BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, November 20, 2008

Dari KL ke Luxembourg 8

BAB 8

“ ASSALAMUALAIKUM. Ummi…Walid….” Laung Fareez. Tidak ada seorang pun kelibat manusia di dalam rumah itu. Kemana mereka semua pergi? Fareez berjalan ke arah ruang tamu. Dia merebahkan diri di atas sofa yang terletak di ruang tamu. Dia memejamkan mata yang keletihan selepas semalaman berjaga menyiapkan rekaan bangunan yang diperlukan untuk projek terbarunya. Pagi ini, dia berjumpa dengan wakil dari Mawar Holdings. Mereka begitu sukakan rekaan Fareez. Otaknya juga asyik berputar tentang cadangan yang diusulkan oleh Puan Sri Marlisa. Bila ada peluang sahaja untuk pulang awal, dia terus sahaja meninggalkan FAF Architecture Sdn Bhd.
“ Baru balik, Fareez?” kata satu suara. Fareez mencelikkan mata. Itu bukan suara Ummi, hatinya berdetik. Tetapi suara itu seperti dia pernah dengar. Fareez terus bangun dari perbaringannya untuk melihat siapakah empunya suara. Orang itu tersenyum lebar memandangnya.
“ Kak Fit.” Jerit Fareez. Fitri Marlis tersenyum melihat gelagat adik bongsunya itu. Dahulu, Fareezlah yang paling manja dengan Fitri Marlis. Apa pun kata kakak keduanya itu, diturutkan sahaja. Tanpa bantahan. Kalau kakaknya yang sulung bersuara pun, tidak mahu di dengarinya. Fareez terus sahaja memeluk kakaknya itu. Fitri Marlis menggelengkan kepala. Dibalas pelukan Fareez. Fareez tidak pernah berubah semenjak dari kecil lagi. Manja. Walaupun sudah beranak satu. Itu juga salah satu penyebab Shilea cemburu dengan bekas kakak iparnya itu. Fareez tidak segan untuk memeluk atau memaut pinggang Fitri Marlis di depan ahli keluarga yang lain. Dia begitu menyayangi Fitri Marlis. Kadangkala, suami Fitri Marlis, Ikhwan juga berasa cemburu dengan Fareez. Pelukan dilepaskan. Fareez tunduk menyalami Fitri Marlis.
“ Kak Fit datang seorang saja ke? Mana Abang Wan dan Bell?” tanya Fareez. Matanya meliar. Tercari-cari wajah yang terpenting di dalam hidup Fitri Marlis. Mata Fareez jatuh pada perut Fitri Marlis yang sedang memboyot. Kesian kakaknya itu.
“ Ada. Abang Wan mandi. Bell ada kat luar. Tengah main dengan Busyuk.” Kata Fitri Marlis. Fitri Marlis sendiri hairan mengapa Fareez menamakan kucingnya itu Busyuk. Nak kata busuk, taklah pula. Selalu Fareez memandikannya. Bila ditanya Fareez akan berkata, senang nak ingat nama kucingnya itu. Fareez menjengahkan kepala keluar. Anak saudaranya itu leka bermain bersama Busyuk, kucing kesayangan Fareez. Kucing itu berlari sekeliling rumah apabila dikejar oleh Fitri Annabella. Terjerit-jerit anak kecil itu mengejar Busyuk. Seronok dapat bermain. Fareez juga terfikir kadangkala lebih baik jadi kanak-kanak. Tidak ada masalah yang akan membebankan fikiran. Main sahaja sepanjang masa. Fareez memimpin kakaknya itu ke sofa. Termengah-mengah Fitri Marlis berjalan mengikut rentak Fareez.
“ Fareez.” Namanya dilaungkan. Fareez beralih ke arah tangga. Abang iparnya tersenyum ke arah Fareez. Ikhwan berjalan ke arah mereka berdua. Bersalaman dan berpelukan dengan Fareez.
“ Abang Wan sihat?”
“ Macam mana Fareez nak kata Abang Wan sihat?” Ikhwan memandang muka adik iparnya. Fareez pelik dengan kata-kata Ikhwan. Dikerutkan dahi sedikit. Tanda tidak faham.
“ Kenapa?”
“ Daripada Abang Wan sihat boleh terus jadik sakit, tau. Tengoklah kakak kamu ni. Asyik nak berjalan je kerjanya. Naik pening Abang Wan.” Kata-kata Ikhwan itu disambut oleh ketawa Fareez. Fitri Marlis mencebikkan bibir. Dia memang kuat merajuk semenjak mengandungkan anak kedua.
“ Tengoklah. Muncungnya panjang sedepa.” Ikhwan dan Fareez sama-sama ketawa besar. Fitri Marlis menjeling ke arah mereka berdua.
Enjin kereta yang baru sahaja memasuki perkarangan rumah menarik perhatian mereka bertiga. Fareez mengintai dari jendela yang terbuka. Dia seperti pernah lihat kereta itu. Tetapi dimana, ya? Hatinya berkata-kata. Mungkinkah…? Fareez berlari keluar.
“ Kak Liza.” Fitri Marlis dan Ikhwan menjenguk keluar hendak melihat kehadiran tetamu mereka. Fitri Shaliza dan anak-anaknya keluar dari perut kereta. Fareez menyalami kakak yang sulung dan berpelukan dengan anak-anak saudaranya, Fitri Adriana dan Fitri Amelya. Pucat muka Fitri Shaliza. Seperti dia ada masalah yang besar sedang dihadapinya. Kesemua mereka masuk ke dalam.
“ Bell… masuk.” Laung Ikhwan. Fitri Annabella berlari-lari anak ke arah Daddynya. Ikhwan mendukung anaknya itu dan mereka masuk ke dalam rumah. Fitri Shaliza dan Fitri Marlis duduk di ruang tamu. Mereka yang lain juga turut serta.
“ Mana Abang Azri? Dia tak datang ke?” pertanyaan Fitri Marlis membuatkan ketiga beranak itu tersentak. Tiba-tiba Fitri Shaliza menangis. Yang lain, gelabah. Hanya anak-anak Fitri Shaliza sahaja yang kelihatan tenang. Seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Tetapi hati mereka tidak setenang wajah.
“ Kak, sabar. Kenapa ni, Kak?” tanya Fitri Marlis. Risau dengan keadaan kakaknya. Air mata Fitri Shaliza merembes laju. Mereka makin gelabah.
“ Ana…Mya…Kenapa ni? Cuba beritahu Mummy. Apa masalahnya ni?” Fitri Marlis begitu mengambil berat akan keadaan mereka. Dia memandang muka adik beradik itu. Fitri Marlis berasa lebih dekat dengan anak-anak kakaknya itu jika mereka memanggilnya Mummy. Bukan setakat panggilan itu kepada Fitri Marlis tetapi kepada Fareez dan Fitri Azharina juga mereka memanggil dengan nama panggilan yang lebih kepada anak dan ibubapa. Ikhwan juga mereka memanggilnya daddy.
“ Mya… Pandang muka Ayah.” Fareez yang duduk di sebelah Fitri Amelya bersuara. Perlahan-lahan Fitri Amelya memusingkan kepalanya ke arah Fareez. Fitri Amelya tidak tahan melihat muka Fareez dan terus sahaja menangis teresak-esak di situ juga. Fitri Adriana cuba mengesat air mata.
“ Kalau Mya senyap sahaja, macam mana Ayah nak tolong?” Fareez mengesat air mata anak saudaranya itu.
“ Dah jangan nangis. Kalau Mya sayangkan Mak, Mya beritahu Ayah.” Fareez masih lagi cuba memujuk.
“ Abah nak kahwin lain.” Akhirnya Fitri Amelya bersuara. Terkejut Fareez dan juga yang lain-lain. Mereka tidak sangka. Azri adalah seorang yang pendiam. Rupa-rupanya, diam-diam ubi berisi, getus hati Fareez.
“ Kalau Mak tak izinkan, Abah pukul Mak. Ana dan Mya kesiankan Mak. Abah jahat.” Fitri Adriana menyambung. Lagi laju air mata Fitri Shaliza. Air mata Fitri Marlis juga turut keluar. Mengasihani perjalanan hidup kakak dan juga anak-anaknya.
“ Ana jangan cakap Abah jahat. Abah tak jahat. Abah seorang bapa yang baik. Walau apapun, dia tetap Abah Ana.” Fitri Shaliza masih cuba membela suaminya itu walaupun si suami curang dengannya.
Kata hendak berjumpa pelanggan, tetapi berjumpa pelanggan apa sehingga pukul 3 pagi. Balik sahaja dalam keadaan mabuk dan gincu pasti ada yang melekat di baju Azri. Kerana tidak mahu anak-anak melihat perangai tidak senonoh bapa mereka, dia segera mencuci baju kerja Azri. Dia sudah lali dengan keadaan itu. Tetapi permintaan ini sahaja yang dia rasakan dia tidak boleh terima. Iaitu hidup bermadu. Dengan kawan baiknya sendiri. Lagilah dia tidak sanggup.
“ Kalau Abah tak jahat, takkanlah Abah pukul Mak.” Jerit Fitri Adriana. Yang lain hanya menjadi pemerhati.
“ Ana!!!” Fitri Shaliza meninggikan sedikit suaranya. Fitri Adriana terkejut dengan jeritan Maknya dan air matanya turun semakin laju. Fitri Shaliza sudah bangun dan hendak memukul anaknya. Semenjak dia selalu menjadi mangsa deraan suaminya, anak-anaknya juga turut menjadi mangsa suami.
“ Kak…” Fareez sudah bangun dan memeluk Fitri Adriana. Menghalang daripada anak saudaranya itu menjadi tempat kakaknya melepaskan geram. Ikhwan memegang kakak iparnya itu. Dia menghalang Fitri Shaliza daripada bertindak lebih jauh. Fitri Marlis bangun dari sofa dalam kepayahan. Dia cuba untuk menyabarkan Fitri Shaliza.
“ Kak, sudahlah tu. Kita tunggu Ummi dan Walid balik. Nanti kita bincang dalam keadaan tenang. Akak dah bersolat Asar?” tanya Fitri Marlis. Kakak sulungnya menggelengkan kepala. Segera dikesat air mata yang jatuh. Berbulan-bulan, dia hidup dalam kesedihan. Kini, dia berharap agar sengsara itu pergi jauh dari hidupnya dengan mendekatkan diri kepada Pencipta-Nya.
“ Akak pergi solat dan minta doa supaya Akak diberikan petunjuk daripada Allah.” Arah Fitri Marlis. Fitri Shaliza hanya mengikut kata-kata adiknya itu. Fitri Adriana masih menangis. Begitu juga dengan Fitri Amelya. Ikhwan melabuhkan punggungnya di sebelah Fitri Marlis. Dia juga kesian dengan nasib kakak iparnya.











DERUMAN enjin kereta yang baru sahaja kedengaran mengejutkan mereka yang sedang mengelamun. Ikhwan yang baru sahaja turun ke ruang tamu selepas menidurkan anaknya, melihat pemilik kereta yang baru pulang. Ibubapa mentuanya sudah pulang. Dia melihat jam yang tergantung di dinding. Hampir pukul 9 malam. Ikhwan lihat Fitri Adriana dan Fitri Amelya sedang menonton televisyen semasa dia melintasi bilik yang dikhaskan untuk menonton televisyen ataupun mendengar radio.
“ Ummi dan Walid dah balik.” kata-kata Ikhwan itu mematikan lamunan mereka. Fitri Shaliza mengelap air matanya. Ikhwan duduk di sebelah Fitri Marlis. Memeluk bahu isterinya itu. Fitri Shaliza sempat melihat kemesraan itu. Timbul perasaan cemburu di hatinya. Bahagianya adik dia. Tidak seperti dia. Menanggung derita sepanjang perkahwinannya.
Ikhwan berbeza dengan Azri. Ikhwan kalau bercakap, lemah lembut. Azri pula suka bercakap kasar dengannya. Kalau tangan atau kakinya tidak hinggap di badan Fitri Shaliza, tidak sah. Walaupun Ikhwan tidak sekacak Azri tetapi hati adik iparnya itu baik. Penyayang. Fitri Marlis juga seperti dirinya. Jodoh di tentukan oleh keluarga. Hanya Fareez sahaja yang mengikut pilihan hati. Fitri Shaliza dan Fitri Marlis masing-masing tidak mempunyai teman istimewa. Jadi, mereka mengikut sahaja kata-kata Ummi mereka. Untuk tidak mengecilkan hati orang tua. Beruntungnya Fit, hati Fitri Shaliza berbisik.
Lamunan Fitri Shaliza serta-merta hilang apabila ada orang yang menyentuh bahunya. Dia memandang ke arah orang itu. Fitri Marlis tersenyum. Begitu juga dengan Ikhwan. Fitri Shaliza tersenyum pahit. Puan Sri Marlisa masuk ke dalam rumah. Diikuti oleh Tan Sri Firdaus. Seorang demi seorang anak-anak mereka menyalami kedua orang tua mereka. Kegembiraan jelas terpampang di wajah Puan Sri Marlisa. Fitri Marlis sudah berpindah ke Kuala Lumpur. Fitri Shaliza pula pulang untuk berkumpul bersama keluarga. Setiap hujung bulan, Puan Sri Marlisa selalu membuat perjumpaan keluarga. Tetapi seperti ada yang tidak kena dengan anak sulungnya ini. Fitri Shaliza duduk semula di tempatnya.
“ Kenapa ni?” Puan Sri Marlisa memandang wajah mereka semua yang muram. Fitri Marlis mengangkat wajahnya dan memandang Umminya. Fitri Shaliza tidak berkata apa-apa. Hanya dia membisu.
“ Liza, kenapa ni? Liza tak sihat ke? Azri mana? Dari tadi lagi Ummi tak nampak.” Tanya Puan Sri Marlisa. Matanya memandang ke sekeliling. Fitri Shaliza menundukkan muka.
“ Abang Azri tak dapat datang, Ummi.” Ringkas jawapan Fitri Shaliza.
“ Oh…itu sebabnya kamu sedih?” tanya Puan Sri Marlisa sekali lagi dengan senyuman kecil. Fitri Shaliza masih lagi diam.
“ Kamu tak apa-apa ke, Liza?” tanya Tan Sri Firdaus.
“ Abang Azri nak kahwin lain, Ummi…Walid….” Terpempan Puan Sri Marlisa apabila mendengar kata-kata Fitri Marlis. Terduduk dia di situ juga. Senyumannya hilang begitu sahaja. Nasib baik Tan Sri Firdaus sempat menyambut isterinya itu. Kesemua anak-anaknya menyerbu ke arah Puan Sri Marlisa termasuk menantunya.
“ Ummi….Ummi tak apa-apa ke?” tanya Fareez. Puan Sri Marlisa mengangguk. Tan Sri Firdaus memimpin isterinya ke sofa.
“ Macam mana boleh jadik macam ni?” tanya Tan Sri Firdaus. Puan Sri Marlisa membuka tudung yang dipakai. Tiba-tiba dia terasa pening.
“ Azri kata dia dah pernah tidur dengan perempuan tu. Jadi untuk mengelakkan maksiat, dia nak kahwin dengan perempuan tu.” Teresak-esak Fitri Shaliza menceritakan perkara sebenarnya kepada keluarganya. Cis! Hati Fareez membentak keras. Begitu juga yang dikatakan oleh Shilea kepadanya dahulu. Kalau Azri ada di depannya, mahu sahaja dia membelasah abang iparnya itu hingga masuk ICU.
“ Azri ni dah melampau.” Kata Tan Sri Firdaus.
“ Ummi minta maaf pada Liza. Kalau tak kerana Ummi, Liza tak jadik macam ni.” Kata-kata Puan Sri Marlisa menyentuh hati Fitri Shaliza. Umminya mengelap air mata yang turun dengan laju. Fitri Shaliza melutut di hadapan Puan Sri Marlisa dan menggengam erat jari jemari Umminya.
“ Kalau Ummi tak arrange marriage Liza, mesti tak jadik macam ni, kan?” kata Puan Sri Marlisa lagi. Fitri Shaliza menggelengkan kepalanya.
“ Ummi tak salah. Ummi buat semua ni untuk kebaikan kami. Kalau Ummi tak pilihkan jodoh kami, taklah Fit bahagia seperti sekarang. Cuma nasib Liza tak sebaik Fit.” Kata-kata Fitri Shaliza membuatkan Puan Sri Marlisa sedikit lega. Tetapi perasaan bersalah tetap ada.
Ikhwan adalah anak saudara Tan Sri Firdaus. Ikhwan dan Fitri Marlis ditunangkan sewaktu Fitri Marlis masih belajar di universiti. Mereka kahwin sebaik sahaja Ikhwan pulang daripada New Zealand. Sehingga kini, Fitri Marlis dan Ikhwan bahagia dengan perkahwinan mereka. Tidak seperti Fitri Shaliza. Suami Fitri Shaliza, Azri, anak saudara kepada Puan Sri Marlisa. Mereka berdua dikahwinkan selepas Azri habis belajar. Belum sempat Fitri Shaliza hendak menikmati alam pekerjaan, dia terpaksa berhenti dan menjadi surirumah sepenuh masa atas rasa tanggungjawabnya terhadap suami tersayang. Tetapi inikah balasan Azri terhadap Fitri Shaliza yang mengorbankan segala-galanya? Hidup ini tidak adil. Tidak berlaku adil kepada Fitri Shaliza. Fikir Puan Sri Marlisa. Tetapi dia tahu. Setiap perkara yang terjadi pasti ada hikmahnya.
“ Kalau Kak Liza pilih jodoh sendiri pun, belum tentu bahagia. Tengok ajelah macam Fareez.” Fitri Shaliza beralih ke arah Fareez. Tersenyum kepada adik bongsunya. Puan Sri Marlisa mengesat air mata anaknya.
“ Sudah sudahlah tu. Mari kita makan. Walid dah lapar ni.” Kata-kata Tan Sri Firdaus di sambut oleh Ikhwan.
“ A’ah lah, Walid. Wan pun dah lapar ni.” Tan Sri Firdaus menepuk bahu menantunya dan mereka berjalan beriringan menuju ke arah dapur. Sama-sama tersenyum. Mereka yang lain turut membuntuti mereka berdua.











BEGITU berselera mereka semua menjamu selera. Fareez mencedok sedikit sambal ikan bilis bersama petai ke dalam pinggan. Itulah makanan kegemarannya. Masakan yang senang dibuat pun, Shilea tidak boleh melakukannya. Bukanlah susah hendak membuat makanannya. Samada ikan bilis masak sambal atau telur masak sambal. Dia pasti tidak akan cerewet. Kadangkala dengan lauk yang simple macam itu pun, dua pinggan dia akan menambah nasi.
“ Dah lama Ummi tak jumpa Qaseh.” Puan Sri Marlisa berkata tiba-tiba. Fareez tersentak. Segera memandang wajah Umminya. Dia seperti pernah dengar nama itu. Tetapi dimana, ya?
“ Siapa Qaseh tu Ummi?” tanya Fitri Marlis.
“ Anak arwah Uncle Zam dan arwah Auntie Min.” jawab Puan Sri Marlisa sambil menyuap keladi masak asam pedas ke mulutnya.
“ Bukan ke dia tak balik ke Malaysia lagi?” tanya Fitri Shaliza. Fitri Adriana dan Fitri Amelya hanya mendengar perbualan orang-orang tua. Mereka tidak mahu masuk campur. Masing-masing leka dengan makanan yang terhidang di hadapan mereka.
“ Dah lama dia balik. Dengar kata dekat 7 bulan. Kita langsung tak tahu, Bang.” Puan Sri Marlisa memandang muka suaminya. Terangguk-angguk sahaja Tan Sri Firdaus.
“ Mana Ummi tahu?” tanya Fareez. Dia juga berminat untuk mengetahui perkembangan diri Qaseh.
“ Ummi ada jumpa Mak Ngah Idah. Dia yang beritahu kat Ummi.” Jawab Puan Sri Marlisa.
“ Siti, lawa ke Qaseh tu?” tanya Fitri Amelya. Siti, adalah panggilan kepada Puan Sri Marlisa. Siti bermaksud nenek dalam bahasa Arab. Yang lain tersenyum mendengar soalan Fitri Amelya.
“ Lawa, Mya. Kalau Mya tengok, mesti Mya berkenan. Rupanya tak macam Melayu. Lebih kepada wajah Pan Asian. Dengan hidung mancung, bulu mata lentik, kulit sawo matang, rambut ikal mayang. Sesiapa je yang tengok dia, mesti terpikat. Kenapa Mya tanya?” tanya Puan Sri Marlisa. Semua mata terarah kepada Fitri Amelya. Fareez menghirup sedikit air sirapnya.
“ Bolehlah Ayah kahwin dengan Qaseh.” Selamba sahaja kata-kata yang keluar dari mulut yang comel itu. Tersedak Fareez dibuatnya. Hampir tersembur air yang diminum. Mereka semua tergelak dengan kata-kata Fitri Amelya. Tidak disangkakan budak sekecil itu, dapat memikirkan idea untuk Puan Sri Marlisa. Termenung sebentar wanita itu memikirkan cadangan Fitri Amelya.
“ Kenapa Mya cakap macam tu?” tanya Tan Sri Firdaus. Sengaja ingin menduga cucunya. Fitri Amelya menyuap nasi ke mulutnya.
“ Takkan nak kahwin dengan Mak. Mak perempuan. Kahwin dengan Ayahlah. Ayah lelaki.” Terang Fitri Amelya. Sekali lagi ketawa bergema di ruang makan.
“ Dengan Tok Wan boleh. Tok Wan kan lelaki.” Puan Sri Marlisa memandang Tan Sri Firdaus dengan jelingan. Tersenyum sahaja mereka yang melihat gelagat tersebut.
“ Ooo…gatal Abang ni.” Puan Sri Marlisa mencubit peha suaminya.
“ Abang main-main je.” Usik Tan Sri Firdaus. Puan Sri Marlisa pura-pura merajuk.
“ Dengan Tok Wan tak boleh. Tok Wan dah ada Siti.” Puan Sri Marlisa tersenyum lebar mendengar jawapan Fitri Amelya.
“ Dengan Daddy?” Ikhwan pula menguji Fitri Amelya.
“ Daddy pun tak boleh. Sebab Daddy dah ada Mummy. Kecuali Ayah saja yang tak ada sapa-sapa.” Fareez menggelengkan kepalanya kecil. Petah betul kanak-kanak ini berkata-kata. Tergelak besar mereka semua.
Mereka menyambung kembali menjamu selera.






PUAN Sri Marlisa sedang membaca buku novel penulis kegemarannya, mendiang Sidney Sheldon. Apabila Tan Sri Firdaus melangkah masuk ke dalam bilik, Puan Sri Marlisa menutup buku novel tersebut dan dibuka cermin matanya. Tan Sri Firdaus terus masuk ke dalam bilik air. Selepas beberapa minit, Tan Sri Firdaus keluar dari bilik air. Dia merebahkan badannya ke atas katil. Dia menarik selimut menutupi sebahagian badannya yang kesejukan.
“ Bang, saya rasa apa yang Mya cakapkan tu, ada betulnya.”
“ Apa yang betulnya?” Tan Sri Firdaus memandang isterinya.
“ Tentang menjodohkan Fareez dan Qaseh.”
“ Apa yang bermain di fikiran awak ni?”
“ Abang ingat lagi tak pasal surat perjanjian yang kita buat dengan arwah-arwah?” tanya Puan Sri Marlisa sambil memutarkan kembali memori suaminya. Tan Sri Firdaus mengangguk perlahan.
“ Kan surat tu mengatakan…” ayat Puan Sri Marlisa tergantung.
“ Kita mesti menjodohkan Qaseh dan Fareez.” Barulah Tan Sri Firdaus ingat kembali. Mukanya bersinar. Tetapi tiba-tiba sahaja mukanya kembali keruh. Puan Sri Marlisa mengerutkan dahi.
“ Kenapa, Bang?”
“ Bagaimana kalau Qaseh dah ada pilihan hati dia sendiri?”
“ Kita tanyalah pada Uncle Rashid.”
“ Betul jugak tu. Tak apalah. Nanti saya telefon Uncle Rashid.”
“ Kena cepat-cepat sikit, Bang. Si Qaseh tu lawa. Nanti disambar dek orang. Kita jugak yang melopong. Saya cakap macam ni bukanlah sebab saya nakkan harta arwah-arwah tu. Tapi saya terlalu sayangkan Qaseh. Saya tak sanggup nak tengok dia jadi menantu orang lain.” Jelas Puan Sri Marlisa.
“ Yelah. Saya faham. Awak tak usah risau. Esok jugak saya call.” ujar Tan Sri Firdaus. Puan Sri Marlisa tersenyum lebar.

BERSAMBUNG.....


0 tukang komen paling setia: