BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, November 20, 2008

Dari KL ke Luxembourg 17

BAB 17

Qaseh leka menyiapkan iklan yang perlu dihantar kepada pelanggan untuk meneliti iklan itu buat kali terakhir sebelum dilakukan penggambaran. Pintu biliknya diketuk. Arahan masuk diberikan. Terjengul wajah Fernaizza. Fernaizza menuju ke arah meja Qaseh dan menyerahkan pesanan kepada ketuanya itu. Qaseh mendongak memandang Fernaizza dan tersenyum kepada setiausahanya.
“ Apa ni, Fern?” tanya Qaseh sambil meneliti sampul surat tersebut. Pelik.
“ Saya tak tahu, Cik Qaseh. Budak penghantar surat tu yang bagi.” Kata Fernaizza. Dilihatnya Qaseh memandang pelik ke arah sampul surat tersebut. Seperti tidak pernah mendapat surat sahaja, lagaknya.
“ Ada apa-apa lagi, Cik Qaseh?” tanya Fernaizza. Dia perlu segera menyiapkan kerjanya yang bertimbun.
“ Tak ada apa-apa. Terima kasih.” Ucap Qaseh.
“ Kasih diterima.” Kata Fernaizza berlawak. Qaseh tergelak kecil. Fernaizza berlalu pergi. Kerjanya juga banyak yang terbengkalai kerana dia mengambil cuti panjang untuk menjaga ibunya yang sedang sakit teruk.
Qaseh perlahan-lahan mengoyak sampul surat tersebut dan ditarik keluar sekeping kertas putih yang bertinta hitam itu. Dibaca satu persatu dengan teliti. Surat dari Fareez. Apa yang Fareez nak darinya sehingga hendak berjumpa di Taman Bukit Permai? Hatinya bermain teka-teki sendiri. Dia melipat surat tersebut dan dimasukkan ke dalam sampul surat itu kembali. Kemudian, diteruskan kerja yang terhenti. Tetapi persoalan mengenai perjumpaan itu tetap tidak berhenti berlegar-legar di dalam fikirannya.







FAREEZ resah menunggu di Taman Bukit Permai. Hatinya tidak sepermai nama bukit itu. Sesekali matanya terkalih ke arah deruman enjin kereta yang tiba di Taman Bukit Permai. Masih belum nampak kelibat Qaseh. Dimana dia? Takkan dia tak mahu datang? Desis hati Fareez. Angin yang menghembus di atas bukit itu belum berjaya mengurangkan resahnya.
“ Encik Fareez…” panggil Qaseh. Fareez berpusing menghadap Qaseh yang berdiri di belakangnya. Matahari yang menyinari seluruh alam, menyuluh mukanya. Fareez mengecilkan matanya sedikit. Memandang Qaseh dengan perasaan geram. Mahu dilenyek-lenyekkan wajah lembut dihadapannya. Sudahlah lambat, boleh lagi buat muka selamba.
“ Saya nak awak batalkan perkahwinan ni.” Terus-terang sahaja Fareez berkata. Qaseh tenang sekali. Tidak langsung menunjukkan riak terkejut walaupun hatinya bergelora. Fareez tidak suka? Tetapi kenapa?
“ Kenapa?” tanya Qaseh. Dia mahukan penjelasan daripada mulut Fareez.
“ Sebab saya tak cintakan awak.” Ucap Fareez penuh bersahaja. Alasan yang dirasakan tidak munasabah. Qaseh percaya bukan itu sebabnya.
“ Saya tak boleh terima alasan tu, Encik Fareez. Sekarang ni, banyak pasangan yang bercinta selepas kahwin. Bahagia saja saya tengok mereka.” Qaseh memandang wajah Fareez tajam. Fareez mendengus kasar. Tidak faham lagikah Qaseh. Dia mesti berusaha memutuskan pertunangan ini.
“ Saya tak percayakan perempuan. Lebih-lebih lagi, orang macam awak. Saya tak perlukan perempuan dalam hidup saya.” Kata Fareez tegas. Dia tidak mahu berkahwin lagi. Cukuplah perkahwinan dahulu yang membuatkannya serik untuk berkongsi hidup bersama perempuan yang bernama isteri. Qaseh tersenyum menyindir.
“ Encik Fareez bersikap pesimis. Tak semua perempuan macam ex-wife Encik Fareez.” Kata Qaseh dalam hujahnya. Dia mahu mempertahankan maruahnya sebagai seorang perempuan. Fareez agak terkejut dengan kenyataan Qaseh. Dikerutkan dahinya.
“ Apa yang awak tahu pasal bekas isteri saya?”
“ Tak banyak. Tapi cukup untuk saya tahu details tentang dia.”
“ Busy body.”
“ Tak kisahlah Encik Fareez nak cakap saya apapun. Tapi, Encik Fareez terlalu bersikap curiga. Bukan semua perempuan macam dia. Saya tak tahulah perempuan lain. Tapi sudah tentu bukan saya.” Qaseh geram apabila dia menerima respon sebegitu daripada Fareez.
“ Oh, really? Jadi, saya nak tahu. Kenapa awak beria-ia nak kahwin dengan saya? Sebab harta? Terus-terang saya cakap. Saya tak ada harta. Ini semua harta ayah saya. Tan Sri Firdaus. I guees you’ve already known him. Ataupun awak ni nak tumpang kesenangan keluarga saya? Yalah. Siapa tak nak jadi menantu Tan Sri.” Kata-kata Fareez sudah melampau. Qaseh memang tidak boleh terima nada percakapan seperti itu. Merendah-rendahkan harga diri dia. Qaseh bukanlah tergilakan harta orang itu. Tetapi dia buat semua ini kerana wasiat. Kalaulah dia boleh menjerit ketika ini, sudah pasti satu Taman Bukit Permai ini bergema dengan suaranya.
“ Saya tak hairanlah dengan harta Tan Sri Firdaus. Papa saya tinggalkan harta untuk saya pun, belum tentu sampai ke anak cucu nanti boleh habis. Awak ingat family awak je yang kaya? Papa saya pun berhartalah.” Memang Qaseh sudah tidak boleh bertolak ansur. Kalau sebab harta, Fareez ingin memijak maruahnya, Fareez silap.
“ Kalau Papa awak berharta, kenapa awak sanggup terima peminangan keluarga saya? Apa sebabnya awak nak kahwin dengan saya? Apa faedah yang awak akan dapat? Kenapa awak tak kahwin je dengan orang lain? Banyak lagi orang lain yang begitu teringin kahwin dengan awak.” Kata Fareez. Qaseh mengetap gigi.
“ Ada sebab saya nak kahwin dengan awak. Jangan Encik Fareez tanya kenapa. Saya tak boleh beritahu sebabnya dengan jelas.” Suara Qaseh mula kendur. Tidak mungkin dia akan memberitahu Fareez mengenai surat wasiat itu. Qaseh belum bersedia. Biarlah Fareez mengahwininya kerana menyintai diri Qaseh. Bukan kerana surat wasiat itu. Belum sampai masanya untuk Qaseh memberitahu tentang surat wasiat itu.
“ Saya tak peduli. Awak mesti batalkan perkahwinan ni segera.” Ujar Fareez dengan suara lantangnya. Qaseh terkejut. Kecut perutnya mendengar suara garau Fareez seperti halilintar memecah bumi.
“ Saya juga tak peduli. Apa nak jadi, jadilah. Saya tetap dengan pendirian saya. Saya akan teruskan perkahwinan ni.” Qaseh juga bertegas dengan pendiriannya. Tidak mahu mengalah. Fareez menumbuk kerusi kayu tempat Qaseh melabuhkan punggungnya. Terkejut besar Qaseh dengan tindakan Fareez itu. Fareez memandangnya dengan penuh perasaan benci.
“ Perempuan tak tahu malu.” Ucap Fareez dengan nada marah. Dia beredar dari situ dengan tangan yang berdarah. Qaseh tersandar di kerusi kayu itu. Dia tahu kehidupan perkahwinannya tidak semudah yang dia sangka. Perjalanan hidupnya baru sahaja bermula. Air matanya menitis. Tetapi dilapnya semula. Dia tidak boleh menunjukkan kelemahannya. Dia mesti berlawan kekerasan Fareez dengan kelembutan yang ada dalam dirinya. Qaseh harus berusaha untuk membahagiakan rumah tangga yang belum diketahui bagaimana untuk ditempuhinya.
Qaseh menelefon Fernaizza mengatakan dia tidak masuk ke pejabat petang itu. Petangnya dihabiskan di bukit itu. Mengambil udara dan memikirkan masa depan yang masih kabur.






QASEH pulang ke rumah dengan wajah yang keletihan. Dia membuka pintu rumah dan meletakkan kasutnya di atas rak kasut. Dia menutup semula pintu. Matanya agak sembap. Datuk hanya memandang sekilas ke arah cucunya itu. Kemudian, pandangannya tertumpu kembali ke arah kaca televisyen yang menayangkan cerita kegemaran Datuk. Qaseh berjalan perlahan ke arah tangga dan terus naik ke biliknya. Dia meletakkan beg bimbit ke atas meja kerja yang terletak di satu sudut di dalam bilik itu. Qaseh menghempaskan badan ke atas katil dan memejamkan mata.
Qaseh membuka matanya semula dan memandang jam dinding yang tergantung elok di dinding sebaik sahaja dia terdengar azan berkumandang daripada masjid berdekatan rumah. Jam menunjukkan pukul 7.25 malam. Dia bangun dan terus menuju ke bilik air untuk membersihkan badan yang melekit. Tidak sangka dia boleh terlelap. Selesai mandi, dia siap berpakaian dan duduk termenung di meja solek. Dia uzur. Tidak boleh mengerjakan suruhan Allah yang satu itu. Tidak berkelip dia memandang mukanya. Apakah salahku sehingga Fareez berkata begitu? Mama…Qaseh rindukan Mama. Papa…tolong Qaseh lalui hidup Qaseh yang akan datang, rintih hatinya. Perasaan menyesal bertimpa-timpa datang. Kenapa sekarang harus dia rasa menyesal? Kenapa dahulu tidak? Sebelum dia membuat keputusan untuk menghabiskan sisa hidupnya bersama lelaki yang belum tentu akan membalas cintanya. Qaseh mengeluh.
Pintu bilik diketuk. Datuk memulas tombol pintu bilik Qaseh. Dilihat Qaseh duduk di meja solek tidak bergerak. Datuk mengerutkan dahi. Datuk berjalan ke arah Qaseh dan memegang bahu cucunya itu. Qaseh terkejut dan serta-merta lamunannya terbang. Qaseh memandang wajah Datuk yang sudah dihiasi kedutan di wajah tuanya. Datuk tersenyum. Qaseh membalas senyuman Datuk itu.
“ Qaseh dah makan?” tanya Datuk. Qaseh terdiam. Dia cuba mengingat kembali. Perutnya berkeroncong. Dia sudah makan atau belum? Fikirannya masih ligat berfikir. Cuba mengingat kembali.
“ Belum lagi, Atuk.” Jawab Qaseh setelah dia pasti dia belum lagi memasukkan sebutir nasi melalui tekaknya.
“ Jomlah. Kita turun makan. Mak Ngah Idah, Pak Ngah Din dengan anak-anak ada kat bawah. Dia orang tunggu kita tu.” Kata Datuk. Qaseh mengangguk dan bangun dari kerusi meja solek. Sudah kematu punggungnya. Dia berjalan beriringan dengan Datuk menuju ke ruang makan. Mereka menjamu selera dengan begitu berselera. Masakan Mak Ngah Idah memang boleh membangkitkan perasaan makan Qaseh. Hilang sebentar wajah Fareez yang bengis.






HARI yang ditunggu-tunggu telah tiba. Setelah 3 bulan berlalu, kini tibalah masanya untuk Qaseh diijabkabulkan dengan Fareez. Qaseh yang sudah bersiap sedia memakai baju pengantin berasa risau. Wajahnya dirias oleh Aishah. Memang Aishah pandai mengandam. Wajahnya tampak semulajadi. Qaseh nampak cantik sekali di dalam pakaian pernikahan yang berona krim. Perasaan risau Qaseh dapat dikesan oleh Aishah.
“ Kenapa dengan kau ni, Qaseh? Gelisah je.” Tanya Aishah. Dia pun turut risau apabila sahabatnya yang akan mengakhiri zaman bujangnya itu sebentar lagi dalam keadaan gelisah dan resah.
“ Aku risau perkahwinan ni terpaksa dibatalkan.” Luah Qaseh.
“ Hish, kau jangan merepeklah. Aku tak suka lah kau cakap macam ni.” Kata Aishah sambil menggeleng. Dia memimpin Qaseh ke katil dan didudukkan sahabatnya itu di atas katil. Aishah mengusap belakang Qaseh.
“ Aku takut.” Kata Qaseh lagi.
“ Kau jangan risau. Aku yakin Fareez takkan buat hal.” Kata Aishah. Dia mendapat tahu mengenai perjumpaan Qaseh dan Fareez selepas 3 hari mereka bertunang. Dia juga tahu cerita sebenarnya. Aishah juga risau Fareez tidak akan muncul. Tetapi dipendamkan sahaja kerisauannya itu. Tidak mahu menambah beban dan tekanan pada Qaseh. Cukuplah Qaseh menerima tekanan daripada Fareez yang menentang perkahwinan ini secara habis-habisan. Sudahlah dia menentang, kerja-kerja kahwin pun dia tidak mahu ambil tahu. Semuanya diserahkan bulat-bulat kepada Puan Sri Marlisa untuk diuruskan. Fareez bertindak lepas tangan. Kenapalah nasib Qaseh begini? Aishah tidak sanggup melihat Qaseh menderita. Sudah bertahun mereka kenal. Belum pernah Qaseh menitiskan air matanya demi lelaki. Kecuali untuk kedua arwah ibubapanya.
“ Pengantin lelaki dah sampai! Pengantin lelaki dah sampai!!!!” jerit Hamidi, lantang. Qaseh mula tidak keruan. Sekejap dia berdiri, sekejap dia duduk. Dalam masa yang sama, dia rasa lega. Akhirnya Fareez setuju juga untuk datang. Tidak tahulah kalau dia kena paksa.
“ Sabarlah, Qaseh. Kau duduk dulu.” Aishah menenangkan perasaan Qaseh yang bercelaru. Aishah membetulkan selendang yang melitupi sebahagian rambut Qaseh yang disanggul elok. Aishah tersenyum.
Juru akad nikah duduk bersila menghadap Fareez yang duduk di atas kusyen yang disediakan khas. Juru akad nikah itu mengeluarkan dokumen-dokumen yang berkaitan dengan pernikahan antara Qaseh dan Fareez. Diteliti dokumen tersebut.
“ Pengantin lelaki bernama Amer Fareez bin Firdaus?” tanya juru akad nikah itu kepada Fareez.
“ Ya, saya.” Jawab Fareez, sopan.
“ Pengantin perempuan bernama Qaseh Soraya binti Nizam?” tanya juru akad nikah itu kepada Datuk.
“ Ya.” Jawab Datuk sambil menganggukkan kepalanya.
“ Boleh saya tengok kad pengenalan pengantin lelaki?” tanya juru akad nikah itu. Raja Zikri menyerahkan kad pengenalan Fareez kepada juru akad nikah. Tanpa melengahkan masa lagi, juru akad nikah itu terus menerangkan satu persatu kepada Fareez. Ditanya Rukun Iman dan Rukun Islam. Fareez menjawabnya dengan tenang. Perkara ini sangat senang. Ini kali kedua baginya. Semasa perkahwinan yang pertama, mahu gagap dibuatnya jika ditanya soalan seperti itu. Fareez menandatangani dokumen yang yang diperlukan. Wajahnya tidak ceria. Raja Zikri hanya menggeleng melihat Fareez. Dia berharap sangat Fareez tidak membatalkan perkahwinan ini secara tiba-tiba. Dia tahu Fareez sanggup berbuat begitu jika dia merasakan yang dirinya tidak akan bahagia dengan perkahwinan ini.
“ Baiklah. Kita mulakan sekarang.” Kata juru akad nikah itu dan menghulurkan tangan. Fareez menyambut huluran tersebut dan menjalankan upacara pernikahan dengan sempurna.
“ Aku terima nikahnya, Qaseh Soraya binti Nizam dengan mas kahwin 88 ringgit, tunai.” Hanya sekali lafaz, Qaseh sudah sah menjadi isteri kepada Fareez. Suara Fareez dapat didengari sehingga ke tingkat atas. Qaseh menitiskan air mata kegembiraan. Aishah mengelap air mata itu. Tidak mahu mencemarkan mekap yang sudah sedia cantik.
“ Sah?” tanya juru akad nikah tersebut kepada orang-orang di sebelahnya.
“ Sah!!!!” mereka menjawab serentak. Juru akad nikah tersebut membacakan doa untuk menyempurnakan lagi majlis.
Setelah selesai membaca doa, upacara membatalkan air wuduk akan dilakukan. Qaseh sudah bersedia di dalam kamar pengantinnya.
“ Dia orang dah nak naik.” Kata Aishah. Tengku Nadirah hanya tersenyum di sebelah Qaseh. Kemudian dia bangun dan berdiri hampir dengan meja solek untuk memberikan ruang kepada ahli keluarga Fareez. Qaseh mengangkat wajahnya untuk memandang Fareez yang sudah tercegat dihadapan. Fareez nampak kacak sekali. Dengan baju Melayu warna sedondon, butang baju Melayu yang bertatahkan berlian, bersampin jahitan benang emas dan bersongkok. Membuatkan Fareez nampak lebih kacak kerana pemilihan warna yang sesuai.
Fareez membatalkan air wuduknya dengan menyarungkan cincin platinum bertatahkan berlian ke jari kelingking sebelah kanan. Kemudian, Qaseh menyalami tangan suaminya itu dan Fareez mencium dahi Qaseh. Nampak begitu mesra. Qaseh tertunduk malu apabila diusik oleh ahli keluarga Fareez yang memenuhi ruang bilik tidur Qaseh. Fareez pura-pura senyum. Selepas itu, mereka turun ke bawah secara beriringan. Qaseh memaut lengan Fareez dengan kuat. Dia takut terjatuh dari tangga kerana memakai kasut bertumit tinggi. Fareez hanya membiarkan pautan itu. Mereka menjamu selera bersama tetamu yang hadir.
Pada sebelah malamnya pula, majlis persandingan yang diadakan di salah sebuah hotel terkemuka di ibu kota. Hotel Istana yang terletak di tengah-tengah kota raya menjadi tempat pilihan mereka untuk mengadakan majlis persandingan. Pada mulanya, Fareez menolak daripada mengadakan majlis besar-besaran kerana dia pernah berkahwin. Cukuplah sekadar kecil-kecilan. Qaseh juga turut bersetuju. Tetapi Tan Sri Firdaus dan Puan Sri Marlisa menolak cadangan itu dengan mengatakan Qaseh adalah satu-satunya anak perempuan arwah Tuan Nizam dan Puan Yasmin. Dia masih anak dara. Kali pertama Qaseh berkahwin. Jadi, seharusnya diadakan secara besar-besaran. Akhir sekali, mereka terpaksa akur kepada segala keputusan yang telah dibuat. Qaseh tahu Fareez tidak setuju. Puas dia memujuk Tan Sri Firdaus dan Puan Sri Marlisa. Mereka masih tidak setuju dengan cadangan Qaseh. Mahu tidak mahu, Qaseh dan Fareez terpaksa akur dengan kehendak kedua ibubapa mereka itu.
Ramai tetamu yang turut hadir di majlis itu. Tidak ketinggalan Fitri Azharina dan Amirul juga pulang ke Malaysia setelah mengetahui Fareez akan berkahwin lagi. Amirul tidak kekok memanggil Qaseh dengan panggilan Mama. Aishah dan Zahrien serta Encik Sulaiman dan Puan Widya juga hadir untuk memeriahkan majlis. Rakan-rakan Qaseh semasa di sekolah turut dijemput tetapi di atas bantuan Tengku Nadirah kerana Qaseh sudah lama tidak ketemu mereka semua. Hanya Tengku Nadirah sahaja yang selalu mengetahui perkembangan rakan-rakan mereka. Rakan-rakan Fareez juga dijemput. Keluarga Tan Sri Firdaus dan keluarga Datuk bergabung untuk majlis ini. Datuk tidak kisah. Asalkan majlis tetap dilangsungkan.
Majlis berjalan dengan lancar. Tetamu-tetamu tidak kering gusi dengan celoteh Afdlin Shauki dan Sharifah Shahira sebagai emcee pada malam itu. Mereka berdua menerangkan latar belakang kedua-dua pengantin sambil menayangkan gambar melalui slide show. Daripada mereka kecil, zaman persekolahan, pelajaran yang diterima sehinggalah kepada perkenalan singkat mereka. Tetapi bila tiba bab perkenalan, mereka hanya menokok tambah jalan cerita supaya sedap didengari oleh tetamu-tetamu. Yang tahu cerita sebenar, hanyalah ahli keluarga terdekat sahaja.
Majlis itu berakhir lebih kurang pukul 11 malam. Semua tetamu yang hadir mula meminta diri untuk pulang. Kedua pengantin menaiki lif untuk ke Bridal Suite yang ditempah khas oleh Datuk. Sesampainya mereka disana, bellboy yang ditugaskan untuk membawa mereka ke bilik membuka pintu bilik tersebut. Qaseh terpegun dengan keindahan bilik itu. Dia lihat Fareez kelihatan biasa. Mungkin dia sudah biasa tidur di bilik yang besar di hotel. Bilik Qaseh pun tidak sebesar ini. Kaki Qaseh melangkah masuk ke dalam bilik itu. Bellboy itu menutup kembali pintu bilik itu setelah menerima tip daripada Fareez. Fareez berjalan ke arah katil dan merebahkan diri. Pandangannya dialihkan kepada Qaseh yang membuka jendela. Angin sejuk daripada luar masuk ke dalam. Qaseh menutup semula jendela dan berjalan ke arah bilik air.
“ Puaslah hati kau sekarang.” Kata-kata Fareez itu membuatkan Qaseh mengalihkan pandangannya ke arah Fareez yang sedang membuka baju.
“ Kenapa Abang cakap macam tu?” tanya Qaseh, tidak puas hati.
“ Jangan panggil aku Abang.” Kata Fareez sambil memejamkan mata yang mula terasa mengantuk.
“ Tapi, Bang…Abang kan suami saya.” Kata Qaseh dan berjalan ke arah katil. Fareez membuka semula matanya dan memandang tajam ke arah Qaseh. Wajah itu dipandang dengan perasaan penuh kebencian di dada.
“ Hey! Aku suami kau atas kertas saja tau. Dalam hidup aku, tak pernah ter ‘tulis’ yang kau ni isteri aku.” Marah Fareez sambil menudingkan jarinya ke arah Qaseh. Tergamam Qaseh sebentar. Bergenang air matanya. Bahasa Fareez sudah mula menjadi kasar. Beraku dan berkau. Semasa mereka menjadi rakan kerjasama dahulu, Fareez selalu membahasakan diri saya dan awak. Apa sudah jadi pada bahasanya? Fareez mendengus marah dan dia segera bangun dari katil tersebut. Dia mencapai tuala yang disediakan di dalam bilik itu dan menuju ke bilik air. Air mata Qaseh menitik jua.
Selepas Fareez keluar dari bilik air, giliran Qaseh pula untuk masuk. Setelah selesai membersihkan diri, Qaseh keluar dari bilik air dengan siap berpakaian. Fareez merebahkan badannya ke atas katil. Qaseh belum menunaikan solat Isyak. Dia mengambil telekung yang ada di dalam beg pakaiannya dan mengerjakan suruhan Allah. Selesai menunaikan solat Isyak, Qaseh berjalan ke arah katil dan membaringkan diri di situ. Tiba-tiba Fareez bangun dari perbaringan dan menuju ke sofa yang disediakan di hujung katil. Qaseh bangun dan duduk di atas katil. Memandang Fareez tidak berkelip. Disangkakan Fareez sudah tidur.
“ Abang…” panggilnya. Fareez masih tidak mempedulikan panggilan tersebut. Dibuatnya tidak tahu. Qaseh mengeluh. Dia mengalah.
“ Abang tidurlah atas katil. Biar saya tidur kat sofa.” Kata Qaseh sambil bangun dan mencapai bantal yang menjadi alas kepalanya. Fareez masih tidak peduli dengan Qaseh. Dia menghamparkan gebar untuk mengalas sofa tersebut. Qaseh memegang tangan Fareez dan kerja-kerja yang dilakukan Fareez terhenti. Fareez menepis tangan lembut itu dengan kasar.
“ Abang pergilah tidur atas katil.” Kata Qaseh sekali lagi. Fareez menarik gebar tebal yang dijadikan alas sofa dan berjalan ke arah katil. Dia segera merebahkan badannya di atas katil yang empuk itu. Fareez mencampak selimut nipis yang membalut katil tersebut. Qaseh mengambil selimut itu dan berjalan semula ke arah sofa panjang yang menghiasi bilik suite itu. Dia membaringkan badannya di atas sofa lembut itu. Adakah begini hidupnya sepanjang perkahwinannya? Qaseh memejamkan matanya rapat-rapat. Berharap mood Fareez akan berubah menjadi baik, esok.

BERSAMBUNG.....

0 tukang komen paling setia: