BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, November 20, 2008

Dari KL ke Luxembourg 20

BAB 20

KEESOKAN pagi, Maria sudah memasukkan pakaian mandinya ke dalam beg dan makanan untuk mereka berkelah. Fareez sudah menunggu di bawah. Qaseh masih belum turun. Maria menghidupkan enjin keretanya dan memasukkan barang-barang makanan serta beg pakaian ke dalam but kereta. Fareez menunggu di luar rumah.
“ Where’s Q?” Maria bertanya kepada Fareez.
“ She’s in the bathroom.” Fareez membuka pintu kereta dan bersedia untuk masuk ke dalam perut kereta. Maria mengeluh melihat perangai acuh tak acuh Fareez. Maria masuk semula ke dalam rumah untuk memanggil Qaseh. Belum sempat Maria melaung memanggil Qaseh, Qaseh sudah muncul di ruang tamu. Qaseh menuruni tangga sambil tersenyum manis. Walauapapun yang terjadi kepada Qaseh semalam, wajahnya masih diceriakan.
“ Let’s go. We’re late.” Mereka beriringan menuju ke kereta. Qaseh duduk di hadapan bersama Maria. Kereta itu menderum pergi meninggalkan perkarangan rumah Auntie Rosemarie yang dihiasi dengan tanaman-tanaman daripada pelbagai jenis bunga dan bunga kacukan.
Qaseh menumpukan pandangan ke luar. Fareez pula sibuk mendengar mp3. Maria bosan apabila tiada seorang pun yang hendak bercakap dengannya. Dia cuba bercakap dengan Qaseh. Tetapi sepatah ditanya, sepatah juga dijawab. Seperti tiada mood sahaja sahabatnya itu.
“ Q, we are going to have some fun. Please…I don’t want to see your face like this.” Bisik Maria. Geram apabila tiada respon daripada Qaseh.
“ Q…Hello….Is anybody home?” Maria cuba berlawak. Qaseh tersentak. Kemudian, dia tersenyum dengan lawak yang dilakukan oleh Maria untuk menceriakan hatinya.
“ Cheer up, girl.” Qaseh tersenyum hambar. Maria turut tersenyum.
Selepas 2 jam 20 minit mereka merentas jalanraya, mereka sudah sampai ke destinasi yang ditujui. Kereta Maria membelok masuk ke pekan Echternach. Kereta itu perlahan-lahan menyusur pekan tersebut. Mencari tempat untuk mereka melepaskan dahaga. Kereta Maria berhenti betul-betul dihadapan sebuah café yang pemiliknya adalah orang Islam. Mereka bertiga melangkah masuk ke dalam café tersebut. Maria memilih meja di tengah-tengah restoran. Pelanggan-pelanggan lelaki yang berada di dalam restoran itu tidak lepas dari menatap Maria. Sebaik sahaja Qaseh melangkah masuk ke dalam restoran tersebut, perhatian daripada pelanggan lelaki beralih pula kepada Qaseh. Tidak terkecuali juga seorang pelanggan lelaki Melayu. Pelayan café tersebut, mendekati meja yang diduduki oleh dua orang wanita itu. Selepas memesan minuman, pelayan tersebut segera ke dapur menyampaikan pesanan pelanggan.
“ Where is Freez? Sorry…Sorry…I mean, Fa…reez…” perbuatan Maria itu mengundang tawa dari bibir mungil Qaseh. Maria turut tergelak.
“ He’s out there. Buying something.” Kata Qaseh dalam sisa tawanya. Pelanggan lelaki yang sedari tadi memerhati gerak geri Qaseh, mendekati meja yang mereka duduki itu. Qaseh perasan ada seseorang sedang menuju ke arah mereka. Dia asyik memandang lelaki itu. Dahinya berkerut-kerut. Maria memandang wajah Qaseh yang seperti ternampak hantu.
“ Hi…” lelaki tersebut menyapa Qaseh. Berkerut dahinya cuba mengecam wajah lelaki itu yang ditumbuhi janggut liar.
“ Adib?” tanya Qaseh inginkan kepastian. Lelaki itu mengangguk. Maria turut memandang wajah lelaki yang baru sahaja disebut namanya oleh Qaseh.
“ Hi, Maria.” Kata Adib seraya memandang wajah Maria.
“ Hi. Long time no see.” Sapa Maria. Sesekali mata Maria bertembung dengan mata berkaca light brown milik Qaseh. Adib tersengih.
“ Have a sit.” Ajak Maria. Adib terus sahaja melabuhkan punggungnya di sebelah Qaseh. Maria terkejut dengan tindakan Adib. Qaseh yang berada di sebelah Adib sudah kegelisahan. Dia takut Fareez akan nampak.
Fareez menolak pintu café itu dan segera masuk ke dalam café tersebut. Dia terkejut dengan kehadiran seorang lelaki. Lepas itu, duduk di sebelah isterinya pula. Lengan lelaki itu sesekali berlaga dengan lengan Qaseh. Darah Fareez mendidih. Dia berjalan mendekati meja yang diduduki oleh mereka. Tercegat sahaja Fareez berdiri. Qaseh gusar.
“ Hey, Fareez.” Adib bangun dan terus memeluk sepupunya itu. Terkejut Fareez dengan tindakan Adib itu.
“ Aku tak perasan kau tadi. Berjambang kau sekarang.” Kata Fareez cuba menutup perasaan amarah yang meluap-luap sebentar tadi. Sememangnya dia tidak perasan akan Adib. Sepupunya itu berkulit putih dan wajah seakan-akan orang tempatan Luxembourg. Sudah banyak berubah. Tidak seperti Adib yang mereka kenali dahulu. Seorang yang mementingkan kebersihan wajah. Dan seorang yang pandai bergaya. Berpakaian kemas. Kini, Adib seperti orang yang tidak berumah. Berbaju T dan berseluar jeans lusuh. Memanglah orang tidak akan cam apabila memandangnya sekali imbas.
“ It’s ok. Duduklah.” Adib memberikan ruang kepada Fareez untuk duduk. Adib berpindah tempat duduk. Dia duduk disebelah Maria. Fareez menghenyakkan punggungnya di sebelah Qaseh.
“ Where are you guys up to?” tanya Adib kepada Maria.
“ No where. We just want to get some fresh air.”
“ I don’t believe you guys. You wouldn’t just drive from Wiltz to Echternach. There must be something.” Adib tidak mempercayai kata-kata Maria. Dia kenal sangat akan sikap kedua-dua wanita itu. Mereka tidak akan memandu sejauh ini hanya kerana hendak mengambil angin dan berjalan-jalan. Bukan sehari dua dia mengenali mereka.
“ You’ve caught us. Actually…we want to go to Little Switzerland. Care to join us?” tanya Maria. Diajaknya Adib sekali pergi ke tempat yang menjadi destinasi mereka. Adib berfikir-fikir sebentar sebelum memberikan jawapan yang pasti. Satu persatu wajah yang berada di meja itu diteliti. Adib menatap wajah Qaseh. Kemudian, dia memberikan kata putus.
“ Okay…” jawapan Adib itu semakin meresahkan benak Qaseh yang sudah kegelisahan. Fareez tersenyum sumbing. Qaseh semakin tidak senang duduk. Ada sahaja benda yang dirasakan tidak kena. Seperti satu kebetulan mereka berjumpa dengan Adib di Echternach. Setahu Qaseh, Adib tinggal di Bigonville, wilayah Redange. Agak jauh juga Adib datang ke sini. Betulkah satu kebetulan? Atau hanya Maria yang mengaturkan pertemuan ini? Qaseh berasa curiga. Qaseh memandang Maria dengan kerutan di dahi. Tetapi Maria juga kelihatan tidak senang duduk. Kenapa? Dia harus bertanya kepada Maria. Soalan ini semakin menghimpit fikirannya.






BUNYI deruan air terjun yang turun mencurah-curah dari satu tebing yang tinggi begitu menyamankan. Susunan batu-batuan yang wujud di situ sejak berjuta tahun yang lalu sangat unik. Qaseh leka dengan persekitaran di sekelilingnya. Fareez duduk di atas batu dan merendamkan kakinya ke dalam air terjun tersebut. Air di situ sangat sejuk. Dia mengeluarkan buku yang dibawa bersama-sama dan dibaca. Suasana di situ sungguh menyegarkan. Tenang. Dapat juga Qaseh menenangkan fikirannya yang kusut. Mata Adib tidak lepas dari memandang wajah Qaseh. Semakin cantik pula dia selepas berkahwin. Adakah dia bahagia hidup sebagai isteri kepada Fareez? Lelaki yang tidak percaya kepada perempuan dan cinta.
Qaseh menyediakan makanan untuk mereka menikmati. Maria pula sudah menukar pakaian dan bersiap sedia untuk membasahkan badannya dengan air terjun. Qaseh leka melakukan kerja-kerjanya.
Sesekali mata Adib bertembung dengan mata Qaseh. Apabila menghadapi situasi sebegitu, Qaseh akan menundukkan muka atau mengalihkan pandangan ke tempat lain. Tidak sanggup bertentang mata. Fareez perasan akan perbuatan Adib itu. Dia hanya merenung tajam ke arah Qaseh. Qaseh menuangkan air kopi ke dalam kole. Qaseh melangkah menuju ke arah Fareez. Dia memijak batu-batuan yang ada disitu. Agak tajam batu-batu tersebut. Qaseh mengaduh perlahan. Dihulurkan kole itu kepada Fareez. Pantas sahaja Fareez menyambut kole itu. Qaseh kembali semula ke tempat dia menyediakan makanan. Adib mendekati Qaseh. Adib duduk di atas kain yang dihamparkan. Pada mulanya dia meminta air kopi kemudian dia meminta pula sandwich. Satu persatu dia minta daripada Qaseh. Qaseh tidak dapat melarikan diri dari Adib. Dia terpaksa melayan Adib kerana Maria masih belum lagi selesai berendam. Kalau tidak, mahu sahaja Qaseh menyuruh Maria melayan Adib.
“ Q, boleh Adib tanya satu soalan?” tanya Adib. Qaseh mengangguk. Adib duduk menghadap Qaseh.
“ Q bahagia dengan Fareez?” tanya Adib sekali lagi. Dia tidak mahu andaian yang bersarang di kepalanya. Dia mahukan jawapan yang pasti dari mulut itu. Qaseh tidak pasti samada hendak menjawab soalan itu atau sebaliknya. Adib masih lagi menunggu jawapan dari bibir mungil itu.
“ Kenapa Adib tanya macam tu?” tanya Qaseh kembali. Dia mengerutkan dahi. Tidak suka orang mempersoalkan kebahagiaannya.
“ Adib tanya je. Sebab Adib tengok, Q kat sini dan Fareez kat sana. Ada apa-apa yang tak kena ke?” Adib mahu Qaseh berterus-terang dengan dia tetapi nampaknya Qaseh agak keberatan hendak bercakap dengan Adib. Dia tidak suka orang menyibuk untuk mengetahui perihal rumahtangganya.
“ Tak semestinya Q kat sini dan Fareez kat sana, kita orang gaduh. We’re fine. Tak usahlah Adib soalkan tentang kebahagiaan Q. Q bahagia dan Q cintakan Fareez. Sepenuh hati.” Qaseh sudah memandang tajam ke arah Adib. Adib mengeluh. Dia tidak percaya kata-kata itu. Dia akan memaksa Qaseh menceritakan perkara yang sebenarnya.
“ Fareez…cintakan Q?” tanya Adib lagi. Qaseh mendengus geram.
“ Tak perlulah Adib ambil tahu tentang hati dan perasaan Q. Begitu juga dengan Fareez. Memanglah Adib kawan baik Q dan sepupu yang paling rapat dengan Fareez, tapi tak semestinya Adib mesti ambil tahu akan semua hal.” Qaseh sudah mula meninggikan suara. Maria yang asyik berendam pun mengangkat badannya untuk melihat Qaseh dan Adib yang masih dengan perbualan mereka itu. Fareez memandang sekilas.
“ Tapi Adib cintakan Q.” Ujar Adib perlahan. Qaseh meraup rambutnya ke belakang. Dia ni masih tak faham lagi ke? Hati Qaseh berkata geram. Sudah bosan melayani sikap keanak-anakan Adib.
“ Adib, Q dah kahwin. Simpan sajalah cinta Adib tu untuk perempuan yang sesuai mencintai Adib. Q milik seseorang. Yang tak mungkin Q tinggalkan hanya untuk membalas cinta Adib. Tolonglah faham, Adib. Biarlah kita kekal sebagai sahabat. Jangan rosakkan persahabatan kita dengan cinta yang tak mungkin kesampaian. Andaikata Fareez melepaskan Q, Q tetap takkan mencintai Adib. Q lebih selesa kita menjadi kawan. Fahamilah diri Q, Adib.” Panjang lebar Qaseh menjelaskan perkara sebenar kepada Adib. Biar Adib terluka. Dia tidak sanggup lagi bersandiwara. Biar Adib faham. Qaseh tidak mahu Adib terus mengharap cintanya yang tidak mungkin dibalas. Bukan niat Qaseh hendak melukakan hati Adib.
“ Baru Adib faham sekarang.” Qaseh memandang wajah Adib yang sudah kemerah-merahan kerana terkena sinaran matahari.
“ Apa yang Adib faham?” tanya Qaseh. Adib bangun dari tempat yang diduduknya. Adib mengeluh kuat.
“ Tentang segala-galanya. Tak sangka Adib ni macam terdesak.” Kata Adib sambil melemparkan pandangan ke arah air terjun yang mengalir di celah-celah batu.
“ Adib tak terdesak. Cuma Adib tergesa-gesa meluahkan perasaan cinta. Sepatutnya Adib tak boleh meluahkannya kepada Q. Adib perlu cari seorang teman hidup yang sesuai untuk Adib luahkan segala perasaan cinta Adib itu kepadanya.” Qaseh membetulkan ayat Adib. Dia tidak mahu Adib berasa tertekan. Adib mengalihkan wajah dan memandang wajah bersih dihadapannya itu. Matanya jatuh pada cincin di jari kelingking Qaseh. Cincin yang bertatahkan berlian itu bersinar-sinar apabila terkena pancaran matahari yang melalui dedaun hijau yang merimbun di air terjun itu.
“ Q memang sesuai menjadi kawan Adib. Terima kasih Q. Kerana menyedarkan Adib dari mimpi yang tak ada kesudahan ni.” Adib tersenyum. Qaseh turut tersenyum. Dia berjaya menerangkan segala-galanya tanpa membuatkan hati Adib terluka. Adib duduk semula di atas kain yang dihamparkan di atas dedaun kering. Dia menyuap sandwich ke mulutnya. Diteguk air kopi yang masih berwap itu. Selepas makan, Adib membuat keputusan untuk menyertai Maria berendam di dalam air terjun itu. Berdebur air itu berbunyi apabila Adib terjun ke dalamnya.
Sesekali mata Fareez memandang Qaseh yang duduk di atas kain itu. Qaseh perasan dirinya menjadi intipan suami sendiri. Maria terjerit-jerit apabila digeletek oleh Adib yang turut berendam di dalam air itu. Qaseh tergelak melihat perbuatan Adib dan gelagat Maria. Fareez tersenyum dan menggeleng. Qaseh berasa seronok. Dapat menghirup udara segar dan dapat melihat kehijauan tumbuh-tumbuhan.
Selesai Maria berendam, dia naik ke atas batu yang ada di situ untuk mengeringkan badannya yang basah. Dilap badan dengan kain tuala yang dibawa dari rumah. Adib hanya memerhatikan perbuatan Maria itu. Terliur dia melihat tubuh Maria yang montok itu. Maria mengeringkan rambutnya pula. Kemudian, dia menjemurkan diri yang kepenatan itu. Mata Adib tidak lepas dari menatap Maria. Ditelitinya wajah Maria. Wajah itu juga seperti Qaseh. Mempunyai kelembutan yang tersendiri. Qaseh hanya memerhatikan gerak geri Adib. Qaseh berjalan mendekati Adib dan berdiri di sebelahnya. Fareez hanya memerhatikan perbuatan Qaseh itu. Timbul satu perasaan di benaknya. Perasaan yang sukar untuk digambarkan.
“ Itulah lelaki. Mata keranjang.” Kata Qaseh. Adib memusingkan kepalanya memandang Qaseh. Qaseh memasamkan muka.
“ Apa maksud Q?”
“ Tak boleh tengok perempuan seksi sikit.”
“ Tak semua lelaki macam tu.” Bantah Adib.
“ Ye ke? Boleh percaya?”
“ Kenapa? Tak percaya?” Adib seakan-akan meniru gaya percakapan lelaki cina yang berlakon di dalam iklan Bumiputra Commerce (BCB). Qaseh mendengus.
“ Adib tengok, Maria tu macam ada sifat keibuan.” Adib memandang semula wajah yang sedang menjemurkan badan itu.
“ Adib cubalah pikat Maria. Dari dulu lagi, Maria memang sukakan Adib.” Kata Qaseh. Adib memandang Qaseh tidak berkelip. Qaseh mengangguk perlahan. Dia tersenyum.
“ Kalau Adib jadi bercinta dengan Maria, nak ke Maria masuk Islam?” kata Adib sedikit gusar. Dia tidak mahu hubungannya dengan orang bukan Islam berjalan dengan lancar selagi orang itu tidak memeluk Islam. Qaseh tersenyum. Dia faham akan kegusaran yang dihadapi oleh Adib.
“ Belum cuba, belum tahu. Macam lagu yang dinyanyikan oleh Ajai dan Nurul. Tak kenal maka tak cinta.” Ujar Qaseh sambil berlalu dari situ. Adib termangu. Dia seperti berfikir sesuatu.






SETENGAH hari masa mereka dihabiskan di air terjun tersebut. Maria bersembang dengan Qaseh manakala Adib termenung di atas jambatan yang berada di atas air terjun itu. Fareez masih lagi dengan bukunya. Kafka of the Shore menjadi pilihan Fareez untuk membaca. Penulis buku itu seorang berbangsa Jepun. Leka dia membaca buku itu. Qaseh mendekati Fareez dan duduk di sebelah suaminya itu. Dia membaling batu ke dalam air.
“ Hey, guys. Let’s go home. It’s already late.” Laung Maria. Adib tersedar dari lamunannya. Qaseh mengangkat punggung dan menuju ke arah Maria. Menolong sahabatnya itu mengemas. Fareez juga bangun. Menuju ke arah mereka berdua. Adib menolong Maria mengangkat barang-barang yang sudah dikemas dan dimasukkan ke dalam kereta.
“ Can we stop at Grevenmacher?” tanya Qaseh. Maria tersenyum dan mengangguk. Faham benar dengan Qaseh. Kalau dia ke Wiltz, pasti dia akan bersinggah di Grevenmacher.
Qaseh masuk ke dalam perut kereta. Dia duduk dibelakang bersama Fareez. Adib beria-ia hendak memandu ke Grevenmacher. Akhirnya, Maria mengalah. Dihulurkan kunci kereta dan duduk di sebelah pemandu. 45 minit kemudian, mereka tiba di Grevenmacher. Inilah tempat yang menyimpan banyak kenangan Maria bersama Ross. Pertama kali, Maria berjumpa dengan Ross. Fareez memerhatikan pemandangan di sekelilingnya. Sungguh indah tempat itu. Sebuah perkampungan yang bernama Machtum menjadi destinasi perhentian mereka.
Qaseh dan Maria turun dari kereta dan menuju ke sebuah kedai yang menjual cenderahati. Qaseh membeli cenderahati setiap satu untuk orang yang selalu terlayang-layang di fikirannya. Datuk, Rafidah, Khairudin, Alis, Hamidi, Tashya, Aleya, Aishah. Dia juga tidak lupa untuk membelikan cenderahati untuk keluarga mentuanya. Qaseh melihat satu selendang. Mesti sesuai untuk ibu mentuanya.
“ Abang, Ummi suka warna apa? Hijau ni, ok tak?” tanya Qaseh kepada Fareez. Fareez memandang selendang tersebut sekilas lalu. Tidak berminat. Acuh tak acuh sahaja Fareez. Tidak dijawab soalan isterinya itu. Qaseh terlihat tali leher yang sesuai dengan ayah mentuanya yang merupakan seorang ahli perniagaan. Fareez tercegat di luar kedai tersebut. Adib sudah mencari restoran untuk mereka semua menjamu selera. Maria masih membelek rantai leher mutiara yang unik rekabentuknya.
“ Abang, cantik tak tie ni? Qaseh ingat nak hadiahkan pada Walid. Sesuai tak dengan Walid?” tanya Qaseh lagi. Cuba menarik perhatian Fareez. Kali ini, Qaseh memilih cenderahati-cenderahati untuk keluarga mentuanya termasuk anak tirinya.
“ Abang, Qaseh dah pilih souvenir untuk Kak Liza, Kak Lis, Abang Wan, Ana, Mia, Bell dan Mirul. Abang rasa dia orang suka tak?” Qaseh masih tidak berputus asa. Maria sudah membayar barangan yang dibelinya dan berjalan ke arah restoran yang dipilih oleh Adib. Qaseh masih di kedai tersebut bersama Fareez.
“ Tak payahlah kau nak membazirkan duit. Simpan sajalah duit kau tu.” Fareez berkira-kira hendak beredar dari situ. Tetapi dia berpaling semula.
“ Satu lagi…Kau tak payah nak beli souvenir untuk Mirul. Dia tak perlukan barang dari perempuan macam kau. Dia anak aku. Barang yang kau pilih ni tak sesuai untuk dia.” Kata-kata Fareez menghiris tangkai hati Qaseh. Dia tetap bersabar. Sebak sudah menguasai dirinya. Fareez berjalan meninggalkan Qaseh di kedai itu. Air mata sudah mula bertakung di tubir mata. Tetapi Qaseh segera mengesat air mata itu sebelum tumpah membasahi pipinya. Dia membawa barang-barang yang dipilih menuju ke kaunter pembayaran dan membayar kesemua cenderahati-cenderahati tersebut. Selepas itu, Qaseh berjalan keluar dari kedai tersebut. Dia menuju ke restoran yang Adib pilih untuk makan malam mereka.
Qaseh duduk berhadapan dengan Fareez. Maria duduk di sebelah Qaseh. Adib pula duduk bersebelahan dengan Fareez. Adib sudah memesan makanan. Sementara menunggu makanan yang dipesan sampai, mereka bertiga berbual kosong. Fareez lebih banyak mendiamkan diri.
“ When are you going back to Malaysia?” tanya Maria.
“ Next week. But…the day after tomorrow we have to go to Luxembourg. We’re going to my sister in law’s house. And we are going to take Mirul with us to Malaysia.” Jelas Qaseh. Adib terangguk-angguk mendengar penjelasan Qaseh. Maria seperti pernah mendengar nama itu.
“ Oh! Your step son?” baru Maria teringat.
“ Yup.” Makanan yang dipesan sampai. Begitu meyelerakan. Mereka berempat menjamu selera. Selepas menjamu selera, semua tersandar kekenyangan. Adib mencadangkan mereka menginap dahulu di hotel kerana hari sudah lewat malam. Jika mereka pulang ke Wiltz, mungkin Subuh baru mereka tiba. Semua bersetuju.
Kereta Maria menyusur di dalam pekan tersebut. Mencari tempat penginapan yang sesuai untuk mereka menginap. Hotel Jardin des Papillions menjadi pilihan mereka. Adib memarkirkan kereta Maria di tempat letak kereta yang dikhaskan untuk penginap-penginap di hotel tersebut. Adib mengambil satu bilik untuknya dan satu bilik untuk Maria. Satu lagi untuk Fareez dan Qaseh.
“ Tak payahlah membazir, Adib. Dua bilik pun dah cukup. Qaseh share dengan Maria. Fareez pula dengan Adib. Jimatkanlah duit tu.” Kata-kata Fareez menerima anggukkan kepala daripada Qaseh. Adib turut bersetuju dengan cadangan Fareez itu.
Malam itu, mereka semua tidur dalam keletihan yang jelas di wajah masing-masing.

BERSAMBUNG.....

0 tukang komen paling setia: