BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, October 30, 2009

Dan Sebenarnya....44

BAB 44

“MASUKLAH.” Jemput Datin Rubaiyah. Yasmin tersenyum dan melangkah masuk ke dalam rumah banglo itu. Pertama kali menjejakkan kaki, Yasmin sudah tertawan dengan cara hiasan dan susunan yang teratur di dalam rumah tersebut.
“Duduk dulu, ya. Auntie pergi buat air.” Pelawa Datin Rubaiyah. Yasmin melabuhkan punggungnya di atas sofa yang ada di ruang tamu.
“Eh....tak payahlah susah-susah, Auntie. Yas dah minum kat rumah tadi. Ini pun temankan Yan je.” Yasmin menolak baik. Datin Rubaiyah tersenyum.
“Tak apalah, Yasmin. Kalau tetamu datang rumah, kan tak elok kalau kita tak jamu apa-apa.” Datin Rubaiyah menukas. Akhirnya, Yasmin mengalah.
“Ma...Yan pergi ambil barang, ya.” Ujar Dizyan. Kaki sudah ingin melangkah menuju ke tingkat atas. Yasmin bangun dan menuju ke arah Dizyan.
“Yas pergi tolong Yan, Auntie.” Ujar Yasmin pada Datin Rubaiyah. Wanita elegan itu hanya mengangguk dengan senyuman.
Datin Rubaiyah beredar ke dapur. Yasmin membuntuti Dizyan sehingga ke tingkat atas. Sebaik sahaja pintu kamar itu terkuak, Dizyan tercari-cari sofa yang selalu dijadikan tempat beradunya dahulu. Masih ada! Dengan langkah perlahan, Dizyan masuk ke dalam bilik tersebut. Masih terbau haruman yang dipakai Faizal itu. Dizyan menekup mulut. Menahan airmata dari menitis.
‘Bersabarlah wahai hati.’ Dizyan menyabarkan hati yang lara. Ditarik dan dilepaskan nafas perlahan. Berjalan menuju ke arah walk-in wardrobe sebalik tirai itu. Diselak tirai tersebut dan menyalakan suis lampu. Terang-benderang almari itu. Terlihat bajunya yang masih tergantung elok. Faizal bukanlah seorang yang kejam sehingga sanggup membuang baju-bajunya dari almari itu. Dizyan menyentuh baju-baju Faizal yang bergantungan. Menciumnya. Bau haruman yang dipakai Faizal masih melekat di baju-baju tersebut. Yasmin hanya melihat perbuatan Dizyan itu. Langsung tidak berniat mahu menegur Dizyan. Biarlah dia mengambil masa untuk melepaskan kerinduan terhadap Faizal. Yasmin menyilangkan lengan ke dada. Lama Dizyan berkeadaan begitu. Tidak sampai hati pula untuk Yasmin menegurnya.
“Yan....” panggil Yasmin. Dizyan memandang ke arah Yasmin yang berdiri tercegat di hadapan pintu masuk almari itu. Dizyan mengangguk perlahan. Akhirnya, dilepaskan baju Faizal itu. Menarik perlahan bajuya yang bergantungan itu. Menutup semula walk-in wardrobe tersebut dan melangkah keluar. Diambil pula beg pakaian miliknya yang diletakkan di bawah laci meja solek. Yasmin sudah melabuhkan punggung di atas katil. Melipat baju-baju tersebut dan disumbat masuk ke dalam beg pakaian itu. Mata Dizyan tertancap di meja sisi. Bingkai gambar yang dihiasi gambar perkahwinan mereka terletak disitu. Dicapai dan dicium gambar tersebut. Lama! Tanpa disedari, airmata menitis di atas bingkai gambar itu. Yasmin hanya melihat perbuatan Dizyan.
“Yan...be strong, okay. Kau dah janji yang kau akan tabah menghadapi segala dugaan.” Yasmin menyentuh peha Dizyan.
“Mungkin aku belum cukup kuat. Aku belum cukup tabah. Aku belum dapat lepaskan dia.” Airmata mengaburi pandangan.
“Sudahlah tu, Yan. Aku dah siap kemaskan baju kau ni. Aku turun dulu. Karang mak mertua kau cari pulak. Cepat sikit turun, ya.” Yasmin berkata dan menepuk perlahan peha Dizyan. Gadis itu mengangguk perlahan. Ingin memberikan masa kepada Dizyan untuk melepaskan kerinduan yang berbuku selama berbulan itu. Pintu kamar ditutup rapat. Dizyan berbaring di atas katil. Mengusap lembut bantal tidur Faizal. Airmatanya menitik ke atas bantal tersebut. Dizyan kembali duduk. Dilap kasar airmatanya itu.
‘Sudahlah, Yan. Berhenti memikirkan tentang dia. Teruskan hidup. Maju ke hadapan. Lupakan kisah semalam. Dan....jangan pernah berhenti berharap.’ Dizyan memberikan semangat kepada hatinya. Terasa seperti ada satu tenaga baru yang menyalur masuk ke dalam dirinya.
Dijinjing beg pakaiannya. Berjalan menuju ke pintu kamar. Memandang sekali lagi dan buat kali terakhir. Menutup semula pintu kamar itu. Dizyan berjalan menuruni anak tangga. Menuju ke ruang tamu. Kelihatan Datin Rubaiyah dan Yasmin bersembang sambil bergelak ketawa. Entah apalah yang disembangkan dua insan itu. Dizyan menuju ke arah mereka dengan senyuman. Melabuhkan punggung di sebelah Datin Rubaiyah.
“Minumlah, Yan.” Jemput Datin Rubaiyah. Dizyan hanya mengangguk perlahan. Dicapai gelas jus oren dan diteguk perlahan. Kemudian, diletakkan semula ke atas meja.
“Ma....Yan ada perkara yang nak dicakapkan dengan Mama ni.” Ujar Dizyan. Bersilih ganti memandang Datin Rubaiyah dan Yasmin. Kakak iparnya itu hanya tersenyum dan mengangguk. Dizyan beralih pandang semula ke arah Datin Rubaiyah yang masih setia menanti butir bicaranya.
“Ma, Yan....Yan...Yan...” tergagap Dizyan ingin menceritakan perkara sebenar. Datin Rubaiyah mengenggam jemari Dizyan.
“Cakaplah, Yan.” Datin Rubaiyah berkata. Dizyan melepaskan keluhan perlahan.
“Yan...akan ke Australia.” Dizyan berkata. Mata Datin Rubaiyah membulat. Memandang Yasmin. Gadis itu mengangguk dan tersenyum.
“Buat apa? Bila?” bertubi soalan yang keluar dari mulut Datin Rubaiyah.
“Lepas kes cerai kami selesai. Mungkin dalam awal tahun depan. Sambung belajar, Ma.” Ujar Dizyan menjawab soalan bekas ibu mertuanya itu. Datin Rubaiyah melepaskan keluhan.
“Kenapa sampai ke Australia?” tanya Datin Rubaiyah lagi.
“Itukan U Yan dulu. Jadi, Yan rasa lebih baik sambung kat sana je.” Dizyan berkata pula. Datin Rubaiyah mengangguk tanda mengerti.
“Yan perlukan masa untuk tenangkan fikiran?” Datin Rubaiyah meneka. Dizyan tersenyum.
“Taklah, Ma. Memang betul Yan nak pergi sambung belajar.” Dizyan menukas. Tidak mahu Datin Rubaiyah berfikir bukan-bukan. Datin Rubaiyah menepuk peha Dizyan perlahan.
“Okay, Mama percaya cakap Yan tu.” Datin Rubaiyah tersenyum. Dizyan mencapai gelas yang berada di atas meja dan meneguk sehingga habis air tersebut.
“Ma, Yan minta diri dulu.” Dizyan segera bangun. Yasmin turut bangun setelah dihabiskan air jusnya. Datin Rubaiyah berdiri dan bersalaman dengan Yasmin dahulu. Kemudian, Dizyan tunduk bersalaman dengan Datin Rubaiyah. Wanita elegan itu mengusap kepala Dizyan.
“Maafkan Zal, ya.” Datin Rubaiyah berkata. Dizyan mengangkat muka memandang wajah tua dihadapannya itu.
“Yan tak pernah salahkan Zal. Dah lama Yan maafkan Zal.” Ucap Dizyan. Tidak mahu Datin Rubaiyah berasa serba salah.
“Yan balik dulu, Ma.” Ujar Dizyan. Datin Rubaiyah mengangguk.
Yasmin menolong Dizyan dengan menjinjing beg pakaian milik Dizyan. Datin Rubaiyah memeluk bahu bekas menantunya dan mereka sama-sama berjalan beriringan ke pintu utama. Yasmin terus sahaja menuju ke keretanya yang berada di luar kawasan rumah. Dizyan beralih dan memegang jari jemari Datin Rubaiyah. Serasa tidak mahu dilepaskannya.
“Ma, Yan pergi dulu.” Ujar Dizyan. Wanita tua itu mengangguk dan tersenyum hambar.
“Bila Yan nak berangkat, Yan beritahu jelah pada Mama. Nanti Mama dan Papa pergi jumpa Yan kat airport.” Datin Rubaiyah berkata. Dizyan tersenyum kecil.
“InsyaAllah, Ma.” Jawab Dizyan. Kemudian, dia berjalan meninggalkan Datin Rubaiyah di muka pintu. Menuju ke kereta Yasmin yang berada di hadapan pintu pagar. Sempat melambai ke arah Datin Rubaiyah yang masih tercegat disitu. Dizyan masuk ke dalam perut kereta dan Yasmin menderum pergi meninggalkan kawasan rumah banglo itu.


JATUH terduduk Aneeq dibuatnya apabila satu tumbukan mengena di pipi. Faizal termengah menahan amarah yang membuku di dada. Wajahnya membengis. Aneeq memegang pipi yang terasa pijar. Geram Aneeq melihat Faizal yang tidak semena-mena menumbuknya. Dia berdiri dan membalas tumbukan. Terkena di pipi Faizal. Kali ini, giliran Faizal pula terduduk. Meraba bibir yang terasa pedih. Terasa ada cecair merah yang mengalir di tepi bibir. Mengelap menggunakan belakang telapak tangan dengan kasar. Dia cuba untuk bangun berdiri secepatnya.
“Jahanam!” Faizal sedikit menjerit. Ingin melayangkan sekali lagi penumbuk kepada Aneeq tetapi dengan segera lelaki itu menjauhkan dirinya. Aneeq menolak badan Faizal dengan kasar. Faizal mencekak kolar baju Aneeq dan Aneeq juga turut mencekak kolar baju Faizal. Mata mereka bertentang. Deru nafas yang naik turun terasa membahang.
“Apahal kau ni tiba-tiba je serang aku?” Aneeq bertanya dengan perasaan geram. Tidak tahu-menahu sebabnya Faizal tiba-tiba datang menyerang Aneeq di rumah apartment milik dia di Bangsar. Faizal menolak badan Aneeq dengan kuat. Aneeq melepaskan kolar baju Faizal. Dilihatnya Faizal mengeluarkan sesuatu dari poket jaket.
“Apa maksud semuanya ni?” Faizal melemparkan gambar-gambar yang berada di tangannya ke muka Aneeq. Tergamam! Aneeq mengutip satu persatu gambar yang bertaburan. Aneeq menarik nafas dan melepaskan keluhan perlahan.
“Kau dengar dulu apa yang aku nak cakapkan ni.” Aneeq mengendurkan suaranya. Faizal mengetap gigi.
“Tak ada apa-apa yang berlaku antara aku dan Yan malam tu.” Aneeq menghempaskan punggungnya di atas sofa. Mata Faizal mencerlung.
“Kau kata tak ada apa-apa? Habis, gambar tu?” Faizal mengunjukkan jari telunjuknya ke arah gambar-gambar yang berada di dalam genggaman Aneeq.
“Memang tak ada apa-apa. Aku dan Yan diperangkap oleh Rohan.” Ujar Aneeq. Matanya masih tidak lepas memandang gambar-gambar itu. Selalu terbayang difikirannya tangisan Dizyan malam tersebut. Dizyan seperti histeria apabila mengetahui dirinya separuh berbogel dan berada di atas satu katil bersama Aneeq.
“Rohan? Apa kena-mengena dengan dia?” Faizal bertanya. Suaranya masih meninggi. Tiba-tiba teringat sampul surat yang tertera nama Nahor Leumas. Kalau diterbalikkan abjadnya, akan membentuk nama Rohan Samuel.
“Dia berdendam dengan aku. Dia ingat aku rampas Lin. Kau pun tahukan. Lin yang tergila-gilakan aku.” Aneeq berdiri semula. Berdiri menghadap Faizal yang bercekak pinggang.
“Apa buktinya yang kau diperangkap oleh Rohan?” Faizal bertanya lagi. Aneeq memeluk tubuh.
“Kau boleh tanya pada Alicia. Dia yang tolong Rohan perangkap aku.” Aneeq menukas. Faizal mengerutkan dahi. Alicia, kekasih kepada Ryzal. Ahli kumpulan Faizal and the boys. Tetapi setengah tahun mereka berkasih, Ryzal memutuskan hubungannya dengan Alicia. Dan kini, Alicia bersubahat dengan Rohan? Faizal tidak percaya. Dia kenal Alicia. Gadis itu seorang yang sangat baik. Faizal pernah terfikir betapa ruginya Ryzal melepaskan Alicia begitu sahaja.
“Kenapa dia nak tolong Rohan?” suara Faizal dikendurkan sedikit.
“Kau nak tahu kenapa Ryzal berpisah dengan Alicia?” tanya Aneeq. Dilihatnya Faizal menggeleng pantas. Aneeq melepaskan keluhan perlahan.
“Sebab Alicia sendiri katakan pada Ryzal yang dia dah mula jatuh cinta pada lelaki lain. Tapi sampai sekarang Ryzal tak tahu yang dia jatuh cinta pada Rohan.” Faizal seperti tidak percaya mendengar kata-kata Aneeq itu.
“Rohan letakkan pil khayal dalam minuman aku dan Yan. Then, he set us up. Yan tak salah. Aku yang salah. Salah kerana libatkan dia dalam dendam aku dan Rohan.” Aneeq menepuk bahu Faizal. Lelaki itu meraup wajahnya. Satu kesalahan telah dilakukan tanpa dia sedari. Dia telah menceraikan gadis yang tidak bersalah. Minggu hadapan, kes perceraian mereka akan dibawa di hadapan Hakim Mahkamah Syariah.
“Aku harap kau fikirlah baik-baik sebelum kau bercerai dengan Yan. Dia seorang gadis yang baik. Tak mungkin kau akan dapat pengganti macam dia.” Aneeq memegang bahu Faizal. Lelaki itu mengalih pandang ke arah Aneeq.
“Aku pernah cakap pada dia. Seandainya kau melepaskan dia, aku nak dia kembali ke pangkuan aku. Yan kata, tak mungkin. Sebab dia dah mula cintakan kau. Dan sekalipun kau melepaskan dia, cinta dia hanya untuk kau.” Perasaan bersalah semakin menebal dalam diri Faizal. Tapi semuanya sudah terlambat. Dia mengusap leher.


KERETA Faizal memasuki perkarangan garaj. Datin Rubaiyah berdiri dan menyelak langsir yang menutupi jendela. Kelihatan lampu halogen kereta Mazda MX-5 itu menyuluh mata Datin Rubaiyah. Datuk Farid hanya melihat perbuatan isterinya itu. Sejak dari tadi, sekejap berdiri dan sekejap duduk. Menggeleng perlahan. Matanya tertala semula ke peti televisyen yang terpasang. Datin Rubaiyah menutup semula langsir jendela. Dilabuhkan semula punggungnya di sebelah Datuk Farid. Seketika kemudian, Faizal melangkah masuk ke dalam rumah. Lemah sekali langkah kaki Faizal ingin mendaki tangga untuk menuju ke biliknya.
“Zal...” panggil Datin Rubaiyah. Faizal mengalih pandang. Kelihatan kedua ibubapanya berada di ruang tamu. Faizal tidak jadi melangkah. Langkah kakinya di arahkan ke ruang tamu.
“Ya, Ma?” Faizal memandang ke arah Mamanya. Datin Rubaiyah menepuk sofa di sebelahnya. Faizal melabuhkan punggung di sebelah Datin Rubaiyah. Memandang lemah ke arah ibubapanya. Datin Rubaiyah memberikan isyarat mata kepada Datuk Farid. Lelaki tua itu berdehem. Faizal sedari tadi hanya menundukkan wajah.
“Zal tahu Yan nak ke Australia?” tanya Datuk Farid setelah lama berdiam diri. Faizal mengangkat muka. Matanya membuntang memandang Datuk Farid. Dan perlahan-lahan kepalanya menggeleng.
“Bila, Pa?” Faizal pula bertanya.
“Katanya, awal tahun depan.” Datin Rubaiyah pula menyambung. Tiba-tiba sahaja Faizal rasa lututnya lemah. Tidak tahu bagaimana hendak menggambarkan perasaannya ketika itu.
“Ma...Pa, Zal naik dulu.” Faizal meminta diri untuk naik ke tingkat atas. Laju sahaja kakinya mendaki anak tangga menuju ke tingkat atas.
Pintu kamar dihempas perlahan. Langkah kaki Faizal berjalan longlai menuju ke katilnya. Direbahkan badan yang keletihan. Melekapkan tangan ke dahi. Terbayang di ingatannya malam terakhir dia dan Dizyan bersama. Airmata yang membasahi pipi Dizyan terasa ingin dikesat. Tetapi egonya menahan daripada berbuat demikian. Terdengar lagi rayuan Dizyan yang ingin memberikan penjelasan. Dihalau gadis itu tanpa belas kasihan. Semasa kedua ibubapanya pulang, mereka mencari-cari Dizyan. Terkejut apabila Faizal mengkhabarkan bahawa dia telah menceraikan Dizyan dengan talak satu. Minggu hadapan, dia terpaksa berhadapan dengan Dizyan bagi penentuan kes cerai mereka. Satu keluhan kuat dilepaskan. Matanya dipejamkan.‘Maafkan aku kerana terlalu cemburu. Ya! Aku mula sayang dan cintakan kau. Tapi itu semua sudah terlambat. Maafkan aku....Maafkan aku....’ hati Faizal merintih seorang diri. Tanpa dia sedari, airmata mengalir di pipi. Dikesat segera airmata tersebut. Dilihat air yang basah di tangannya. Pertama kali! Buat pertama kali, airmata lelakinya mengalir. Faizal bangun dari perbaringannya. Menuju ke balkoni. Dibuka langsir yang menutup pintu balkoni. Sliding door balkoni ditolak perlahan. Melangkah keluar ke balkoni. Angin malam berhembus dingin. Menekur pandangan ke langit hitam yang terbentang luas. Seperti ingin hujan. Langit yang gelap seperti hatinya juga. Faizal memejamkan mata dan melepaskan keluhan kuat.

BERSAMBUNG.....

Thursday, October 29, 2009

Rasa2 nye lah kan.............

Salam u ols,

Rasa2 nye lah kan, esok tak boleh nak post next n3. Sebab saya nak pi hantar my lappy untuk reformat. Sebab Ahad ni nak pi belajar buat skrip pulak. Takut nanti hang time tue, mampuuih!Jadi nak pi hantar reformat hari ni. Kalau dia kata boleh ambil esok balik my lappy, rezeki u ols semua nak baca lah next n3.......ok? Daaaaaaaaaaa for now!

Monday, October 26, 2009

Sesaje nak berkongsi cerita!!!!!

Salam semua,

Sorry tak boleh nak posting banyak2 kali ni sebab saya menunggu jawapan daripada Kaki Novel untuk mempublishkan manuskrip D.S ni. Insya Allah kalau ada berita baik mahupun berita buruk, saya akan sampaikan kepada semua 'kipas-susah-mati' saya ini. Tapi saya ada satu cerita mahu dikongsikan dengan anda semua.Adalah seorang peminat setia blog bersawang saya ni (nama dirahsiakan atas sebab-sebab tertentu) wahhh.....cam takut dikejar wartawan Melodi plak.....hiks.......Al-kisahnya, bertanya kepada saya. Macam-macamlah yang ditanyakan. Mengalahkan wartawan pun ada. Tapi saya tetap menjawab soalan beliau itu.

Antara soalan-soalan yang ditanyakan oleh beliau ialah kerja kat mana, study dulu kat mana, pernah duduk oversea ke, macam mana minat nak jadi penulis, macam mana tahu nak bermain dengan perasaan pembaca, macam mana boleh mengkreatifkan diri, macam mana boleh menyentuh hati pembaca dan adakah saya mempunyai pengalaman seperti watak-watak wanita yang ada di dalam novel saya? Hurmmm......saya pun menjawab la satu persatu.....selalunya bila dia tanya sepatah, saya jawab sepatah. Kali ni berpatah2, sampai nak berpinau biji mata dia pun ada agaknya.....kehkehkeh......

dan inilah jawapan yang saya berikan kepada beliau:-
Dulu saya seorang penanam anggur yang berjaya sampai dekat setahun. Lepas tu, buah anggur yang ditanam tak menjadi, jadi terpaksalah berusaha untuk mencari pekerjaan yang lain. Alhamdulillah dah dekat 4 bulan saya mula bekerja sebagai kerani di sebuah firma guaman yang terkenal (ewaahhhh terkenal ke? Boleh lah. Terkenal area Shah Alam). Nama firma guaman tersebut ialah Ahmad Daud & Associates. Sebenarnya dulu course yang saya belajar, tak sama dengan apa yang saya kerja sekarang ni. Saya ambil jurusan kewartawanan integratif di sebuah institusi atas bukit yang dah kena jual tu. Alaa....yang dok kat atas bukit kat Wangsa Maju. Sekarang ni dah pindah pi Setiawangsa. Saya belajar la selama 2 tahun setengah. Lepas tu, saya dapat praktikal di TV9...jinglenya, Dekat Di Hati....Bergelar sebagai seorang praktikal selama 3 bulan di sana memang indah. Sekarang ni pun terasa seperti hendak kembali bekerja di sana. Tetapi apakan daya, bekas producer saya tu memang tak boleh harap. Hampeh tahap cipan melampau ni! Dia fikir perut dia je. Suppose setiap kali habis praktikal, kita dikehendaki menyerahkan resume kita kepada producer. Supaya producer dapat rekomen kita kerja kat situ. Tapi tak tahulah mana dia campak resume saya. Rasanya dah berhabuk dalam tong sampah. Or dah sampai pun kat tempat pelupusan sampah.....Sebenarnya, kerja dalam ofis bukanlah minat saya dari dulu. Tapi nak buat macam mana kan? Lebih baik kerja dari dok umah membesarkan apa yang tidak sepatutnya (tak bolehlah nak melucah kat sini kan). So, sekarang ni saya fikir nak sambung belajar balik tahun depan dalam Degree in Journalism. Samada kat UiTM or Open University. Mana2lah. Aiman tak kisah!

Jawapan seterusnya yang saya berikan pada beliau lagi ialah:-
Saya tak pernah duduk oversea. Seriously saya cakap. Luxembourg tu hanyalah imaginasi semata2. Saya cuma bayangkan saya berada di sana. Tempat mana saya nak pergi. Rumah yang macam mana saya nak ada. Kawasan kat mana yang saya teringin nak duduk. Dan sebenarnya, saya bayangkan Luxembourg tu lebih kurang macam ada satu kawasan kat Switzerland je. Tu pun Switzerland saya tengok kat tv. Macam mana nak ke oversea, ke Pantai Timur pun saya belum pernah sampai. Hihii.....Tapi Paris bukan imaginasi, realiti. Cuma bukan saya yang pergi ke Paris, kakak ambo penah duduk Paris and kerja kat sana selama 2 tahun. So, dia yang beritahu patut naik atau turun metro kat mana. Kalau naik bas kat sini, turun stesen mana. Itulah. Tempat yang seronok untuk didiami di sana. Tapi, seperti yang dinyatakan dalam K.A.N, kawasan perumahan kat sana tak banyak. Jadi, agak restricted sikit nak buat rumah2 dalam town ni. So, dia yang menjadi consultant dalam citer K.A.N tu. Hahhhh!!!!! Cite pasal K.A.N, kakak saya dah habis proof read. Jadi, insyaAllah kalau tak ada apa-apa aral melintang, hujung tahun ni siap dipublishkan lah. Jangan lupa untuk mendapatkannya melalui online malindo publications or melalui saya pun boleh. Ada sign lagi......Nak sign tak? Wakakaka......Macamlah kau tu femes sangat. Uwekkk!!!!! Perasan tahap gaban ni. Apa salahnya nak perasan sekali sekala.....Okeh2, back to the main story! Ni dah tahap melalut ke mana ntah......

Macam mana minat jadi penulis?
Actually idea untuk menulis tak pernah terlintas pun di otak ni (otak yang lebih besar dari burung unta ni). Dulu2, suka-suki je baca novel. First novel yang saya baca ialah Jendela Hati karya Aisya Sofea. Tu pun pinjam orang punya. So, time tu memang gilakan buku tu lah. Then, gila pulak nak beli novel. Maka, startlah kumpul novel. Novel pertama yang dibeli ialah Kau Yang Satu karya Nia Azalea. Tiba2 nak dijadikan cerita, saya rasa saya boleh menulis lebih baik dari ni (ni bukan kes nak berlagak ye. tapi itulah yang terlintas dalam kepala hotak nie!). Dulu2, almaklumlah...nak kata cerdik IT, tidak. Nak kata buta IT pun tidak. Saya start menulis masa form 2 (kalau tak silap). Mula menulis atas kertas. Bukan draft tau. Kalau draft boleh diterima dek akai lagi. Ni siap ada dialog and satu persatu pergerakan watak2. So, ada satu time tu dah penat menulis. Tinggalkan macam tu je. Sebab penyakit malas dan penat nak menulis dah datang. Lepas tu, kakak saya yang baik hati yang duduk kat Paris tu, tahu saya perlukan komputer untuk bersurfing (ada ke ayat nie?!) internet dan perlu mengikuti perkembangan zaman terkini lah, katakan. Dia pun hantarlah duit dekat 400 euro. Banyaklah time tu. Bayangkan kalau 400 euro convert ke duit Malaysia time tu yang RM5 ++ se euro. Kami pun belilah komputer. Dari situ, saya mula menulis balik (menaip ler). Tapi bukan cerita yang sama. Cerita yang lain. Maka terbitlah idea Dari K.L ke Luxembourg. Samalah macam Kasih Aisyah Najyha. Buat punya buat punya buat punya buat......sampai satu masa, idea tiba2 je hilang. Otak terus blank. Tak tahu nak sambung macam mana jalan ceritanya. So, saya berhenti buat novel tu. Konon nak pi mencari idealah. Tapi time tu sibuk dengan SPM. So, berhenti lagi (banyak betul so kau ni?!). Terus lupa nak sambung. Tapi sebenarnya, memang idea tengah kontang time tu. After that, dapat masuk IPTS plak. Langsung sibuk dengan assignment yang bertimbun. Terus tinggal macam tu je. After 3 years, bayangkan.....lepas 3 tahun, baru sambung balik. Sekarang Alhamdulillah, idea tak berhenti2 mencurah pulak. Jadi, idea untuk menyambung novel ke-4 pun dah sampai. Tidak perlulah kalian menunggu lebih lama. Tapi pun novel ke-4 baru masuk bab 2.....Kahkahkah.....So, sekarang ni dah ada lappy (my father bought for me) dengan duit 'durian runtuh' yang dia dapat dari hasil penjualan rumah pesaka atok dan nenek ku. Bukan dia sorg je dapat, adik beradik yang lain pun dapat. Tapi biasaklah, orang ni kalau dah nampak duit banyak depan mata, nak bolot sorg2. Alkisah ceritanya (keluar tajuk jap ye), ayah saya ni dibela oleh abang sulung nenek saya. Jadi, dia dibela dari kecik la. Lepas2 nenek saya bersalin je, terus di campakkan ayah saya ni ke abang dia. Alah....lagipun, abang nenek saya ni memang tak ada anak. To make long story short (wow, skipping....), adik beradik dia yang 'baik hati' tu tak mahu bagi reta tu sikit ayah saya. Tapi nasib baik arwah atok saya yang 'Al-Bijaksana'
tu, telah memasukkan nama ayah saya ke dalam wasiat dia (tak tahu lah bila?!). Sebab agaknya, dia pun tahu anak2 dia cam Pelesit Tahap Dewa. Jadi, nak tak nak adik beradik ayah saya kena bagi juga. Sebab Amanah Raya (kalau tak silaplah) tak mahu bahagikan harta kalau ayah saya tak berikan persetujuannya untuk menjual rumah pesaka tersebut. Mana boleh kan jual rumah tu kalaupun salah seorang yang tidak setuju. Jadi, itulah alkisahnya. The End (cite pasal ayah saya lah! Cite pasal saya belum lagik.)

Macam mana tahu nak bermain dengan perasaan dan dapat menyentuh hati pembaca dan mengkreatifkan diri? Ada pengalaman sendiri?
Hurmmm......saya bayangkan saya adalah seorang peminat yang meminati karya seorang penulis. Jadi, sebagai seorang peminat, apa yang saya nak ada dalam bab seterusnya. Apa sebenarnya yang saya nantikan dalam bab seterusnya. Sedih, kelakar dan bermacam konflik yang ada dalam diri watak tu. Saya jadikan diri saya sebagai watak2 wanita tersebut. Actually, saya suka duduk seorang diri. Saya tak suka tempat yang ramai2 orang. Tempat yang bising, or ada budak2 kecik. Urghhh.....rimas sangat. Sebenarnya, saya ni a loner. Lone Ranger! Awas....jangan terlalu mendekati saya. Wawawawawa....Ada time la saya suka ramai2 orang. Tapi bila time untuk berkarya, sorry saya tak mahu ada orang. Sebabnya, saya suka membayangkan watak2 tu adalah saya. Then, saya akan berlakon jadi watak tersebut. Selami hati dan perasaan watak2 itu. Bercakap sorang2. Bila saya berlakon jadi watak tu, only then baru saya tahu apa yang saya nak katakan pada watak lagi satu. Barulah terkeluar ayat2 yang canggih-manggih tu (canggih ke?!). Jadi, kalau ada yang ternampak saya di mana2, mengadap lappy kesayangan dan bercakap sorg2, sayalah tu. Tapi kalau sambil berjalan2 cakap sorg2, pakai baju koyak sana sini, dok bawah jembatan, maap bukan saya! Wakakaka......Saya kalau boleh teringin sangat nak pergi bercuti tepi pantai or dalam hutan. Then, concentrate je wat novel. Cutilah barang 2-3 minggu. Boley gitew? (Sapa nak bayaq gaji hang? Banyak cantek....). Sampaikan kakak2 saya pun boleh kata saya ni ada wayar loose sebab suka cakap sorg2. Tu sebabnya saya tak boleh duduk kat tempat ada orang. Nanti dikatakan gilalah pulak. Huhuhuu......
Kreatif kan diri? Erm......Saya suka sesuatu yang adventurous. Macam bab D.S yang baru2 ni. Saya buat watak Dizyan dan Faizal bercerai. Saya suka buat sesuatu yang orang tak sangka. Saya tak suka buat benda yang sama. Macam watak2 tu kenal2 then kahwin, then gaduh then baik balik. Boring lah. Cliche. Banyak dah novel buat macam tu. Bukanlah nak kata novel saya best. Tapi itulah kelainan sebenarnya. Supaya orang terus membeli novel dan membaca blog saya. Saya nak setiap orang yang singgah di blog saya, akan rekomenkan blog saya pada kengkawan yang lain pulak. Jadi, follower saya akan bertambah ramai. Dan banyaklah juga komentar yang saya terima sangat memberangsangkan. Saya nak orang tak jemu menyinggah di laman blog saya. Hehehe.......Kadangkala saya main type je apa yang terlintas di otak karat nie. Dah habis berbab2 saya type, sampai idea pun kering. Only then saya baca balik previous bab yang saya dah type. Review balik. Then, betulkan yang mana tak berapa nak betul. Kalau ada salah ejaan, betulkan. Macam tulah. Kadangkala, saya rasa macam tak percaya apa yang saya tulis tu. Saya jadi admire dengan tulisan sendiri. Kadangkala saya akan kata pada diri "Betul ke aku yang menulis ni? Macam tak percaya pulak." Semua yang saya buat nie memang bukan berdasarkan pengalaman saya. Hanyalah imaginasi semata-mata. Tiada kaitan dengan sesiapa pun. Nak buat novel pun, imaginasi haruslah menggunung. Baru boleh menulis. Hehehe....Terimalah nasihat tak seberapa ni. Pemilihan watak yang dilakukan adalah berdasarkan pemerhatian saya terhadap watak orang yang 'real' di luar sana. Jadi, setiap kali saya nak membina watak, saya akan perhatikan gerak-geri orang tu. Macam mana dia bercakap, gelak, makan dan sebagainya. Jadi, hati2 lah anda kalau anda diperhatikan. Jangan pandang belakang! Wakhakhakhakah......

Masa first time D.K.L.K.L publish, saya rasa macam tak percaya sangat. Saya kata pada diri saya sendiri. Betul ke apa yang sedang berlaku ni? Betul ke? Aku dah jadi seorang novelis sekarang. Belum ada ahli keluarga dari keluarga Dato' Haji Abu Bakar dan Datin Hajjah Siti Aminah (atok dan nenek ku sebelah ayah ku), Haji Zainuddin dan Hajjah Wan Maimunah (atok dan nenek sebelah Mama ku) yang menjadi seorang novelis. Oleh kerana, saya ni macam lain sikit. Bukanlah lain macam mana pun. Saya ni seorang yang pendiam yang amat sangat (bukan berat mulut ye) cuma tak suka merapik tak tentu hala. Dah tu, kalau orang lain bersembang, saya lebih suka berdiam diri, perhati orang lain then gelak or senyum kalau ada yang buat lawak. Tapi kalau nak bercakap, sorry morry naik lorry makan biskut marry. Wargh!!!!! Masa family saya beritahu kat semua orang and tunjuk buku D.K.L.K.L tu pada orang lain, dia orang sangat2 suprise and terkejut berok tahap beruang. Tak boleh nak salahkan dia orang pun, sebab saya ni jenis low profile and tak banyak cakap. Dah tu, saya tak pernah tunjuk pun minat saya pada orang lain. Dah lah masa saya ambik course Journalism tu pun, dia orang terkejut. Saya pun terpikir gak. Boleh ke saya jadi wartawan sedangkan mulut saya bukanlah macam bertih jagung (perumpamaan harus ada....wakakaka). Mulut saya bukan lah macam kakak2 saya. Dia orang boleh lagi kalau nak diajak bersembang. Saya ni bab2 bersembang malas sikit. Malas nak layan sebenarnya!

Actually dulu berangan gak la nak jadi macam Aisya Sofea, Damya Hanna, Sharifah Abu Salem, Nia Azalea and ramai lagilah. Sekarang ni impian dah menjadi kenyataan. Tahniah! (ucap pada diri sendiri plak) wargh! Gila aku macam ni.......So, sekarang ni tengah research for the next location for the next novel. And just for you guys yang tak pernah bosan2 menyokong saya dan akan sentiasa menyokong saya, nama tajuk novel seterusnya SEINDAH AL-HAMRA. Seperti yang saya nyatakan hari itu, ada kaitan jugaklah dengan novel2 yang sebelum ini. Tak mahu dedahkan novel yang mana satu. Just wait and read! Tapi bukan sequel, okay! Hanyalah episod seterusnya dalam kehidupan mereka. Tungguuuuuuuuuu.....................Dah on the way dah pun!

Sekarang nak jadi penulis skrip untuk drama tv atau filem. Amacam? Okay x? Hehhehe......

Akhir sekali, sila vote di poll sebelah! Tenkiu.....

Friday, October 23, 2009

Dan Sebenarnya....43

BAB 43

“PUAN…Puan…Puan….” Mastura mengejar wanita yang dipanggilnya itu. Termengah-mengah mencuri nafas. Langkah kaki Yasmin semakin melaju menuju ke arah bilik Faizal. Misha membuntuti Yasmin. Kasihan pula melihat Mastura begitu. Setiap pekerja yang berselisih dengan Yasmin, dapat merasakan perasaan amarah yang sedang dibawanya. Kebanyakan pekerja berbisik sesama sendiri, ada yang terjenguk-jenguk ke arah Yasmin.
Yasmin merempuh pintu bilik Faizal. Misha menahan Yasmin dari bertindak melulu. Tangan Misha direntap kasar. Misha menggigit bibir. Geram juga dia melihat keadaan yang berlaku dihadapannya. Terlihat Ku Zhety sedang duduk di atas meja Faizal dan mengusap kepala Faizal yang sedang kusut itu. Wajah Yasmin semakin membara. Ku Zhety memandang selamba ke arah Yasmin dan Misha. Kemudian, menjeling. Masih meneruskan usapan di kepala Faizal itu.
“Maafkan saya, Encik Faizal. Saya dah cuba menghalang tapi….” Ayat Mastura segera dipintas oleh Faizal. Faizal menepis perlahan jemari Ku Zhety yang mengurut kepalanya.
“It’s okay, Mas. Awak boleh keluar.” Ujar Faizal. Mastura mengangguk perlahan dan melangkah keluar. Segera menutup pintu apabila dilihatnya Yasmin sudah bercekak pinggang.
“Kau ni memang tak guna!” belum sempat Faizal berkata apa-apa, Yasmin sudah menyerangnya. Lantang sekali suaranya memecah suasana. Misha menarik tangan Yasmin. Pekerja-pekerja yang lalu-lalang, mesti mengalihkan kepala mereka memandang ke arah bilik Faizal yang tertutup itu.
“Kau boleh tak tolong jangan datang sini dan buat kecoh. Lebih baik kau balik. Sebab aku banyak sangat kerja sekarang ni.” Faizal meningkah. Mata Yasmin sudah memerah. Misha masih menarik tangan Yasmin. Ingin segera beredar dari situ. Yasmin tidak mempedulikan Misha.
“Kerja apa yang kau sibukkan sangat tu? Nak berasmara dengan perempuan tak tahu malu ni?” jari telunjuk Yasmin mengunjuk ke arah Ku Zhety yang berdiri di sebelah Faizal. Jelek melihat perempuan itu berskirt pendek dan memakai baju bertali halus. Ku Zhety memeluk tubuh dan memandang sinis ke arah Yasmin dan Misha.
“Apa hal kau datang office aku ni? Ada apa-apa keperluan yang kau nak? Atau….duit?” Faizal bertanya sinis. Yasmin rasa terhina. Menuju ke arah Faizal dengan penumbuk yang digenggam. Tetapi segera dihalang oleh Misha.
“Kau jangan bersikap kurang ajar dengan aku. Aku ni kakak ipar kau! Kalau setakat duit kau tu, aku tak heranlah. Laki aku pun banyak duit.” Yasmin menjerit. Mata Ku Zhety terbeliak. Kakak ipar?
“Yas, sabarlah. Kau jangan bertindak melulu.” Misha berkata.
“Kakak ipar? Sejak bila you kahwin?” bertubi-tubi soalan yang keluar dari mulut Ku Zhety. Dahinya berkerut memandang Faizal dan Yasmin silih berganti.
“Ohh….maknanya ‘kekasih’ kau ni, tak tahulah yang kau dah kahwin? Hah…memang dasar lelaki buaya.” Terjerit-jerit Yasmin meluahkan apa yang terbuku di hatinya. Misha masih menarik lagi tangan Yasmin yang sudah semakin mendekati meja Faizal.
“Excuse me. Kau tu cuma bekas….kakak…ipar aku je. Aku dah tak ada apa-apa hubungan dengan adik ipar kau tu.” Faizal juga turut menjerit. Geramnya Yasmin tidak terkata pada Faizal.
“Kau tahu tak apa yang berlaku pada Yan?” Yasmin menepuk meja Faizal, kuat. Terkejut Ku Zhety dan Faizal. Ku Zhety mengurut dada. Menjeling pada Yasmin. Misha juga turut mengurut dada.
“Apa yang berlaku pada dia, bukan masalah aku lagi dah. Aku dah bercerai dengan dia.” Faizal menukas. Mata Ku Zhety sekali lagi membeliak.
“Yan? You kahwin dengan Yan?” pertanyaan Ku Zhety itu tidak dijawab oleh sesiapapun. Yasmin menjeling tajam. Faizal melonggarkan sedikit tali lehernya yang menjerut lehernya.
“You…you…jawablah. You kahwin dengan Yan?” Ku Zhety memaksa lagi. Menggoncangkan lengan Faizal. Lelaki itu berasa jengkel dan segera menjawab.
“Yes. Tapi dia curang dengan Aneeq. Aneeq my dearest best friend.” Faizal berkata sambil memandang Yasmin dan Ku Zhety silih berganti. Kemudian, perempuan itu tersenyum sinis.
“Oh…nampaknya dia pun bukanlah jenis perempuan yang baik-baik. Pandai jugak ya, kawan kau nak bermain kayu tiga.” Sindir Ku Zhety. Mata Yasmin membulat. Tercengang Misha dibuatnya.
“Kau jangan masuk campur. Ini hal antara aku dan dia.” Yasmin mengunjukkan jari telunjuknya ke dada dan juga ke arah Faizal.
“Yan tak ada apa-apa dengan Aneeq. Itu semua hanya salah faham.” Yasmin cuba menjelaskan perkara sebenar.
“Salah faham? Kalau salah faham takkanlah semua itu terbukti di atas gambar. Aku bukan menuduh sembarangan. Tapi aku ada bukti.” Faizal membentak.
“Kau tak dengar dulu penjelasan Yan. Kau terus cerai dan halau dia macam tu je.” Suara Yasmin yang sedari tadi dikendurkan, kini ditinggikan kembali.
“Sudahlah, Yas. Kau pergilah balik. Aku dan Yan dah tak ada apa-apa.” Faizal berkata perlahan. Kembali duduk di tempatnya. Semakin melebar senyuman sinis di bibir Ku Zhety.
“Huh! Begitu senang sekali kau ucapkan lafaz cerai kan? Dasar lelaki. Kau orang fikir kau orang boleh buat apa saja? Kami yang perempuan ni jugak yang tersepit.” Suara Yasmin sudah mengendur. Misha kesal dengan sikap yang ditunjukkan oleh Faizal.
Yasmin mendekati Faizal. Ditolak Ku Zhety yang berdiri di sebelah kerusi lelaki itu. Perempuan tersebut terdorong ke belakang. Bercekak pinggang menahan marah. Menolak kerusi Faizal dengan kasar. Terpusing lelaki itu menghadap Yasmin. Wajahnya semakin memerah. Satu tamparan hinggap di pipi kiri Faizal. Terpana Faizal dengan kejadian yang berlaku tiba-tiba.
“Itu satu penampar untuk kau kerana menyakiti hati Yan. Dan…” belum sempat ayat Yasmin habis, satu lagi tamparan hinggap di pipi kanan Faizal.
“….satu lagi untuk anak kau yang dah keguguran.” Terus sahaja Yasmin melangkah, ingin keluar dari bilik Faizal. Sempat menarik Misha yang masih tercengang.
“Anak? Gugur?” mata Faizal terarah ke pintu yang tertutup itu. Faizal meraup wajahnya. Menekup mulut. Matanya terkebil-kebil. Benarkah apa yang didengarinya itu?
“Sudahlah you. Tak payah ingatkan dia lagi. She’s history.” Ku Zhety kembali mengusap rambut Faizal. Lelaki itu menepis perlahan.
“Zhety, you pergi baliklah. I need some time alone.” Ujar Faizal. Ku Zhety merengek manja.
“I tak nak. I nak temankan you. I duduk sini.” Ku Zhety berkata dengan gediknya. Faizal mendengus kasar.
“I kata balik, balik Zhety. Tolong jangan ganggu I.” Faizal berkata lagi. Wajah Ku Zhety sudah memuncung. Faizal sudah tidak mempedulikannya. Disandarkan badan ke kerusi dan memejamkan mata. Faizal hanya terdengar dengusan nafas Ku Zhety. Dan juga dentuman pintu biliknya.


DIZYAN membuka matanya. Kemudian, kembali mengecilkan mata yang terasa silau. Menarik nafas sebelum melepaskannya perlahan-lahan. Terasa sentuhan di tangannya. Membuka mata seluasnya, mencari orang yang menyentuh tangan dia. Kelihatan senyuman manis terukir di bibir wanita elegan itu. Dizyan membalasnya lemah.
“Umi….” Panggil Dizyan. Puan Hajjah Karissa tersenyum. Dizyan menggerakkan badannya. Cuba untuk duduk menghadap Uminya.
“Yan, baring jelah.” Ujar Puan Hajjah Karissa. Dizyan menggeleng.
“Dah lama Yan tidur. Bosanlah.” Dizyan berkata lemah. Puan Hajjah Karissa menolong Dizyan untuk duduk. Disandarkan badan ke kepala katil.
“Umi…kenapa Yan ada kat sini?” tanya Dizyan. Kepalanya terlentok di atas bantal. Memandang wajah Puan Hajjah Karissa dan menantikan jawapan dari bibir tua itu. Puan Hajjah Karissa mengeluh perlahan dan meraih jari jemari Dizyan.
“Yan jatuh bilik air semalam. Dan....” Puan Hajjah Karissa tidak jadi meneruskan ayatnya. Tidak sampai hati melihat wajah pucat anaknya itu. Dizyan sekali lagi membetulkan duduknya supaya dapat memandang wajah Puan Hajjah Karissa dengan lebih jelas.
“Kenapa Umi? Kenapa dengan Yan?” Dizyan menjadi tidak sabar ingin mendengar kata-kata daripada Uminya. Puan Hajjah Karissa tidak tahu bagaimana hendak memberitahu khabar buruk itu. Mata Dizyan bercahaya memandang Puan Hajjah Karissa. Wanita tua itu tiba-tiba sahaja menitiskan airmata. Dizyan pelik. Tanpa sebab yang pasti, Uminya menitiskan airmata? Dizyan mengerutkan dahi.
“Umi....kenapa ni?” tanya Dizyan lembut. Masih menanti kata-kata yang akan keluar dari mulut Puan Hajjah Karissa.
“....Yan keguguran.” Puan Hajjah Karissa berkata ringkas. Dizyan terpana. Keguguran? Mata Dizyan membulat. Diusap perlahan perutnya yang sudah tiada isi itu.
“Ya, sayang. Yan dah 6 minggu mengandung.” Ujar Puan Hajjah Karissa. Airmata Dizyan mengalir. Menitis perlahan di pipinya.
“Usah menangis, Yan. Bukan rezeki Yan untuk memiliki anugerah yang diberikan Allah itu.” Mengusap jari jemari Dizyan. Dilap airmata di pipi Dizyan.
“Kalau Yan tahu, mesti Yan akan jaga diri Yan sendiri.” Dizyan berkata dalam esak tangisnya. Puan Hajjah Karissa menggeleng perlahan.
“Bukan rezeki, Yan. Sudahlah, sayang. Jangan menangis lagi.” Puan Hajjah Karissa segera memeluk Dizyan. Tanpa Dizyan dapat menahan diri, dia teresak di bahu Uminya.
“Yan masih ada Umi.” Puan Hajjah Karissa cuba memujuk hati anak yang sedang lara.


SUDAH 3 minggu Dizyan pulang ke rumah. Dizyan memeluk tubuh dan berdiri di balkoni. Menebarkan pandangan ke luar. Berpaling ke dalam apabila terdengar telefon bimbitnya berbunyi menandakan mesej masuk. Melangkah perlahan masuk ke dalam. Mencapai telefon bimbit tersebut dan melihat siapakah gerangan yang menghantar khidmat pesanan ringkas kepadanya. Tersenyum hambar apabila nama Aneeq yang terpapar di skrin telefonnya. Ingin berjumpa dengan Dizyan. Tetapi Dizyan menyatakan bahawa dia sedang berpantang. Lagipun tidak manis jika dia keluar berjumpa dengan Aneeq sedangkan dia baru sahaja berpisah dengan suaminya. Permintaan Aneeq ditolak lembut. Tidak mahu menyakiti hati lelaki itu. Sejak dari hari Aneeq menjelaskan perkara sebenar, perasaan amarah dan dendam yang disimpan selama ini terpadam begitu sahaja. Diletakkan semula telefon bimbitnya ke atas meja solek. Berjalan ke arah balkoni. Sekali lagi menebarkan pandangan ke luar. Entah kenapa, hatinya sudah nekad dengan keputusan yang telah dibuat seminggu lepas.
Sewaktu makan malam, Dizyan ingin memberitahu keputusan yang telah dibuatnya itu. Semasa menjamu selera pencuci mulut, Dizyan menarik nafas dan dilepaskannya perlahan-lahan. Memandang ke arah Tuan Haji Azmin dan Puan Hajjah Karissa.
“Umi....Abah...” panggil Dizyan. Keuda orang tua itu mengangkat muka memandang ke arah Dizyan. Izham, Yasmin dan Asyifa yang turut berada di meja makan memandang ke arah Dizyan.
“Lepas kes cerai Yan selesai dan majlis kahwin Kak Syifa, Yan nak pergi Australia.” Ujar Dizyan. Mereka yang lain memandang Dizyan dengan pandangan tdak percaya.
“Pergi Australia? Buat apa?” tanya Izham. Dizyan tersenyum hambar. Memandang satu persatu wajah ahli keluarganya.
“Sambung belajar.” Jawab Dizyan ringkas. Izham ingin berkata sesuatu tetapi Yasmin menarik lengan Izham. Memberikan isyarat mata kepada suaminya untuk menguncikan mulut. Tuan Haji Azmin membetulkan duduknya.
“Yan pasti dengan keputusan ini?” tanya Abahnya. Dizyan memandang ke arah Tuan Haji Azmin.
“Tak pernah Yan rasa seyakin ini, Abah.” Dizyan menjawab bersungguh-sungguh. Tuan Haji Azmin mengangguk. Merelakan anak perempuan tunggalnya pergi menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tertinggi. Mungkin Dizyan ingin menenangkan perasaan yang gundah gulana. Jika dihalang, pasti akan membuatkan Dizyan tidak keruan. Puan Hajjah Karissa menghadap Dizyan yang duduk di sebelahnya. Meraih jemari anaknya itu.
“Yan, Umi dan Abah tak melarang Yan nak pergi sambung belajar. Tapi janji dengan Umi. Janji yang Yan akan pulang semula ke sini.” Genggaman tangan Puan Hajjah Karissa dieratkan. Dizyan mengangguk pantas. Dia memang hendak pergi dari sini. Tetapi satu hari nanti, dia pasti akan pulang semula ke Malaysia. Untuk membina hidup baru di atas kenangan semalam.
Dizyan beralih pandang ke arah insa-insan yang amat disayanginya. Yasmin dan Asyifa memberikan senyuman tanda setuju. Hanya Izham sahaja tidak memberikan apa-apa reaksi.
“Abang Iz benarkan Yan pergi, ya?” ujar Dizyan. Memandang wajah Izham. Akhirnya, Izham melepaskan keluhan dan mengangguk perlahan. Dengan hati yang berat, dia harus juga melepaskan adiknya yang seorang itu pergi. Mencari harga diri dan kenangan yang baru. Dizyan tersenyum manis.
Habis sahaja mereka menjamu makan malam, Dizyan menarik Yasmin jauh daripada ahli keluarga mereka. Menuju ke taman. Mereka sama-sama melabuhkan di atas kerusi yang disediakan di halaman rumah. Yasmin pelik dengan tindakan Dizyan itu. Berkerut dahinya memandang wajah Dizyan.
“Yas, aku nak mintak tolong kau sebagai seorang sahabat. Boleh tak?” Dizyan bertanya. Kerutan di dahi Yasmin semakin bertambah.
“Apa dia?” Yasmin bertanya pula.
“Temankan aku esok. Aku nak pergi ambil barang-barang aku yang tertinggal kat rumah bekas mertua aku.” Bersungguh-sungguh Dizyan meminta pertolongan Yasmin. Kakak iparnya itu tersenyum. Dizyan membalas senyuman Yasmin itu. Walaupun Yasmin tidak menyatakan persetujuannya melalui mulut, hanya dengan senyuman sahaja sudah melegakan hati Dizyan bahawa Yasmin setuju untuk menemaninya esok.
“Tapi....kau tak takut ke kalau terserempak dengan Faizal?” pertanyaan Yasmin itu terus sahaja mematikan senyuman yang terukir di bibir Dizyan.
“Tipulah kalau aku kata, aku tak takut....” Dizyan menarik dan melepaskan nafas perlahan.
“....tipu jugak kalau aku kata, aku tak ada perasaan dah pada dia. Dialah lelaki kedua yang berjaya bertakhta di hati aku. Aku tak pernah ada perasaan macam ni pada orang lain. Walaupun yang datang menghulurkan cinta dulu adalah Aneeq. Faizal berjaya membuatkan aku rasa diri aku dihargai walaupun dia tidak pernah melayan aku sebagai seorang isteri.” Dizyan menyambung kata. Yasmin memandang simpati ke arah Dizyan.
“Entahlah. Mungkin silap aku jugak sebab aku tak explain dulu tentang perkara ni masa awal perkahwinan kami.” Dizyan berkata. Yasmin memeluk bahu Dizyan. Airmata yang menitis di pipi seakan sudah hilang rasanya.
“Kau tahu kan, kau selalu ada aku untuk kau curahkan segala perasaan.” Yasmin mengusap perlahan bahu Dizyan. Gadis itu terlentok di bahu Yasmin.
“Thanks, Yas. Kau dengan Misha je yang baik dengan aku.” Dizyan berkata lagi. Dilap airmata yang masih menuruni pipi.
“Hey, come on lah. Kita kawan daripada sekolah. Of courselah aku dan Misha baik dengan kau.” Yasmin tersenyum mendengar kata-kata Dizyan itu. Puan Hajjah Karissa menjenguk ke taman rumah. Kelihatan anak dan menantunya sedang bersembang di bawah gazebo.
“Yas, bawak masuk Yan tu. Dia baru je lepas berpantang. Tak elok berembun.” Laung Puan Hajjah Karissa. Mereka berdua beralih dan memandang ke arah Puan Hajjah Karissa yang berdiri tercegat di pintu utama. Yasmin dan Dizyan berjalan beriringan masuk ke dalam rumah.


YASMIN sudah siap menunggu di dalam kereta. Berkali-kali Yasmin berkata ingin menemani Dizyan masuk ke dalam rumah. Dan berkali-kali juga Dizyan menolak niat baik Yasmin. Tidak mahu menyusahkan sahabat baik merangkap kakak iparnya itu. Yasmin mendengus dan akhirnya melepaskan Dizyan masuk seorang diri ke dalam rumah banglo yang terserlah indah itu. Dizyan melepaskan keluhan. Melangkah perlahan-lahan mendekati pintu utama. Dizyan memejamkan mata. Dibuka matanya kembali dan mengetuk pintu utama perlahan. Tiada jawapan daripada penghuni rumah itu. Dizyan semakin gelisah. Diketuk sekali lagi. Juga tiada respon. Untuk kali ketiga, Dizyan sekali lagi mengetuk. Jika tiada jawapan, Dizyan ingin beredar. Lain kali sahaja dia datang kembali. Tiba-tiba kedengaran selak kunci berbunyi dari dalam. Dizyan tersenyum kecil. Mungkin Sutinah yang membuka pintu. Tetapi sangkaannya meleset. Terjengul wajah yang tidak disangkakannya langsung. Dizyan tergamam.
“Apa yang kau buat kat sini?” tanya Faizal serius. Langsung tidak memandang ke arah Dizyan. Egonya tetap meninggi. Walaupun pada ketika itu, serasa ingin dipeluk sahaja perempuan dihadapannya itu. Dizyan rasa seperti ingin lari dari situ. Tetapi terasa seperti sesuatu telah merantai kakinya. Hampir 4 bulan tidak melihat wajah lelaki itu membuatkan Dizyan merindu. Terasa ingin membelai wajah dihadapannya.
“Saya datang nak ambil barang-barang saya yang masih ada.” Ujar Dizyan. Faizal mendengus, kasar. Dizyan cuba mencari wajah lelaki itu. Ingin sekali dia merasa pelukan hangat Faizal.
“Siapa tu, Zal?” tanya Datin Rubaiyah. Menjenguk ke luar. Terlihat Dizyan yang berdiri di hadapan pintu utama. Segera Datin Rubaiyah meluru dan memeluk bekas menantunya.
“Mama rindukan, Yan.” Ujar Datin Rubaiyah dalam tangisan. Airmata Dizyan menitis setitik di pipi. Dia juga rindu untuk bersembang bersama Datin Rubaiyah dan menolong Sutinah membuat kerja-kerja dapur. Juga rindukan nasihat daripada Datuk Farid.
Faizal sudah tidak sanggup melihat ‘drama’ dihadapannya. Dia keluar melintasi Dizyan yang masih tercegat disitu. Berpaling semula ke arah Dizyan.
“Lepas ni, kau jangan datang sini lagi dah. Aku dah tak nak tengok muka kau.” Hancur luluh hati Dizyan mendengarkan kata-kata Faizal. Datin Rubaiyah menjegilkan matanya kepada Faizal.
“Kenapa Faizal cakap macam tu? Mama tak sukalah.” Datin Rubaiyah meningkah. Tidak suka dengan kata-kata sarcastic anaknya itu.
“Ma...dia bekas menantu Mama. Jadi buat apa dia datang sini lagi.” Faizal menukas. Datin Rubaiyah mendengus.
“Biarlah Yan nak datang sini. Mama seronok dapat bersembang dengan Yan.” Datin Rubaiyah memeluk bahu Dizyan. Gadis itu hanya mendiamkan diri.
“Ma, Zal dah tak ada apa-apa hubungan dengan dia. Dan, mulai saat ini terputuslah semua hubungan kau dengan keluarga ini. Kita dah bercerai.” Ujar Faizal. Hati Dizyan terhiris. Rasa seperti ditoreh dengan pisau.
“Zal!!!” Datin Rubaiyah sedikit terjerit menyebut nama anaknya.
“Ma...” Dizyan bertindak meleraikan pergaduhan yang bakal terjadi sebentar lagi di antara Datin Rubaiyah dan Faizal. Dizyan berpaling ke arah Faizal.
“Saya janji saya takkan datang sini lagi.” Dizyan menyatakan janjinya. Faizal memainkan kunci kereta di jari. Lelaki itu membunyikan alat penggera kereta dan terus sahaja masuk ke dalam keretanya. Menderum keluar dari kawasan perumahan. Dizyan hanya menghantar kereta Faizal dengan pandangan sayu. Setitik lagi airmata menitis di pipi.
‘Saya janji, Zal. Ini kali terakhir saya datang ke sini.’ Segera mengelap airmatanya apabila Dizyan terasa sentuhan lembut di bahunya. Beralih memandang ke arah Datin Rubaiyah.
“Yan datang seorang?” tanya Datin Rubaiyah. Dizyan menggeleng perlahan. Kasihan melihat apa yang dilakukan Faizal terhadap Dizyan.
“Tak, Ma. Yan datang dengan kakak ipar Yan, Yasmin.” Ujar Dizyan. Datin Rubaiyah menjenguk ke luar. Mencari orang yang datang bersama Dizyan.
“Mana kakak ipar Yan?” Datin Rubaiyah bertanya lagi. Dizyan mengunjuk ke arah kereta Vios TRD Sportivo yang tersadai di bawah pokok seberang jalan menghadap rumah mereka.
“Laa...kenapa tak panggil dia masuk?” Datin Rubaiyah berkata. Dizyan tersenyum.
“Tak apalah, Ma. Sekejap je ni.” Dizyan menolak cadangan Datin Rubaiyah.
“Panggil dia masuk. Kesian dia berpanas kat situ. Kalau masuk dalam, boleh jugak minum-minum. Mama ada banyak perkara nak sembang dengan Yan. Tak bestlah kalau sekejap-sekejap.” Datin Rubaiyah berkata. Dizyan mengangguk dan segera menuju ke pintu pagar. Memanggil Yasmin yang berada di dalam kereta.

BERSAMBUNG.....

ORDER!!!!

Ada sesiapa mahu membeli novel Dari K.L ke Luxembourg? Pada saya masih ada 2 naskhah....
Saya akan siap sign.......

Harga buku : RM27 (selepas diskaun 10%)
Pos : RM 5 (dalam kawasan Klang Valley) RM 6 (luar dari kawasan K.L)

hehe.......

Free Personal signatures - cool!

TEXTAREA_ID

Sunday, October 18, 2009

Dan Sebenarnya....42

BAB 42

3 BULAN KEMUDIAN....


RAMBUT yang dilepaskan tanpa diikat, beralun apabila ditiup angin. Angin yang berhembus itu tidak dapat membuatkan hati Dizyan tenang. Airmata yang turun berjuraian seakan-akan tidak mahu berhenti. Kenapalah nasib aku jadi begini? Hati Dizyan merintih. Selepas kejadian itu berlaku, airmata menjadi peneman setia tidurnya. Dizyan memeluk tubuh. Melontarkan padangan ke luar. Dingin malam menyejukkan badannya sehingga ke tulang hitam. Pintu bilik dikuak. Terjengul wajah Puan Hajjah Karissa. Wajah tua itu kerapkali kerisauan jika Dizyan tidak menjawab panggilannya. Berkali-kali pintu diketuk. Tetap tiada respon membuatkan Puan Hajjah Karissa terus meluru masuk ke dalam bilik anak perempuannya itu. Puan Hajjah Karissa melepaskan keluhan lega apabila terlihat susuk tubuh yang amat dikenalinya sedang berdiri di balkoni. Kelihatan badan Dizyan terhenjut-henjut menahan tangis dan diiringi esakan kecil. Puan Hajjah Karissa menggelengkan kepala perlahan. Sudah berbulan anaknya begitu. Hanya kadangkala bercakap dengan orang lain jika dirasakan perlu sahaja. Makan pun hanya sedikit yang dijamahnya. Dia risau. Risau melihat perubahan mendadak Dizyan. Pernah disuarakan perkara itu kepada Tuan Haji Azmin. Suaminya tidak dapat berbuat apa-apa. Hanya Dizyan sahaja yang boleh menolong dirinya sendiri untuk keluar dari memori semalam. Memulakan langkah ke kehidupan yang baru. Asyifa, Izham dan Yasmin juga turut risau melihat perubahan adik mereka itu. Dahulu, Dizyan seorang yang sangat ceria. Tiada kesedihan dalam kamus hidupnya. Tiada duka.
Perlahan langkah kaki Puan Hajjah Karissa menapak ke arah Dizyan yang membelakangkannya. Memeluk bahu anak yang dalam kesedihan itu. Tanpa berselindung lagi, Dizyan terus membenamkan wajahnya ke dada Puan Hajjah Karissa. Menangis teresak-esak dan sepuas hatinya. Buat seketika, Puan Hajjah Karissa hanya membiarkan Dizyan meluahkan perasaan melalui airmata. Diusap perlahan rambut Dizyan. Airmata tuanya turut menuruni pipi. Tidak sanggup melihat anak perempuan tunggalnya begini. Badan Puan Hajjah Karissa bergerak-gerak apabila Dizyan teresak. Dizyan mengangkat kepala memandang wajah wanita elegan itu. Pipinya basah kuyup. Jemari Puan Hajjah Karissa mengelap pipi Dizyan. Tidak sanggup melihat setitis lagi airmata yang keluar.
“Kenapa, Umi? Kenapa?! Kenapa begini hidup Yan, Umi? Kenapa Yan tak boleh hidup bahagia macam orang lain?!” rintih Dizyan. Teresak dalam pelukan Uminya.
“Sabar, sayang. Yan jangan macam ni. Kalau Yan macam ni, seperti Yan tak redha dengan apa yang telah terjadi. Ini semua ketentuan Allah. Yan jangan salahkan takdir.” Puan Hajjah Karissa mengoncangkan sedikit bahu Dizyan. Tidak mahu Dizyan berterusan menyalahkan takdir di atas apa yang telah terjadi dalam hidupnya.
“Kenapa Zal buat macam ni?” sekali lagi Dizyan merintih. Puan Hajjah Karissa sudah tidak tahu hendak berkata apa-apa lagi. Hanya pelukan sahaja yang dapat diberikan.
“Yan berehatlah, ya. Jangan fikir apa-apa lagi dah.” Ujar Puan Hajjah Karissa.
Menarik Dizyan dan membawa gadis itu menuju ke arah katil. Langkah kaki Dizyan menjadi longlai. Dilabuhkan punggungnya ke atas katil. Membaringkan diri yang kepenatan setelah mengeluarkan airmata. Dizyan memejamkan matanya. Esakan makin perlahan. Tetapi airmata masih tidak berhenti menuruni pipi gebunya. Puan Hajjah Karissa bangun dari katil Dizyan dan menuju ke pintu kamar anaknya itu. Memulas tombol dan dikuak. Berpaling sekali lagi melihat susuk Dizyan yang sedang berbaring. Melepaskan keluhan dan melangkah keluar. Ditutup semula pintu kamar tersebut.
Sebaik sahaja Puan Hajjah Karissa melangkah keluar dari bilik Dizyan, gadis itu duduk berteleku di atas katilnya. Tanpa dipinta, memori malam itu kembali menerjah kotak fikirannya.


DERAPAN kaki Puan Hajjah Karissa menuruni anak tangga membuatkan mereka yang berada di ruang tamu mengalihkan pandangan ke arah tangga tersebut. Puan Hajjah Karissa menghadiahkan senyuman kepada suami, anak-anak serta menantunya yang berada di ruang tamu. Dilabuhkan punggung di atas sofa.
“Yan masih sama?” tanya Tuan Haji Azmin. Hanya anggukan perlahan yang diterima dari isterinya itu.
“Cis!” Izham berkata lantang. Ditepuk sofa dengan kuat. Menyentakkan semua yang ada disitu. Yasmin mengurut dada. Natalia yang sedang leka menonton televisyen, mengalih pandang ke arah Ayahnya. Pelik! Tidak pernah dilihat Izham meletuskan kemarahannya.
“Faizal ni memang nak kena. Apa, dia ingat dia anak Datuk kaya tu, dia boleh buat sesuka hati. Budak ni memang nak kena ajar.” Izham berkata marah. Puan Hajjah Karissa mengeluh lemah. Tuan Haji Azmin menggelengkan kepalanya.
“Iz, bawak bersabar. Kita tak tahu apa yang berlaku antara Yan dan Zal. Mungkin ada sesuatu yang berlaku menyebabkan Zal ambil tindakan macam tu.” Tuan Haji Azmin meningkah pula. Cuba menenangkan angin puting beliung yang meniup Izham.
“Abah sampai hati cakap macam ni. Abah tahu tak, Faizal dah kecewakan hati Yan. Hari-hari Yan menangis. Iz dah tak tahan tengok Yan macam tu.” Mundar-mandir Izham berjalan dihadapan kedua ibubapanya. Yasmin menggeleng perlahan. Izham sangat sayangkan Dizyan. Langsung tidak sanggup melihat hati adiknya itu dilukai walaupun sebesar zarah.
“Abah tahu semua tu. Tapi, kita tak tahu apa yang terjadi. Mungkin ada sebab Zal mengambil tindakan sebegitu. Kita patut dengar daripada sebelah pihak Faizal jugak.” Tuan Haji Azmin tidak mahu terus sahaja menyalahkan Faizal dengan melulu.
“Tapi Faizal dah lafazkan apa yang tak sepatutnya.” Izham masih menegas. Tuan Haji Azmin menggeleng. Susah apabila anak juga mempunyai profesion yang sama.
“Memang Faizal dah lafaz, tapi mereka takkan bercerai selagi laporan kesihatan Yan belum keluar. Kita tak tahu ada benih atau tak yang bercambah hasil perhubungan malam tu. Kalau Yan mengandung, mereka tak boleh bercerai sehingga anak tu lahir. Kalau tak ada benih yang bercambah, kena tunggu sampai Yan habis bersuci selama 3 kali. Mungkin dalam masa tu, Faizal ubah fikiran dan menerima Yan kembali.” Tuan Haji Azmin menerangkan. Puan Hajjah Karissa mengangguk.
“Itu Iz tahu, Bah. Kenapa Abah masih nak sebelahkan dia tu? Abah patut fikirkan Yan.” Suara Izham sudah sedikit meninggi. Puan Hajjah Karissa hanya menundukkan wajahnya. Sesekali dilap airmata yang berguguran. Yasmin turut berdiri dan menyabarkan suaminya.
“Iz, ingat sikit dengan siapa Iz bercakap ni.” Tuan Haji Azmin berkata dalam nada yang serius. Izham melepaskan keluhan kuat.
“Maafkan Iz, Abah. Iz tak sengaja.” Izham memohon maaf. Suaranya kembali dikendurkan. Tuan Haji Azmin berdiri dan menepuk perlahan bahu anaknya.
“Sudahlah, Iz. Kita serahkan semuanya pada takdir.” Hanya itu sahaja yang termampu Tuan Haji Azmin berkata. Dia melangkah meninggalkan ruang tamu. Puan Hajjah Karissa membuntuti suaminya. Izham kembali melabuhkan punggung di atas sofa yang didudukinya.


DIZYAN terjaga semula pada jam 6 pagi. Meraba katil yang terasa kosong. Terpisat-pisat Dizyan menggosok mata yang masih ada sisa kantuk. Matanya mengecil. Mencari Faizal dalam kesamaran cahaya dari lampu jalan. Terlihat ke arah balkoni. Pintu balkoni terbuka luas. Langsir berkibar ganas apabila ditiup angin. Kelihatan sesusuk badan berdiri menghadap pemandangan luar. Tersenyum. Dizyan meraup wajahnya. Faizal mengalih pandang ke arah Dizyan yang sedang duduk itu sebaik sahaja menyedari Dizyan sudah terjaga dari tidurnya. Sambil memeluk tubuh, mencari kekuatan untuk menyampaikan apa yang terbuku dihati. Menarik nafas dan melepaskannya perlahan.
“Dizyan Farhana Azmin, aku ceraikan kau....dengan talak satu.” Hanya dengan sekali nafas, Faizal melafazkannya. Terpempan Dizyan mendengar kata-kata yang baru sahaja terlafaz dari mulut lelaki itu. Dia segera berdiri. Memandang Faizal dengan perasaan tidak percaya. Airmata tiba-tiba sahaja turun. Entah kenapa dia rasa sedih sangat sedangkan sebelum ini, Dizyan sudah agak bahawa perkahwinan mereka pasti tidak akan bertahan lama.
“Ke...ke...kenapa? Apa....apa salah sa...saya...sampai a...awak kata...begitu?” tergagap suara Dizyan bertanya. Faizal masih tidak memberikan apa-apa reaksi. Dia berjalan melangkah masuk ke dalam bilik. Mencapai sesuatu dari atas meja tulisnya. Dicampak ke atas katil. Dizyan menjenguk ke arah gambar-gambar tersebut. Semakin lama matanya membulat. Terketar-ketar tangan Dizyan mencapai satu persatu gambar itu. Memandang Faizal dan gambar-gambar tersebut silih berganti.
“Biar saya jelaskan apa yang berlaku sebenarnya.” Dizyan sudah berdiri. Mendekati Faizal. Lelaki itu hanya berdiri tercegat.
“Ini bukan seperti yang awak sangkakan.” Dizyan berkata. Airmatanya turun semakin lebat. Cuba memegang tangan Faizal tetapi ditepis kasar.
“Kau...jangan sentuh aku!” Faizal melemparkan pandangan tajam.
“Awak dengar dulu.” Bersungguh-sungguh Dizyan cuba untuk menerangkan perkara sebenar. Faizal menolak badan Dizyan sehingga gadis itu jatuh terduduk ke atas lantai yang beralaskan permaidani. Dizyan menangis teresak-esak. Faizal duduk mencangkung, menghadap wajah Dizyan.
“Aku tak perlukan apa-apa penjelasan dari kau. Kau sama je macam perempuan lain. Perempuan murahan. Menjual harga diri kepada sesiapa saja.” Faizal meluahkan kata-kata yang begitu menusuk hati Dizyan. Dia memandang ke arah Faizal dengan airmata yang masih menghiasi tubir matanya. Ingin sekali dia memeluk Faizal dan menyatakan ini hanyalah sebuah gambar yang bertujuan mengaburi mata lelaki itu. Tetapi Dizyan tahu. Tidak mungkin untuk dia berbuat demikian. Tidak mungkin Faizal membenarkan Dizyan menyentuhnya.
“Ini bukan seperti yang awak sangkakan.” Suara Dizyan semakin perlahan. Esak tangisnya masih kedengaran kuat.
“Sudah!!! Aku dah tak ada apa-apa hubungan dengan kau. Dan mulai hari ini, aku dah tak nak ada apa-apa dengan kau. Aku balik dari kerja je, aku dah tak nak tengok muka kau dalam rumah ni lagi. Faham?!” Faizal bersuara kuat. Dizyan merasakan hatinya hancur luluh ketika itu. Terasa seperti semangatnya hilang entah kemana.
Faizal melangkah laju ke arah pintu kamar. Memulas tombol dan keluar dari kamar tersebut. Berdentum pintunya apabila Faizal menghempas kuat. Dizyan menyembamkan mukanya ke atas permaidani. Meraung dan menangis sepuas hatinya.


MAK Nani berlari-lari anak menuju ke tingkat atas apabila terdengar jeritan Dizyan. Yasmin turut berlari ke bilik sebelah. Terdengar jeritan Dizyan semasa hendak menidurkan Natalia. Tergesa mereka berdua membuka pintu yang tidak berkunci itu. Berlari masuk dan tercari-cari susuk tubuh Dizyan. Tidak kelihatan. Yasmin terkaku dihadapan bilik air. Mak Nani memandang pelik ke arah Yasmin. Terjenguk ke arah bilik air. Kelihatan sekujur tubuh yang terbaring di dalam bilik air tersebut. Bertambah terkejut lagi Mak Nani apabila terlihat darah yang mengalir keluar dari celah kelangkang Dizyan. Yasmin segera memangku kepala Dizyan.
“Mak Nani telefon ambulans.” Arah Yasmin. Mak Nani mengangguk pantas dan segera berlari keluar dari bilik Dizyan. Turun ke tingkat bawah dan mula mendail.
Yasmin yang berada di bilik sambil mengusap kepala Dizyan yang berpeluh itu. Kedengaran nafas Dizyan yang menderu lemah. 20 minit kemudian, ambulans yang ditunggu pun tiba. Seorang lelaki yang merupakan pemandu ambulans dan seorang jururawat tersebut berkejaran naik ke tingkat atas menuju ke bilik Dizyan. Pemandu ambulans itu mendukung Dizyan dan membawanya turun ke tingkat bawah dan diletakkan Dizyan di atas katil pengusung.
“Mak Nani tunggu di rumah, ya. Yas ikut dia orang. Nanti maklumkan pada Umi dan Abah.” Ujar Yasmin sebelum dia berlalu menaiki ambulans tersebut. Mak Nani hanya mengangguk mendengarkan kata-kata Yasmin itu. Ambulans tersebut menderu pergi meninggalkan kawasan perumahan itu.
Mereka tiba di perkarangan hospital. Dengan kecekapan pemandu ambulans itu yang dapat ‘cilok’ di tengah bandaraya yang sibuk, hanya memakan masa 10 minit daripada rumah keluarga Dizyan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Takut pula Yasmin melihat cara pemandu ambulans itu memandu. Pintu ambulans dibuka dan Dizyan diturunkan perlahan-lahan menggunakan katil pengusung. Jururawat itu menolak katil pengusung tersebut masuk ke dalam lobi hospital. Kemudian, datang lagi seorang jururawat dan seorang atendan, menolong jururawat yang memakai tag nama Mila menolak katil pengusung itu sehingga ke wad kecemasan. Yasmin turut sama berlari-lari anak menolak katil pengusung tersebut. Sambil berkali-kali memanggil nama Dizyan. Dilihatnya Dizyan meronta lemah.
“Yan, sabar ya.” Yasmin memegang jemari Dizyan. Gadis itu tidak memberikan apa-apa respon. Dia hanya mampu terbaring lemah. Darah yang keluar dari celah kelangkangnya semakin banyak. Seorang doktor berjubah putih menuju ke arah katil pengusung itu.
“Kenapa ni?” tanya doktor itu.
“Dia mengalami pendarahan yang banyak setelah terjatuh dari bilik air.” Ujar jururawat bernama Mila itu. Dia memberitahu apa yang dia dapat tahu daripada Yasmin kepada doktor tersebut.
“Baiklah, tolak katil ni masuk ke bilik rawatan.” Doktor tersebut memberikan arahan. Mereka yang lain hanya mengangguk. Katil itu ditolak masuk ke dalam bilik rawatan yang dinyatakannya. Yasmin ingin turut mengikut masuk ke dalam bilik rawatan tersebut. Tetapi segera dihalang oleh doktor itu.
“Maafkan saya, Cik. Cik tak boleh masuk ke dalam bilik rawatan.” Ujar doktor itu. Yasmin kegelisahan. Memandang wajah doktor tersebut tanpa berkelip.
“Tapi itu adik saya.” Yasmin berkata lagi.
“Maafkan saya, Cik. Cik memang tak boleh masuk ke dalam tu.” Doktor itu berkata lagi sambil mengunjukkan jarinya ke arah bilik rawatan tersebut.
“Tapi....” ayat Yasmin tergantung. Wajahnya yang kegelisahan itu segera ditenangkan oleh doktor tersebut.
“Sabar, Cik. Saya Dr. Dahlia. Saya akan cuba melakukan yang termampu.” Doktor itu berkata dalam senyuman. Yasmin mengangguk perlahan. Dr. Dahlia terus melangkah masuk ke dalam bilik rawatan itu. Yasmin melabuhkan punggungnya di atas kerusi yang disediakan di luar bilik rawatan.
Tuan Haji Azmin, Puan Hajjah Karissa dan Asyifa menuju ke arah Yasmin. Terus sahaja Yasmin meluru ke dalam dakapan Puan Hajjah Karissa. Ibu mertuanya itu memeluk sekuat hati. Hati tuanya berasa tidak tenang sejak dari pagi tadi. Tidak sampai hati hendak meninggalkan Dizyan keseorangan di rumah walaupun Yasmin dan Mak Nani turut berada di rumah.
“Macam mana boleh jadi macam ni, Yas?” tanya Tuan Haji Azmin. Airmata Yasmin sudah turun bercucuran. Tidak tahu bagaimana hendak memulakan cerita. Asyifa juga turut menangis. Airmata turun tidak mahu berhenti. Puan Hajjah Karissa mengelap airmatanya.
“Umi, Abang Iz mana?” tanya Yasmin apabila tidak kelihatan Izham di mana-mana.
“Dia ada kes kat mahkamah.” Ujar Asyifa ringkas. Yasmin mengangguk lemah.
Dr. Dahlia melangkah keluar dari bilik rawatan itu. Baju jubah berwarna hijau yang disarungkan ke badannya itu berlumuran darah. Kesemua mereka berdiri dan menuju ke arah doktor tinggi lampai itu. Puan Hajjah Karissa bertambah-tambah rasa tidak senang hati.
“Macam mana dengan anak saya, Dr.?” Tanya Tuan Haji Azmin. Mereka yang lain menantikan butir bicara Dr. Dahlia. Doktor itu menundukkan wajahnya. Dilepaskan keluhan perlahan. Kemudian, digeleng pula kepalanya. Mengangkat muka memandang keluarga pesakit yang sedang menanti kata-katanya.
“Maafkan saya, Encik. Anak dalam kandungan Puan Dizyan....” Dr. Dahlia mengantungkan ayatnya. Mata mereka yang ada disitu sudah terbeliak.
“....tak dapat diselamatkan.” Dr. Dahlia menyambung kata. Yasmin sudah menekup mulut. Menangis teresak-esak di bahu Asyifa. Tuan Haji Azmin menumbuk dinding. Puan Hajjah Karissa tidak dapat menahan airmata yang turun semakin lebat.
“Boleh saya tengok anak saya?” Puan Hajjah Karissa bertanya pada Dr. Dahlia.
“Sekarang saya rasa lebih elok jika kita biarkan Puan Dizyan berehat dahulu. Dia dah banyak kehilangan darah. Selepas dia ditukarkan ke wad, bolehlah Puan sekeluarga melawatnya.” Dr. Dahlia berkata lagi. Puan Hajjah Karissa mengangguk perlahan.


DIZYAN membuka matanya. Kemudian, dikecilkan semula apabila terasa seperti lampu menyuluh mata. Bau ubat-ubatan menyucuk hidung. Ingin menggerakkan badan yang masih lemah. Bilik itu terasa asing bagi dirinya. Mengalihkan kepala ke sisi. Kelihatan Puan Hajjah Karissa yang setia menanti disisinya. Tersenyum lemah pada Uminya. Dizyan menolak badannya sedikit. Tetapi segala sendi masih terasa lemah.
“Yan, berehatlah ya.” Ujar Puan Hajjah Karissa. Diberikan senyuman manis.
“Yan kat mana ni, Umi?” Dizyan bertanya apabila dirasakan dia bukan berada di biliknya sendiri.
“Yan ada kat hospital.” Dizyan mengerutkan dahi. Hospital? Kenapa dia berada disini? Bukankah tadi dia berada di dalam bilik airnya? Semua soalan itu hanya berlegar di fikirannya. Kembali memejamkan mata. Dia perlu berehat. Badan yang lemah menghalang Dizyan dari terus bertanya.
Pintu bilik wad yang ddiami Dizyan terkuak. Izham dan Yasmin melangkah masuk ke dalam. Sambil mendukung Natalia. Anak kecil itu diserahkan kepada Nendanya. Puan Hajjah Karissa bangun dari tempat yang didudukinya dan membawa Natalia keluar dari bilik wad tersebut. Yasmin melabuhkan punggung di kerusi Puan Hajjah Karissa sebentar tadi. Manakala Izham melabuhkan punggungnya di atas katil. Mengambil dan menggenggam jari jemari adiknya. Dicium dan diletakkan semula. Yasmin hanya melihat perbuatan suaminya itu.
“Yas takkan berdiam diri, Bang.” Ujar Yasmin. Matanya dialihkan pula pada Dizyan yang sudah terlena. Izham memandang wajah isterinya itu.
“Apa yang Yas nak buat?”
“Yas nak tuntut bela untuk Yan.” Yasmin berkata tegas.
“Yas kan dengar apa yang Abah kata semalam. Kita jangan ambil tindakan yang melulu. Biarlah Yan selesaikan masalahnya dengan Faizal.” Izham meningkah. Tidak mahu Yasmin bertindak yang bukan-bukan. Yasmin melepaskan keluhan kuat.
“Yas nak bersemuka dengan Zal.” Yasmin menukas. Izham mendengus. Kemudian, digelengkan kepala. Isterinya itu kalau sudah berdendam, usahlah berkata apa-apa lagi.

BERSAMBUNG.....

Friday, October 16, 2009

Dan Sebenarnya....41

BAB 41

ANEEQ memandang Dizyan, tidak sampai hati. Tetapi harus juga dijelaskan apa yang berlaku pada malam kejadian itu. Tidak mahu Dizyan terus menyalahkannya dan mengelakkan diri dari dia. Aneeq sudah tidak sanggup melihat kebencian di dalam mata Dizyan untuk dirinya. Cukuplah selama 5 tahun, Dizyan memendamkan kebencian yang ada untuk Aneeq di hatinya. Dizyan mengelap airmata yang seakan-akan tidak mahu berhenti dengan belakang telapak tangannya. Aneeq melepaskan keluhan perlahan. Dia duduk mencangkung dihadapan Dizyan. Gadis itu masih tidak mahu memandang wajahnya. Biarlah! Selepas ini, mungkin perasaan benci yang selama ini ada di dalam hati Dizyan itu, akan terlerai dengan sendirinya, detik hati Aneeq. Cuba menyabarkan hati yang sedikit panas.
“Actually that night....we were set up.” Dizyan memanggung kepala memandang Aneeq yang mencangkung dihadapannya. Dahinya berkerut. Tidak faham dengan kata-kata Aneeq itu.
“Set up?” tanya Dizyan. Aneeq mengangguk. Dia berdiri dan mengeluh perlahan. Tidak lepas dari memandang wajah Dizyan.
“Ini semua kerja Rohan.” Ujar Aneeq lagi. Dahi Dizyan sekali lagi berkerut.
“Rohan?”
“Dia sebenarnya nak balas dendam terhadap saya.” Aneeq menyambung kata.
Dizyan pantas mengelap wajah yang basah kuyup itu. Terus berdiri dan menepuk bajunya yang berhabuk akibat duduk di atas lantai di tangga pintu kecemasan yang kotor itu. Menghadap Aneeq. Lelaki itu memasukkan tangan sebelah kanan ke dalam poket seluar dan sebelah lagi dibiarkan sahaja di luar. Dizyan memandang Aneeq tanpa apa-apa perasaan. Dahulu, mungkin dia akan mengatakan bahawa lelaki itu bisa menggetarkan jiwa wanitanya. Tetapi kini, entah kenapa perasaan itu seperti tiada. Dan....tiada lagi perasaan benci yang beraja di hatinya. Pelik, tetapi itulah yang dirasakan Dizyan.
“Balas dendam? What do you mean by revenge?” Dizyan masih lagi tidak memahami apa yang cuba disampaikan oleh Aneeq. Lelaki itu melabuhkan punggungnya di atas tangga.
“Sebab...” Aneeq melurut dagunya. Dizyan jadi tidak sabar dengan reaksi Aneeq itu. Dia turut melabuhkan punggungnya di sebelah Aneeq. Tetapi masih mengekalkan jarak di antara mereka. Aneeq memandang gadis di sebelahnya itu.
“Awak ingat dengan Amalina?” Aneeq bertanya. Memori Dizyan memutar kembali kepada kejadian yang berlaku 6 tahun lalu.
Siapa tidak kenal dengan Amalina? Gadis idaman setiap jejaka di University of Adelaide. Dengan rambut ikal mayang, beralun jika dia menggerakkan kepalanya. Alis mata yang melentik, dan bermata hazel cair. Tetapi ulat buku. Jarang bergaul dengan mana-mana lelaki. Hanya Rohan sahaja kekasih di hati. Niat di hati tidak mahu menduakan Rohan. Apakan daya, saat Aneeq datang menghulurkan salam persahabatan, hati Amalina terpaut. Tidak mampu menolak godaan yang mendatang. Walaupun niat Aneeq hanya untuk bersahabat dengan gadis itu. Tidak punya perasaan pada Amalina. Gadis tersebut salah sangka dan menyebabkan dia memutuskan hubungannya dengan Rohan. Sejak dari itu, Rohan menyimpan dendam terhadap Aneeq. Sudah berkali-kali dijelaskan Aneeq bahawa dia tidak punya perasaan terhadap Amalina. Dia hanya menyintai Dizyan seorang sahaja. Akhirnya, Rohan menerima penjelasan Aneeq itu. Tetapi, Rohan masih menyimpan dendam. Dia berjanji akan membalas dendam. Tanpa Aneeq sedar, Rohan telah merancang untuk mengenakan Aneeq. Dan, peluang itu muncul semasa Dizyan menghadiri parti untuk meraikan semester akhir Aneeq dan Rohan di salah sebuah rumah sewa rakan mereka.
“Maksud awak...hanya kerana Amalina, Rohan balas dendam?” giliran Dizyan pula bertanya. Aneeq mengangguk perlahan.
“Jadi, malam tu....” Dizyan tidak jadi meneruskan kata-katanya apabila dilihat kepala Aneeq menggeleng pantas.
“Rohan put drugs in our drinks. Dan, perangkap kita. Dia dan Alicia ambil gambar kita berdua dan sengaja menyebarkan kepada rakan-rakan lain. Awak masih lagi gadis suci.” Aneeq mula menjelaskan satu persatu. Dizyan meraup wajahnya. Sia-sia sahaja selama ini dia menyimpan perasaan benci terhadap lelaki itu. Aneeq mengalihkan badannya menghadap Dizyan.
“Saya cuba jelaskan segala-galanya kepada awak. Tapi awak tak nak dengar. Saya rasa sakit sangat hati ni, bila tengok awak menangis malam tu.” Berkali-kali Aneeq menepuk dadanya. Dizyan menundukkan wajah. Tidak sanggup melihat wajah Aneeq lagi. Aneeq meraih jari jemari Dizyan. Digenggam erat. Dizyan tidak lagi meronta. Hanya dibiarkannya sahaja.
“Saya nak kembali pada awak. Saya sayangkan awak. Saya tak sanggup kehilangan awak.” Ujar Aneeq. Semakin erat genggaman itu. Dizyan mengeluh perlahan. Ditarik jemarinya dengan lembut. Digelengkan kepala. Rambutnya turut beralun.
“Saya dah punya suami. Saya tak mungkin kembali pada awak.” Dizyan berkata lembut. Aneeq cuba meraih jemari Dizyan sekali lagi. Pantas tangan itu ditepis.
“Tapi awak berkahwin dengan Faizal bukan atas kehendak awak, Yan.” Aneeq masih cuba memujuk hati Dizyan. Gadis itu tersenyum.
“Memang bukan atas kehendak saya. Tapi ini semua jodoh. Ketentuan dari Allah. Tak mungkin untuk saya tolak. Berkahwin dengan Faizal bukanlah pilihan saya. Tetapi saya terima dengan redha.” Dizyan menukas. Satu keluhan keluar dari bibir Aneeq.
“Kembalilah pada saya jika satu hari nanti Faizal melepaskan awak dari sisinya.” Dizyan tidak memberikan apa-apa respon terhadap kata-kata Aneeq.
“Andai takdir mengatakan bahawa jodoh saya dan Faizal tak berpanjangan, dengan tegas saya mengatakan bahawa saya tak mungkin kembali pada awak, Aneeq. Seluruh hati dan jiwa saya dah pun saya serahkan pada Faizal. Bukan hanya kerana dia suami saya, tetapi saya mula menyintai dia. Mula menyayangi dia sebagai seorang lelaki, kekasih.” Panjang lebar Dizyan menyatakan hal yang sebenar.
Memang benar! Jika Faizal melepaskan dia dari sisinya, tidak mungkin untuk Dizyan kembali kepada Aneeq. Lelaki dihadapannya itu adalah kisah silam. Dan, Faizal adalah sejarah baru. Ingin disimpan kenangan sejarah baru dalam lipatan hidupnya. Baru kini Aneeq faham. Semakin dia cuba mendapatkan kembali sekeping hati milik gadis bernama Dizyan Farhana, semakin jauh gadis itu pergi meninggalkannya. Akhirnya, Aneeq tersenyum dan mengangguk perlahan. Sudah tidak mahu memaksa Dizyan menerimanya kembali. Dia tahu hati seseorang itu tidak boleh dipaksa.
“Baiklah. Kalau itu yang awak katakan.” Aneeq berkata. Dizyan turut tersenyum. Dia berdiri dan menolak perlahan pintu kecemasan tersebut. Dizyan berpaling semula ke arah Aneeq.
“Tapi tak salahkan kalau kita hanya bersahabat.” Ujar Dizyan dengan senyuman. Mata Aneeq bercahaya. Dengan perlahan, dia mengangguk. Dizyan melangkah keluar meninggalkan Aneeq keseorangan disitu.
‘Ya! Tak salah jika kita bersahabat. Dizyan Farhana Azmin, aku lepaskan kau dari hatiku ini. Semoga kau bahagia di samping Faizal’. Ucap Aneeq dalam hati.







Maaf ku telah menyakitimu
Ku telah kecewakanmu
Bahkan ku sia-siakan hidupku
Dan kubawa kau seperti diriku

Walau hati ini terus menangis
Menahan kesakitan ini
Tapi ku lakukan semua demi cinta
Akhirnya juga harus ku relakan
Kehilangan cinta sejatiku
Segalanya tlah ku berikan
Juga semua kekuranganku
Jika memang ini yang terbaik
Untuk diriku dan dirinya
Kan ku terima semua demi cinta

Aneeq turut melangkah keluar dari pintu kecemasan tersebut. Hatinya kembali lega setelah Dizyan mendengar penjelasan yang cuba dijelaskan bertahun-tahun. Tidak akan dilupakan hari ini selama-lamanya.



“MANA pulak si Yan ni pergi?” Faizal bertanya sendirian. Tercari-cari wajah isterinya itu. Memandang ke sekeliling. Manalah tahu, Dizyan ‘merayap’ ke meja Fateen. Tetapi Fateen juga tiada di mejanya. Faizal mendengus kasar. Berpusing-pusing badan Faizal cuba mencari Dizyan.
“Shake, kau ada nampak tak mana Yan pergi?” tanya Faizal pada Shake atau nama sebenarnya Ashiq. Shake menjungkitkan bahu. Manalah dia tahu sedangkan dia juga baru sahaja tiba di pejabat. Faizal bercekak pinggang.
“Mana pulak dia ni pergi?” hati Faizal mendongkol geram. Mundar-mandir Faizal dihadapan meja Dizyan. Safira yang melintasi meja Dizyan, ditanya oleh Faizal.
“Fira....” panggil Faizal. Safira mengalih pandang ke arah ketuanya itu.
“Yes, boss?” Safira tersenyum memandang Faizal.
“Ada nampak Yan tak?” Faizal bertanya pula pada gadis tinggi lampai persis model itu.
“Ada. Dia baru je keluar dengan Encik Aneeq.” Ujar Safira. Dahi Faizal berkerut. Aneeq?
“Okay, thanks.” Ucap Faizal. Safira mengangguk dan berlalu dari situ. Laju sahaja langkah kaki Faizal menuju ke kaunter penyambut tetamu. Terlihat Mastura yang sedang menjawab panggilan telefon. Mungkin dari salah seorang pelanggan mereka. Sebaik sahaja Mastura meletakkan gagang telefon, Faizal menuju ke arah gadis itu.
“Mas....” Mastura mengangkat muka melihat gerangan yang memanggil namanya. Tersenyum pada Faizal. Senyuman itu tidak dibalas.
“Awak ada nampak Yan?” tanya Faizal. Mastura mengangguk perlahan.
“Ada, bos. Dia baru je keluar dengan Encik Aneeq tadi.” Mastura juga berkata yang sama seperti Safira tadi. Bertambah kerutan di dahi Faizal. Hati Faizal dihambat pertanyaan.
“Kemana?” Faizal bertanya lagi.
“Saya nampak dia orang masuk ke arah pintu kecemasan tu.” Mastura mengunjukkan ibu jarinya ke arah pintu kecemasan tersebut. Faizal mengangguk dan mengangkat tangan kepada Mastura tanda terima kasih untuk maklumat itu.
Laju langkah kaki Faizal menuju ke arah pintu kecemasan tersebut. Ingin menolak pintu itu tetapi perbuatannya terhenti apabila terdengar suara yang bersembang sesama sendiri. Faizal cuba mencuri dengar perbualan itu.
“Tapi awak berkahwin dengan Faizal bukan atas kehendak awak, Yan.” Suara Aneeq terdengar bergema di sebalik pintu kecemasan itu. Faizal tersentak.
“Memang bukan atas kehendak saya. Tapi ini semua jodoh. Ketentuan dari Allah. Tak mungkin untuk saya tolak. Berkahwin dengan Faizal bukanlah pilihan saya. Tetapi saya terima dengan redha.” Kedengaran suara Dizyan pula yang bergema. Terbeliak biji mata Faizal. Dia berkahwin dengan aku kerana terpaksa? Hati Faizal membengkak.
“Kembalilah pada saya jika satu hari nanti Faizal melepaskan awak dari sisinya.” Suara Aneeq sekali lagi berkata-kata. Faizal mengetap gigi. Dia menggenggam penumbuk. Faizal menjenguk melalui tingkap kecil di pintu kecemasan tersebut. Kelihatan Aneeq menggenggam mesra jemari Dizyan. Faizal semakin geram. Semasa Faizal ingin berbuat begitu terhadap Dizyan, gadis itu menjauhi dirinya.
Segera Faizal beredar dari situ apabila dilihatnya Dizyan ingin menolak pintu kecemasan tersebut. Dia bersembunyi di sebalik dinding. Melihat sahaja Dizyan dan Aneeq yang baru melangkah keluar dari sebalik pintu kecemasan itu.
“Tak guna! Bini aku pun kau nak rampas.” Faizal menumbuk dinding. Tangan yang sakit sudah tidak terasa. Sakit lagi hatinya.
Laju kaki Faizal melangkah masuk ke dalam pejabatnya semula. Pintu biliknya dihempas kuat. Shake yang sedang leka menulis sesuatu, tercampak pennya apabila pintu itu bunyinya berdentum. Pekerja yang lain hanya memerhatikan sesama sendiri. Ada yang mengangkat kening dan bertanya dalam bahasa isyarat. Ada yang menjungkitkan bahu. Mereka kembali menyambung kerja yang terbengkalai.
Mundar-mandir kaki Faizal. Ke hulu dan ke hilir. Diambil kusyen yang ada di atas sofa dan dihempaskan ke lantai. Faizal menolak segala hiasan yang ada di atas meja tulisnya. Sehingga barangan tersebut jatuh berselerak di atas lantai. Faizal mengusutkan rambutnya. Melonggarkan tali leher yang terasa menjerut lehernya. Menyepak hiasan yang jatuh bertaburan sebentar tadi. Menendang meja. Dia benar-benar geram. Terasa ingin menumbuk wajah Aneeq. Kalau Aneeq ada dihadapan dia kini, pasti sudah ‘lunyai’ lelaki itu dikerjakannya. Tiba-tiba mata Faizal tertancap pada satu sampul surat berwarna coklat. Namanya tertera di atas sampul surat tersebut. Perlahan-lahan dia mencapai sampul surat itu.
“Siapa pulak Nahor Leumas ni?” hati Faizal digaru pertanyaan. Setahu Faizal, dia tidak punya sahabat atau pelanggan yang mempunyai nama seperti itu.
Dikoyak sampul surat tersebut dengan ganas. Terjatuh beberapa kepingan gambar ke atas lantai. Terbeliak mata Faizal melihat dua manusia yang ada di dalam gambar itu. Dengan tangan terketar-ketar, Faizal tunduk mencapai gambar-gambar tersebut. Dua insan yang amat dikenalinya. Tidur di atas katil yang sama dan berpelukan! Faizal meramas gambar tersebut sehingga kemek. Faizal berjalan ke arah jendela bilik yang menayangkan suasana pejabat. Kelihatan Dizyan sedang tekun melakukan kerjanya.
“Kau memang nak kena dengan aku!” Faizal mengetap gigi.


“THANKS, Teen sebab hantar Yan balik.” Ucap Dizyan pada Fateen. Setleah berhari-hari Fateen bercuti, kini dia kembali ke pejabat. Semasa hendak pulang sebentar tadi, Fateen terlihat Dizyan yang berdiri di perhentian bas seorang diri. Kasihan pula melihat sahabatnya yang seorang itu. Lalu dipelawa untuk balik bersama.
“It’s okaylah, Yan. Aku pun memang lalu kawasan ni jugak.” Ujar Fateen. Dizyan tersenyum.
“Okay. See you tomorrow.” Dizyan berkata. Fateen tersenyum dan mengangguk pantas. Dizyan keluar dari kereta Fateen dan masuk melalui pintu pagar kecil yang terletak di sebelah kanan. Kaki Dizyan melangkah perlahan menuju ke pintu utama. Tetapi hatinya digaru pertanyaan. Lampu rumah tidak menyala. Kemana semua orang? Kereta Faizal ada garaj. Sudah pulangkah dia? Dizyan menyeluk tas tangannya dan mencapai kunci yang terbenam jauh ke dalam. Kuncinya berlaga. Dibuka pintu utama. Dipasang suis ruang tamu. Terang-benderang rumah banglo itu. Baru Dizyan teringat. Kedua mertuanya ke rumah saudara mereka di Melaka. Ada kenduri sepupu Faizal yang perlu mereka hadiri. Dizyan dan Faizal tidak dapat menghadirinya kerana Faizal punya mesyuarat penting yang tidak dapat dielakkan. Bagi Dizyan pula...dimana suaminya berada, disitu dia juga akan ada. Tidak mungkin ke majlis tersebut seorang diri walaupun masih ada kedua mertuanya. Sutinah pula pulang ke Jakarta untuk beberapa minggu bersama suami dan anak-anak. Ingin pulang menjenguk kampung halaman yang sudah ditinggalkan hampir 10 tahun. Ingin membawa anak-anaknya mengenali asal-usul mereka. Juga ingin membawa suaminya berjumpa dengan keluarga Sutinah yang masih tinggal di sana.
Kaki Dizyan melangkah laju menuju ke tingkat atas. Dibuka pintu kamar. Gelap! Kemana pula Faizal ini pergi? Bukankah keretanya ada di garaj? Dizyan membuka suis lampu. Berpaling dan hampir gugur jantungnya apabila terlihat Faizal yang berdiri tercegat di sebelah katil. Memandang ke arahnya tidak berkelip. Dizyan mengurut dada.
“Terkejut saya. Kenapa awak duduk dalam gelap-gelap begini?” Dizyan berkata. Diletakkan tas tangannya ke atas sofa. Tidak perasan Faizal yang sudah berdiri di belakangnya.
Semasa Dizyan berpaling, lengan Dizyan dicengkam kuat. Makin lama makin kuat cengkamannya. Dizyan mengaduh kesakitan. Meronta minta dilepaskan.
“Lepaskan saya, Zal. Sakit lengan saya ni.” Dizyan mengadu. Faizal langsung tidak mempedulikan rayuan Dizyan itu. Apa yang terlintas di fikirannya itu ketika ini, dia harus memiliki gadis itu. Sudah tidak dipeduli airmata yang turun berjuraian di pipi Dizyan.
Airmata yang menuruni pipi Dizyan terasa seperti tidak mahu berhenti. Semakin lebat membasahi pipi. Faizal meneliti wajah yang basah kuyup itu. Perlahan-lahan jari Faizal mengelap pipi wanita yang mula dicintainya itu. Wajah Faizal semakin mendekat dengan wajah Dizyan. Terdengar deru nafas Dizyan yang naik turun. Jemari Faizal perlahan membelai rambut Dizyan yang beralun itu. Jemarinya jatuh di pipi Dizyan. Dibelai pipi Dizyan pula. Faizal bertentang mata dengan Dizyan. Mata mereka bertaut. Tiada lagi airmata yang menghiasi tubir mata. Tiba-tiba sahaja perasaan bahagia datang menerjah di sanubari Dizyan. Terdengar deruan nafas Faizal di tepi telinganya. Dizyan memejamkan mata. Sudah lama dia menginginkan belaian seperti itu daripada seorang lelaki bernama suami. Faizal mendekatkan wajahnya ke pipi Dizyan. Kemudian, wajahnya jatuh di pangkal leher gadis itu. Mencium lembut. Faizal mengangkat semula wajah. Dizyan membuka mata. Mata yang redup memandang seraut wajah tenang dihadapannya. Faizal tersenyum. Entah kenapa buat pertama kali pada malam itu, Dizyan lihat Faizal sangat kacak. Walaupun suaminya hanya memakai baju T dan berseluar trek. Faizal menarik lembut tangan Dizyan dan menuju ke katil. Perlahan Dizyan melabuhkan punggungnya ke atas katil. Matanya menyoroti wajah Faizal yang masih berdiri itu. Faizal juga turut melabuhkan punggungnya di atas katil bersebelahan Dizyan.
Faizal menolak perlahan badan Dizyan sehingga berbaring. Faizal meraup wajahnya. Masih tidak berbaring. Dia mendongak ke atas dan memejamkan matanya. Dizyan terfikir apakah yang sedang bermain di fikiran Faizal ketika itu. Dizyan duduk. Mengusap perlahan belakang Faizal. Lelaki itu memandang Dizyan. Wajahnya muram.
“Kenapa?” tanya Dizyan. Keningnya dijungkitkan. Faizal menggeleng perlahan. Diusap rambut Dizyan. Kembali tersenyum pada gadis tersebut. Kemudian, mereka sama-sama berbaring. Malam itu, Dizyan berasa bahagia sekali. Buat pertama kali dalam hidupnya, Dizyan dan Faizal melalui malam pertama perkahwinan mereka. Dan pada malam itu juga, bayangan yang pernah menghantui hidup Dizyan juga seakan-akan lenyap. Pergi dibawa angin bayu.
Dizyan terjaga jam 3 pagi. Mengangkat kepala yang berbaring di atas dada bidang Faizal. Dizyan menongkat dagunya di atas dada Faizal. Mengusap perlahan wajah lelaki yang semakin hari semakin dicintainya itu. Dizyan melingkarkan lengannya ke pinggang Faizal. Membaringkan semula kepalanya di atas dada Faizal. Mata kembali terpejam.

BERSAMBUNG.....

Sunday, October 11, 2009

Dan Sebenarnya....40

BAB 40

“AWAK...awak. Bangunlah.” Dizyan mengejutkan Faizal yang sedang nyenyak tidur. Dikuak rambut yang jatuh ke depan. Mengejutkan Faizal sekali lagi. Masih tiada reaksi dari lelaki itu. Dia mengetap bibir. Tanpa Dizyan sedar, Faizal mengukirkan senyuman. Sengaja ingin mengenakan Dizyan kerana semalam pertanyaannya tidak dijawab atau menerima respon daripada gadis itu. Dizyan menggaru kepala. Tidak tahu hendak buat apa lagi. Kemudian, timbul satu idea untuk membuatkan Faizal bangun dari tidurnya.
“Saya ubah kereta awak, ya.” Dizyan berkata. Dizyan sudah menuju ke pintu bilik dan ingin memulas tombol pintu. Faizal hanya membuka matanya kecil sahaja.
“Jangan nak mengada-ngada ubah kereta aku. Aku tak suka orang lain sentuh kereta aku.” Tingkah Faizal. Dizyan beralih dan memandang Faizal yang masih tidak berganjak dari tempat tidurnya.
“Saya nak pergi kerja dah ni. Kalau awak tak ubah sekarang, nanti saya lambat.” Dizyan berkata lagi. Faizal tersenyum sinis. Terfikir cara untuk mengenakan Dizyan.
“Malaslah. Aku nak tidur lagi.” Faizal menyembamkan mukanya ke bantal. Dizyan menghentak kaki. Sebal melihat sikap kebudak-budakan Faizal. Lelaki itu mengangkat semula wajahnya dan memandang ke arah Dizyan di muka pintu.
“Jangan nak memandai ubah kereta aku.” Faizal memberikan amaran. Dizyan melepaskan keluhan, kasar.
“Habis, saya nak pergi kerja naik apa?”
“Naiklah bas. Kan berlambak kat luar tu. Teksi ke.” Faizal berkata. Geramnya hati Dizyan tidak terkata. Serasa mahu dicekik-cekik sahaja Faizal ketika itu.
“Argh!” jerit Dizyan. Terus Dizyan melangkah keluar. Faizal tersenyum dan tertawa kecil dan menyembamkan kembali wajahnya ke bantal.


KAKI Dizyan melangkah longlai keluar daripada pintu pagar rumah banglo itu dan menuju ke perhentian bas. Hajat di hati ingin menumpang Datuk Farid, terbantut apabila ayah mertuanya itu keluar negara beberapa hari. Datin Rubaiyah pula tidak tahu memandu. Wajah Dizyan memuncung sambil berjalan ke arah perhentian bas dihadapan rumah. Membetulkan tali tas tangan yang sudah melurut. Geramnya hati melihat perbuatan suaminya itu. Faizal yang menjenguk dari balkoni, ketawa mengekeh. Berjalan masuk semula ke dalam bilik dan menutup pintu balkoni.
“Siapa suruh kau bercakap dengan Ezra? Padan muka!” ngomel Faizal seorang diri. Mencapai tuala miliknya dan memegang tuala Dizyan sambil tersenyum. Kemudian, melangkah masuk ke dalam bilik air.
Setengah jam kemudian, Faizal keluar dari bilik mandi dan siap berpakaian untuk pejabat. Faizal turun ke tingkat bawah untuk bersarapan. Datin Rubaiyah yang baru sahaja muncul dari dapur, melabuhkan punggung menghadap Faizal yang tengah berselera menjamu makanan yang ada dihadapannya. Mencapai cawan Nescafe yang sudah siap disediakan. Mungkin Dizyan yang membancuhnya sebelum keluar tadi. Fikir Faizal sendirian. Datin Rubaiyah menghirup kopi yang masih berasap itu. Terjenguk-jenguk ke arah garaj rumah.
“Yan tak bangun lagi ke?” tanya Datin Rubaiyah apabila dilihatnya MyVi milik Dizyan masih tersadai di luar rumah. Faizal mengerutkan dahi memandang ke arah Mamanya.
“Taklah. Dia dah lama pergi kerja.” Ujar Faizal. Meneruskan kembali suapannya.
“Tapi kenapa kereta dia masih ada?” sekali lagi Datin Rubaiyah bertanya. Faizal berwajah selamba. Malas mahu menjawab soalan Datin Rubaiyah. Dicapai tisu yang ada atas meja dan segera mengelap mulutnya.
“Okaylah, Ma. Zal pergi dulu.” Faizal tunduk menyalami Datin Rubaiyah. Wanita elegan itu mengangguk perlahan. Faizal menuju ke arah almari kasut dan menyarungkan kasutnya. Keluar dari rumah dan menuju ke arah kereta yang tersadai di belakang kereta Dizyan. Memandang ke arah MyVi Tangerine Orange itu. Tersenyum sinis.
“Nasib kaulah kena naik bas hari ni.” Faizal berkata sendirian dan terus masuk ke dalam perut kereta. Menghidupkan enjin dan tidak lupa membaca doa naik kenderaan.
Selepas itu, dia menekan satu punat untuk membuka bumbung keretanya. Membuka dashboard dan mengeluarkan kacamata hitam. Menyarungkan spec Aviator miliknya. Mengundurkan keretanya perlahan-lahan. Menderum meninggalkan kawasan rumah banglo itu. Melalui perhentian bas yang berdekatan dengan rumahnya. Tiada! Tentu Dizyan sudah naik bas yang baru sahaja melalui kawasan itu. Radio yang pada mulanya dipasang perlahan, dikuatkan sedikit volume. Lagu I’m Yours berkumandang. Semakin kuat volume radionya dikuatkan.

Well you done done me and you bet I felt it
I tried to get you but you’re so hot that I melted
I fell right through the cracks
And I’m trying to get back.....

Faizal bernyanyi-nyanyi kecil sambil mengetuk stereng keretanya.


DIZYAN menahan bas yang melalui kawasan itu. Melambai-lambai ke arah bas tersebut. Pemandu bas itu memberhentikan basnya. Dizyan melangkah naik ke atas bas tersebut dan memasukkan duit tambang ke dalam tempat khas yang disediakan di sebelah pemandu bas tersebut. Dizyan berjalan terhuyung-hayang menuju ke kerusi yang ada di belakang apabila bas itu berjalan. Melabuhkan punggung di satu kerusi kosong. Tepi tingkap. Dizyan menebarkan pandangannya ke luar. Menongkat dagu di tingkap. 2 orang perempuan yang ada di kerusi hadapan sibuk bercakap sesama sendiri. Manakala 2 orang perempuan di belakangnya juga sibuk bercakap sambil ketawa sehingga membingitkan telinga Dizyan. Lelaki India yang duduk setentang dengan kerusi yang diduduki Dizyan, juga sibuk bercakap dengan pemanggil yang menelefonnya. Bas tersebut berhenti semasa lampu isyarat bertukar merah.
“Eh, kau tengok tu, Hani. Bukan ke tu...tu...Alahh....siapa nama lelaki tu?” tanya salah seorang gadis yang duduk dihadapan kerusi Dizyan. Gadis itu mengunjuk ke arah kereta yang berada bersebelahan dengan bas yang dinaiki mereka itu.
“Yang mana?” tanya gadis yang dikenali sebagai Hani itu.
“Itulah.” Sahabatnya sekali lagi berkata sambil mengetuk cermin tingkap bas tersebut. Hani menjenguk ke arah kereta yang dimaksudkan sahabatnya itu.
“Ohh...Fezrull Faizal la. Anak pemilik RUFA Tower tu. Hish! Handsome betullah dia tu.” Hani berkata sambil matanya tidak lepas dari memandang seraut wajah Faizal. Jari jemarinya mengetuk stereng. Melihat cermin pandang belakang berkali-kali sambil membetulkan rambut yang sedikit kusut. Dizyan mencuri dengar perbualan dua sahabat itu. Ingin tahu apa yang disembangkan mereka berdua.
“Tapi kan Kina, aku dengar dia kahwin dengan orang gaji dia sendiri.” Ujar Hani dengan bersungguh-sungguh. Gadis yang dikenali sebagai Kina itu mengangguk pantas.
“Ish! Mesti si Indon tu tak ada kerja lain. Dahlah datang negara orang secara haram, ada hati nak kahwin pulak dengan orang yang ternama dan terkenal macam Fezrull Faizal tu.” Terjuih mulut Kina berkata. Hani mengerutkan dahi. Semakin dekat telinga Dizyan melekap ke kerusi yang diduduki dua wanita dihadapannya.
“Siapa pula Indon yang kau maksudkan ni?” Hani bertanya.
“Indon yang kahwin dengan Faizal tu lah.” Kina berkata pula. Terbeliak mata Dizyan. Ada ke dia kata aku ni Indon? Geram hati Dizyan mendengar kata-kata Kina itu.
“Suka hati je kau ni, Kina. Dia kahwin dengan orang Malaysia jugak. Tapi orang tu kerja sebagai orang gaji kat rumah dia.” Hani membetulkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Kina. Dizyan terasa mahu menampar mulut mulus Kina itu.
“Oh, ye ke? Aku tersilap.” Kina mengakui kesalahannya.
Faizal mengalih pandang ke arah bas yang berhenti di sebelah keretanya. Dizyan memandang ke arah Faizal. Hani dan Kina melambai pada Faizal. Dan, lambaian tersebut dibalas. Kemudian, mata Faizal tertala ke arah Dizyan yang berada di kerusi belakang kedua wanita tersebut. Menghadiahkan sebuah senyuman sinis dan terus memecut keretanya sebaik sahaja lampu isyarat bertukar hijau. Tanpa Dizyan sedar, dia menepuk kerusi hadapannya dengan kuat. Melatah Kina dibuatnya.
“Hish, siapa yang tepuk kerusi aku ni?” Kina terasa geram. Dia dan Hani mengalih pandang ke belakang. Terlihat Dizyan tersengih.
“Sorry, tak sengaja.” Dizyan menyusun sepuluh jarinya. Hani dan Kina pandang semula ke hadapan. Mendengus dan kembali bersembang sesama sendiri. Dizyan menggigit bibir. Melihatkan pandangan Faizal itu sebentar tadi, Dizyan tahu pasti Faizal berniat untuk mengenakannya. Dia mendengus perlahan.


SEBAIK sahaja Dizyan menjejakkan kakinya ke dalam lobi, Mastura terus menyerbu ke arah Dizyan. Terkejut gadis itu dibuatnya. Terkebil-kebil mata Dizyan memandang Mastura. Turun naik dada Mastura menahan semput.
“Kenapa ni, Mas?” tanya Dizyan apabila Mastura masih tidak berkata apa-apa. Termengah dia sebentar. Mastura melepaskan satu keluhan.
“Bos panggil Yan. Dia kata kat Mas tadi, “once Yan came in, tell her to see me”.” Ajuk Mastura dengan gaya Faizal. Tergelak kecil Dizyan dibuatnya.
Dizyan mengangguk dan menuju ke arah mejanya. Diletakkan tas tangan dalam laci meja. Dan segera menuju ke bilik Faizal. Diketuk perlahan pintu bilik tersebut. Setelah arahan masuk diberikan, Dizyan memulas tombol pintu dan melangkah masuk. Faizal menekurkan pandangannya ke arah skrin laptop yang terpasang. Leka menggerakkan tetikusnya. Sesekali kedengaran bunyi ‘klik’ daripada tetikus tersebut. Dizyan berdiri tercegat dihadapan Faizal.
“Encik Faizal panggil saya?” Dizyan bertanya setelah didapatinya Faizal langsung tidak berkata apa-apa sejak dia masuk ke dalam bilik itu sebentar tadi. Faizal mengangkat muka, memandang tajam ke arah Dizyan. Serius sahaja wajahnya.
“Kenapa lambat?” tanya Faizal dengan nada suara yang serius.
“Jalan jam.” Jawab Dizyan ringkas. Kembali membalas renungan Faizal itu. Lelaki itu mengangguk sambil tersenyum kecil.
“Seronok naik bas?” dengan nada yang memerli, Faizal bertanya lagi. Dizyan melepaskan keluhan perlahan. Sakit hatinya apabila Faizal bertanya begitu.
“Seronok. Experience. Bagus jugak sebab selama ni saya tak pernah naik bas. Exercise.” Dizyan jawab secara menyindir. Faizal tersenyum sinis dan mengangguk.
“Baguslah. Esok boleh pergi naik bas lagi kan.” Tukas Faizal. Dizyan membalas senyuman sinis itu. Hatinya mendongkol geram.
“InsyaAllah. Saya tak ada masalah.” Dizyan menjawab. Faizal menjungkitkan keningnya.
“Selalu, selalulah kau bercakap dengan Ezra dan hari-hari kau boleh pergi balik naik bas.” Berkias Faizal berkata. Dizyan mengerutkan dahi. Cemburukah Faizal? Hati Dizyan tertanya. Kemudian, dia punya idea untuk mengenakan Faizal.
“Jealous ke?” pertanyaan Dizyan itu menyentakkan hati Faizal. Habis! Dia sudah terlepas kata. Menunjukkan perasaan sebenarnya kepada Dizyan. Gadis itu mendekati meja Faizal.
“Kalau cemburu, katakan cemburu. Kalau sayang, katakan sayang.” Senyuman sinis semakin melebar di bibir Dizyan. Ingin mencari reaksi Faizal. Terkebil-kebil mata Faizal memandang Dizyan. Kemudian, dialihkan pandangannya ke tempat lain.
“Dahlah. Kau boleh keluar sekarang. Pergi buat kerja kau.” Akhirnya, Faizal mengalah dengan perasaan sendiri. Memang aku cemburu, memang aku sudah mula jatuh sayang. Hati Faizal mendesis. Dijatuhkan semula pandangannya menghadap skrin laptop.
“Baiklah, Encik Faizal. Saya minta diri dulu.” Dengan selamba, Dizyan melangkah keluar dari bilik pejabat suaminya. Faizal mengangkat semula wajahnya memandang pintu yang sudah tertutup rapat itu. Dilepaskan satu keluhan besar. Dipegang dada yang tiba-tiba sahaja terasa seperti hendak meletup.


KADANGKALA Dizyan tersenyum dan kadangkala tertawa kecil seorang diri apabila teringatkan reaksi yang ditunjukkan oleh Faizal itu. Dizyan melepaskan keluhan lega. Dia juga lega apabila mendapat tahu perasaan sebenar Faizal terhadap dirinya. Tetapi, Dizyan masih belum bersedia unruk meluahkan perasaan sebenarnya terhadap Faizal. Apakah dia punya perasaan yang sama? Hati Dizyan disentap dengan satu persoalan yang tidak mungkin dapat Dizyan jawab. Hatinya mengaku bahawa dia mula menyayangi Faizal sebagai seorang lelaki dan sebagai suami dia. Tetapi kenapa perasaan bersalah tetap juga muncul dalam hatinya? Perlukah Dizyan berterus terang tentang apa yang berlaku di antara dia dan Aneeq? Tentang apakah sejarah hitam yang menyelubungi hidupnya suatu ketika dahulu? Dizyan keliru. Benar-benar keliru. Hatinya dirundung perasaan bersalah. Kerja yang ingin dilakukannya terpaksa ditinggalkan dahulu. Dizyan tidak fokus terhadap kerja dihadapannya itu. Sesekali meraup anak rambut yang jatuh berjuraian di dahi.
“Saya perlu bercakap dengan awak.” Ujar satu suara. Dizyan cukup mengenali suara garau yang bisa menggetarkan jiwanya suatu ketika dahulu. Diangkat wajahnya memandang lelaki dihadapan dia itu. Berkerut dahi Dizyan. Gadis itu berdiri dan memandang wajah Aneeq yang serius.
“Maafkan saya, Encik Aneeq. Banyak lagi kerja yang perlu saya selesaikan.” Jawab Dizyan dengan tegas. Sudah malas mahu berhadapan dengan lelaki yang banyak melukakan hatinya itu. Aneeq merenung lama wajah Dizyan sehingga membuatkan gadis itu berasa kurang selesa.
“Ikut saya.” Aneeq berkata, keras. Dizyan membalas kembali renungan Aneeq.
“Saya tak mahu.” Dizyan menjawab lagi. Aneeq terdiam.
Apa yang harus dilakukan supaya Dizyan bersendirian dengannya dan Aneeq dapat untuk menerangkan perkara yang masih belum selesai ini. Terus sahaja dia menarik tangan Dizyan untuk membuntutinya. Meronta-ronta gadis itu pinta dilepaskan. Aneeq tidak mempedulikan mata-mata yang memandang perbuatan mereka berdua. Dizyan dan Aneeq melintasi meja Mastura di kaunter penyambut tetamu. Dizyan tidak meronta sebaliknya hanya mengikut sahaja gerak langkah kaki Aneeq. Mastura memerhatikan gelagat dua manusia itu. Mengerutkan dahi. Terlihat pegangan tangan Aneeq terhadap Dizyan. Bertambah-tambah kerutan di dahi Mastura. Aneeq bercinta dengan Dizyan? Hati Mastura terdetik. Sebelum ini, Aneeq paling tidak suka jika digosipkan dia mempunyai skandal atau hubungan dengan mana-mana perempuan di pejabat mereka itu. Tetapi kini....Aneeq memegang tangan Dizyan? Pelik! Dijungkitkan sedikit bahunya. Malas mahu mengambil tahu. Mastura bukanlah seorang kaki sibuk seperti Annie atau Fatehah. Tunduk kembali menekur memandang fail yang ada dihadapannya.
Aneeq menolak pintu kecemasan yang terletak di sebelah kanan lif. Sebaik sahaja pintu kecemasan tersebut tertutup, Aneeq melepaskan tangan Dizyan yang sudah meronta minta dilepaskan. Dizyan mengurut tangan yang terasa sakit. Aneeq berdiri menghadap Dizyan. Memandang gadis itu tanpa berkelip. Langkah kaki Dizyan sudah mula berjalan mengundur. Takut juga jika dipengapa-apakan oleh Aneeq. Dizyan memandang ke arah lain. Langsung tidak mahu melihat wajah yang amat dibencinya itu. Aneeq melepaskan satu keluhan.
“Maafkan saya. Awak sakit?” tanya Aneeq apabila dilihatnya Dizyan masih mengurut tangan. Tiada respon yang diberikan oleh Dizyan. Dada Dizyan berdegup pantas. Naik turun menahan nafas.
“Mari sini. Saya urutkan.” Ujar Aneeq dan mula mendekati Dizyan.
Gadis itu berjalan mengundur sehingga tersandar pada dinding. Matanya membulat memandang Aneeq. Kejadian malam tersebut seperti wayang bermain semula di dalam minda dan matanya. Air hangat mula bertakung di tubir mata Dizyan. Serasa mahu menangis dan menjerit sekuatnya. Aneeq yang melihatkan keadaan Dizyan yang seperti ketakutan, mengundurkan semula langkahnya. Tahu apa yang bermain di fikiran Dizyan waktu itu.
“Yan....tak usahlah diingatkan lagi kejadian malam tu. Sebenarnya.....” ayat Aneeq tergantung apabila Dizyan memandangnya tajam.
“Apa yang awak cakapkan ni? Saya tak pernah ada hubungan dengan awak. Dan, saya takkan ada hubungan dengan awak.” Ujar Dizyan tegas. Aneeq menelan air liur. Sampai begitu sekali Dizyan membencinya. Tetapi Aneeq masih sayangkan Dizyan sepenuh hati.
“Biar saya jelaskan dulu.” Aneeq menyambung.
“Saya tak nak dengar. Awak tolong jangan ganggu saya.” Dizyan menekup telinganya. Aneeq sekali lagi mendekati Dizyan dan menarik tangan Dizyan dari menekup telinganya.
“JANGAN SENTUH SAYA!” Dizyan menjerit sehingga bergema lorong tangga di pintu kecemasan itu. Aneeq tergamam. Perlahan-lahan mengundurkan kembali langkah kakinya.
“Yan, dengar dulu apa yang saya nak cakapkan ni.” Beria-ia Aneeq meminta dari Dizyan.
Aneeq mahu menjelaskan segala-galanya. Dia tidak mahu Dizyan tersalah faham lagi. Dizyan menggeleng pantas dan menuju ke pintu kecemasan itu. Belum sempat Dizyan menolak pintu tersebut, dia merasakan lengannya ditarik ke belakang. Aneeq menghempaskan badan Dizyan ke dinding. Mencerlung mata Aneeq menikam wajah Dizyan. Turun naik dada gadis itu. Airmata sudah mula menuruni pipi gebunya. Dia memejamkan mata. Aneeq mendengus. Tidak sampai hati melihat wajah putih bersih itu dibasahi dengan airmata. Serasanya ingin dilap sahaja. Tetapi Aneeq masih tahu batas-batasnya terhadap seorang perempuan bukan muhrim. Dilepaskan lengan Dizyan. Airmata yang turun semakin lebat. Dibuka matanya. Terlihat Aneeq sudah menjauhi dirinya.
“Tolonglah. Buat kali ini....” ayat Aneeq tergantung. Menarik nafas dan dilepaskannya perlahan. Mencari anak mata Dizyan yang sudah dikaburi dek airmata yang tidak henti menuruni pipinya.
“...dengar dulu penjelasan saya.” Aneeq menyambung. Dizyan terjelepuk duduk ke atas lantai.

BERSAMBUNG.....

p/s: baiklah, sambung minggu dpn pulak yer kawan2......eheheheh