BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, November 25, 2008

Dari KL ke Luxembourg 27

BAB 27

QASEH melihat jam di tangan. Sudah hampir pukul 2.30 petang. Dia mesti cepat. Nanti terlambat. Sudahlah Kuala Lumpur itu sesak dengan orang. Qaseh mencapai beg bimbit dan menuju ke lif. Dia menjinjing fail-fail storyboard berkenaan syarikat Puan Zhulianna. Terkial-kial dia menekan butang lif untuk ke tingkat bawah. Nasib baik ada Pak Leman, pengawal keselamatan bangunan itu menolong Qaseh menekan butang lif. Selepas mengucapkan terima kasih, Qaseh terus menekan butang ‘B’ untuk ke tempat letak kereta. Dia memasukkan storyboard dan beg bimbit di kerusi belakang. Kemudian, dihidupkan enjin kereta dan menderum pergi meninggalkan bangunan tersebut.
Setengah jam kemudian, Qaseh tiba dihadapan KLCC. Dia memarkirkan keretanya jauh sedikit daripada bangunan yang tersergam indah di tengah bandaraya kota Kuala Lumpur itu. Dia tidak mahu jadi seperti dahulu. Terpaksa membayar duit parking yang mahal. Qaseh berjalan masuk ke dalam KLCC dan menuju terus ke Café San Francisco Coffee. Qaseh duduk di satu sudut. Dia mengeluarkan telefon bimbitnya dan menelefon Puan Zhulianna. Ada nada deringan.
“ Hello…Puan Zhu? Saya Qaseh. Saya ada di Café San Francisco Coffee. Boleh saya tahu puan di mana?” tanya Qaseh lemah-lembut.
“ Saya dalam perjalanan ke sana. Dalam 10 minit lagi, saya sampai.”
“ Baiklah.” Qaseh mematikan talian telefonnya.
10 minit selepas itu, Puan Zhulianna tiba di café tersebut. Qaseh berdiri dan menyalami Puan Zhulianna dengan sopan. Puan Zhulianna tersenyum manis. Qaseh membalas kembali senyuman itu.
Tiba-tiba, hati Puan Zhulianna disentap dengan satu memori. Memori lama yang cuba dihapuskannya. Senyuman itu. Seperti dia pernah lihat senyuman itu. Ah! Ingatannya sudah pudar terhadap senyuman itu. Dia memutarkan kembali memori lama. Cuba mengingati senyuman itu. Mata Puan Zhulianna terbeliak. Dia sudah teringat. Senyuman Qaseh serupa dengan seseorang.
“ Puan Zhu…Puan Zhu…” panggil Qaseh perlahan. Tidak mahu Puan Zhulianna terkejut dengan sergahannya. Puan Zhulianna tersedar dari lamunan dan memandang muka Qaseh tidak berkelip.
“ Puan Zhu…Boleh kita mulakan sekarang?” tanya Qaseh lemah lembut. Puan Zhulianna mengangguk. Qaseh mengeluarkan storyboard dan diletakkan dihadapan Puan Zhulianna. Storyboard di hadapannya diteliti. Begitu kreatif dan cekap Qaseh melakukan kerja. Puan Zhulianna berpuas hati dengan segala rekaan iklan Qaseh. Sambil mereka berbincang, Puan Zhulianna memesan makanan untuk mereka berdua. Setelah habis berbincang, mereka bersembang. Puan Zhulianna ingin mengenali diri Qaseh dengan lebih dekat. Qaseh seperti malu-malu hendak menceritakan peribadi dirinya. Sudah lama tidak ada orang yang bertanyakan hal peribadi.
“ Apa nama penuh Qaseh?” tanya Puan Zhulianna. Tiada respon daripada Qaseh. Wanita elegan itu tersenyum memandangnya.
“ Maaflah kalau saya ni menyibuk sikit. Cuma, setiap pereka iklan syarikat saya dulu, semua saya tahu tentang latar belakang mereka.” Jelas Puan Zhulianna. Qaseh tersenyum kecil.
“ Tak apa, Puan. Saya faham.”
“ Baguslah macam tu. Boleh saya tanya sekali, apa nama penuh Qaseh?” lemah lembut wanita itu bercakap. Gayanya seperti Puan Yasmin Zahirah. Mama, Qaseh rindukan senyuman Mama. Rintih hatinya.
“ Ermm…Qaseh Soraya.” Dilihatnya Puan Zhulianna terangguk-angguk.
“ Sedap nama, Qaseh.” Puji Puan Zhulianna. Tetapi rasanya seperti pernah dengar nama itu. Puan Zhulianna mengerutkan dahi sedikit.
“ Nama ayah?”
“ Mohd Nizam bin Rashid.” Kata Qaseh sambil tersenyum. Puan Zhulianna membeliakkan matanya.
“ Nama ibu?” seperti seorang pegawai polis yang sedang menyiasat penjenayah saja lagaknya. Perasaan ingin tahu Puan Zhulianna meruap-ruap.
“ Yasmin Zahirah binti Yusman Zakaria.” Tersentak Puan Zhulianna dengan jawapan Qaseh. Dia ingin tahu lebih lanjut. Dia bertanya lagi soalan.
“ Nama datuk Qaseh, Rashid bin Muiz?”
“ Ya. Puan Zhu kenal dengan atuk saya?” Puan Zhulianna tidak menjawab pertanyaan Qaseh. Fikirannya berputar-putar mengingati memori lama. Memori yang cuba disimpan di dalam lipatan sejarah.
“ Puan Zhu…” panggil Qaseh. Puan Zhulianna tersedar dari lamunan dan memandang tepat wajah Qaseh.
“ Mana ibu dan ayah Qaseh sekarang?”
“ Dia orang dah lama meninggal. Masa saya masih bersekolah. Ibu saya meninggal sebab kanser. Ayah saya pulak sebab kemalangan jalan raya.” Sebak menguasai diri Qaseh apabila dia membuka ‘buku’ lama. Tersandar Puan Zhulianna. Tidak menyangka Tuan Nizam telah tiada.
“ Maafkan saya. Saya tak tahu.”
“ Tak mengapa, Puan Zhu. Saya dah biasa orang bertanyakan tentang ibubapa saya.” Berkaca mata Qaseh memandang tepat ke arah anak mata Puan Zhulianna.
“ Jadi, siapa yang jaga Qaseh?”
“ Atuk dan mak ngah saya.”
“ Kalau tak silap saya, Pak Long Qaseh mati ditembak komunis kan sewaktu berkhidmat sebagai askar?” Puan Zhulianna bertanya.
“ Ya. Macam mana Puan Zhu tahu tentang semua ni?” Qaseh semakin pelik dengan soalan Puan Zhulianna. Perempuan dihadapannya itu seperti mengetahui latar belakang keluarganya. Lebih-lebih lagi tentang Pak Long. Tiada orang yang tahu Pak Long meninggal dunia kerana ditembak. Kecuali ahli keluarga terdekat.
“ Saya kawan lama ibu Qaseh.” Ringkas jawapan Puan Zhulianna. Qaseh tersenyum. Lega dengan jawapan Puan Zhulianna. Dia menyangkakan Puan Zhulianna mengintip dirinya. Qaseh melihat jam ditangan. Sudah hampir pukul 5.30 petang. Dia harus pulang ke pejabat.
“ Puan Zhu, saya terpaksa minta diri dulu. Ada kerja yang perlu diselesaikan.” Qaseh mengemas storyboard dan dimasukkan semula ke dalam beg bimbit.
“ Baiklah. Kita jumpa lain kali.” Puan Zhulianna turut berdiri. Qaseh menyalami Puan Zhulianna dengan sopan. Hampir menitis air mata wanita itu. Qaseh tersenyum dan beredar dari situ. Sebaik sahaja Qaseh beredar, Puan Zhulianna segera menelefon seseorang.
“ Hello?” suara seorang perempuan menjawab panggilan tersebut.
“ Zura, akak ni.” Air mata Puan Zhulianna menitis perlahan-lahan.
“ Akak…Kenapa suara akak lain macam je?” tanya Zurain, adik kepada Puan Zhulianna. Dia risau jika kakaknya itu diserang penyakit lama.
“ Akak dah jumpa dia. Akak dah jumpa dia.” Air mata kegembiraan mengalir menuruni pipi yang semakin hari semakin berkedut itu.
“ Akak dah jumpa siapa ni? Zura tak fahamlah.”
“ Akak dah jumpa Qaseh.”
“ Qaseh yang mana pulak ni, Kak?” tanya Zurain lagi.
“ Qaseh Soraya.” Jawab Puan Zhulianna.
“ Apa?!”
“ Dia semakin cantik. Akak macam tak percaya dia berdiri depan akak.” Tersedu-sedan Puan Zhulianna menahan tangis.
“ Akak bawak bertenang. Akak ada kat mana ni? Zura pergi jumpa Akak.” Risau Zurain dengan Puan Zhulianna. Dia juga ada terselit perasaan gembira untuk kakaknya itu.
“ Akak ada kat KLCC.”
“ Baiklah. Saya pergi jumpa akak kat sana.” Mereka sama-sama mematikan talian. Zhulianna segera mengelap air matanya.






QASEH tiba dihadapan bangunan pejabatnya. Qaseh memarkirkan kereta di tempat yang dikhaskan untuk Pengerusi Syarikat. Dia mengambil beg bimbit di pintu belakang kereta. Fernaizza yang baru sahaja hendak menuju ke keretanya, berhenti sebentar di kereta Qaseh.
“ Boleh saya tolong Cik Qaseh?” Qaseh memusingkan badan memandang wajah pemilik suara itu. Setiausahanya sedang tersenyum.
“ Eh, tak apalah Fern. Benda ni ringan je. Awak dah nak balik?” tanya Qaseh. Dia memang peramah dengan kesemua pekerja-pekerjanya.
“ Ya, Cik Qaseh.”
“ Hari ni tak balik dengan tunang ke?” usik Qaseh. Fernaizza baru sahaja melangsungkan majlis pertunangannya dengan pemuda yang amat dicintainya. Fernaizza tersenyum malu.
“ Takkanlah selalu nak balik dengan dia. Tapi, kita orang janji nak dinner sama.” Fernaizza menolong Qaseh menutupkan pintu kereta Qaseh.
“ Awak jagalah Isma tu baik-baik. Saya tengok dia tu boleh tahan jugak orangnya.” Nasihat Qaseh untuk Fernaizza. Mengangguk sahaja setiausaha Qaseh yang tinggi lampai persis model itu.
“ Tak apalah, Cik Qaseh. Saya balik dulu.”
“ Baiklah.” Fernaizza melambai ke arah ketuanya itu. Qaseh membalas lambaian itu. Qaseh melangkah masuk ke dalam pejabat. Dia memasuki lif dan menekan butang untuk ke tingkat 5, tempat terletak pejabatnya.
Qaseh terus menuju ke biliknya. Dia meletakkan beg bimbit ke atas meja. Dia berjalan ke arah pantri dan membancuh air kegemarannya, Kopi ‘O. Qaseh menghirup air yang masih berwap itu perlahan-lahan. Dia masuk semula ke dalam bilik pejabatnya dan menutup serta menguncikan pintu itu. Qaseh menghempaskan punggung ke atas kerusi. Badannya disandar ke belakang. Lama Qaseh memandang telefon yang terletak di atas mejanya itu. Kemudian, dia mencapai gagang telefon tersebut dan mula mendail nombor telefon rumah Rafidah.
“ Hello?” jawab satu suara garau. Qaseh kenal akan pemilik suara itu.
“ Assalamualaikum.”
“ Waalaikumussalam.” Jawab suara itu kembali.
“ Bila Ayiz balik?”
“ Oh, Akak. Baru semalam Ayiz balik.” Kata Faiz Nuramin, anak sulung Rafidah yang sedang melanjutkan pelajarannya di Luxembourg.
“ Apa khabar Midi dengan Tash? Semenjak seorang ke U.K dan seorang lagi ke Paris, langsung akak tak dengar khabar. Dia orang ada telefon ke?” tanya Qaseh. Rindu dia pada dua orang adik sepupunya itu. Tashya ke United Kingdom. Menyambung pelajaran di dalam bidang kedoktoran. Dia hendak menjadi pakar dalam bidang yang diceburinya itu. Manakala Hamidi pula ke Cordon Bleu, sekolah memasak yang terkenal di Paris. Memang sejak dahulu lagi cita-cita Hamidi adalah untuk menjadi tukang masak yang terkenal seperti Chef Wan. Mungkin juga kaya seperti Chef Wan. Siapa tahu. Hanya Yang Maha Mengetahui sahaja yang tahu.
“ Ada, Kak. Baru pagi tadi dia orang call. Akak apa khabar?”
“ Baik, Ayiz. Atuk ada tak?”
“ Ada kat bilik. Kejap ya. Ayiz pergi panggil.” Faiz meletakkan gagang telefon di sebelah telefon tersebut dan dia pergi memanggil Datuk di bilik yang terletak di tingkat bawah. Datuk sudah tua dan tidak larat hendak memanjat tangga di rumah Rafidah. Jadi, Rafidah terpaksa menempatkan ayahnya di bilik bawah.
“ Hello.” Suara Datuk bergema di cuping telinga. Qaseh tersenyum. Sudah lama tidak berjumpa dan bercakap dengan Datuk. Perasaan rindunya tiba-tiba datang menerpa.
“ Atuk, Qaseh ni.”
“ Hah! Kamu. Bila kamu nak datang rumah Mak Ngah Idah ni? Atuk rindu benar dengan kamu.” Datuk hanya dapat melepaskan perasaan rindunya melalui telefon. Tidak puas kerana tidak dapat menatap wajah cucunya itu. Qaseh tersenyum.
“ Mungkin esok Qaseh pergilah rumah Mak Ngah. Atuk, Qaseh nak tanya ni. Atuk kenal Puan Zhulianna?” tanya Qaseh tiba-tiba.
“ Zhulianna? Kenapa?” tanya Datuk kembali.
“ Dia kata dia kawan lama Mama.” Ujar Qaseh. Datuk tersentap mendengar jawapan Qaseh. Nama yang sudah lama tidak didengari. Kini muncul kembali. Datuk tidak menyangka Zhulianna akan bertemu dengan Qaseh. Bagaimanalah agaknya rupa bekas menantunya itu kini?
“ Macam mana kamu boleh kenal dia?”
“ Dia client Qaseh. Atuk kenal dia ke?”
“ Tak adalah kenal sangat.” Hati Datuk mula berasa kurang enak.
“ Ohh…tapi dia tahu nama Atuk.”
“ Memanglah dia tahu. Kan dia sendiri kata dia kawan Mama.” Datuk cuba berselindung tetapi dia tidak tahu berapa lama lagi dia boleh berkeadaan begitu. Lambat-laun Qaseh akan tahu jua.
“ Bila Qaseh jumpa Puan Zhulianna?”
“ Petang tadi. Bincang pasal storyboard iklan syarikat dia.”
“ Ohh….” Hanya itu sahaja yang mampu diucapkan oleh Datuk.
Lama mereka bersembang. Selepas Qaseh meletakkan gagang, dia mula melakukan kerja-kerjanya yang terbengkalai.





DATUK meletakkan gagang perlahan-lahan. Lama Datuk termenung di sebelah telefon. Rafidah yang sedang menghidangkan makanan di atas meja, pelik melihat Datuk yang seperti baru sahaja melihat hantu. Dia berjalan mendekati Datuk. Memegang bahu Datuk. Terkejut Datuk dengan sentuhan tersebut segera memandang muka Rafidah. Wajah Datuk pucat. Rafidah semakin cemas. Adakah ayahnya terkena serangan lagi?
“ Kenapa, Ayah? Ayah tak apa-apa ke?” tanya Rafidah, risau.
“ Tak.” Datuk melangkah perlahan-lahan ke arah sofa yang terletak di ruang tamu. Faiz sedang leka menonton televisyen. Tidak menyedari perubahan wajah datuknya.
“ Ayah, kenapa ni? Risau Idah tengok Ayah. Kita pergi hospital.” Rafidah tidak berputus asa. Dia mahu tahu sebab yang menjadikan Datuk sehingga begitu pucat.
“ Tak payahlah, Idah. Perkara yang Ayah bimbang akan terjadi hampir terbongkar.” Kata-kata Datuk sukar difahami.
“ Apa maksud Ayah?”
“ Zhulianna…”
“ Kenapa dengan Zhu?”
“ Qaseh dah berjumpa dengan Zhulianna.”
“ Hah? Qaseh dah tahu pasal tu?” Datuk menggeleng. Rafidah berasa lega. Dia juga tahu perkara itu tidak boleh disimpan selama-lamanya. Satu hari nanti, akan terbongkar jua. Rafidah melabuhkan punggung di sebelah Datuk. Semenjak dari tadi lagi Datuk asyik mengeluh.
“ Ayah, kita mesti ceritakan perkara sebenar kat Qaseh.” Rafidah memusingkan badannya menghadap Datuk yang sedang menyandarkan badan ke sofa yang empuk itu.
“ Tidak, Idah. Selagi Zhu tak buka mulut, selagi itu kita jangan cerita apa-apa pada Qaseh. Kita tak tahu. Mungkin Zhu sekarang lain dari Zhu dulu. Mungkin jugak Zhu tak mahu cerita lama dibongkarkan. Mungkin dia tak mahu suami dan anak-anak barunya tahu mengenai kisah lama.” Benar kata-kata Datuk. Rafidah tersandar. Faiz masih lagi leka dengan televisyen. Harap-harap dia tidak dengar perbualan mereka berdua. Khairudin yang baru sahaja pulang dari pejabat terus menuju ke ruang tamu. Dia menyalami bapa mentuanya. Rafidah mengambil beg bimbit dan kot Khairudin. Digantung kot tersebut di tempat yang disediakan khas untuk menyidai kot.
“ Apa yang Ayah dan Idah sembangkan ni?” Khairudin duduk di sofa yang menghadap Datuk dan Rafidah.
“ Ayiz…pergi panggil Alis dan Leya.” Arah Rafidah. Segera Faiz menutup peti televisyen dan menuju ke tingkat atas untuk memanggil adik-adiknya. Rafidah melabuhkan punggung di sebelah suaminya pula.
“ Pasal Zhu, Bang. Zhu dah pernah jumpa Qaseh.”
“ Apa? Bila?”
“ Petang tadi dia orang berjumpa.” Kata Datuk.
“ Qaseh tahu?” tanya Khairudin. Rafidah hanya menggeleng. Khairudin mengalihkan pandangannya kepada Datuk. Tiada respon dari orang tua itu. Kerisauan terpamer di wajah Datuk. Kalaulah Zam masih ada, tentu Zam gembira bila dapat tahu Zhu dah jumpa Qaseh, getus hati kecil Datuk.
“ Ayah…Ayah…” panggil Rafidah lemah lembut. Datuk memandang wajah Rafidah. Ada iras wajah Tuan Nizam. Tiba-tiba timbul perasaan rindu pada anak lelaki bongsunya itu. Astaghfirullahil‘azim! Hati Datuk mengucap. Biarlah rohnya tenang dan bersemadi di samping orang-orang yang soleh. Sempat hati Datuk berdoa kepada Yang Maha Berkuasa.
Datuk membuntuti Rafidah ke meja makan. Khairudin sudah bersiap sedia di meja makan bersama anak-anaknya. Rafidah menceduk nasi dan diserahkan pinggan yang berisi nasi tersebut kepada Ayah, suami dan anak-anaknya. Leya, anak bongsu Rafidah membacakan doa makan untuk mereka semua. Makan malam itu kecoh dengan suara Faiz, Alis dan Leya bersama Khairudin yang bercerita tentang aktiviti mereka sepanjang hari. Rafidah hanya tersenyum melihat gelagat suami dan anak-anak. Datuk lebih banyak mendiamkan diri sejak menerima panggilan daripada Qaseh.
Sudah 2 hari Datuk tidak bercakap dengan sesiapa. Selepas menghabiskan makan malamnya, Datuk terus menuju ke bilik. Rafidah risau akan keadaan Datuk. Dia takut ayahnya itu selalu memikirkan perkara yang semakin lama akan terbongkar ini.
“ Idah risaulah dengan keadaan Ayah tu, Bang.” Disuarakan rasa hatinya kepada suami. Khairudin meletakkan surat khabar yang dibaca ke bawah.
“ Tak usah risaulah. Ayah tak apa-apa sebenarnya. Cuma dia risau pasal Qaseh. Dia takut Qaseh tak dapat menerima hakikat. Ayah menyalahkan dirinya sendiri.” Jelas Khairudin. Rafidah memandang anak-anak yang sedang leka menonton televisyen.
“ Bukan salah Ayah. Tapi salah Zam. Kenapa sekarang baru Zhu nak berjumpa dengan Qaseh?” Bentak Rafidah.
“ Idah. Dalam hal ni Zam tak salah, Zhu pun tak salah. Kita kena dengar dulu apa penjelasan daripada Zhu.” Khairudin memandang wajah isterinya itu. Anak-anak mereka menoleh ke arah ibubapa mereka apabila suara Rafidah sedikit meninggi tadi. Kemudian, mereka memusingkan kembali kepala mereka ke arah peti televisyen.
“ Alah, Abang tu. Mesti nak sebelahkan Zam. Ni semua salah Zam.” Rafidah menjeling. Menyampah dia apabila Khairudin menyebelahi adiknya itu. Semenjak dari dahulu lagi, Khairudin suka menyebelahi Tuan Nizam.
“ Idah…kita jangan kaitkan orang yang dah tak ada dalam hal ni. Berdosa. Idah dengar tak apa Ustaz Mahfus kata. Yang sudah tu sudahlah. Tak guna kita ungkit lagi. Sekarang ni kalau Qaseh nak tahu perkara sebenar, kita beritahu je. Zhu dah balik. Kita tak boleh selama-lamanya sembunyikan perkara sebenar. Apa-apa pun, Qaseh berhak tahu perkara sebenar.” Khairudin tidak suka kisah adik iparnya itu diungkit semula. Baginya, ia sudah berlalu.
“ Tapi, Bang…”
“ Tak ada tapi-tapi lagi. Sudah, Abang nak masuk tidur.” Khairudin mengangkat punggung dan beredar dari situ. Terkebil-kebil Rafidah memandang Khairudin. Rafidah mengeluh kuat. Nuralis duduk di sofa. Sebelah ibunya. Membaringkan kepala di atas peha ibunya. Rafidah mengusap kepala Nuralis. Memang dia manja dengan Rafidah sejak kecil lagi. Aleya pun tidak semanja itu.
“ Ayiz, Alis, Leya…pergi masuk tidur. Dah pukul berapa ni?”
“ Baik, Mama.” Faiz bangun dan menutup suis televisyen. Nuralis dan Aleya bersaing naik ke tingkat atas. Rafidah masih berada di ruang tamu. Dia risaukan Qaseh. Adakah gadis itu akan dapat menerima Zhulianna setelah dia mengetahui perkara sebenar? Adakah Qaseh akan menyalahkan mereka kerana merahsiakan perkara ini? Ataupun memarahi Zhulianna kerana tidak cuba untuk mencari Qaseh semula? Persoalan-persoalan ini telah lama mati tetapi kini ia datang kembali. Apa yang patut Rafidah lakukan? Rafidah merasakan ini juga adalah salahnya. Tidak memberitahu Qaseh berterus-terang.
Rafidah bangun dari sofa yang diduduknya dan menutup suis lampu. Perlahan-lahan dia memanjat tangga untuk ke tingkat atas. Dia tidak mahu memikirkan apa-apa lagi. Biarlah apa yang hendak terjadi, pasti akan terjadi satu hari nanti.


BERSAMBUNG.....

0 tukang komen paling setia: