BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, November 25, 2008

Dari KL ke Luxembourg 30

BAB 30

MEMANG Shilea menunaikan janjinya untuk menuntut Amirul. Surat daripada pejabat guaman sudah sampai ke tangan Fareez. Fareez ada juga menelefon pejabat guaman tersebut dan mereka mengesahkan bahawa surat itu adalah benar. Shilea juga sudah memfailkan kes terhadap Fareez kerana Fareez menentang kehendaknya untuk mengambil semula anak kandungnya. Fareez benar-benar buntu. Kepala sudah tidak dapat berfungsi dengan betul. Projek syarikat diantara usahasama FAF Architecture Sdn Bhd dengan Putri Mewah Architecture Holding. Projek terbesar yang belum pernah Fareez uruskan. Tan Sri Firdaus menyerahkan projek itu kepada Fareez. Dia ingin melihat potensi Fareez melakukan kerja-kerja tersebut dengan lancar. Mungkin akan berlaku satu atau dua masalah kecil. Inilah kali pertama Fareez menguruskannya. Tan Sri Firdaus berharap Fareez menjalankan projek itu dengan sebaik mungkin. Putri Mewah adalah diantara syarikat arkitek yang terbesar di Malaysia dan terkenal di rantau asing. Kalau hendak dibandingkan syarikat mereka dengan Putri Mewah, tidak banyak bezanya. Cuma, Putri Mewah mempunyai cawangan lebih daripada 30 buah di seluruh Malaysia dan juga antarabangsa.
Fareez menggaru kepalanya yang tidak gatal. Masalah lama belum selesai. Sekarang, datang pula masalah baru. Surat tersebut berulang kali dibaca. Hujung bulan ini dia terpaksa berjumpa Shilea di mahkamah. Perkara yang ingin dielakkan buat selama-lamanya, terpaksa ditempuhi juga. Dia harus berjumpa dengan Rashdan, kawan baiknya semasa di universiti dahulu yang juga merupakan seorang peguam. Dia mula mendail nombor sahabat lamanya itu. Ada nada deringan.
“ Hello?” satu suara menjawab.
“ Dan…Aku ni, Fareez.”
“ Hah! Apahal kau telefon aku ni? Kau kalau tak ada ribut yang melanda, jangan haraplah aku nak dapat panggilan daripada kau.” Sindir Rashdan. Fareez terasa dengan sindiran tersebut. Dia hanya mendiamkan diri.
“ Hei, takkan sekarang ni dah jadi semakin sensitif.” Rashdan menyindir lagi. Bukan Rashdan hendak memujuk Fareez tetapi sindiran demi sindiran yang diterima oleh Fareez. Lelaki itu tidak terkata apa-apa. Fareez tahu dia bersalah kerana sudah lama tidak menghubungi sahabat baiknya yang sentiasa berada di sisi Fareez sewaktu Fareez benar-benar memerlukan seorang teman untuk meluahkan isi hatinya selain Zikri.
“ Aku mintak maaflah, Dan. Sebab menganggu kau. Tak apalah. Lain kali je aku call kau.” Suara Fareez seperti orang merajuk. Rashdan terdiam. Dia tahu dia bersalah kerana buat begitu kepada Fareez.
“ Alah…Aku cakap sikit, kau dah nak merajuk. Aku gurau je lah. Apahal kau call aku?” Rashdan mula serius. Cukup-cukuplah dia mempermainkan Fareez. Fareez berdehem perlahan.
“ Boleh aku jumpa kau?” tanya Fareez pula.
“ Bila?” tanya Rashdan kembali.
“ Hari ni. Kalau kau tak sibuklah.” Fareez menunggu jawapan Rashdan dengan sabar. Tidak lama kemudian, Rashdan memberikan jawapan.
“ Hari ni tak boleh. Aku baru je terima satu kes child sexual harrasment. Aku kena uruskan. Esok tengah hari aku free.” Rashdan memberikan jawapan. Fareez mengeluh. Perkara seperti ini tidak boleh bertangguh lagi. Tetapi, dia faham Rashdan harus mengutamakan kerjanya dahulu.
“ Esok pun esok lah.” Fareez menyatakan persetujuan.
“ Ok. Pukul 12.30 kat Restoran Padang Kota. Tempat biasalah. Kita pekena nasi kandar.” Rashdan menetapkan tempat perjumpaan mereka. Fareez bersetuju dengan cadangan Rashdan. Sudah lama dia tidak makan nasi kandar. Mereka sama-sama matikan talian. Fareez menyandarkan badan ke kerusi empuk.







QASEH pulang lewat lagi ke rumah. Kerja bertimbun. Banyak produk syarikat yang belum diiklankan lagi. Ada sesetengah pelanggan sudah menggesa dia mempercepatkan proses mengkomersialkan iklan produk syarikat mereka. Badannya keletihan. Sudah tidak ada tenaga lagi untuk meneruskan kerja-kerja yang sudah banyak kali tertangguh. Dia balik ke rumah pun bukan hendak merehatkan badan yang sudah kepenatan tetapi melakukan lagi kerja-kerja yang dibawa balik. Pintu rumah dikuak perlahan-lahan. Tidak mahu mengejutkan seisi rumah. Terjengket-jengket dia berjalan. Semasa melintasi ruang tamu, Qaseh lihat peti televisyen masih lagi terpasang. Dia menuju ke arah sofa yang bertentangan dengan televisyen tersebut. Fareez tidur dengan nyenyak. Diatas dadanya ada satu surat. Qaseh mengerutkan dahi. Dia segera mematikan suis peti televisyen yang sedang terpasang itu. Qaseh melabuhkan punggung di sebelah Fareez. Perlahan-lahan dia mengambil surat tersebut dan dibacanya sekali lalu. Seperti tidak percaya dengan isi kandungan surat tersebut, dia membaca sekali lagi. Fareez bergerak sedikit. Mata dibuka perlahan-lahan. Qaseh sedang membaca surat penjagaan Amirul.
“ Lewat Qaseh balik hari ni.” Tegur Fareez. Qaseh terkejut dengan sergahan tersebut. Dia mengurut dada.
“ Maafkan Qaseh, Bang. Banyak kerja hari ni.” Ujar Qaseh. Matanya tidak lepas dari menatap surat tersebut.
“ Surat apa ni, Bang?”
“ Apa yang Qaseh faham dengan surat ni?” tanya Fareez kembali. Soalan dibalas dengan soalan.
“ Hak penjagaan Mirul yang di tuntut oleh…” ayat Qaseh tergantung. Dia meneliti semula nama yang tertera di atas surat tersebut.
“ Shilea.” sambung Qaseh. Fareez mengangguk lemah. Qaseh meraup rambutnya ke belakang. Tidak dipercaya apa yang sedang dibaca itu. Qaseh sudah menganggap Amirul seperti anak kandungnya sendiri. Kini, ibu Amirul hendak menuntut anak kecil itu kembali. Apa akan terjadi kepada dirinya jika dia kehilangan Amirul? Dia terlalu sayangkan anak kecil itu. Atau lebih tepat lagi, apa akan terjadi kepada Fareez? Selama ini, dia yang menjaga anak itu dari bayi sehinggalah kini.
Fareez meraup mukanya. Dia tidak tahu hendak buat apa lagi. Fikirannya buntu. Terngiang kata-kata Shilea di telinga sewaktu Shilea berjumpa dengannya tidak lama dahulu. Qaseh melipat kembali surat tersebut dan dimasukkan semula ke dalam sampul surat yang ada di atas meja kopi.
“ Apa Abang nak buat sekarang?” tanya Qaseh, mengambil berat.
“ Kita fight. Itu yang Shilea nak, bukan?” Fareez berkata penuh semangat. Qaseh tersenyum. Belum pernah dia melihat Fareez begitu bersemangat. Tetapi yang Qaseh paling suka ialah Fareez sudah mula menggunakan perkataan ‘kita’.
“ Tapi, kita kena cari peguam.” Qaseh berkata.
“ Itu Qaseh jangan risau. Abang kenal seorang peguam. Dia kawan Abang masa universiti dulu. He’s the best lawyer. His firm…well recognised. Masa chambering dulu pun, dia kena puji dengan lecturer. Cara dia bercakap memang lantang dan apa yang dia katakan tu, ada fakta. Dia bukanlah excellent student. Tapi dia dapat anugerah dekan just because of his chambering.” Fareez berkata-kata. Qaseh sedikit lega mendengar kata Fareez. Qaseh mahu Amirul tetap bersama mereka selamanya.
Walaupun Qaseh tidak pernah kenal dengan Shilea tetapi dari cara ibu mentua serta kakak-kakak iparnya menggambarkan Shilea, dia bukanlah seorang ibu yang baik. Kalau tidak, masakan dia boleh meninggalkan Fareez terkontang-kanting menjaga anak mereka seorang diri.
“ Qaseh dah makan?” tanya Fareez.
“ Sepatutnya Qaseh yang kena tanya Abang. Ini terbalik pulak.”
“ Abang tahu Qaseh banyak kerja. Tapi Qaseh dah makan belum?” tanya Fareez. Dia begitu mengambil berat tentang keadaan isterinya.
“ Ermm…” Qaseh tidak tahu bagaimana hendak menjawab soalan Fareez. Dia belum menjamah sebutir nasi pun semenjak pagi lagi.
“ Kenapa Qaseh tak makan? Qaseh kan ada gastrik.”
“ Tak apalah, Bang. Qaseh naik dulu. Qaseh kena siapkan kerja ni lagi.” Qaseh cuba mengelak.
“ Abang pergi belikan makanan untuk Qaseh, ya?”
“ Terima kasih, Bang.” Ucap Qaseh. Fareez mengangguk. Qaseh terus menuju ke tingkat atas. Dia membuka pintu bilik. Mereka masih tidur berasingan. Fareez kata, hendak membiasakan diri dahulu sebelum Qaseh berpindah masuk ke biliknya. Qaseh tidak kisah semua itu. Asalkan Fareez menerima dirinya semula ke dalam hidup Fareez.






KEESOKAN paginya, Fareez bersiap-siap hendak ke tempat kerja. Qaseh sedang menyiapkan sarapan pagi. Amirul baru sahaja menuruni anak tangga dan menuju ke arah Qaseh. Wajah yang pucat itu merisaukan Qaseh. Fareez menuju ke arah mereka berdua. Amirul berdiri tidak stabil. Dia memegang kerusi ruang makan dengan kuat. Fareez dan Qaseh masih tidak perasan akan kelakuan Amirul. Tiba-tiba sahaja Amirul pengsan. Qaseh terjerit kecil. Fareez terkejut dan memandang anaknya yang sedang terbaring kaku. Fareez dan Qaseh melutut di sebelah Amirul.
“ Mirul…Mirul…Bangun, sayang.” Panggil Fareez. Tiada respon dari anak kecil itu. Fareez menggoncangkan badan anaknya. Masih tiada respon. Keadaan semakin cemas. Fareez mendukung Amirul dan dibawanya ke kereta. Qaseh mencapai kunci kereta Fareez dan segera membuka pintu garaj. Dia menekan alat penggera dan membukakan pintu belakang.
“ Abang, Qaseh ikut sekali, ya?” tanya Qaseh. Fareez mengangguk. Qaseh segera masuk dan duduk di sebelah pemandu. Amirul diletakkan di kerusi belakang. Fareez mula menghidupkan enjin dan keretanya dihalakan ke arah jalanraya yang berdekatan dengan hospital. Sesampai sahaja mereka di lobi hospital, Fareez menurunkan Amirul di tempat ambulan menurunkan pesakit. Qaseh membuntuti Fareez. Fareez meletakkan Amirul di atas kerusi roda. Ada seorang doktor yang kebetulan baru sahaja selesai tugasnya, menyapa Fareez.
“ Eh! Fareez…Apa kau buat kat sini?” tanya doktor tersebut.
“ Ja, tolong aku. Anak aku tiba-tiba je pengsan. Aku tak tahu sebab apa.” Fareez kelihatan cemas. Doktor yang bernama Anyza itu melihat keadaan Amirul yang lemah. Qaseh hanya memandang doktor yang sedang memeriksa keadaan Amirul. Dr.Anyza memandang Fareez dan tersenyum.
“ Anak kau tak apa-apa. Cuma keadaan dia lemah sikit. Tak apalah. Aku bawak dia masuk dalam dan check apa-apa yang patut. Mana tahu ada penyakit apa-apa ke. Tapi harap-harap tak adalah, kan?” Fareez sedikit lega dengan kata-kata Dr. Anyza. Qaseh tersenyum memandang doktor itu. Dr.Anyza tersenyum kembali.
“ Boleh aku tahu siapa ni?” tanya Dr.Anyza.
“ Wife aku. Kenalkan Qaseh. Qaseh, ni Dr.Anyza.” mereka sama-sama bersalaman. Cantiknya isteri dia! Kata hati Dr.Anyza.
“ Qaseh ikut Dr.Anyza, ya? Abang nak pergi parking kereta.” Arah Fareez. Qaseh mengangguk. Fareez terus sahaja menuju ke keretanya. Dr.Anyza menolak kerusi roda Amirul menuju ke wad Pediatrik iaitu wad yang dikhaskan untuk kanak-kanak. Qaseh hanya membuntuti doktor wanita itu.
“ Qaseh duduk dulu kat sini. Saya bawa Mirul masuk ke dalam.” Qaseh melabuhkan punggung di atas kerusi yang ditunjukkan oleh Dr.Anyza. Tidak lama kemudian, Fareez muncul di wad tersebut.
“ Macam mana dengan keadaan, Mirul?” tanya Fareez. Qaseh menggeleng. Dia hanya mengeluh.
“ Dr.Anyza tak keluar lagi.” Fareez menyandarkan badan ke kerusi apabila mendengar kata-kata Qaseh. Seorang jururawat menuju ke arah mereka berdua.
“ Boleh saya tahu siapa ibubapa Amirul Farhan disini?” tanya jururawat yang memakai tag nama, Ita. Kesemua ibubapa pesakit yang ada di situ memandang jururawat tersebut. Fareez dan Qaseh segera bangun dan menerpa ke arah jururawat itu.
“ Kami berdua. Kenapa, nurse? Is there something wrong with my son?” tanya Fareez tidak sabar. Jururawat itu tersenyum. Qaseh memegang lengan Fareez dengan kuat.
“ Dr.Anyza nak jumpa Encik dan Puan. Mari ikut saya ke biliknya.” jururawat itu berkata. Qaseh dan Fareez sama-sama membuntuti jururawat itu. Sampai sahaja dihadapan bilik yang tertulis nama Dr.Anyza, jururawat tersebut mengetuk dan membuka pintu bilik tersebut.
“ Dr., mereka dah ada di luar.” Kata jururawat itu.
“ Jemput dia orang masuk. Ita, tolong berikan hemoglobin. Katil 12, ya?” arah Dr.Anyza. Jururawat tersebut hanya menganggukkan kepalanya. Jururawat itu keluar.
“ Encik dan Puan silakan masuk.” Jururawat itu memegang tombol pintu dan membenarkan mereka berdua masuk. Terjengul wajah Qaseh. Kemudian diikuti oleh Fareez. Dr.Anyza tersenyum memandang suami isteri itu.
“ Silakan duduk.” Dr.Anyza mempersilakan mereka duduk. Qaseh menarik kerusi dan melabuhkan punggung. Fareez duduk bersebelahan dengan Qaseh. Mata mereka tertuju ke arah Dr.Anyza. Dr.Anyza membuka fail dihadapannya. Dahi Dr.Anyza berkerut-kerut. Ditutup semula fail yang berwarna kuning cair itu.
“ Aku harap kau orang berdua tabah menerima berita ni.” Dr.Anyza membuka cermin mata. Memandang dengan penuh simpati ke arah dua orang dihadapannya kini.
“ Kenapa dengan anak aku, Ja?” tanya Fareez. Semakin cemas dengan kelakuan Dr.Anyza yang hanya mendiamkan diri.
“ Ni adalah keputusan melalui pemeriksaan yang dilakukan. Aku dapati…kedua buah pinggang anak kau dah tak berfungsi.” Kata-kata Dr.Anyza itu melemahkan seluruh urat kaki Fareez. Qaseh menekup mulutnya. Air mata menuruni membasahi pipi. Kenapa nasib Amirul jadi begini? Air mata Fareez bertakung di tubir mata. Fareez memandang Dr.Anyza dengan pandangan yang kabur.
“ Kau tipu aku, Ja. Kau tipu aku, kan?” Fareez tidak mahu mempercayai kebenaran. Dr.Anyza menggeleng.
“ Aku tak tipu kau, Fareez. Ini buktinya.” Fail dihadapan Dr.Anyza ditolak ke depan Fareez. Fareez membacanya.
“ Kau tipu aku.” Kata Fareez lagi seolah-olah tidak mahu berhadapan dengan hakikat sebenar.
“ Buat apa aku nak tipu kau? Aku tak boleh main-main pasal penyakit orang. Keputusan ni dikeluarkan oleh mesin sendiri. Mesin yang menganalisa penyakit anak kau ni. Aku doktor. Aku tak boleh tipu. Kalau itu adalah benar, aku akan katakan perkara yang benar.” Hujah Dr. Anyza. Tidak suka dianggap sebagai penipu. Dia bukan begitu. Sebagai seorang doktor yang berkaliber, dia harus memberitahu perkara sebenar.
Fareez tahu itu keputusan yang benar. Tiada silap. Fareez menggeleng. Qaseh mengambil fail tersebut dan dibacanya. Amirul baru sahaja mencapai umur 12 tahun. Tahun ini adalah tahun yang penting buatnya. Tahun penentu ke sekolah mana yang sesuai. Fareez mengetuk dahinya berkali-kali.
“ Abang, Dr. Anyza takkan tipu kita.” Ujar Qaseh. Menenangkan suami dan doktor yang merawat anak mereka daripada saling bertingkah.
“ Tak ada jalan lain ke, Dr.? Untuk selamatkan Mirul.” Tanya Qaseh. Dr.Anyza tersenyum hambar.
“ Ada, pembedahan. Kita perlu cari organ donor yang sesuai dengan darah Mirul.” Jelas Dr.Anyza. Qaseh dapat rasakan Amirul akan pulih seperti sediakala. Tetapi dimanakah mereka hendak mencari penderma buah pinggang yang sesuai untuk Amirul?
“ Tapi, Ja…Dia akan ada satu buah pinggang jelah?”
“ Setiap manusia boleh hidup dengan satu buah pinggang saja. Tapi kita harap adalah organ donor akan mendermakan organnya secepat mungkin. Kita tak boleh bertangguh. Takut nanti melarat.” Kata Dr.Anyza. Fareez gelisah di duduknya. Di mana hendak mencari penderma organ dalam masa yang singkat?
“ Cuba kau periksa darah aku. Manalah tahu, buah pinggang aku sesuai dengan Mirul.” Kata-kata Fareez mengukir senyuman di bibir Dr.Anyza. Ada seorang jururawat yang membuka pintu bilik Dr.Anyza. Jururawat tersebut menyerahkan satu fail kepada Dr.Anyza.
“ Dina, tolong ambilkan jarum. Saya nak ambil darah Encik ni.” Arah Dr.Anyza. Jururawat yang bernama Dina itu segera keluar dari bilik Dr.Anyza dan sebentar kemudian dia datang semula dengan membawa barang-barang keperluan untuk mengambil darah. Dr.Anyza menyuruh Fareez membaringkan diri di atas katil yang disediakan khas di dalam biliknya. Dia mencuci tangan dengan sabun untuk menghilangkan bakteria dari tangannya. Kalau ada bakteria, nanti lain pula penyakit yang akan timbul. Selepas mengambil darah, Dr.Anyza menyerahkan tiub yang berisi darah itu kepada penolong jururawatnya, Dina.
“ Tolong bawak ni ke lab, ya. Saya perlu tahu result hari ni jugak.” Dr.Anyza mencuci tangan dan segera duduk di kerusinya semula. Jururawat itu segera menuju ke makmal untuk memeriksa darah Fareez. Sambil menunggu keputusan darah yang baru dihantar untuk diperiksa itu, mereka bertiga menunggu dengan kegelisahan.
40 minit kemudian, jururawat itu datang semula bersama keputusan di tangan. Diserahkan slip keputusan kepada Dr.Anyza. Dr.Anyza meneliti slip tersebut. Dikerutkan dahi. Kemudian memandang Fareez.
“ Aku mintak maaf, Fareez. Darah kau tak match dengan darah anak kau.” Fareez menyandarkan diri ke kerusi yang diduduknya.
“ Dr., mungkin darah saya sama dengan darah Mirul.” Kata Qaseh tiba-tiba. Dr.Anyza tersenyum.
“ Qaseh nak cuba?”
“ Boleh jugak.”
“ NO! No…No…No…” kata Fareez sambil menggelengkan kepala. Qaseh dan Dr.Anyza sama-sama memandang Fareez.
“ Kenapa, Bang?”
“ Abang tak benarkan.”
“ Tapi, Bang….Mungkin darah Qaseh sama dengan darah Mirul.” Rayu Qaseh. Masih cuba melembutkan hati suaminya.
“ Abang kata tak boleh, tak bolehlah.” Fareez tetap dengan katanya. Membantah cadangan Qaseh.
“ Kenapa kau tak benarkan? Kau nak selamatkan anak kau, kan? Mana tahu, Qaseh boleh selamatkan Mirul.” Kata Dr.Anyza. Turut cuba memujuk Fareez. Fareez mengeluh.
“ Boleh aku cakap dengan kau kejap? Kat luar.” Fareez segera bangun dan keluar dari bilik itu. Dr.Anyza membuntuti Fareez.
“ Kenapa dengan kau ni, Fareez?”
“ Kau nak tahu sebab apa aku tak bagi dia ambil darah? Sebab aku tak nak menyusahkan dia. Dah banyak kali aku sakitkan hati dia. Aku tak sanggup kehilangan dia. This is my final decision. Aku takkan benarkan dia ambil darah.” Jelas Fareez. Dr.Anyza tersenyum dan mengangguk. Mereka masuk semula ke dalam bilik itu. Qaseh pelik. Apa yang dicakapkan oleh mereka berdua sehinggakan dia tidak boleh mendengar perbualan mereka berdua? Tapi dia pura-pura tidak mahu ambil tahu.
“ Macam mana, Dr.? Boleh ambil darah saya?”
“ Maafkan saya, Qaseh. Saya tak boleh ambil darah awak. Fareez tak bagi saya ambil darah awak. Tapi, awak jangan risau. Saya pasti dapat cari organ donor untuk Mirul.” Janji Dr. Anyza. Qaseh tersenyum tetapi hatinya sedikit pun tidak lega dengan jawapan Dr.Anyza. Mesti ada sesuatu yang dikatakan oleh Fareez kepada Dr.Anyza sehingga Dr.Anyza mengubah fikirannya.
Dr.Anyza mengiringi mereka berdua sehingga ke lobi. Qaseh bersalaman dengan Dr.Anyza. Dr.Anyza mengenggam erat jari jemari Qaseh. Fareez turut bersalaman dengan rakan seuniversitinya dahulu.
“ Aku nak pergi jumpa Dan.” Ujar Fareez. Dr.Anyza mengangguk.
“ Aku tahu. Dia beritahu aku pagi tadi.” Kata Dr.Anyza. Rashdan dan Dr.Anyza merupakan pasangan kekasih yang mendapat title ‘couple of the year’. Mereka sangat mesra dan begitu rapat. Kemana sahaja pasti berdua. Walaupun mereka bukan mengambil kursus yang sama dan masa yang diluangkan bersama sangat terhad tetapi itu tidak dijadikan alasan untuk merenggangkan hubungan yang sudah terbina hampir 5 tahun. Kini, mereka telah pun menjadi pasangan suami isteri dan mempunyai 3 orang cahaya mata dari hasil perkahwinan mereka.
Fareez sempat melambai ke arah Dr.Anyza. Mereka berdua berjalan ke tempat letak kereta. Fareez segera menghidupkan enjin keretanya dan menderum pergi meninggalkan perkarangan hospital.
“ Qaseh nak Abang hantar ke tempat kerja?”
“ Tak apalah, Bang. Qaseh dah telefon Fern kata Qaseh ambil cuti hari ni. Qaseh balik nak ambil baju Mirul. Lepas tu, datang balik ke hospital. Kesian kat Mirul, Bang. Tak biasa tinggal di hospital.” Kata Qaseh. Fareez tersenyum dan menghantar Qaseh pulang ke rumah. Dia pula harus segera berjumpa dengan Rashdan.

BERSAMBUNG.....

Dari KL ke Luxembourg 29

BAB 29

ZHULIANNA ke pasar mencari lauk untuk masak makan malam di rumah. Zurain, Iskandar dan anak-anak mereka akan datang ke rumahnya pada malam ini untuk makan malam bersama. Itupun di atas jemputan Zhulianna. Dia sedang leka membeli barang-barang ‘basah’.
Mak Rani leka sedang mencari ikan kembung yang segar. Mata Pak Satar meliar ke seluruh pasar. Tiba-tiba matanya tertancap pada satu wajah yang ayu. Wajah yang dahulu selalu menangis. Wajah yang selalu murung. Pak Satar menyiku Mak Rani. Mak Rani melatah. Tergelak tauke ikan itu melihat gelagat Mak Rani. Pak Satar juga turut tergelak kecil. Mak Rani mencebikkan bibir. Geram dengan perbuatan suaminya itu.
“ Apa kena dengan Abang ni?” tanya Mak Rani. Pak Satar menghabiskan sisa tawanya sebelum berkata sesuatu.
“ Rani…tu bukan…Puan Zhu, ke?” tuding Pak Satar ke arah satu wanita yang sedang membelek sayur-sayuran. Mak Rani memandang ke arah yang ditunjukkan oleh Pak Satar. Mak Rani terkejut. Tidak disangka-sangka akan berjumpa semula dengan Zhulianna. Wanita teristimewa dalam hidup bekas majikannya pada satu masa dahulu. Tuan Nizam sanggup tidak berkahwin lain kerana dia yakin dia akan menemui Zhulianna semula. Puas Rafidah dan Datuk memujuk Tuan Nizam.
“ Jom, Rani.” Ajak Pak Satar. Mak Rani mencelup jarinya ke dalam air yang disediakan. Dia mengelap di baju. Mereka sama-sama menuju ke arah Zhulianna. Wanita itu sedang membayar harga sayur-sayuran yang dibeli itu. Selepas mendapatkan baki semula, Zhulianna mengambil beg plastik yang berisi sayur-sayuran. Bahunya disentuh lembut. Zhulianna terkejut dan mengalihkan pandangan ke arah orang yang menyentuh bahunya. Mak Rani tersenyum memandang bekas puan besarnya.
“ Mak Rani…Pak Satar….” Tersenyum lebar Zhulianna. Mereka berdua sudah lama tidak melihat senyuman itu semenjak Zhulianna meninggalkan rumah banglo itu. Senyuman itu sudah kembali.
“ Apa khabar, Puan Zhu?” tanya Pak Satar. Sudah dianggap Zhulianna seperti anaknya sendiri memandangkan mereka hanya mempunyai anak lelaki tunggal yang sudah lama meninggal akibat kemalangan jalan raya.
“ Baik. Pak Satar sihat?” tanya Zhulianna.
“ Sihat, Puan Zhu.”
“ Mak Rani macam mana? Sihat? Sakit lutut lagi ke?” begitu sekali Zhulianna mengambil berat akan kesihatan orang tua dihadapannya itu. Mak Rani tersenyum kecil.
“ Biasalah, Puan. Orang tua macam saya ni. Adalah longgar kat mana-mana tu.” Seloroh Mak Rani. Zhulianna tergelak.
“ Mari kita pergi minum. Tak seronoklah sembang kat sini. Bising.” Kata Zhulianna. Dia terus sahaja memimpin tangan Mak Rani. Segan pula Mak Rani dengan bekas majikannya itu. Senyuman sentiasa menghiasi di bibir Zhulianna. Pak Satar dan Mak Rani lega melihat perubahan Zhulianna.
Mereka duduk di restoran yang yang berdekatan dengan pasar tersebut. Zhulianna memesan minuman dan makanan untuk mereka berdua. Puas ditolak oleh Mak Rani dan Pak Satar. Akhirnya mereka mengalah dengan kedegilan Zhulianna yang hendak membelanja mereka makan sarapan. Tiba-tiba air mata Mak Rani bertakung. Zhulianna memegang tangan Mak Rani. Pantas Mak Rani menyeka air matanya yang hampir menitis. Air mata tua itu senang saja mengalir.
“ Kenapa, Mak Rani?” tanya Zhulianna.
“ Puan Zhu tak patut melalui kehidupan macam ni.” Kata Mak Rani perlahan. Zhulianna menggeleng dan bertambah erat genggamannya.
“ Mak Rani jangan cakap macam tu. Bukan salah sesiapa. Dah tak ada jodoh antara saya dan Zam. Saya redha.” Zhulianna tersenyum. Mak Rani memandang Pak Satar. Mengisyaratkan kepada Pak Satar supaya menceritakan perkara sebenar kepada Zhulianna.
“ Sebenarnya, Puan Zhu…ada sesuatu perkara yang patut Puan Zhu tahu.” Kata Pak Satar. Dia menghirup sedikit minuman yang berasap itu.
“ Patut tahu apa, Pak Satar?” tanya Zhulianna. Dia mengerutkan dahi sedikit. Tidak faham dengan kata-kata Pak Satar.
“ Sebenarnya, Tuan Zam terkena buatan orang.” Ujar Pak Satar. Mata Zhulianna terbeliak. Satu persatu Pak Satar menceritakan perkara sebenar kepada Zhulianna. Beristighfar sahaja Zhulianna di dalam hati. Tidak menyangka perkara seperti ini akan berlaku. Nora, setiausaha yang paling baik pernah Zhulianna bertemu. Cakapnya sopan santun. Tetapi begini rupanya perangai dia selama ini.
“ Saya tak sangka sampai macam ni sekali Nora lakukan pada kami. Apa jadi pada Nora sekarang?” tanya Zhulianna.
“ Dengar kata, perbuatan sihir dia tu terkena balik pada dia. Sekarang ni, orang kampung kata dia dah jadi gila. Ibu bapa dia terpaksa masukkan dia ke dalam wad sakit jiwa. Sebab dia mendatangkan bahaya. Nora pernah cuba nak mencederakan salah seorang orang kampung. Yang Pak Satar dengar, Nora lari satu kampung bawak parang. Kejar siapa, dia orang pun tak tahu.” Jelas Pak Satar. Inikah akibatnya kerana menganiayai orang lain?
“ Sudahlah, Puan Zhu. Tak payah cerita pasal Nora. Dia tu kisah silam. Mak Rani tanya sikit boleh?” kata Mak Rani.
“ Boleh, Mak Rani. Tanyalah.” Kata Zhulianna lembut.
“ Selepas Puan Zhu keluar dari rumah tu, Puan Zhu pergi mana?”
“ Tak kemana-mana, Mak Rani. Saya ada kat K.L ni.”
“ Tapi kalau Puan Zhu ada kat K.L ni, kenapa Tuan Zam cari Puan Zhu tak jumpa?” tanya Pak Satar pula.
“ Selepas saya dapat tahu Zam kahwin lain, saya pergi cari ketenangan.”
“ Ke mana?” tanya Mak Rani tidak sabar.
“ Hish!! Awak ni. Sabar-sabarlah sikit.” Kata Pak Satar. Mak Rani menjeling manja. Zhulianna tersenyum.
“ Luxembourg. Saya balik ke negara yang banyak simpan kenangan kami berdua semasa belajar. Saya tinggal dengan kawan saya.” Zhulianna mula bercerita tentang kisah hidupnya selepas dia bercerai dengan Tuan Nizam. Pak Satar mengangguk perlahan.
“ Siapa nama kawan, Puan Zhu?” tanya Mak Rani.
“ Nama dia Rosemarie. Dia banyak simpan rahsia saya. Saya duduk dengan dia selama 22 tahun. Dia pun baru je kematian suami. Jadi, dia tak kisah saya tinggal dengan dia. Dia kata kalau saya ada, bolehlah teman dia besarkan 2 orang anaknya. Seorang perempuan dan seorang lelaki. Hampir 3 bulan saya tak bekerja. Saya rasa segan sangat dengan dia. Dia terlalu baik dengan saya.” Jelas Zhulianna. Kedua orang tua itu masih mendengar kata-kata Zhulianna.
“ Jadi, Puan Zhu pergi cari kerjalah?” tanya Pak Satar. Dia pula yang tidak sabar mendengar cerita seterusnya dari mulut Zhulianna.
“ Hish! Orang tua ni. Dia pulak yang tak sabar.” Kata Mak Rani.
“ Kerja. Bapak saya, dia buka cawangan syarikatnya kat sana. Jadi, saya kerja sebagai ketua syarikat di Luxembourg. Semua urusan kat sana, saya yang uruskan.” Sambung Zhulianna.
“ Puan Zhu tak kahwin lain?” tanya Mak Rani. Dia khuatir soalannya akan menjadi sensitif kepada Zhulianna. Tetapi wanita itu tetap tersenyum.
“ Tak, Mak Rani. Saya anggap perkahwinan saya dan Zam, adalah satu pengajaran. Saya berhati-hati untuk menjalinkan hubungan selepas bercerai dengan Zam. Pintu hati saya tak pernah terbuka untuk mana-mana lelaki.” Zhulianna menerangkan dengan jelas.
“ Puan Zhu masih sayangkan Tuan Zam?”
“ Memang saya masih sayangkan dia. Malahan, sehingga ke hari ini. Bukan tak ada yang masuk meminang selepas saya habis tempoh eddah. Saya tolak. Saya rasa saya akan khianati cinta Zam jika saya berkahwin lain.” Kata Zhulianna. Begitu mendalamnya cinta Zhulianna yang pernah diberikan kepada Tuan Nizam satu ketika dahulu.
“ Tetapi kenapa Puan Zhu tak kembali kepada Tuan Zam?”
“ Saya selalu terfikir untuk kembali pada Zam. Tapi, ada sebahagian dari diri saya mengatakan yang saya dan Zam hanya layak bercinta sahaja. Kami belum bersedia ke arah rumah tangga.” Menitis air mata Mak Rani mendengar kata-kata Zhulianna. Begitu mulia hati wanita itu.
“ Maafkan Mak Rani kalau pertanyaan Mak Rani ni mengganggu ketenangan hidup Puan Zhu.” Mak Rani meminta maaf sekiranya dia ada menyinggung perasaan Zhulianna.
“ Tak apa, Mak Rani. Saya memang dah lama menunggu untuk menjawab soalan-soalan macam ni.” Ujar Zhulianna.
“ Puan Zhu dah berjumpa dengan Qaseh?” Pak Satar bertanya.
“ Dah, Pak Satar. Makin cantik pulak dia sekarang.”
“ Macam Puan Zhu. Saling tak tumpah.” Kata Mak Rani. Meneliti wajah wanita dihadapannya.
“ Yasmin tak mengandung ke selepas berkahwin dengan Zam?”
“ Tak. Dia tak boleh mengandung sebab menghidap kanser.”
“ Kesian Min. Sepanjang hidupnya, dia tentu bahagia. Zam pandai membuatkan orang lain rasa bahagia apabila berada disamping dia.” Air mata Zhulianna bergenang. Dia selalu teringatkan Tuan Nizam. Zhulianna mengelap air mata dengan pantas. Mak Rani dan Pak Satar hanya melihat wanita dihadapannya itu berhadapan dengan kedukaan yang sangat dalam.
“ Jemputlah makan, Mak Rani…Pak Satar.” Ujar Zhulianna.
“ Baiklah, Puan.” Kata Mak Rani dan Pak Satar serentak.
Selepas mereka menjamu sarapan pagi, mereka bertiga berpisah dan mengikut haluan masing-masing. Zhulianna terus sahaja pulang ke rumah. Dia menyimpan ikan dan ayam yang dibelinya di pasar ke dalam peti sejuk beku. Kemudian, dia merehatkan badan yang penat. Fikirannya melayang. Mengingati semula pertemuan mereka bertiga. Zhulianna meraup mukanya. Dia memejamkan mata. Air mata turun berjuraian.
Zhulianna terkejut jaga apabila ada orang yang menyentuh tangannya. Dia membuka mata dan memandang orang dihadapannya. Tersenyum sahaja wanita di hadapan Zhulianna itu.
“ Akak nangis?” tanya Zurain. Zhulianna segera mengesat air matanya. Membalas kembali senyuman adiknya itu.
“ Bila kamu sampai?” Zhulianna cuba mengalih topik.
“ Baru sekejap tadi. Banyak kali Zura panggil Akak. Tapi Akak tak menyahut. Zura masuk je lah.” Zurain meletakkan bungkusan yang dibawanya di atas meja makan.
“ Kamu nak minum? Akak buatkan air.” Zhulianna sudah bangun dan menuju ke dapur. Zurain lekas membuntuti kakaknya.
“ Tak payahlah, Kak. Macam Zura tak biasa dengan rumah Akak ni. Kalau Zura nak minum, Zura buat sendiri.” Dibuka plastik putih yang dibawanya tadi. Zhulianna menjenguk ke dalam beg plastik itu.
“ Ni serunding. Zura bawak. Favourite Akak, kan?” Zurain mengambil pinggan dan sudu. Kemudian dicedok serunding itu menggunakan sudu yang kering. Tidak mahu serunding tersebut basi. Dihulurkan pinggan tersebut dan dihulurkan juga sebuku roti. Zurain tahu, Zhulianna suka makan dengan roti. Begitu berselera Zhulianna menjamu serunding tersebut.
“ Eh! Sedapnya serunding ni. Mana Zura beli?”
“ Zura tak belilah, Kak. Mak mentua Zura yang buat. Dia tahu Zura nak datang jenguk Akak. Dia suruh Zura bawak sikit.” Zurain tersenyum melihat kakaknya yang menambah serunding itu berkali-kali. Zurain turut merasai keenakan serunding yang dibuat oleh ibu mentuanya.
“ Jadilah kamu makan malam di sini, ya?” tanya Zhulianna.
“ Yalah, Kak.”
“ Is tak datang?” tanya Zhulianna lagi.
“ Kejap lagi, Kak. Dengan anak-anak.” Kata Zurain pula. Zhulianna mengangguk perlahan dan tersenyum. Zurain bahagia dengan pilihan ibubapa mereka. Zhulianna berkahwin dengan pilihan hatinya sendiri. Tetapi tidak sebahagia Zurain. Kadangkala dia cemburu melihat kemesraan yang ditunjukkan oleh Iskandar dan Zurain. Mungkin sudah tertulis takdir untuk dirinya sebegini. Dia tidak menyalahkan takdir. Dan dia juga tidak pernah menyesal berkongsi hidup dengan Tuan Nizam walaupun seketika cuma.


SELEPAS mereka berdua menjamu selera roti cecah serunding, Zhulianna berjalan ke arah sofa dan menyandarkan badan. Zurain membancuh air kopi untuk mereka berdua. Zurain menatang dua buah gelas yang berisi kopi yang masih berwap lagi. Diserahkan secawan kepada Zhulianna dan secawan lagi dihirup perlahan.
“ Sedap Zura buat kopi.” Puji Zhulianna. Diletak cawannya ke atas meja kopi yang diletakkan di tengah-tengah ruang. Diantara sofa panjang dan sofa pendek. Sengaja diletakkan meja kopi di situ. Bagi memudahkan tetamu-tetamunya. Zurain tersenyum.
“ Akak…Apa yang Akak fikirkan? Masa Zura sampai tadi, Akak tengah menangis. Kenapa, Kak? Akak ada masalah? Kalau Akak ada masalah, ceritalah dengan Zura. Mungkin Zura boleh tolong Akak.” Pujuk Zurain sambil memandang dengan penuh simpati. Kesian dengan kakaknya itu. Menjadi janda di usia yang muda. Menjadi bahan cemuhan orang sekeliling. Terutama adik-beradik ibunya. Masih Zurain ingat lagi kata-kata mereka. Tidak akan dilupakan kata-kata itu selamanya.
“ Si Zhu tu perempuan curang. Tulah sebabnya Zam tinggalkan dia. Entah-entah si Qaseh tu anak luar nikah.” Kata-kata Mak Teh Lela tajam menusuk masuk ke dalam telinga Zurain. Geram Zurain apabila ada orang menyebarkan kata-kata fitnah mengenai kakak kesayangannya itu.
“ Zhu tu sebenarnya bukan perempuan baik, Teh. Aku nampak dengan mata kepala aku sendiri, dia siap berpegang tangan lagi dengan jantan lain. Mesra sangat aku nampak.” Mak Long Esah menyahut kata-kata Mak Teh Lela. Mak Ngah Asiha dan Mak Su Diah hanya mengangguk. Zurain menggengam penumbuk. Mahu sahaja dicakar muka wanita-wanita kepoh itu. Tetapi ibunya menahan daripada kemarahan Zurain terlepas.
“ Mama, Zura tak suka dia orang mengutuk Kak Zhu. Kak Zhu tak salah.” Zurain memegang bahu ibunya.
“ Mama tahu, Zura.”
“ Habis tu, Mama nak dia orang tu kutuk Kak Zhu?”
“ Mama pun tak suka. Tapi Zura kena ingat. Dia orang tu mak cik-mak cik Zura.” Mak Lang Nani berkata. Dia tidak mahu kemarahan anaknya itu semakin membara. Zurain pantang dicabar.
“ Zura tak ada mak cik macam dia orang tu.” Kata Zurain. Bukan maksudnya hendak menjadi kurang ajar. Mak Lang Nani hanya menggeleng. Dia sudah tidak tahu apa yang hendak dilakukannya lagi. Air mata sudah merembes keluar.
“ Kau orang semua jangan jadi macam Kak Zhu tu. Bercerai-berai. Aku tak nak anak-pinak aku macam tu. Jangan lahirkan anak haram. Aku tak nak keturunan aku dianggap kotor. Paham tak?” pesan Mak Long Esah pada anak-anaknya. Mereka seperti acuh tidak acuh sahaja mendengar kata-kata ibu mereka.
“ Zura tu tak tahu pulak macam mana. Kalau kahwin esok, entah tahan entah tidak. Perangainya ikut siapa pun aku tak tahu. Anak beranak si Nani tu, bukannya baik-baik sangat. Kamu semua tengoklah si Musa. Kerja tak besar. Tapi teringin nak kahwin dengan Nani. Aku sebenarnya kesian dengan Nani tu. Aku suruh Mak kahwinkan Nani dengan Inspektor Khalid, Nani tak nak. Siap merayu-rayu lagi dengan Mak. Apa yang tak ada kat Inspektor Khalid tu? Gaji besar. Ada kereta. Ada rumah. Hii! Aku cakap betullah. Memang Nani rugi sangat lepaskan pemuda yang baik macam Inspektor Khalid. Kalau nak dibandingkan Musa dengan Inspektor Khalid, hmm…macam langit dengan bumi.” Kata-kata Mak Long Esah semakin lantang. Panas telinga Zurain mendengar setiap kata-kata yang keluar dari mulut mak ciknya itu. Terus sahaja Zurain meluru ke arah mereka dan berdiri sambil mencekak pinggang dihadapan mak cik-mak ciknya yang sedang leka bersembang. Tidak sempat Mak Lang Nani memegang tangan Zura. Mereka semua terkejut dengan kehadiran Zurain. Memandang Zurain dengan satu pandangan yang menjelekkan.
“ Mak Long cakap baik-baik sikit, ya. Mak Long ingat anak-anak Mak Long ni semuanya bagus ke? Mak Long tu yang kena hati-hati. Dahlah anak-anak Mak Long semuanya perempuan. Kalau Mak Long nak tahu, Yati pernah terlanjur dengan boyfriend dia. Pernah mengandung dan pernah gugurkan kandungan sebanyak 3 kali. Dia baru beritahu saya semalam yang dia mengandung lagi. Kali ni, tak boleh gugurkan sebab akan mendatangkan risiko. Si Lina pulak hisap rokok. Minum arak, pergi disko. Tentang Fira pulak, saya tak tahu apa yang jadi. Dia tu belajar kat universiti nun jauh di sana. Sebulan sekali je dia balik ke rumah. Itupun selepas Mak Long yang paksa dia balik. Apa yang dia buat belakang Mak Long, Mak Long sendiri pun tak tahu, kan?” kata Zurain. Dia sudah tidak boleh menerima setiap kutukan mereka. Kesemuanya dihamburkan ke muka orang tua dihadapannya itu. Terdiam Mak Long Esah mendengar kata-kata Zurain. Tercengang Mak Ngah Asiha, Mak Teh Lela dan Mak Su Diah apabila mendengar kata-kata lantang Zurain. Yati, Lina dan Fira mula gelabah. Ibu mereka sudah tahu perkara sebenar.
“ Mak Long ingat, saya tak tahu yang Dalila dah banyak kali kena rogol dengan Pak Long. Dan, Mak Long jangan ingat saya tak tahu yang Pak Long tu kaki perempuan. Perangai binatang! Walaupun bapak saya tak kerja besar mana pun tapi bapak saya adalah seorang yang berbudi pekerti. Tahu hormat orang tua. Tak pernah pukul isteri sendiri. Pak Long pernah pukul Mak Long, kan? Sampai mulut berdarah. Mak Long jangan ingat saya muda tapi saya tak tahu apa-apa. Saya tahu bapak saya kerjanya tak besar. Tetapi sekurang-kurangnya dia mencari pekerjaan yang halal untuk menyara isteri dan anak-anak. Pak Long tak kerja. Asyik ambil duit Mak Long. Kalau tak dapat duit daripada Mak Long, dia pukul. Kemudian, Pak Long ugut lagi. Kalau masih tak dapat, Dalila jadi mangsa. Barang kemas Mak Long, semuanya dah habis digadai. Kemana habisnya wang-wang itu kalau tak ke meja judi dan arak.” Memang Zurain tidak dapat menahan dirinya lagi. Sudahlah dikutuk Zhulianna sahaja. Tetapi mengapa mesti hendak mengaitkan ahli keluarganya yang lain? Yati, Lina dan Fira terpaksa mengaku apabila dipaksa oleh Mak Long. Mengamuk besar orang tua itu. Dia selalu memuji melambung-lambung anak-anaknya. Tetapi ini balasan mereka kepadanya.
“ Saya banyak lagi rahsia. Tentang keluarga Mak Ngah, Mak Teh dan Mak Su. Kalau tak nak saya bongkarkan, jangan buruk-burukkan lagi keluarga saya.” Amaran daripada Zurain. Bukan niatnya hendak menjadi kurang ajar. Tetapi perangai manusia-manusia dihadapannya harus diajar.
Musa yang baru sahaja balik dari kerja, terus diserbu oleh isterinya. Terkejut Musa dengan Nani. Wajah Nani basah kuyup. Ini mesti kes kena kutuk dengan adik-beradiknya lagi. Telinganya sudah naik berkulat mendengar cemuhan adik beradik Nani itu.
“ Abang, cubalah Abang tengok anak Abang tu.” Kata Nani. Dia menarik suaminya untuk melihat kejadian yang sedang berlaku di ruang tamu. Mak Long Esah memukul anak-anaknya sambil terjerit-jerit dan menangis teresak-esak.
“ Apa yang sedang berlaku ni?” tanya Musa. Zurain menahan amarah.
“ Kak Long marahkan anak-anak dia.” Ujar Mak Lang Nani.
“ Kak Long marahkan anak-anak? Sesuatu yang baru.” Ada nada perli dalam percakapan Musa.
“ Kalau tak kerana Zura ceritakan hal yang tak sepatutnya, Kak Long takkan marah anak-anak dia.” Jelas Nani. Musa tergelak kecil.
“ Kak Long awak memang patut di ajar macam tu. Supaya dia tahu kalau lain kali dia nak bercakap, biarlah berlapik sikit.” Musa terus sahaja beredar ke kamar tidur. Dia perlu merehatkan diri melepaskan penat setelah seharian bekerja. Dia tidak mahu diganggu oleh perkara-perkara yang tidak sepatutnya menyemak di fikiran.
Puas hati Zurain. Tidak terniat dihati hendak membuka pekung keluarga Mak Long tetapi keadaan memaksa. Dia tidak sanggup lagi keluarganya diburuk-burukkan. Mereka tidak harus memijak maruah keluarganya.
“ Zura, kenapa kamu malukan Mak Long?” tanya Mak Lang Nani setelah kemarahan Zurain reda sedikit.
“ Mama…Zura tahu Mama tak pernah ajar Zura jadi kurang ajar dengan orang tua. Tapi Mama, kata-kata Mak Long dah mengaibkan Kak Zhu. Kak Zhu tak bersalah, Mama. Kak Zhu tak mintak jadi macam ni. Kenapa Mak Long nak ungkitkan kisah Mama dan Bapak? Kan kisah tu dah berlalu. Bukan jodoh Mama dengan inspektor tu. Kenapa mesti diungkitkan kisah lama? Zura bukan budak kecil lagi. Yang boleh menerima setiap kata-kata hinaan mereka. Zura dah besar. Umur dah 20 lebih. Tak mungkin Zura berdiam diri. Bapak pun dah jadi ketua di tempat kerjanya sekarang. Gaji dah cukup besar. Apa, itu semua tak cukup lagikah untuk membuka mata mereka semua?” bertubi-tubi penjelasan yang keluar dari mulut Zurain. Mak Nani mengesat air mata. Betul juga kata-kata Zurain.







ZURAIN tersedar dari lamunan. Termenung panjang sahaja Zhulianna semenjak kebelakangan ini setelah berjumpa semula dengan anak perempuan tunggalnya. Setelah bercerai dengan Tuan Nizam, Zhulianna tidak pernah berkahwin semula. Hatinya sudah tertutup untuk sebuah perkahwinan. Tertutup untuk menerima kehadiran seorang lelaki. Zurain mengenggam jari-jemari kakaknya. Zhulianna memandang muka Zurain dan mula menceritakan satu persatu. Tentang terjadi pertemuan diantara Zhulianna dan Qaseh sehinggalah kepada Pak Satar dan Mak Rani. Mengenai Tuan Nizam terkena buatan orang dan perkahwinan kali keduanya. Zurain seperti tidak terkejut dengan kata-kata kakaknya itu. Zhulianna kehairanan.
“ Kenapa Zura tak terkejut dengan cerita Akak ni?” tanya Zhulianna.
“ Zura dah tahu perkara sebenar. Abang Zam cerita sendiri kepada kami. Memang Zura nak cerita kat Akak tapi Abang Zam tak bagi. Dia tak nak Akak rasa menyesal kerana mintak cerai dulu.” Jelas Zurain. Air mata Zhulianna merembes keluar lagi. Kali ini lebih laju. Rupanya selama ini hanya dia seorang sahaja yang tidak tahu perkara sebenar.
“ Dan, pasal kahwin kali kedua tu pun Zura tahu. Tapi, Zura tak nak beritahu Akak. Takut Akak sedih.” Jelas Zurain. Zhulianna tersenyum manis. Dia tahu Zurain begitu sayangkan dia sehingga Zurain tidak sanggup membiarkan sesiapa pun menyakiti hatinya.
“ Dahlah, Kak. Perkara dah berlalu. Usah diingatkan lagi. Abang Zam pun dah tak ada. Kita tutup sajalah kisah buku ini. Kita buka lembaran baru dengan kepulangan anak Akak nanti.” Pujuk Zurain. Zhulianna segera mengesat air matanya.
Hampir satu hari Zurain duduk bersama kakaknya. Sehingga terlupa untuk menyediakan makan malam untuk suaminya yang akan pulang dari kerja sebentar lagi. Mereka berjanji hendak makan malam di rumah Zhulianna. Kelam kabut mereka menyiapkan makan malam.







ZHULIANNA mengemas rumah serba sedikit. Semenjak tiada orang gaji yang selalu datang ke rumah untuk mengemas rumah, kesemua kerja dia harus lakukan sendirian. Selepas siap mengemas, dia memasak pula. Tiba-tiba, loceng rumah berdering. Dia tidak menjangkakan tetamu yang akan berkunjung ke rumahnya. Zhulianna membuka pintu pagar dan menjenguk dari dalam. Siapakah tetamunya itu? Terkejut dia dengan kehadiran tetamu yang tidak disangka-sangkakan itu. Segera dia membuka pintu rumah. Tersenyum dia pada Mak Rani dan Pak Satar. Sanggup mereka datang melawatnya.
“ Saya tak sangka Mak Rani dan Pak Satar nak datang. Tapi, Mak Rani langkah kanan hari ni. Saya baru saja siap masak Laksa Kedah.” Zhulianna menjemput mereka masuk. Mak Rani masuk ke dalam rumah kecuali Pak Satar. Katanya, hendak mengambil barang di kereta.
“ Rajinnya, Puan Zhu. Kalau Mak Rani dengan Pak Satar, masak nasi je.” Kata Mak Rani. Terpegun sebentar dia dengan hiasan rumah yang ala-ala inggeris itu. Moden tapi antik. Sudah banyak perhiasan yang ditukar oleh Zhulianna. Tetapi keadaan rumah itu masih tetap sama. Sama seperti dahulu. Sama seperti sebelum Zhulianna meninggalkan rumah itu. Pak Satar baru sahaja melangkah masuk ke dalam rumah. Tetapi dia turut membawa seorang tetamu bersamanya. Zhulianna yang berada di dapur leka memasukkan kuah laksa ke dalam mangkuk. Mak Rani menolong. Puas dihalang oleh Zhulianna tetapi Mak Rani berkeras juga untuk menolong.
“ Mak Rani tanya sikit boleh ke, Puan?”
“ Boleh, Mak Rani.”
“ Kenapa Puan beli balik rumah ni?”
“ Rumah ni banyak kenangan saya dan Zam. Banyak kenangan manis yang ingin saya simpan dan kenang buat selamanya. Terlalu banyak memori kami bersama. Tetapi yang tidak boleh dilupakan ialah kenangan saya bersama Qaseh.” Jelas Zhulianna. Mak Rani mengangguk tanda faham.
Selepas siap menghidangkan Laksa Kedah di atas meja, Zhulianna ke ruang tamu. Kakinya kaku. Tidak jadi meneruskan langkah. Terkejut dengan kehadiran insan yang cukup dikenalinya itu. Orang itu tersenyum ke arah Zhulianna. Orang itu berdiri memandang Zhulianna yang masih lagi berdiri kaku. Mak Rani menyentuh bahu Zhulianna. Terus sahaja Zhulianna meluru ke arah orang itu.
“ Apa khabar, Ayah?” Zhulianna masih menghormati Datuk walaupun Zhulianna bukan lagi menjadi sebahagian dari keluarga Datuk. Dia menyalami tangan bapa mentuanya itu. Datuk hampir menitiskan air mata. Mak Rani sudah mengesat air mata yang menitis.
“ Alhamdulillah. Sihat. Zhu?” tanya Datuk kembali.
“ Zhu sihat. Macam mana Ayah nampak Zhu, macam nilah keadaan Zhu.” Ujar Zhulianna. Datuk tersenyum dalam kepayahan. Begitu banyak derita yang ditanggung oleh Zhulianna. Terpaksa bercerai dengan suami tersayang dan berpisah dengan anak yang baru dilahirkan.
“ Jom lah kita ke meja makan. Zhu dah siapkan makanan kegemaran Ayah, Laksa Kedah.” Pelawa Zhulianna. Mereka berempat menuju ke meja makan. Mereka menjamu selera dan sambil itu mereka menceritakan kisah dahulu-dahulu.

BERSAMBUNG.....

Dari KL ke Luxembourg 28

BAB 28

TUAN Nizam menyandarkan kepala di kerusi empuk miliknya. Kepala terasa berat dengan kerja-kerja yang bertimbun di syarikat. Tiba-tiba seorang perempuan datang dan menghempas sebuah fail dihadapannya. Tuan Nizam terkejut dan terus terjaga. Mencelikkan mata dan memandang perempuan yang tercegat itu. Dikerutkan dahi sedikit. Tuan Nizam menadang pula fail tebal dihadapannya. Dibuka dan diselak perlahan-lahan.
“ Apa semua ni?” tanya Tuan Nizam tidak mengerti.
“ Zhu nak mintak cerai.” Kata perempuan itu dan duduk bertentangan dengan Tuan Nizam. Tuan Nizam memandang isterinya itu yang anggun bergaya. Dahulu, dia tidak seperti ini. Tidak pandai bergaya. Pakaiannya hanya kain batik dan baju kurung kedah. Tiada secalit mekap di wajah yang semulajadi cantik itu. Kini, berseluar dan berbaju sendat. Mekap semakin hari semakin tebal. Entah dari siapa dia belajar semua ini, Tuan Nizam pun tidak tahu.
“ Tapi kenapa? Awak tak bahagia dengan saya?”
“ Memang Zhu tak bahagia dengan Abang.”
“ Apa yang awak nak sebenarnya? Tak cukup lagi dengan rumah banglo hadiah dari Ayah dan kereta Mercedes yang saya hadiahkan kepada awak? Apalagi yang tak cukup?” Tuan Nizam mula meninggikan suara. Matanya mencerlang memandang ke arah isterinya.
“ Zhu kahwin dengan Abang bukan sebab harta kekayaan Abang. Bukan sebab harta Ayah. Tapi sebab Zhu sayangkan Abang. Zhu cintakan Abang. Perangai Abang dah berubah. Masa kita bercinta dulu, Abang luangkan masa untuk Zhu. Sanggup tinggalkan kawan-kawan untuk meluangkan masa dengan Zhu. Lepas kita kahwin, Abang dah jarang balik rumah. Zhu tak kisah. Sebab waktu tu, Abang masih ada masa untuk Zhu. Dan, Zhu faham akan keadaan kerja Abang yang selalu sibuk. Tapi sekarang, lepas Zhu lahirkan Qaseh, Abang terus lesap. Entah kemana Abang pergi dan dengan siapa Abang berkawan, Zhu tak tahu. Asal Abang balik je, Zhu mesti bau arak. Abang pergi cari pelacur ke? Zhu dah tak boleh bagi apa yang Abang nak?” luah perasaan Zhulianna setelah sekian lama memendam rasa dengan perangai suaminya yang tidak menentu. Tuan Nizam berdiri dan hampir-hampir menghayun penampar ke muka Zhulianna. Zhulianna terkejut dengan reaksi spontan itu.
“ Diam!!! Jangan tanya tentang diri aku. Aku pergi cari rezeki untuk kau dan Qaseh. Kenapa kau tak persoalkan diri kau sendiri? Kau tengok pakaian kau sekarang. Kau tak ubah seperti isteri Azhar.” Tuan Nizam duduk semula di kerusinya. Mata Zhulianna sudah berair.
“ Abang jangan samakan Zhu dengan Julia. Kami orang yang berlainan. Abang fikir kenapa Zhu berpakaian begini? Semua ni untuk Abang. Untuk menarik semula perhatian Abang. Tapi, Zhu dah tak tahan dengan perangai Abang. Hari-hari Zhu kena marah. Kalau Abang mabuk, tangan Abang mesti hinggap pada badan Zhu. Bila Abang memerlukan sesuatu, Abang datang pada Zhu. Merayu pada Zhu. Bila Abang tak ada apa-apa urusan dengan Zhu, Abang tolak Zhu ketepi. Zhu bukan barang mainan, Bang. Zhu isteri Abang. Isteri yang sah Abang kahwini. Zhu nak hentikan benda ni semua sekarang. Zhu sanggup berpisah dengan Abang. Abang lepaskanlah Zhu. Tolonglah, Bang.” Teresak-esak Zhulianna menahan tangisnya. Air mata sudah turun berjuraian. Tuan Nizam melepaskan keluhan dengan kasar.
“ Baiklah. Kalau itu yang kau nak, itu yang aku akan bagi.” Tuan Nizam segera menandatangani surat perceraian tersebut. Kemudian, dilempar fail tersebut ke muka Zhulianna. Perlahan-lahan Zhulianna mengutip semula kertas-kertas yang berterabur.
“ Terima kasih, Bang. Dengan layanan yang Zhu terima selama Zhu jadi isteri Abang, takkan Zhu lupakan. Terima kasih sebab Abang beri peluang kepada Zhu untuk merasakan kehidupan sebagai seorang isteri dan ibu. Terima kasih banyak-banyak, Bang. Halalkan makan minum Zhu selama Zhu jadi isteri Abang.” Zhulianna berkata-kata. Dia menuju ke arah Tuan Nizam untuk menyalami bekas suaminya itu buat kali terakhir. Tuan Nizam menolak tangan halus itu dengan kasar. Tidak tertahan lagi air mata Zhulianna. Jatuh berjuraian air mata itu. Dia menuju ke pintu untuk keluar.
“ Aku dah lepaskan kau seperti mana yang kau nak. Tapi dengan satu syarat.” Zhulianna berpaling semula apabila Tuan Nizam berkata sesuatu.
“ Kau jangan nak berangan bawak Qaseh sekali.” kata Tuan Nizam sambil mengangkat gagang telefon dan mula mendail.
“ Abang, Qaseh anak Zhu. Zhu tak boleh hidup tanpa dia. Benarkanlah Zhu bawak Qaseh sekali.” Rayu Zhulianna tetapi rayuan tersebut tidak diendahkan oleh Tuan Nizam. Zhulianna hanya berdiri tercegat di pintu bilik Tuan Nizam. Selepas habis bercakap dengan seseorang, Tuan Nizam memandang ke arah Zhulianna. Mata Zhulianna semakin merah. Kenapa sanggup Tuan Nizam memisahkan ibu dan anak itu?
“ Kau yang minta perceraian ini. Itu syaratnya. Kau nak aku bawak hal ni ke mahkamah? Aku akan pastikan kau takkan menang. Bila aku balik rumah je, aku dah tak nak tengok muka kau dan jangan sekali-kali kau jejakkan kaki kau ke rumah tu lagi. Faham?! Dan satu lagi, jangan sekali-kali kau muncul dihadapan Qaseh. Buat selama-lamanya.” lemah kaki Zhulianna apabila Tuan Nizam menetapkan syarat yang dirasakan teramat berat untuk dia ikut. Lemah longlai dia keluar dari bilik yang berhawa dingin itu. Dunianya terasa gelap. Tanpa Qaseh, dia tidak ada apa-apa harta dalam hidupnya lagi.
Kereta Zhulianna berhenti dihadapan rumah banglo yang tertulis Villa Sayang. Nama pemilik banglo tersebut ditulis di sebelah nama banglo itu. Zhulianna cuba membuka pintu pagar tersebut tetapi nampaknya pintu pagar itu sudah dikunci dari dalam. Dibunyi loceng. Tiada siapa yang menjawab. Kemana Mak Rani? Orang gaji yang menjaga rumah ini. Zhulianna melaungkan nama Pak Satar. Tukang kebun yang selalu menjaga dan membersihkan taman bunga di sekeliling banglo tersebut. Kemana agaknya suami isteri ini? Mereka secara tiba-tiba sahaja menghilang. Zhulianna memandang di sekeliling rumah. Tiba-tiba matanya ternampak beg pakaiannya yang sudah siap berbungkus elok di letakkan di luar pintu pagar tersebut. Air matanya semakin laju. Dijerit pula memanggil nama Qaseh. Sanggup Tuan Nizam melakukan sebegini kepadanya.
Di dalam rumah, Mak Rani menekup mulutnya dan Pak Satar memeluk Qaseh daripada menangis. Air mata Mak Rani sudah bercucuran jatuh. Kesian dia pada Puan Mudanya itu. Sanggup Tuan Nizam melakukan begitu kepada Zhulianna. Nasib baik Qaseh nyenyak tidur. Jadi, Zhulianna tidak dapat mendengar suara Qaseh menangis. Selepas setengah jam Zhulianna berdiri di hadapan pintu pagar, dia pun beredar dari situ. Mak Rani terduduk di sofa. Pak Satar meletakkan Qaseh semula di atas buaian bayi.
“ Kesian saya tengok Puan Zhu, Bang. Meraung depan pintu pagar. Kenapa Tuan Zam buat macam ni pada Puan Zhu? Apa salah Puan Zhu?” tanya Mak Rani. Pak Satar melabuhkan punggung di atas sofa sebelah Mak Rani. Pak Satar membuka songkoknya dan sangkut di lutut. Mak Rani mengeluh. Pak Satar menggaru-garu kepala yang tidak gatal.
“ Entahlah. Saya pun tak tahu. Balik Tuan Zam nanti, jangan pulak awak pandai-pandai tanya pada dia. Karang tak pasal-pasal kita pulak yang kena.” Nasihat Pak Satar pada Mak Rani. Dia tahu isterinya itu seorang yang mengambil berat. Ditakutnya nanti soalan yang tidak sepatutnya ditanya, akan ditanya. Akan bawa masalah kepada mereka berdua pula nanti.
“ Saya tahulah, Bang.” Mak Rani segera bangun dan menghayunkan langkahnya menuju ke dapur. Dia harus menyediakan makan malam. Pak Satar pula keluar ke kebun bunga dihadapan banglo itu. Dikeluarkan bunga itu dari pasu dan ditanam di laman depan. Semakin berseri rumah itu dengan hiasan pokok bunga di sekelilingnya.
Tepat jam 10 malam, Tuan Nizam pulang ke rumah. Mak Rani dan Pak Satar masih setia menunggu tuan mereka. Mak Rani mengambil beg bimbit dan kot Tuan Nizam. Pak Satar pula mengunci kesemua pintu rumah tersebut. Langkah kaki Tuan Nizam sudah menuju ke tangga.
“ Tuan…” panggil Mak Rani lemah lembut. Tuan Nizam berpaling dan menatap wajah tua itu.
“ Tuan nak makan? Saya dah sediakan makanan.”
“ Mak Rani dan Pak Satar dah makan?”
“ Belum lagi, Tuan. Kami tunggu Tuan.” Kata Pak Satar yang baru sahaja muncul dari ruang tamu.
“ Tak apalah saya dah makan. Lain kali kalau pukul 9 malam saya tak balik lagi, Pak Satar dan Mak Rani makanlah dulu.” Kata Tuan Nizam. Dua orang gajinya itu hanya mengangguk. Tuan Nizam menuju ke tingkat atas. Mak Rani menghidangkan makanan untuk suami serta untuk dirinya sendiri. Begitu berselera mereka berdua menjamu selera. Selepas selesai menjamu selera, Mak Rani mengemas meja dan Pak Satar menolong.






DUA tiga kali loceng berbunyi. Mak Rani menjenguk dari dapur. Tiada sesiapakah hendak menolongnya membukakan pintu untuk tetamu yang datang itu? Loceng itu berbunyi sekali lagi. Mak Rani melaungkan nama Pak Satar. Tiada sahutan. Ke mana pula orang tua ini? Terlupa pula dia bahawa suaminya pergi menghantar Tuan Nizam ke tempat kerja. Sekali lagi loceng itu berbunyi. Kemudian, diikuti dengan dua tiga kali lagi deringan loceng. Hati Mak Rani semakin membara. Orang nak mencuci ayam pun tak senang, getus hati tua Mak Rani. Dia membasuh tangan dan segera ke ruang tamu untuk melihat tetamu yang datang itu. Mak Rani membuka pintu pagar itu secara automatik melalui suis yang ditekannya dari dalam rumah. Terkocoh-kocoh Mak Rani membuka pintu rumah.
“ Maafkan saya, Tuan Rashid. Saya tak tahu Tuan datang.” Kata wanita tua itu. Datuk tersenyum memandang Mak Rani.
“ Tak mengapa, Rani. Saya sebenarnya nak buat kejutan untuk anak menantu dan cucu saya. Mana yang lain? Mana Satar?” tanya Datuk. Matanya melilau ke sekeliling rumah. Mencari penghuni rumah itu.
“ Abang Satar pergi hantar Tuan Nizam ke tempat kerja, Tuan. Kejap lagi dia baliklah.” Kata Mak Rani. Dia berkira-kira hendak beredar dari situ apabila Datuk melabuhkan punggung ke atas sofa yang berdekatan. Tetapi kemudian, ditoleh semula ke arah Datuk apabila Datuk bertanyakan sesuatu.
“ Mana Qaseh?”
“ Dia ada kat atas. Sedang tidur.” Mak Rani tersenyum kepada Datuk.
“ Dari tadi saya tak nampak Zhu. Kemana dia? Selalunya kalau saya sampai, awal-awal lagi dia dah jumpa saya.” Kata-kata Datuk itu membuatkan Mak Rani tersentak. Datuk masih tidak tahu lagikah mengenai perceraian Tuan Nizam dan Zhulianna? Mak Rani hanya berdiri tercegat.
“ Rani…” panggil Datuk. Mak Rani tersedar dan dengan pantas mengelap air mata yang bertakung.
“ Saya, Tuan.” Jawab Mak Rani segera.
“ Saya tanya ni. Kemana….”
“ Tuan nak minum apa-apa ke? Saya buatkan.” Mak Rani memintas kata-kata Datuk. Datuk berfikir sebentar.
“ Boleh jugak. Buatkan saya Teh Tarik special. Dah lama tak rasa Teh Tarik Rani.” Ujar Datuk, tersenyum kecil. Mak Rani segera menuju ke dapur. Kepakaran Mak Rani membuat air adalah Teh Tarik. 10 minit kemudian, Mak Rani datang ke ruang tamu dengan menatang dulang. Diletakkan cawan dan pinggan yang berisi goreng pisang ke atas meja. Datuk sedang leka menonton televisyen.
“ Minumlah, Tuan.” Pelawa Mak Rani. Dia menatang semula dulang dan membawanya ke dapur. Tidak lama kemudian, kedengaran enjin di halaman rumah. Datuk menjenguk ke luar. Kereta Tuan Nizam. Pak Satar keluar dari perut kereta tersebut dan membuka pintu rumah. Dimasukkan barang-barang keperluan yang baru sahaja dibelinya di pasar tadi untuk Mak Rani memasak makan malam. Pak Satar meletakkan kunci kereta kedalam almari kaca.
“ Rani…Ooo…Rani…” laung Pak Satar dari ruang tamu. Masih tidak sedar dengan kehadiran Datuk. Mak Rani tergesa-gesa keluar dari dapur. Pak Satar menyerahkan bungkusan yang berisi sayur-sayuran. Mak Rani memberi isyarat mata kepada Pak Satar. Pak Satar mengerutkan dahi.
“ Kenapa dengan awak ni, Rani?”
“ Tuan Rashid.” Bisik Mak Rani perlahan. Orang tua itu memusingkan kepalanya memandang ke arah ruang tamu yang luas. Matanya tertancap pada seorang orang tua yang memakai baju panas di dalam dan kot di sebelah luar. Tersenyum sahaja Datuk ke arah Pak Satar.
“ Assalamualaikum, Tuan. Maafkan saya. Saya tak nampak Tuan.” Pak Satar segera menyalami Datuk.
“ Tak mengapa, Satar. Saya pun tengah seronok tengok tv ni, hah!” kata Datuk. Tersenyum sambil menyambut huluran tangan Pak Satar. Inilah satu-satunya pasangan orang gaji yang bertahan dengannya. Mereka berdua berkhidmat dengan keluarga itu semenjak Tuan Nizam masih kecil lagi.
“ Mana Zhu? Dari tadi, saya tak nampak dia.” Pertanyaan Datuk dirasakan amat berat sekali untuk dia menjawab. Pak Satar mendiamkan diri. Begitu juga dengan Mak Rani.
“ Kenapa kamu berdua ni? Bila saya tanya pasal Zhu, kamu berdua diam. Ada apa-apa yang berlaku ke?” Datuk inginkan kepastian. Inginkan jawapan. Tetapi mereka berdua tetap sama. Diam adalah jalan yang terbaik untuk melepaskan diri. Mak Rani tidak mahu menjawab soalan itu. Pak Satar pula tidak tahu bagaimana jawapan yang hendak disampaikan.
“ Saya rasa lebih baik Tuan Rashid tanya sendiri pada Tuan Zam. Biar Tuan Zam yang jelaskan kepada Tuan. Kami tak ada jawapan untuk soalan Tuan. Maafkan kami, Tuan.” Takut-takut Pak Satar memandang muka Datuk. Datuk mengangguk dan berdehem. Kedengaran suara bayi menangis. Mak Rani berlari-lari anak menuju ke tingkat atas. Sebentar kemudian, dia turun semula dengan mendukung bayi perempuan itu. Datuk berdiri dan bersedia hendak mendukung cucunya. Mak Rani meletakkan Qaseh perlahan-lahan di dalam dakapan Datuk. Sepanjang hari Datuk membelai cucunya itu. Datuk memandang Qaseh dengan leka. Dia tidak berasa letih walaupun berjam-jam dia mengagah Qaseh. Mak Rani beredar semula ke dapur. Dia harus menyiapkan makan malam kerana Datuk akan bermalam di rumah itu. Pak Satar terus sahaja menuju ke arah kebun yang ada di luar rumah. Dia mesti menjaga kebun itu sebaik yang mungkin. Ini adalah tempat kegemaran Puan Zhulianna untuk mencari ketenangan selepas bertengkar hebat dengan Tuan Nizam.
“ Tuan, saya kena pergi ambil Tuan Zam.” Kata Pak Satar yang berdiri tercegat dihadapannya. Datuk mengangguk. Pak Satar beredar dari situ.
Satu jam kemudian, deruman enjin kereta di halaman rumah kedengaran. Pak Satar baru sahaja pulang daripada menjemput Tuan Nizam. Pak Satar mengambil beg bimbit Tuan Nizam di tempat penumpang di sebelahnya. Tuan Nizam sudah meluru masuk ke dalam rumah. Terpampang wajah keletihannya. Terkejut dia dengan kehadiran Datuk. Datuk tersenyum sambil mendukung Qaseh. Tuan Nizam mengambil alih untuk mendukung Qaseh. Tuan Nizam melabuhkan punggung ke atas sofa. Datuk memandang wajah anak yang lesu itu. Kasihan dia melihat Tuan Nizam.
Sebaik sahaja Tuan Nizam menamatkan pelajarannya di universiti, dia terpaksa mengorbankan cita-citanya untuk menjadi seorang pakar perubatan. Tuan Nizam terpaksa mengambil alih perniagaan Datuk kerana Datuk sudah tua dan tidak larat untuk menguruskan perniagaannya lagi. Dia sudah letih. Datuk hanya mahu menyerahkan perniagaan itu kepada warisnya. Datuk tidak boleh menyerahkan perniagaan tersebut kepada abang sulung Tuan Nizam, Haniff, kerana dia berkhidmat sebagai askar. Rafidah pula selepas sahaja tamat tingkatan 5, terus isteri Datuk, Ghasidah, mengahwinkan Rafidah dengan anak saudaranya, Khairudin. Hanya Tuan Nizam sahaja yang boleh diharapkan tetapi Tuan Nizam mengambil kursus yang lain daripada bidang perniagaan. Oleh kerana Tuan Nizam kasihan kepada Datuk, Tuan Nizam mengambil alih syarikat itu. Kini, syarikat itu berdiri teguh atas usaha Tuan Nizam dan berkat daripada Yang Maha Berkuasa.
“ Apa yang terjadi antara kamu dan Zhu?” tanya Datuk berterus-terang. Tidak mahu berselindung lagi. Tuan Nizam yang baru sahaja menyandarkan kepala di sofa, mengangkat semula kepalanya dan memandang Datuk. Tuan Nizam mengeluh. Dia tidak tahu bagaimana harus dikhabarkan kepada orang tua itu. Kalau Rafidah tahu, pasti dia mengamuk sakan.
“ Kamu beritahu kat Ayah. Mana tahu, mungkin Ayah boleh tolong selesaikan masalah kamu berdua.” Pujuk Datuk lagi. Tuan Nizam mengeluh.
“ Masalah kami dah tak boleh diselesaikan lagi, Ayah. Kami…kami berdua…dah bercerai.” Tuan Nizam tidak mampu berselindung lagi. Dia tidak mahu menyembunyikan perkara sebenar dari Datuk. Biar Datuk tahu.
“ Apa?! Dah berapa lama kamu tak bersama?”
“ Hampir 2 bulan.”
“ Nak dekat 2 bulan kamu tak beritahu Ayah. Hish! Apa kena dengan kamu ni? Kalau Kak Idah kamu tahu, naya kamu.” Datuk mula meninggikan suara. Qaseh yang tidak faham dengan situasi yang berlaku dihadapan matanya, terus sahaja menangis. Mak Rani segera mendukung Qaseh dan membawanya naik ke tingkat atas.
“ Saya tahu, Ayah. Saya masih sayangkan Zhu. Saya rasa bersalah sangat dengan dia.” Perasaan bersalah Tuan Nizam sering menghantui tidur malamnya. Tidak dapat dilupakan wajah Zhulianna yang merayu kepadanya hendak membawa Qaseh bersama. Wajah yang meraung kerana permintaannya ditolak mentah-mentah. Wajah yang basah kuyup. Tuan Nizam hendak mengelap air mata itu tetapi kakinya tidak jadi melangkah. Seperti ada sesuatu yang merantai kaki Tuan Nizam.
“ Baguslah kalau kamu rasa begitu. Kenapa kamu tak cari saja dia?” cadang Datuk. Tuan Nizam meraup mukanya.
“ Saya memang nak cari dia, Ayah. Nak mintak maaf dengan dia. Tapi saya tak tahu nak cari dia kat mana.” Keluh Tuan Nizam. Hampir setiap malam dia berdoa. Meminta supaya Zhulianna memaafkannya. Dia tidak sanggup berdepan dan berjumpa dengan bekas isterinya itu. Perasaan malu masih menebal di dalam diri.
“ Kenapa kamu tak cuba rumah mak bapak dia?”
“ Saya takut. Malu nak cakap dengan bekas mentua saya. Saya takut mereka dah benci saya. Ayah, tolonglah saya.” Rayu Tuan Nizam. Datuk menepuk bahu anak lelaki bongsunya itu.
“ Kamu mesti cuba cari dia kat rumah mak bapaknya. Buang rasa malu. Zam, bapak Zhu berikan sepenuh kepercayaan kepada kamu untuk menjaga Zhu. Sekarang kamu jangan persia-siakan kepercayan kedua ibubapanya. Kamu mesti katakan kepada mereka bahawa sememangnya kamu ikhlas berkahwin dengan anak mereka. Tapi, mungkin jodoh kau berdua tak panjang. Ayah yakin. Bekas besan Ayah tu taklah membenci kamu. Mungkin tidak suka dengan perbuatan yang kamu lakukan terhadap Zhu. Masa nak kahwin dengan Zhu, boleh pulak kamu datang secara baik. Bila bercerai, kamu langsung tak mahu mengambil berat tentang diri Zhu. Cuba cari Zhu. Ayah tahu. Zhu pun tidak membenci kamu.” Nasihat Datuk panjang lebar. Timbul rasa kesian di dalam diri Datuk. Hilang sudah perasaan amarah yang meluap-luap. Melihat keadaan anak lelakinya yang seperti orang tidak terurus itu.
“ Kenapa kamu berdua boleh bercerai? Apa sebabnya?” tanya Datuk. Tuan Nizam diam. Tidak berkata sepatah pun. Hatinya dipenuhi dengan perasaan bersalah.
“ Bukan salah Tuan Zam, Tuan.” Pak Satar bersuara. Mata Datuk tertuju ke arah Pak Satar. Datuk mengerutkan dahi.
“ Apa maksud kamu, Satar?”
“ Sebenarnya Tuan Zam terkena buatan orang. Perangai Tuan Zam lain daripada selalu. Suka marah-marah. Pantang Puan Zhu cakap sikit, Tuan Zam dah marah. Tapi, saya dah bawak Tuan Zam pergi berubat. Baru minggu lepas dia kembali pulih.” Jelas Pak Satar panjang lebar. Datuk membeliakkan mata. Tuan Nizam hanya menundukkan mukanya. Teringat kembali bagaimana dia melayan Zhulianna.
“ Siapa yang buat dia?”
“ Ayah ingat dengan secretary saya?”
“ Ah ha…Yang suka pakai dedah sana, dedah sini tu ke? Apa ke namanya tu?” Datuk cuba memikirkan setiausaha Tuan Nizam yang suka berpakaian menjolok mata. Siapa boleh lupakan setiausaha Tuan Nizam yang satu itu. Berpakaian seksi dan menggiurkan. Sesiapa sahaja yang terpandang, pasti akan terpikat. Tetapi mengapa dia memilih Tuan Nizam? Tidak tahukah dia bahawa Tuan Nizam sudah berkahwin? Mungkin bukan Tuan Nizam yang dikehendakkannya. Dia berkehendakkan harta Tuan Nizam. Itulah perangai sesetengah perempuan zaman sekarang. Pantang tengok lelaki yang berpoket penuh.
“ Yang itulah. Nora.”
“ Ayah tengok baik budaknya tu. Tapi tak sangka sampai macam tu sekali perangainya. Kenapa dia buat macam tu kat kamu?” Datuk bertanya. Tidak pernah disangkanya bahawa sampai begitu sekali perangai setiausaha yang Datuk anggap sangat baik itu. Walaupun Nora berpakaian terdedah tetapi dia apabila bercakap dengan orang tua, sangat hormat. Sungguh tidak sangka. Cakapnya lemah lembut. Pijak semut pun tidak mati, gayanya.
“ Dia pernah nak goda saya. Saya tak layan. Lepas tu, Zhu selalu datang ofis. Mungkin balas dendam lah tu.” Ujar Tuan Nizam. Datuk menepuk-nepuk peha Tuan Nizam. Mententeramkan jiwa anaknya yang bercelaru.
“ Dahlah tu, Zam. Benda dah berlalu.”
“ Tapi, saya harap sangat nak berjumpa dengan Zhu.”
“ Kamu pergilah cari di rumah ibubapanya. Ayah yakin, Zhu pasti ada di situ.” Datuk berkata. Memberi semangat kepada Tuan Nizam.
“ Kalaupun Zam dah jumpa Zhu, pasti Zhu tak nak kembali pada Zam. Macam mana Zam nak jaga Qaseh?” itulah persoalan yang selalu berlegar di ruang fikiran Tuan Nizam. Belum sempat Datuk berkata apa-apa, Mak Rani mencelah. Kesemua mata memandang ke arah Mak Rani.
“ Tak apa, Tuan Zam. Mak Rani dan Pak Satar akan jaga Qaseh.”
“ Sampai bila, Mak Rani? Takkan selama-lamanya Mak Rani nak kerja dengan keluarga kami?” tanya Tuan Nizam. Dia kasihankan kedua orang tua itu yang telah banyak bertungkus-lumus menjaga mereka dua beranak.
“ Selagi Mak Rani ada kudrat, selagi itulah Mak Rani akan jaga Qaseh.”
“ Mak Rani tak teringin balik kampung? Jenguk rumah kat sana?” Tuan Nizam bertanya lagi. Dia benar-benar tidak mahu menyusahkan mereka.
“ Tuan Zam…Tuan…Keluarga Tuan dah banyak berjasa dengan Pak Satar dan Mak Rani. Semenjak kami kerja dengan keluarga ini, kami dah nekad. Selagi Tuan Nizam atau Tuan tak menghalau kami, selagi itulah kami akan bekerja untuk keluarga Tuan berdua.” Pak Satar berkata. Datuk tersenyum dan mengangguk perlahan.
“ Tapi Zam tak nak menyusahkan….” Ayat Tuan Nizam tergantung.
“ Tuan Zam, tak pernah terlintas di fikiran Mak Rani yang Tuan Zam dan Qaseh menyusahkan Mak Rani. Mak Rani dah biasa.” Kata Mak Rani pula. Tuan Nizam melepaskan keluhan.
“ Baiklah, Mak Rani. Mak Rani akan jaga Qaseh sehingga Zam dapat cari pengganti Mak Rani yang baru. Lepas tu, Mak Rani bolehlah bersara.” Ujar Tuan Nizam. Mak Rani mengangguk dan Pak Satar tersenyum.
“ Bukan pengganti ibu yang baru untuk Qaseh?” usik Datuk.
“ Apalah Ayah ni. Zam tak pernah terfikir pun.” Tuan Nizam berkata. Mereka semua tergelak melihat wajah Tuan Nizam yang merona merah.
“ Ayah pergilah berehat. Ayah tentu dah penatkan?”
“ Yalah.” Datuk bangun dan menuju ke arah biliknya yang disediakan khas untuk Datuk jika Datuk datang berkunjung ke rumah itu.
Selama 2 tahun Tuan Nizam cuba menjejaki Zhulianna tetapi seakan-akan Zhulianna cuba menghilangkan jejaknya. Apabila ditanya pada Zurain, hanya jawapan yang tidak pasti diterima daripada bekas adik iparnya itu.
“ Zura, beritahulah Abang. Ke mana Kak Zhu pergi?”
“ Zura tak tahu, Bang. Kak Zhu dah lama tak telefon ke rumah.” Zurain terpaksa menyembunyikan perkara sebenar. Inipun di atas permintaan kakaknya. Zhulianna yang memaksa Zurain supaya tidak memberitahu kemana dia pergi sekiranya Tuan Nizam menelefon rumah ibubapanya.
“ Abang tahu. Semua benci Abang, kan?”
“ Kami tak bencikan Abang. Kami tahu perkara sebenar. Abang terkena buatan orang. Waktu tu Abang bukan jadi diri Abang sendiri. Mama dan Bapak tak pernah salahkan Abang. Kami semua fikir, jodoh Abang dan Kak Zhu tak panjang. Mungkin bukan sampai ke anak cucu. Abang janganlah salahkan diri Abang. Abang jaga diri baik-baik, ya?” pesan Zurain. Perasaan bersalah Tuan Nizam menyerbu lagi. Begitu sekali pemikiran keluarga mentuanya. Sanggup memaafkannya. Bukan menyalahkan dirinya.
Akhir sekali, Tuan Nizam berputus asa. Dia sudah tidak mahu mencari Zhulianna lagi. Biarlah Zhulianna menenangkan fikiran. Jika Zhulianna ingin kembali ke pangkuannya, Tuan Nizam akan menerima kehadiran Zhulianna dengan hati yang terbuka. Umur Qaseh hampir mencecah 2 tahun, Tuan Nizam berkahwin dengan Puan Yasmin. Anak saudara Datuk. Tuan Nizam hanya menyerahkan segala-galanya kepada Datuk dan Rafidah. Dia tidak mahu ambil tahu akan urusan kahwinnya. Zhulianna hilang entah ke mana. Jejaknya tidak dapat dikesan. Tuan Nizam berharap Zhulianna dapat mencari kebahagiaannya sendiri kerna Tuan Nizam sudah pun ada kebahagiaan untuk dirinya.

BERSAMBUNG.....

Dari KL ke Luxembourg 27

BAB 27

QASEH melihat jam di tangan. Sudah hampir pukul 2.30 petang. Dia mesti cepat. Nanti terlambat. Sudahlah Kuala Lumpur itu sesak dengan orang. Qaseh mencapai beg bimbit dan menuju ke lif. Dia menjinjing fail-fail storyboard berkenaan syarikat Puan Zhulianna. Terkial-kial dia menekan butang lif untuk ke tingkat bawah. Nasib baik ada Pak Leman, pengawal keselamatan bangunan itu menolong Qaseh menekan butang lif. Selepas mengucapkan terima kasih, Qaseh terus menekan butang ‘B’ untuk ke tempat letak kereta. Dia memasukkan storyboard dan beg bimbit di kerusi belakang. Kemudian, dihidupkan enjin kereta dan menderum pergi meninggalkan bangunan tersebut.
Setengah jam kemudian, Qaseh tiba dihadapan KLCC. Dia memarkirkan keretanya jauh sedikit daripada bangunan yang tersergam indah di tengah bandaraya kota Kuala Lumpur itu. Dia tidak mahu jadi seperti dahulu. Terpaksa membayar duit parking yang mahal. Qaseh berjalan masuk ke dalam KLCC dan menuju terus ke Café San Francisco Coffee. Qaseh duduk di satu sudut. Dia mengeluarkan telefon bimbitnya dan menelefon Puan Zhulianna. Ada nada deringan.
“ Hello…Puan Zhu? Saya Qaseh. Saya ada di CafĂ© San Francisco Coffee. Boleh saya tahu puan di mana?” tanya Qaseh lemah-lembut.
“ Saya dalam perjalanan ke sana. Dalam 10 minit lagi, saya sampai.”
“ Baiklah.” Qaseh mematikan talian telefonnya.
10 minit selepas itu, Puan Zhulianna tiba di café tersebut. Qaseh berdiri dan menyalami Puan Zhulianna dengan sopan. Puan Zhulianna tersenyum manis. Qaseh membalas kembali senyuman itu.
Tiba-tiba, hati Puan Zhulianna disentap dengan satu memori. Memori lama yang cuba dihapuskannya. Senyuman itu. Seperti dia pernah lihat senyuman itu. Ah! Ingatannya sudah pudar terhadap senyuman itu. Dia memutarkan kembali memori lama. Cuba mengingati senyuman itu. Mata Puan Zhulianna terbeliak. Dia sudah teringat. Senyuman Qaseh serupa dengan seseorang.
“ Puan Zhu…Puan Zhu…” panggil Qaseh perlahan. Tidak mahu Puan Zhulianna terkejut dengan sergahannya. Puan Zhulianna tersedar dari lamunan dan memandang muka Qaseh tidak berkelip.
“ Puan Zhu…Boleh kita mulakan sekarang?” tanya Qaseh lemah lembut. Puan Zhulianna mengangguk. Qaseh mengeluarkan storyboard dan diletakkan dihadapan Puan Zhulianna. Storyboard di hadapannya diteliti. Begitu kreatif dan cekap Qaseh melakukan kerja. Puan Zhulianna berpuas hati dengan segala rekaan iklan Qaseh. Sambil mereka berbincang, Puan Zhulianna memesan makanan untuk mereka berdua. Setelah habis berbincang, mereka bersembang. Puan Zhulianna ingin mengenali diri Qaseh dengan lebih dekat. Qaseh seperti malu-malu hendak menceritakan peribadi dirinya. Sudah lama tidak ada orang yang bertanyakan hal peribadi.
“ Apa nama penuh Qaseh?” tanya Puan Zhulianna. Tiada respon daripada Qaseh. Wanita elegan itu tersenyum memandangnya.
“ Maaflah kalau saya ni menyibuk sikit. Cuma, setiap pereka iklan syarikat saya dulu, semua saya tahu tentang latar belakang mereka.” Jelas Puan Zhulianna. Qaseh tersenyum kecil.
“ Tak apa, Puan. Saya faham.”
“ Baguslah macam tu. Boleh saya tanya sekali, apa nama penuh Qaseh?” lemah lembut wanita itu bercakap. Gayanya seperti Puan Yasmin Zahirah. Mama, Qaseh rindukan senyuman Mama. Rintih hatinya.
“ Ermm…Qaseh Soraya.” Dilihatnya Puan Zhulianna terangguk-angguk.
“ Sedap nama, Qaseh.” Puji Puan Zhulianna. Tetapi rasanya seperti pernah dengar nama itu. Puan Zhulianna mengerutkan dahi sedikit.
“ Nama ayah?”
“ Mohd Nizam bin Rashid.” Kata Qaseh sambil tersenyum. Puan Zhulianna membeliakkan matanya.
“ Nama ibu?” seperti seorang pegawai polis yang sedang menyiasat penjenayah saja lagaknya. Perasaan ingin tahu Puan Zhulianna meruap-ruap.
“ Yasmin Zahirah binti Yusman Zakaria.” Tersentak Puan Zhulianna dengan jawapan Qaseh. Dia ingin tahu lebih lanjut. Dia bertanya lagi soalan.
“ Nama datuk Qaseh, Rashid bin Muiz?”
“ Ya. Puan Zhu kenal dengan atuk saya?” Puan Zhulianna tidak menjawab pertanyaan Qaseh. Fikirannya berputar-putar mengingati memori lama. Memori yang cuba disimpan di dalam lipatan sejarah.
“ Puan Zhu…” panggil Qaseh. Puan Zhulianna tersedar dari lamunan dan memandang tepat wajah Qaseh.
“ Mana ibu dan ayah Qaseh sekarang?”
“ Dia orang dah lama meninggal. Masa saya masih bersekolah. Ibu saya meninggal sebab kanser. Ayah saya pulak sebab kemalangan jalan raya.” Sebak menguasai diri Qaseh apabila dia membuka ‘buku’ lama. Tersandar Puan Zhulianna. Tidak menyangka Tuan Nizam telah tiada.
“ Maafkan saya. Saya tak tahu.”
“ Tak mengapa, Puan Zhu. Saya dah biasa orang bertanyakan tentang ibubapa saya.” Berkaca mata Qaseh memandang tepat ke arah anak mata Puan Zhulianna.
“ Jadi, siapa yang jaga Qaseh?”
“ Atuk dan mak ngah saya.”
“ Kalau tak silap saya, Pak Long Qaseh mati ditembak komunis kan sewaktu berkhidmat sebagai askar?” Puan Zhulianna bertanya.
“ Ya. Macam mana Puan Zhu tahu tentang semua ni?” Qaseh semakin pelik dengan soalan Puan Zhulianna. Perempuan dihadapannya itu seperti mengetahui latar belakang keluarganya. Lebih-lebih lagi tentang Pak Long. Tiada orang yang tahu Pak Long meninggal dunia kerana ditembak. Kecuali ahli keluarga terdekat.
“ Saya kawan lama ibu Qaseh.” Ringkas jawapan Puan Zhulianna. Qaseh tersenyum. Lega dengan jawapan Puan Zhulianna. Dia menyangkakan Puan Zhulianna mengintip dirinya. Qaseh melihat jam ditangan. Sudah hampir pukul 5.30 petang. Dia harus pulang ke pejabat.
“ Puan Zhu, saya terpaksa minta diri dulu. Ada kerja yang perlu diselesaikan.” Qaseh mengemas storyboard dan dimasukkan semula ke dalam beg bimbit.
“ Baiklah. Kita jumpa lain kali.” Puan Zhulianna turut berdiri. Qaseh menyalami Puan Zhulianna dengan sopan. Hampir menitis air mata wanita itu. Qaseh tersenyum dan beredar dari situ. Sebaik sahaja Qaseh beredar, Puan Zhulianna segera menelefon seseorang.
“ Hello?” suara seorang perempuan menjawab panggilan tersebut.
“ Zura, akak ni.” Air mata Puan Zhulianna menitis perlahan-lahan.
“ Akak…Kenapa suara akak lain macam je?” tanya Zurain, adik kepada Puan Zhulianna. Dia risau jika kakaknya itu diserang penyakit lama.
“ Akak dah jumpa dia. Akak dah jumpa dia.” Air mata kegembiraan mengalir menuruni pipi yang semakin hari semakin berkedut itu.
“ Akak dah jumpa siapa ni? Zura tak fahamlah.”
“ Akak dah jumpa Qaseh.”
“ Qaseh yang mana pulak ni, Kak?” tanya Zurain lagi.
“ Qaseh Soraya.” Jawab Puan Zhulianna.
“ Apa?!”
“ Dia semakin cantik. Akak macam tak percaya dia berdiri depan akak.” Tersedu-sedan Puan Zhulianna menahan tangis.
“ Akak bawak bertenang. Akak ada kat mana ni? Zura pergi jumpa Akak.” Risau Zurain dengan Puan Zhulianna. Dia juga ada terselit perasaan gembira untuk kakaknya itu.
“ Akak ada kat KLCC.”
“ Baiklah. Saya pergi jumpa akak kat sana.” Mereka sama-sama mematikan talian. Zhulianna segera mengelap air matanya.






QASEH tiba dihadapan bangunan pejabatnya. Qaseh memarkirkan kereta di tempat yang dikhaskan untuk Pengerusi Syarikat. Dia mengambil beg bimbit di pintu belakang kereta. Fernaizza yang baru sahaja hendak menuju ke keretanya, berhenti sebentar di kereta Qaseh.
“ Boleh saya tolong Cik Qaseh?” Qaseh memusingkan badan memandang wajah pemilik suara itu. Setiausahanya sedang tersenyum.
“ Eh, tak apalah Fern. Benda ni ringan je. Awak dah nak balik?” tanya Qaseh. Dia memang peramah dengan kesemua pekerja-pekerjanya.
“ Ya, Cik Qaseh.”
“ Hari ni tak balik dengan tunang ke?” usik Qaseh. Fernaizza baru sahaja melangsungkan majlis pertunangannya dengan pemuda yang amat dicintainya. Fernaizza tersenyum malu.
“ Takkanlah selalu nak balik dengan dia. Tapi, kita orang janji nak dinner sama.” Fernaizza menolong Qaseh menutupkan pintu kereta Qaseh.
“ Awak jagalah Isma tu baik-baik. Saya tengok dia tu boleh tahan jugak orangnya.” Nasihat Qaseh untuk Fernaizza. Mengangguk sahaja setiausaha Qaseh yang tinggi lampai persis model itu.
“ Tak apalah, Cik Qaseh. Saya balik dulu.”
“ Baiklah.” Fernaizza melambai ke arah ketuanya itu. Qaseh membalas lambaian itu. Qaseh melangkah masuk ke dalam pejabat. Dia memasuki lif dan menekan butang untuk ke tingkat 5, tempat terletak pejabatnya.
Qaseh terus menuju ke biliknya. Dia meletakkan beg bimbit ke atas meja. Dia berjalan ke arah pantri dan membancuh air kegemarannya, Kopi ‘O. Qaseh menghirup air yang masih berwap itu perlahan-lahan. Dia masuk semula ke dalam bilik pejabatnya dan menutup serta menguncikan pintu itu. Qaseh menghempaskan punggung ke atas kerusi. Badannya disandar ke belakang. Lama Qaseh memandang telefon yang terletak di atas mejanya itu. Kemudian, dia mencapai gagang telefon tersebut dan mula mendail nombor telefon rumah Rafidah.
“ Hello?” jawab satu suara garau. Qaseh kenal akan pemilik suara itu.
“ Assalamualaikum.”
“ Waalaikumussalam.” Jawab suara itu kembali.
“ Bila Ayiz balik?”
“ Oh, Akak. Baru semalam Ayiz balik.” Kata Faiz Nuramin, anak sulung Rafidah yang sedang melanjutkan pelajarannya di Luxembourg.
“ Apa khabar Midi dengan Tash? Semenjak seorang ke U.K dan seorang lagi ke Paris, langsung akak tak dengar khabar. Dia orang ada telefon ke?” tanya Qaseh. Rindu dia pada dua orang adik sepupunya itu. Tashya ke United Kingdom. Menyambung pelajaran di dalam bidang kedoktoran. Dia hendak menjadi pakar dalam bidang yang diceburinya itu. Manakala Hamidi pula ke Cordon Bleu, sekolah memasak yang terkenal di Paris. Memang sejak dahulu lagi cita-cita Hamidi adalah untuk menjadi tukang masak yang terkenal seperti Chef Wan. Mungkin juga kaya seperti Chef Wan. Siapa tahu. Hanya Yang Maha Mengetahui sahaja yang tahu.
“ Ada, Kak. Baru pagi tadi dia orang call. Akak apa khabar?”
“ Baik, Ayiz. Atuk ada tak?”
“ Ada kat bilik. Kejap ya. Ayiz pergi panggil.” Faiz meletakkan gagang telefon di sebelah telefon tersebut dan dia pergi memanggil Datuk di bilik yang terletak di tingkat bawah. Datuk sudah tua dan tidak larat hendak memanjat tangga di rumah Rafidah. Jadi, Rafidah terpaksa menempatkan ayahnya di bilik bawah.
“ Hello.” Suara Datuk bergema di cuping telinga. Qaseh tersenyum. Sudah lama tidak berjumpa dan bercakap dengan Datuk. Perasaan rindunya tiba-tiba datang menerpa.
“ Atuk, Qaseh ni.”
“ Hah! Kamu. Bila kamu nak datang rumah Mak Ngah Idah ni? Atuk rindu benar dengan kamu.” Datuk hanya dapat melepaskan perasaan rindunya melalui telefon. Tidak puas kerana tidak dapat menatap wajah cucunya itu. Qaseh tersenyum.
“ Mungkin esok Qaseh pergilah rumah Mak Ngah. Atuk, Qaseh nak tanya ni. Atuk kenal Puan Zhulianna?” tanya Qaseh tiba-tiba.
“ Zhulianna? Kenapa?” tanya Datuk kembali.
“ Dia kata dia kawan lama Mama.” Ujar Qaseh. Datuk tersentap mendengar jawapan Qaseh. Nama yang sudah lama tidak didengari. Kini muncul kembali. Datuk tidak menyangka Zhulianna akan bertemu dengan Qaseh. Bagaimanalah agaknya rupa bekas menantunya itu kini?
“ Macam mana kamu boleh kenal dia?”
“ Dia client Qaseh. Atuk kenal dia ke?”
“ Tak adalah kenal sangat.” Hati Datuk mula berasa kurang enak.
“ Ohh…tapi dia tahu nama Atuk.”
“ Memanglah dia tahu. Kan dia sendiri kata dia kawan Mama.” Datuk cuba berselindung tetapi dia tidak tahu berapa lama lagi dia boleh berkeadaan begitu. Lambat-laun Qaseh akan tahu jua.
“ Bila Qaseh jumpa Puan Zhulianna?”
“ Petang tadi. Bincang pasal storyboard iklan syarikat dia.”
“ Ohh….” Hanya itu sahaja yang mampu diucapkan oleh Datuk.
Lama mereka bersembang. Selepas Qaseh meletakkan gagang, dia mula melakukan kerja-kerjanya yang terbengkalai.





DATUK meletakkan gagang perlahan-lahan. Lama Datuk termenung di sebelah telefon. Rafidah yang sedang menghidangkan makanan di atas meja, pelik melihat Datuk yang seperti baru sahaja melihat hantu. Dia berjalan mendekati Datuk. Memegang bahu Datuk. Terkejut Datuk dengan sentuhan tersebut segera memandang muka Rafidah. Wajah Datuk pucat. Rafidah semakin cemas. Adakah ayahnya terkena serangan lagi?
“ Kenapa, Ayah? Ayah tak apa-apa ke?” tanya Rafidah, risau.
“ Tak.” Datuk melangkah perlahan-lahan ke arah sofa yang terletak di ruang tamu. Faiz sedang leka menonton televisyen. Tidak menyedari perubahan wajah datuknya.
“ Ayah, kenapa ni? Risau Idah tengok Ayah. Kita pergi hospital.” Rafidah tidak berputus asa. Dia mahu tahu sebab yang menjadikan Datuk sehingga begitu pucat.
“ Tak payahlah, Idah. Perkara yang Ayah bimbang akan terjadi hampir terbongkar.” Kata-kata Datuk sukar difahami.
“ Apa maksud Ayah?”
“ Zhulianna…”
“ Kenapa dengan Zhu?”
“ Qaseh dah berjumpa dengan Zhulianna.”
“ Hah? Qaseh dah tahu pasal tu?” Datuk menggeleng. Rafidah berasa lega. Dia juga tahu perkara itu tidak boleh disimpan selama-lamanya. Satu hari nanti, akan terbongkar jua. Rafidah melabuhkan punggung di sebelah Datuk. Semenjak dari tadi lagi Datuk asyik mengeluh.
“ Ayah, kita mesti ceritakan perkara sebenar kat Qaseh.” Rafidah memusingkan badannya menghadap Datuk yang sedang menyandarkan badan ke sofa yang empuk itu.
“ Tidak, Idah. Selagi Zhu tak buka mulut, selagi itu kita jangan cerita apa-apa pada Qaseh. Kita tak tahu. Mungkin Zhu sekarang lain dari Zhu dulu. Mungkin jugak Zhu tak mahu cerita lama dibongkarkan. Mungkin dia tak mahu suami dan anak-anak barunya tahu mengenai kisah lama.” Benar kata-kata Datuk. Rafidah tersandar. Faiz masih lagi leka dengan televisyen. Harap-harap dia tidak dengar perbualan mereka berdua. Khairudin yang baru sahaja pulang dari pejabat terus menuju ke ruang tamu. Dia menyalami bapa mentuanya. Rafidah mengambil beg bimbit dan kot Khairudin. Digantung kot tersebut di tempat yang disediakan khas untuk menyidai kot.
“ Apa yang Ayah dan Idah sembangkan ni?” Khairudin duduk di sofa yang menghadap Datuk dan Rafidah.
“ Ayiz…pergi panggil Alis dan Leya.” Arah Rafidah. Segera Faiz menutup peti televisyen dan menuju ke tingkat atas untuk memanggil adik-adiknya. Rafidah melabuhkan punggung di sebelah suaminya pula.
“ Pasal Zhu, Bang. Zhu dah pernah jumpa Qaseh.”
“ Apa? Bila?”
“ Petang tadi dia orang berjumpa.” Kata Datuk.
“ Qaseh tahu?” tanya Khairudin. Rafidah hanya menggeleng. Khairudin mengalihkan pandangannya kepada Datuk. Tiada respon dari orang tua itu. Kerisauan terpamer di wajah Datuk. Kalaulah Zam masih ada, tentu Zam gembira bila dapat tahu Zhu dah jumpa Qaseh, getus hati kecil Datuk.
“ Ayah…Ayah…” panggil Rafidah lemah lembut. Datuk memandang wajah Rafidah. Ada iras wajah Tuan Nizam. Tiba-tiba timbul perasaan rindu pada anak lelaki bongsunya itu. Astaghfirullahil‘azim! Hati Datuk mengucap. Biarlah rohnya tenang dan bersemadi di samping orang-orang yang soleh. Sempat hati Datuk berdoa kepada Yang Maha Berkuasa.
Datuk membuntuti Rafidah ke meja makan. Khairudin sudah bersiap sedia di meja makan bersama anak-anaknya. Rafidah menceduk nasi dan diserahkan pinggan yang berisi nasi tersebut kepada Ayah, suami dan anak-anaknya. Leya, anak bongsu Rafidah membacakan doa makan untuk mereka semua. Makan malam itu kecoh dengan suara Faiz, Alis dan Leya bersama Khairudin yang bercerita tentang aktiviti mereka sepanjang hari. Rafidah hanya tersenyum melihat gelagat suami dan anak-anak. Datuk lebih banyak mendiamkan diri sejak menerima panggilan daripada Qaseh.
Sudah 2 hari Datuk tidak bercakap dengan sesiapa. Selepas menghabiskan makan malamnya, Datuk terus menuju ke bilik. Rafidah risau akan keadaan Datuk. Dia takut ayahnya itu selalu memikirkan perkara yang semakin lama akan terbongkar ini.
“ Idah risaulah dengan keadaan Ayah tu, Bang.” Disuarakan rasa hatinya kepada suami. Khairudin meletakkan surat khabar yang dibaca ke bawah.
“ Tak usah risaulah. Ayah tak apa-apa sebenarnya. Cuma dia risau pasal Qaseh. Dia takut Qaseh tak dapat menerima hakikat. Ayah menyalahkan dirinya sendiri.” Jelas Khairudin. Rafidah memandang anak-anak yang sedang leka menonton televisyen.
“ Bukan salah Ayah. Tapi salah Zam. Kenapa sekarang baru Zhu nak berjumpa dengan Qaseh?” Bentak Rafidah.
“ Idah. Dalam hal ni Zam tak salah, Zhu pun tak salah. Kita kena dengar dulu apa penjelasan daripada Zhu.” Khairudin memandang wajah isterinya itu. Anak-anak mereka menoleh ke arah ibubapa mereka apabila suara Rafidah sedikit meninggi tadi. Kemudian, mereka memusingkan kembali kepala mereka ke arah peti televisyen.
“ Alah, Abang tu. Mesti nak sebelahkan Zam. Ni semua salah Zam.” Rafidah menjeling. Menyampah dia apabila Khairudin menyebelahi adiknya itu. Semenjak dari dahulu lagi, Khairudin suka menyebelahi Tuan Nizam.
“ Idah…kita jangan kaitkan orang yang dah tak ada dalam hal ni. Berdosa. Idah dengar tak apa Ustaz Mahfus kata. Yang sudah tu sudahlah. Tak guna kita ungkit lagi. Sekarang ni kalau Qaseh nak tahu perkara sebenar, kita beritahu je. Zhu dah balik. Kita tak boleh selama-lamanya sembunyikan perkara sebenar. Apa-apa pun, Qaseh berhak tahu perkara sebenar.” Khairudin tidak suka kisah adik iparnya itu diungkit semula. Baginya, ia sudah berlalu.
“ Tapi, Bang…”
“ Tak ada tapi-tapi lagi. Sudah, Abang nak masuk tidur.” Khairudin mengangkat punggung dan beredar dari situ. Terkebil-kebil Rafidah memandang Khairudin. Rafidah mengeluh kuat. Nuralis duduk di sofa. Sebelah ibunya. Membaringkan kepala di atas peha ibunya. Rafidah mengusap kepala Nuralis. Memang dia manja dengan Rafidah sejak kecil lagi. Aleya pun tidak semanja itu.
“ Ayiz, Alis, Leya…pergi masuk tidur. Dah pukul berapa ni?”
“ Baik, Mama.” Faiz bangun dan menutup suis televisyen. Nuralis dan Aleya bersaing naik ke tingkat atas. Rafidah masih berada di ruang tamu. Dia risaukan Qaseh. Adakah gadis itu akan dapat menerima Zhulianna setelah dia mengetahui perkara sebenar? Adakah Qaseh akan menyalahkan mereka kerana merahsiakan perkara ini? Ataupun memarahi Zhulianna kerana tidak cuba untuk mencari Qaseh semula? Persoalan-persoalan ini telah lama mati tetapi kini ia datang kembali. Apa yang patut Rafidah lakukan? Rafidah merasakan ini juga adalah salahnya. Tidak memberitahu Qaseh berterus-terang.
Rafidah bangun dari sofa yang diduduknya dan menutup suis lampu. Perlahan-lahan dia memanjat tangga untuk ke tingkat atas. Dia tidak mahu memikirkan apa-apa lagi. Biarlah apa yang hendak terjadi, pasti akan terjadi satu hari nanti.


BERSAMBUNG.....

Dari KL ke Luxembourg 26

BAB 26

HAMPIR 3 minggu semenjak Fareez pulang dari Hong Kong, Fareez suka mengintip Qaseh secara curi-curi sewaktu Qaseh sedang memasak atau melakukan kerja rumah. Qaseh sedar akan perubahan itu. Dia juga pelik tetapi dalam pada masa yang sama dia bersyukur Fareez semakin berubah. Tiada lagi muka masamnya atau suara lantang yang selalu memaki hamun Qaseh. Fareez juga mula tersenyum walaupun dia tidak pernah bercakap. Doa Qaseh telah dimakbulkan. Qaseh berdoa setiap hari supaya hati suaminya itu dilembutkan dan dapat menerima kehadirannya. Fareez juga tidak pernah memarahi Amirul lagi. Dahulu, walaupun hanya kesilapan kecil yang dilakukan oleh Amirul, Fareez marah kepada anak kecil itu seperti Amirul melakukan kesilapan besar. Amirul juga sudah mula bersikap riang. Senang dengan kelakuan Ayahnya yang berubah. Fareez sudah mula pulang awal. Tidak lagi lewat seperti dahulu. Tiada lagi perkataan ‘aku’ dan ‘kau’. Kata-katanya juga sudah mula romantik.
Qaseh sedang menyediakan makan malam untuk mereka semua. Dihidangkan makanan tersebut ke atas meja. Amirul menolong Qaseh. Amirul tidak pernah menganggap Qaseh ibu tirinya tetapi sebagai ibu kandungnya. Dia juga amat menyayangi Qaseh. Amirul bernyanyi-nyanyi kecil.
“ Ayah, makanan dah siap. Jomlah makan. Mirul lapar ni.” Laung Amirul dari meja makan. Fareez tersenyum dengan gelagat anaknya itu. Dia segera menutup suis televisyen dan berjalan ke arah meja makan. Mereka bertiga menjamu selera dengan gembira sekali. Sudah lama Fareez tidak merasai suasana sebegitu dan sudah lama Qaseh hendak merasai suasana yang dirasainya sekarang.
Qaseh sudah selesai mengemas meja dan mencuci pinggan makan selepas mereka menjamu selera. Dia menuju ke tingkat atas. Berjalan ke arah biliknya. Amirul sudah lama naik tidur kerana dia perlu ke sekolah pada awal pagi esok. Fareez masih lagi menonton televisyen. Qaseh merebahkan badan ke atas katil. Beralih ke kiri dan ke kanan. Matanya tidak mengantuk. Dipejamkan mata. Kemudian, dia membuka semula mata dan memandang ke arah kipas siling yang sedang berputar. Hatinya berdebar-debar. Entah kenapa. Hatinya berasa begitu semenjak pandangan tajam Fareez sewaktu mereka sedang makan malam. Qaseh bangun dari katil tersebut dan menuju ke arah jendela yang terbuka. Mengambil angin.
Tiba-tiba pintu biliknya diketuk. Ketukan itu sangat perlahan. Lama Qaseh memandang pintu itu sebelum membukanya. Perlahan-lahan dia membuka selak pintu. Terjengul wajah lelaki yang amat dicintainya itu. Qaseh terkejut dengan kehadiran Fareez tetapi Qaseh cuba mengawal perasaannya. Pada pandangan Qaseh, Fareez nampak kacak pada malam itu. Walaupun dia berpakaian seperti biasa. Baju T dan kain pelikat. Fareez tersenyum manis kepadanya. Qaseh memberikan laluan kepada Fareez untuk masuk ke dalam bilik. Fareez duduk di atas sofa yang disediakan di dalam bilik Qaseh. Qaseh berjalan ke arah katil dan berdiri tercegat di sebelah katil. Fareez menarik nafas panjang dan meraup rambutnya ke belakang. Dia keresahan. Qaseh turut mengeluh. Dia masih menanti butir bicara Fareez. Lama mereka begitu. Masing-masing mendiamkan diri. Fareez berdiri dan berjalan ke arah pintu bilik. Dia berkira-kira hendak keluar dari bilik itu. Dia tidak tahu hendak memulakan perbualan.
Belum sempat Fareez membuka pintu, tangannya disambar oleh Qaseh. Pandangan mata Qaseh yang redup itu membuatkan hati Fareez semakin tertawan. Qaseh tersenyum. Perlahan-lahan Qaseh menarik tangan Fareez dan menuju ke katil. Ditolak dada Fareez perlahan-lahan ke atas katil tersebut dan Qaseh turut merebahkan diri di sebelah Fareez. Kemudian, dipadamkan lampu bilik itu. Buat kali pertamanya, Qaseh melalui malam pertama setelah 2 tahun dengan lelaki bernama suami. Malam itu sangat indah buat Qaseh. Tidak akan dilupakan malam tersebut.
Qaseh meletakkan kepala di atas badan Fareez yang sasa itu. Fareez mengusap rambut Qaseh yang ikal. Kata-kata Raja Zikri terngiang-ngiang di telinga. Fareez tersenyum sendirian.
“ Aku rasa aku….aku….aku dah jatuh cinta.” Kata Fareez tergagap-gagap. Dia berdiri menghadap cermin pejabat. Panorama luar pejabat yang dihiasi dengan kesibukan kota. Raja Zikri terbatuk kecil.
“ Kau jatuh cinta? Dengan siapa?” Zikri memandang muka Fareez dengan tanda tanya. Tidak pernah Raja Zikri lihat Fareez keluar berpacaran dengan orang lain. Hanya Qaseh sahaja yang menjadi isterinya kini. Mungkinkah dengan Qaseh? Hati Zikri tertanya-tanya.
“ Dengan Qaseh lah. Dengan siapa lagi?” terlopong Zikri mendengar ucapan yang baru sahaja diungkapkan oleh Fareez. Tidak salah sangkaannya itu. Benarlah Qaseh yang dicintainya.
“ Kau biar benar? Qaseh?” Zikri bertanya lagi. Mahukan kepastian.
“ Kenapa kau terkejut?”
“ Kau pernah berjanji dengan aku yang kau takkan sekali-kali jatuh cinta pada Qaseh. Apa, kau dah tak ingat janji kau tu?” kata-kata Zikri berbaur sindiran. Fareez tersenyum. Dia masih ingat akan janji tersebut. Janji yang dibuatnya beberapa hari sebelum hari perkahwinan mereka. Fareez duduk semula di atas kerusi empuk. Zikri datang berjumpa dengannya di pejabat. Fareez termenung dan kadangkala tersenyum sendirian. Zikri memandang wajah Fareez. Benar sahabatnya itu telah jatuh cinta.
“ Sah!” suara Zikri yang kuat itu mengejutkan Fareez dari lamunan.
“ Apa yang sah?” tanya Fareez kurang faham.
“ Kau dah jatuh cinta kat Qaseh.” Zikri tersenyum lebar.
“ Tapi, aku harap kau jangan sia-siakan Qaseh. She’s a nice girl. Aku tengok dia pandai ambil hati kau.” Fareez terangguk-angguk mendengar kata-kata Zikri.
“ Aku takutlah.” Ujar Fareez tiba-tiba.
“ Laa…Apa yang kau takutkan?”
“ Aku takut dia tak sukakan aku.”
“ Dah 2 tahun, baru sekarang ni kau terfikirkan hal tu. Kau jangan risau. Aku tahu. Dia sayangkan kau. She loves you…more than you love her.” Fareez mengerutkan dahi. Tidak faham dengan kata-kata Zikri. Zikri faham akan kerutan tersebut dan menjelaskan satu persatu.
“ Buat apa Nad jadi kawan dia kalau Nad tak tahu perasaan dia.” Ujar Zikri. Barulah Fareez faham kini. Qaseh telah mencurahkan segala-gala perasaannya kepada Tengku Nadirah.
“ Apa aku nak buat untuk pastikan dia milik aku semutlaknya?” tanya Fareez seperti orang yang baru sahaja mendirikan rumah tangga buat pertama kalinya.
“ Ini kali pertama ke kau kahwin?” tanya Zikri. Lucu dia melihat wajah Fareez yang keresahan. Fareez menggeleng laju.
“ Kau mesti tahu apa nak buat. Ikatlah dia. Tapi, janganlah pakai tali pulak. Pakai kuasa kau sebagai seorang suami.” Fareez sudah mendapat jalan daripada Zikri. Kenapa dia tidak terfikir akan jalan ini? Dia mesti jadikan Qaseh miliknya.
Fareez tersedar dari lamunan apabila jari runcing Qaseh mengusap dadanya. Dia memandang wajah Qaseh dalam kesamaran lampu bilik tidur. Wajah Qaseh ditenung sedalam-dalamnya.
“ Maafkan Abang, Qaseh. Kerana melukakan hati Qaseh.” Qaseh meletakkan jarinya ke mulut Fareez.
“ Abang jangan cakap macam tu. Qaseh sikit pun tak marah pada Abang. Qaseh tak pernah ada dendam pada Abang.” Qaseh berkata separuh berbisik.
“ Abang sayangkan Qaseh.” Fareez membisikkan kata-kata keramat yang ditunggu-tunggu oleh Qaseh. Akhirnya, muncul jua pada malam pertama mereka bersama. Fareez memeluk Qaseh dan mereka sama-sama melangkah ke dunia yang hanya dikhaskan untuk mereka berdua. Qaseh rasa begitu bahagia di samping lelaki yang dicintainya itu. Berharap hari esok akan seindah hari ini.
Azan Subuh berkumandang. Qaseh terjaga dari lena dan memandang di sebelah. Fareez masih lagi nyenyak dibuai mimpi. Qaseh yakin dia tidak bermimpi. Dia tersenyum. Qaseh segera bangun dan menuju ke bilik air untuk membersihkan diri. Dia mengambil wuduk dan menunaikan solat. Kemudian, dikejutkan Fareez. Fareez mengeliat sebelum membuka mata. Memandang Qaseh sambil tersenyum.
“ Qaseh bahagia?” tanya Fareez lembut. Qaseh tersenyum dan mengangguk. Dipeluknya bahu Qaseh. Qaseh menolak perlahan.
“ Abang pergilah solat Subuh. Dah pukul 6.30 ni. Nanti terlepas pulak.” Fareez memuncungkan mulut apabila kehendaknya ditolak. Qaseh tergelak kecil. Dia menarik Fareez untuk bangun. Fareez mengikut sahaja isterinya. Qaseh menghulurkan kain tuala. Fareez mengambilnya dan segera masuk ke dalam bilik air. Selepas Fareez menunaikan solat Subuh, dia turun ke tingkat bawah. Qaseh sedang menyediakan sarapan pagi. Amirul sudah berada di meja makan menunggu Ayahnya. Qaseh menceduk bihun goreng ke dalam pinggan dan menyerahkan kepada Fareez. Begitu berselera mereka tiga beranak menjamu sarapan pagi.








FAREEZ menghantar Amirul ke sekolah. Qaseh sudah berjanji dengan Aishah untuk bersarapan bersama walaupun dia baru sahaja bersarapan dengan ahli keluarganya. Sudah lama mereka tidak berjumpa. Semenjak Aishah lepas sahaja bersalin. Qaseh berjumpa dengan Aishah di restoran yang selalu mereka kunjungi. Qaseh melangkah masuk ke dalam restoran tersebut dengan senyuman lebar menghiasi bibir. Aishah melambai kepada Qaseh. Qaseh segera menuju ke arah Aishah dan menarik kerusi di hadapan sahabatnya itu. Aishah pelik. Dia mengerutkan dahi.
“ Kenapa dengan kau pagi ni? Happy semacam.” Kata Aishah. Qaseh memandang Aishah. Tersenyum. Bertambah-tambah lagi kerutan di dahi Aishah. Semakin pelik dengan sikap Qaseh pada pagi itu. Selalunya berwajah murung. Tetapi hari ini berwajah ceria. Aishah segera menangkis tangggapan buruk terhadap Qaseh. Sepatutnya dia gembira dengan perubahan yang dialami oleh Qaseh.
“ Aku happy salah, aku tak happy lagilah salah.” Pelayan restoran tersebut mendekati mereka berdua dan mengambil pesanan Qaseh.
“ Kau dah order belum?” tanya Qaseh. Aishah terpinga-pinga.
“ Belum.”
“ Kau nak makan apa?”
“ Roti telur garing dengan Milo ‘O tarik.” Pelayan itu mencatat pesanan ke dalam satu kertas dan beredar dari situ. Aishah masih lagi meneliti wajah Qaseh yang berseri-seri.
“ Apasal kau pandang aku macam tu? Ada apa-apa yang tak kena dengan muka aku ke?” Qaseh mengelap mukanya. Takut ada bedak lebihan yang terlekat di mukanya. Aishah menggeleng.
“ Muka kau nampak berseri-seri.” Muka Qaseh merah padam apabila ditegur oleh Aishah.
“ Eh! Tak adalah. Macam biasa je.” Ujar Qaseh cuba berselindung.
“ Ada apa-apa terjadi ke di antara kau dan….” Aishah sengaja membiarkan ayatnya tergantung.
“ Tak ada apa-apa yang terjadi antara aku dengan Fareez lah.” Qaseh memotong percakapan Aishah.
“ Kau ada apa-apa dengan….Fareez?” Aishah membeliakkan matanya. Hati Aishah mula mengesyaki sesuatu.
“ Kenapa kau terkejut?”
“ Aku bukan maksudkan ada apa-apa yang terjadi antara kau dengan Fareez. Maksud aku ialah, ada apa-apa terjadi antara kau dengan Ashwad ke? Itulah maksud aku.” Aishah menjelaskan kata-katanya. Wajah Qaseh merona merah. Menahan malu.
“ Apa kena-mengena Ashwad dalam ini cerita?” tanya Qaseh. Kurang faham dengan kata-kata sahabatnya itu.
“ Yelah. Dah lama aku tak jumpa kau. Lepas kau jumpa Ashwad hari tu, kau asyik sibuk dengan urusan pejabat kau saja. Mana ada masa nak jumpa aku.” Ujar Aishah. Makanan dan minuman yang mereka pesan tiba dihadapan mereka. Mereka sama-sama mengucapkan terima kasih. Aishah menghirup sedikit milo yang masih berwap itu.
“ Aku dah lama tak jumpa dia. Fareez tak bagi aku jumpa Ashwad. Lagipun, aku sendiri pun dah tak nak jumpa dia. Aku ni isteri orang. Aku selalu tanamkan gelaran tu dalam fikiran aku.” Qaseh berkata. Aishah tersenyum. Senang hati dia melihat Qaseh begini. Sudah mula tersenyum.
“ Kau tak makan?”
“ Taklah. Aku dah breakfast kat rumah.” Kata Qaseh sambil mengacau air nescafe panasnya.
“ Dengan Fareez?” tanya Aishah. Dijungkitkan kening sedikit.
“ Dan Amirul sekali.”
“ Hmm…Ghazi call aku.” Ujar Aishah. Qaseh mengangkat muka memandang Aishah. Aishah menyambung semula percakapannya.
“ Lama jugaklah kita orang bersembang. Rupa-rupanya, selepas aku kahwin dengan Zahrien, Ghazi pergi overseas sambung belajar. Baru 3 bulan lepas dia graduate. Sekarang ni, dia bekerja kat tempat yang dia belajar tu lah. Kat mana, ya? Kalau tak silap aku, dia belajar kat Melbourne.” Aishah menyuap roti telur ke mulutnya. Qaseh masih sabar menunggu Aishah untuk berkata-kata.
“ How was he?” tanya Qaseh. Walaupun dia mengenali Ghazi dalam masa yang singkat tetapi dia merasakan sudah mengenali lelaki itu sudah berpuluh tahun. Orangnya peramah dan tidak lokek dengan senyuman. Kerana senyuman itulah, Zahrien cemburukan Ghazi. Cemburu akan sikap peramah Ghazi. Segala-galanya Zahrien cemburu tentang Ghazi.
“ He’s fine. He’s getting married.”
“ When? With whom?”
“ The end of next month. Dengan sepupu dia sendiri. Itu pun mak dia tolong rekemenkan. Kalau nak harapkan dia, sampai ke tua lah membujang. Dia slow sikit dengan perempuan.” Qaseh mengerutkan dahinya. Tidak faham dengan kata-kata Aishah.
“ Apa maksud kau dengan ‘slow’?”
“ Maksud aku, dia kureng sikit dengan perempuan. Bukanlah lembap. Dia tak reti nak approach perempuan. Macam aku dulu, adik dia yang tolong masukkan ‘jarum’. Macam-macam yang adik dia rekemenkan dia kat aku.” Qaseh mengangguk. Faham akan maksud Aishah itu.
“ Dia ajak kau datang kenduri dia. Nanti dia hantar kad.”
“ InsyaAllah, kalau tak ada aral melintang. Tapi, aku kena tanya Fareez dululah.” Aishah mengangguk. Mereka menyambung semula sarapan yang tergantung sebentar tadi.
Selepas selesai bersarapan, Qaseh harus segera ke pejabat kerana dia perlu berjumpa dengan seorang pelanggan penting. Mereka sama-sama bergaduh hendak membayar bil. Akhirnya, Aishah mengalah dan membiarkan Qaseah membayar bil sarapan mereka berdua.









FERNAIZZA berdiri dan mengucapkan salam kepada ketuanya itu. Qaseh hanya tersenyum dan mengangguk. Dia menuju ke arah bilik pejabat. Senyuman tidak lekang dari bibir sebaik sahaja dia mencecahkan kaki keluar dari lif sehinggalah dia masuk ke dalam pejabat. Fernaizza pelik. Dia mengerutkan dahi. Qaseh menekan interkom dan mengarahkan Fernaizza masuk ke dalam biliknya. Terkocoh-kocoh Fernaizza menuju ke bilik Qaseh.
“ Ya, Cik Qaseh.” Fernaizza membawa buku catatan dan mencatit arahan yang diberikan oleh Qaseh.
“ Fern, tolong ambilkan storyboard pasal Zhulianna Holdings.” Qaseh menyemak kertas-kertas dihadapannya.
“ Baik, Cik Qaseh.”
“ Terima kasih.” Ucap Qaseh. Fernaizza keluar dari bilik Qaseh dan menuju ke almari yang disediakan khas untuk menyimpan storyboard yang akan dikomersialkan selepas mendapat pengesahan dari pelanggan. Fernaizza masuk semula ke dalam bilik Qaseh.
“ Ini storyboardnya, Cik Qaseh.”
“ Terima kasih.” Qaseh menyambut storyboard yang dihulurkan kepadanya. Dia membuka kertas hitam yang menutupi storyboard itu daripada terkena habuk atau kotoran.
“ Ada apa-apa lagi, Cik Qaseh?” tanya Fernaizza.
“ Tak ada. Awak boleh pergi buat kerja.”
“ Baiklah, Cik Qaseh.” Fernaizza keluar dari bilik Qaseh dan menuju ke tempatnya untuk menyelesaikan kerja-kerja yang tertangguh. Qaseh mengangkat gagang telefon dan mula mendail nombor Zhulianna Holdings.
“ Hello….Boleh saya bercakap dengan Puan Zhulianna?” sopan Qaseh bertanya. Dia menunggu respon daripada orang di sebelah sana.
“ Boleh saya tahu daripada mana panggilan ni?” tanya satu suara lembut. Seorang perempuan yang menjawab panggilannya.
“ Saya daripada Fragile Advertising Company.”
“ Boleh saya tahu nama Cik?”
“ Saya Qaseh.”
“ Sila tunggu sebentar, ya? Saya akan sambungkan Cik Qaseh kepada Puan Zhulianna.” kata operator panggilan tersebut.
“ Terima kasih.” Ucap Qaseh. Tidak lupa budi bahasa yang ditanam sejak kecil lagi. Tidak lupa untuk mengucapkan terima kasih.
“ Sama-sama.” operator itu menyambungkan panggilan Qaseh terus kepada ketua syarikatnya, Puan Zhulianna.
“ Hello?” sahut satu suara di hujung panggilan.
“ Assalamualaikum, Puan Zhu. Saya Qaseh dari Fragile Advertising Company.” Qaseh memperkenalkan dirinya.
“ Waalaikumussalam. Haa….Cik Qaseh. Memang saya menantikan panggilan dari Cik Qaseh. Ada apa-apa yang boleh saya bantu, Cik Qaseh?” lemah-lembutnya Puan Zhulianna ini. Tidak seperti perempuan yang memiliki syarikat gergasi yang lain. Ada sesetengahnya menyombong tidak kena tempat. Qaseh berdehem kecil sebelum meneruskan ayatnya.
“ Bila saya boleh berjumpa dengan Puan Zhu?”
“ Mengapa?”
“ Saya perlu berjumpa dengan Puan Zhu berkenaan dengan storyboard syarikat Puan Zhu. Saya dah siapkan. Cuma perlukan pengesahan daripada Puan Zhu saja.” Terang Qaseh.
“ Pagi esok saya ada appointment. Kalau petang, boleh tak? Petang saya free.” Qaseh meneliti tarikh di dalam diarinya. Takut-takut ada temu janji lain pula. Nampaknya, tidak ada.
“ Baiklah. Petang kita jumpa. Apa kata kalau kita jumpa pada pukul 3 di CafĂ© San Francisco Coffee, KLCC?” Qaseh menetapkan tempatnya. Dia rasakan tempat itulah paling sesuai hendak berbincang.
“ Ok. Kita jumpa di sana.” Puan Zhulianna setuju dengan cadangan Qaseh. Qaseh tersenyum.
“ Terima kasih, Puan Zhu.”
“ Sama-sama.” Puan Zhulianna meletakkan telefon. Begitu juga dengan Qaseh. Qaseh mencatit di dalam diarinya tarikh pertemuannya dan Puan Zhulianna. Takut terlupa. Memang itu kebiasaannya.

BERSAMBUNG......