BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, November 20, 2008

Dari KL ke Luxembourg 7

BAB 7

FAREEZ pulang ke pejabat semula selepas berjumpa dengan Qaseh. Dia harus menyiapkan projeknya hari itu juga. Dia meneliti semula pelan bangunan yang sudah siap direka. Tetapi Fareez seolah-olah tidak berpuas hati dengan kerjanya itu. Dia mengambil kertas khas untuk mereka bangunan. Direkanya bangunan itu semula. Esok adalah tarikh akhir untuk dia menunjukkan pelan itu kepada pelanggan sebelum dia mula membina bangunan tersebut.
Fareez menutup mulut yang terbuka luas. Menguap. Sangapnya! Hati Fareez berkata-kata. Diurut tengkuk yang keletihan. Dipatah-patahkan jari jemarinya. Sesekali diraup mukanya. Keletihan yang amat sangat begitu ketara diwajahnya. Dia melihat jam ditangan. Sudah hampir pukul 2.30 pagi. Fareez baru teringat dia belum menunaikan solat Isyak. Fareez mengambil air wuduk di dalam bilik air yang disediakan khas di dalam bilik pejabatnya dan bersolat di dalam bilik pejabat itu. Selesai bersolat Isyak, Fareez melipat sejadah dan disangkutkan ke atas sofa. Dia memasang Hi-Fi yang berada di dalam bilik pejabatnya. Dipasang siaran radio Hotfm. Lagu kegemarannya ke udara, Dealova yang dinyanyikan oleh Once. Hanya lagu ini dan lagu Sebelum Cahaya yang dinyanyikan oleh Letto, menjadi lagu melayu kegemaran Fareez. Yang selebihnya, dia lebih meminati lagu Inggeris. Dia bernyanyi kecil untuk menghilangkan tekanan yang sedang dirasai. Fikirannya melayang kepada anak tersayang. Apa khabar Mirul sekarang? Ayah rindukan Mirul. Ayah takkan bagi Mirul pada Mama. Itu janji Ayah pada Mirul, hatinya merintih. Dia menyambung kembali kerja yang terbengkalai. Fikiran Fareez masih tidak tertumpu pada kerjanya. Ingatan Fareez sentiasa melayang-melayang pada anak kecilnya, Amirul Farhan.
Dicapai gagang telefon dan mula mendail nombor telefon kakaknya di Luxembourg. Ada bunyi deringan. Ada seseorang menjawab panggilannya. Waktu di Luxembourg sekarang ialah hampir tengah hari.
“ Hello?”
“ Assalamualaikum, Kak. Fareez ni.”
“ Waalaikumussalam. Baru Akak dan Mirul teringatkan kau. Kau dah telefon.” Kakaknya, Fitri Azharina bersuara ceria. Fareez tersenyum. Tiba-tiba, dia teringat tujuan dia menelefon.
“ Mirul ada, Kak?”
“ Ada, kat sini. Tengah main. Kejap Akak panggil dia.” Fitri Azharina memanggil Amirul. Terdengar suara kanak-kanak menjerit. Tentu suara Amirul. Kedengaran suaranya begitu gembira sekali.
“ Assalamualaikum, Ayah.” Comel anak kecil itu memberi salam kepada Ayahnya. Fareez tersenyum lebar. Walaupun Amirul membesar dengan kakaknya di luar negara, Amirul masih tidak lupa akan adat orang Islam dan memberi salam kepada Ayahnya.
“ Waalaikumussalam. Mirul apa khabar? Sihat?”
“ Mirul sihat. Ayah pulak macam mana?” petah anak kecil itu berbicara.
“ Ayah sihat. Mirul ada susahkan Ibu tak?” tanya Fareez. Sekadar ingin menduga anak kecil itu.
“ Taklah. Mirul baik. Ibu sayang Mirul.” Fitri Azharina tergelak besar mendengar kata-kata anak saudaranya itu. Amirul turut tergelak. Lama Fareez dan Amirul bersembang. Fareez melihat jam ditangan. Sudah pukul 4 pagi. Lama juga dia bersembang dengan anaknya itu. Sedar tak sedar, hampir 1 jam mereka bersembang.
“ Mirul, Ayah kena letak telefon sekarang. Nanti bila Ayah senang, Ayah telefon Mirul lagi, ya.” Janji Fareez kepada anaknya. Sebak rasanya hendak meletakkan gagang telefon. Anak kecil itu faham akan keadaan Ayah yang sedang berjuang untuk memperbetulkan hidupnya sebelum mengambil dia kembali ke pangkuan.
“ Ayah janji tau?”
“ Ayah janji. Mirul panggilkan Ibu. Ayah nak cakap dengan Ibu.” Amirul menurut perintah Fareez. Dia segera memanggil Fitri Azharina. Fitri Azharina yang sedang memasak di dapur terkocoh-kocoh mendapatkan Amirul apabila namanya dilaungkan oleh anak itu.
“ Ada apa, Fareez?”
“ Hujung bulan ni saya akan pergi sana. Tapi Akak jangan beritahu Mirul. Saya nak buat surprise kat dia.” Fareez sudah lama merancang hendak pergi bercuti selama seminggu dua di Luxembourg. Pada mulanya dia ingat hendak bercuti sahaja tetapi disebabkan masalah dan tekanan yang dihadapinya, dia mengambil keputusan untuk bercuti sambil melepaskan tekanan. Tekanan daripada bekas isteri dan pembinaan bangunan yang direkanya hendak dimulakan pada bulan Jun.
Setelah dia meletakkan gagang telefon, Fareez melihat kalendar yang berada di atas meja. Melihat tarikh yang sesuai untuk dia keluar negara. Fareez meneruskan semula kerjanya sehingga pukul 5.30 pagi. Kemudian, dia mengambil keputusan untuk berehat seketika. Rekaannya hampir siap. Dia akan berjumpa dengan pelanggannya pada pukul 11 pagi. Sempatlah dia merehatkan badan. Berjumpa pelanggan, mestilah segar. Tidak boleh mengantuk dan layu sahaja. Nanti pelanggan tidak yakin dengan kredibilitinya. Fareez merebahkan dirinya ke atas sofa. Dipejamkan mata. Dia terlelap. Agak lama.
Fareez membuka kelopak mata perlahan-lahan apabila dia terdengar namanya dipanggil. Hadirah berdiri di hadapan Fareez. Dia meletakkan secawan kopi pekat kegemaran Fareez dihadapan bosnya itu.
“ Mmm… Didi. Pukul berapa sekarang ni?” dia menggosok-gosok mata yang masih kabur. Menatap wajah setiausahanya dengan mata yang kecil. Kelopaknya tidak boleh dibuka dengan luas apabila matahari menerjah masuk ke dalam bilik pejabatnya dan menyuluh mata.
“ Pukul 10.30 pagi, bos.” Mendengarkan kata-kata setiausahanya itu, Fareez melompat bangun daripada sofa yang dijadikan katil tidurnya malam tadi. Kelam-kabut Fareez. Hadirah hanya memandang perbuatan Fareez tidak berkelip. Kenapa dengan dia ni? Hati Hadirah berdetik. Fareez mengemas semua rekaannya dan dimasukkan ke dalam beg. Kemudian, dibetulkan baju yang berkedut.
“ Bos nak ke mana?” tanya Hadirah sambil mengerutkan dahi. Setahu Hadirah, sebelum masuk berjumpa dengan Fareez, Hadirah sudah membaca sekali lagi temujanji Fareez untuk hari itu yang ditulis di dalam diari. Tidak ada pula temujanji. Tetapi kenapa kelam-kabut lelaki itu?
“ Saya kan kena berjumpa dengan wakil De-Vil Motion Pictures.” Kata Fareez. Sudah lupakah Hadirah? Getus hati Fareez.
“ Lupa saya nak beritahu bos. Wakil De-Vil ada telefon tadi. Dia orang tak dapat jumpa dengan bos. Minggu depan baru dia orang ada masa lapang. Minggu ni sibuk sikit sebab nak buat apa tu….Alamak! Lupa pulak.” Hadirah menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Pelupa betullah dia ini.
“ Buat apa, Didi?”
“ Su..sun…suntingan. Haa…Apa orang putih panggil? E..edit…editing. Saya tak tahu sangat tentang broadcasting ni. Kalau pasal architecture, saya tahulah.” Fareez tergelak dengan kelakuan Hadirah. Fareez rasa terhibur mempunyai setiausahanya seperti Hadirah. Kemudian, dia melepaskan keluhan lega. Tidak ada temujanji. Bolehlah dia balik ke rumah untuk merehatkan diri.
“ Tak apalah kalau macam tu. Saya nak ambil cuti hari ni. Nak balik rehat. Petang nanti saya ada appointment tak?” Fareez memandang tepat ke arah Hadirah. Setiausahanya itu mengangguk.
“ Dengan Encik Zuki. Pukul 4.30 petang.”
“ Oklah, saya balik dulu.”






FAREEZ memarkirkan keretanya, BMW 7 series ke dalam garaj. Dia membuka pintu belakang kereta dan mengambil barang-barang seperti kot, fail dan kertas-kertas kerjanya. Dia menutup semula pintu kereta. Perlahan-lahan Fareez menapak masuk ke dalam rumah. Dia terus menuju ke tangga. Kakinya berhenti melangkah apabila namanya dilaungkan. Dia beralih semula memandang orang yang memanggil namanya.
“ Fareez? Baru balik?” tanya Ummi, Puan Sri Marlisa. Fareez memusingkan badan dan menuju ke arah Ummi. Tunduk menyalami Umminya adalah satu amalan yang tidak pernah ditinggalkan walaupun dia sudah berkahwin. Puan Sri Marlisa tersenyum. Itulah ajaran yang selalu diterapkan di dalam diri anak-anaknya.
“ Ya, Ummi.”
“ Fareez dah makan?” tanya Puan Sri Marlisa. Sikap ambil berat Puan Sri Marlisa membuatkan Fareez berat hati untuk meninggalkan Umminya di rumah keseorangan. Kalau tidak, masa ini dia sudah berada di Luxembourg. Bekerja dengan kakaknya di sana. Fitri Azharina juga membuka syarikat sendiri. Syarikat pengiklanan. Fareez ada kemahiran melukis. Dia juga berfikiran kreatif. Tidak mustahil dia bekerja dengan kakaknya itu. Dia mengambil bidang kejuruteraan ini pun kerana hendak menolong Walidnya menguruskan syarikat. Tetapi dia lebih berminat kepada pengiklanan.
“ Belum lagi. Ummi masak apa?” laju sahaja kakinya melangkah ke dapur. Aroma masakan yang begitu menusuk hidung. Dibuka tudung saji. Nasi lemak dan macaroni goreng. Fareez menarik kerusi dan duduk di meja.
“ Dah basuh tangan ke belum ni?” tanya Puan Sri Marlisa. Fareez tersengih. Dia segera bangun dan menuju ke sinki untuk membasuh tangan. Kemudian, dia duduk semula di kerusi meja makan. Puan Sri Marlisa sudah siap mencedok nasi lemak ke dalam pinggan anaknya. Diceduk sedikit sambal sotong, ikan bilis dan kacang, timun serta telur goreng. Daripada anak yang sulung sehinggalah kepada Fareez, Puan Sri Marlisa masih lagi melakukan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu. Walaupun kesemua anak-anaknya sudah berkahwin kecuali Fitri Azharina.
Anak-anak Puan Sri Marlisa kesemua perempuan kecuali anak bongsunya, lelaki. Anak sulung, Fitri Shaliza, berpindah ke Sarawak kerana mengikuti suami yang bekerja di situ. Anak keduanya, Fitri Marlis, berada di Langkawi. Dia juga mengikuti suami yang bekerja dan juga berasal dari pulau helang itu. Hanya Fitri Azharina sahaja yang berada nun jauh di sana. Begitu juga dengan cucu tersayang. Rindunya menggunung pada Amirul. Satu-satunya cucu lelaki. Yang lain semuanya perempuan. Dan yang paling dekat dengannya ialah anak bongsu yang juga merupakan satu-satunya anak lelaki, Amer Fareez. Fitri Marlis baru sahaja disahkan mengandung. Belum tahu lagi jantina anaknya. Kalau perempuan juga, memang pembawa rezeki dalam keluarga mereka. Nampaknya ramailah dia mendapat cucu menantu lelaki. Belum pun besar anak-anak itu. Sudah jauh pemikirannya. Bagaimana agaknya dengan Fitri Marlis? Anak yang seorang ini memang merisaukan Puan Sri Marlisa kerana Fitri Marlis kalau mengandung akan mendapat morning sickness yang teruk. Kadangkala, tidak boleh bangun dari katil.
Suara Fareez mematikan lamunan Puan Sri Marlisa. Dia menarik kerusi dan duduk bersebelahan dengan Fareez. Dia hanya melihat anak bongsunya itu menjamah makanan hasil buatan tangannya.
“ Ummi makan sekali dengan Fareez.” Ajak Fareez. Puan Sri Marlisa tersenyum dan menggeleng.
“ Ummi dah makan. Dengan Walid.” Tolak Puan Sri Marlisa lembut.
“ Alaa…Ummi tak sayang Fareez. Tu sebabnya Ummi tak nak makan dengan Fareez.” Dibuat-buat rajuknya. Dia memang manja dengan Umminya. Perangai itulah yang menyebabkan kakak-kakaknya berasa cemburu kerana pasti Puan Sri Marlisa akan melebihkan Fareez dalam segala hal. Anak-anak perempuan pasti akan mengadu pada suaminya. Mereka lebih manja dengan Walid mereka. Seperti kata orang-orang tua. ‘Anak emak, lelaki. Anak ayah, perempuan.’ Tetapi segala masalah yang berkaitan hal-hal perempuan akan di ceritakan kepada Puan Sri Marlisa.
“ Bukan Ummi tak sayangkan Fareez, Ummi dah kenyang makan dengan Walid tadi.” Puan Sri Marlisa memandang wajah Fareez.
“ Kalau Ummi tak nak makan, Fareez pun tak nak makan.” Ditolak pinggan nasi lemak ketepi. Puan Sri Marlisa menjadi serba salah. Dia mengeluh. Memang manja sangat anak lelakinya ini.
“ Anak Ummi ni.” Puan Sri Marlisa bangun dan mencapai pinggan yang tersidai elok di atas rak pinggan. Dibawa menuju ke arah meja makan. Puan Sri Marlisa menceduk sedikit macaroni goreng. Cukuplah untuk membuat syarat makan bersama Fareez. Fareez tersenyum girang seperti anak-anak kecil. Dia menarik semula pinggan nasi lemaknya dan menjamu selera bersama Ummi tersayang.
Sambil menjamu selera, mereka bersembang tentang hal Fareez. Sudah lama Puan Sri Marlisa tidak bersua muka dengan Fareez. Walaupun hanya 5 hari. Dia menjadi rindu hendak mendengar cerita dan celoteh anaknya itu. Macam-macam cerita yang keluar dari mulut Fareez termasuk projek yang sedang diusahakan dan juga kedatangan Shilea mengenai Amirul. Apabila timbul soal pasal Shilea mengenai Amirul, terhenti suapan Puan Sri Marlisa.
“ Dia nak tuntut Mirul, Ummi. Fareez dah buntu. Fareez tak tahu nak buat apa.” Ujar Fareez. Fikirannya benar-benar buntu. Kesian Puan Sri Marlisa melihat wajah anaknya itu. Ya Allah, janganlah Kau ambil Mirul dari hidup Fareez. Mirul hanya berhak bersama Ayahnya. Bukan bersama perempuan yang curang itu. Doa Puan Sri Marlisa di dalam hati. Hanya kepada Allah sahaja Puan Sri Marlisa meminta pertolongan.
“ Banyak-banyaklah berdoa pada Allah, Fareez. Mohon petunjuk daripadaNya. Semoga ada jalan untuk Fareez menyelesaikan masalah ini.” Puan Sri Marlisa mengurut belakang Fareez. Fareez terasa ada semangat baru yang meresap dalam dirinya. Dia yakin dengan pertolongan Allah dan doa Umminya, Amirul akan tetap berada di sisinya. Jika Shilea menganggap Fareez lemah, dia ternyata silap. Dia bukan selemah yang orang sangkakan. Dia akan berlawan dengan Shilea. Jika itu yang Shilea mahu. Dia tidak akan berputus asa. Dia akan berlawan habis-habisan.
“ Tapi Ummi… Pihak mahkamah pasti akan berikan hak penjagaan Mirul kepada hantu tu.” Dia bergurau untuk menenangkan hati yang keresahan. Fareez semakin runsing. Sekejap sahaja dia rasa tuah akan menyebelahinya. Tetapi sebentar kemudian dia rasa peluangnya semakin tipis. Entah kenapa dia berasa begitu pun, dia sendiri kurang pasti. Puan Sri Marlisa memandang Fareez.
“ Sebabnya?”
“ Banyak sebab. Pertama, Fareez ni lelaki. Kedua, Shilea dah kahwin. Dan yang terutama sekali, dia seorang ibu yang melahirkan Mirul.” Puan Sri Marlisa mengiakan kebenaran kata-kata anaknya itu. Dia juga takut akan kehilangan cucu lelakinya itu.
“ Tunggu Walid balik. Nanti kita bincang dengan Walid. Sabarlah, Fareez. Pasti ada jalan.” Pujuk Puan Sri Marlisa. Dia tahu anaknya gelisah. Dia juga gelisah tetapi dia harus berlagak tenang untuk tidak merunsingkan anaknya. Dia tidak mahu menyesakkan lagi fikiran Fareez.











“ UMMI….Ummi…” laung Fareez. Tergesa-gesa Puan Sri Marlisa mendapatkan anaknya.
“ Kenapa ni?”
“ Fareez nak keluar jumpa client. Nanti malam Fareez balik.” Kata Fareez. Puan Sri Marlisa terangguk-angguk mendengar kata-kata anaknya itu. Fareez tunduk menyalami Puan Sri Marlisa.
“ Balik cepat sikit. Boleh kita bincang masalah ni dengan Walid.” Kata-kata Puan Sri Marlisa disambut oleh anggukan Fareez.
Fareez menghidupkan enjin kereta dan menderum pergi meninggalkan perkarangan rumah banglo tersebut. Puan Sri Marlisa masuk semula ke dalam. Belum pun sempat Puan Sri Marlisa menutup pintu rumah, terdengar deruman enjin kereta. Patah balikkah si Fareez? Detik hati Puan Sri Marlisa. Dia membuka semula pintu. Kereta Tan Sri Firdaus yang memasuki perkarangan rumah. Puan Sri Marlisa mengerutkan dahi. Tan Sri Firdaus masuk ke dalam rumah selepas memarkirkan kereta di garaj. Tan Sri Firdaus membawa turun beg bimbitnya dari kereta.
“ Awal Abang balik hari ni?”
“ Hmm… tak ada kerja. Abang baliklah. Lagipun, Abang dah jumpa client sebelah pagi. Jadi, petang ni free lah sikit.” Tan Sri Firdaus menyerahkan beg bimbit kepada Puan Sri Marlisa. Isterinya menyambut beg tersebut. Tan Sri Firdaus menyandarkan badan yang keletihan di sofa di ruang tamu. Dia melepaskan satu keluhan. Terasa lega dapat pulang ke rumah.
“ Tadi Fit telefon. Wan kena transfer ke K.L.” kata Tan Sri Firdaus sambil memandang wajah isteri yang dicintai sepenuh hati.
“ Ye ke, Bang?” Puan Sri Marlisa seperti tidak percaya dengan perkhabaran yang baru sahaja didengarinya. Tan Sri Firdaus mengangguk. Dia tahu isterinya gembira mendengar berita itu.
“ Fit try call awak. Tapi dia kata tak dapat. Awak ke mana?” Puan Sri Marlisa melabuhkan punggung di sebelah suaminya. Dia memandang Tan Sri Firdaus tidak berkedip.
“ Saya ada kat rumah lah. Nak pergi mana lagi.” Pelik dengan ayat yang baru sahaja dihamburkan oleh Tan Sri Firdaus. Mata Tan Sri Firdaus melilau ke sekeliling. Tidak nampak bayangan orang yang dicari.
“ Budak bertuah tu balik tak?”
“ Budak bertuah mana pulak ni, Bang?”
“ Anak manja awak tu lah.” Puan Sri Marlisa tersenyum. Disandarkan badan ke sofa tersebut.
“ Dah balik. Tapi keluar jumpa client pulak. Kejap lagi dia baliklah.” Puan Sri Marlisa melihat Tan Sri Firdaus terangguk-angguk. Puan Sri Marlisa seperti orang termenung jauh. Memikirkan sesuatu yang berat sahaja lagaknya. Tan Sri Firdaus memandang wajah isterinya itu. Kejap-kejap mengeluh. Tan Sri Firdaus pelik. Tidak pernah isterinya bersikap begitu.
“ Kenapa dengan awak ni?” tanya Tan Sri Firdaus.
“ Pasal Fareez, Bang.”
“ Hah! Kenapa pulak?”
“ Shilea…”
“ Kejap kata pasal Fareez. Ini Shilea pulak. Awak ni mana satu yang betul?” pening kepala Tan Sri Firdaus. Puan Sri Marlisa mengeluh.
“ Shilea cuba nak menuntut Mirul daripada Fareez. Kesian saya tengok dia, Bang.” Puan Sri Marlisa memandang muka suaminya yang sedari tadi hanya mendiamkan diri.
“ Itulah dari dulu lagi saya cakap saya tak suka dengan perempuan tu. Tapi awak yang beria-ia nak kahwinkan Fareez dengan dia. Fareez pulak dah mabuk bercinta sampai dah tak nampak belang sebenar perempuan tu.” Tan Sri Firdaus memulangkan paku buah keras. Puan Sri Marlisa membisu. Dia tahu dia bersalah kerana bertindak terburu-buru. Tidak dengar nasihat suaminya. Hampir sebulan selepas Fareez bercerai, Tan Sri Firdaus berleter. Sudah dinasihatkan kepada Fareez dan Puan Sri Marlisa. Mereka tidak mahu mendengar. Inilah padahnya.
“ Yang sudah tu sudahlah, Bang. Benda pun dah jadik. Saya tahu saya salah.” Puan Sri Marlisa akhirnya mengalah dan mengaku kesalahan sendiri.
“ Tahu pulak awak benda dah jadik. Saya marah sangat tu, bukannya apa. Fareez muda lagi waktu tu. Baru umur 23 tahun. Belajar pun tak habis lagi. Tak sampai 25 dah ada anak seorang. Lepas tu, perempuan tu boleh tinggalkan dua beranak, terkontang-kanteng. Kalau tak kita pergi tengok dia orang, entah apalah jadik. Ini bukan menantu tapi anak hantu.” Tan Sri Firdaus berkata-kata. Dari dahulu lagi dia memang tidak menyukai Shilea. Sudah dinasihatkan isterinya untuk menyiasat latar belakang Shilea. Memanglah Shilea berasal dari keluarga yang kaya tetapi keluarganya terlalu sosial. Lihat sajalah ibubapa Shilea. Tidak pernah lekat di rumah. Ada sahaja aktiviti sosial di luar.
Pernah satu hari, Tan Sri Firdaus terserempak dengan Datuk Hisham berkepit dengan seorang wanita muda. Bila Tan Sri Firdaus melihat wanita tersebut betul-betul itu bukanlah isterinya, Datin Norma. Wanita itu terlalu muda. Berpakaian juga terdedah. Datuk Hisham memeluk pinggang wanita itu dan wanita itu tergelak manja di Datuk Hisham. Tan Sri Firdaus hanya menggelengkan kepala. Beristighfar dengan perbuatan Datuk Hisham. Datin Norma juga tidak ketinggalan untuk berkepit dengan lelaki yang lebih muda. Perbuatan mereka berdua sungguh menjijikkan Tan Sri Firdaus. Semenjak daripada itu, Tan Sri Firdaus tidak pernah menyukai keluarga bekas besannya.
“ Bang.” Panggilan Puan Sri Marlisa mengembalikan Tan Sri Firdaus ke dunia nyata. Dipandang ke arah isterinya.
“ Kita cakap dengan dia. Dia berangan pulak.” Puan Sri Marlisa merajuk dengan suami yang seperti tidak ambil peduli dengan apa yang dikatakan olehnya. Tan Sri Firdaus mendengus perlahan.
“ Apa dia?”
“ Awak cakap seolah-olah awak tak kesian pada Fareez.” Puan Sri Marlisa hanya memandang muka suaminya itu.
“ Saya bukan tak kesian kat Fareez. Tapi Fareez kena berdiri atas kakinya sendiri untuk mendapatkan hak penjagaan anaknya itu. Jangan harapkan kita. Dia dah umur 28. Dah matang pun pemikiran. Kahwin sorang lagi pun boleh. Kalau Fareez rasa dia tak boleh nak jaga anaknya tu, suruhlah dia bagi pada Shilea.” Tan Sri Firdaus memandang isterinya sambil memeluk tubuh. Lega kerana meluahkan perasaan tidak puas hatinya.
“ Tak ada cara lain lagi ke, Bang?”
“ Ada.”
“ Apa dia?” “ Satu je caranya. Suruh dia kahwin lagi. Dengan cara itu, Shilea tak boleh berebutkan Mirul. Sebabnya, Fareez dah kahwin baru dan selama ini dia yang menjaga Mirul. Saya pun tak nak Mirul duduk dengan maknya tu. Entah apa akan jadik pulak pada cucu saya nanti. Dahlah dia seorang je cucu lelaki. Saya pun sayangkan Mirul.” Kata-kata Tan Sri Firdaus bermain-main di benak Puan Sri Marlisa. Tidak terfikir pula dia akan cadangan ini. Dia hanya menunggu Fareez pulang sahaja daripada berjumpa dengan pelanggannya. Kemudian, dia akan usulkan cadangan ini.

BERSAMBUNG.....

0 tukang komen paling setia: