BAB 26 HAMPIR 3 minggu semenjak Fareez pulang dari Hong Kong, Fareez suka mengintip Qaseh secara curi-curi sewaktu Qaseh sedang memasak atau melakukan kerja rumah. Qaseh sedar akan perubahan itu. Dia juga pelik tetapi dalam pada masa yang sama dia bersyukur Fareez semakin berubah. Tiada lagi muka masamnya atau suara lantang yang selalu memaki hamun Qaseh. Fareez juga mula tersenyum walaupun dia tidak pernah bercakap. Doa Qaseh telah dimakbulkan. Qaseh berdoa setiap hari supaya hati suaminya itu dilembutkan dan dapat menerima kehadirannya. Fareez juga tidak pernah memarahi Amirul lagi. Dahulu, walaupun hanya kesilapan kecil yang dilakukan oleh Amirul, Fareez marah kepada anak kecil itu seperti Amirul melakukan kesilapan besar. Amirul juga sudah mula bersikap riang. Senang dengan kelakuan Ayahnya yang berubah. Fareez sudah mula pulang awal. Tidak lagi lewat seperti dahulu. Tiada lagi perkataan ‘aku’ dan ‘kau’. Kata-katanya juga sudah mula romantik. Qaseh sedang menyediakan makan malam untuk mereka semua. Dihidangkan makanan tersebut ke atas meja. Amirul menolong Qaseh. Amirul tidak pernah menganggap Qaseh ibu tirinya tetapi sebagai ibu kandungnya. Dia juga amat menyayangi Qaseh. Amirul bernyanyi-nyanyi kecil. “ Ayah, makanan dah siap. Jomlah makan. Mirul lapar ni.” Laung Amirul dari meja makan. Fareez tersenyum dengan gelagat anaknya itu. Dia segera menutup suis televisyen dan berjalan ke arah meja makan. Mereka bertiga menjamu selera dengan gembira sekali. Sudah lama Fareez tidak merasai suasana sebegitu dan sudah lama Qaseh hendak merasai suasana yang dirasainya sekarang. Qaseh sudah selesai mengemas meja dan mencuci pinggan makan selepas mereka menjamu selera. Dia menuju ke tingkat atas. Berjalan ke arah biliknya. Amirul sudah lama naik tidur kerana dia perlu ke sekolah pada awal pagi esok. Fareez masih lagi menonton televisyen. Qaseh merebahkan badan ke atas katil. Beralih ke kiri dan ke kanan. Matanya tidak mengantuk. Dipejamkan mata. Kemudian, dia membuka semula mata dan memandang ke arah kipas siling yang sedang berputar. Hatinya berdebar-debar. Entah kenapa. Hatinya berasa begitu semenjak pandangan tajam Fareez sewaktu mereka sedang makan malam. Qaseh bangun dari katil tersebut dan menuju ke arah jendela yang terbuka. Mengambil angin. Tiba-tiba pintu biliknya diketuk. Ketukan itu sangat perlahan. Lama Qaseh memandang pintu itu sebelum membukanya. Perlahan-lahan dia membuka selak pintu. Terjengul wajah lelaki yang amat dicintainya itu. Qaseh terkejut dengan kehadiran Fareez tetapi Qaseh cuba mengawal perasaannya. Pada pandangan Qaseh, Fareez nampak kacak pada malam itu. Walaupun dia berpakaian seperti biasa. Baju T dan kain pelikat. Fareez tersenyum manis kepadanya. Qaseh memberikan laluan kepada Fareez untuk masuk ke dalam bilik. Fareez duduk di atas sofa yang disediakan di dalam bilik Qaseh. Qaseh berjalan ke arah katil dan berdiri tercegat di sebelah katil. Fareez menarik nafas panjang dan meraup rambutnya ke belakang. Dia keresahan. Qaseh turut mengeluh. Dia masih menanti butir bicara Fareez. Lama mereka begitu. Masing-masing mendiamkan diri. Fareez berdiri dan berjalan ke arah pintu bilik. Dia berkira-kira hendak keluar dari bilik itu. Dia tidak tahu hendak memulakan perbualan. Belum sempat Fareez membuka pintu, tangannya disambar oleh Qaseh. Pandangan mata Qaseh yang redup itu membuatkan hati Fareez semakin tertawan. Qaseh tersenyum. Perlahan-lahan Qaseh menarik tangan Fareez dan menuju ke katil. Ditolak dada Fareez perlahan-lahan ke atas katil tersebut dan Qaseh turut merebahkan diri di sebelah Fareez. Kemudian, dipadamkan lampu bilik itu. Buat kali pertamanya, Qaseh melalui malam pertama setelah 2 tahun dengan lelaki bernama suami. Malam itu sangat indah buat Qaseh. Tidak akan dilupakan malam tersebut. Qaseh meletakkan kepala di atas badan Fareez yang sasa itu. Fareez mengusap rambut Qaseh yang ikal. Kata-kata Raja Zikri terngiang-ngiang di telinga. Fareez tersenyum sendirian. “ Aku rasa aku….aku….aku dah jatuh cinta.” Kata Fareez tergagap-gagap. Dia berdiri menghadap cermin pejabat. Panorama luar pejabat yang dihiasi dengan kesibukan kota. Raja Zikri terbatuk kecil. “ Kau jatuh cinta? Dengan siapa?” Zikri memandang muka Fareez dengan tanda tanya. Tidak pernah Raja Zikri lihat Fareez keluar berpacaran dengan orang lain. Hanya Qaseh sahaja yang menjadi isterinya kini. Mungkinkah dengan Qaseh? Hati Zikri tertanya-tanya. “ Dengan Qaseh lah. Dengan siapa lagi?” terlopong Zikri mendengar ucapan yang baru sahaja diungkapkan oleh Fareez. Tidak salah sangkaannya itu. Benarlah Qaseh yang dicintainya. “ Kau biar benar? Qaseh?” Zikri bertanya lagi. Mahukan kepastian. “ Kenapa kau terkejut?” “ Kau pernah berjanji dengan aku yang kau takkan sekali-kali jatuh cinta pada Qaseh. Apa, kau dah tak ingat janji kau tu?” kata-kata Zikri berbaur sindiran. Fareez tersenyum. Dia masih ingat akan janji tersebut. Janji yang dibuatnya beberapa hari sebelum hari perkahwinan mereka. Fareez duduk semula di atas kerusi empuk. Zikri datang berjumpa dengannya di pejabat. Fareez termenung dan kadangkala tersenyum sendirian. Zikri memandang wajah Fareez. Benar sahabatnya itu telah jatuh cinta. “ Sah!” suara Zikri yang kuat itu mengejutkan Fareez dari lamunan. “ Apa yang sah?” tanya Fareez kurang faham. “ Kau dah jatuh cinta kat Qaseh.” Zikri tersenyum lebar. “ Tapi, aku harap kau jangan sia-siakan Qaseh. She’s a nice girl. Aku tengok dia pandai ambil hati kau.” Fareez terangguk-angguk mendengar kata-kata Zikri. “ Aku takutlah.” Ujar Fareez tiba-tiba. “ Laa…Apa yang kau takutkan?” “ Aku takut dia tak sukakan aku.” “ Dah 2 tahun, baru sekarang ni kau terfikirkan hal tu. Kau jangan risau. Aku tahu. Dia sayangkan kau. She loves you…more than you love her.” Fareez mengerutkan dahi. Tidak faham dengan kata-kata Zikri. Zikri faham akan kerutan tersebut dan menjelaskan satu persatu. “ Buat apa Nad jadi kawan dia kalau Nad tak tahu perasaan dia.” Ujar Zikri. Barulah Fareez faham kini. Qaseh telah mencurahkan segala-gala perasaannya kepada Tengku Nadirah. “ Apa aku nak buat untuk pastikan dia milik aku semutlaknya?” tanya Fareez seperti orang yang baru sahaja mendirikan rumah tangga buat pertama kalinya. “ Ini kali pertama ke kau kahwin?” tanya Zikri. Lucu dia melihat wajah Fareez yang keresahan. Fareez menggeleng laju. “ Kau mesti tahu apa nak buat. Ikatlah dia. Tapi, janganlah pakai tali pulak. Pakai kuasa kau sebagai seorang suami.” Fareez sudah mendapat jalan daripada Zikri. Kenapa dia tidak terfikir akan jalan ini? Dia mesti jadikan Qaseh miliknya. Fareez tersedar dari lamunan apabila jari runcing Qaseh mengusap dadanya. Dia memandang wajah Qaseh dalam kesamaran lampu bilik tidur. Wajah Qaseh ditenung sedalam-dalamnya. “ Maafkan Abang, Qaseh. Kerana melukakan hati Qaseh.” Qaseh meletakkan jarinya ke mulut Fareez. “ Abang jangan cakap macam tu. Qaseh sikit pun tak marah pada Abang. Qaseh tak pernah ada dendam pada Abang.” Qaseh berkata separuh berbisik. “ Abang sayangkan Qaseh.” Fareez membisikkan kata-kata keramat yang ditunggu-tunggu oleh Qaseh. Akhirnya, muncul jua pada malam pertama mereka bersama. Fareez memeluk Qaseh dan mereka sama-sama melangkah ke dunia yang hanya dikhaskan untuk mereka berdua. Qaseh rasa begitu bahagia di samping lelaki yang dicintainya itu. Berharap hari esok akan seindah hari ini. Azan Subuh berkumandang. Qaseh terjaga dari lena dan memandang di sebelah. Fareez masih lagi nyenyak dibuai mimpi. Qaseh yakin dia tidak bermimpi. Dia tersenyum. Qaseh segera bangun dan menuju ke bilik air untuk membersihkan diri. Dia mengambil wuduk dan menunaikan solat. Kemudian, dikejutkan Fareez. Fareez mengeliat sebelum membuka mata. Memandang Qaseh sambil tersenyum. “ Qaseh bahagia?” tanya Fareez lembut. Qaseh tersenyum dan mengangguk. Dipeluknya bahu Qaseh. Qaseh menolak perlahan. “ Abang pergilah solat Subuh. Dah pukul 6.30 ni. Nanti terlepas pulak.” Fareez memuncungkan mulut apabila kehendaknya ditolak. Qaseh tergelak kecil. Dia menarik Fareez untuk bangun. Fareez mengikut sahaja isterinya. Qaseh menghulurkan kain tuala. Fareez mengambilnya dan segera masuk ke dalam bilik air. Selepas Fareez menunaikan solat Subuh, dia turun ke tingkat bawah. Qaseh sedang menyediakan sarapan pagi. Amirul sudah berada di meja makan menunggu Ayahnya. Qaseh menceduk bihun goreng ke dalam pinggan dan menyerahkan kepada Fareez. Begitu berselera mereka tiga beranak menjamu sarapan pagi. FAREEZ menghantar Amirul ke sekolah. Qaseh sudah berjanji dengan Aishah untuk bersarapan bersama walaupun dia baru sahaja bersarapan dengan ahli keluarganya. Sudah lama mereka tidak berjumpa. Semenjak Aishah lepas sahaja bersalin. Qaseh berjumpa dengan Aishah di restoran yang selalu mereka kunjungi. Qaseh melangkah masuk ke dalam restoran tersebut dengan senyuman lebar menghiasi bibir. Aishah melambai kepada Qaseh. Qaseh segera menuju ke arah Aishah dan menarik kerusi di hadapan sahabatnya itu. Aishah pelik. Dia mengerutkan dahi. “ Kenapa dengan kau pagi ni? Happy semacam.” Kata Aishah. Qaseh memandang Aishah. Tersenyum. Bertambah-tambah lagi kerutan di dahi Aishah. Semakin pelik dengan sikap Qaseh pada pagi itu. Selalunya berwajah murung. Tetapi hari ini berwajah ceria. Aishah segera menangkis tangggapan buruk terhadap Qaseh. Sepatutnya dia gembira dengan perubahan yang dialami oleh Qaseh. “ Aku happy salah, aku tak happy lagilah salah.” Pelayan restoran tersebut mendekati mereka berdua dan mengambil pesanan Qaseh. “ Kau dah order belum?” tanya Qaseh. Aishah terpinga-pinga. “ Belum.” “ Kau nak makan apa?” “ Roti telur garing dengan Milo ‘O tarik.” Pelayan itu mencatat pesanan ke dalam satu kertas dan beredar dari situ. Aishah masih lagi meneliti wajah Qaseh yang berseri-seri. “ Apasal kau pandang aku macam tu? Ada apa-apa yang tak kena dengan muka aku ke?” Qaseh mengelap mukanya. Takut ada bedak lebihan yang terlekat di mukanya. Aishah menggeleng. “ Muka kau nampak berseri-seri.” Muka Qaseh merah padam apabila ditegur oleh Aishah. “ Eh! Tak adalah. Macam biasa je.” Ujar Qaseh cuba berselindung. “ Ada apa-apa terjadi ke di antara kau dan….” Aishah sengaja membiarkan ayatnya tergantung. “ Tak ada apa-apa yang terjadi antara aku dengan Fareez lah.” Qaseh memotong percakapan Aishah. “ Kau ada apa-apa dengan….Fareez?” Aishah membeliakkan matanya. Hati Aishah mula mengesyaki sesuatu. “ Kenapa kau terkejut?” “ Aku bukan maksudkan ada apa-apa yang terjadi antara kau dengan Fareez. Maksud aku ialah, ada apa-apa terjadi antara kau dengan Ashwad ke? Itulah maksud aku.” Aishah menjelaskan kata-katanya. Wajah Qaseh merona merah. Menahan malu. “ Apa kena-mengena Ashwad dalam ini cerita?” tanya Qaseh. Kurang faham dengan kata-kata sahabatnya itu. “ Yelah. Dah lama aku tak jumpa kau. Lepas kau jumpa Ashwad hari tu, kau asyik sibuk dengan urusan pejabat kau saja. Mana ada masa nak jumpa aku.” Ujar Aishah. Makanan dan minuman yang mereka pesan tiba dihadapan mereka. Mereka sama-sama mengucapkan terima kasih. Aishah menghirup sedikit milo yang masih berwap itu. “ Aku dah lama tak jumpa dia. Fareez tak bagi aku jumpa Ashwad. Lagipun, aku sendiri pun dah tak nak jumpa dia. Aku ni isteri orang. Aku selalu tanamkan gelaran tu dalam fikiran aku.” Qaseh berkata. Aishah tersenyum. Senang hati dia melihat Qaseh begini. Sudah mula tersenyum. “ Kau tak makan?” “ Taklah. Aku dah breakfast kat rumah.” Kata Qaseh sambil mengacau air nescafe panasnya. “ Dengan Fareez?” tanya Aishah. Dijungkitkan kening sedikit. “ Dan Amirul sekali.” “ Hmm…Ghazi call aku.” Ujar Aishah. Qaseh mengangkat muka memandang Aishah. Aishah menyambung semula percakapannya. “ Lama jugaklah kita orang bersembang. Rupa-rupanya, selepas aku kahwin dengan Zahrien, Ghazi pergi overseas sambung belajar. Baru 3 bulan lepas dia graduate. Sekarang ni, dia bekerja kat tempat yang dia belajar tu lah. Kat mana, ya? Kalau tak silap aku, dia belajar kat Melbourne.” Aishah menyuap roti telur ke mulutnya. Qaseh masih sabar menunggu Aishah untuk berkata-kata. “ How was he?” tanya Qaseh. Walaupun dia mengenali Ghazi dalam masa yang singkat tetapi dia merasakan sudah mengenali lelaki itu sudah berpuluh tahun. Orangnya peramah dan tidak lokek dengan senyuman. Kerana senyuman itulah, Zahrien cemburukan Ghazi. Cemburu akan sikap peramah Ghazi. Segala-galanya Zahrien cemburu tentang Ghazi. “ He’s fine. He’s getting married.” “ When? With whom?” “ The end of next month. Dengan sepupu dia sendiri. Itu pun mak dia tolong rekemenkan. Kalau nak harapkan dia, sampai ke tua lah membujang. Dia slow sikit dengan perempuan.” Qaseh mengerutkan dahinya. Tidak faham dengan kata-kata Aishah. “ Apa maksud kau dengan ‘slow’?” “ Maksud aku, dia kureng sikit dengan perempuan. Bukanlah lembap. Dia tak reti nak approach perempuan. Macam aku dulu, adik dia yang tolong masukkan ‘jarum’. Macam-macam yang adik dia rekemenkan dia kat aku.” Qaseh mengangguk. Faham akan maksud Aishah itu. “ Dia ajak kau datang kenduri dia. Nanti dia hantar kad.” “ InsyaAllah, kalau tak ada aral melintang. Tapi, aku kena tanya Fareez dululah.” Aishah mengangguk. Mereka menyambung semula sarapan yang tergantung sebentar tadi. Selepas selesai bersarapan, Qaseh harus segera ke pejabat kerana dia perlu berjumpa dengan seorang pelanggan penting. Mereka sama-sama bergaduh hendak membayar bil. Akhirnya, Aishah mengalah dan membiarkan Qaseah membayar bil sarapan mereka berdua. FERNAIZZA berdiri dan mengucapkan salam kepada ketuanya itu. Qaseh hanya tersenyum dan mengangguk. Dia menuju ke arah bilik pejabat. Senyuman tidak lekang dari bibir sebaik sahaja dia mencecahkan kaki keluar dari lif sehinggalah dia masuk ke dalam pejabat. Fernaizza pelik. Dia mengerutkan dahi. Qaseh menekan interkom dan mengarahkan Fernaizza masuk ke dalam biliknya. Terkocoh-kocoh Fernaizza menuju ke bilik Qaseh. “ Ya, Cik Qaseh.” Fernaizza membawa buku catatan dan mencatit arahan yang diberikan oleh Qaseh. “ Fern, tolong ambilkan storyboard pasal Zhulianna Holdings.” Qaseh menyemak kertas-kertas dihadapannya. “ Baik, Cik Qaseh.” “ Terima kasih.” Ucap Qaseh. Fernaizza keluar dari bilik Qaseh dan menuju ke almari yang disediakan khas untuk menyimpan storyboard yang akan dikomersialkan selepas mendapat pengesahan dari pelanggan. Fernaizza masuk semula ke dalam bilik Qaseh. “ Ini storyboardnya, Cik Qaseh.” “ Terima kasih.” Qaseh menyambut storyboard yang dihulurkan kepadanya. Dia membuka kertas hitam yang menutupi storyboard itu daripada terkena habuk atau kotoran. “ Ada apa-apa lagi, Cik Qaseh?” tanya Fernaizza. “ Tak ada. Awak boleh pergi buat kerja.” “ Baiklah, Cik Qaseh.” Fernaizza keluar dari bilik Qaseh dan menuju ke tempatnya untuk menyelesaikan kerja-kerja yang tertangguh. Qaseh mengangkat gagang telefon dan mula mendail nombor Zhulianna Holdings. “ Hello….Boleh saya bercakap dengan Puan Zhulianna?” sopan Qaseh bertanya. Dia menunggu respon daripada orang di sebelah sana. “ Boleh saya tahu daripada mana panggilan ni?” tanya satu suara lembut. Seorang perempuan yang menjawab panggilannya. “ Saya daripada Fragile Advertising Company.” “ Boleh saya tahu nama Cik?” “ Saya Qaseh.” “ Sila tunggu sebentar, ya? Saya akan sambungkan Cik Qaseh kepada Puan Zhulianna.” kata operator panggilan tersebut. “ Terima kasih.” Ucap Qaseh. Tidak lupa budi bahasa yang ditanam sejak kecil lagi. Tidak lupa untuk mengucapkan terima kasih. “ Sama-sama.” operator itu menyambungkan panggilan Qaseh terus kepada ketua syarikatnya, Puan Zhulianna. “ Hello?” sahut satu suara di hujung panggilan. “ Assalamualaikum, Puan Zhu. Saya Qaseh dari Fragile Advertising Company.” Qaseh memperkenalkan dirinya. “ Waalaikumussalam. Haa….Cik Qaseh. Memang saya menantikan panggilan dari Cik Qaseh. Ada apa-apa yang boleh saya bantu, Cik Qaseh?” lemah-lembutnya Puan Zhulianna ini. Tidak seperti perempuan yang memiliki syarikat gergasi yang lain. Ada sesetengahnya menyombong tidak kena tempat. Qaseh berdehem kecil sebelum meneruskan ayatnya. “ Bila saya boleh berjumpa dengan Puan Zhu?” “ Mengapa?” “ Saya perlu berjumpa dengan Puan Zhu berkenaan dengan storyboard syarikat Puan Zhu. Saya dah siapkan. Cuma perlukan pengesahan daripada Puan Zhu saja.” Terang Qaseh. “ Pagi esok saya ada appointment. Kalau petang, boleh tak? Petang saya free.” Qaseh meneliti tarikh di dalam diarinya. Takut-takut ada temu janji lain pula. Nampaknya, tidak ada. “ Baiklah. Petang kita jumpa. Apa kata kalau kita jumpa pada pukul 3 di CafĂ© San Francisco Coffee, KLCC?” Qaseh menetapkan tempatnya. Dia rasakan tempat itulah paling sesuai hendak berbincang. “ Ok. Kita jumpa di sana.” Puan Zhulianna setuju dengan cadangan Qaseh. Qaseh tersenyum. “ Terima kasih, Puan Zhu.” “ Sama-sama.” Puan Zhulianna meletakkan telefon. Begitu juga dengan Qaseh. Qaseh mencatit di dalam diarinya tarikh pertemuannya dan Puan Zhulianna. Takut terlupa. Memang itu kebiasaannya. BERSAMBUNG...... |
Tuesday, November 25, 2008
Dari KL ke Luxembourg 26
Yang merepek merapu meraban Aishah Hamzah at 11/25/2008 12:00:00 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 tukang komen paling setia:
alaaaaaa....mana lg???? Nk sambungannya lg...pleaseeeeeeee....
Post a Comment