BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, December 3, 2008

Dari KL ke Luxembourg 32

FAREEZ memarkirkan keretanya di dalam garaj di rumah kedua ibubapanya. Amirul melompat keluar dari kereta setelah Qaseh membuka pintu belakang kereta untuknya. Puan Sri Marlisa membuka pintu rumah dan segera mendakap cucu lelaki tunggalnya itu. Dibawa anak kecil itu masuk ke dalam rumah. Riuh rendah rumah Tan Sri Firdaus dan Puan Sri Marlisa dengan suara mereka semua yang kegirangan melihat kepulangan Amirul. Qaseh tersenyum pada Fareez. Fareez memeluk bahu isterinya itu dan mereka sama-sama berjalan masuk ke dalam rumah.
“ Sekarang, dah lengkaplah keluarga ni.” Kata Tan Sri Firdaus. Kesemua mereka berwajah ceria.
“ Tak lengkap lagi, Bang.” Kata Puan Sri Marlisa sambil matanya melirik ke arah Qaseh. Mereka semua memandang wajah Puan Sri Marlisa dengan pelik. Qaseh juga tidak faham akan kata-kata ibu mentuanya itu.
“ Kenapa tak lengkap pulak?” tanya Tan Sri Firdaus.
“ Qaseh belum mengandung lagi.” Kata-kata Puan Sri Marlisa menyebabkan Qaseh tersipu-sipu malu.
“ Apa, Ummi?” tanya Fareez. Matanya terbeliak.
“ Selagi Qaseh tak mengandung, selagi itulah keluarga kita tak lengkap.” Ujar Puan Sri Marlisa. Fareez menggaru kepalanya yang tidak gatal.
“ Qa…Qaseh…Qaseh lambat lagilah, Ummi.” Kata Qaseh tergagap-gagap. Dia begitu malu hendak bertentang mata dengan Fareez.
“ Alah….Kalau kamu cuba selalu, tak ada lambatnya. Ummi kepingin sangat nak main dengan cucu baru.” Puan Sri Marlisa masih tidak habis lagi mengusik mereka berdua. Mereka yang lain sudah mengekeh ketawa. Tan Sri Firdaus mengiakan kata-kata isterinya.
“ You have to work harder.” Kata Ikhwan sambil menepuk-nepuk bahu Fareez. Tersengih sahaja Fareez.
“ Kak Liza dan Kak Fit kan dah bagi Ummi cucu.” Kata Fareez. Qaseh tertunduk malu. Kanak-kanak yang sedang bermain sesama sendiri berhenti bermain kerana hendak mendengar perbualan orang-orang dewasa.
“ Apalah Ayah ni. Kalau Siti nak cucu lagi, Ayah dan Mama Qaseh kenalah cuba bagi Siti cucu.” Kata Fitri Adriana yang petah berkata-kata. Mereka semua ketawa besar. Wajah Qaseh merona merah.
“ Ana, cuba jangan menyampuk cakap orang tua.” Kata Ikhwan. Pura-pura marah. Mereka menyambung semula bermain sesama sendiri.
“ Makanan dah siap.” Laung Fitri Marlis.
“ Mak…Mummy….” Amirul berlari ke arah Fitri Shaliza dan Fitri Marlis. Mereka berdua tersenyum lebar. Lega anak kecil itu kembali ke pangkuan mereka semula.
“ Marilah makan.” Laung Fitri Shaliza pula. Mereka semua menuju ke arah ruang makan. Fitri Shaliza dan Fitri Marlis menyediakan makan tengah hari untuk mereka semua. Ikhwan memeluk bahu Fareez dan mereka beriringan menuju ke ruang makan. Qaseh berjalan di belakang sekali. Tiba-tiba dia terasa tangannya ditarik. Dia mengangkat muka memandang orang yang menarik tangannya itu. Tersenyum dia kepada Fareez sehingga menampakkan lesung pipit. Puan Sri Marlisa hanya tersenyum melihat gelagat kedua anak dan menantunya.
“ Wah!! Banyaknya kamu masak Liza.” Kata Tan Sri Firdaus.
“ Sekali-sekala Walid.” Fitri Shaliza berkata.
“ Ini semua sempena meraikan kepulangan Mirul kepada kita, Walid.” Ujar Fitri Marlis pula. Tan Sri Firdaus mengangguk perlahan dan tersenyum.
Mereka melabuhkan punggung di tempat masing-masing. Makan malam pada hari itu dipenuhi dengan gelak ketawa dan riuh dengan suara mereka bersembang. Qaseh turut tidak ketinggalan bersembang bersama.







“ PUAN ZHU nak jumpa saya?” tegur satu suara. Zhulianna segera memandang wajah putih bersih dihadapannya itu. Dianggukkan kepala perlahan-lahan.
“ Silakan duduk.” Zhulianna mempersilakan tetamu itu duduk. Zhulianna hanya mendiamkan diri. Tiada sepatah kata pun yang keluar dari mulutnya. Qaseh sudah gelisah. Apa yang berat sangat hendak dikatakan oleh Zhulianna? Zhulianna tidak tahu bagaimana hendak mengatakan perkara ini kepada Qaseh. Dapatkah gadis itu menerima hakikat sebenar?
“ Puan Zhu…Puan Zhu…” panggil Qaseh, perlahan. Zhulianna tersedar dari lamunannya. Dia memandang wajah Qaseh dengan perasaan bersalah. Qaseh semakin pelik dengan kelakuan Zhulianna.
“ Qaseh…Apa yang Ib...Apa yang saya akan cakapkan ni, saya harap Qaseh dapat menerimanya.” Hampir sahaja Zhulianna hendak menyebut dirinya Ibu. Perasaan rindu terhadap anak tunggalnya itu begitu menggunung. Perasaan ini sudah lama dipendam tetapi dia masih ingat akan syarat-syarat Tuan Nizam.
“ Kenapa, Puan? Design yang saya tunjukkan pada Puan tu, Puan tak berkenan ke?” risau jika rekaannya menimbulkan rasa tidak puas hati kepada pelanggannya. Zhulianna menggeleng pantas.
“ Design yang Qaseh buat untuk saya, sangat cantik. Bukan pasal projek yang saya nak cakapkan ni.” Zhulianna mengatur ayat yang mudah difahami oleh Qaseh. Qaseh mengerutkan dahi.
“ Pasal apa, Puan?” tanya Qaseh.
“ Pasal Qaseh.”
“ Saya? Kenapa dengan saya?” bertambah-tambah kerutan di dahinya.
“ Sebenarnya…Qaseh bukan anak Yasmin Zahirah.” Kata-kata Zhulianna menyebabkan Qaseh membeliakkan matanya.
“ Apa maksud, Puan? Saya anak Yasmin Zahirah dan Nizam.” Qaseh mula naik angin apabila orang berkata begitu tentang dirinya.
“ Memang ayah Qaseh adalah Nizam. Tetapi, ibu Qaseh bukan Yasmin.” Zhulianna menentang mata Qaseh yang mula bertakung dengan air mata.
“ Saya tak faham.” Qaseh mengelap air mata yang mula menuruni wajahnya. Zhulianna menundukkan muka. Qaseh memegang tangan Zhulianna perlahan. Wanita itu mengangkat semula muka memandang Qaseh.
“ Saya adalah ibu Qaseh yang sebenarnya.” Akui Zhulianna akhirnya. Qaseh menarik tangannya perlahan-lahan. Zhulianna cuba memegang tangan Qaseh semula tetapi tangan itu ditepis pantas.
“ Saya tak percaya cakap Puan.” Bukan sahaja Qaseh cuba menepis tangan Zhulianna tetapi dia juga cuba menepis hakikat yang datang menimpa dirinya.
“ Ibu lah yang melahirkan Qaseh.” Zhulianna masih cuba menyedarkan Qaseh. Pantas Qaseh menekup telinga. Zhulianna cuba menarik tangan Qaseh. Qaseh meronta-ronta tidak membenarkan ibu kandungnya menarik tangan dia. Zhulianna tidak sanggup melihat anaknya begitu sekali. Cuba untuk menepis hakikat yang datang menimpa diri.
“ Qaseh dengar dulu cakap Ibu.” Zhulianna masih memujuk Qaseh.
“ NO!” jerit Qaseh. Nasib baik tempat perjumpaan mereka bukan di khalayak ramai. Kalau tidak, sudah tentu malu Zhulianna.
“ Qaseh…” panggil Zhulianna lembut. Air matanya sudah berjuraian turun. Qaseh memandang tempat lain. Tidak mahu memandang muka wanita itu. Dia tidak percaya dan tidak mahu percaya akan kata-kata Zhulianna.
“ Puan dengar cakap saya. Walau siapapun ibu saya yang sebenarnya, saya tetap anak Yasmin Zahirah binti Yusman Zakaria.” Tegas Qaseh. Dia mula berdiri. Zhulianna cuba lagi untuk memegang tangan Qaseh. Dia mengelak dari tangannya disentuh. Qaseh segera beredar.
“ Qaseh…” pangil Zhulianna lagi. Tetapi Qaseh sudah jauh meninggalkan Zhulianna yang teresak-esak menangis di situ.
Qaseh menuju ke keretanya. Dia masuk ke dalam kereta tetapi enjin kereta tidak dihidupkannya. Dia menyandarkan kepala ke kerusi dan menangis sepuasnya. Tiba-tiba telefonnya berdering. Dijawab panggilan tersebut. Dilapnya pipi yang lencun.
“ Qaseh, Wad ni. Wad nak ajak Qaseh makan, boleh?” tanya Ashwad.
“ Awak tak faham lagi ke? Saya dah tak nak jumpa awak.” Qaseh sedaya-upaya cuba menolak ajakan Ashwad. Dia berkata-kata sambil menahan tangisan.
“ For the last time. Ada benda Wad nak cakapkan pada Qaseh.” Ashwad masih cuba memujuk gadis itu. Qaseh mendengus kasar. Akhirnya dia bersetuju. Ashwad menetapkan tempat perjumpaan mereka.
Qaseh menghidupkan enjin kereta dan menuju ke tempat yang dia harus berjumpa dengan Ashwad. Tiba sahaja dihadapan Restoran Swensens yang terletak di Subang Parade, Qaseh melangkah masuk ke dalam restoran tersebut. Qaseh menuju ke arah Ashwad. Ditarik kerusi untuk Qaseh. Qaseh melabuhkan punggung. Ashwad duduk bertentangan dengan Qaseh. Mata Qaseh seperti tidak bermaya kerana banyak menangis.
“ Kenapa awak nak jumpa saya?” tanya Qaseh. Dingin.
“ Qaseh…Qaseh tak apa-apa ke?” tanya Ashwad. Risau akan keadaan Qaseh.
“ Saya tak apa-apa. Please…straight to the point.” Qaseh malas hendak memanjangkan perjumpaannya dengan Ashwad.
“ Wad nak serahkan kad ni pada Qaseh.” Qaseh mengangkat mata dan memandang kad yang diletakkan dihadapannya. Dibuka sampul kad tersebut dan diteliti tulisan yang bertinta hitam. Qaseh tersenyum hambar.
“ Kenapa awak tak poskan kad ni?”
“ Wad nak, Qaseh orang yang pertama baca kad ni.”
“ Tahniah, Wad. Semoga berbahagia.” Kata Qaseh. Dimasukkan semula kad tersebut ke dalam sampul yang berbau wangi itu.
“ Kita tetap kawan, kan?” tanya Ashwad. Dia memegang tangan Qaseh. Qaseh mengangguk perlahan tetapi dia tidak cuba menepis tangan itu. Entah kenapa dia tidak ingin menepis tangan itu buat kali ini.
Ashwad memesan makanan.






FAREEZ membuka pintu bilik pejabatnya. Tersusun rapi bilik itu. Selalunya sebelum Fareez masuk, Hadirah akan mengemas biliknya itu. Fareez tidak boleh bekerja di dalam bilik yang semak. Segala kertas-kertas kerja tersusun di dalam satu almari yang dikhaskan. Hadirah meluru masuk ke dalam bilik pejabat Fareez. Terkejut Fareez dengan kehadiran Hadirah yang tiba-tiba itu.
“ Maafkan saya, bos. Saya tak tahu bos dah datang.” Ujar Hadirah sambil berjalan mendekati meja Fareez. Diletakkan cawan yang masih berwap berisi kopi ‘O. Fareez tersenyum kepada Hadirah. Dia mengambil cawan tersebut dan dihirup sedikit air kopi itu. Air yang Hadirah buat masih sama. Pekat dan manisnya masih sama. Semenjak berkahwin ini dia sudah jarang dapat minum air yang dibuat oleh Hadirah kerana sebelum dia ke tempat kerja, Qaseh mesti menyediakan sarapan untuk Fareez.
“ Tak apa. Saya memang sengaja datang awal hari ni. Didi, tolong ambilkan saya fail Sakura Enterpreneur.” Arah Fareez. Hadirah segera keluar dan sebentar kemudian dia datang semula dengan membawa fail yang diperlukan oleh Fareez. Fareez menyelak kertas-kertas di dalam fail tersebut. Hadirah hanya berdiri tercegat di situ. Dia memerhatikan ketuanya. Hari ini, Fareez nampak berlainan sekali.
“ Boleh tolong saya tak, Didi?” tanya Fareez sambil mendongak memandang Hadirah yang masih tidak berganjak dari tempatnya berdiri. Hadirah tersedar dari lamunan. Fareez tersenyum memandangnya.
“ Boleh, bos. Ada apa yang bos perlukan?” tanya Hadirah.
“ Kenapa Didi pandang saya macam tu?” tanya Fareez pula.
“ Saya nampak bos lain sangat hari ni.” Kata Hadirah takut-takut.
“ Nampak lain macam mana tu?” tanya Fareez lagi.
“ Gembira. Berseri-seri.” Puji Hadirah.
“ Sesuatu yang menggembirakan telah berlaku. Tulah sebabnya saya nampak gembira.” Ujar Fareez. Hadirah mengangguk pantas.
“ Ada apa yang bos perlukan?” tanya Hadirah kembali.
“ Tolong panggilkan Azlan, ya?” arah Fareez.
“ Ada apa-apa lagi yang bos perlukan?”
“ Tak. Itu saja.” Hadirah mengangguk dan segera keluar dari bilik tersebut. Seketika kemudian, pintu bilik diketuk. Arahan masuk diberikan. Azlan menuju ke arah meja Fareez.
“ Encik Fareez panggil saya?”
“ Hah, Alan! Duduklah.” Azlan menarik kerusi dan duduk berhadapan dengan bosnya itu. Fareez tidak berkata apa-apa.
“ Macam mana dengan projek Lembah Bayung Resort and Spa tu?” tanya Fareez. Dia begitu ambil berat akan projek yang diusahakan oleh syarikatnya. Tidak pernah lupa untuk menanya perkembangan terbaru.
“ Hmm…Projek tu hampir 85 percent siap.”
“ Another 15 percent?”
“ Kami tengah usahakan untuk menyiapkannya sehingga hujung bulan ni.” Kata Azlan yang sentiasa penuh keyakinan apabila berkata-kata. Azlan adalah orang kepercayaan Fareez untuk menguruskan projek-projek yang berkaitan dengan tempat pelancongan. Azlan mempunyai pengalaman yang luas dalam projek-projek sebegitu. Fareez mengangguk. Puas hati dengan kerja Azlan.
“ Jadi, awak dah jemput Cik Ferdia untuk buat interior?”
“ Sudah, Encik Fareez. Tapi wakil Ferdiana Interior yang dia orang hantar. Bukan Cik Ferdia sendiri. Katanya, dia dah ada projek dengan syarikat lain sebelum syarikat kita.” Jelas Azlan. Fareez mengangguk perlahan. Dilurutkan dagu.
“ Siapa nama wakil tu?”
“ Carmen Loo.”
“ Carmen Loo Kar Man?”
“ Agaknya kot. Saya tak tahu nama cina dia.”
“ Saya kenal dia. Dia kawan masa universiti saya dulu.” Fareez berkata.
“ Macam nilah. Awak tetapkan tarikh perjumpaan dengan Carmen. Nanti saya ikut awak untuk berbincang dengan dia.” sambung Fareez lagi. Dia menulis sesuatu di atas kertas dihadapannya.
“ Baiklah, Encik Fareez. Kalau ada apa-apa nanti, saya maklumkan pada Encik Fareez.” Ujar Azlan sambil menggoyangkan kerusi yang diduduknya itu. Fareez mengangguk perlahan.
“ Ada apa-apa lagi, Encik Fareez?” tanya Azlan.
“ Ok. Tak apalah, itu saja saya nak tahu.”
“ Boleh saya pergi sekarang, Encik Fareez?”
“ Ya.”
Azlan bangun dan menuju ke pintu bilik Fareez. Fareez membuka menghidupkan suis komputer ribanya.
“ Alan…” Azlan memusingkan kembali kepalanya memandang Fareez.
“ Ya, Encik Fareez?”
“ Let me be the first person you informed about the project when it is completed, okay?” kata Fareez.
“ Baik, Encik Fareez.” Azlan keluar dari bilik itu dan hampir-hampir berlanggar dengan seorang perempuan.
“ Maafkan saya, Cik…” Azlan terdiam. Bekas isteri bosnya itu. Memang perempuan itu tidak tahu berpakaian dengan lebih elok. Azlan memandang tidak berkelip. Shilea menjeling.
“ Gatalnya.” Marah Hadirah.
“ Puan Shilea ke tu?” tanya Azlan. Matanya masih melekap pada Shilea.
“ Ye la. Habis tu siapa lagi?”
“ Makin cantik pulak sekarang.”
“ Cantik ke?” tanya Hadirah kembali. Azlan tersengih.
“ Cantik lagi aku.” Kata Hadirah separuh berbisik.
“ Janganlah awak marah. Saya takkan terpikat pada dia. Awak tetap di hati saya.” Usik Azlan. Hadirah menjeling geram.
“ Awak tu pantang nampak perempuan cantik. Memang tak berkelipnya mata.” Hadirah mengetuk papan kekuncinya dengan laju. Tanda marah. Azlan tersenyum. Memang pantang Hadirah apabila dia nampak Azlan memandang perempuan lain.
“ Jangan awak risaulah. Saya ni tunang awak. Takkannnya ada orang nak berkenan kat saya. Saya kan dah berpunya.” Kata Azlan cuba memujuk Hadirah. Gadis itu menjeling sekali lagi.
“ Awak tu baru bertunang. Tak mustahil kalau ada orang rampas awak daripada saya. Sedangkan orang tua yang dah beranak pinak pun, ada orang nak.” Hujah Hadirah lantang. Azlan mencuit dagu Hadirah.
“ Jangan marah. Lunch sama, ya?”
“ Tengolah kalau saya rasa nak makan. Dahlah. Saya malas nak bertekak dengan awak. Nanti tak jalan pulak kerja saya.” Hadirah menaip sesuatu. Fareez perlukan surat itu secepat mungkin. Azlan tersenyum.
“ Takkan nak diet kot? Awak kan dah cukup slim.” Usik Azlan lagi.
“ Saya diet ni takut nanti tak muat pulak baju kahwin. Tempah mahal-mahal, nanti tak muat pulak.” Ujar Hadirah.
“ Kalau makan sikit, takkanlah dah naik berat badan tu. Awak gemuk ke, kurus ke, saya tetap sayang.” Kata-kata Azlan menggelikan hati Hadirah.
“ Itu awak kata sekarang. Tengoklah dah lepas kahwin nanti.” Hadirah berkata sambil menjeling manja.
“ Bolehlah…bolehlah….pleaseee….” rayu Azlan dengan wajah simpati yang sengaja dibuat-buat.
“ Yelah, yelah.” Akhirnya Hadirah mengalah.
“ Cayang awak.” Azlan berkata sambil tersenyum. Hadirah memandang sekilas ke arah tunangnya dan tersenyum kecil.
Kemudian, Azlan beredar dari situ dan menuju ke biliknya.







“ APA yang kau nak lagi?” tanya Fareez dengan perasaan amarah yang memuncak. Shilea tersenyum menggoda. Fareez meluat melihat perangai Shilea yang tidak pernah sudah hendak menggoda orang.
“ Kita perlu berbincang.” Shilea melabuhkan punggung ke atas sofa yang terletak di dalam bilik Fareez.
“ Bincang apa lagi? Our conversation is over. It’s over when you decide to leave both of us.” Fareez masih tidak berganjak dari kerusi kerjanya. Dia leka dengan kerja yang bertimbun di hadapannya.
“ About Amirul.”
“ You ni tak faham lagi ke? I dah tak nak berbincang pasal Amirul lagi. Dia milik I. You tak boleh sangkal hakikat itu.” Kata Fareez perlahan. Perempuan dihadapannya itu diam. Tidak berkata apa-apa.
“ I ada cadangan.” Kata Shilea tiba-tiba.
“ I tak nak dengar cadangan you. I nak you keluar dari pejabat I sekarang jugak sebelum I panggil security.” Ugut Fareez.
“ Dengar dulu cadangan I.” paksa Shilea.
“ Ok. Tell me what is your plan.”
“ Macam mana kalau, you ambil 6 bulan. Another 6 months, I will take care of him. Take turns.” Shilea mencadangkan sesuatu. Fareez seperti terkena kejutan elektrik terus berdiri dan menuju ke arah Shilea.
“ What? Take turns. You teruslah berkhayal.” Ejek Fareez.
“ I serius ni.”
“ I pun serius. You jangan nak harap dapat Amirul.”
“ You tak pernah ambil peduli pasal perasaan I kan?” Shilea sudah berdiri. Dia geram dengan sikap Fareez.
“ You pernah ambil peduli pasal perasaan I? Tak pernah kan? Jadi, kenapa harus I ambil peduli pasal perasaan you.” Fareez berkata kasar.
“ Please…6 bulan je. Tak lama.” Rayu Shilea lagi.
“ Tak lama kata you? Bagi I, 6 bulan dengan you bermakna 60 tahun lamanya.” Fareez berkata.
“ Kenapa you tak boleh bertolak ansur?”
“ Mahkamah dah buat keputusan. I am the real guardian. I will take care of him. Forever.” Ringan sahaja tangan Fareez hendak menampar Shilea. Perempuan ini tidak faham lagikah? Shilea merengek manja. Berdiri dan berjalan ke arah Fareez yang sedang membelakangkan Shilea. Diusap perlahan belakang Fareez. Berharap sentuhannya akan melembutkan hati Fareez yang sedang membara. Pantas Fareez menepis tangan itu.
“ Don’t you ever dare to touch me again.” Fareez berjalan semula ke meja dan duduk di atas kerusi empuk miliknya.
“ Kenapa you tak nak bagi I jaga Mirul? I can take good care of him. I boleh jaga dia lebih baik dari your new wife.” Shilea duduk di atas meja dan menyilangkan kakinya yang putih.
“ Get off my table, now.” Shilea masih tidak mempedulikan kata-kata Fareez. Dia memainkan rambut Fareez dengan tangannya.
“ You ni pekak ke? When I said, don’t touch me that means do not touch me.” Shilea melompat turun dari meja Fareez dan berjalan ke arah kerusi dihadapan meja Fareez. Dipusing-pusingkan kerusi tersebut.
“ You betul tak nak bincang lagi?” tanya Shilea sekali lagi.
“ Ya.” Fareez mengetuk papan kekunci komputer ribanya.
“ Then, I will destroy your marriage.” Apabila Shilea berkata-kata begitu, pantas Fareez memandangnya.
“ Apa maksud you?”
“ Isteri baru you dah curang dengan you. Itu pun you tak sedar lagi.”
“ Apa yang membuatkan you cakap macam tu?”
“ I nampak dia dengan mata kepala I sendiri. If I’m not mistaken, that man is your cousin. Ala….Handsome boy tu. Siapa nama dia? Lupa pulak I. Mmm…isn’t it Ashwad?” Shilea tersenyum sinis. Mata Fareez mencerlang ke arah Shilea.
“ I don’t believe you…you…you…scoundrel.” Mengigil tangan Fareez.
“ Simpanlah perasaan marah you tu. Here’s the proof. Dalam sampul tu, macam-macam tentang perangai isteri you, you boleh tahu.” Shilea membaling sampul surat coklat ke atas meja. Fareez memandang sampul itu tidak berkelip. Shilea tergelak cengil. Fareez berang.
“ Good luck. Bye, sayang.” Shilea terus sahaja keluar dari bilik itu setelah menyerahkan sampul surat yang berisikan bukti-bukti mengenai perbuatan Qaseh yang Qaseh lakukan di belakang Fareez.



BERSAMBUNG......

0 tukang komen paling setia: