BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, November 25, 2008

Dari KL ke Luxembourg 28

BAB 28

TUAN Nizam menyandarkan kepala di kerusi empuk miliknya. Kepala terasa berat dengan kerja-kerja yang bertimbun di syarikat. Tiba-tiba seorang perempuan datang dan menghempas sebuah fail dihadapannya. Tuan Nizam terkejut dan terus terjaga. Mencelikkan mata dan memandang perempuan yang tercegat itu. Dikerutkan dahi sedikit. Tuan Nizam menadang pula fail tebal dihadapannya. Dibuka dan diselak perlahan-lahan.
“ Apa semua ni?” tanya Tuan Nizam tidak mengerti.
“ Zhu nak mintak cerai.” Kata perempuan itu dan duduk bertentangan dengan Tuan Nizam. Tuan Nizam memandang isterinya itu yang anggun bergaya. Dahulu, dia tidak seperti ini. Tidak pandai bergaya. Pakaiannya hanya kain batik dan baju kurung kedah. Tiada secalit mekap di wajah yang semulajadi cantik itu. Kini, berseluar dan berbaju sendat. Mekap semakin hari semakin tebal. Entah dari siapa dia belajar semua ini, Tuan Nizam pun tidak tahu.
“ Tapi kenapa? Awak tak bahagia dengan saya?”
“ Memang Zhu tak bahagia dengan Abang.”
“ Apa yang awak nak sebenarnya? Tak cukup lagi dengan rumah banglo hadiah dari Ayah dan kereta Mercedes yang saya hadiahkan kepada awak? Apalagi yang tak cukup?” Tuan Nizam mula meninggikan suara. Matanya mencerlang memandang ke arah isterinya.
“ Zhu kahwin dengan Abang bukan sebab harta kekayaan Abang. Bukan sebab harta Ayah. Tapi sebab Zhu sayangkan Abang. Zhu cintakan Abang. Perangai Abang dah berubah. Masa kita bercinta dulu, Abang luangkan masa untuk Zhu. Sanggup tinggalkan kawan-kawan untuk meluangkan masa dengan Zhu. Lepas kita kahwin, Abang dah jarang balik rumah. Zhu tak kisah. Sebab waktu tu, Abang masih ada masa untuk Zhu. Dan, Zhu faham akan keadaan kerja Abang yang selalu sibuk. Tapi sekarang, lepas Zhu lahirkan Qaseh, Abang terus lesap. Entah kemana Abang pergi dan dengan siapa Abang berkawan, Zhu tak tahu. Asal Abang balik je, Zhu mesti bau arak. Abang pergi cari pelacur ke? Zhu dah tak boleh bagi apa yang Abang nak?” luah perasaan Zhulianna setelah sekian lama memendam rasa dengan perangai suaminya yang tidak menentu. Tuan Nizam berdiri dan hampir-hampir menghayun penampar ke muka Zhulianna. Zhulianna terkejut dengan reaksi spontan itu.
“ Diam!!! Jangan tanya tentang diri aku. Aku pergi cari rezeki untuk kau dan Qaseh. Kenapa kau tak persoalkan diri kau sendiri? Kau tengok pakaian kau sekarang. Kau tak ubah seperti isteri Azhar.” Tuan Nizam duduk semula di kerusinya. Mata Zhulianna sudah berair.
“ Abang jangan samakan Zhu dengan Julia. Kami orang yang berlainan. Abang fikir kenapa Zhu berpakaian begini? Semua ni untuk Abang. Untuk menarik semula perhatian Abang. Tapi, Zhu dah tak tahan dengan perangai Abang. Hari-hari Zhu kena marah. Kalau Abang mabuk, tangan Abang mesti hinggap pada badan Zhu. Bila Abang memerlukan sesuatu, Abang datang pada Zhu. Merayu pada Zhu. Bila Abang tak ada apa-apa urusan dengan Zhu, Abang tolak Zhu ketepi. Zhu bukan barang mainan, Bang. Zhu isteri Abang. Isteri yang sah Abang kahwini. Zhu nak hentikan benda ni semua sekarang. Zhu sanggup berpisah dengan Abang. Abang lepaskanlah Zhu. Tolonglah, Bang.” Teresak-esak Zhulianna menahan tangisnya. Air mata sudah turun berjuraian. Tuan Nizam melepaskan keluhan dengan kasar.
“ Baiklah. Kalau itu yang kau nak, itu yang aku akan bagi.” Tuan Nizam segera menandatangani surat perceraian tersebut. Kemudian, dilempar fail tersebut ke muka Zhulianna. Perlahan-lahan Zhulianna mengutip semula kertas-kertas yang berterabur.
“ Terima kasih, Bang. Dengan layanan yang Zhu terima selama Zhu jadi isteri Abang, takkan Zhu lupakan. Terima kasih sebab Abang beri peluang kepada Zhu untuk merasakan kehidupan sebagai seorang isteri dan ibu. Terima kasih banyak-banyak, Bang. Halalkan makan minum Zhu selama Zhu jadi isteri Abang.” Zhulianna berkata-kata. Dia menuju ke arah Tuan Nizam untuk menyalami bekas suaminya itu buat kali terakhir. Tuan Nizam menolak tangan halus itu dengan kasar. Tidak tertahan lagi air mata Zhulianna. Jatuh berjuraian air mata itu. Dia menuju ke pintu untuk keluar.
“ Aku dah lepaskan kau seperti mana yang kau nak. Tapi dengan satu syarat.” Zhulianna berpaling semula apabila Tuan Nizam berkata sesuatu.
“ Kau jangan nak berangan bawak Qaseh sekali.” kata Tuan Nizam sambil mengangkat gagang telefon dan mula mendail.
“ Abang, Qaseh anak Zhu. Zhu tak boleh hidup tanpa dia. Benarkanlah Zhu bawak Qaseh sekali.” Rayu Zhulianna tetapi rayuan tersebut tidak diendahkan oleh Tuan Nizam. Zhulianna hanya berdiri tercegat di pintu bilik Tuan Nizam. Selepas habis bercakap dengan seseorang, Tuan Nizam memandang ke arah Zhulianna. Mata Zhulianna semakin merah. Kenapa sanggup Tuan Nizam memisahkan ibu dan anak itu?
“ Kau yang minta perceraian ini. Itu syaratnya. Kau nak aku bawak hal ni ke mahkamah? Aku akan pastikan kau takkan menang. Bila aku balik rumah je, aku dah tak nak tengok muka kau dan jangan sekali-kali kau jejakkan kaki kau ke rumah tu lagi. Faham?! Dan satu lagi, jangan sekali-kali kau muncul dihadapan Qaseh. Buat selama-lamanya.” lemah kaki Zhulianna apabila Tuan Nizam menetapkan syarat yang dirasakan teramat berat untuk dia ikut. Lemah longlai dia keluar dari bilik yang berhawa dingin itu. Dunianya terasa gelap. Tanpa Qaseh, dia tidak ada apa-apa harta dalam hidupnya lagi.
Kereta Zhulianna berhenti dihadapan rumah banglo yang tertulis Villa Sayang. Nama pemilik banglo tersebut ditulis di sebelah nama banglo itu. Zhulianna cuba membuka pintu pagar tersebut tetapi nampaknya pintu pagar itu sudah dikunci dari dalam. Dibunyi loceng. Tiada siapa yang menjawab. Kemana Mak Rani? Orang gaji yang menjaga rumah ini. Zhulianna melaungkan nama Pak Satar. Tukang kebun yang selalu menjaga dan membersihkan taman bunga di sekeliling banglo tersebut. Kemana agaknya suami isteri ini? Mereka secara tiba-tiba sahaja menghilang. Zhulianna memandang di sekeliling rumah. Tiba-tiba matanya ternampak beg pakaiannya yang sudah siap berbungkus elok di letakkan di luar pintu pagar tersebut. Air matanya semakin laju. Dijerit pula memanggil nama Qaseh. Sanggup Tuan Nizam melakukan sebegini kepadanya.
Di dalam rumah, Mak Rani menekup mulutnya dan Pak Satar memeluk Qaseh daripada menangis. Air mata Mak Rani sudah bercucuran jatuh. Kesian dia pada Puan Mudanya itu. Sanggup Tuan Nizam melakukan begitu kepada Zhulianna. Nasib baik Qaseh nyenyak tidur. Jadi, Zhulianna tidak dapat mendengar suara Qaseh menangis. Selepas setengah jam Zhulianna berdiri di hadapan pintu pagar, dia pun beredar dari situ. Mak Rani terduduk di sofa. Pak Satar meletakkan Qaseh semula di atas buaian bayi.
“ Kesian saya tengok Puan Zhu, Bang. Meraung depan pintu pagar. Kenapa Tuan Zam buat macam ni pada Puan Zhu? Apa salah Puan Zhu?” tanya Mak Rani. Pak Satar melabuhkan punggung di atas sofa sebelah Mak Rani. Pak Satar membuka songkoknya dan sangkut di lutut. Mak Rani mengeluh. Pak Satar menggaru-garu kepala yang tidak gatal.
“ Entahlah. Saya pun tak tahu. Balik Tuan Zam nanti, jangan pulak awak pandai-pandai tanya pada dia. Karang tak pasal-pasal kita pulak yang kena.” Nasihat Pak Satar pada Mak Rani. Dia tahu isterinya itu seorang yang mengambil berat. Ditakutnya nanti soalan yang tidak sepatutnya ditanya, akan ditanya. Akan bawa masalah kepada mereka berdua pula nanti.
“ Saya tahulah, Bang.” Mak Rani segera bangun dan menghayunkan langkahnya menuju ke dapur. Dia harus menyediakan makan malam. Pak Satar pula keluar ke kebun bunga dihadapan banglo itu. Dikeluarkan bunga itu dari pasu dan ditanam di laman depan. Semakin berseri rumah itu dengan hiasan pokok bunga di sekelilingnya.
Tepat jam 10 malam, Tuan Nizam pulang ke rumah. Mak Rani dan Pak Satar masih setia menunggu tuan mereka. Mak Rani mengambil beg bimbit dan kot Tuan Nizam. Pak Satar pula mengunci kesemua pintu rumah tersebut. Langkah kaki Tuan Nizam sudah menuju ke tangga.
“ Tuan…” panggil Mak Rani lemah lembut. Tuan Nizam berpaling dan menatap wajah tua itu.
“ Tuan nak makan? Saya dah sediakan makanan.”
“ Mak Rani dan Pak Satar dah makan?”
“ Belum lagi, Tuan. Kami tunggu Tuan.” Kata Pak Satar yang baru sahaja muncul dari ruang tamu.
“ Tak apalah saya dah makan. Lain kali kalau pukul 9 malam saya tak balik lagi, Pak Satar dan Mak Rani makanlah dulu.” Kata Tuan Nizam. Dua orang gajinya itu hanya mengangguk. Tuan Nizam menuju ke tingkat atas. Mak Rani menghidangkan makanan untuk suami serta untuk dirinya sendiri. Begitu berselera mereka berdua menjamu selera. Selepas selesai menjamu selera, Mak Rani mengemas meja dan Pak Satar menolong.






DUA tiga kali loceng berbunyi. Mak Rani menjenguk dari dapur. Tiada sesiapakah hendak menolongnya membukakan pintu untuk tetamu yang datang itu? Loceng itu berbunyi sekali lagi. Mak Rani melaungkan nama Pak Satar. Tiada sahutan. Ke mana pula orang tua ini? Terlupa pula dia bahawa suaminya pergi menghantar Tuan Nizam ke tempat kerja. Sekali lagi loceng itu berbunyi. Kemudian, diikuti dengan dua tiga kali lagi deringan loceng. Hati Mak Rani semakin membara. Orang nak mencuci ayam pun tak senang, getus hati tua Mak Rani. Dia membasuh tangan dan segera ke ruang tamu untuk melihat tetamu yang datang itu. Mak Rani membuka pintu pagar itu secara automatik melalui suis yang ditekannya dari dalam rumah. Terkocoh-kocoh Mak Rani membuka pintu rumah.
“ Maafkan saya, Tuan Rashid. Saya tak tahu Tuan datang.” Kata wanita tua itu. Datuk tersenyum memandang Mak Rani.
“ Tak mengapa, Rani. Saya sebenarnya nak buat kejutan untuk anak menantu dan cucu saya. Mana yang lain? Mana Satar?” tanya Datuk. Matanya melilau ke sekeliling rumah. Mencari penghuni rumah itu.
“ Abang Satar pergi hantar Tuan Nizam ke tempat kerja, Tuan. Kejap lagi dia baliklah.” Kata Mak Rani. Dia berkira-kira hendak beredar dari situ apabila Datuk melabuhkan punggung ke atas sofa yang berdekatan. Tetapi kemudian, ditoleh semula ke arah Datuk apabila Datuk bertanyakan sesuatu.
“ Mana Qaseh?”
“ Dia ada kat atas. Sedang tidur.” Mak Rani tersenyum kepada Datuk.
“ Dari tadi saya tak nampak Zhu. Kemana dia? Selalunya kalau saya sampai, awal-awal lagi dia dah jumpa saya.” Kata-kata Datuk itu membuatkan Mak Rani tersentak. Datuk masih tidak tahu lagikah mengenai perceraian Tuan Nizam dan Zhulianna? Mak Rani hanya berdiri tercegat.
“ Rani…” panggil Datuk. Mak Rani tersedar dan dengan pantas mengelap air mata yang bertakung.
“ Saya, Tuan.” Jawab Mak Rani segera.
“ Saya tanya ni. Kemana….”
“ Tuan nak minum apa-apa ke? Saya buatkan.” Mak Rani memintas kata-kata Datuk. Datuk berfikir sebentar.
“ Boleh jugak. Buatkan saya Teh Tarik special. Dah lama tak rasa Teh Tarik Rani.” Ujar Datuk, tersenyum kecil. Mak Rani segera menuju ke dapur. Kepakaran Mak Rani membuat air adalah Teh Tarik. 10 minit kemudian, Mak Rani datang ke ruang tamu dengan menatang dulang. Diletakkan cawan dan pinggan yang berisi goreng pisang ke atas meja. Datuk sedang leka menonton televisyen.
“ Minumlah, Tuan.” Pelawa Mak Rani. Dia menatang semula dulang dan membawanya ke dapur. Tidak lama kemudian, kedengaran enjin di halaman rumah. Datuk menjenguk ke luar. Kereta Tuan Nizam. Pak Satar keluar dari perut kereta tersebut dan membuka pintu rumah. Dimasukkan barang-barang keperluan yang baru sahaja dibelinya di pasar tadi untuk Mak Rani memasak makan malam. Pak Satar meletakkan kunci kereta kedalam almari kaca.
“ Rani…Ooo…Rani…” laung Pak Satar dari ruang tamu. Masih tidak sedar dengan kehadiran Datuk. Mak Rani tergesa-gesa keluar dari dapur. Pak Satar menyerahkan bungkusan yang berisi sayur-sayuran. Mak Rani memberi isyarat mata kepada Pak Satar. Pak Satar mengerutkan dahi.
“ Kenapa dengan awak ni, Rani?”
“ Tuan Rashid.” Bisik Mak Rani perlahan. Orang tua itu memusingkan kepalanya memandang ke arah ruang tamu yang luas. Matanya tertancap pada seorang orang tua yang memakai baju panas di dalam dan kot di sebelah luar. Tersenyum sahaja Datuk ke arah Pak Satar.
“ Assalamualaikum, Tuan. Maafkan saya. Saya tak nampak Tuan.” Pak Satar segera menyalami Datuk.
“ Tak mengapa, Satar. Saya pun tengah seronok tengok tv ni, hah!” kata Datuk. Tersenyum sambil menyambut huluran tangan Pak Satar. Inilah satu-satunya pasangan orang gaji yang bertahan dengannya. Mereka berdua berkhidmat dengan keluarga itu semenjak Tuan Nizam masih kecil lagi.
“ Mana Zhu? Dari tadi, saya tak nampak dia.” Pertanyaan Datuk dirasakan amat berat sekali untuk dia menjawab. Pak Satar mendiamkan diri. Begitu juga dengan Mak Rani.
“ Kenapa kamu berdua ni? Bila saya tanya pasal Zhu, kamu berdua diam. Ada apa-apa yang berlaku ke?” Datuk inginkan kepastian. Inginkan jawapan. Tetapi mereka berdua tetap sama. Diam adalah jalan yang terbaik untuk melepaskan diri. Mak Rani tidak mahu menjawab soalan itu. Pak Satar pula tidak tahu bagaimana jawapan yang hendak disampaikan.
“ Saya rasa lebih baik Tuan Rashid tanya sendiri pada Tuan Zam. Biar Tuan Zam yang jelaskan kepada Tuan. Kami tak ada jawapan untuk soalan Tuan. Maafkan kami, Tuan.” Takut-takut Pak Satar memandang muka Datuk. Datuk mengangguk dan berdehem. Kedengaran suara bayi menangis. Mak Rani berlari-lari anak menuju ke tingkat atas. Sebentar kemudian, dia turun semula dengan mendukung bayi perempuan itu. Datuk berdiri dan bersedia hendak mendukung cucunya. Mak Rani meletakkan Qaseh perlahan-lahan di dalam dakapan Datuk. Sepanjang hari Datuk membelai cucunya itu. Datuk memandang Qaseh dengan leka. Dia tidak berasa letih walaupun berjam-jam dia mengagah Qaseh. Mak Rani beredar semula ke dapur. Dia harus menyiapkan makan malam kerana Datuk akan bermalam di rumah itu. Pak Satar terus sahaja menuju ke arah kebun yang ada di luar rumah. Dia mesti menjaga kebun itu sebaik yang mungkin. Ini adalah tempat kegemaran Puan Zhulianna untuk mencari ketenangan selepas bertengkar hebat dengan Tuan Nizam.
“ Tuan, saya kena pergi ambil Tuan Zam.” Kata Pak Satar yang berdiri tercegat dihadapannya. Datuk mengangguk. Pak Satar beredar dari situ.
Satu jam kemudian, deruman enjin kereta di halaman rumah kedengaran. Pak Satar baru sahaja pulang daripada menjemput Tuan Nizam. Pak Satar mengambil beg bimbit Tuan Nizam di tempat penumpang di sebelahnya. Tuan Nizam sudah meluru masuk ke dalam rumah. Terpampang wajah keletihannya. Terkejut dia dengan kehadiran Datuk. Datuk tersenyum sambil mendukung Qaseh. Tuan Nizam mengambil alih untuk mendukung Qaseh. Tuan Nizam melabuhkan punggung ke atas sofa. Datuk memandang wajah anak yang lesu itu. Kasihan dia melihat Tuan Nizam.
Sebaik sahaja Tuan Nizam menamatkan pelajarannya di universiti, dia terpaksa mengorbankan cita-citanya untuk menjadi seorang pakar perubatan. Tuan Nizam terpaksa mengambil alih perniagaan Datuk kerana Datuk sudah tua dan tidak larat untuk menguruskan perniagaannya lagi. Dia sudah letih. Datuk hanya mahu menyerahkan perniagaan itu kepada warisnya. Datuk tidak boleh menyerahkan perniagaan tersebut kepada abang sulung Tuan Nizam, Haniff, kerana dia berkhidmat sebagai askar. Rafidah pula selepas sahaja tamat tingkatan 5, terus isteri Datuk, Ghasidah, mengahwinkan Rafidah dengan anak saudaranya, Khairudin. Hanya Tuan Nizam sahaja yang boleh diharapkan tetapi Tuan Nizam mengambil kursus yang lain daripada bidang perniagaan. Oleh kerana Tuan Nizam kasihan kepada Datuk, Tuan Nizam mengambil alih syarikat itu. Kini, syarikat itu berdiri teguh atas usaha Tuan Nizam dan berkat daripada Yang Maha Berkuasa.
“ Apa yang terjadi antara kamu dan Zhu?” tanya Datuk berterus-terang. Tidak mahu berselindung lagi. Tuan Nizam yang baru sahaja menyandarkan kepala di sofa, mengangkat semula kepalanya dan memandang Datuk. Tuan Nizam mengeluh. Dia tidak tahu bagaimana harus dikhabarkan kepada orang tua itu. Kalau Rafidah tahu, pasti dia mengamuk sakan.
“ Kamu beritahu kat Ayah. Mana tahu, mungkin Ayah boleh tolong selesaikan masalah kamu berdua.” Pujuk Datuk lagi. Tuan Nizam mengeluh.
“ Masalah kami dah tak boleh diselesaikan lagi, Ayah. Kami…kami berdua…dah bercerai.” Tuan Nizam tidak mampu berselindung lagi. Dia tidak mahu menyembunyikan perkara sebenar dari Datuk. Biar Datuk tahu.
“ Apa?! Dah berapa lama kamu tak bersama?”
“ Hampir 2 bulan.”
“ Nak dekat 2 bulan kamu tak beritahu Ayah. Hish! Apa kena dengan kamu ni? Kalau Kak Idah kamu tahu, naya kamu.” Datuk mula meninggikan suara. Qaseh yang tidak faham dengan situasi yang berlaku dihadapan matanya, terus sahaja menangis. Mak Rani segera mendukung Qaseh dan membawanya naik ke tingkat atas.
“ Saya tahu, Ayah. Saya masih sayangkan Zhu. Saya rasa bersalah sangat dengan dia.” Perasaan bersalah Tuan Nizam sering menghantui tidur malamnya. Tidak dapat dilupakan wajah Zhulianna yang merayu kepadanya hendak membawa Qaseh bersama. Wajah yang meraung kerana permintaannya ditolak mentah-mentah. Wajah yang basah kuyup. Tuan Nizam hendak mengelap air mata itu tetapi kakinya tidak jadi melangkah. Seperti ada sesuatu yang merantai kaki Tuan Nizam.
“ Baguslah kalau kamu rasa begitu. Kenapa kamu tak cari saja dia?” cadang Datuk. Tuan Nizam meraup mukanya.
“ Saya memang nak cari dia, Ayah. Nak mintak maaf dengan dia. Tapi saya tak tahu nak cari dia kat mana.” Keluh Tuan Nizam. Hampir setiap malam dia berdoa. Meminta supaya Zhulianna memaafkannya. Dia tidak sanggup berdepan dan berjumpa dengan bekas isterinya itu. Perasaan malu masih menebal di dalam diri.
“ Kenapa kamu tak cuba rumah mak bapak dia?”
“ Saya takut. Malu nak cakap dengan bekas mentua saya. Saya takut mereka dah benci saya. Ayah, tolonglah saya.” Rayu Tuan Nizam. Datuk menepuk bahu anak lelaki bongsunya itu.
“ Kamu mesti cuba cari dia kat rumah mak bapaknya. Buang rasa malu. Zam, bapak Zhu berikan sepenuh kepercayaan kepada kamu untuk menjaga Zhu. Sekarang kamu jangan persia-siakan kepercayan kedua ibubapanya. Kamu mesti katakan kepada mereka bahawa sememangnya kamu ikhlas berkahwin dengan anak mereka. Tapi, mungkin jodoh kau berdua tak panjang. Ayah yakin. Bekas besan Ayah tu taklah membenci kamu. Mungkin tidak suka dengan perbuatan yang kamu lakukan terhadap Zhu. Masa nak kahwin dengan Zhu, boleh pulak kamu datang secara baik. Bila bercerai, kamu langsung tak mahu mengambil berat tentang diri Zhu. Cuba cari Zhu. Ayah tahu. Zhu pun tidak membenci kamu.” Nasihat Datuk panjang lebar. Timbul rasa kesian di dalam diri Datuk. Hilang sudah perasaan amarah yang meluap-luap. Melihat keadaan anak lelakinya yang seperti orang tidak terurus itu.
“ Kenapa kamu berdua boleh bercerai? Apa sebabnya?” tanya Datuk. Tuan Nizam diam. Tidak berkata sepatah pun. Hatinya dipenuhi dengan perasaan bersalah.
“ Bukan salah Tuan Zam, Tuan.” Pak Satar bersuara. Mata Datuk tertuju ke arah Pak Satar. Datuk mengerutkan dahi.
“ Apa maksud kamu, Satar?”
“ Sebenarnya Tuan Zam terkena buatan orang. Perangai Tuan Zam lain daripada selalu. Suka marah-marah. Pantang Puan Zhu cakap sikit, Tuan Zam dah marah. Tapi, saya dah bawak Tuan Zam pergi berubat. Baru minggu lepas dia kembali pulih.” Jelas Pak Satar panjang lebar. Datuk membeliakkan mata. Tuan Nizam hanya menundukkan mukanya. Teringat kembali bagaimana dia melayan Zhulianna.
“ Siapa yang buat dia?”
“ Ayah ingat dengan secretary saya?”
“ Ah ha…Yang suka pakai dedah sana, dedah sini tu ke? Apa ke namanya tu?” Datuk cuba memikirkan setiausaha Tuan Nizam yang suka berpakaian menjolok mata. Siapa boleh lupakan setiausaha Tuan Nizam yang satu itu. Berpakaian seksi dan menggiurkan. Sesiapa sahaja yang terpandang, pasti akan terpikat. Tetapi mengapa dia memilih Tuan Nizam? Tidak tahukah dia bahawa Tuan Nizam sudah berkahwin? Mungkin bukan Tuan Nizam yang dikehendakkannya. Dia berkehendakkan harta Tuan Nizam. Itulah perangai sesetengah perempuan zaman sekarang. Pantang tengok lelaki yang berpoket penuh.
“ Yang itulah. Nora.”
“ Ayah tengok baik budaknya tu. Tapi tak sangka sampai macam tu sekali perangainya. Kenapa dia buat macam tu kat kamu?” Datuk bertanya. Tidak pernah disangkanya bahawa sampai begitu sekali perangai setiausaha yang Datuk anggap sangat baik itu. Walaupun Nora berpakaian terdedah tetapi dia apabila bercakap dengan orang tua, sangat hormat. Sungguh tidak sangka. Cakapnya lemah lembut. Pijak semut pun tidak mati, gayanya.
“ Dia pernah nak goda saya. Saya tak layan. Lepas tu, Zhu selalu datang ofis. Mungkin balas dendam lah tu.” Ujar Tuan Nizam. Datuk menepuk-nepuk peha Tuan Nizam. Mententeramkan jiwa anaknya yang bercelaru.
“ Dahlah tu, Zam. Benda dah berlalu.”
“ Tapi, saya harap sangat nak berjumpa dengan Zhu.”
“ Kamu pergilah cari di rumah ibubapanya. Ayah yakin, Zhu pasti ada di situ.” Datuk berkata. Memberi semangat kepada Tuan Nizam.
“ Kalaupun Zam dah jumpa Zhu, pasti Zhu tak nak kembali pada Zam. Macam mana Zam nak jaga Qaseh?” itulah persoalan yang selalu berlegar di ruang fikiran Tuan Nizam. Belum sempat Datuk berkata apa-apa, Mak Rani mencelah. Kesemua mata memandang ke arah Mak Rani.
“ Tak apa, Tuan Zam. Mak Rani dan Pak Satar akan jaga Qaseh.”
“ Sampai bila, Mak Rani? Takkan selama-lamanya Mak Rani nak kerja dengan keluarga kami?” tanya Tuan Nizam. Dia kasihankan kedua orang tua itu yang telah banyak bertungkus-lumus menjaga mereka dua beranak.
“ Selagi Mak Rani ada kudrat, selagi itulah Mak Rani akan jaga Qaseh.”
“ Mak Rani tak teringin balik kampung? Jenguk rumah kat sana?” Tuan Nizam bertanya lagi. Dia benar-benar tidak mahu menyusahkan mereka.
“ Tuan Zam…Tuan…Keluarga Tuan dah banyak berjasa dengan Pak Satar dan Mak Rani. Semenjak kami kerja dengan keluarga ini, kami dah nekad. Selagi Tuan Nizam atau Tuan tak menghalau kami, selagi itulah kami akan bekerja untuk keluarga Tuan berdua.” Pak Satar berkata. Datuk tersenyum dan mengangguk perlahan.
“ Tapi Zam tak nak menyusahkan….” Ayat Tuan Nizam tergantung.
“ Tuan Zam, tak pernah terlintas di fikiran Mak Rani yang Tuan Zam dan Qaseh menyusahkan Mak Rani. Mak Rani dah biasa.” Kata Mak Rani pula. Tuan Nizam melepaskan keluhan.
“ Baiklah, Mak Rani. Mak Rani akan jaga Qaseh sehingga Zam dapat cari pengganti Mak Rani yang baru. Lepas tu, Mak Rani bolehlah bersara.” Ujar Tuan Nizam. Mak Rani mengangguk dan Pak Satar tersenyum.
“ Bukan pengganti ibu yang baru untuk Qaseh?” usik Datuk.
“ Apalah Ayah ni. Zam tak pernah terfikir pun.” Tuan Nizam berkata. Mereka semua tergelak melihat wajah Tuan Nizam yang merona merah.
“ Ayah pergilah berehat. Ayah tentu dah penatkan?”
“ Yalah.” Datuk bangun dan menuju ke arah biliknya yang disediakan khas untuk Datuk jika Datuk datang berkunjung ke rumah itu.
Selama 2 tahun Tuan Nizam cuba menjejaki Zhulianna tetapi seakan-akan Zhulianna cuba menghilangkan jejaknya. Apabila ditanya pada Zurain, hanya jawapan yang tidak pasti diterima daripada bekas adik iparnya itu.
“ Zura, beritahulah Abang. Ke mana Kak Zhu pergi?”
“ Zura tak tahu, Bang. Kak Zhu dah lama tak telefon ke rumah.” Zurain terpaksa menyembunyikan perkara sebenar. Inipun di atas permintaan kakaknya. Zhulianna yang memaksa Zurain supaya tidak memberitahu kemana dia pergi sekiranya Tuan Nizam menelefon rumah ibubapanya.
“ Abang tahu. Semua benci Abang, kan?”
“ Kami tak bencikan Abang. Kami tahu perkara sebenar. Abang terkena buatan orang. Waktu tu Abang bukan jadi diri Abang sendiri. Mama dan Bapak tak pernah salahkan Abang. Kami semua fikir, jodoh Abang dan Kak Zhu tak panjang. Mungkin bukan sampai ke anak cucu. Abang janganlah salahkan diri Abang. Abang jaga diri baik-baik, ya?” pesan Zurain. Perasaan bersalah Tuan Nizam menyerbu lagi. Begitu sekali pemikiran keluarga mentuanya. Sanggup memaafkannya. Bukan menyalahkan dirinya.
Akhir sekali, Tuan Nizam berputus asa. Dia sudah tidak mahu mencari Zhulianna lagi. Biarlah Zhulianna menenangkan fikiran. Jika Zhulianna ingin kembali ke pangkuannya, Tuan Nizam akan menerima kehadiran Zhulianna dengan hati yang terbuka. Umur Qaseh hampir mencecah 2 tahun, Tuan Nizam berkahwin dengan Puan Yasmin. Anak saudara Datuk. Tuan Nizam hanya menyerahkan segala-galanya kepada Datuk dan Rafidah. Dia tidak mahu ambil tahu akan urusan kahwinnya. Zhulianna hilang entah ke mana. Jejaknya tidak dapat dikesan. Tuan Nizam berharap Zhulianna dapat mencari kebahagiaannya sendiri kerna Tuan Nizam sudah pun ada kebahagiaan untuk dirinya.

BERSAMBUNG.....

0 tukang komen paling setia: