BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, November 20, 2008

Dari KL ke Luxembourg 12

TETAMU mula memenuhi ruang tamu rumah Qaseh. Tidak ketinggalan bekas teman-teman pejabatnya turut hadir. Aishah dan Zahrien sudah lama sampai. Puan Sri Marlisa yang menguruskan catering untuk tetamu menjamu selera. Tan Sri Firdaus juga sibuk menguruskan kerja-kerjanya. Mereka tidak kisah dengan gelaran mereka sebagai orang yang berpangkat. Mereka berpuas hati dapat menolong Qaseh.
Qaseh duduk dalam biliknya. Dia duduk di meja solek. Sudah siap berpakaian. Memakai baju kurung yang dibeli oleh datuknya pada hari raya tahun lepas serta tudung untuk menutupi kepala. Matanya asyik menatap gambar ibubapanya yang terletak di atas meja solek. Diambil gambar itu dan dilekapkan di dada. Qaseh rindukan Mama dan Papa, hatinya merintih. Setitik air matanya jatuh. Lama-lama menjadi laju.
Pintu bilik diketuk. Segera dilap air mata yang berjuraian. Diletakkan semula gambar Tuan Nizam dan Puan Yasmin ke atas meja solek. Terjengul wajah Aishah yang tersenyum ke arahnya.
“ Masuklah.” Jemput Qaseh. Aishah masuk ke dalam bilik Qaseh. Terpegun Aishah melihat hiasan di dalam bilik itu. Bilik itu sangat simple tetapi sesiapa yang melihatnya pasti terpegun. Katil polster yang terletak elok di tengah-tengah bilik. Kain selendang tergantung di polster tersebut. Teddy bear diletakkan di tengah-tengah katil. Cadar berwarna hijau pucuk pisang. Meja solek yang diletakkan di sudut tepi katil. Meja sisi yang terletak di sebelah katil. Telefon cordless yang terletak di atas meja sisi itu juga berwarna hijau. Dua buah kerusi dan sebuah meja kecil yang diletakkan di tepi tingkap. Sesuai untuk orang yang gemar membaca novel, suratkhabar dan lain-lain bahan bacaan boleh duduk di situ sambil menenangkan fikiran. Bilik itu bercat hijau muda. Warna kegemaran Qaseh.
“ Apasal kau ternganga ni?” tanya Qaseh. Lucu dia melihat wajah sahabat baiknya itu. Dia tergelak kecil.
“ Lawa bilik kau, Qaseh.” Puji Aishah. Qaseh tersenyum.
“ Siapa hias bilik kau ni?”
“ Arwah Mama aku.” Perlahan sahaja Qaseh berkata-kata. Bilik itu tidak pernah berubah semenjak Puan Yasmin meninggal dunia. Qaseh mahu mengekalkan kenangan bersama Mamanya. Aishah yang terperasan perubahan wajah Qaseh segera menceriakan suasana.
“ Eh, dahlah tu. Jom turun. Didi pun dah sampai. Encik Fareez pun ada jugak.” Usik Aishah. Qaseh mencubit pinggang sahabatnya itu. Aishah melatah. Qaseh tergelak. Mereka beriringan turun ke bawah. Fareez dan tetamu yang hadir terpegun dengan kecantikan Qaseh memakai tudung. Qaseh tersenyum pada Fareez. Senyuman itu dibalas. Qaseh bersalaman dengan rakan-rakan pejabatnya.
Bacaan Yasiin bergema di seluruh ruang tamu dengan suara hadirin yang memenuhi ruang tamu. Qaseh duduk di sudut tepi dinding. Sambil membaca ayat-ayat yang terdapat di dalam surah Yasiin, air matanya turun dengan laju. Tangan Qaseh mengelap air mata yang seperti tidak mahu berhenti. Fareez yang duduk di sebelah Walidnya turut membaca surah Yasiin. Sesekali mata hitam itu bertembung dengan mata redup Qaseh. Tetapi hatinya tidak berdebar. Dia sendiri tidak tahu mengapa. Qaseh bukanlah tidak cantik. Kalau nak diikutkan, dia lebih cantik dari bekas isteri Fareez. Setiap kali bertembung mata dengan Fareez, Qaseh menundukkan wajah. Hatinya bergetar hebat. Aishah di sebelah menyiku lengan Qaseh.
Selepas tahlil arwah dan doa kesyukuran untuk syarikat Qaseh dilakukan, Puan Sri Marlisa dan Tan Sri Firdaus menjemput tetamu-tetamu menjamu selera. Diantara tetamu-tetamu itu, Qaseh sempat melihat kelibat Encik Sulaiman dan Puan Widya. Aishah dan Zahrien turut menjamu selera.
“ Qaseh tak makan?” entah bila masa Datuk berdiri di sebelah Qaseh. Dia sendiri tidak perasan.
“ Kejap lagilah, Atuk. Atuk pergilah makan dulu.” Datuk menuju ke kanopi yang tersedia di luar rumah. Qaseh lihat Rafidah dan suami serta anak-anaknya juga berada di dalam kanopi tersebut. Fikirannya menerawang.
“ Qaseh tak makan?”
“ Qaseh kata kejap lagi, kejap lagilah. Atuk pergi makan dulu sebab Atuk nak makan ubat. Nanti Qaseh pergi makan.” Kata Qaseh lembut sambil matanya masih tidak melihat wajah datuknya.
“ Kenapa kejap lagi?”
“ Qaseh tak ada mood ni.”
“ Cik Qaseh tak ada mood?” Qaseh berasa pelik. Datuknya tidak pernah memanggilnya Cik Qaseh. Dipusingkan kepalanya menghadap wajah orang yang berkata-kata itu. Terkejut. Orang dihadapannya itu tersenyum menawan.
“ En…cik…Encik Fareez…”
“ Cik Qaseh tak jawab soalan saya lagi. Kenapa tak ada mood?” Fareez menyelukkan tangan ke dalam kocek seluar. Qaseh memeluk tubuh. Tersenyum. Dia tidak tahu bagaimana hendak menjawab soalan itu.
“ Tak lalu nak makan.” Ringkas jawapan Qaseh. Fareez tersenyum dan menggeleng.
“ Tak lalu makan ke diet?” tanya Fareez. Qaseh tergelak. Fareez juga tergelak. Ada sepasang mata yang asyik memerhatikan mereka berdua dari jauh. Aishah menyiku Zahrien. Zahrien memandang wajah tunangnya. Dijuihkan mulut ke arah Qaseh dan Fareez. Kemudian, mereka saling berpandangan dan tersenyum. Puan Sri Marlisa tersenyum senang melihat perubahan Fareez yang semakin banyak tersenyum dan juga perangainya kembali seperti sebelum dia berkahwin. Hatinya tersenyum. Ada peluanglah Qaseh hendak menjadi menantunya. Memang itu impiannya dan arwah Puan Yasmin.
Dari dahulu lagi, dia memang suka kalau Fareez dijodohkan dengan Qaseh. Tetapi selepas Qaseh berlepas ke luar negara, Fareez terus berkahwin. Saat itu, Puan Sri Marlisa merasakan sudah tidak ada harapan untuk Qaseh menjadi menantunya. Tetapi kini, Yang Maha Berkuasa telah mempertemukan mereka untuk dijodohkan.
Seorang kanak-kanak lelaki berlari ke arah Fareez dan memeluk Fareez. Qaseh terkejut. Dia mengerutkan dahinya. Fareez perasan perubahan wajah Qaseh. Segera diperkenalkan Amirul kepada Qaseh.
“ Qaseh, kenalkan Amirul. Anak saya. Mirul, ni Auntie Qaseh.” Fareez menurunkan Amirul. Amirul bersalaman dan mencium tangan Qaseh. Qaseh mencangkung supaya pandangan Qaseh dan Amirul sekata.
“ Amirul…”
“ Auntie…” anak kecil itu terus memeluk Qaseh. Fareez terpinga-pinga tidak faham. Bagaimana anak kecil itu mengenali Qaseh? Sedangkan sebelum ini Fareez tidak pernah memperkenalkan mereka berdua.
“ Mirul sihat?” tanya Qaseh.
“ Sihat. Kenapa muka Auntie pucat?” petahnya anak itu berkata-kata. Qaseh tersenyum hambar.
“ Auntie kurang sihat.” Terang Qaseh.
“ Biar Mirul cium pipi Auntie. Nanti Auntie sihatlah.” Qaseh tersenyum. Dipandangnya Fareez sekilas. Kemudian, disuakan pipinya kepada anak kecil itu. Fareez tersenyum melihat telatah anaknya itu. Qaseh memeluk Amirul. Tan Sri Firdaus mendekati Puan Sri Marlisa yang masih tidak berganjak dari tempatnya berdiri.
“ Abang tengoklah tu. Kan bagus kalau apa yang kita lihat tu jadi kenyataan. Tentu arwah-arwah pun suka, kan Bang?” Puan Sri Marlisa masih lagi melihat adegan-adegan tersebut. Tan Sri Firdaus mengangguk perlahan. Fitri Azharina menuju ke arah Qaseh dan Fareez.
“ Fareez, ada call.” Fitri Azharina menyerahkan telefon bimbit adiknya itu. Fareez mencapain ya dan menjawab panggilan tersebut. Dia berdiri agak jauh daripada mereka. Fitri Azharina memandang sekilas ke arah Qaseh. Tetapi dipandangnya sekali lagi ke arah Qaseh.
“ Qaseh?” tanya Fitri Azharina. Qaseh mendongak memandang wajah Fitri Azharina. Qaseh berdiri. Cuba untuk mengecam wanita yang memang selalu elegan dihadapannya. Terkerut-kerut dahi Qaseh memikirkan nama gerangan dihadapannya itu.
“ Cik Rina?” Fitri Azharina mengangguk apabila namanya disebut oleh gadis dihadapannya.
“ Tak payahlah panggil saya Cik Rina. Tak perlu formal sangat. Kita kan kat rumah Qaseh sekarang. Tak sangka Walid dan Ummi Kak Rina kenal Qaseh.” Kata Fitri Azharina ramah. Kerana keramahannya itulah, kesemua pekerja-pekerjanya senang untuk berkomunikasi dengan bos mereka.
“ Qaseh pun tak sangka.”
“ Qaseh bila balik Malaysia? Tak sangka Qaseh yang selalu dikatakan oleh Walid dan Ummi Kak Rina adalah Qaseh yang sama. Bekas pekerja terbaik Kak Rina. Qaseh dah bina syarikat sendiri pun. Baguslah macam tu.” Ujar Fitri Azharina. Mereka berpelukan sebentar. Fareez terpinga-pinga. Tidak faham keadaan sebenar. Bagaimana Fitri Azharina kenal dengan Qaseh? Sedangkan sebelum ini mereka tidak pernah berjumpa. Fareez mematikan talian telefon. Dia menuju semula ke arah kakaknya.
“ Macam mana Kak Rina boleh kenal dengan Qaseh?” tanya Fareez setelah Fitri Azharina dan Qaseh meleraikan pelukan mereka.
“ She’s my best employee.” Kata Fitri Azharina sambil memandang Qaseh. Mereka sama-sama tersenyum. Fareez menggaru-garukan kepalanya yang tidak gatal.
“ Best employee?” Fareez bertanya lagi. Fitri Azharina mengangguk.
“ Qaseh pernah kerja dengan Akak masa kat Luxembourg. Dialah pekerja Akak yang terbaik. Susah Akak nak cari ganti dia bila dia berhenti. Bukan saja rekaan dia selalu mendapat pujian daripada pelanggan malahan pandai mereka iklan yang menepati citarasa pelanggan-pelanggan Akak yang cerewet tu.” Pujian demi pujian yang keluar daripada mulut Fitri Azharina. Qaseh tersenyum. Memang begitulah perangai bekas majikannya itu. Kalau pekerjanya buat silap yang besar, masih tidak dimarahnya. Baik sungguh hati Fitri Azharina. Susah hendak mencari majikan sepertinya.
“ Qaseh, mari makan.” Rafidah berdiri dihadapan mereka bertiga. Amirul sudah hilang entah kemana. Mungkin terjumpa dengan rakan-rakan sebayanya dan bermain bersama mereka.
“ Tak apalah, Mak Ngah. Kejap lagi Qaseh makan.” Tolak Qaseh.
“ Qaseh kan ada penyakit gastrik. Pergilah makan.” Kata-kata Fitri Azharina itu mengejutkan Mak Ngahnya. Tiba-tiba Qaseh menjadi tidak keruan. Habislah kalau Mak Ngah tahu, desis hati Qaseh sendirian. Rahsia yang cuba diselindungkan kini terbongkar.
“ Qaseh ada gastrik?” tanya Rafidah. Fitri Azharina pelik.
“ Mak Ngah Idah tak tahu ke?” soal Fitri Azharina kembali.
“ Tak.” Pendek jawapan Rafidah. Cukup membuatkan Qaseh tidak sedap hati. Dia tidak mahu Rafidah memberitahu rahsia itu kepada Datuk. Fitri Azharina diam. Dia tidak tahu Qaseh menyembunyikan penyakitnya itu.
“ Tak apalah, Mak Ngah. Qaseh dah lapar. Qaseh pergi makan, ya?” cepat sahaja kaki Qaseh melangkah menuju ke arah kanopi.
Semasa melintas dihadapan Rafidah, tiba-tiba kaki Qaseh tersadung batu. Nasib baik Fareez sempat menyambutnya. Kalau tidak, tersungkurlah dia. Qaseh cuba mengimbangi badannya kembali. Matanya bertembung dengan sepasang mata milik lelaki yang pernah dibenci dahulu. Ada kedamaian di dalam mata itu. Keselamatan yang tidak pernah dirasainya. Yang tidak mungkin dirasai pada lelaki lain.
Bunyi bising di kelilingnya membuatkan Qaseh tersedar yang mereka berada di depan orang ramai. Dia cepat-cepat berdiri kembali. Wajahnya merona merah. Aishah yang memerhati dari jauh hanya tersenyum. Qaseh membetulkan bajunya.
“ Terima kasih, Encik Fareez.” Qaseh meninggalkan mereka semua dan menuju ke arah kanopi. Aishah melambai ke arah Qaseh. Sahabatnya itu menuju ke arah Aishah. Qaseh menarik kerusi dan duduk bertentangan dengan Aishah dan Zahrien.
“ Wah! Romantiknya scene tu.” Usik Aishah.
“ Hish, kau ni. Tak ada kerja lain ke? Asyik mengintip orang je. Patutnya kau kena jadi wartawan. Baru sesuai dengan kau.” Aishah tergelak dengan kata-kata Qaseh. Qaseh bangun dan mengambil makanan yang terhidang secara buffet. Mereka menjamu selera.
Hampir kesemua tetamu mula meminta diri untuk beredar. Kecuali keluarga Tan Sri Firdaus dan Puan Sri Marlisa sahaja yang tinggal. Mereka semua berada di ruang tamu. Aishah dan Zahrien juga sudah pulang. Qaseh, Fitri Shaliza dan Fitri Azharina berada di dapur. Menyediakan pencuci mulut dan memotong buah-buahan. Mereka menyusun piring buah-buahan dan pencuci mulut di atas dulang. Fitri Azharina menatangnya dan membawa ke ruang tamu untuk mereka semua mencuci mulut setelah kenyang menjamu selera. Qaseh menatang dulang yang membawa air kopi. Dia menyusun cawan-cawan tersebut di atas meja yang terletak di tengah-tengah ruang tamu. Dituang air kopi ke dalam cawan-cawan dengan perlahan-lahan. Puan Sri Marlisa hanya memerhatikan Qaseh melakukan kerjanya. Kemudian, dia beralih memandang suaminya yang duduk di sebelah Datuk. Tan Sri Firdaus faham akan pandangan itu, mengangguk perlahan dan tersenyum. Anggukan kepala Tan Sri Firdaus itu benar-benar melegakannya. Puan Sri Marlisa pasti Qaseh akan menjadi menantunya. Akan ditunaikan janji yang telah dibuat bersama arwah-arwah.
“ Liza ingat, Liza nak buat birthday party untuk Mya. Minggu depan birthday Mya.” Kata-kata Fitri Shaliza itu memecahkan lamunan Puan Sri Marlisa. Dia memandang anak sulungnya itu.
“ Lis pun ingat nak buat birthday party untuk Bell. Kita buat sekalilah, Kak. Kan tarikh lahir Mya dan Bell dekat-dekat.” Fitri Shaliza terangguk-angguk mendengar kata-kata adiknya itu. Qaseh melabuhkan punggung di atas karpet sebelah Puan Sri Marlisa. Qaseh mendengar dengan penuh minat. Kaum lelaki hanya bercerita mengenai perihal mereka. Tidak dipedulikan apa yang diceritakan oleh kaum perempuan. Mereka masih asyik merancang apa yang patut dilakukan pada hari itu nanti.
“ Boleh Qaseh tolong?” tanya Qaseh tiba-tiba. Puan Sri Marlisa, Fitri Shaliza, Fitri Marlis dan Fitri Azharina memandang ke arahnya.
“ Qaseh tak payah buat apa-apa. Qaseh datang sebagai tetamu saja.” Puan Sri Marlisa berkata. Qaseh tidak senang kalau tidak menolong mereka. Sudah banyak yang mereka lakukan untuk dirinya. Dia hendak menolong mereka pula. Dia berasa tidak senang hati kalau tidak pula menolong melakukan persiapan untuk hari majlis harijadi itu nanti.
“ Tak boleh macam tu, Auntie. Dah banyak keluarga Auntie dan Uncle tolong Qaseh. Apa salahnya sekali sekala Qaseh tolong Auntie pulak.” Ujar Qaseh. Mereka semua memandang wajah Qaseh yang seperti berharap dapat menolong mereka.
“ Oklah. Apa yang Qaseh boleh tolong kami?” kata-kata Fitri Marlis melegakan perasaannya.
“ Qaseh pandai buat kek. Biar Qaseh saja yang buat kek. Tak payah Kak Liza, Kak Lis nak beli pulak. Barang makanan lagi Kak Liza dan Kak Lis nak beli. Boleh?” cadang Qaseh. Mereka bersetuju dengan rancangan Qaseh. Akhirnya, mereka berdua mengangguk tanda bersetuju.
Setelah malam menganjak ke angka sepuluh, tetamu yang masih berada di rumah Qaseh meminta diri untuk pulang.
“ Qaseh jangan lupa apa yang Qaseh janji, ok?” Fitri Marlis mengingatkan Qaseh kembali. Qaseh mengangguk. Dia bersalam-salaman dengan tetamu-tetamunya. Enjin kereta Fareez dihidupkan. Fareez mengendong Amirul yang sudah terlelap kerana terlalu keletihan. Cuma 5 buah kereta sahaja berada di perkarangan rumah Qaseh. Termasuk kereta Qaseh dan Rafidah yang masih tersadai di halaman rumah. Mereka semua sempat melambai ke arah Datuk, Rafidah, Khairudin dan Qaseh yang tercegat di depan pintu rumah. Mereka berempat masuk semula ke dalam rumah apabila kereta tetamu-tetamunya yang sebanyak 3 buah mula hilang dari pandangan. Mereka masuk semula ke dalam dan menutup pintu pagar serta menutup kesemua lampu. Rafidah dan suami serta anak-anaknya itu tidur di rumah Qaseh pada malam itu.
Qaseh masuk ke dalam kamar tidurnya. Dibuka pintu jendela dengan luas. Angin sepoi-sepoi bahasa menghembus ke mukanya. Dipaling semula dan masuk ke dalam. Qaseh duduk di meja solek. Diperhatikan wajahnya. Memang ada iras-iras wajah Puan Yasmin. Dia tidak langsung seiras wajah Tuan Nizam tetapi perangainya serupa. Qaseh mengambil gambar Tuan Nizam dan Puan Yasmin yang sedang bergelak ketawa semasa menyambut hari jadi Qaseh yang ke-13. Hari jadi terakhir yang disambut bersama-sama kedua ibubapanya itu.
Qaseh keluar dari kamar tidurnya. Menuju ke bilik tidur Tuan Nizam dan Puan Yasmin. Dikuak pintu kamar itu perlahan-lahan. Tidak mahu mengejutkan Datuk yang sedang tidur di bilik sebelah. Air matanya tumpah sebaik sahaja melihat gambar kahwin yang diambil oleh Tuan Nizam dan Puan Yasmin yang diletakkan di kepala katil. Gambar mereka yang sedang tersenyum bahagia. Keadaan kamar itu masih sama. Tidak ada yang berubah. Rafidah mengemas kamar itu sebelum majlis tahlil. Membersihkan habuk-habuk yang ada di dalam bilik itu. Dia cuba mengubah serba sedikit barang yang ada di dalam bilik itu. Tetapi segera dihalang oleh Qaseh. Dia mahu kenangannya bersama-sama Tuan Nizam dan Puan Yasmin senantiasa tersemat di dalam bilik itu. Dia tidak mahu mengubah satu perabot pun kerana cara susunan perabot-perabot itu adalah daripada ilham Puan Yasmin. Qaseh mahu sentiasa kekal sebegitu.







KEESOKAN paginya, Datuk mengetuk pintu kamar Qaseh. Tiada jawapan. Kemana pula dia ini pergi? Datuk memulas tombol. Tombol itu bergerak-gerak. Menandakan pintu kamar tersebut tidak terkunci. Datuk menguak pintu kamar itu perlahan-lahan. Katil Qaseh kemas. Seperti tidak ada orang yang tidur di atas katil itu. Datuk membuka pintu bilik air apabila tidak dengar ada bunyi air. Datuk semakin risau. Tiada kelibat Qaseh di dalam kamar itu. Semasa Datuk keluar dari bilik Qaseh, Datuk bertembung dengan Rafidah yang baru sahaja hendak turun ke tingkat bawah untuk menyediakan sarapan. Rafidah mengerutkan dahi apabila dilihatnya nafas Datuk turun naik. Rafidah semakin risau apabila Datuk menekan dadanya.
“ Ayah…Ayah tak apa-apa ke? Ayah kena serangan lagi ke?”
“ Tak…tak…Ayah risau, Idah. Ayah tak nampak Qaseh dari tadi.”
“ Dia tak ada dalam bilik?”
“ Kalau ada dalam bilik, takkanlah Ayah risau macam ni.” Ujar Datuk. Rafidah menggaru kepalanya. Kenapalah anaknya yang seorang ini menanyakan soalan begitu?
“ Ayah tak cari dalam bilik lain?”
“ Tak pulak.” Kata Datuk ringkas. Rafidah memandang ke arah bilik-bilik tetamu. Tiba-tiba matanya terhenti di bilik adiknya.
“ Ayah cuba cari Qaseh dalam bilik Zam.”
“ Betul jugak kan.”
“ Tak apalah, Ayah. Idah turun masak breakfast dulu. Ayah ada pesanan istimewa ke?” tanya Rafidah.
“ Pesanan istimewa?”
“ Yalah. Ayah teringin nak makan apa-apa ke?”
“ Ayah makan je apa yang Idah masak.”
“ Baiklah, Ayah. Idah turun dulu.” Kata Rafidah dan berlalu pergi.
Kaki Datuk menuju bilik Tuan Nizam. Dikuaknya perlahan. Datuk ternampak sekujur tubuh yang terbaring lesu di dalam bilik Tuan Nizam. Mata Qaseh nampak bengkak. Mungkin semalaman menangis terkenangkan Tuan Nizam dan Puan Yasmin.
Datuk perlahan-lahan melangkah masuk. Dia duduk di birai katil dan memandang wajah cucunya itu. Sudah lama Qaseh menanggung derita. Dapatkah Qaseh menerima perkara yang cuba dirahsiakan oleh Tuan Nizam, Datuk dan Rafidah? Adakah dia akan marah? Sedih? Datuk tidak mahu memikirkan kemungkinan itu. Dia tidak mahu Qaseh marah akannya. Dia terlalu sayangkan Qaseh. Datuk tidak sanggup kehilangan cucu yang dibelanya semenjak dari kecil lagi.
Qaseh membuka mata luas. Matanya kembali mengecil apabila matahari menyuluh mata. Digosok sedikit mata. Masih ada sisa kantuknya. Dilihatnya di birai katil. Air mata Datuk mengalir. Belum pernah dia melihat Datuk menangis. Inilah kali pertama.
Qaseh bangun dari katil itu dan duduk di sebelah Datuk. Dipeluknya Datuk kesayangan.
“ Kenapa Atuk menangis?”
“ Atuk rindukan Papa dan Mama.”
“ Qaseh pun rindukan Papa dan Mama. Qaseh terlalu rindukan mereka. Tapi, Qaseh tahu. Qaseh menangis macam mana pun, Papa dan Mama takkan kembali ke pangkuan Qaseh. Qaseh redha, Atuk. Qaseh relakan pemergian mereka.” Kata-kata Qaseh cukup menyentuh hati Datuk.
“ Atuk juga relakan pemergian mereka.” Ujar Datuk. Mereka masih lagi begitu sehinggalah dikejutkan dengan panggilan Rafidah yang lantang.
“ Sarjan dah panggil makan breakfast. Qaseh pergilah mandi.” Qaseh tergelak besar dengan kata Datuk. Dia mengangguk. Datuk meninggalkan Qaseh dan keluar dari kamar arwah anaknya itu.
Semasa Datuk keluar dari bilik Tuan Nizam, dia bertembung dengan Khairudin yang juga baru hendak turun ke tingkat bawah.
“ Warden dah panggil turun makan, Ayah.”
“ Ayah dengar. Kuat sungguh suara si Idah ni.”
“ Itu tak kuat lagi, Ayah. Kalau kadangkala lepas Subuh, Din tidur balik tapi terlajak sikit, lagi kuat suara Idah.” Kata Khairudin. Qaseh terdengar kata-kata itu. Untung Rafidah mempunyai suami seperti Khairudin. Qaseh keluar dari kamar tidur arwah ibubapanya dan menuju ke kamarnya sendiri. Dia harus membersihkan diri.


BERSAMBUNG.....


0 tukang komen paling setia: