakah aku bila mencintaimu Bila jalinan hati kini Menderaku Tapi haruskah diriku pasrah Diriku mengalah Memang cinta tiada bermata Bisa ciptakan sedih juga bahagia Terngiang-ngiang sepotong lirik lagu nyanyian artis kegemarannya di telinga Qaseh. Air mata Qaseh turun sekali lagi. Kali ini seperti tidak mahu berhenti pula. Bait kata-kata itu sudah cukup menggambarkan hati yang lara. Qaseh tidak boleh hidup tanpa Fareez. Masih tidak sedarkah lagi lelaki itu? Fareez hanya merenung Qaseh tidak berkedip. Hatinya kembali membara. Entah kenapa dia berasa begitu gembira berjumpa semula dengan Qaseh. Terasa seperti hendak dipeluk dan dilap air mata yang turun berjuraian itu. Tetapi Fareez sedar, situasi sekarang berbeza dengan situasi dahulu. Qaseh segera mengelap air mata apabila dia ternampak Ashwad berlari ke arah mereka berdua. “ Abang Fareez, Qaseh…Kak Maria dah selamat bersalin.” Kata Ashwad dengan suara riang. Fareez hanya tersenyum hambar. Qaseh segera berlari ke arah wad yang menempatkan Maria. Qaseh menguak pintu wad tersebut. Wajah Maria yang masih lemah ditatapnya. Adib mendukung anak lelakinya itu. Adib mengazankan anaknya itu. Maria tersenyum lemah. Ini adalah anak Maria yang ketiga. Pertama, lelaki. Kedua perempuan dan yang terakhir sekali lelaki. Tiba-tiba, Qaseh teringat pada kedua orang anaknya yang berada di rumah. Anak-anaknya itu pun Adib yang tolong azan dan qamat. Qaseh memandang Fareez melalui ekor matanya. Fareez yang berdiri di sebelah Adib hanya memandang bayi yang masih merah itu dengan penuh kasih sayang. Adakah Fareez boleh menjadi seorang ayah yang penyayang terhadap anaknya? Mengapa mesti diragu samada Fareez boleh menjadi seorang ayah yang penyayang atau tidak? Bukankah Fareez telah menjaga Amirul dan bersusah payah mendapatkan hak penjagaan anaknya itu? Kata hati Qaseh berlawan sesama sendiri. Adib menyerahkan anaknya itu kepada Fareez untuk didukung oleh Fareez. Adib tahu perasaan Fareez yang teringin hendak memegang anaknya sendiri. Zuriat yang dilahirkan oleh Qaseh. Semasa Amirul bayi pun, dia tidak pernah memegang anaknya itu. Sebaik sahaja Shilea bersalin, Amirul diserahkan kepada Fitri Azharina untuk dijaga oleh kakaknya itu. Fareez tidak pernah tahu akan perasaan memegang bayi. Aku kasihankan kau, sahabat. Kau tidak pernah merasai memegang zuriat kau yang masih merah dengan tangan kau sendiri. Aku berikan perasaan ini kepada kau melalui anak aku. Aku harap ada sedikit kasih sayang yang kau tumpahkan kepada anak aku, hati kecil Adib berkata-kata. Fareez tersenyum memandang bayi kecil itu. Sesekali Adib memandang Qaseh yang begitu asyik merenung Fareez yang memegang bayi itu. Adib memandang semula kepada isterinya yang masih lemah. Sudah banyak tenaga yang Maria keluarkan untuk melahirkan zuriatnya. Perasaan sayang semakin hari semakin bercambah dalam diri Adib terhadap Maria. Adib menggenggam erat jari jemari Maria. Qaseh yang hanya melihat perbuatan itu dari jauh agak cemburu dengan kebahagiaan yang dialami oleh Maria. Kenapa dia tidak dapat merasai kebahagiaan itu? Adakah kebahagiaan untuk dirinya sudah tiada? Fareez meminta diri untuk pulang kerana sudah lama dia berada di situ. Lagipun, esok Hari Raya. Adib bersalaman dengan sepupunya itu. Qaseh juga ingin meminta diri. Dia berjalan ke arah Maria yang terbaring. Dipeluk sahabat itu. Pelukan dileraikan apabila Maria berkata sesuatu. “ Just tell Fareez about his children.” Kata Maria. Masih memujuk Qaseh untuk memberitahu perkara sebenar. Qaseh mengeluh. Adib masuk semula ke dalam wad selepas menghantar Fareez keluar. “ He already know about his children.” “ Ya. But he doesn’t know that he had twins.” Kata Maria lagi. “ She’s right. Adib nampak Fareez benar-benar sayangkan Q. Kenapa Q tak nak beritahu pasal Farah dan Faizal? The twin has the right to know about their father. You can’t stop them from seeing their father.” Adib menghenyakkan punggungnya di atas katil. Maria mengangguk. Qaseh melepaskan keluhan besar. “ Just ask for forgiveness. Tomorrow is Hari Raya, right? Hari untuk memberi dan meminta kemaafan.” Kata Maria sambil membetulkan kedudukannya. Qaseh memandang Maria. Dia tidak sangka Maria akan berkata begitu. “ Aku akan fikirkan perkara ni.” “ Q, ini bukan masanya untuk kau berfikir. You’ve already wasted your time for 6 years. And this is definitely…not the time.” Maria berkata. Qaseh membetulkan tudung yang dipakainya. Benar kata Maria itu. Sudah 6 tahun dia menghabiskan masanya untuk berfikir. Kini, adalah masa untuk berhadapan dengan hakikat yang sebenar. Dia tidak boleh elak atau melarikan diri lagi. SUDAH 2 minggu Hari Raya berlalu. Qaseh masih lagi belum bersedia hendak berjumpa dengan Fareez. Hatinya tidak keruan untuk bertentang mata dengan mata yang bisa mencairkan hati wanitanya. Dia rasa bersalah kerana merahsiakan mengenai Farah dan Faizal. Tetapi bersediakah Fareez menerima berita bahawa dia mempunyai dua orang anak yang sudah membesar? Sememang Fareez tahu dia sudah mengandung. Tetapi bersediakah Fareez menjaga anak-anaknya itu? Itulah persoalan yang selalu bermain difikiran Qaseh. Sudah puas Zhulianna, Aishah dan Maria menasihatkannya. Mereka hanya menyerahkan keputusan di tangan Qaseh. Zhulianna keluar dari dapur dan segera menjenguk keluar apabila dia terdengar orang memberi salam. Dicari-cari wajah Qaseh. Qaseh sedang duduk termenung di ruang tamu. Patutlah dia tidak menyedari kehadiran tetamu. Sesekali terdengar keluhan yang keluar dari mulut Qaseh. Zhulianna menggeleng. Dibuka pintu pagar automatik dan mempersilakan tetamu-tetamunya masuk. “ Qaseh…Ummi datang.” Kata Zhulianna pada Qaseh apabila dilihatnya Qaseh masih berangan jauh. Qaseh tersedar dari lamunan dan segera menuju ke tingkat atas. Dia mencapai tudung yang disangkut di penyangkut baju dan disarungkan ke kepala. Qaseh turun semula ke tingkat bawah dan menyapa keluarga mentuanya itu. Dia bersalaman dengan semua yang ada disitu. Tetapi tidak disangka Fareez juga turut berada di situ. Dia memang tidak dapat mengelak lagi. “ Makin cantik pula Qaseh pakai tudung sekarang.” Puji Fitri Marlis. “ Terima kasih, Kak.” Matanya sesekali memandang Fareez. Lelaki itu hanya membuat tidak tahu. Qaseh pasrah. Dia redha. Dua orang anak kecil berlari ke arah Qaseh dan memeluk kaki Mamanya itu. Fareez mengerutkan dahi. Tidak faham. “ Farah…Faizal…Pergi salam semua.” Arah Qaseh. Bertambah lagi kedutan di dahi Fareez apabila anak-anak kecil itu patuh akan kata-kata Qaseh. Qaseh juga turut mengerutkan dahi apabila Fareez memberikan reaksi sebegitu. Tidak ingatkah dia bahawa aku pernah memberitahunya mengenai kandunganku? Mungkin dia terlupa, pujuk hati Qaseh. “ Siapa budak dua orang ni, Zhu?” tanya Puan Sri Marlisa. “ Cucu-cucu kita, Kak Lisa.” “ Ni cucu-cucu kita, Zhu?” tanya Puan Sri Marlisa. Zhulianna mengangguk. Wanita itu mengerutkan dahi. “ Anak siapa?” “ Anak Qaseh dan Fareez.” Kata-kata Zhulianna itu membuatkan Puan Sri Marlisa tercengang. Kesemua yang ada di situ terpinga-pinga. “ Bila masa Qaseh mengandung?” tanya Puan Sri Marlisa kepada Zhulianna. Zhulianna tersenyum. “ Hanya Qaseh yang boleh jawab.” Kata Zhulianna dan memandang ke arah anak tunggalnya. Qaseh berdehem kecil. “ Sebelum Qaseh berangkat ke Luxembourg.” Jawab Qaseh ringkas. “ Tapi Qaseh tak beritahu Ummi pun. Masa Ummi tanya dulu, Qaseh kata belum ada rezeki. Apa yang sedang berlaku ni? Ummi tak faham.” Puan Sri Marlisa berkata. Qaseh melepaskan keluhan perlahan. “ Sebenarnya Ummi, masa tu Qaseh dah mengandung. 4 bulan. Tapi Ummi tak nampak sangat sebab perut Qaseh kecil. Lagipun, kalau Qaseh beritahu pada Ummi, tentu Ummi takkan bagi Qaseh pergi sambung belajar. Maafkan Qaseh, Ummi. Bukan niat Qaseh untuk menipu Ummi.” Jelas Qaseh satu persatu. Puan Sri Marlisa memegang pipi Qaseh. “ Terima kasih, Qaseh. Akhirnya tercapai jugak impian Ummi untuk mendapat cucu melalui Qaseh. Tetapi tak sangka sampai dua.” Puan Sri Marlisa berseloroh. Mereka hanya ketawa. Fareez sedikitpun tidak rasa hendak ketawa. Sebaliknya dia lebih senang mendiamkan diri. Puan Sri Marlisa mencium pipi mereka berdua bertubi-tubi. Qaseh tersenyum. Dia rasa bersalah kerana memisahkan kasih sayang nenek dan cucu-cucunya. Walaupun Puan Sri Marlisa tidak pernah berjumpa dengan mereka berdua tetapi dia dapat rasakan ibu mentuanya itu akan menyayangi anak-anaknya itu seperti mana Zhulianna menyayangi Farah dan Faizal. Seorang demi seorang Farah dan Faizal menyalami mereka. Pipi-pipi kecil itu menjadi sasaran ciuman mereka semua. Farah dan Faizal berdiri tercegat dihadapan Fareez. Fareez kini semakin faham dengan situasi yang sedang berlaku dihadapannya. Ini adalah zuriatnya. Zuriat bersama Qaseh. Fareez memandang Qaseh. Ingin meminta kepastian. Qaseh mengangguk perlahan. Fareez segera memeluk dua orang anak kecil itu. Air mata Zhulianna dan Puan Sri Marlisa tumpah. Fareez memeluk mereka berdua seperti tidak mahu dilepaskan. Sewaktu Fareez meminta diri untuk pulang, kedua anak kecil itu merengek hendak mengikut Fareez pulang. Akhirnya Qaseh mengalah dan membenarkan mereka bermalam di rumah Puan Sri Marlisa. ZHULIANNA memandang Qaseh dan tersenyum. Qaseh pelik dengan ibunya itu. Mereka masuk semula ke dalam rumah. “ Kenapa Ibu pandang Qaseh macam tu sekali?” “ Qaseh dah berjaya berdepan dengan hakikat.” “ Ibu, sebenarnya…” ayat Qaseh dipintas oleh Zhulianna. “ Ibu tahu. Qaseh masih sayang dan cintakan Fareez. Tapi Qaseh takut. Takut Fareez sekarang bukan macam Fareez dulu.” Kata-kata Zhulianna membuatkan Qaseh tercengang. Ibunya itu seperti boleh membaca fikiran orang lain. Qaseh mematahkan jari jemarinya. “ Mana Ibu tahu ni?” tanya Qaseh. “ Qaseh, Ibu lebih lama makan garam. Ibu tahu perasaan Qaseh. Ibu juga macam tu. Walaupun Papa dah tak ada, Ibu tetap sayangkan Papa. Ibu mintak cerai bukan atas kehendak Ibu. Bukan saja-saja. Tapi bersebab. Ibu dah tak tahan. Sampai sekarang, perasaan tu masih ada. Sebab Ibu dan Papa yang semaikannya. Macam Qaseh, Qaseh yang berusaha menyemai cinta Fareez terhadap Qaseh. Anak Ibu ni yang terlebih dahulu mencintai Fareez. Perasaan tu tak boleh nak dihalang. Walaupun dah 6 tahun, tapi perasaan tu masih ada, kan?” Zhulianna berkata. Qaseh tersenyum kecil dan mengangguk. Dia memegang erat jari jemari ibunya. Dia tidak mahu Zhulianna mengingati kisah lampau. Kisah itu biarlah ia menjadi kenangan dan pengajaran hidup. Biarkan ia berlalu pergi. Biar awan kelam yang meliputi hidupnya suatu masa dahulu berlalu meninggalkannya. Biarkan sepi berlalu. Biarkan cinta dulu lenyap dibawa ombak ganas. Biar kisah dulu menjadi penutupnya. Biar cinta baru bersemi. Biar kisah kini menjadi pembuka jalan cerita hidup yang baru. Biarkan cinta datang lagi. BERSAMBUNG..... |
Tuesday, December 9, 2008
Dari KL ke Luxembourg 42
Yang merepek merapu meraban Aishah Hamzah at 12/09/2008 03:45:00 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 tukang komen paling setia:
akak sbug lg...
Post a Comment