BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, December 17, 2008

Kasih Aishah Najyha BAB 5

BAB 5

SEBAIK sahaja Aishah memijakkan kakinya ke dalam kelas, dia terdengar bisikan-bisikan yang tidak ingin dia dengar. Ketawa Shila, Nurdinni dan Kayla bergema di dalam kelas. Mereka memandang Aishah dengan suatu pandangan yang sukar ditafsirkan. Mungkin ada kutukan yang keluar dari mulut mereka. Hmm…Pagi-pagi lagi sudah hendak buat dosa, fikir Aishah. Zanariah melabuhkan punggung di sebelah Aishah. Dia kesiankan sahabatnya itu yang selalu menjadi bahan umpatan Shila dan Nurdinni. Walaupun mereka selalu meniru kerja rumah Aishah tetapi umpatan mengenai diri Aishah masih lagi meniti di bibir mereka berdua. Tidak reti hendak menghargai gadis itu langsung. Amy dan Soraya berjalan ke arah mereka. Aishah melontarkan pandangan ke luar. Malas mahu mengambil tahu apa yang dibincangkan oleh yang lain-lain.
“Kau sabar je lah, Shah. Si Shila dengan Dinni memang macam tu. Mulut celupar!” jerit Amy lantang. Shila dan Nurdinni mengalihkan pandangan ke arah Amy. Dijelingnya gadis itu. Mereka masih berbisik sesama mereka.
“Apa yang dia orang dah beritahu pada kau orang?” tanya Aishah. Dia perlu tahu fitnah yang keluar dari mulut Shila.
“Dia orang kata kau ada perasaan….” Ayat Amy tergantung apabila disiku oleh Soraya. Zanariah membeliakkan mata. Amy terus terdiam. Tidak jadi meneruskan kata.
“Pada Hafiz?” Aishah tersenyum hambar.
“Aku minat dia je. Dalam sekolah ni, siapa yang tak minat dia? Lagipun dia kawan Kak Nina. Aku anggap dia macam abang. Dia tak lokek dengan nasihat. Kenapa dia orang nak salah tafsir?” Aishah tidak mahu menunjukkan perasaannya. Belum sampai masa. Lagipun memang sebetulnya dia menganggap Hafiz seperti abangnya sendiri. Walaupun dia sudah mempunyai abang.
“Tapi, Shah…Satu sekolah dah kecoh tentang kau orang.” Kata Zanariah. Aishah menggeleng.
“Aku tak kisah, Zana. Apa orang nak kata, katalah. Dia orang ada mulut. Susah nak tutup mulut orang. Mulut tempayan, senanglah.” Seloroh Aishah walaupun pada hakikatnya dia tidak mempunyai mood untuk berjenaka pada pagi itu.
Loceng berbunyi menandakan mereka semua harus berkumpul di tapak perhimpunan. Aishah berjalan beriringan dengan Zanariah, Amy dan Soraya. Entah daripada mana Shila datang, terus sahaja melanggar bahu Aishah. Dia terdorong kehadapan. Amy hendak mengangkat penumbuk tetapi disabarkan oleh Soraya. Amy segera bersabar. Kalau tidak, memang lunyai perempuan itu dikerjakannya.
Mereka berempat berdiri di dalam barisan mengikut kelas masing-masing. Ku Nilam datang meninjau barisan pelajar perempuan. Zanariah mendengus kasar. Mereka bertiga menahan ketawa.
“Kuatnya awak bernafas, Zana.” Sindir Ku Nilam. Zanariah mengajuk percakapan Ku Nilam dengan mimik muka meluat. Ku Nilam beredar dari situ. Zanariah menjelirkan lidah. Mereka bertiga ketawa serentak. Kelakar pula bila tengok perangai Zanariah.
“Assalamualaikum, semua. Kita mulakan perhimpunan pada pagi ini dengan bacaan doa yang akan dibaca oleh Nazrin.” Emcee majlis memulakan ucapan hariannya. Ketua Pengawas, Nazrin, mendaki tangga yang menuju ke pentas perhimpunan. Bacaan doa dimulakan.
Selesai sahaja bacaan doa, emcee menyerahkan majlis kepada Pengetua, Penolong Pengetua, Guru Disiplin, Penolong Pengawas serta Ketua Pusat Sumber. Bulan ini adalah bulan perpustakaan. Pelajar tingkatan 5 akan bergilir-gilir membersihkan perpustakaan, mengemas buku-buku yang berselerak dan memastikan ada buku pinjaman yang dipulangkan semula pada minggu itu.
“Tingkatan yang akan bertugas pada minggu ini ialah Tingkatan 5 Amanah dan 5 Jujur. Nama-nama yang akan bertugas saya dah lekatkan di papan kenyataan. Saya harapkan kerjasama daripada anda. Sekian terima kasih.” Ringkas sahaja ucapan daripada ketua pusat sumber itu. Mereka semua bersurai. Tingkatan 5 Amanah dan 5 Jujur menuju ke arah papan kenyataan yang dinyatakan oleh ketua pusat sumber tersebut. Aishah mengeluh. Namanya ada di dalam senarai tersebut. Zanariah, Amy dan Soraya tidak bertugas pada hari ini. Mereka berempat melangkah ke arah kelas. Malasnya hendak bertugas di perpustakaan, hatinya memberontak.





AISHAH mengemas apa-apa yang patut di dalam perpustakaan tersebut. Tapi ada sahaja kerja yang dilakukannya. Orang yang bertugas bersama dengannya, ada yang berehat dan bersembang sesama sendiri. Penolong Ketua Pusat Sumber itu seperti hendak menyeksa dia. Aishah sempat melihat Penolong Ketua Pusat Sumber, Rina, sedang bersembang dengan Tengku Nora. Aishah terlupa bahawa mereka berdua kawan baik. Sudah pasti ini dirancang oleh mereka.
“Apa yang kau pandang-pandang? Siapkan kerja tu cepat. Selagi tak siap, kau tak boleh masuk kelas.” Marah Rina. Tengku Nora tersenyum sinis. Aishah lekas-lekas menyiapkan tugasan. Loceng berbunyi. Dia sudah menyiapkan tugas. Segera menuju ke arah Rina dan Tengku Nora. Mereka memandangnya tidak berkelip.
“Dah siap, Kak Rina. Boleh saya masuk kelas sekarang?” tanya Aishah. Rina memandang ke sekeliling perpustakaan. Dia masih tidak puas hati. Ada sahaja dia hendak mengenakan Aishah.
“Belum lagi. Kau tengok tu. Kenapa berhabuk lagi?” Rina mengunjukkan jari telunjuk ke arah sebuah rak buku. Aishah mengerutkan dahi. Dia tidak nampak ada habuk di situ.
“Tapi, Kak Rina…Saya nak masuk kelas sekarang.” Aishah masih merayu kepada Rina.
“Aku tak peduli. Kan aku dah kata. Selagi kau tak siapkan kerja kau, kau tak boleh masuk kelas.” Rina memandang Aishah sambil membeliak-beliakkan mata.
“Kak Rina, saya masuk kelas dulu.” Kata seorang pelajar perempuan. Aishah memandang pelajar itu.
“Ok.” Rina mengangguk.
“Kak Rina, saya blah dulu.” Kata seorang pelajar lelaki pula. Rina sekali lagi mengangguk. Nampak sangat ada benda yang Rina tidak puas hati dengan Aishah. Dia mengeluh perlahan.
“Apa lagi kau tunggu? Pergilah buat kerja.” Jerit Rina. Aishah berjalan perlahan-lahan menuju ke arah rak buku tersebut. Dibersihkan rak-rak buku yang ada di dalam perpustakaan tersebut.
“Lepas ni, kau tunggu kat kaunter. Manalah tahu. Ada orang nak pulangkan buku. Aku nak pergi makan.” Kata Rina sambil berjalan beriringan dengan Tengku Nora. Aishah berjalan ke belakang kaunter dan melabuhkan punggungnya di atas kerusi. Zanariah menjenguk ke dalam perpustakaan. Dia mengetuk meja kaunter tersebut. Terkejut Aishah dibuatnya.
“Apasal tak masuk kelas? Ponteng, ya?” gurau Zanariah. Dia tahu Aishah paling tidak suka memonteng kelas. Mesti ada sebab dia tidak masuk kelas. Dia sengaja mengusik Aishah.
“Yang kau pulak, apahal ada kat sini?”
“Aku saja jalan-jalan. Boringlah, Shah. Kau tak ada dalam kelas. Tambah-tambah kelas Ms. Jenny pulak. Tak ada orang nak ajar aku. Apasal kau tak masuk kelas?” tanya Zanariah sekali lagi.
“Kak Rina suruh aku duduk dalam ni.”
“Dia pergi mana?” tanya Zanariah lagi.
“Makan.” Ringkas sahaja jawapan Aishah.
“Banyak cantik muka dia. Dahlah masa rehat tadi kau tak makan. Sekarang pun, dia tak bagi kau masuk kelas. Mentang-mentanglah dia form 6. Tak semestinya dia boleh buat sesuka hati dia.” Marah Zanariah. Aishah tersenyum.
“Assalamualaikum.” Ada seseorang yang memberikan salam. Serentak Aishah dan Zanariah menjawab. Mereka memandang orang itu. Hafiz! Sebentar kemudian, Aishah menundukkan wajah dan mengerutkan dahi. Apa yang dibuat Hafiz ke sini? Detak hati Aishah.
“Eh! Tak apalah, Shah. Aku masuk kelas dulu. Nanti Ms. Jenny cari aku pulak.” Kata Zanariah dan segera beredar dari situ.
“Awak nak pulangkan buku?” tanya Aishah.
“Kalau saya jumpa awak, maknanya saya nak pulangkan buku lah?” tanya Hafiz. Dia memandang Aishah dengan satu pandangan yang sukar dimengertikan.
“Manalah tahu.”
“Awak balik awal semalam. Kan awak dah janji nak balik dengan saya?” tanya Hafiz lagi. Aishah mengambil buku rekod.
“Saya memang tunggu awak. Tapi bila saya turun je, tengok awak dah jalan.” Aishah menulis sesuatu di dalam buku yang berkulit tebal dihadapannya. Pura-pura sibuk. Apa yang ada di dalam hatinya, hanya Tuhan saja yang tahu.
“Shila kata awak dah balik. Saya ingat betullah awak dah balik.”
“Kan saya bawak phone. Macamlah awak tak boleh nak call saya.” Kata Aishah. Hafiz menepuk dahinya.
“Oklah…Oklah…Saya tahu saya salah.” Hafiz mengalah. Kenapalah dia tidak boleh ingat bahawa Aishah membawa telefon bimbit. Kenapa dia cepat sangat tergoda dengan perangai manja Shila?
Rina dan Tengku Nora berdiri di belakang Hafiz. Aishah dan Hafiz masih lagi leka bersembang. Muka Tengku Nora merah padam. Kejadian 3 bulan lalu, tiba-tiba sahaja menerpa di dalam fikirannya. Sehari selepas kejadian di padang itu berlaku, dia teruk dihamun oleh Hafiz. Kini, dia tidak sanggup lagi hendak memandang wajah Hafiz. Sudahlah dia dihamun satu hal, dihadapan kawan-kawannya dan kawan-kawan Hafiz pula itu. Malunya. Dia tidak tahu dimana hendak disorokkan wajah. Rina berdehem. Hafiz memusingkan badan ke belakang.
“Hah, Rina!” Hafiz seolah-olah terkejut dengan kehadiran Rina. Langsung dia tidak menegur Tengku Nora. Hafiz rasa Tengku Nora sudah tidak wujud di sekolah itu begitu juga dalam hidupnya. Sempat juga Rina bersembang dengan Hafiz. Tengku Nora hanya menundukkan wajah. Rina memandang tajam ke arah Aishah. Dia segera melakukan kerja-kerjanya yang tergantung. Kemudian, Hafiz berpaling semula ke arah Aishah. Gadis itu langsung tidak membalas pandangannya.
“Kenapa dia tak masuk kelas lagi?” tanya Hafiz. Setahu dia pelajar Tingkatan 5 sudah memulakan kelas mereka hampir setengah jam yang lalu. Rina tergagap-gagap hendak menjawab.
“Dia kata kerja dia tak siap lagi. Tulah sebabnya dia tak masuk kelas.” Rina memerhatikan raut wajah Hafiz yang kurang percaya dengan kata-katanya. Hafiz mengangkat kening.
“Awak boleh masuk ke kelas sekarang.” Kata Rina. Aishah pelik. Tetapi dia segera beredar dari situ. Kenapa pelajar-pelajar perempuan di sekolah ini takut kepada Hafiz? Daripada Tingkatan 1 hinggalah Tingkatan 6. Sambil berjalan menuju ke kelas, kepalanya ligat berfikir. Dijungkitkan bahu. Malas hendak berfikir panjang.





SHILA masih tidak berpuas hati kerana tidak dapat membuatkan Aishah dan Hafiz berpisah. Dia mengiringkan badan ke kiri. Matanya masih tidak mengantuk. Dia perlu berbuat sesuatu. Apa yang ada pada Aishah? Fizikalnya sudah tentu tidak setanding Shila. Dia mesti mencari jalan. Buah fikiran Nurdinni tidak boleh pakai. Dia kena fikirkan jalan yang terbaik. Tiba-tiba dia teringatkan Lutfi. Segera dia mendail telefon bimbit Lutfi. Tidak berjawab. Shila melepaskan keluhan kasar. Didail sekali lagi nombor itu. Masih tidak berjawab. Shila melihat jam loceng di tepi katil. Jarum pendek menunjukkan ke angka 3 dan jarum panjang menunjukkan ke angka 6. Dihempaskan kepala ke atas bantal. 3.30 pagi. Patutlah tidak berjawab. Siapa yang hendak menjawab telefon pagi-pagi buta? Tidak mengapa. Pagi esok dia akan mencuba sekali lagi. Shila memejamkan mata sambil bibirnya mengukir senyuman sinis. Dia sudah ada jalan.
Jam loceng berbunyi kuat. Shila mengetuk jam loceng itu dengan tangan. Hish! Bising saja pepagi ini, bisik hati Shila. Dia menutup muka dengan bantal. Tiba-tiba, Shila tersedar. Dilihatnya semula jam loceng itu. Pukul 7.30 pagi. Dia sudah lewat.
Sampai sahaja di sekolah, jam sudah menunjukkan pukul 8.40 pagi. Shila kalau mandi memang lama. Hendak menunggu dia bersiap lagi, alamatnya memang lewatlah ke sekolah. Nasib baik pengawas yang menjaga pagi itu, Andre. Jejaka itu memang meminati Shila semenjak tingkatan 1 lagi. Tetapi Shila tidak layan. Memanglah Andre kacak, tetapi hatinya tidak berkenan. Dia tetap mahukan Hafiz. Shila melangkah masuk ke dalam kelas. Sudah tiba waktu ketiga. Cikgu Mardina. Dia terlepas waktu Cikgu Shazlee. Sebelum tiba waktu Cikgu Norkiah, Shila keluar dari kelas. Dia tiada mood hendak belajar ekonomi hari ini. Dia menuju ke arah belakang dewan. Lutfi sedang menunggunya di situ sambil menghisap rokok. Asap yang keluar dari mulut lelaki itu berkepul-kepul. Gayanya sudah nampak seperti penjahat walaupun masih bersekolah. Sebaik sahaja ternampak bayangan Shila yang muncul dibelakang dewan tersebut, Lutfi terus sahaja mematikan rokok itu. Dia tahu Shila ada perkara penting yang hendak dibincangkan dengannya. Kalau tidak masakan Shila hendak berjumpa dengannya di tempat yang tersorok.
“Apahal kau nak jumpa aku ni?” tanya Lutfi.
“Aku nak kau pinjam duit dengan Hafiz. RM 200.” Kata Shila.
“Nak buat apa?”
“Kau cakap dengan Hafiz, kau nak kena beli buku.”
“Dia takkan percaya cakap aku. Aku mana pernah bawak buku ke sekolah. Pen pun aku tak bawak. Inikan pulak buku. Lagilah dia tak percaya.” Kata Lutfi sambil tergelak kecil.
“Aku tak kisah kau nak menipu apa pun dekat dia. Yang penting, kau dapat pinjam dengan dia RM 200 tu.” Shila mengangkat keningnya ala-ala Ziana Zain. Lutfi terdiam. Apakah alasan yang akan diberikan? Hafiz bukanlah senang untuk menipu. Akhirnya dia mengangguk. Sambil berjalan ke arah kelas, kepala Lutfi ligat berfikir. Dia mundar-mandir dihadapan kelas. Dan, membuat keputusan untuk masuk kelas selepas itu.
Lutfi berjalan ke arah tempat duduknya dengan rambut yang kusut masai, baju yang tidak bergosok. Hafiz kesian melihat sahabatnya itu. Lutfi melabuhkan punggung di sebelah Hafiz. Dipegangnya bahu Lutfi.
“Kenapa dengan kau ni, Lut? Muram je. Dengan rambut tak terurus, baju kedut. Apahal ni? Apa masalah kau?” Hafiz bertanya. Lutfi tidak melepaskan peluang. Dia mula memainkan peranan. Lutfi melepaskan keluhan. Hafiz mengerutkan dahi.
“Mak aku nak pakai duit. Dia kata nak bawak adik aku pergi hospital. Kau sendiri tahu kan Ilham sakit lemah jantung. Duit pulak tak cukup.” Lutfi menekup muka. Emosi kebuntuan. Pandai sungguh Lutfi berlakon. Kalau ada anugerah khas untuk orang yang pandai menipu, pasti Lutfi akan menyandang anugerah itu.
“Berapa banyak mak kau nak pakai?”
“RM 200.” Lutfi berkata perlahan. Hafiz mengeluarkan dompetnya dan menyerahkan dua keping not RM 100. Hafiz bercadang hendak pergi membayar duit kereta selepas habis sahaja waktu persekolahan. Tetapi nampaknya dia perlu ke bank dahulu untuk mengeluarkan sedikit lagi duit.
“Terima kasih, Fiz. Kaulah sahabat aku dunia akhirat. Bila mak aku dah dapat duit nanti, aku ganti balik.” Kata Lutfi girang. Gembiranya dia. Pasti Shila gembira apabila mendapat tahu bahawa dia dapat meminjam duit daripada Hafiz. Hafiz tersenyum apabila Lutfi berkata begitu. Ditepuk bahu Lutfi.
Selepas habis sahaja waktu persekolahan, Hafiz menghantar Aishah pulang ke rumah. Shila geram melihat kemesraan yang Hafiz berikan kepada Aishah. Dia pasti akan dapat membalas dendam. Lutfi menyerahkan duit RM 200 itu kepada Shila. Shila menerangkan langkah seterusnya kepada Lutfi. Kemudian mereka sama-sama ketawa besar.

BERSAMBUNG.....

2 tukang komen paling setia:

ceritaku MEMORIKU said...

makin best this story.-na`dz

eija said...

akak cite nie best la..cpt2 sbg ye..