BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, November 21, 2008

Dari KL ke Luxembourg 24

SEBAIK sahaja Qaseh menerima panggilan daripada Zahrien, dia bergegas ke hospital. Dia memarkirkan kereta di tempat letak kereta yang dikhaskan untuk pelawat. Kakinya laju menuju ke wad bersalin. Qaseh terlihat Zahrien mundar-mandir dihadapan pintu bilik bersalin. Qaseh menuju ke arah Zahrien. Lelaki itu memandang Qaseh sekilas. Perasaan risau menyelubungi diri. Dia tidak tahu bagaimana keadaan isteri yang tengah sarat itu.
“ Macam mana? Dah bersalin ke?” tanya Qaseh. Dia juga turut berasa cemas. Zahrien hanya menggeleng. Kemudian, Zahrien duduk di bangku yang berdekatan. Qaseh turut mengikuti Zahrien dan duduk di bangku yang disediakan di luar bilik pembedahan.
“ Caesarean?” tanya Qaseh lagi.
“ Tak tahu.” Ringkas jawapan Zahrien. Gelisah hatinya hanya Tuhan sahaja yang tahu. Kemudian, Zahrien memandang Qaseh.
“ Harap-harap tak.” Kata Zahrien.
“ I hope so.” Ujar Qaseh pula.
Qaseh menyandarkan badan. Dipandang wajah Zahrien. Agaknya beginilah wajah Fareez apabila dia bersalin nanti. Qaseh mengeluh. Adakah hari yang diimpikan akan menjadi kenyataan? Hiduplah di dalam realiti, bukan fantasi. Hatinya berkata. Fareez tidak pernah bercakap baik dengannya. Hampir 2 tahun perkahwinan mereka tetapi sekali pun Fareez tidak pernah menyentuh diri Qaseh. Apakah selama-lamanya Fareez akan bersikap begitu? Entahlah. Dia sendiri tiada jawapan yang pasti.
Pintu bilik pembedahan terbuka. Keluar seorang doktor yang memakai baju berwarna hijau. Zahrien bingkas bangun dan menuju ke arah doktor tersebut.
“ Macam mana dengan isteri saya, doktor?” tanya Zahrien cemas.
“ Isteri Encik sudah selamat bersalin.” Lega hati Zahrien dan Qaseh mendengar kata-kata doktor perempuan yang manis itu.
“ Encik bolehlah masuk berjumpa dengan isteri dan anak-anak Encik.” Doktor tersebut beredar dari situ setelah menyampaikan berita yang ditunggu-tunggu oleh Zahrien sejak pagi lagi. Zahrien tercengang. Qaseh menekup mulutnya. Terlalu gembira.
“ Ermm…Aku salah dengar ke? Doktor tu kata ‘anak-anak’.” Zahrien memandang Qaseh.
“ Tak. Kau dapat anak kembar.” Qaseh tersenyum keriangan. Zahrien meluru masuk ke dalam bilik pembedahan tersebut. Qaseh duduk kembali di bangku yang disediakan. Menunggu gilirannya untuk berjumpa dengan Aishah. Tidak boleh 2-3 pelawat dalam satu masa. Keutamaan diberikan kepada suami pesakit. Qaseh menumpang kegembiraan untuk sahabatnya itu. Entah bilalah dia akan merasa perasaan menjadi seorang ibu. Memang sekarang dia menjadi ibu tetapi dia ingin menjadi ibu kepada zuriat yang dilahirkan olehnya sendiri. Walaupun Amirul hanyalah anak tiri, Qaseh tetap menyayangi anak kecil itu seperti anak kandungnya sendiri. Qaseh begitu ingin sekali merasa perasaan mengandung dan bersalin. Adakah peluang untuk dirinya nanti? Qaseh hanya mampu berdoa di dalam hati. Berharap hari itu akan muncul jua.







AISHAH tersandar keletihan di kepala katil. Dia sudah ditukarkan ke wad. Senang untuk pelawat-pelawat datang menziarahi Aishah. Zahrien memberikan peluang kepada Qaseh dan Aishah untuk bersembang. Dia keluar pergi membeli makanan untuk isteri tersayang.
“ Parents kau tak ada kat sini. Bila dia orang balik?” tanya Qaseh. Dia tahu ibubapa Aishah pergi menunaikan haji.
“ Awal bulan depan. Aku cakap dengan Zahrien, jangan beritahu dia orang. Nanti dia orang nak balik awal. Biarlah duduk lama sikit kat sana. Bukan senang nak pergi, kan? Musim haji bukan tiap-tiap bulan.” Ujar Aishah. Dibetulkan duduknya sedikit supaya senang memandang wajah Qaseh. Badannya masih lemah. Qaseh menolong Aishah. Walaupun begitu, Aishah tetap nampak gembira.
“ Puan Widya dan Encik Sulaiman?” tanya Qaseh lagi.
“ Dia orang on the way nak balik sini.”
“ Dia orang pergi mana?”
“ London.”
“ Buat apa?” banyak pula soalan dari Qaseh.
“ Konvokesyen adik bongsu Zahrien.”
“ Ooo…Bila?”
“ Kau ni banyak tanyalah. Kelmarin dulu.” Qaseh tersenyum kecil apabila mendengar kata-kata sebegitu daripada Aishah. Perasaan gembiranya masih ada untuk Aishah. Dia tumpang gembira buat sahabatnya itu. Qaseh memandang ke sekeliling bilik. Aishah merenung wajah Qaseh. Menyedari dirinya direnung, dia membalas renungan tersebut.
“ Kenapa kau pandang aku macam tu?” tanya Qaseh.
“ Kau bila lagi?” pertanyaan dari Aishah sudah dapat diagak.
“ Aku? Kau ni pandai buat lawak tau. Kau tak payahlah tanya. Kau tanyalah pada orang yang sudah disentuh oleh suami sendiri.” Kata-kata Qaseh membuatkan Aishah terbeliak.
“ Maksud kau…Fareez belum sentuh kau?” Aishah bertanya lagi. Qaseh mengangguk perlahan. Aishah mengeluh. Apalah salah sahabatnya itu sehingga diperlakukan sebegitu oleh Fareez? Digenggam jari jemari Qaseh.
“ Ahh…Kau tak payah nak buat-buat terkejut lah. Kau pun tahu kan. Fareez tak pernah suka aku. Tak mustahil dia belum sentuh aku.” Kata-kata Qaseh menunjukkan dia seperti sudah berputus harap dengan perkahwinan ini.
“ 2 years, Qaseh. It’s been a long time.” Sela Aishah.
“ And a hard journey for me.” Sambung Qaseh.
“ Macam ni kau kata kau bahagia? Dah 2 tahun, Qaseh. Ini semua tak masuk akal langsung.” Ujar Aishah. Qaseh mengangguk sahaja. Dia tidak tahu berkata apa lagi. Tapi, yang pastinya dia semakin hari semakin menyintai Fareez. Entah kenapa dia berperasaan begitu.
“ Aku memang bahagia kerana memiliki sebuah keluarga mentua yang begitu baik dengan aku. Tapi, aku semakin sayang pada Fareez. Aku tak tahu kenapa, Cah. Aku tak tahu.” Rintih Qaseh. Hanya Aishah sahaja tempat dia mencurahkan isi hati.
“ Kau tak cuba ambil hati Fareez?”
“ Dah bermacam-macam perkara aku cuba. Aku masak, basuh pakaian, gosok baju dia. Semua tanggungjawab aku sebagai seorang isteri dah aku tunaikan. Apa lagi yang tak cukup?” air mata Qaseh bertakung. Sudah 2 tahun dia memendam rasa. Tidak diberitahu kepada sesiapapun perasaannya ini. Hanya Aishah sahaja. Tetapi sahabatnya itu juga sibuk menguruskan keluarga dan suami. Kini, sudah bertambah dua ahli lagi. Maka, tiadalah masa untuk ‘Qaseh dan Aishah’ seperti dahulu.
“ Mungkin batin kau tak tunaikan lagi.” Seloroh Aishah.
“ Macam mana aku nak tunaikan? Bercakap dengan aku pun tidak. Pandang muka aku pun tak mahu. Senyum, gelak…jauh sekali. Bila depan ibubapa dia, hanya lakonan saja. Pegang tangan aku. Senyum dengan aku. Peluk pinggang aku. Aku rasa perkahwinan aku ni hanyalah satu lakonan buat Fareez. Satu jenaka. Kadangkala aku rasa seperti nak putus asa je. Aku macam nak cakap je dengan dia, kalau dia dah tak sanggup beristerikan aku, aku nak dia lepaskan aku dengan cara yang baik.” Luah Qaseh. Setelah 2 tahun, baru dia berani meluahkan perasaannya kepada Aishah. Sahabatnya itu semakin erat menggenggam jari jemari Qaseh.
“ Bersabarlah. Satu hari nanti, Allah pasti akan bukakan pintu hati Fareez untuk kau.” Aishah memang pandai memberi nasihat. Air mata Qaseh menitik ke tangan Aishah. Kemudian, segera air mata itu dilap.
“ Terima kasih, Cah. Aku minta maaf.” Qaseh berkata sambil belakang tapak tangannya mengesat baki air mata.
“ Kenapa kau nak minta maaf?”
“ Yelah. Dulu, kau suruh aku fikir masak-masak. Tapi, aku lebih turutkan kata-kata dalam wasiat. Bukan kata-kata hati aku. Tetapi yang peliknya, aku tak pernah rasa menyesal kerana berkahwin dengan Fareez.” Ujar Qaseh. Aishah tersenyum lemah.
“ Sebab kau sebenarnya tak ikut wasiat. Kau ikut naluri wanita kau. Kata hati kau. Rasa cinta.” Ada benar kata-kata Aishah itu.
“ Terima kasih sekali lagi, Cah. Kau berada di sisi aku sewaktu aku benar-benar perlukan tempat untuk meluahkan perasaan. Kau sahabat aku selamanya.” Kata-kata Qaseh itu mengundang air mata Aishah.
“ Kau juga sahabat aku selamanya.” Kata Aishah pula. Mereka sama-sama tersenyum kelegaan.
Lama mereka bersembang. Qaseh mengambil cuti setengah hari untuk menemani Aishah. Sudah lama tidak berjumpa dan jarang sekali dapat berbual begini lama. Selalunya, Qaseh akan sibuk dengan tugasan yang perlu diselesaikan di pejabat. Aishah juga sibuk dengan kerjanya.
Pintu bilik wad terkuak dan terjengul wajah Zahrien yang tersenyum lebar. Semenjak bergelar ayah, wajahnya tidak lekang dengan senyuman.
“ Tak apalah, Cah…Zahrien…Aku balik dulu. Dah lama aku kat sini.” Qaseh bangun dari kerusi yang diduduknya dan bersalaman dengan Zahrien. Dia kemudiannya bersalaman dan memeluk Aishah.
“ Tahniah sekali lagi.” Qaseh berbisik di telinga Aishah. Mereka meleraikan pelukan. Qaseh tersenyum. Aishah membalas senyuman itu.
“ Aku harap kau akan ada cahaya mata sendiri.” Kata-kata Aishah bagaikan angin lalu sahaja. Dia tahu perkara itu tidak akan terjadi. Fareez tidak akan mencintai dirinya. Cuma dia sahaja yang menagih kasih dari lelaki itu. Qaseh beredar dari situ.





CINTA pertama Qaseh datang kembali menjengah pintu hatinya yang kesepian tetapi dia tidak mahu menoleh ke belakang. Baginya cinta Ashwad sudah tidak ada makna kepada diri Qaseh lagi. Ashwad sendiri yang membunuh perasaan Qaseh semasa Ashwad pergi meninggalkannya dahulu. Kini, dia masih mencari kesucian cinta Fareez. Semenjak kebelakangan ini, Ashwad sering mengganggunya. Tidak kiralah melalui telefon bimbit ataupun telefon pejabat. Perasaan menyesal kerana menerima ajakan Ashwad tempoh hari kembali menerpa benaknya yang sedang dilanda kekacauan. Pernah sekali Ashwad menelefon sewaktu Qaseh sedang makan malam di rumah kedua mentuanya. Pandangan Fareez yang tajam membuatkan Qaseh gerun hendak menjawab panggilan telefon tersebut. Ditutup telefon bimbitnya sepanjang mereka berada di rumah Puan Sri Marlisa dan Tan Sri Firdaus. Rimas dek gangguan yang bertalu-talu. Qaseh pernah memberi amaran kepada Ashwad bahawa jangan menelefonnya pada sebelah malam. Ashwad buat endah tidak endah sahaja akan amaran tersebut. Kadangkala telefon bimbitnya akan berbunyi di hadapan Fareez. Qaseh perasan Fareez seperti dapat menghidu sesuatu. Apabila Qaseh berada di rumah, dia akan mematikan telefon bimbit. Dia terpaksa buat begitu. Qaseh tidak mahu Fareez mengesyakinya.
Telefon pejabat Qaseh berdering. Sudah dapat diagak pemanggilnya. Lambat-lambat Qaseh mengangkat gagang telefon. Dia sudah malas hendak melayan karenah Ashwad yang tidak habis-habis. Kalau dahulu Adib, sekarang Ashwad. Patutlah keduanya menjadi dua beradik. Perangai serupa.
“ Hello…” malas sahaja nada suara Qaseh berbunyi.
“ Soraya, Wad ni.”
“ Hmm…Ada apa?” percakapan Qaseh dari hari ke hari semakin kasar pada pendengaran Ashwad.
“ Kita lunch sama.” Ashwad masih cuba menarik perhatian Qaseh.
“ Tengoklah dulu. Saya tak janji.”
“ Alaaa….Jomlah. Dah lama kita tak keluar lunch sama-sama.” Pujuk Ashwad lagi. Dia berharap Qaseh akan cair dengan pujuk dan rayunya.
“ Wad, dah berapa kali saya cakap. Saya isteri orang. Tak elok orang tengok kita bersama.” Qaseh menjelaskan keadaan sebenar. Dia tidak mahu terus-terusan membohongi Fareez.
“ Tolonglah. Pleasee…” rayu Ashwad lagi.
“ Saya kata tak nak, maknanya tak nak. Awak tak faham ke?” Qaseh menghempaskan gagang telefon. Qaseh menekan interkom.
“ Fern, tolong masuk sekejap.” Arah Qaseh. Terkocoh-kocoh Fernaizza menuju ke bilik ketuanya. Diketuk pintu bilik dan arahan masuk diberikan.
“ Saya nak jumpa dengan client sekarang ni. Kalau ada pesanan daripada orang yang bernama Ashwad, awak tak payah susah-susah nak ambil message dia. Kalau ada bungkusan daripada dia, buangkan saja. Bunga pun awak jangan simpan. Saya allergic pada…bunga.” Arahan Qaseh dicatit ke dalam diari yang dibawa bersama-samanya. Sudah berhelai-helai pesanan Ashwad yang disampaikan kepada Qaseh melalui Fernaizza. Berkotak-kotak bungkusan yang diterimanya setiap hari.
Hampir setiap 2 hari, Qaseh akan didatangi jejaka Cina daripada kedai bunga berdekatan untuk menyerahkan sendiri bunga itu kepada pemiliknya. Bosan Qaseh apabila diperlakukan sebegitu oleh lelaki yang dikenali sebagai bekas kekasihnya. Suami sendiri pun tidak buat begitu. Sampai pekerja bawahan memandang serong kepada dirinya. Perempuan simpanankah? Sugar daddy? Siapa mereka untuk menghakimi dirinya sebegitu? Dia belum gila lagi untuk menduakan suaminya. Tetapi mereka tidak tahu yang dia sudah berkahwin. Tidak boleh menyalahkan mereka juga.
Fernaizza mengangguk. Hanya setiausaha yang satu itu sahaja yang tahu dia sudah berkahwin. Pekerja bawahan yang lain masih belum tahu status sebenar dirinya. Kalau mereka tahu, entah apa lagilah yang akan mereka borakkan. Qaseh mencapai tas tangan dan beg bimbit.
“ Ada apa-apa lagi, Cik Qaseh?”
“ Tak ada. Itu saja. Terima kasih, Fern.”
“ Sama-sama.” Fernaizza terus sahaja melangkah keluar dari bilik ketuanya itu. Seketika kemudian, Qaseh keluar dari bilik pejabatnya. Dia menuju ke tempat letak kereta dan belum sempat dia membuka pintu kereta, dia dihalang oleh seorang lelaki. Qaseh memandang wajah lelaki dihadapannya itu. Qaseh mendengus kuat.
“ Apa lagi yang awak nak? Awak tak faham ke apa yang saya cakapkan tadi?” perlahan Qaseh menuturkan ayat. Ada nada marah di dalam suaranya. Masih tidak faham lagikah Ashwad? Adib juga pernah memberikan nasihat kepada Ashwad tetapi nasihat itu masuk telinga kiri, keluar telinga kanan.
“ Soraya lunch dengan Wad.” Ashwad masih cuba merayu.
“ Awak ni tak kerja ke? Tiap-tiap minggu awak ganggu saya.” Qaseh berkata. Qaseh masuk ke dalam perut kereta. Dia meletakkan beg bimbit dan tas tangannya di kerusi sebelah pemandu.
“ Kerja. Tapi Wad hari ni cuti. Esok kena fly ke Switzerland.”
“ Hhmm…Ingatkan dah berhenti.” Kata Qaseh. Dia menghidupkan enjin kereta. Untuk memanaskan enjin keretanya.
“ Kenapa Wad nak kena berhenti pulak?”
“ Yelah. Dah selalu sangat awak ganggu saya. Ingatkan awak ni dah unemployed.” Ujar Qaseh sambil membetulkan cermin pandang belakang dan cermin sisi. Memang kebiasaannya dia buat begitu sebelum memulakan perjalanan. Qaseh memakai tali pinggang keledar.
“ Sampai hati Soraya cakap macam tu. Bila saya cuti, baru saya ajak Soraya keluar makan. Tapi Soraya macam tak sudi je.” Perlahan sahaja ayat yang dituturkan oleh Ashwad.
“ Tahu tak pe.” Bisik Qaseh perlahan.
“ Apa Soraya kata?”
“ Tak ada apa. Satu lagi, boleh tak awak jangan panggil saya Soraya lagi dah?” pinta Qaseh bersungguh-sungguh.
“ Kenapa? Soraya tak suka?”
“ Memang saya tak suka. Tak boleh ke awak panggil saya Qaseh. Macam orang lain.” Qaseh berkata. Dia memandang Ashwad.
“ Tapi dulu, Soraya suka. Masa kita masih bercinta.”
“ Itu kisah dulu. Sekarang ni saya tak suka.” Qaseh berkata dengan perasaan jengkel. Tidak suka Ashwad mengungkit kisah lama.
“ Baiklah. Wad akan panggil Soraya, Qaseh.” Ujar Ashwad.
“ Thanks.” Qaseh berkata sambil menarik pintu kereta. Tetapi pintu kereta itu masih dihalang oleh Ashwad.
“ Nak apa lagi?!” kata Qaseh dengan suara sedikit tinggi.
“ Lunch?”
“ Saya tak nak keluar lunch dah dengan awak. Faham ke tak ni?!” marah Qaseh. Dia melepaskan keluhan besar.
“ Wad janji dengan Soraya…maksud Wad, Qaseh…ini kali terakhir Wad ajak Qaseh lunch.” Janji Ashwad. Qaseh memandang Ashwad dengan kerutan di dahi.
“ Qaseh tak percayakan saya?”
“ Okay, but please…not this week.” Kata Qaseh. Dia menarik pintu keretanya. Pintu kereta segera ditutup. Dia sudah lambat untuk berjumpa dengan pelanggannya. Ashwad tersenyum kecil dan melambai sebaik sahaja kereta Qaseh bergerak meninggalkannya.
Di dalam kereta Qaseh memikirkan alasan hendak mengelak dari keluar makan dengan Ashwad. Tiba-tiba telefon bimbit berdering. Lambat-lambat dia menjawab panggilan telefon tersebut.
“ Hello?”
“ Assalamualaikum. Boleh saya bercakap dengan Cik Qaseh?” tanya pemanggil tersebut. Sopan santun. Qaseh seperti pernah dengar suara perempuan tersebut. Tetapi dia memerlukan masa untuk mengecam suara itu. Sarah berdehem perlahan.
“ Waalaikumussalam. Saya bercakap. Boleh saya tahu siapa ni?” tanya Qaseh kembali. Dahinya dikerutkan sedikit.
“ Qaseh, aku lah, Nad.” Pemanggil itu memperkenalkan diri. Qaseh menepuk dahi. Bagaimanalah dia boleh terlupa tentang Tengku Nadirah?
“ Kau kata nak telefon aku. Tapi sampai sekarang kau tak telefon aku. Kau ni cepat lupa kawanlah.” Tengku Nadirah marah dengan sikap Qaseh yang tidak pernah berubah dari dahulu sehingga sekarang, masih tetap sama.
“ Aku bukan lupa kawan, cuma 2-3 tahun kebelakangan ni aku sibuk sikit.” Qaseh memperbetulkan semula ayat Tengku Nadirah.
“ Apa-apa sajalah.”
“ Kau telefon aku ni, kenapa?” tanya Qaseh. Dia pun pelik dengan Tengku Nadirah. Angin tak ada, ribut pun tak ada. Tiba-tiba telefon saja.
“ Tak boleh ke nak call kau?”
“ Bukanlah tak boleh. Tapi aku dah kenal kau lama, Nad. Jadi, aku tahu sangat kau mesti ada masalah. Kalau tak, mesti jarang nak call aku. Yalah, kan ada abang sayang mendengar cerita kau hari-hari.” Qaseh memasang hands-free kit. Senang untuk dia bersembang sambil memandu.
“ Aku ada berita baik punya. Tapi aku nak jumpa kau. Boleh tak?”
“ Sekarang tak bolehlah. Aku kena jumpa client.”
“ Pukul 4 kau free?” tanya Tengku Nadirah. Qaseh melihat jam di tangan. Dia tidak ada pertemuan dengan pelanggan petang ini. Bermakna dia memang dia ada masa lapang pada waktu petang.
“ Aku free. Aku pun ada benda nak cakap kat kau.” Kata Qaseh.
“ Kita jumpa kat tempat biasalah.” Tengku Nadirah menetapkan tempat perjumpaan mereka. Qaseh menyatakan persetujuannya.






QASEH tiba dihadapan Restoran Dome, KLCC. Tercari-cari wajah sahabatnya itu. Tengku Nadirah melambai ke arah Qaseh. Qaseh berjalan mendekati Tengku Nadirah. Dia menarik kerusi dan duduk berhadapan. Qaseh melepaskan nafas sekejap. Dia keletihan. Baru-baru ini, ada satu projek pengiklanan daripada sebuah syarikat ternama yang diuruskannya. Selalu pulang lewat. Tidak dapat keluar makan tengah hari seperti biasa. Baru hari ini, dia dapat melepaskan tekanan kerana iklan tersebut telah pun dikomersialkan. Oleh itu, dia ada sedikit masa lapang untuk berjumpa dengan sahabat lamanya.
“ Aku baru dapat jumpa kau hari ni. Tapi muka kau pucatlah. Kenapa?” tanya Tengku Nadirah yang risau akan kesihatan sahabatnya yang tidak menentu itu.
“ Big project. I have to handle it.” Qaseh menjelaskan perkara sebenar. Tengku Nadirah terangguk-angguk.
“ Kenapa kau nak jumpa aku?” Qaseh meletakkan tas tangan di kerusi kosong di sebelahnya.
“ Takkan tak boleh nak jumpa kau?”
“ Bukanlah tak boleh. Cuma kau ni kalau tak ada masalah, mesti tak cari aku kan?” usik Qaseh. Dia tahu Tengku Nadirah pantang diusik.
“ Eh hello! Aku ni bukan jenis lupa kawan tau.”
“ Yelah…yelah…Cik Tengku Nadirah oii…Kenapa Cik Tengku nak jumpa saya?” tanya Qaseh lagi.
“ Aku ada berita baik.” Wajah Tengku Nadirah berseri-seri. Qaseh tersenyum memandang Tengku Nadirah.
“ Apa dia?”
“ I’m pregnant.” Tengku Nadirah tersenyum lebar. Qaseh ternganga sebentar. Kemudian, dia bertanya lagi.
“ Second time?”
“ Ya.”
“ Congratulations. When is the due date?”
“ Next year. May or June.”
“ Anak kau yang sulung umur berapa?” tanya Qaseh.
“ Masuk ni 2 tahun lah.”
“ Eloklah tu. Anak kau pun dah besar. Bolehlah dia dapat adik lagi.”
“ Kau bila lagi?” pertanyaan Tengku Nadirah membuatkan Qaseh terkedu. Pelayan restoran tersebut mendekati mereka. Qaseh buat-buat sibuk dengan menu di hadapannya. Selepas memesan makanan, mereka bersembang tentang topik lain. Qaseh membawa lari Tengku Nadirah dari tajuk sebenar. Dia tidak mahu memikirkan hal itu. Makanan yang dipesan oleh mereka sudah siap dihidang. Qaseh begitu selera menjamu selera. Dia tidak mahu mengingati soalan Tengku Nadirah.
“ Kau kata kau nak cakap something kat aku.” Tengku Nadirah menghentikan suapan di mulutnya. Qaseh mengangkat muka memandang Tengku Nadirah.
“ Aku ada cakap ke yang aku nak cakap sesuatu kat kau?” Qaseh bertanya. Dia berpura-pura lupa.
“ Alahh….Kau ni cepat lupalah.” ujar Tengku Nadirah sambil menyuap makanan ke mulutnya.
“ Aku ingatkan kau dah lupa.” Qaseh berkata. Dia menghirup sedikit air minuman jus. Untuk menghilangkan dahaga dan ‘membersihkan’ makanan di alur tekaknya sebelum mengatakan sesuatu.
“ Aku tak tahu lah macam mana nak cakap dengan kau.” Qaseh meletakkan pisau dan garfunya.
“ Apa yang susah sangat?”
“ Bagi aku susahlah nak cakap.” Qaseh gelisah. Sekejap dia mengurut tengkuknya. Kemudian, dia meraup rambut ke belakang.
“ Tak susah. Tarik nafas. And then, cerita satu persatu.” Ajar Tengku Nadirah.
“ Kalau aku cakap kau jangan terkejut, ok?” kata Qaseh. Tengku Nadirah mengangguk. Qaseh menarik nafas dan menghembusnya perlahan-lahan.
“ Ashwad dan aku berhubung lagi.”
“ What? For how long?” Tengku Nadirah tidak dapat menahan perasaan terkejutnya. Qaseh mengeluh.
“ Nearly 2 months.”
“ Qaseh….Kau dah kahwin. Kau dah ada suami.”
“ Aku tahu tu.”
“ Apa akan terjadi kalau Fareez dapat tahu?”
“Aku harap dia tak tahu.”
“ Qaseh…Please don’t do anything silly.”
“ Dia ada ajak aku lunch. Sekali dua aku keluar jugak dengan dia. Tapi selalu aku tak berani. Takut terserempak dengan Fareez.” Qaseh mengusik makanan yang ada di dalam pinggannya dengan garfu.
“ Kau tak payah jumpa dia lagilah. Bukan aku nak menghalang kau, tapi aku fikirkan kebaikan untuk diri kau. Kau faham-faham jelah orang sekeliling kan? K.L ni bukannya besar. Kadangkala kau boleh terserempak dengan keluarga sendiri. Kau faham maksud aku, kan?” Tengku Nadirah seperti sudah tiada selera hendak menghabiskan makanannya. Dia sendiri pelik apabila mengandungkan anak kedua ini. Selera seperti berkurangan daripada biasa. Tidak seperti dia mengandungkan anak sulungnya dahulu. Qaseh mengangguk.
“ Aku tahu. Lagipun….dia sepupu Fareez.”
“ Jangan cari nahas. Itu lagi nahas besar.” Tengku Nadirah menyandarkan badan di kerusi. Qaseh tahu apa yang perlu dilakukannya.
“ Tapi semenjak kebelakangan ni, dia asyik call aku. Aku dah bagi warning pada dia. Jangan ganggu aku lagi dah. Aku dah bersuami. Tapi dia tak nak dengar.” Qaseh mengeluh. Dia tidak tahu bagaimana hendak memberitahu Ashwad bahawa dia sudah tidak mahu berjumpa dengan Ashwad lagi.
“ Why don’t you tell him the truth?”
“ I have. But, he doesn’t want to listen.”
“ Kau kena hentikan masalah ni. Nanti daripada masalah kecil, boleh jadi masalah besar tau. Tak pasal-pasal kau dengan Fareez gaduh.” Nasihat Tengku Nadirah.
“ Aku akan cuba beritahu kat dia sekali lagi.”
“ Kalau dia tak nak dengar?” tanya Tengku Nadirah. Dia tahu Qaseh runsing dengan masalah ini.
“ Aku akan beritahu kat dia sampai dia faham dan boleh terima kenyataan.” Tegas Qaseh. Dia tidak boleh berlembut dengan Ashwad. Dia harus tegas. Dia mesti bertindak tegas. Sepertimana dia bertegas dengan Adib.






QASEH pulang semula ke pejabat. Dia mengemas meja yang berselerak. Fernaizza dan kebanyakan pekerja sudah pulang. Tiba-tiba telefon pejabatnya berdering. Siapalah yang telefon petang-petang sebegini? Hati Qaseh berkata-kata. Diangkat gagang telefon dan didekatkan gagang tersebut ke telinga. Qaseh mendiamkan diri. Dia mahu dengar respon daripada pemanggil dahulu.
“ Hello?” satu suara menyapa gegendang telinga Qaseh.
“ Hmm…Apa dia?” Qaseh tahu itu panggilan daripada Ashwad.
“ Qaseh, Wad ni.”
“ Saya kenal siapa awak. Macam mana awak tahu saya ada dalam pejabat? Awak ikut saya, yeh?” tanya Qaseh. Dia rasa curiga. Entah-entah Ashwad mengikutnya.
“ Taklah.Wad teka je.” Ashwad gelabah.
“ Ada apa awak call saya?”
“ Qaseh free tak hari Rabu depan?” tanya Ashwad kembali.
“ Kenapa?” tanya Qaseh acuh tidak acuh. Soalan dijawab dengan soalan.
“ Kan Qaseh dah janji nak lunch sama.”
“ Pukul berapa? Kat mana?” ringkas pertanyaan Qaseh. Dia malas mahu memanjangkan lagi perbualan.
“ Pukul 12.30 kat Restoran Pelita.”
“ Hmm…Yalah.” Terus sahaja Qaseh mematikan talian telefon tanpa sempat Ashwad meneruskan perbualan mereka. Dia tidak mahu mendengar suara Ashwad. Qaseh sudah menyampah, meluat. Semua perasaan yang tidak elok ada padanya.



BERSAMBUNG......

0 tukang komen paling setia: