BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, November 25, 2008

Dari KL ke Luxembourg 29

BAB 29

ZHULIANNA ke pasar mencari lauk untuk masak makan malam di rumah. Zurain, Iskandar dan anak-anak mereka akan datang ke rumahnya pada malam ini untuk makan malam bersama. Itupun di atas jemputan Zhulianna. Dia sedang leka membeli barang-barang ‘basah’.
Mak Rani leka sedang mencari ikan kembung yang segar. Mata Pak Satar meliar ke seluruh pasar. Tiba-tiba matanya tertancap pada satu wajah yang ayu. Wajah yang dahulu selalu menangis. Wajah yang selalu murung. Pak Satar menyiku Mak Rani. Mak Rani melatah. Tergelak tauke ikan itu melihat gelagat Mak Rani. Pak Satar juga turut tergelak kecil. Mak Rani mencebikkan bibir. Geram dengan perbuatan suaminya itu.
“ Apa kena dengan Abang ni?” tanya Mak Rani. Pak Satar menghabiskan sisa tawanya sebelum berkata sesuatu.
“ Rani…tu bukan…Puan Zhu, ke?” tuding Pak Satar ke arah satu wanita yang sedang membelek sayur-sayuran. Mak Rani memandang ke arah yang ditunjukkan oleh Pak Satar. Mak Rani terkejut. Tidak disangka-sangka akan berjumpa semula dengan Zhulianna. Wanita teristimewa dalam hidup bekas majikannya pada satu masa dahulu. Tuan Nizam sanggup tidak berkahwin lain kerana dia yakin dia akan menemui Zhulianna semula. Puas Rafidah dan Datuk memujuk Tuan Nizam.
“ Jom, Rani.” Ajak Pak Satar. Mak Rani mencelup jarinya ke dalam air yang disediakan. Dia mengelap di baju. Mereka sama-sama menuju ke arah Zhulianna. Wanita itu sedang membayar harga sayur-sayuran yang dibeli itu. Selepas mendapatkan baki semula, Zhulianna mengambil beg plastik yang berisi sayur-sayuran. Bahunya disentuh lembut. Zhulianna terkejut dan mengalihkan pandangan ke arah orang yang menyentuh bahunya. Mak Rani tersenyum memandang bekas puan besarnya.
“ Mak Rani…Pak Satar….” Tersenyum lebar Zhulianna. Mereka berdua sudah lama tidak melihat senyuman itu semenjak Zhulianna meninggalkan rumah banglo itu. Senyuman itu sudah kembali.
“ Apa khabar, Puan Zhu?” tanya Pak Satar. Sudah dianggap Zhulianna seperti anaknya sendiri memandangkan mereka hanya mempunyai anak lelaki tunggal yang sudah lama meninggal akibat kemalangan jalan raya.
“ Baik. Pak Satar sihat?” tanya Zhulianna.
“ Sihat, Puan Zhu.”
“ Mak Rani macam mana? Sihat? Sakit lutut lagi ke?” begitu sekali Zhulianna mengambil berat akan kesihatan orang tua dihadapannya itu. Mak Rani tersenyum kecil.
“ Biasalah, Puan. Orang tua macam saya ni. Adalah longgar kat mana-mana tu.” Seloroh Mak Rani. Zhulianna tergelak.
“ Mari kita pergi minum. Tak seronoklah sembang kat sini. Bising.” Kata Zhulianna. Dia terus sahaja memimpin tangan Mak Rani. Segan pula Mak Rani dengan bekas majikannya itu. Senyuman sentiasa menghiasi di bibir Zhulianna. Pak Satar dan Mak Rani lega melihat perubahan Zhulianna.
Mereka duduk di restoran yang yang berdekatan dengan pasar tersebut. Zhulianna memesan minuman dan makanan untuk mereka berdua. Puas ditolak oleh Mak Rani dan Pak Satar. Akhirnya mereka mengalah dengan kedegilan Zhulianna yang hendak membelanja mereka makan sarapan. Tiba-tiba air mata Mak Rani bertakung. Zhulianna memegang tangan Mak Rani. Pantas Mak Rani menyeka air matanya yang hampir menitis. Air mata tua itu senang saja mengalir.
“ Kenapa, Mak Rani?” tanya Zhulianna.
“ Puan Zhu tak patut melalui kehidupan macam ni.” Kata Mak Rani perlahan. Zhulianna menggeleng dan bertambah erat genggamannya.
“ Mak Rani jangan cakap macam tu. Bukan salah sesiapa. Dah tak ada jodoh antara saya dan Zam. Saya redha.” Zhulianna tersenyum. Mak Rani memandang Pak Satar. Mengisyaratkan kepada Pak Satar supaya menceritakan perkara sebenar kepada Zhulianna.
“ Sebenarnya, Puan Zhu…ada sesuatu perkara yang patut Puan Zhu tahu.” Kata Pak Satar. Dia menghirup sedikit minuman yang berasap itu.
“ Patut tahu apa, Pak Satar?” tanya Zhulianna. Dia mengerutkan dahi sedikit. Tidak faham dengan kata-kata Pak Satar.
“ Sebenarnya, Tuan Zam terkena buatan orang.” Ujar Pak Satar. Mata Zhulianna terbeliak. Satu persatu Pak Satar menceritakan perkara sebenar kepada Zhulianna. Beristighfar sahaja Zhulianna di dalam hati. Tidak menyangka perkara seperti ini akan berlaku. Nora, setiausaha yang paling baik pernah Zhulianna bertemu. Cakapnya sopan santun. Tetapi begini rupanya perangai dia selama ini.
“ Saya tak sangka sampai macam ni sekali Nora lakukan pada kami. Apa jadi pada Nora sekarang?” tanya Zhulianna.
“ Dengar kata, perbuatan sihir dia tu terkena balik pada dia. Sekarang ni, orang kampung kata dia dah jadi gila. Ibu bapa dia terpaksa masukkan dia ke dalam wad sakit jiwa. Sebab dia mendatangkan bahaya. Nora pernah cuba nak mencederakan salah seorang orang kampung. Yang Pak Satar dengar, Nora lari satu kampung bawak parang. Kejar siapa, dia orang pun tak tahu.” Jelas Pak Satar. Inikah akibatnya kerana menganiayai orang lain?
“ Sudahlah, Puan Zhu. Tak payah cerita pasal Nora. Dia tu kisah silam. Mak Rani tanya sikit boleh?” kata Mak Rani.
“ Boleh, Mak Rani. Tanyalah.” Kata Zhulianna lembut.
“ Selepas Puan Zhu keluar dari rumah tu, Puan Zhu pergi mana?”
“ Tak kemana-mana, Mak Rani. Saya ada kat K.L ni.”
“ Tapi kalau Puan Zhu ada kat K.L ni, kenapa Tuan Zam cari Puan Zhu tak jumpa?” tanya Pak Satar pula.
“ Selepas saya dapat tahu Zam kahwin lain, saya pergi cari ketenangan.”
“ Ke mana?” tanya Mak Rani tidak sabar.
“ Hish!! Awak ni. Sabar-sabarlah sikit.” Kata Pak Satar. Mak Rani menjeling manja. Zhulianna tersenyum.
“ Luxembourg. Saya balik ke negara yang banyak simpan kenangan kami berdua semasa belajar. Saya tinggal dengan kawan saya.” Zhulianna mula bercerita tentang kisah hidupnya selepas dia bercerai dengan Tuan Nizam. Pak Satar mengangguk perlahan.
“ Siapa nama kawan, Puan Zhu?” tanya Mak Rani.
“ Nama dia Rosemarie. Dia banyak simpan rahsia saya. Saya duduk dengan dia selama 22 tahun. Dia pun baru je kematian suami. Jadi, dia tak kisah saya tinggal dengan dia. Dia kata kalau saya ada, bolehlah teman dia besarkan 2 orang anaknya. Seorang perempuan dan seorang lelaki. Hampir 3 bulan saya tak bekerja. Saya rasa segan sangat dengan dia. Dia terlalu baik dengan saya.” Jelas Zhulianna. Kedua orang tua itu masih mendengar kata-kata Zhulianna.
“ Jadi, Puan Zhu pergi cari kerjalah?” tanya Pak Satar. Dia pula yang tidak sabar mendengar cerita seterusnya dari mulut Zhulianna.
“ Hish! Orang tua ni. Dia pulak yang tak sabar.” Kata Mak Rani.
“ Kerja. Bapak saya, dia buka cawangan syarikatnya kat sana. Jadi, saya kerja sebagai ketua syarikat di Luxembourg. Semua urusan kat sana, saya yang uruskan.” Sambung Zhulianna.
“ Puan Zhu tak kahwin lain?” tanya Mak Rani. Dia khuatir soalannya akan menjadi sensitif kepada Zhulianna. Tetapi wanita itu tetap tersenyum.
“ Tak, Mak Rani. Saya anggap perkahwinan saya dan Zam, adalah satu pengajaran. Saya berhati-hati untuk menjalinkan hubungan selepas bercerai dengan Zam. Pintu hati saya tak pernah terbuka untuk mana-mana lelaki.” Zhulianna menerangkan dengan jelas.
“ Puan Zhu masih sayangkan Tuan Zam?”
“ Memang saya masih sayangkan dia. Malahan, sehingga ke hari ini. Bukan tak ada yang masuk meminang selepas saya habis tempoh eddah. Saya tolak. Saya rasa saya akan khianati cinta Zam jika saya berkahwin lain.” Kata Zhulianna. Begitu mendalamnya cinta Zhulianna yang pernah diberikan kepada Tuan Nizam satu ketika dahulu.
“ Tetapi kenapa Puan Zhu tak kembali kepada Tuan Zam?”
“ Saya selalu terfikir untuk kembali pada Zam. Tapi, ada sebahagian dari diri saya mengatakan yang saya dan Zam hanya layak bercinta sahaja. Kami belum bersedia ke arah rumah tangga.” Menitis air mata Mak Rani mendengar kata-kata Zhulianna. Begitu mulia hati wanita itu.
“ Maafkan Mak Rani kalau pertanyaan Mak Rani ni mengganggu ketenangan hidup Puan Zhu.” Mak Rani meminta maaf sekiranya dia ada menyinggung perasaan Zhulianna.
“ Tak apa, Mak Rani. Saya memang dah lama menunggu untuk menjawab soalan-soalan macam ni.” Ujar Zhulianna.
“ Puan Zhu dah berjumpa dengan Qaseh?” Pak Satar bertanya.
“ Dah, Pak Satar. Makin cantik pulak dia sekarang.”
“ Macam Puan Zhu. Saling tak tumpah.” Kata Mak Rani. Meneliti wajah wanita dihadapannya.
“ Yasmin tak mengandung ke selepas berkahwin dengan Zam?”
“ Tak. Dia tak boleh mengandung sebab menghidap kanser.”
“ Kesian Min. Sepanjang hidupnya, dia tentu bahagia. Zam pandai membuatkan orang lain rasa bahagia apabila berada disamping dia.” Air mata Zhulianna bergenang. Dia selalu teringatkan Tuan Nizam. Zhulianna mengelap air mata dengan pantas. Mak Rani dan Pak Satar hanya melihat wanita dihadapannya itu berhadapan dengan kedukaan yang sangat dalam.
“ Jemputlah makan, Mak Rani…Pak Satar.” Ujar Zhulianna.
“ Baiklah, Puan.” Kata Mak Rani dan Pak Satar serentak.
Selepas mereka menjamu sarapan pagi, mereka bertiga berpisah dan mengikut haluan masing-masing. Zhulianna terus sahaja pulang ke rumah. Dia menyimpan ikan dan ayam yang dibelinya di pasar ke dalam peti sejuk beku. Kemudian, dia merehatkan badan yang penat. Fikirannya melayang. Mengingati semula pertemuan mereka bertiga. Zhulianna meraup mukanya. Dia memejamkan mata. Air mata turun berjuraian.
Zhulianna terkejut jaga apabila ada orang yang menyentuh tangannya. Dia membuka mata dan memandang orang dihadapannya. Tersenyum sahaja wanita di hadapan Zhulianna itu.
“ Akak nangis?” tanya Zurain. Zhulianna segera mengesat air matanya. Membalas kembali senyuman adiknya itu.
“ Bila kamu sampai?” Zhulianna cuba mengalih topik.
“ Baru sekejap tadi. Banyak kali Zura panggil Akak. Tapi Akak tak menyahut. Zura masuk je lah.” Zurain meletakkan bungkusan yang dibawanya di atas meja makan.
“ Kamu nak minum? Akak buatkan air.” Zhulianna sudah bangun dan menuju ke dapur. Zurain lekas membuntuti kakaknya.
“ Tak payahlah, Kak. Macam Zura tak biasa dengan rumah Akak ni. Kalau Zura nak minum, Zura buat sendiri.” Dibuka plastik putih yang dibawanya tadi. Zhulianna menjenguk ke dalam beg plastik itu.
“ Ni serunding. Zura bawak. Favourite Akak, kan?” Zurain mengambil pinggan dan sudu. Kemudian dicedok serunding itu menggunakan sudu yang kering. Tidak mahu serunding tersebut basi. Dihulurkan pinggan tersebut dan dihulurkan juga sebuku roti. Zurain tahu, Zhulianna suka makan dengan roti. Begitu berselera Zhulianna menjamu serunding tersebut.
“ Eh! Sedapnya serunding ni. Mana Zura beli?”
“ Zura tak belilah, Kak. Mak mentua Zura yang buat. Dia tahu Zura nak datang jenguk Akak. Dia suruh Zura bawak sikit.” Zurain tersenyum melihat kakaknya yang menambah serunding itu berkali-kali. Zurain turut merasai keenakan serunding yang dibuat oleh ibu mentuanya.
“ Jadilah kamu makan malam di sini, ya?” tanya Zhulianna.
“ Yalah, Kak.”
“ Is tak datang?” tanya Zhulianna lagi.
“ Kejap lagi, Kak. Dengan anak-anak.” Kata Zurain pula. Zhulianna mengangguk perlahan dan tersenyum. Zurain bahagia dengan pilihan ibubapa mereka. Zhulianna berkahwin dengan pilihan hatinya sendiri. Tetapi tidak sebahagia Zurain. Kadangkala dia cemburu melihat kemesraan yang ditunjukkan oleh Iskandar dan Zurain. Mungkin sudah tertulis takdir untuk dirinya sebegini. Dia tidak menyalahkan takdir. Dan dia juga tidak pernah menyesal berkongsi hidup dengan Tuan Nizam walaupun seketika cuma.


SELEPAS mereka berdua menjamu selera roti cecah serunding, Zhulianna berjalan ke arah sofa dan menyandarkan badan. Zurain membancuh air kopi untuk mereka berdua. Zurain menatang dua buah gelas yang berisi kopi yang masih berwap lagi. Diserahkan secawan kepada Zhulianna dan secawan lagi dihirup perlahan.
“ Sedap Zura buat kopi.” Puji Zhulianna. Diletak cawannya ke atas meja kopi yang diletakkan di tengah-tengah ruang. Diantara sofa panjang dan sofa pendek. Sengaja diletakkan meja kopi di situ. Bagi memudahkan tetamu-tetamunya. Zurain tersenyum.
“ Akak…Apa yang Akak fikirkan? Masa Zura sampai tadi, Akak tengah menangis. Kenapa, Kak? Akak ada masalah? Kalau Akak ada masalah, ceritalah dengan Zura. Mungkin Zura boleh tolong Akak.” Pujuk Zurain sambil memandang dengan penuh simpati. Kesian dengan kakaknya itu. Menjadi janda di usia yang muda. Menjadi bahan cemuhan orang sekeliling. Terutama adik-beradik ibunya. Masih Zurain ingat lagi kata-kata mereka. Tidak akan dilupakan kata-kata itu selamanya.
“ Si Zhu tu perempuan curang. Tulah sebabnya Zam tinggalkan dia. Entah-entah si Qaseh tu anak luar nikah.” Kata-kata Mak Teh Lela tajam menusuk masuk ke dalam telinga Zurain. Geram Zurain apabila ada orang menyebarkan kata-kata fitnah mengenai kakak kesayangannya itu.
“ Zhu tu sebenarnya bukan perempuan baik, Teh. Aku nampak dengan mata kepala aku sendiri, dia siap berpegang tangan lagi dengan jantan lain. Mesra sangat aku nampak.” Mak Long Esah menyahut kata-kata Mak Teh Lela. Mak Ngah Asiha dan Mak Su Diah hanya mengangguk. Zurain menggengam penumbuk. Mahu sahaja dicakar muka wanita-wanita kepoh itu. Tetapi ibunya menahan daripada kemarahan Zurain terlepas.
“ Mama, Zura tak suka dia orang mengutuk Kak Zhu. Kak Zhu tak salah.” Zurain memegang bahu ibunya.
“ Mama tahu, Zura.”
“ Habis tu, Mama nak dia orang tu kutuk Kak Zhu?”
“ Mama pun tak suka. Tapi Zura kena ingat. Dia orang tu mak cik-mak cik Zura.” Mak Lang Nani berkata. Dia tidak mahu kemarahan anaknya itu semakin membara. Zurain pantang dicabar.
“ Zura tak ada mak cik macam dia orang tu.” Kata Zurain. Bukan maksudnya hendak menjadi kurang ajar. Mak Lang Nani hanya menggeleng. Dia sudah tidak tahu apa yang hendak dilakukannya lagi. Air mata sudah merembes keluar.
“ Kau orang semua jangan jadi macam Kak Zhu tu. Bercerai-berai. Aku tak nak anak-pinak aku macam tu. Jangan lahirkan anak haram. Aku tak nak keturunan aku dianggap kotor. Paham tak?” pesan Mak Long Esah pada anak-anaknya. Mereka seperti acuh tidak acuh sahaja mendengar kata-kata ibu mereka.
“ Zura tu tak tahu pulak macam mana. Kalau kahwin esok, entah tahan entah tidak. Perangainya ikut siapa pun aku tak tahu. Anak beranak si Nani tu, bukannya baik-baik sangat. Kamu semua tengoklah si Musa. Kerja tak besar. Tapi teringin nak kahwin dengan Nani. Aku sebenarnya kesian dengan Nani tu. Aku suruh Mak kahwinkan Nani dengan Inspektor Khalid, Nani tak nak. Siap merayu-rayu lagi dengan Mak. Apa yang tak ada kat Inspektor Khalid tu? Gaji besar. Ada kereta. Ada rumah. Hii! Aku cakap betullah. Memang Nani rugi sangat lepaskan pemuda yang baik macam Inspektor Khalid. Kalau nak dibandingkan Musa dengan Inspektor Khalid, hmm…macam langit dengan bumi.” Kata-kata Mak Long Esah semakin lantang. Panas telinga Zurain mendengar setiap kata-kata yang keluar dari mulut mak ciknya itu. Terus sahaja Zurain meluru ke arah mereka dan berdiri sambil mencekak pinggang dihadapan mak cik-mak ciknya yang sedang leka bersembang. Tidak sempat Mak Lang Nani memegang tangan Zura. Mereka semua terkejut dengan kehadiran Zurain. Memandang Zurain dengan satu pandangan yang menjelekkan.
“ Mak Long cakap baik-baik sikit, ya. Mak Long ingat anak-anak Mak Long ni semuanya bagus ke? Mak Long tu yang kena hati-hati. Dahlah anak-anak Mak Long semuanya perempuan. Kalau Mak Long nak tahu, Yati pernah terlanjur dengan boyfriend dia. Pernah mengandung dan pernah gugurkan kandungan sebanyak 3 kali. Dia baru beritahu saya semalam yang dia mengandung lagi. Kali ni, tak boleh gugurkan sebab akan mendatangkan risiko. Si Lina pulak hisap rokok. Minum arak, pergi disko. Tentang Fira pulak, saya tak tahu apa yang jadi. Dia tu belajar kat universiti nun jauh di sana. Sebulan sekali je dia balik ke rumah. Itupun selepas Mak Long yang paksa dia balik. Apa yang dia buat belakang Mak Long, Mak Long sendiri pun tak tahu, kan?” kata Zurain. Dia sudah tidak boleh menerima setiap kutukan mereka. Kesemuanya dihamburkan ke muka orang tua dihadapannya itu. Terdiam Mak Long Esah mendengar kata-kata Zurain. Tercengang Mak Ngah Asiha, Mak Teh Lela dan Mak Su Diah apabila mendengar kata-kata lantang Zurain. Yati, Lina dan Fira mula gelabah. Ibu mereka sudah tahu perkara sebenar.
“ Mak Long ingat, saya tak tahu yang Dalila dah banyak kali kena rogol dengan Pak Long. Dan, Mak Long jangan ingat saya tak tahu yang Pak Long tu kaki perempuan. Perangai binatang! Walaupun bapak saya tak kerja besar mana pun tapi bapak saya adalah seorang yang berbudi pekerti. Tahu hormat orang tua. Tak pernah pukul isteri sendiri. Pak Long pernah pukul Mak Long, kan? Sampai mulut berdarah. Mak Long jangan ingat saya muda tapi saya tak tahu apa-apa. Saya tahu bapak saya kerjanya tak besar. Tetapi sekurang-kurangnya dia mencari pekerjaan yang halal untuk menyara isteri dan anak-anak. Pak Long tak kerja. Asyik ambil duit Mak Long. Kalau tak dapat duit daripada Mak Long, dia pukul. Kemudian, Pak Long ugut lagi. Kalau masih tak dapat, Dalila jadi mangsa. Barang kemas Mak Long, semuanya dah habis digadai. Kemana habisnya wang-wang itu kalau tak ke meja judi dan arak.” Memang Zurain tidak dapat menahan dirinya lagi. Sudahlah dikutuk Zhulianna sahaja. Tetapi mengapa mesti hendak mengaitkan ahli keluarganya yang lain? Yati, Lina dan Fira terpaksa mengaku apabila dipaksa oleh Mak Long. Mengamuk besar orang tua itu. Dia selalu memuji melambung-lambung anak-anaknya. Tetapi ini balasan mereka kepadanya.
“ Saya banyak lagi rahsia. Tentang keluarga Mak Ngah, Mak Teh dan Mak Su. Kalau tak nak saya bongkarkan, jangan buruk-burukkan lagi keluarga saya.” Amaran daripada Zurain. Bukan niatnya hendak menjadi kurang ajar. Tetapi perangai manusia-manusia dihadapannya harus diajar.
Musa yang baru sahaja balik dari kerja, terus diserbu oleh isterinya. Terkejut Musa dengan Nani. Wajah Nani basah kuyup. Ini mesti kes kena kutuk dengan adik-beradiknya lagi. Telinganya sudah naik berkulat mendengar cemuhan adik beradik Nani itu.
“ Abang, cubalah Abang tengok anak Abang tu.” Kata Nani. Dia menarik suaminya untuk melihat kejadian yang sedang berlaku di ruang tamu. Mak Long Esah memukul anak-anaknya sambil terjerit-jerit dan menangis teresak-esak.
“ Apa yang sedang berlaku ni?” tanya Musa. Zurain menahan amarah.
“ Kak Long marahkan anak-anak dia.” Ujar Mak Lang Nani.
“ Kak Long marahkan anak-anak? Sesuatu yang baru.” Ada nada perli dalam percakapan Musa.
“ Kalau tak kerana Zura ceritakan hal yang tak sepatutnya, Kak Long takkan marah anak-anak dia.” Jelas Nani. Musa tergelak kecil.
“ Kak Long awak memang patut di ajar macam tu. Supaya dia tahu kalau lain kali dia nak bercakap, biarlah berlapik sikit.” Musa terus sahaja beredar ke kamar tidur. Dia perlu merehatkan diri melepaskan penat setelah seharian bekerja. Dia tidak mahu diganggu oleh perkara-perkara yang tidak sepatutnya menyemak di fikiran.
Puas hati Zurain. Tidak terniat dihati hendak membuka pekung keluarga Mak Long tetapi keadaan memaksa. Dia tidak sanggup lagi keluarganya diburuk-burukkan. Mereka tidak harus memijak maruah keluarganya.
“ Zura, kenapa kamu malukan Mak Long?” tanya Mak Lang Nani setelah kemarahan Zurain reda sedikit.
“ Mama…Zura tahu Mama tak pernah ajar Zura jadi kurang ajar dengan orang tua. Tapi Mama, kata-kata Mak Long dah mengaibkan Kak Zhu. Kak Zhu tak bersalah, Mama. Kak Zhu tak mintak jadi macam ni. Kenapa Mak Long nak ungkitkan kisah Mama dan Bapak? Kan kisah tu dah berlalu. Bukan jodoh Mama dengan inspektor tu. Kenapa mesti diungkitkan kisah lama? Zura bukan budak kecil lagi. Yang boleh menerima setiap kata-kata hinaan mereka. Zura dah besar. Umur dah 20 lebih. Tak mungkin Zura berdiam diri. Bapak pun dah jadi ketua di tempat kerjanya sekarang. Gaji dah cukup besar. Apa, itu semua tak cukup lagikah untuk membuka mata mereka semua?” bertubi-tubi penjelasan yang keluar dari mulut Zurain. Mak Nani mengesat air mata. Betul juga kata-kata Zurain.







ZURAIN tersedar dari lamunan. Termenung panjang sahaja Zhulianna semenjak kebelakangan ini setelah berjumpa semula dengan anak perempuan tunggalnya. Setelah bercerai dengan Tuan Nizam, Zhulianna tidak pernah berkahwin semula. Hatinya sudah tertutup untuk sebuah perkahwinan. Tertutup untuk menerima kehadiran seorang lelaki. Zurain mengenggam jari-jemari kakaknya. Zhulianna memandang muka Zurain dan mula menceritakan satu persatu. Tentang terjadi pertemuan diantara Zhulianna dan Qaseh sehinggalah kepada Pak Satar dan Mak Rani. Mengenai Tuan Nizam terkena buatan orang dan perkahwinan kali keduanya. Zurain seperti tidak terkejut dengan kata-kata kakaknya itu. Zhulianna kehairanan.
“ Kenapa Zura tak terkejut dengan cerita Akak ni?” tanya Zhulianna.
“ Zura dah tahu perkara sebenar. Abang Zam cerita sendiri kepada kami. Memang Zura nak cerita kat Akak tapi Abang Zam tak bagi. Dia tak nak Akak rasa menyesal kerana mintak cerai dulu.” Jelas Zurain. Air mata Zhulianna merembes keluar lagi. Kali ini lebih laju. Rupanya selama ini hanya dia seorang sahaja yang tidak tahu perkara sebenar.
“ Dan, pasal kahwin kali kedua tu pun Zura tahu. Tapi, Zura tak nak beritahu Akak. Takut Akak sedih.” Jelas Zurain. Zhulianna tersenyum manis. Dia tahu Zurain begitu sayangkan dia sehingga Zurain tidak sanggup membiarkan sesiapa pun menyakiti hatinya.
“ Dahlah, Kak. Perkara dah berlalu. Usah diingatkan lagi. Abang Zam pun dah tak ada. Kita tutup sajalah kisah buku ini. Kita buka lembaran baru dengan kepulangan anak Akak nanti.” Pujuk Zurain. Zhulianna segera mengesat air matanya.
Hampir satu hari Zurain duduk bersama kakaknya. Sehingga terlupa untuk menyediakan makan malam untuk suaminya yang akan pulang dari kerja sebentar lagi. Mereka berjanji hendak makan malam di rumah Zhulianna. Kelam kabut mereka menyiapkan makan malam.







ZHULIANNA mengemas rumah serba sedikit. Semenjak tiada orang gaji yang selalu datang ke rumah untuk mengemas rumah, kesemua kerja dia harus lakukan sendirian. Selepas siap mengemas, dia memasak pula. Tiba-tiba, loceng rumah berdering. Dia tidak menjangkakan tetamu yang akan berkunjung ke rumahnya. Zhulianna membuka pintu pagar dan menjenguk dari dalam. Siapakah tetamunya itu? Terkejut dia dengan kehadiran tetamu yang tidak disangka-sangkakan itu. Segera dia membuka pintu rumah. Tersenyum dia pada Mak Rani dan Pak Satar. Sanggup mereka datang melawatnya.
“ Saya tak sangka Mak Rani dan Pak Satar nak datang. Tapi, Mak Rani langkah kanan hari ni. Saya baru saja siap masak Laksa Kedah.” Zhulianna menjemput mereka masuk. Mak Rani masuk ke dalam rumah kecuali Pak Satar. Katanya, hendak mengambil barang di kereta.
“ Rajinnya, Puan Zhu. Kalau Mak Rani dengan Pak Satar, masak nasi je.” Kata Mak Rani. Terpegun sebentar dia dengan hiasan rumah yang ala-ala inggeris itu. Moden tapi antik. Sudah banyak perhiasan yang ditukar oleh Zhulianna. Tetapi keadaan rumah itu masih tetap sama. Sama seperti dahulu. Sama seperti sebelum Zhulianna meninggalkan rumah itu. Pak Satar baru sahaja melangkah masuk ke dalam rumah. Tetapi dia turut membawa seorang tetamu bersamanya. Zhulianna yang berada di dapur leka memasukkan kuah laksa ke dalam mangkuk. Mak Rani menolong. Puas dihalang oleh Zhulianna tetapi Mak Rani berkeras juga untuk menolong.
“ Mak Rani tanya sikit boleh ke, Puan?”
“ Boleh, Mak Rani.”
“ Kenapa Puan beli balik rumah ni?”
“ Rumah ni banyak kenangan saya dan Zam. Banyak kenangan manis yang ingin saya simpan dan kenang buat selamanya. Terlalu banyak memori kami bersama. Tetapi yang tidak boleh dilupakan ialah kenangan saya bersama Qaseh.” Jelas Zhulianna. Mak Rani mengangguk tanda faham.
Selepas siap menghidangkan Laksa Kedah di atas meja, Zhulianna ke ruang tamu. Kakinya kaku. Tidak jadi meneruskan langkah. Terkejut dengan kehadiran insan yang cukup dikenalinya itu. Orang itu tersenyum ke arah Zhulianna. Orang itu berdiri memandang Zhulianna yang masih lagi berdiri kaku. Mak Rani menyentuh bahu Zhulianna. Terus sahaja Zhulianna meluru ke arah orang itu.
“ Apa khabar, Ayah?” Zhulianna masih menghormati Datuk walaupun Zhulianna bukan lagi menjadi sebahagian dari keluarga Datuk. Dia menyalami tangan bapa mentuanya itu. Datuk hampir menitiskan air mata. Mak Rani sudah mengesat air mata yang menitis.
“ Alhamdulillah. Sihat. Zhu?” tanya Datuk kembali.
“ Zhu sihat. Macam mana Ayah nampak Zhu, macam nilah keadaan Zhu.” Ujar Zhulianna. Datuk tersenyum dalam kepayahan. Begitu banyak derita yang ditanggung oleh Zhulianna. Terpaksa bercerai dengan suami tersayang dan berpisah dengan anak yang baru dilahirkan.
“ Jom lah kita ke meja makan. Zhu dah siapkan makanan kegemaran Ayah, Laksa Kedah.” Pelawa Zhulianna. Mereka berempat menuju ke meja makan. Mereka menjamu selera dan sambil itu mereka menceritakan kisah dahulu-dahulu.

BERSAMBUNG.....

0 tukang komen paling setia: