BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, November 20, 2008

Dari KL ke Luxembourg 15

BAB 15

QASEH mengenakan baju kurung berbunga kuning dan tanahnya berwarna coklat. Sesuai dengan warna kulit Qaseh. Dia sudah berjanji akan menghadiri kenduri cukur jambul anak Fitri Marlis. Pada mulanya Puan Sri Marlisa menelefon Qaseh tetapi dia tidak janji untuk menghadirinya. Apabila Fitri Marlis dan Fitri Shaliza turut menelefonnya dan mendesak dia datang, akhirnya dia berjanji kepada mereka berdua bahawa dia akan menghadiri kenduri tersebut. Qaseh turun ke tingkat bawah. Datuk sudah siap berpakaian. Rafidah berada di dapur juga sudah siap berpakaian. Khairudin baru sahaja melangkah turun ke tingkat bawah.
“ Alis, Midi, Tash, Leya….” Laung Khairudin. Anak-anaknya berlumba turun tangga dan mendapatkan Papa mereka.
“ Dah siap semua? Jomlah. Nanti lambat pulak.” Mereka semua menuju ke pintu rumah untuk keluar. Seperti biasa, Alis dan Midi akan menaiki kereta Qaseh. Mereka menuju ke rumah Puan Sri Marlisa. Kenduri cukur jambul diadakan di sana.
Sepatutnya di rumah baru Fitri Marlis. Dia hendak membuat sekali kenduri doa selamat masuk ke rumah baru tetapi dia terpaksa membatalkan niat tersebut. Puan Sri Marlisa tidak membenarkan Fitri Marlis membuat perancangan itu kerana Fitri Marlis sedang berpantang. Nanti bentan, kata Puan Sri Marlisa. Fitri Marlis terpaksa akur dengan kata-kata Umminya. Almaklumlah. Orang tua lebih berpengalaman daripada mereka.







TETAMU mula mengerumuni rumah Tan Sri Firdaus dan Puan Sri Marlisa. Qaseh mencelah di antara tetamu yang berada di situ. Fitri Adriana dan Fitri Amelya ternampak kehadiran Qaseh di tengah-tengah arus tetamu yang semakin ramai. Mereka menarik tangan Qaseh dan membawanya masuk ke dalam rumah. Acara dimulakan dengan Marhaban. Yang diketuai oleh Puan Sri Marlisa sendiri. Sedapnya suara Auntie Lisa, hati Qaseh berdesis. Alunan ayat-ayat suci Al-Quran bergema di seluruh ruang tamu. Qaseh duduk berteleku di sebelah Fitri Shaliza. Cuba menghayati ayat-ayat tersebut. Teringat dia sebentar pada Mama tersayang. Kalau Mama ada, kan bagus, detik hati kecil Qaseh. Puan Yasmin juga turut aktif dalam kumpulan Marhaban. Puan Yasmin yang banyak menyumbang dalam kumpulan tersebut. Daripada pakaian hinggalah peruntukan. Air matanya menitis. Segera dikesat. Tidak mahu orang lain perasan akan perasaannya yang duka. Ada sepasang mata dapat menangkap perbuatan Qaseh. Selepas itu, acara Marhaban itu sudah selesai. Fitri Marlis mendukung anaknya. Kesakitan masih dirasainya. Kesan daripada pembedahannya masih belum sembuh. Dicuba untuk bangun. Segera dihalang oleh Fitri Shaliza. Fitri Marlis masih berkeras. Puan Sri Marlisa mendekati anaknya itu.
“ Fit duduk. Biar Ummi yang angkat Shiqeen.” Puan Sri Marlisa mengambil cucunya daripada dukungan Fitri Marlis. Ahli kumpulan Marhaban tersebut beratur menunggu giliran masing-masing untuk mencukur rambut anak Fitri Marlis. Puan Sri Marlisa berjalan ke arah seorang perempuan sambil mendukung cucunya. Perempuan itu mengambil gunting dan mencukur sedikit rambut cucu Puan Sri Marlisa. Seorang demi seorang mencukur rambut anak Fitri Marlis.
“ Apa nama cucu, Puan Sri?” tanya salah seorang ahli kumpulan itu, Puan Rajnah. Kesemua mata memandang ke arah Puan Sri Marlisa.
“ Fitri Nadia Nurashiqeen.” Kata Puan Sri Marlisa sambil mengucup pipi Fitri Nadia. Fitri Marlis tersenyum. Nama Nurashiqeen itu diambil sempena nama nenek Ikhwan. Ikhwan amat menyayangi neneknya itu. Nadia pula nama sahabat baik Fitri Marlis yang menghilangkan diri sejak 6 tahun lalu kerana disahkan menghidap penyakit barah. Mungkin membawa diri. Sehingga sekarang, jejak Nadia masih tidak dapat dikesan.
“ Amboi…Panjangnya nama.” Sahut seorang lagi ahli kumpulan mereka, Puan Che Yatimah. Mereka semua tergelak. Puan Sri Marlisa mengedarkan beg-beg yang berisi bunga telur, kuih-muih, cawan dan duit kepada setiap ahli kumpulan tersebut.
“ Jemputlah makan.” Puan Sri Marlisa mengajak mereka semua menjamu selera setelah mengedarkan beg-beg tersebut. Mereka semua menuju ke arah khemah yang telah disediakan untuk tetamu menjamu selera.
Kesemua ahli keluarga Puan Sri Marlisa sibuk melayan tetmau. Qaseh juga tidak ketinggalan. Seperti dia juga sebahagian daripada keluarga tersebut.
“ Q….” kata satu suara. Qaseh seperti mengenali suara itu. Tiada siapa yang tahu namanya itu. Hanya rakan-rakannya di Luxembourg dahulu memanggilnya dengan nama Q. Singkatan untuk Qaseh. Perlahan-lahan dia memalingkan mukanya ke arah orang tersebut. Terkejut dia dengan kehadiran orang yang amat dikenalinya itu dihadapannya.
“ Adib?” tanya Qaseh kembali. Orang dihadapannya itu menganggukkan kepalanya. Dia hampir-hampir tidak cam dengan perubahan Adib kini.
“ Wei! Dah lama tak jumpa kau. Makin cantik pulak aku tengok.” Puji Adib. Qaseh berasa segan.
Adib adalah kawan sekursus dengannya semasa di Luxembourg. Tetapi Adib lebih tua daripadanya. Adib pernah cuba memikat Qaseh tetapi Qaseh kata mereka lebih sesuai menjadi seorang kawan. Semenjak daripada itu, mereka berkawan sehingga kini. Cuma semenjak Qaseh pulang ke Malaysia, mereka sudah jarang bertanyakan khabar. Sehingga mereka terputus hubungan. Baru hari ini mereka berjumpa kembali.
“ Kau buat apa kat sini?” tanya Qaseh.
“ Main hoki.” Gurau Adib.
“ Kau ni main-mainlah. Aku cakap betul-betul ni.”
“ Aku anak saudara tuan rumah ni. Kau kenal Tan Sri Firdaus? Aku anak adik Tan Sri Firdaus lah.” terang Adib. Barulah Qaseh faham. Bermakna Adib sepupu Fareez? Fareez mendekati mereka berdua.
“ Dib…” panggil Fareez. Adib bersalaman dan berpelukan dengan Fareez. Masing-masing tersenyum.
“ Lama tak jumpa kau. Baru hari ni kau datang.” Ujar Fareez sambil matanya memandang wajah disebelah.
“ Kau kenal Qaseh?” tanya Fareez apabila Adib memandang Qaseh dan tersenyum kepadanya.
“ Taklah. Aku ternampak gadis cantik tadi. Ni yang aku nak berkenalan dengan dia.” Qaseh tertunduk malu dengan ayat yang dituturkan oleh Adib.
“ Ada-ada jelah Adib ni.” Ujar Qaseh. Dia segera meninggalkan mereka berdua di situ. Adib tergelak besar. Fareez seperti orang bingung. Tidak faham dengan situasi yang berlaku dihadapannya.
“ Aku gurau je tadi. Aku kenal dengan Qaseh masa kat Luxembourg dulu. Akulah yang introduce Qaseh bekerja dengan Kak Rina.” Kata Adib. Mereka berdua berjalan menuju ke arah khemah yang telah disediakan di dalam perkarangan rumah banglo itu. Adib bersalaman dengan setiap ahli keluarga Tan Sri Firdaus dan Puan Sri Marlisa. Sempat dia mendukung Fitri Nadia. Adib nampak tidak kekok dengan bayi walaupun dia belum berumahtangga. Qaseh masih berdiri dihadapan khemah dan menjemput tetamu-tetamu yang baru sahaja tiba untuk makan. Adib sedang mengacah Fitri Nadia. Sesekali matanya memandang wajah Qaseh. Masih seperti dulu. Kesedihan tetap bertamu dihatinya.
Adib pernah cuba mengorek rahsia hatinya tetapi Qaseh berdiam sahaja. Apabila Adib bertanya, hanya senyuman sebagai jawapan kepada persoalan Adib. Qaseh tidak akan menceritakan kesedihan yang ditanggungnya. Wajahnya sentiasa ceria. Tidak menunjukkan riak-riak kesedihan. Adib kadangkala tidak faham dengan Qaseh. Fareez perasan akan perbuatan Adib tetapi dia buat tidak tahu sahaja. Dia tidak mahu mengambil tahu akan kisah silam mereka. Buat apa? Dia pun bukannya ada kaitan dengan hidup Qaseh. Tetapi riak wajah Qaseh tidak pernah menunjukkan kesedihan dihatinya. Setiap kali Fareez melihat wajah itu, hanya lirikan mata yang redup diiringi dengan senyuman manis sehingga menampakkan lesung pipitnya. Akan tetapi, bila tiba masa untuk dia meluahkan segala kesedihannya dengan menitiskan air mata, Fareez turut merasakan kesedihan Qaseh dapat dihilangkan dengan keadaan sebegitu.





BUNYI deringan jam loceng mengejutkan Fareez dari lenanya. Dia menekan punat dan menutup kembali jam locengnya. Sebentar kemudian, ketukan di pintunya bertalu-talu. Dengan malas, dia bangun dari katilnya dan menuju ke arah pintu. Membuka selak pintu perlahan-lahan. Terjengul wajah Puan Sri Marlisa.
“ Kenapa, Ummi? Pagi-pagi buta lagi dah kejutkan Fareez ni.” Kata Fareez sambil menutup mulutnya yang terbuka luas kerana menguap. Dia menggaru-garukan kepalanya yang tidak gatal. Kacau saja orang pagi-pagi ni. Nak rehat pun tak senang, bisik hati Fareez.
“ Fareez tak nak pergi kerja?” tanya Puan Sri Marlisa. Mengerutkan dahinya. Fareez pelik. Pergi kerja apa hari-hari minggu macam ini.
“ Hari ni kan hari Ahad, Ummi.” Fareez berjalan semula ke arah katilnya dan merebahkan badan yang keletihan. Penat melayan tetamu masih bersisa. Puan Sri Marlisa melangkah masuk ke dalam bilik anaknya yang kembali ‘bujang’ itu.
“ Hari Ahad? Bukan ke hari ni hari Isnin?” Puan Sri Marlisa melihat kalendar yang berada di atas meja tulis. Betullah hari ini hari Isnin.
“ Hari Isnin apa pulak, Ummi. Kan semalam kita buat kenduri cukur jambul?” Fareez memeluk bantalnya dan menyambung kembali tidurnya yang terganggu. Nampaknya Fareez tersilap tengok haribulan.
“ Hari ni berapa haribulan?” tanya Puan Sri Marlisa sambil matanya tidak lepas menatap kalendar tersebut.
“ 21. Kenapa?”
“ 21 hari Isnin, sayang.” Kata Puan Sri Marlisa lembut. Mata Fareez yang terpejam terus terbeliak.
“ Hari Isnin?” tanya Fareez meminta kepastian.
“ Kita buat kenduri hari Ahad.”
“ Alamak! Fareez dah lewat ni.” Sempat dia mengerling sekilas ke arah jam locengnya. 8.45 pagi. Fareez terus sahaja menuju masuk ke dalam bilik air. Mandi ala kadar sahaja. Tidak perlu teruk-teruk. Sembur sahaja minyak wangi. Selesai berpakaian dan menyembur hampir setengah botol minyak wangi, Fareez turun ke tingkat bawah.
“ Fareez tak makan?” tanya Puan Sri Marlisa dari dalam dapur.
“ Taklah, Ummi. Fareez dah lambat.” Fareez menyarungkan sarung kaki dan kasut. Puan Sri Marlisa menuju ke arah anak lelaki tunggalnya.
“ Makanlah sikit.” Pujuk Puan Sri Marlisa.
“ Tak apalah, Ummi. Walid dah pergi pejabat ke, Ummi?” tanya Fareez pada Umminya apabila kereta Tan Sri Firdaus tidak kelihatan di garaj.
“ Dah. Pukul 7.00 pagi lagi Walid dah keluar ke pejabat.” Kata-kata Puan Sri Marlisa itu menimbulkan rasa bersalahnya kerana tidak bangun awal. Kadangkala, dialah yang memandu Walid ke tempat kerja. Tan Sri Firdaus hanya sesekali menggunakan keretanya. Apabila dia hendak pulang ke rumah, pemandu yang berada di pejabat akan menghantarnya pulang.
“ Fareez pergi dulu, Ummi.” Dia bersalaman dengan Puan Sri Marlisa. Fareez menuju ke arah keretanya dan mula menghidupkan enjin. Dia menderum pergi. Menuju ke destinasinya.








SETENGAH jam kemudian, dia tiba dihadapan bangunan FAF Architecture Sdn Bhd. Sampai sahaja dia meletakkan kereta di tempat letak kereta yang disediakan khas untuk pegawai-pegawai yang berjawatan besar. Termasuklah dirinya. Tergesa-gesa dia menuju ke arah pintu lif yang terbuka. Ditahan pintu lif tersebut. Fareez masuk ke dalam lif dan membetulkan baju kot yang berkedut sedikit. Pekerja-pekerja bawahannya yang berada di dalam lif yang sama dengannya, memandang Fareez dari atas hinggalah ke bawah. Fareez tidak peduli akan pandangan itu. Dia masih dengan muka selambanya.
“ Hai, Encik Fareez.” Sapa satu suara. Fareez berpaling. Ifah tersenyum menggoda ke arahnya. Fareez membalas kembali senyumannya itu dengan perasaan jengkel. Menyampah dia dengan Ifah, kaki penggoda. Boleh dikatakan semua pegawai di syarikat itu hendak digodanya. Setakat yang muda, tidak apalah lagi. Ini yang tua sudah bercucu pun dia berkehendakkan. Ifah juga mempunyai pangkat yang tinggi di FAF Architercture.
Ifah memandang Fareez dari atas ke bawah. Dia pernah cuba membuat Fareez sangkut padanya tetapi jerat tidak mengena. Fareez semakin meluat adalah. Dia hampir kehilangan jawatannya di syarikat itu. Dirayu kepada Tan Sri Firdaus dan majikanya itu memberikan Ifah satu lagi peluang tetapi bersyarat. Ifah hanya boleh duduk di biliknya sahaja. Tidak boleh buat kerja lain. Setiausahanya sahaja yang melakukan berbagai-bagai kerja untuk Ifah.
Lif tersebut berhenti di tingkat 6. Fareez keluar dari lif tersebut. Dia sempat memandang sekilas pada Ifah. Bajunya tidak pernah elok. Singkat sana, terdedah sini. Macam manalah Walidnya boleh membenarkan Ifah bekerja di syarikat mereka. Tetapi Fareez tidak menafikan bahawa Ifah memang cekap apabila timbul pasal kerja. Semua kerjanya mesti selesai tepat pada masa yang diberikan. Tidak pernah terlewat.
Fareez melintas di hadapan meja Hadirah. Setiausahanya itu mengangkat kepala dan memandang ketuanya. Fareez membuka pintu bilik pejabat dan terus menuju ke arah meja yang berselerak dengan kertas kerja. Diletaknya beg bimbit itu ke atas meja. Dibuka penutup kole air yang terletak di atas meja. Air itu masih berasap. Hadirah memang tahu kegemarannya di waktu pagi. Dihirup sedikit air kopi pekat itu. Pintu bilik pejabat Fareez diketuk.
“ Masuk.” Fareez memberi arahan. Hadirah membuka pintu perlahan-lahan dan masuk ke dalam bilik tersebut. Dia menuju ke arah meja ketuanya. Dihulurkan sampul surat yang agak besar berwarna coklat. Fareez mencapai surat tersebut. Dikerutkan dahinya.
“ Surat apa ni, Didi?” tanya Fareez.
“ Saya tak tahu, Bos.” Jawapan ringkas daripada Hadirah. Fareez membuka surat itu dengan rakus. Ingin tahu apa isi di dalamnya.
“ Bila sampai?” tanya Fareez lagi.
“ Baru sekejap tadi. Bos perlukan apa-apa lagi?” Hadirah bertanya soalan ‘harian’ yang selalu ditanya kepada ketuanya.
“ Tak ada apa-apa.” Fareez masih cuba membuka sampul surat itu.
“ Kalau macam tu, saya keluar dulu.”
“ Baiklah, terima kasih.” Setelah Hadirah pasti ketuanya itu tidak memerlukan apa-apa, Hadirah keluar dari bilik tersebut dan menuju semula ke mejanya.
Bertimbun fail-fail di atas meja. Ini mesti kerja Darina. Kerja yang tidak boleh diselesaikan atau dia merasakan kerja itu terlalu berat, dia pasti akan menyerahkan tugasan tersebut kepada Hadirah. Gadis itu yang terpaksa selalu menolongnya menyelesaikan tugasan itu. Pernah Hadirah dimarahi oleh Fareez kerana dia tidak menyiapkan kerja sebaliknya kerja Darina yang disiapkan. Kadangkala, dia naik bengang dengan sikap Darina. Tapi, hendak buat macam mana lagi. Darina sepupu dengan Hadirah. Kalau Hadirah tidak menolong Darina, pasti gadis itu akan menelefon ibunya. Dan, ibu Darina akan menelefon pula ibu Hadirah. Balik sahaja dari kerja, sudah tentu Hadirah akan kena marah. Aishah paling banyak melindunginya daripada Darina. Pantang berjumpa, Aishah pasti akan bertengkar dengan Darina. Hadirah melepaskan satu keluhan. Apa-apapun, dia mesti selesaikan kerja yang diberikan oleh Fareez sebelum pulang. Fareez sudah memberinya amaran semalam.
Di dalam bilik, Fareez sedang membaca isi kandungan surat yang diterimanya itu. Surat hak penjagaan anak. Matanya terbeliak. Shilea benar-benar mengotakan janji yang pernah dilafazkan dahulu. Fareez bersandar pada kerusi empuk. Akhirnya hari yang ingin dielakkan selama-lamanya, muncul jua. Fikiran Fareez semakin kusut. Sepanjang hari di pejabat, Fareez hanya termenung. Satu kerja yang dilakukan tidak jalan. Mesyuarat bersama pelanggan dibatalkan. Sehinggakan dia dimarah oleh Tan Sri Firdaus kerana tidak menyelesaikan kerjanya. Dia tidak peduli. Norman terpaksa menguruskan mesyuarat bersama pelanggannya. Hari itu Fareez pulang sangat lewat.
Puan Sri Marlisa yang berada di rumah risau akan keadaan anaknya yang masih belum pulang. Mundar mandir di ruang tamu.
“ Awak ni kenapa, Lisa?” tanya Tan Sri Firdaus.
“ Saya risau, Bang. Fareez tak balik-balik lagi ni.” Puan Sri Marlisa meluahkan kerisauannya.
“ Kejap lagi baliklah tu. Dahlah. Saya nak naik tidur. Esok saya banyak kerja.” Tan Sri Firdaus bangun dan mendaki anak-anak tangga tersebut untuk menuju ke biliknya yang terletak di tingkat atas. Puan Sri Marlisa menjenguk ke luar. Manalah tahu anak lelakinya itu pulang. Kemudian, dia pun mengambil keputusan untuk naik tidur.
Fareez tiba di perkarangan rumahnya. Dimatikan enjin. Lama dia duduk di dalam keretanya. Seketika kemudian, dia keluar dari kereta dan masuk ke dalam rumah. Lampu rumah itu sudah terpadam. Fareez pasti penghuninya sudah tidur. Dia jalan berjengket-jengket menuju ke tangga untuk naik ke biliknya. Fareez merebahkan diri ke atas katil. Memandang kipas yang berputar perlahan. Entah macam mana dia terlelap.






PAGI esoknya Fareez dikejutkan dengan bunyi deringan jam loceng. Fareez terpisat-pisat. Dia menutup semula jam loceng tersebut. Tetapi ketukan yang betalu-talu di pintu mengejutkan dia yang kembali memejamkan mata kerana mengantuknya masih bersisa. Fareez membuka pintu bilik. Terjengul wajah Ummi kesayangan.
“ Fareez, lekas bangun. Nanti lewat macam semalam.” Kata Puan Sri Marlisa. Fareez mengangguk perlahan. Selepas Puan Sri Marlisa beredar dari situ, dia segera masuk ke dalam bilik air untuk membersihkan diri. Sebentar kemudian, dia turun ke tingkat bawah untuk bersarapan bersama ahli keluarganya.
“ Fareez ke mana semalam? Lambat balik.” Tanya Tan Sri Firdaus semasa Fareez melabuhkan punggungnya di atas kerusi.
“ Fareez ada hal sikit.” Kata Fareez lemah. Dia seboleh-bolehnya tidak mahu mengungkit akan hal semalam. Biarlah ianya berlalu menjadi mimpi buruk. Biarlah perkara semalam tidak pernah terjadi.
“ Makanlah.” Puan Sri Marlisa menghulurkan pinggan yang berisi bihun goreng kepada Fareez. Puan Sri Marlisa dapat mengesan sesuatu daripada perubahan wajah Fareez. Lebih banyak termenung. Kalau tidak, ada sahajalah perkara yang hendak dibualnya.
“ Abang pergi dulu.” Kata Tan Sri Firdaus bangun dari tempat duduknya dan menuju ke arah ruang tamu. Dia menyarungkan kasutnya dan berjalan ke arah kereta yang tersadai di luar rumah.
“ Ummi, Fareez pergi dulu.” Kata Fareez hambar. Apa guna dia makan kalau apa yang dimakan terasa tidak dapat melalui tekaknya. Dia harus selesaikan perkara ini terlebih dahulu. Dia tidak mahu Amirul terlepas dari tangannya. Dia mesti melakukan sesuatu. Dia mahu Amirul terus kekal menjadi hak miliknya. Selama ini pun, Shilea tidak pernah ambil tahu akan kewujudan anaknya. Tetapi kenapa kini? Apakah yang bermain di fikiran perempuan itu? Dia tidak mahu Amirul tinggal dengan Shilea. Fareez tidak tahu, ajaran apakah yang akan diberikan kepada anaknya kelak nanti. Fareez tidak mahu Amirul menjadi seperti Fauzi. Kaki perempuan. Fikirannya tidak ada di situ. Dia harus pergi mencari ikhtiar.
Fareez bersalaman dengan Puan Sri Marlisa dan dia juga turut menuju ke destinasi yang sama dengan Walidnya.

BERSAMBUNG.....

0 tukang komen paling setia: