BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, December 16, 2008

Kasih Aishah Najyha BAB 3

BAB 3

AISHAH menunggu Nina di pintu pagar. Waktu persekolahan sudah tamat. Aishah melihat jam ditangan. Lamanya. Kemanakah dia? Hati Aishah bergumam sendirian. Hon kereta kedengaran betul-betul dibelakangnya. Terkejut gadis itu. Sempat dia memaki hamun orang itu di dalam hati. Sudahlah dia menunggu Nina dari tadi tidak muncul-muncul. Kalau dia menapak bersama Zanariah, Amy dan Soraya sudah tentu sampai. Pemandu tersebut keluar dan tersenyum ke arahnya. Aishah seperti tidak keruan. Dia senang menggelabah. Dia harus belajar mengawal diri.
“Kenapa tak balik lagi?” tanya Hafiz, sopan. Lucu pula dia melihat gelagat Aishah sekali sekala.
“Tunggu Kak Nina.” Aishah kembali menundukkan wajah. Terasa segan dengan Hafiz. Mereka berdua disergah oleh Nina. Hafiz hanya mengurut dada. Aishah melatah. Sebab itulah Nina suka mengusiknya.
“Ooo….Buat apa, hah? Mengurat, ya?” Nina memandang dengan ekor mata ke arah Aishah dan Hafiz.
“A’ah. Salah ke?” kata Hafiz.
“Taklah salah. Cuma aku tak nak adik aku jadi mangsa deraan.”
“Mangsa deraan?” tanya Hafiz kurang faham dengan kata-kata Nina. Gadis itu tersenyum sumbing.
“Kena dera oleh singa betina tu.”
“Singa betina?” bertambah-tambah kurang faham Hafiz. Apa yang cuba disampaikan maksudnya oleh Nina? Dia sendiri keliru.
“Tengku Nora.” Apabila nama itu disebut sahaja oleh Nina, Hafiz membuat muka meluat.
“Eh! Tak apalah, Fiz. Kita orang balik dulu.” Nina dan Aishah sudah berkira-kira hendak beredar. Segera Hafiz menahan mereka. Dia berdehem.
“Meh la aku hantar.” Pelawa Hafiz.
“Tak menyusahkan kau ke?”
“Apa pulak nak susah? Aku lalu ikut jalan yang sama.” Hafiz sudah memasuki perut kereta. Nina sudah menarik pintu kereta tetapi tidak Aishah.
“Tak apalah, Kak Na. Adik balik jalan kaki je.”
“Alah, jomlah. Bukan senang orang macam si Hafiz ni nak ajak kita naik kereta dia.” Nina menepuk bahu Hafiz dengan kuat. Sehingga dia mengaduh kesakitan. Besi juga tangan minah ni, fikir Hafiz.
“Marilah, Aishah.” Ajak Hafiz sekali lagi. Mahu atau tidak, dia terpaksa menaiki kereta lelaki itu. Orang sudah ajak, takkanlah hendak ditolak pula. Nanti apa pula katanya. Aishah menarik pintu bahagian belakang. Tetapi dihalang oleh Nina.
“Adik duduk depan. Biar Kak Na duduk belakang.”
“Ish…Kak Na duduk depan lah. Nanti kalau orang lain nampak macam mana?” Aishah meluahkan kerisauannya.
“Ah, mana nak ada orang dah. Semua orang dah balik. Dah jangan cakap banyak. Duduk je depan.” Nina terus sahaja menarik pintu dan melabuhkan punggung di kerusi belakang. Perlahan-lahan Aishah menarik pintu hadapan dan melabuhkan punggung di sebelah Hafiz. Dia keresahan. Risau jika kelakuan mereka menjadi intipan rakan-rakan sekolah dan akan menjadi bualan satu sekolah sehingga berbulan-bulan lamanya. Ah! Apa yang nak dirisaukan. Aku bukan buat benda-benda tak senonoh. Cuma menumpang Hafiz balik je, bisik hati kecil Aishah. Dia tersenyum kecil.
“Tolong pakai seat belt, ya. Kereta saya ni kalau tak pakai seat belt nanti lampu warning, blinking.” Aishah cuba menarik tali pinggang keledar tetapi macam tersangkut sedikit. Susahnya nak tarik, getus hati Aishah lagi. Dicuba tarik sekali lagi. Masih tersangkut.
“Oh, lupa pulak. Seat belt ni memang susah sikit nak tarik.” Hafiz mengangkat sedikit badan dan cuba menarik tali pinggang keledar di sebelah penumpang. Wajah Hafiz begitu hampir dengan wajah Aishah. Gadis itu tergamam. Nina hanya tersenyum. Selepas Aishah memasang tali pinggang keledarnya, kereta Hafiz mula meluncur keluar dari kawasan sekolah.
“Fiz, hari ni pukul 3 ada practise for percussion.” Beritahu Nina. Hafiz mengangguk.
“Siapa yang nak lead?” tanya Hafiz.
“Kaulah. Kau kan ketua percussion.” Nina membelek telefon bimbit kerana baru sahaja menerima khidmat pesanan ringkas dari teman lelakinya. Tersengih-sengih dia di bahagian kerusi belakang.
“Tapi, Bad kan tak datang?”
“Dia tak nak tangguhkan practise walaupun dia tak datang. Kan competition tu tak lama lagi? Bahagian percussion memang kena struggle gila-gila. Kitalah penentu untuk menang. Kalau kita pun buat sesuka hati, macam mana nak menang?” Nina masih sibuk menjawab SMSnya. Sesekali terdengar dia tertawa kecil.
“Ada dua tiga not yang kita kena tukar. Nanti aku bagi kertas not tu kat kau.” Tersengih lagi. Seronok mendengar ungkapan cinta dari teman lelakinya walaupun hanya berSMS.
Kereta Hafiz berhenti betul-betul dihadapan pintu pagar rumah mereka. Aishah membuka tali pinggang keledar dan terus sahaja turun selepas mengucapkan terima kasih. Nina masih tidak berganjak dari tempat duduknya. Hafiz hanya memerhatikan bayangan Aishah hilang disebalik pintu kayu gah yang berukiran ala-ala Bali.
“Kau ni kenapa?” tanya Nina. Hafiz tersedar dan memandang wajah Nina terpinga-pinga.
“Kenapa apa?” tanya Hafiz kembali.
“Kau tengok adik aku semacam je. Aku tahulah adik aku tak selawa Tengku Nora…Shila….Juita…dan siapa lagi sorang tu? Nana?” kata-kata Nina berbaur sindiran.
“Aku tak kata apa-apa pun.”
“Hmm…Dahlah. Malas nak layan kau. Anyway, thanks.” Nina mencapai beg silangnya dan mengendong buku serta fail. Dia turun dari kereta Hafiz. Hafiz memanggil dia semula. Nina menjenguk ke dalam kereta.
“Pukul 3 ni macam mana? Aku datang ambil kau ke?”
“Tak menyusahkan kau?”
“Kita nak tuju ke satu tempat kan? Ooo…Aku tahu. Kau mesti takut Sof salah faham, kan?” usik Hafiz. Dia memang kenal akan teman lelaki Nina, Sofyan.
Dulu Sofyan bersekolah yang sama dengan mereka tetapi kini Sofyan sedang melanjutkan pelajarannya di United Kingdom. Hafiz dan Sofyan berkawan rapat sejak tingkatan satu. Pernah Sofyan tersalah anggap akan kebaikan Hafiz terhadap Nina. Bergaduh besar waktu itu. Satu sekolah kecoh dengan perihal mereka.
“Hish….Taklah. Aku ni bukanlah jenis yang suka menyusahkan orang.” Nina membela diri. Takut juga jika sampai ke pendengaran Sofyan mengenai Nina menumpang kereta Hafiz untuk pulang ke rumah. Tetapi dia bukan keseorangan. Dia bersama Aishah.
“Tak ada susah. Kau belanja aku minum, mesti tak susah punya. Oklah. Dalam pukul 2.45 nanti aku sampai.” Kata Hafiz. Nina menutup pintu kereta Hafiz dan kereta itu meluncur laju meninggalkan kawasan perumahan yang cukup mewah di Seksyen 7, Shah Alam itu.



AISHAH yang berada di ruang tamu memandang kakaknya yang sedang menuruni anak tangga dengan tergesa-gesa sehingga hampir melanggar Mamanya. Nurradiah yang terkejut dengan kehadiran Nina secara tiba-tiba, beristighfar di dalam hati. Dia hanya menggeleng melihat gelagat anak keduanya itu. Nina pantas sahaja bersalaman dengan Nurradiah dan terus menuju ke pintu rumah. Dia menyarungkan kasut sneakersnya. Telinga Aishah dapat menangkap orang mengunci pintu pagar dan derapan kaki seperti berlari. Dia terdengar pula seperti orang menutup pintu kereta. Itu mesti salah seorang daripada ahli kumpulan pancaragam tersebut menjemputnya. Tapi…ahli lain tiada kereta cuma Hafiz dan Badarudin sahaja. Tetapi Nina mengatakan bahawa Badarudin tidak dapat hadir ke latihan pancaragam hari ini dan tidak pernah Badarudin menjemput Nina untuk ke latihan pancaragam. Kecualilah…Hafiz? Aishah menumbuk tapak tangannya. Menyesal tidak dapat melihat bayangan Hafiz yang tentunya berada di dalam kereta. Ah…Lantaklah! Fikir Aishah. Tumpuan difokuskan semula ke arah kaca televisyen yang terpasang.
“Kak Nina kamu tu nak kemana sebenarnya? Mama nampak dia naik kereta dengan seorang budak lelaki. Sof ke?” tanya Nurradiah sambil melabuhkan punggung di atas sofa di sebelah anaknya itu.
“Kan Abang Sof ada kat U.K. Yang ambil Kak Na tu, Hafiz. Budak sekelas dan ahli band tu jugak.” Aishah memandang ke arah Nurradiah yang mengangguk tanda faham.
“Dan jugak pujaan hatiku.” Perlahan sahaja Aishah menambah. Khuatir didengari oleh Nurradiah.
“Apa Adik kata?”
Habis! Rahsianya sudah didengari. Aishah tersenyum dan menggeleng. Tidak mahu berkata apa-apa lagi. Telinga Nurradiah memang dapat mengangkap sesuatu bunyi atau seseorang sedang bercakap walaupun ianya sangat perlahan.
Nurradiah bangun dari duduk dan berkira-kira hendak berlalu ke dapur. Kerjanya memang tidak pernah berhenti. Pagi, menyediakan sarapan untuk suami dan anak-anak. Selepas itu membasuh baju. Jika ada baju yang tidak boleh dimasukkan ke dalam mesin pembasuh, disental dengan tangan. Kemudian, aktiviti menyidai pakaian yang sudah siap dibasuh. Selepas menyidai pakaian, aktiviti diteruskan lagi dengan menyapu dan mengemop lantai. Membuang segala habuk-habuk yang sudah melekat disekitar kawasan dan dalam rumah. Tengah hari, masak untuk anak-anak yang sudah tentu kelaparan apabila pulang sahaja daripada sekolah. Selepas itu, dia mencuci pinggan mangkuk kotor yang berlambak di sinki. Petang sedikit, sediakan makanan Hi-Tea. Kemudian, aktiviti berkebun pula dilakukan. Mencucuk tanam adalah kegemaran Nurradiah. Syed Mahfuz memang gemar melihat kehijauan di seluruh banglonya yang tersergam indah di atas lereng bukit di kawasan perumahan mewah yang menempatkan beberapa lagi banglo yang bernilai jutaan ringgit. Pada sebelah malam pula, memasak makan malam untuk suami dan anak-anak. Selepas itu, mengemas apa-apa yang patut. Nurradiah pantang nampak dapurnya kotor. Pendek kata, kerjanya memang tidak pernah selesai.





NINA membuka beg galas yang dibawa bersama. Habis dipunggah satu beg tersebut. Benda yang dicari tiada juga. Baru dia teringat. Dia tertinggalkan barang tersebut di atas meja komputer. Hafiz mendekati Nina yang sedang kegelisahan. Ditepuk bahu sahabat baiknya itu. Nina terkejut dengan tepukan itu dan segera memandang Hafiz yang sedang berdiri di sebelahnya.
“Kenapa dengan kau ni, Na?”
“Aku tertinggal stick. Macam mana ni? Macam mana nak praktis kalau stick tak ada?” mundar-mandir Nina dihadapan Hafiz.
“Kita balik pergi ambil lah. Habis cerita.” Kata Hafiz sambil merenung wajah Nina. Gadis itu melepaskan keluhan.
“Tak naklah menyusahkan kau. Lagipun, praktis dah nak start. Tak apalah. Nanti aku cari jalan macam mana nak dapatkan stick tu.” Nina tersenyum kepada Hafiz. Hafiz mengangguk seraya berjalan ke arah kumpulan yang sedang menunggunya. Mereka sudah mula menjalani latihan dengan berbekalkan nota muzik yang diberikan oleh Nina.
Tiba-tiba, Nina teringatkan seseorang. Segera dicapai telefon bimbit yang terbenam jauh ke dalam beg galasnya itu. Kelam kabut dia membuka phonebook telefon bimbit dan mencari nama yang bermula daripada huruf A. Adik Syg. Dia segera menekan punat hijau dan menunggu orang yang dipanggilnya itu menjawab telefon. Kedengaran suara halus dari talian disebelah sana.
“Adik boleh tolong Kak Na tak?” terus sahaja Nina bertanya. Peluh sudah memercik di dahi.
“Tolong apa, Kak Na?”
“Adik masuk dalam bilik Kak Na. Atas meja komputer tu ada stick. Tolong bawak ke sini. Kak Na terlupa masa kelam kabut tadi. Boleh tak?” Nina sangat berharap bahawa adiknya itu akan membawa stick. Dia amat memerlukan kayu itu.
“Boleh. Tapi Kak Na kena tunggu 15 minit lah. Boleh ke?”
“Boleh. Tak kisah. Asalkan Adik bawak je stick tu. Thanks.”
“Yelah.” Mereka sama-sama mematikan talian.
Aishah segera berlari ke bilik Nina Latasya yang berada di sebelah biliknya di tingkat atas dan mencapai stick yang berada di atas meja komputer. Dia tahu stick itu sangat penting kepada kakaknya kerana Nina merupakan ahli percussion. Hanya dia seorang sahaja ahli wanita percussion semenjak kumpulan pancaragam itu ditubuhkan. Semua orang hormatkan Nina kerana berani menyahut cabaran untuk menjadi ahli perempuan tunggal dibahagian percussion. Siapa tidak kenal dengan Nina Latasya? Dari tingkatan satu hinggalah tingkatan enam atas. Dari pertandingan peringkat sekolah-sekolah hinggalah peringkat kebangsaan. Jika Aishah mengaku Nina adalah kakaknya, pasti ramai yang tidak percaya. Ada yang kata, dia sengaja menumpang populariti Nina. Disebabkan itulah, Aishah lebih senang berdiam diri. Biar Nina yang mengaku dihadapan mereka semua bahawa dia adalah adik kepada gadis itu.
Aishah segera menyalin pakaian dan menuruni anak tangga. Dia terserempak dengan Nurradiah yang sedang sibuk memvakum permaidani di ruang tamu.
“Where are you going?” tanya Nurradiah sambil mematikan suis penyedut hampagas. Aishah mendekati Nurradiah yang sedang mengemas majalah yang berselerak di atas meja kopi.
“Nak hantar stick ni kat Kak Nina. Dia tertinggal. Kalau tak ada ni, macam mana nak praktis.” Jelas Aishah satu persatu. Nurradiah mengangguk. Aishah menyalami Mamanya dan berlalu ke pintu rumah. Dia hanya menyarungkan selipar sahaja. Senang untuk bergerak.
Khairul yang sedang menuruni anak tangga menuju ke arah Nurradiah. Dia menyalami Nurradiah. Nurradiah hanya menggeleng. Lepas seorang keluar, seorang lagi turut akan keluar. Mereka memang tidak suka melekat di rumah. Tambah-tambah Nina. Ada sahaja aktiviti di sekolah sehinggakan jarang melekat di rumah.
Khairul terlihat adiknya sedang membuka pintu pagar dan menunggu di luar pagar. Khairul berjalan ke arah Aishah dan membuka pintu pagar luas-luas. Senang dia hendak mengundurkan keretanya nanti.
“Adik nak kemana ni?” tanya Khairul yang begitu mengambil berat tentang adik-adiknya.
“Nak jumpa Kak Na kat sekolah.”
“Jomlah. Ong hantar.” Ajak Khairul. Aishah membuntuti abangnya dan menuju ke kereta yang sudah dihidupkan enjin. Aishah menghempaskan punggung di kerusi di sebelah pemandu. Sebaik sahaja Khairul memasuki ke dalam perut kereta, terus sahaja kereta itu menderum pergi. Bau minyak wangi Burberry kepunyaan Khairul semerbak di dalam kereta itu. Aishah memang meminati minyak wangi kepunyaan abangnya itu. Satu lagi minyak wangi kegemarannya ialah Hugo Boss for Men. Kalau lelaki yang ingin memikatnya memakai minyak wangi tersebut, pasti dia akan terus jatuh cinta. Aishah tersenyum sendirian.
10 minit kemudian, mereka tiba di hadapan pintu pagar sekolah. Selepas mendapatkan kebenaran daripada penjaga sekolah tersebut, kereta Khairul melepasi pintu pagar yang hanya dibuka untuk memuatkan laluan sebuah kereta sahaja. Aishah turun dari kereta dan menuju ke arah tengah padang. Kereta Khairul meninggalkan kawasan sekolah tersebut. Dia harus cepat kerana tidak mahu terlambat ke temujanjinya. Aishah melihat ahli kumpulan tersebut sedang giat berlatih untuk pertandingan di antara sekolah-sekolah seluruh kawasan Selangor dan Lembah Kelang sahaja. Aishah menuju ke arah Nina yang sedang berehat di bawah sebatang pokok yang daunnya merimbun. Teduh sedikit. Tidak seperti mereka yang sedang dijemur di tengah panas kerana berlatih. Akibat terlalu banyak sangat berlatih di tengah panas, kulit Nina ditumbuhi jerawat dan sedikit kehitaman. Bukan seperti Aishah yang masih mengekalkan kecantikannya tersendiri walaupun dia berbadan gempal.
“Thanks.” Ucap Nina sebaik sahaja Aishah menyerahkan stick itu kepadanya. Aishah melabuhkan punggung di sebelah Nina.
“Siapa hantar?”
“Ong.” Jawab Aishah ringkas.
“Dia tak ada kelas ke hari ni?”
“Tak. Dah janji nak keluar.”
“Keluar? Dengan siapa?” pertanyaan demi pertanyaan keluar dari mulut Nina.
“Dengan siapa lagi?”
“Kak Sabrina?” tanya Nina walaupun dia sendiri sudah ketahui jawapannya. Aishah hanya mengangguk. Mengiakan jawapan Nina. Mata Aishah kini hanya tertumpu pada orang yang sedang mengetuai percussion. Matanya tidak lepas. Leka dia memandang Hafiz sehingga Hafiz menuju ke arah mereka dengan senyuman dalam keletihan. Hafiz duduk dihadapan mereka berdua.
“Nina…Lepas ni, solo kau.” Kata Hafiz memberi arahan. Nina mengangguk dan berdiri. Dia memasang dram kepada tali yang sudah siap disilangkan di badan. Hafiz mencapai botol minuman dan meneguk minuman tersebut dengan rakus.
“Eh? Awak pun ada jugak.” Kata Hafiz. Aishah tersedar dari lamunan yang panjang. Tidak sedar bila Hafiz duduk dihadapannya. Tersipu-sipu dia tersenyum.
“Ermm…” baru sahaja Aishah hendak berkata sesuatu, Hafiz sudah beredar. Dia menuju ke arah ahli kumpulannya. Aishah melihat cara-cara Hafiz memberikan arahan kepada setiap ahli kumpulannya. Kacaknya! Segaknya! Itulah kata-kata hati kecil gadis yang bernama Aishah ini.

BERSAMBUNG.....

2 tukang komen paling setia:

MR.KUMAR said...

post the next chapter cepat!!!! x sabor nak baca nie.. dah ketagih.. hak hak hak

ceritaku MEMORIKU said...

xsabar tggu n3 yg seterusnye.kik33
citer dh makin best.-na`dz