BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, December 18, 2008

Kasih Aishah Najyha BAB 6

BAB 6

SHILA menarik lengan Aishah dengan kasar. Aishah rimas dengan cara Shila. Mereka sama-sama menuju ke tempat letak kereta. Shila menuding jari telunjuknya ke arah Hafiz dan Lutfi yang berada di bawah pondok. Lutfi sedang menyerahkan duit kepada Hafiz. Lutfi berkata sesuatu. Hafiz mengira duit tersebut. Kemudian tersenyum kepada Lutfi. Lutfi menepuk bahu Hafiz. Kemudian mereka bersalaman. Lutfi beredar dari situ. Hafiz masuk ke dalam perut kereta.
“Kan aku dah kata. Dia bertaruh dengan Lutfi untuk buat kau jatuh cinta dengan dia. Bila aku cakap, kau tak percaya. Kau tengoklah sendiri.” Ujar Shila. Air mata Aishah bertakung. Dia tidak percaya Hafiz sanggup bertaruh. Apa salahnya? Kenapa Hafiz buat begitu? Bukankah dia ikhlas berkawan dengan Hafiz? Kenapa harus dipermainkan perasaannya? Tetapi Hafiz tidak pernah tahu akan perasaan Aishah yang satu ini terhadap Hafiz. Kenapa persahabatan mereka selalu sahaja diuji? Aishah memandang sekilas ke arah Shila dan segera beredar dari situ. Shila tersenyum. Rancangannya berjaya. Lutfi menuju ke arah Shila. Mereka sama-sama tersenyum jahat.
“Macam mana lakonan aku? Bagus tak?” tanya Lutfi tidak sabar.
“Excellent. Berkesan.” Shila membuka dompet dan mengeluarkan 5 keping not RM 100. Diserahkan kepada Lutfi. Lelaki itu memandang Shila dengan perasaan hairan. Di mana dia dapat duit sebanyak ini? Memanglah Shila anak orang kaya tetapi masakan ibubapanya memberi dia duit sebanyak itu. Mungkin duit yang dikumpulnya barangkali, detik hati Lutfi.
“Lepas ni, kita tak berhutang lagi dah.” Kata Shila dan berkira-kira hendak beredar dari situ. Belum sempat kakinya melangkah, dia dihalang oleh Lutfi. Shila sedikit menggelabah.
“Takkan duit je?”
“Habis tu, kau nak apa?” tanya Shila garang. Lutfi meneliti seluruh tubuh Shila sambil tersenyum miang. Dia melurutkan dagunya. Shila semakin curiga dengan gerak geri Lutfi. Lelaki ini memang tidak boleh dipercayai. Nurdinni pernah memberitahu kepada Shila mengenai perangai Lutfi. Tetapi kerana dia hendak memisahkan Aishah dan Hafiz, dia terpaksa bekerjasama dengan lelaki itu.
“Aku nak lebih dari tu.” Lutfi menyentuh bahu Shila. Shila menepis kasar dan menampar pipi Lutfi dengan kuat. Berpinar kepala Lutfi dibuatnya. Shila segera berlari meninggalkan Lutfi sebelum Lutfi bertindak lebih ganas. Lutfi menggosok pipi yang terasa pedih. Shila berlari ke arah pintu pagar sekolah.
“Perempuan jahanam. Kau akan kena dengan aku nanti.” Jerit Lutfi sekuat hati sehinggakan sekolah itu bergema dengan suaranya. Mujurlah tiada sesiapa pun di sekolah itu. Kebanyakan pelajar sudah pulang ke rumah masing-masing.
Aishah menunggu bas di perhentian. Matanya menjadi merah akibat terlalu banyak menangis. Hatinya pedih. Hancur luluh. Seribu perasaan bermain di dalam hati, minda dan jiwa. Entah kenapa. Dia merasakan suatu perasaan yang tidak sepatutnya ada sewaktu dia berkawan dengan Hafiz. Perasaan halus yang selalu mengusik jiwa. Entah ke berapa kali Aishah mengelap air mata yang tidak berhenti menuruni pipinya yang gebu. Sebuah kereta Wira berhenti betul-betul dihadapannya. Pemandu kereta tersebut menurunkan cermin kereta dan menjerit nama Aishah. Segera Aishah mengelap air mata. Tanpa melihat ke arah pemandu kereta tersebut, Aishah meninggalkan perhentian bas tersebut dengan hati yang pedih. Dia tahu siapa pemandu itu. Hafiz keluar dari kereta dan mengejar Aishah. Ditarik lengan gadis itu sehingga dia mengaduh kesakitan.
“Saya minta maaf. Kenapa awak cuba melarikan diri dari saya? Apa saya dah buat diluar kesedaran saya?” tanya Hafiz. Tidak faham dengan tindak-tanduk Aishah yang tiba-tiba.
“Memang sepatutnya dari dulu lagi saya jauhkan diri dari awak. Saya tak patut berkawan dengan awak. Saya tak layak. Saya sedar siapa diri saya.” Kata Aishah sambil mengelap air mata yang turun di hujung lengan baju kurungnya. Hafiz mengerutkan dahi. Tidak faham dengan kata-kata Aishah.
“Hey, kenapa ni?” lembut sahaja Hafiz bertanya. Suara itulah yang selalu mencairkan hati gadisnya.
“Fiz, saya rasa lebih baik kita putuskan persahabatan yang sedia ada. Saya dah tak larat menjadi bahan cemuhan kawan-kawan awak dan budak-budak kat sekolah. Saya dah penat. Letih. Dah tak sanggup telinga saya nak mendengar cecehan kawan-kawan awak.” Rayu Aishah. Hafiz menggeleng. Dia tidak sanggup memutuskan persahabatan mereka yang semakin hari semakin akrab.
“Kenapa awak nak pedulikan apa kata orang? Biarlah saya terus berkawan dengan awak.” Hafiz masih memegang lengan Aishah. Perlahan-lahan Aishah melepaskan lengannya. Aishah melepaskan satu keluhan besar. Dia tersenyum dan menggeleng.
“Lepas ni, kita jangan berjumpa lagi. Tolonglah, Fiz. Fiz jangan ambil tahu mengenai diri saya. Dan saya takkan ambil tahu mengenai diri Fiz. Kita buat seperti dulu. Kita hanyalah orang asing. Saya tak patut berada dalam dunia awak.” Ujar gadis itu.
“Dan….awak tak patut berada dalam hati saya.” Aishah berkata perlahan.Dia berpaling dan beredar dari situ dengan langkah yang perlahan. Hafiz tidak sanggup melepaskan Aishah. Kenapa dia berperasaan begitu? Mereka bukan berkasihan. Apatah lagi memadu cinta. Tidak! Dia tidak akan melepaskan Aishah tetapi kenapa kakinya seperti dirantai? Dia tidak boleh berlari untuk mendapatkan gadis itu yang semakin menjauh. Sehingga hilang dari pandangannya.

Dan kisahku yang masih panjang
Menambahkan berat yang memandang
Lantas ku pendam
Ku putuskan biarlah rahsia….

Biarlah kisah kasihku berakhir di sini. Aku tetap dan selamanya akan mencintai kau, Mohd Hafiz bin Mohd Najmuddin. Biarlah ada orang yang akan lebih menyayangi kau lebih daripada aku menyintai kau. Kau tetap di hati ini, hatinya bergetus kecil. Fikiran Aishah melayang-layang. Tidak sedar kakinya sudah hampir ke pintu pagar rumah.



HANYA tinggal beberapa hari sahaja lagi pelajar Tingkatan 5 di seluruh Malaysia dan tidak ketinggalan Sabah dan Sarawak akan menghadapi ujian yang paling penting, SPM. Aishah kerap ke perpustakaan. Masanya banyak dihabiskan untuk mengulangkaji. Dirumah juga Aishah sudah tidak menonton televisyen. Radio sahaja yang menjadi peneman setia untuk belajar. Zanariah, Amy dan Soraya turut mengikut jejak Aishah. Dia menyelak buku Ekonomi. Satu benda yang dibaca tidak boleh lekat di otak. Kerap kali dia teringatkan Hafiz. Kemanakah dia? Sudah hampir sebulan tidak nampak batang hidung. Benarkah Hafiz cuba menjauhkan diri? Aku terasing dalam dunianya. Mana mungkin kami bersama. Walaupun tiada kata-kata kasih atau cinta yang diucapkan tetapi melalui gerak bahasa tubuhnya, dia juga mempunyai perasaan yang sama denganku. Ahh!!!Aku tidak boleh mencintai dia. Dia hanyalah seorang lelaki yang datang menghulurkan salam persahabatan disaat aku inginkan dirinya. Tapi hati ini terlalu degil. Sehingga kini, wajahnya masih terlayar di ruang mindaku, hati kecil Aishah bergetus sendirian. Mungkin ada baiknya dia memutuskan persahabatan mereka. Selepas Aishah tidak lagi kelihatan bersama-sama Hafiz, Tengku Nora dan Shila sudah tidak menganggunya.
Aishah membuka pintu bilik. Direbahkan badan ke atas katil. Semenjak ujian hampir tiba, banyak pula kerja latihan amali yang perlu disiapkan. Matanya turut berpusing mengikut rentak kipas siling yang berputar mengikut arah jam. Nina membuka pintu bilik Aishah. Dilihat Aishah tidak sedar akan kehadirannya. Nina melabuhkan punggung di atas sofa yang ada di dalam bilik adiknya itu. Kakaknya itu menggeleng.
“Kenapa dengan Adik sekarang ni?” tanya Nina. Cuba menyedarkan adiknya daripada lamunan yang panjang.
“Kenapa apa? Tak fahamlah.” Tanya Aishah kembali. Soalan berbalas soalan.
“Kak Na tengok, Adik termenung sana…termenung sini. Macam orang mati laki pun ada jugak.” Nina ketawa besar dengan kata-katanya. Aishah tidak langsung rasa hendak ketawa. Dia hanya tersenyum kecil.
“Adik tak nak tanya pasal Hafiz?” umpan Nina.
“Kenapa nak tanya pasal dia? Dia dah tak ada kaitan dengan Adik.” Kata Aishah tegas. Tetapi semasa Nina menyebut nama Hafiz, Aishah tidak menafikan bahawa perasaannya berdebar-debar. Nina mendengus.
“Hafiz dah berhenti sekolah.” ringkas sahaja Nina berkata-kata, Aishah terus bangun dari baringnya dan duduk di birai katil menghadap kakaknya.
“Apa?! Kenapa dia berhenti?” tanya Aishah yang masih terkejut dengan keputusan Hafiz. Takkanlah sampai hendak berhenti apabila dia memutuskan persahabatan mereka.
“Dia dapat offer untuk pergi U.K. Dia tak nak pergi tapi Kak Na nasihatkan dia. Bukan selalu dapat peluang macam ni. Lagipun dapat satu universiti dengan adik dia. Elok sangatlah tu. Dulu memang dia dapat offer pergi Germany, tapi dia tolak. Hafiz kata nak sama satu universiti dengan adik dia. Tapi bila dah dapat peluang macam ni, dia nak tolak jugak. Kak Na tak puas hatilah dia buat macam tu. Lagipun sebelum dia berangkat, dia ada pesan kat Kak Na suruh jaga Adik. Dan…dia kata lagi, sampai bila-bila dia takkan lupakan persahabatan dia dengan Adik walaupun sekejap. Dia suruh Kak Na pesan lagi kat Adik, jaga diri baik-baik.” Terang Nina panjang lebar
“Ohh ye ke?” Aishah berkata perlahan.
“Oh ye ke saja? Hii…kenapa dengan Adik ni? Kak Na ingat Adik nak terkejut ke dengan decision Hafiz ni.” Geram Nina dengan sikap Aishah yang acuh tidak acuh itu.
“Kak Na nak Adik cakap apa lagi?” Aishah berkata dengan hambar.
“Ye la, atleast macam surprise sikit ke. Taklah macam tak ada perasaan langsung. Lebih baik Kak Na cakap dengan dinding. Dinding pun faham jugak apa yang Kak Na sampaikan ni.” Membuak-buak kemarahan Nina. Tetapi disimpankan sahaja marah itu di dalam hati apabila melihat perubahan wajah Aishah.
“Dia try call Adik. Tapi selalu tak dapat. Kalau dapat pun, tak berjawab.” Sambung Nina kembali. Dia menepuk bahu adiknya itu perlahan.
“Satu je pesan Kak Na untuk Adik. Jangan pernah menaruh harapan pada Hafiz.” Pesanan Nina itu membuatkan Aishah mengerutkan dahi.
“Maksud Kak Na, apa?” tanya Aishah. Dia benar-benar tidak faham.
“Adik masih muda. Carilah lelaki lain untuk mengisi kekosongan dalam hati tu.” Baru dia faham kini maksud Nina. Pantas Aishah menggeleng.
“Adik tak pernah menaruh harapan pada dia, Kak.” Balas Aishah.
“Di mulut lain, di hati lain.” Ujar Nina.
“Tidak bagi Adik.” Aishah masih menegakkan kebenaran.
“Yelah, Dik. Whatever.” Malas Nina mahu bertekak dengan adiknya itu lagi.
“Sepanjang perjalanan ini, lembah dan lurah ku lewati, ketenangan yang ku cari, belum kutemui. Ku menghimpun doa bertahun, mencari perpohonan rimbun, bertemu dahan nan rapuh, dapatku berteduh. Dulu aku sendiri, kini masih sendiri, hadapi hidup ini, susah senang diriku, tiada tempat mengadu, seperti burung kepatahan sayap, dihati kecil ku MENARUH HARAPAN…..” nyanyi Nina nyaring. Aishah tergelak kecil melihat gelagat kakaknya yang ingin meniru gaya ala-ala Zaiton Sameon. Jeritan Nurradiah dari bilik sebelah mengejutkan mereka berdua.
“Nina, Adik….dah malam ni. Konsert AF apa yang kamu buat dalam bilik tu?” tanya Nurradiah. Mereka berdua menekup mulut.
“Percayalah, Kak Na. Adik takkan pernah menaruh harapan.” Tersenyum sahaja adiknya itu berkata-kata.
“Yelah, Dik. Suka hati kamu lah, Labu….” Ada-ada sahaja benda yang Nina hendak mengenakannya. Nina segera meninggalkan bilik Aishah tergesa-gesa apabila terdengar deringan telefon bimbit daripada bilik tidurnya.
Aishah melangkah ke arah jendela. Dibiarkan jendela itu terbuka. Angin sepoi-sepoi bahasa meniup rambut. Melayang-layang rambut itu menutupi wajah. Benarkah dia tidak akan menaruh harapan? Tetapi kenapa sehingga kini hatinya masih teringatkan Hafiz? Malamnya bermimpikan wajah Hafiz. Setiap hari hidupnya melakar wajah Hafiz di ruang minda. Sehingga satu kerja pun tidak jalan. Susahlah dia jika begini selalu. Bagaimana dia hendak fokus dalam pelajarannya? Yang terpenting buat masa sekarang adalah peperiksaan ‘terakhir’ sebelum dia melangkah untuk menjadi orang yang lebih berguna buat ibubapa, keluarga dan masyarakat.


HARI ini adalah kertas terakhir iaitu Ekonomi. Dapat sahaja kertas ujian itu, terus sahaja Aishah menjawab dengan penuh yakin. Dia memang meminati matapelajaran Ekonomi. Jadi tidak susah dia hendak score di dalam kertas itu. Keluar sahaja daripada dewan peperiksaan, Zanariah menuju ke arahnya.
“Kau boleh buat tak?” tanya Zanariah. Aishah mengangguk dan mengangkat ibu jari. Mereka sama-sama ketawa.
“Kau rasa kau boleh dapat berapa A?” tanya Amy kepada Aishah.
“Ermm…aku tak expect pun berapa. Tapi kalau tak dapat 9 A1, 10 A1 pun jadilah.” Kata Aishah sambil tertawa kecil. Amy tahu dia tertipu segera mencucuk pinggang Aishah sehingga gadis itu terlatah. Serentak ketawa mereka bertiga berderai melihat gelagat Aishah.
Aishah, Zanariah, Amy dan Soraya sudah berjanji untuk meraikan kebebasan mereka selepas kertas terakhir. Mereka berempat menuju ke gerai yang selalu mereka kunjungi. Zanariah, Amy dan Soraya rancak bersembang. Aishah menghirup air perlahan-lahan. Fikirannya tidak ada di situ tetapi jauh melayang. Tiba-tiba sahaja Zanariah menyebut nama Hafiz. Entah kenapa senang pula nama lelaki itu meniti di bibir Zanariah.
“Kau orang nak tahu tak? Si Hafiz tu dah berhenti sekolah. Dapat offer kat U.K. Aku dengar dia pergi sana ambil course medicine.” Kata Zanariah bersungguh-sungguh. Aishah hanya menyembunyikan senyuman kecil.
“U.K? Ulu Kelang?” gurau Amy.
“Apahal pulak Ulu Kelang? United Kingdom lah.” Marah Zanariah apabila dia sudah bercakap benar tetapi ada yang mengenakannya.
“Ye ke? Hmm…tak pelah. Dia anak orang kaya. Tak pandai macam mana pun, mak bapak dia boleh support.” Amy menghirup air yang terhidang dihadapannya.
“Tapi dia tu best student. Tak heranlah dia dapat offer tu.” Soraya memandang wajah Aishah yang tidak banyak bercakap dari tadi.
“Huii…Tak lama lagi Dr. Hafiz lah. Untungnya siapa dapat jadi wife dia.” Zanariah mula berangan.
“Kau ni pun satulah, Zana. Dia pergi sana untuk menimba ilmu dan mencari pengalaman belajar di negara orang. Yang kau berangan nak jadi wife dia, buat apa?” ujar Amy. Zanariah bercekak pinggang.
“Aku cuma cakap yang siapa jadi wife dia, untunglah perempuan tu. Yelah, mana taknya. Dia dahlah ada rupa. Anak orang kaya, berpendidikan tinggi pulak tu. Perempuan yang dia nak tu mesti high taste kan?” Zanariah mengalihkan pandangannya ke arah Soraya apabila gadis itu menyepak kakinya. Dia mengaduh kesakitan dan diurut perlahan-lahan.
“Tak semestinya. Mungkin dia mahukan cinta bukannya rupa yang menjadi asas dalam suatu perhubungan.” Soraya bertingkah kata. Tidak mahu mengecilkan hati sahabat disebelah. Zanariah tidak jadi meneruskan kata-kata apabila terperasankan perubahan wajah Aishah.
“Tapi kelakar pulak aku tengok muka Tengku Nora dan Shila. Yelah, dah tak ada orang nak diadmirenya.” Zanariah teringat wajah Tengku Nora dan Shila yang sugul kerana ketiadaan Hafiz di sekolah itu. Lucu pula.
“Hah! Cerita pasal Shila. Aku dengar dia kena rogol. Betul ke?” tanya Amy kepada Zanariah. Mereka semua mengerutkan dahi. Zanariah mengangguk pantas.
“Dengan siapa?” tanya Amy lagi.
“Lutfi. Entah apa si Lutfi tu berdendam dengan dia. Sampaikan nak rogol si Shila tu.” Zanariah memainkan bihun goreng dengan garfu. Mereka tidak berselera untuk menjamu selera. Mereka lebih berminat untuk mendengar cerita selanjutnya daripada Zanariah. Seperti wartawan sahaja lagaknya sahabat yang seorang ini.
“Bila? Kat mana?” bertubi-tubi soalan yang keluar dari mulut mungil Amy.
“Tak silap aku sebulan sebelum SPM start. Aku dengar dia kena rogol masa on the way dia nak balik rumah. Kawan si Shila teruk kena debik dengan kawan si Lutfi. Sampai masuk hospital.” Beria-ia Zanariah bercerita. Mereka tidak tahu begitu teruk sekali perangai Lutfi yang disangkakan baik itu. Orang zaman sekarang sukar dijangka perangainya. Bermacam-macam ragam.
“Ehh…bukan ke Shila datang dan balik sekolah naik kereta?” tanya Soraya pula. Hairan dengan kataa-kata Zanariah. Memang diketahui Shila anak orang berada, yang selalu datang ke sekolah menaiki BMW milik bapanya. Kalau tidak menunjuk, pasti tidak sah. Setiap hari ada sahaja barang kepunyaannya yang bertukar baru.
“Memanglah. Tapi hari tu, Shila ajak kawan dia jalan kaki balik rumah. Sebab entah macam mana, kereta yang Shila naik tu, rosak. So, Shila macam bengang tahap dewa gila dengan driver dia, dia ajak kawan dia jalan kaki. Tapi sebenarnya Lutfi pun tak sangka yang Shila akan lalu jalan tu. So, nak dijadikan cerita Shila pun kena lah rogol. The end.” Zanariah berkata seperti membacakan buku cerita sewaktu menidurkan anak-anak kecil. Amy seperti berfikir sesuatu.
“Mana kau tahu semua ni, Zana?” tanya Aishah pula yang sedari tadi asyik mendiamkan diri.
“Adik si Lutfi lah, Ilham. Kan kawan baik dengan adik aku, Zakir. So, dia cerita habis-habisan lah dengan adik aku.” Zanariah menghirup air minumannya. Kering sudah tekak bercerita.
“Baik pulak adik kau cerita kat kau.” Ujar Amy.
“Zakir memang baik dengan aku. Everything akan diceritakan pada aku. Sampai hal-hal awek dia pun, aku tau. Yang tak baik dengan aku ni, Zarisha.” Disandarkan badannya ke belakang.
“Aikk…adik lelaki pulak yang baik dengan kakak? Setahu aku, adik perempuan yang baik dengan kakak dia.” Aishah memandang wajah Zanariah.
“Si Zarisha tu biol sikit. Entah apa yang dia tak puas hati dengan aku, aku pun tak tau. Hangin satu badan je. Macam datang bulan pun ada gak. Tapi ni datang bulan hari-hari. Senggugut selalu.” Seloroh Zanariah. Tertawa yang lain mendengarkan ceritanya. Aishah memeluk tubuh. Dia seperti berfikir sesuatu.
“Wei, kau orang. Kita ni baru je habis buat exam. Dah mula mengumpat. Kau orang janji hari tu nak pergi jalan-jalan kat mana?” mereka bertiga memandang wajah Aishah. Soraya seperti memikirkan sesuatu.
“KLCC. Kenapa? Kau nak ikut ke?” tanya Soraya.
“Boleh jugak. Aku pun nak lepaskan tension ni.” Mereka cepat-cepat menghabiskan makanan mereka. Selepas membayar harga makanan dan minuman masing-masing, mereka berempat berpisah dan berjanji akan berjumpa semula pada pukul 3 petang di LRT Kelana Jaya.


KLCC pada hari itu tidaklah sesak seperti pada hari minggu. Mungkin kerana tengah bulan. Gaji di dalam bank semakin kurang. Jadi ada yang berjimat cermat dan ada yang mengambil peluang sewaktu orang tidak ramai untuk membeli belah. Kelihatan empat orang gadis sedang membelek satu persatu barangan di kedai Converse.
“Cantiknya kasut ni.” Kata Zanariah sambil membelek kasut yang terletak di atas rak untuk pameran.
“Memang lah cantik. Duitnya pun cantik jugak. Kau tengok harga dia. Kalau akulah kena keluarkan duit banyak ni, memang taklah. Aku makan sebulan pun belum tentu sampai banyak ni duit aku kena keluar.” Kata-kata Amy yang agak kuat itu menarik perhatian jurujual di situ. Mereka tersenyum ke arah Amy. Zanariah menepuk dahi. Malu dengan kawannya itu. Aishah dan Soraya segera keluar dari kedai itu sejurus mendengarkan kata-kata Amy. Mereka tidak mahu sama-sama menanggung malu.
“Lain kali kalau nak cakap tu, pakai speaker. Biar satu Malaysia tahu apa yang kau cakap tu.” Kata Zanariah sambil menjeling ke arah Amy yang sedang menekup mulut. Aishah dan Soraya hanya menggelengkan kepala dari luar kedai. Ada-ada sahaja mereka berdua ini. Mereka keluar dari kedai Converse itu setelah Zanariah membeli sepasang kasut yang dibeleknya sebentar tadi.
Mereka menuju ke Petrosains yang terletak di tingkat paling atas sekali. Aishah tidak turut serta dengan mereka. Kakinya laju sahaja melangkah ke arah kedai buku Kinokuniya. Memang tujuannya dari rumah tadi adalah untuk singgah di kedai tersebut. Dia lebih senang membaca. Dia berjalan ke bahagian buku-buku fiksyen berbahasa Inggeris. Dibelek buku-buku tersebut. Diambil satu dan dibaca sinopsis. Agak menarik buku itu. Kemudian dia berjalan pula ke bahagian buku-buku novel berbahasa melayu. Setelah puas satu kedai itu diterokainya, dia berjalan ke arah kaunter dan membayar buku-buku yang dipilih. Telefon bimbitnya berdering. Dia mencari telefon bimbit di dalam beg sandang. Aishah meneliti nama di skrin.
“Hello?” jawapnya.
“Kau kat mana, Shah?” tanya Zanariah.
“Aku kat Kinokuniya. Tengah bayar. Kau kat mana?”
“Aku kat depan kedai buku ni lah. Cepatlah sikit. Kita nak ke Aquaria pulak.” Ujar Zanariah kuat. Keadaan diluar yang bingit memaksa dia bercakap kuat. Selepas mereka mematikan talian masing-masing, Aishah segera membayar jumlah yang dikehendaki dan berjalan keluar dari kedai tersebut.
“Banyaknya buku kau beli. Kau baca ke?” tanya Amy.
“Sebab aku bacalah, tu sebabnya aku beli.” Kata Aishah sambil tertawa.
“Apa ke bengap lah kau ni.” Kata Zanariah.
“Kau bengap-bengap jangan sebut haa, Zana. Aku tanya je. Salah ke?” Amy mulai meninggikan suara.
“Tak salah. Tapi kalau nak bertanya tu janganlah tanya soalan bodoh. Aku rasa adik aku, Zanelya, yang paling baby pun boleh jawab soalan kau.” Zanariah ketawa kecil. Soraya mendengus dan menggeleng.
“Kau ni memang nak makan selipar jepun aku ni agaknya.” Kata Amy sambil merenung tajam ke arah Zanariah. Aishah dan Soraya sudah berjalan meninggalkan mereka berdua. Lantak merekalah. Hendak bergaduh ke, hendak bercakap ke, hendak bercakar ke, hendak apa ke. Yang penting mereka sudah malas mahu masuk campur. Kaki mereka terus menghala ke Aquaria yang terletak dihadapan KLCC. Mereka begitu seronok kerana dapat menonton jerung putih yang berada di dalam kaca lutsinar itu.
Seharian Aishah keluar berseronok bersama kawan-kawannya. Dia dapat menghilangkan rasa rindu kepada Hafiz dengan cara itu. Balik sahaja dari KLCC, Aishah terus masuk ke dalam bilik untuk membersihkan badan. Dia tidak boleh bersolat kerana uzur. Almaklumlah, perempuan. Selesai membaca satu bab, perut Aishah berkeroncong minta diisi. Dia turun ke dapur dan menolong Mamanya menyediakan makan malam. Selepas sahaja makan malam, Aishah kembali ke bilik tidur. Sepanjang berada di meja makan, Aishah tidak banyak bercakap. Dia lebih senang mendiamkan diri. Kebanyakan ahli keluarganya perasaan akan perubaha sikap pada gadis itu. Tetapi mereka semua tahu akan sebabnya. Kecuali Khairul. Kalau dia juga tahu, masak Aishah. Pasti akan dibebelnya seharian.
Aishah terus sahaja ke kamar tidur, ingin membaca buku novel yang dibeli petang tadi. Bicara Hati karya Damya Hanna amat menarik sinopsisnya. Dia menumpukan sepenuh perhatian kepada bacaannya. Tiada satu perkara pun yang boleh menarik perhatiannya pada ketika itu.

BERSAMBUNG.....

3 tukang komen paling setia:

eija said...

cite nie mkin mnarik...cpt2 sbg ye kak ecah...

keSENGALan teserlah.. said...

eeiii..
makin menarik nieh...
smbung2,,hehehee...

Abby said...

amboiii...banyak nya peminat ko ecah....!!
hebatlah....ramai betul follower...
clap clap clap~~