BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, November 20, 2008

Dari KL ke Luxembourg 10

BAB 10

KERTAS-kertas yang berselerak di atas meja amat merunsingkan kepala Qaseh. Dia tidak tahu apa yang hendak dibuatnya. Kepalanya bingung. Sudah 2 tahun dia bekerja dengan syarikat Encik Sulaiman. Pengalamannya pun sudah cukup. Sudah tiba masanya dia membina syarikatnya sendiri. Sebenarnya, dia sudah mempunyai pengalaman apabila pernah bekerja dengan syarikat pengiklanan semasa di Luxembourg. Tetapi dia mahu mencari pengalaman dan melihat bagaimana orang Malaysia melakukan kerja mereka. Kertas-kertas dihadapannya adalah cetakan biru kepada pengubahsuaian syarikatnya. Pintu bilik pejabatnya diketuk. Segera dia menyorok cetakan biru itu di bawah meja. Arahan masuk diberikan. Pintu dibuka. Terjengul wajah Aishah. Dia masuk dan menutup pintu itu semula.
“ Macam mana? Dah ready nak jadik bos?” hanya Aishah sahaja yang mengetahui mengenai perancangannya. Qaseh tersenyum. Kemudian dianggukkan kepalanya.
“ Dah mulakan pembinaan?” Aishah bertanya lagi. Dia begitu mengambil berat akan impian sahabatnya itu.
“ Sikit lagi nak siaplah tu.” Qaseh mengeluarkan semula cetakan birunya. Aishah meneliti cetakan biru itu walaupun dia tidak faham apa yang tercatit di situ. Qaseh hanya membeli sebuah kedai untuk dijadikan syarikatnya tetapi dia masih membuat ubahsuaian supaya sesuai dengan bentuk syarikat yang menjadi idamannya.
“ Lunch?” tanya Qaseh. Aishah memandang wajah sahabatnya itu. Tersenyum. Kemudian menggeleng.
“ Sorry. Aku dah ada date.” Ujar Aishah dengan senyuman semakin melebar. Tidak Qaseh menyangka bahawa teman lelaki Aishah sekarang adalah Zahrien.
Pada mulanya, Aishah cuba berselindung tetapi lama-kelamaan dia yang memberitahu Qaseh yang dia sedang berpacaran dengan anak majikan mereka. Zahrien sudah masuk meminang Aishah. Kemungkinan besar majlisnya akan diadakan pada hujung tahun. Tak lama lagi merasalah dia nasi minyak sahabatnya itu.
“ Hii… kau orang ni walaupun dah bertunang pun still dating lagi.” Aishah tersenyum simpul. Dia hanya memandang wajah tenang dihadapannya. Qaseh bukanlah tidak cantik tetapi kenapa sampai sekarang Aishah tidak pernah nampak kekasihnya. Dia sudah berpunya atau belum? Kadangkala persoalan inilah yang selalu bermain di fikiran Aishah.
“ Kau tu bila lagi?”
“ Aku? Tunggulah. Bila kau dah beranak lima, mungkin kot. Who knows?” Qaseh tergelak dengan kata-katanya. Dia hendak kahwin. Siapalah yang berkehendakkan dia. Dingin sahaja dengan lelaki.
“ Encik Fareez?”
“ Aku dengan Encik Fareez? Choy…” Aishah tergelak apabila wajah Qaseh merona merah. Menahan malu. Aishah tahu Qaseh ada perasaan pada Fareez. Tetapi sengaja dirahsiakan. Mana mungkin tidak ada perasaan apabila setiap hari dan setiap waktu berurusan dengan pelanggannya yang satu itu. Aishah tahu Qaseh mempunyai perasaan yang pernah dirasainya pada satu ketika dahulu. Meminati pada orang yang tidak menyukai dirinya. Qaseh juga pernah berkata tidak akan menyukai orang seperti Fareez. Dia menyembunyikan perasaannya kerana takut ditempelak oleh Aishah.
“ Eleh… Dengan aku pun nak berahsia. Aku taulah yang kau selalu keluar dengan Encik Fareez.” Aishah memasang perangkap. Berharap jeratnya akan mengena. Tetapi Qaseh seorang yang berfikiran tenang. Dia tidak mudah melatah.
“ Kau intip aku ke?” Qaseh bertanya kembali kepada Aishah. Tersipu-sipu malu sahabatnya itu. Tidak menyangka dia pula yang akan disoal.
“ Taklah. Aku ada spy.” Qaseh tergelak dengan kata-kata Aishah. Ada-ada sahaja Aishah ni, getus hatinya.
“ Aku keluar dengan Encik Fareez sebab kami bekerja. Bukannya berdating. Macam kau.” Aishah rasa tersindir dengan kata-kata Qaseh. Sengaja mukanya dimasamkan. Qaseh yang terperasan akan perubahan wajah Aishah terus tergelak besar.
“ Muka kau daripada comel macam teddy bear terus masam macam mangga kecut.” Gurau Qaseh. Aishah tersenyum kecil.
“ Kau ni. Tak boleh aku nak buat-buat marah.” Aishah menjeling sahabatnya. Encik Sulaiman melintasi bilik Qaseh dan terlihat Aishah dan Qaseh berada di dalam bilik itu. Pintu bilik pejabat Qaseh diketuk.
“ Masuk.” Muncul wajah Encik Sulaiman di sebalik pintu kayu tersebut. Seperti terkena kejutan elektrik, mereka berdua bangun dari kerusi.
“ Encik Sulaiman, tak payah lah ketuk pintu bilik saya kalau nak masuk. Ini bos pulak kena ketuk.” Kata Qaseh. Encik Sulaiman tersenyum. Dia tidak biasa jika tidak mengetuk pintu bilik seseorang pekerjanya. Itu akan menandakan dia tidak menghormati privasi pekerjanya jika tidak mengetuk terlebih dahulu.
“ Dah menjadi kebiasaan saya. Apa berdiri ni? Duduklah.” Mereka berdua tetap berdiri tegak.
“ Tak apalah, Encik Sulaiman. Kami lebih selesa berdiri.” Kata Qaseh. Aishah mengangguk. Takut untuk bertentang mata dengan bakal bapa mentuanya. Dia sendiri tidak pernah bermimpi bahawa Encik Sulaiman akan menjadi bakal mentuanya. Encik Sulaiman berjalan mendekati meja Qaseh. Dia memandang dua orang pekerjanya yang salah seorang akan menjadi menantunya tidak lama lagi.
Encik Sulaiman memang suka Zahrien bersama Aishah kerana dia dan isterinya merasakan Aishah dapat membentuk perangai Zahrien yang gemar berpeleseran dengan ramai wanita.
“ Sabtu ni, Auntie ajak Aishah datang makan kat rumah.” Kata-kata Encik Sulaiman membuatkan Aishah terkejut. Qaseh tersenyum di dalam hati melihatkan wajah Aishah yang kelat.
“ A..a..apa…apa dia?” tergagap-gagap Aishah bertanya.
“ Hmm… I assume he forgot to tell you.” Encik Sulaiman tersenyum. Aishah tertunduk malu. Qaseh hanya menahan tawanya.
“ Qaseh jemputlah datang sekali.” Ajak Encik Sulaiman. Qaseh memandang wajah majikannya.
“ Tak menyusahkan wife Encik Sulaiman ke?”
“ Taklah. Dia sendiri yang suruh jemput. Lagipun, dia nak jumpa dengan pekerja terbaik syarikat ni.” Kembang telinga Qaseh mendengar pujian sebegitu. Lama kemudian barulah dia mengangguk. Tanda persetujuan. Encik Sulaiman keluar dari bilik pejabat Qaseh. Mereka serentak duduk di kerusi. Aishah melepaskan keluhan. Qaseh memandang wajah Aishah.
“ Kenapa?” tanya Qaseh.
“ Zahrien tak beritahu kat aku pun.” Akhirnya ketawa Qaseh terhambur juga. Aishah mengerutkan dahinya.
“ Kenapa kau ketawa?”
“ Kelakarlah muka kau.” Aishah memanjangkan muncungnya. Lagi kuat ketawa yang keluar dari mulut Qaseh.
“ Kau tak perasan ke muka bodoh aku depan Encik Sulaiman? Alaa… jatuh saham aku. Kurang seribu.” Aishah seperti mengeluh. Qaseh memandang wajah Aishah tidak berkelip. Tidak faham dengan kata-kata Aishah. Qaseh mengerutkan dahi.
“ Apa yang kurang seribu?”
“ Duit hantaran.”
“ Sebab apa?”
“ Sebab aku buat muka toya.” Sekali lagi Qaseh menghamburkan ketawanya. Aishah juga turut tergelak.
Tiba-tiba telefon bimbit Aishah berdering. Dijawabnya panggilan telefon tersebut. Tersenyum-senyum. Qaseh dapat mengagak siapa yang memanggil Aishah. Dimatikan talian.
“ Oklah. Aku blah dulu.” Aishah melambai pada Qaseh. Dibalas lambaian itu. Dia mengeluh. Aishah sudah ada orang yang menjaganya tetapi dia? Menjaga diri sendiri dan Datuk yang sakit. Dia teringatkan ‘kekasih’nya. Segera dia mengangkat gagang telefon dan mendail nombor telefon ‘kekasih’nya. Ada nada deringan. Telefon diangkat.
“ Hello?” tanya satu suara.
“ Assalamualaikum, Atuk.” Ceria suara Qaseh.
“ Waalaikumussalam. Qaseh kat mana ni?”
“ Kat pejabat. Atukk… kita lunch sama nak tak?” tanya Qaseh manja. Semenjak kematian kedua ibu bapanya, hanya Datuk tempat untuknya bermanja. Hanya Datuk sahaja tempat untuk dia bergantung harap.
“ Boleh jugak. Nak jumpa kat mana?” Datuk juga ingin bertemu dengan cucunya itu. Rindunya semakin mengunung. Sudah hampir sebulan tidak bersua muka. Setiap hari Datuk meminta Rafidah menghantarnya pulang ke rumah Tuan Nizam. Datuk ingin bertemu dengan Qaseh. Walaupun sekejap. Rafidah membantah. Begitu juga Qaseh. Mereka tidak ingin Datuk berada di rumah banglo itu seorang diri. Kalau terjadi apa-apa, mereka juga yang risau. Khairudin turut menyokong kata-kata Rafidah dan anak saudaranya.
“ Qaseh datang ambil atuk lah. Atuk cuma siap dan tunggu.”
“ Yalah.” Mereka sama-sama mematikan talian telefon.
Qaseh mengemas mejanya yang berselerak. Disimpan cetakan biru itu di tempat yang selamat. Dia tidak mahu orang datang menyelongkar biliknya dan terjumpa cetakan biru itu. Dia tidak mahu rahsianya terbongkar. Qaseh mencapai tas tangan dan berlalu pergi. Rahsia biarlah ianya tetap menjadi rahsia. Apabila dia sudah bersedia, satu hari nanti akan ada juga orang yang tahu mengenai kewujudan syarikatnya.







SETENGAH jam kemudian, dia tiba di hadapan rumah Mak Ngahnya. Loceng rumah Rafidah dibunyikan. Hamidi keluar mendapatkan kakak sepupunya.
“ Akak.” Hamidi membuka pintu pagar automatik. Dia menyalami Qaseh yang berjalan masuk ke dalam perkarangan rumah.
“ Midi sihat?”
“ Sihat.”
“ Macam mana? Dah baca buku untuk SPM?” Qaseh mengambil berat akan sepupunya.
“ Akak jangan risaulah pasal Midi. Akak tolong nasihatkan sikit si Tash tu. Asyik tengok t.v je. Bukan nak baca buku.” Hamidi mengadu. Qaseh tersenyum. Dia memeluk bahu Hamidi dan berjalan masuk ke dalam rumah. Qaseh memang baik dengan anak-anak Rafidah.
“ Bukan ke Tash PMR tahun ni?”
“ Yalah tu. Tapi Mama tak marah pun kalau Tash tengok t.v. Kalau Midi, mesti dah kena sembur.” Hamidi mengadu lagi. Qaseh menggeleng-gelengkan kepalanya.
“ Mama takut Midi tak baca buku. Kan tahun ni penentu hidup Midi.” Qaseh membela Mak Ngahnya daripada dituduh oleh sepupu lelakinya itu. Qaseh memijakkan kakinya ke dalam rumah. Matanya teralih ke arah televisyen yang terpasang. Natashya sedang berbaring di hadapan televisyen yang terbuka. Ditangan gadis itu langsung tidak ada buku.
“ Akak tengoklah tu.” Muncung Hamidi menghala ke arah Natashya. Qaseh menggeleng geram. Apa nak jadi dengan budak seorang ni? Hatinya berdetik. Qaseh melepaskan keluhan perlahan.
“ Tash.” Panggil Qaseh. Natashya masih tidak dengar atau buat-buat tidak dengar, Qaseh sendiri tidak pasti.
“ Tashya…” panggil Qaseh buat kali kedua. Masih tiada respon dari gadis itu. Qaseh semakin bengang.
“ Tashya.” Kali ini lebih kuat panggilannya. Pantas Natashya bangun dari perbaringannya dan memandang wajah yang memanggil namanya.
“ Akak.” Natashya berjalan ke arah Qaseh dan tunduk menyalami kakak sepupunya. Bila masa Qaseh sampai pun, Natashya tidak menyedarinya kerana begitu asyik menonton televisyen.
“ Apasal Tash tak baca buku?”
“ Tash baru lepas baca buku, Kak. Ni saja nak lepas tension.” Kata Natashya. Takut-takut untuk memandang wajah Qaseh.
“ Akak jangan percaya cakap dia. Menipu.” Adu Hamidi. Natashya menjeling geram kepada abangnya. Tak boleh simpan rahsia langsung! Hatinya bergetus geram. Qaseh memandang Natashya dengan tajam.
“ Sibuk je dia ni.” Marah Natashya.
“ Sudah. Midi…Tash….Akak nak kamu berdua pergi naik atas baca buku.” Arah Qaseh. Mereka takut dengan Qaseh. Walaupun dilihat wajah luarannya memanglah tenang tetapi Qaseh seorang yang tegas. Kesemua anak-anak Rafidah takut dengannya. Daripada yang sulung sehinggalah yang bongsu. Rafidah begitu senang sekali apabila Qaseh datang tolong mengajar anak-anaknya mengulangkaji pelajaran.
Anak Rafidah yang sulung mengikuti jejaknya dan melanjutkan pelajaran ke Luxembourg. Kecuali anak kedua Rafidah yang melanjutkan pelajaran di Malaysia Institute of Integrative Media (MIIM) atau lebih dikenali sebagai Akademi TV3. Dia lebih berminat dengan bidang penyiaran. Hamidi di tingkatan 5 dan Natashya di tingkatan 3. Anak Rafidah yang bongsu masih bersekolah rendah tetapi sedang menghadapi ujian UPSR. Kesian Mak Ngahnya pada tahun ini. 3 orang anaknya menghadapi ujian yang besar. Yang akan menentukan hidup masing-masing.
“ Ala, Kak. Bagilah Tash tengok cerita tu sekejap.” Rayu Natashya. Qaseh memandang wajah Natashya.
“ Akak kata sekarang, maknanya sekarang.” Lembut sahaja Qaseh berkata. Natashya memandang wajah Qaseh dengan muka sepuluh sennya.
“ Kak, pleaseee…..Sekejap je.” Masih berusaha memujuk Qaseh. Qaseh mendengus. Rafidah yang baru keluar dari dapur melihat gelagat Qaseh dan anak-anaknya.
“ Nuradina Natashya Khairudin. When I said now, I mean it. Now.” Natashya tahu. Apabila Qaseh memanggil namanya penuh siap nama Papanya sekali, mesti Qaseh tidak boleh bertolak ansur. Tetapi dia masih mencuba. Dirayunya lagi. Dia fikir dia mesti dapat melembutkan hati Qaseh.
“ Bolehlah, Kak.”
“ Tashya…Tashya faham tak apa yang Akak cakap ni? Akak bukan cakap bahasa India atau Cina. Jauh sekali Spanish atau Korea.” Sengaja Qaseh melontarkan kata-kata itu. Dia tahu Natashya begitu meminati cerita dari dua buah negara itu.
“ Mama…” panggil Natashya. Cuba memancing simpati Rafidah. Qaseh memandang Rafidah yang sedang menatang mangkuk berisi tom yam. Tersenyum sahaja pada Qaseh. Biarlah budak ni sesekali rasakan kemarahan Qaseh. Kalau aku dan Papanya marah tak jalan, apatah lagi datuknya, bisik Rafidah sendirian.
“ Betul cakap Kak Qaseh kamu tu, Tash. Mama tengok dari tadi lagi kamu melingkar depan t.v. Bila masa kamu baca buku?” Bidas Rafidah. Natashya terdiam. Dia tahu Rafidah tidak akan memihak kepadanya.
“ Mama ni tak pernah nak sebelahkan orang.” Natashya terus berjalan ke tangga untuk menuju ke tingkat atas. Hamidi mengangkat ibu jarinya kepada Mamanya. Tersenyum dan menggeleng sahaja Rafidah.
“ Kamu pun pergi naik atas Midi.” Qaseh berkata. Hamidi terus menuju ke biliknya. Puas hatinya dapat membuatkan Natashya masuk ke dalam bilik. Selagi tidak kena tengking, tidak bergeraklah. Terlekat sahaja punggungnya di hadapan televisyen.
Qaseh berjalan ke arah meja makan. Masakan Mak Ngahnya menusuk ke dalam hidung. Terliur pula dia. Tetapi dia sudah berjanji dengan Datuk hendak makan tengah hari di luar.
“ Atuk dah siap. Jomlah.” Qaseh mengalihkan pandangannya ke arah Datuk. Ada kerutan di dahinya. Dipandang Datuk ke atas dan bawah. Pelik.
“ Kenapa? Tak elok Atuk pakai macam ni?”
“ Bu..bukan tak elok. Cuma….” Ayatnya tergantung di situ.
“ Kenapa Ayah pakai macam ni? Bukan ke Ayah nak keluar makan dengan Qaseh?” Rafidah pun sedikit pelik dengan Datuk.
“ Memang Ayah nak keluar makan dengan Qaseh.”
“ Dengan kain pelikat dan baju panas?” tanya Rafidah sekali lagi. Datuk tersenyum. Qaseh memandang datuknya tidak berkedip.
“ Qaseh kata nak keluar makan, kan? Jomlah.” Ajak Datuk.
“ Tapi Atuk…”
“ Ini keluar makanlah jugak. Atuk keluar dari bilik dan Qaseh keluar dari pejabat.” Qaseh faham dengan kata-kata datuknya. Mereka bertiga ketawa serentak. Qaseh melabuhkan punggungnya menghadap Rafidah.
“ Midi dengan Tashya tak turun makan sekali ke, Mak Ngah?” tanya Qaseh. Rafidah menceduk kuah Tom Yam ke dalam mangkuk. Dihulurkan kepada Datuk. Dengan pantas sekali, Datuk menghirup kuah yang masih berasap itu. Terjelir-jelir lidah Datuk. Kuah itu masih panas. Ditambah pula dengan kepedasannya di tahap maksimum.
“ Kejap-kejap lagilah baru panggil dia orang makan. Qaseh lekaslah makan. Nanti nak balik pejabat. Karang jam pulak. Dahlah pejabat kamu tu tengah-tengah area K.L.” Rafidah berkata-kata. Qaseh mengangguk. Dia menceduk nasi dari mangkuk nasi yang jernih dihadapan Datuk. Memang dia lapar. Dari pagi lagi, dia hanya sempat menjamah roti sardin goreng. Itu pun hanya dua gulung sahaja.
“ Alis tak balik makan tengahari hari ni, Mak Ngah?”
“ Tak. Dia kata kawan dia dapat tiket free pergi tengok wayang. Makan kat luar lah tu.” Rafidah turut menceduk nasi untuk dirinya. Tengah hari itu mereka menjamu selera dengan begitu berselera. Tambah-tambah ada pula masakan kegemaran Qaseh iaitu ikan bakar Pari dan air asam. Kalau air asam yang dibuat Mak Ngahnya, memang tidak ada orang boleh lawan. Kecuali Puan Yasmin. Terasa rindu pula pada air tangan Mamanya. Selepas selesai menjamu selera, Qaseh meminta diri untuk pulang ke pejabat. Dia harus pulang dengan kadar segera kerana dia harus berjumpa dengan pelanggannya di pejabat.

BERSAMBUNG......

0 tukang komen paling setia: