BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, December 5, 2008

Dari KL ke Luxembourg 36

BAB 36

QASEH mengemas pakaian yang hendak dibawanya ke Luxembourg. Zhulianna mengetuk pintu bilik anaknya itu. Qaseh membuka selak pintu dan memberikan laluan kepada Zhulianna untuk masuk ke dalam bilik yang sederhana besar itu. Qaseh menyambung kembali mengemas barang-barangnya. Zhulianna turut menolong anaknya itu mengemas. Air matanya juga tidak berhenti dari menuruni pipi semenjak semalam. Qaseh yang melihat air mata itu segera mengesat. Ibunya tersenyum hambar.
“ Nanti bila Qaseh dah habis belajar, Qaseh balik tau?” kata Zhulianna menggenggam erat jari jemari anaknya. Qaseh mengangguk. Mereka sama-sama berpelukan. Zhulianna turun dari katil Qaseh secara perlahan-lahan dan menuju ke tingkat bawah apabila terdengar loceng rumah dibunyikan. Qaseh memasukkan gambar Amirul ke dalam beg. Kemudian dicapai gambar Fareez. Lama dia menatap gambar itu. Air matanya jatuh setitik ke atas kaca gambar tersebut. Didekatkan bibirnya ke gambar Fareez. Lama bibir itu melekap di gambar tersebut. Qaseh cepat-cepat memasukkan gambar Fareez ke dalam beg pakaiannya apabila terdengar suara Zhulianna memanggilnya. Tangan Qaseh pantas mengelap air mata yang berjuraian. Dia tidak mahu Zhulianna melihat kedukaannya lagi.
“ Ibu panggil Qaseh ke?” tanya Qaseh pada Zhulianna apabila dilihat Zhulianna ada di anak tangga yang paling hujung.
“ Kita ada tetamu. Turunlah.” Zhulianna beredar dari situ dan menuju ke dapur. Qaseh masuk semula ke dalam bilik dan menukar pakaian. Dari baju mengandung ke seluar. Dia tidak mahu sesiapa pun tahu bahawa dia sedang mengandung. Kemudian, dia menuruni anak tangga dan menuju ke arah ruang tamu yang dipenuhi dengan tetamu yang tidak diundang itu.
“ Qaseh…” panggil seseorang yang amat dikenalinya.
“ Ummi…” Qaseh menyalami Puan Sri Marlisa. Mereka berpelukan. Masing-masing mengambil giliran masing-masing untuk bersalaman dengan Qaseh. Fitri Shaliza dan Fitri Marlis sama-sama memeluk Qaseh. Anak-anak mereka juga turut bersalaman dengan Qaseh. Qaseh melabuhkan punggung di sebelah Puan Sri Marlisa.
“ Qaseh, apa khabar?” tanya Tan Sri Firdaus.
“ Baik, Walid. Walid sihat?” tanya Qaseh kembali.
“ Walid rasa sihat sikit daripada hari tu.” Kata Tan Sri Firdaus. Qaseh mendapat tahu daripada Fitri Marlis bahawa ayah mentuanya dimasukkan ke wad kerana mengalami hypertension. Adalah sekali dua Qaseh melawat Tan Sri Firdaus di hospital. Ayah mentuanya itu terlalu kuat bekerja. Kalau sehari tidak bekerja, pasti tidak senang duduk. Kini, dia terpaksa mengurangkan sedikit tekanan. Doktor menyuruhnya banyak berehat. Tan Sri Firdaus nampak lebih sihat berbanding dahulu.
“ Ummi nampak Qaseh makin berisi. Makin berseri-seri. Ada apa-apa ke?” tanya Puan Sri Marlisa tiba-tiba. Qaseh sudah sedikit menggelabah. Zhulianna yang baru tiba dari dapur dengan menatang dulang yang berisi cawan-cawan dan teko kopi. Fitri Shaliza turut menolong Zhulianna dengan mengangkat dulang yang penuh berisi kuih-muih serta biskut dan kek.
“ Entahlah, Kak. Saya pun tak tahu. Semenjak dua menjak ni, berselera dia makan. Macam-macam ditelannya.” Kata-kata Zhulianna menerima jelingan yang tajam daripada Qaseh. Zhulianna hanya tersenyum.
“ Qaseh tak pergi check? Manalah tahu. Berisi.” Puan Sri Marlisa memandang wajah Qaseh dengan penuh harapan.
“ Dah pergi check hari tu, Ummi. Doktor kata tak ada apa-apa.” Qaseh cuba melindungi hakikat sebenar. Puan Sri Marlisa mengangguk lemah. Hancur harapan hendak mendapat cucu daripada anak sahabat baiknya sendiri. Fitri Marlis menuangkan air kopi ke dalam cawan-cawan yang tersedia di atas meja.
“ Minumlah, Kak. Minum semua.” Zhulianna menjemput mereka. Qaseh memandang Zhulianna dengan wajah yang tidak senang. Zhulianna tahu apa yang sedang dihadapi oleh anaknya itu. Zhulianna memberikan isyarat mata kepada Qaseh. Anaknya itu mengerutkan dahi. Tanda tidak faham dengan isyarat mata Zhulianna.
“ Kak…” panggil Zhulianna perlahan. Puan Sri Marlisa meletakkan cawan kopinya ke atas meja.
“ Qaseh ada benda nak beritahu Akak.” Kata Zhulianna. Qaseh membeliakkan mata. Dia tergamam.
“ Qaseh, beritahu Ummi pasal Luxembourg.” Ujar Zhulianna. Baru kini Qaseh faham akan maksud Zhulianna. Ibunya mahu dia memberitahu Puan Sri Marlisa mengenai pemergiannya.
“ Qaseh nak beritahu apa?” tanya Puan Sri Marlisa lembut. Qaseh gelisah. Dia tidak tahu bagaimana hendak memberitahu ibu mentuanya itu.
“ Qaseh…” panggil Puan Sri Marlisa perlahan sambil menggengam jari jemari Qaseh yang runcing.
“ Sebenarnya Ummi,Walid….Qaseh…Qaseh…Qaseh…” tergagap-gagap dia hendak mengatakan perkara sebenar.
“ Sebenarnya apa Qaseh? Cuba Qaseh cerita pada Ummi.” Paksa Puan Sri Marlisa lagi. Tidak sabar dia hendak mengetahui perkara itu.
“ Qaseh dapat buat Masters kat Luxembourg.” Terluah juga kata-kata itu daripada mulut Qaseh.
“ Hmm…baguslah.” Tan Sri Firdaus menyahut.
“ Bila Qaseh nak berangkat?” tanya Fitri Shaliza pula.
“ Hujung bulan ni.” Ujar Qaseh. Dia memandang Puan Sri Marlisa di sebelah. Wanita itu hanya mendiamkan diri. Tidak berkata apa-apa.
“ Ummi…” panggil Qaseh. Puan Sri Marlisa terjaga dari lamunannya.
“ Baguslah, Qaseh. Ummi tumpang gembira untuk Qaseh.” Kata Puan Sri Marlisa perlahan. Qaseh tahu ibu mentuanya itu kecewa kerana menantunya terpaksa meninggalkan mereka semua. Ini adalah cita-cita Qaseh. Dia juga tidak sanggup meninggalkan Datuk, Rafidah, Zhulianna, Aishah, Amirul dan keluarga mentuanya. Tetapi apakan daya, dia juga ingin mengejar cita-cita yang telah lama disimpan semenjak berkahwin dengan Fareez. Menjadi seorang yang lebih berguna. Dia sudah mendapat peluang itu. Pasti tidak akan disia-siakan begitu sahaja. Rugilah usahanya selama ini.
“ Tapi, satu je pesan Ummi. Jaga diri baik-baik. Qaseh di negara orang. Tak tahu apa yang terjadi. Kami di sini, doakan kecemerlangan Qaseh dalam pelajaran.” Nasihat Puan Sri Marlisa akan Qaseh simpan di dalam hatinya sebaik mungkin. Nasihat itu akan senantiasa diingati.
“ Terima kasih, Ummi, Walid.” Ucap Qaseh. Dia memandang satu persatu wajah yang ada di ruang tamu rumah itu. Kesemua mereka tersenyum ke arah Qaseh. Ada satu wajah yang dia tidak akan ketemui selepas ini. Wajah yang akan selalu dirindui.
Selepas hampir setengah hari mereka semua menghabiskan masa bersama Qaseh dan Zhulianna, mereka meminta diri untuk pulang. Puan Sri Marlisa berjanji dengan Qaseh dia akan turut menghantar Qaseh ke lapangan terbang. Mereka sekali lagi berpelukan. Qaseh melambai ke arah kereta-kereta yang perlahan-lahan hilang dari pandangannya. Maafkan Qaseh, Ummi. Qaseh terpaksa menipu Ummi, bisik hati kecilnya. Qaseh menutup semula pintu. Dia menuju ke tangga untuk ke tingkat atas. Zhulianna sedang sibuk membasuh pinggan di dapur. Qaseh menjenguk ke dapur.
“ Ibu nak Qaseh tolong?”
“ Tak payah. Ibu dah biasa buat benda-benda ni semua.” Zhulianna tersenyum. Qaseh menarik kerusi di meja makan dan duduk di situ. Leka memerhatikan ibunya menyelesaikan kerja-kerja.
“ Ibu rasa apa yang Qaseh buat ni, betul tak?” tanya Qaseh tiba-tiba. Zhulianna mengalihkan badan dan memandang Qaseh yang seperti orang termenung jauh. Zhulianna kerutkan sedikit dahinya.
“ Kenapa Qaseh cakap macam tu?”
“ Qaseh tipu Ummi. Qaseh tak senang hatilah, Ibu.”
“ Qaseh…Kalau Qaseh beritahu perkara sebenar, Qaseh rasa Ummi akan lepaskan Qaseh pergi?” tanya Zhulianna kembali. Qaseh mengangkat muka dan memandang Zhulianna yang sedang berjalan ke arahnya.
“ Ibu boleh lepaskan Qaseh.”
“ Ibu pun tak sanggup lepaskan Qaseh. Tapi, Qaseh yang beria-ia nak sangat pergi ke sana. Ibu tak boleh buat apa-apa. Lagi Ibu halang, selagi itulah Qaseh desak nak pergi.” Kata Zhulianna. Qaseh mengeluh. Dia memegang perut yang kian membesar. Biarlah bila anak ini lahir nanti, semuanya akan terjawab dengan sendiri. Entah bila masa Zhulianna kembali meneruskan kerja-kerjanya, Qaseh pun tidak perasan.
“ Ibu, Qaseh naik dulu. Banyak lagi barang nak kena kemas.” Ujar Qaseh sambil menolak kerusi yang ada di dapur itu ke tempat asal. Zhulianna memandang anaknya itu apabila Qaseh membelakangi Zhulianna dan berjalan menuju ke tangga.








PADA mulanya Zhulianna hendak memandu ke KLIA tetapi dihalang oleh Qaseh dan Zurain. Mereka bercadang hendak menaiki ERL (Express Railway Link) yang akan membawa mereka terus ke KLIA. Lagipun, Qaseh tidak begitu percaya ibunya membawa kereta seorang diri tanpa teman. Zurain sudah pasti akan pulang bersama Iskandar. Qaseh belum cuba naik ERL. Inilah kali pertama. Zurain membawa kereta dan bagasi Qaseh diletakkan di dalam kereta Zurain. Sampai sahaja di KLIA, Qaseh terus menuju ke kaunter MAS Airline untuk membuat pengesahan tiket. Zhulianna hanya duduk menunggu di salah sebuah kerusi yang diletakkan berdekatan dengan kaunter tersebut. Zurain masih belum sampai. Qaseh duduk di sebelah ibunya. Dada Qaseh berdebar-debar. Tidak sabar rasanya hendak menaiki kapal terbang dan meninggalkan Malaysia secepat mungkin. Dia tidak boleh menunggu walaupun seminit lagi di sini. Hatinya sudah tiada lagi di sini. Jiwanya sudah lama meninggalkan Malaysia.
“ Apa yang Qaseh fikirkan?” tanya Zhulianna apabila didapatinya Qaseh hanya mendiamkan diri. Qaseh memandang Zhulianna dan tersenyum sambil menggeleng. Cuba melindungi hati yang kesedihan.
“ Bagaimana kalau Fareez menghalang Qaseh dari pergi?” pertanyaan Zhulianna kali ini benar-benar mendapat reaksi terkejut daripada Qaseh. Itulah juga persoalan yang difikirkan 2-3 hari sebelum dia berangkat.
“ Qaseh dah katakan pada dia. Kami perlukan ruang untuk bersendirian. Memikirkan hati dan perasaan masing-masing. Kalau ada jodoh antara kami, walau macam mana pun kami akan tetap bersama.” Kata Qaseh penuh yakin sedangkan dia sendiri tidak tahu samada dia masih mempunyai masa depan bersama Fareez atau tidak. Zhulianna memandang anak itu dengan perasaan penuh simpati. Sebentar kemudian, Zurain dan suaminya, Iskandar tiba di KLIA. Puas mereka meronda satu KLIA mencari kedua beranak itu. Rupa-rupanya mereka ada di hadapan kaunter tiket. Zurain menyorong troli yang membawa bagasi-bagasi pakaian Qaseh.
“ Laa…Kat sini rupanya Akak dan Qaseh. Puas saya dengan Is cari Akak berdua.” Zurain menghenyakkan punggungnya di kerusi yang Zhulianna dan Qaseh duduk. Qaseh menolong Iskandar meletakkan bagasi-bagasi pakaiannya di kaunter bagasi.
“ Qaseh pergi duduk. Biar Uncle yang buat.” Kata Iskandar.
“ Eh! Tak apalah, Uncle. Qaseh tak nak menyusahkan Uncle.”
“ Apa pulak nak menyusahkan? Qaseh kan anak buah Uncle jugak.”
“ Betul ke ni, Uncle?”
“ Betul. Dah. Qaseh pergi duduk. Dahlah kamu tu tengah mengandung.” Ujar Iskandar. Qaseh tersenyum lebar. Gembira dia masih mempunyai pak cik sebaik Iskandar. Beruntung dia mempunyai dua orang pak cik yang amat sayangkannya. Khairudin dan Iskandar.
“ Thanks, Uncle. Sayang Uncle.”
“ Welcome.” Ucap Iskandar kembali.
Qaseh berjalan semula ke arah Zhulianna dan Zurain. Kedua beradik itu sedang leka bersembang.
“ Ibu, Qaseh lapar.” Rengek Qaseh. Zhulianna tersenyum.
“ Jom pergi makan. Zura, Is….Nak ikut pergi makan?” tanya Zhulianna kepada adik dan adik iparnya itu. Mereka mengangguk dan membuntuti Zhulianna dan Qaseh. Mereka berempat melangkah masuk ke dalam McDonald. Restoran makanan segera yang ada di situ. Selain McDonald, banyak lagi pilihan restoran makanan segera. Tetapi Qaseh lebih gemar ke restoran makanan segera kegemarannya.
Iskandar membelikan makanan untuk mereka berempat. Qaseh, Zhulianna dan Zurain memilih tempat yang terbuka. Macam-macam yang dipesan oleh Qaseh. Burger Big Mac, Chocolate Shake, Apple Pie dan Aiskrim Sundae. Zhulianna hanya menggeleng sahaja melihat telatah anaknya itu. Makan mengalahkan orang lain. Seperti makan untuk 3 orang. Habis pula apa yang dipesannya itu. Tidak dikongsi dengan sesiapa pun. Zurain dan Iskandar ternganga melihat tabiat kuat makan Qaseh.
“ Cepatnya Qaseh. Lapar betul ni.” Kata Zurain. Qaseh tersengih.
“ Dari pagi lagi Qaseh tak makan. Ibu tak masak sarapan.” Muncung sahaja bibir Qaseh. Zhulianna tersenyum.
“ Kan Ibu dah masak serunding untuk Qaseh bawak pergi sana?”
“ Ala…Serunding je. Nak makan air tangan Ibu.” Ujar Qaseh.
“ Lepas ni, pandai-pandailah Qaseh masak sendiri.” Usik Zurain. Iskandar tergelak kecil melihat gelagat Qaseh yang tidak ubah seperti kebudak-budakan. Muncungnya masih panjang sedepa.
“ Sukalah Auntie dengan Ibu usik Qaseh. Uncle tengok Ibu dengan Auntie Zura.” Qaseh pura-pura merajuk.
“ Dah puas dah Uncle tengok Ibu dengan Auntie Zura. Dah 20 tahun lebih. Sampai tak mahu tengok dah.” Seloroh Iskandar. Qaseh hampir tersenyum tetapi sengaja dimasamkan mukanya lagi.
“ Janganlah masam muka. Nanti anak tu pun muka masam je.” Qaseh tersenyum kembali setelah mendengar kata-kata Zhulianna.







TINGGAL lagi 3 jam sahaja Qaseh akan berangkat ke Luxembourg. Keluarga Qaseh serta keluarga mentuanya sudah mula tiba ke KLIA. Mereka bersembang sesama sendiri. Qaseh seperti mencari seseorang. Puan Sri Marlisa melabuhkan punggung di sebelah Qaseh. Dia menggengam jari jemari menantunya itu. Qaseh tersedar dan segera memandang wajah Puan Sri Marlisa. Dahinya dikerutkan.
“ Qaseh tak payahlah cari dia lagi. Dia tak akan datang.” Kata-kata Puan Sri Marlisa sedikit sebanyak telah melukakan hati Qaseh.
“ Apa yang Ummi cakapkan ni?” dicuba melindungi hati yang lara.
“ Fareez. Qaseh cari Fareez, kan?” duga Puan Sri Marlisa.
“ Eh! Taklah, Ummi. Qaseh cari Ecah.” Isi hatinya dapat dibaca oleh Puan Sri Marlisa. Begitu ketarakah di raut wajahnya?
“ Tak ada siapa tahu ke mana dia pergi 2-3 hari ni. Kami semua risau. Dia langsung tak telefon.” Hati Qaseh gelisah selepas mendengar kata-kata Puan Sri Marlisa. Ke manakah dia? Ada sesuatu yang terjadi ke atas dirinya kah? Mungkin dia pergi mencari ketenangannya sendiri.
“ Kenapa Ummi tiba-tiba cakap pasal Abang Fareez pulak ni?”
“ Ummi perempuan. Ummi faham perasaan Qaseh. Bila kita benar-benar perlukan seseorang di sisi, orang itu tinggalkan kita. Walau apapun yang terjadi di antara kamu berdua, Qaseh teruslah anggap Ummi ni sebagai Ummi Qaseh sendiri.” Kata-kata ikhlas yang meluncur keluar dari mulut Puan Sri Marlisa dibalas dengan pelukan oleh Qaseh. Puan Sri Marlisa mengusap kepala Qaseh.






PANGGILAN terakhir untuk penumpang pesawat Airbus 380 telah pun diumumkan. Qaseh sekali lagi bersalaman dan berpelukan dengan mereka buat kali terakhir. Ada esakan tangis. Air mata Qaseh juga turun berjuraian. Tidak sanggup rasanya berpisah dengan mereka semua tetapi dia harus pergi. Menyambung cita-cita untuk belajar ke peringkat yang tertinggi. Qaseh menyalami Datuk. Air mata tua itu juga turut membasahi pipi Datuk yang semakin dimamah usia.
“ Qaseh jaga diri tau? Kalau ada apa-apa, jangan lupa telefon atuk.” Pesan Datuk berulangkali. Qaseh mengangguk sambil memeluk datuknya itu.
“ Qaseh ingat pesan atuk.” Dia beralih pula kepada Fitri Shaliza dan Fitri Marlis. Dia menyalami mereka berdua yang sudah dianggapnya seperti kakak-kakak kandung.
“ Jangan lupakan kami di sini.” Kata Fitri Marlis. Qaseh tersenyum dalam tangis. Dilap air matanya sedikit.
“ Qaseh, ingatlah bahawa Ummi sentiasa menganggap Qaseh sebagai menantu Ummi.” Kata-kata Puan Sri Marlisa menimbulkan satu perasaan lega di hati Qaseh. Masih ada lagi orang yang menyayanginya selain daripada Ibu dan Datuk.
“ Ummi pun ingatlah yang Qaseh sentiasa menganggap Ummi sebagai ibu kandung.” Mereka berpelukan. Qaseh tunduk menyalami Tan Sri Firdaus. Semasa Qaseh hendak menarik tangannya semula, dia terasa ada sesuatu di tangannya. Dia membuka tapak tangannya dan lihat ada satu sampul surat yang berwarna putih.
“ Apa ni, Walid?” tanya Qaseh yang sedikit kebingungan.
“ Duit untuk perbelanjaan Qaseh.”
“ Tapi, Walid…Duit scholarship yang JPA bagi dah cukup untuk Qaseh. Campur dengan duit gaji. Lebih daripada cukup. Qaseh tak boleh terima ni.” Kata Qaseh yang menyerahkan semula sampul surat tersebut. Tan Sri Firdaus tidak menyambutnya.
“ Ambillah, Qaseh. Walid sedekah.” Ujar Tan Sri Firdaus. Akhirnya Qaseh terpaksa mengalah. Disimpan duit tersebut di dalam kocek seluar. Qaseh berjalan ke arah Mak Ngah dan Pak Ngah serta sepupu-sepupunya. Mereka bersalaman dan berpelukan dengan Qaseh. Kemudian, dia menuju pula ke arah Zurain dan Iskandar. Qaseh mencapai tangan Zurain.
“ Terima kasih, Auntie Zura, Uncle Is….Sebab menyayangi Qaseh seperti anak Auntie dan Uncle sendiri.” Qaseh memegang jari jemari Zurain. Iskandar menepuk-nepuk bahu Qaseh. Dia sudah menganggap Qaseh seperti anaknya sendiri.
“ Kenapa Qaseh cakap macam tu? Qaseh kan anak kakak Auntie. Kami memang sayangkan Qaseh. Kita satu keluarga.” Lega Qaseh mendengar kata-kata yang terlahir dari mulut Zurain. Qaseh memandang Zuleika dan Zufri yang berdiri di sebelah Iskandar.
“ Maafkan Akak.” Ucap Qaseh. Mereka memandang Qaseh dengan pandangan pelik. Pelik dengan kata-kata Qaseh.
“ Kenapa Akak nak mintak maaf?” tanya Zuleika.
“ Sebab Akak baru je mengenali Eika dan Zuf. Lepas tu, Akak dah nak pergi balik Luxembourg.” Kata Qaseh. Mereka berdua tersenyum.
“ Akak jangan risau. Lepas Akak balik, kita pasti akan bersembang lama-lama.” Kata Zuleika. Dia anak sulung. Muda 3 tahun dari Qaseh.
“ Janji?”
“ Eika janji.” Mereka sama-sama berpelukan.
“ Eika kerja elok-elok tau.” Pesan Qaseh pada Zuleika setelah pelukan dileraikan. Zuleika mengangguk pantas. Qaseh beralih ke arah Zufri.
“ Zuf, belajar elok-elok. Akak nak Zuf tamatkan pelajaran sehingga ke peringkat tertinggi.” Pesan Qaseh. Zufri tersenyum manis.
“ Insya-Allah, Kak. Zuf akan ingat pesan Akak.” Ujar Zufri sambil tunduk menyalami tangan Qaseh yang sudah dianggap sebagai kakaknya sendiri. Qaseh beralih pula kepada Zhulianna. Air mata yang menuruni pipi tua itu masih belum berhenti.
“ Ibu, maafkan Qaseh. Sebab Qaseh jadi anak kurang ajar. Marahkan Ibu kerana Ibu tak datang sewaktu Qaseh perlukan seorang ibu. Qaseh marahkan Ibu sebab Ibu tinggalkan Qaseh. Qaseh tak tahu cerita sebenar. Kini, baru Qaseh sedar. Bukan Qaseh yang menderita tetapi Ibu. Ibu telah lalui bermacam-macam dugaan. Ibu sanggup menerima perangai Qaseh yang tak reti hormatkan Ibu. Ibu sanggup menerima cacian keluarga Ibu sendiri. Tetapi Ibu tak pernah menegakkan kebenaran. Ibu sanggup menerima kata-kata hinaan demi menjaga maruah Qaseh dan Papa. Maafkan Qaseh, Ibu. Maafkan Qaseh.” Air mata Qaseh laju menuruni pipinya yang gebu. Zhulianna mengelap air mata itu.
“ Mana Qaseh tahu semua ni?” tanya Zhulianna yang agak terkejut dengan kata-kata Qaseh. Dia tidak pernah memberitahu kepada sesiapapun tentang perkara ini.
“ Dari Auntie Zura.” Ringkas jawapan Qaseh.
“ Ibu tak salahkan Qaseh. Memang patut Qaseh marahkan Ibu. Memang itu tanggungjawab Ibu menjaga maruah keluarga kita. Qaseh jangan rasa bersalah kerana perkara yang sudah lama berlalu. Papa pun dah tak ada. Kita yang hidup ni mesti teruskan dengan kehidupan kita. Ibu maafkan Qaseh.” Mereka berpelukan. Agak lama kemudian, barulah mereka meleraikan pelukan. Qaseh mengelap air mata Zhulianna. Dia beralih pula kepada sahabat baiknya yang selama ini mendengar keluh-kesah hidupnya.
“ Ecah….Terima kasih sebab menjadi sahabat dan pendengar setia masalah aku. Aku banyak terhutang budi pada kau. Kaulah sahabat aku selama-lamanya.” Mereka berpelukan. Aishah tidak dapat berkata-kata sebaliknya air mata yang berjuraian membasahi pipi. Qaseh mengelap air mata Aishah dan memegang pipi sahabat baiknya itu. Dia pasti akan merindui celoteh Aishah yang senantiasa menghiburkan hatinya yang duka. Merindui gelak ketawanya.
“ Kau ingat apa yang kita dah janji hari tu?”
“ Aku ingat.” Lama Aishah memegang jari jemari Qaseh. Seperti tidak mahu dilepaskannya. Dia pasti akan merindui sahabatnya itu.
“ Tapi, aku pulak nak kau janji dengan aku satu perkara.” Ujar Qaseh.
“ Janji apa?”
“ Kau jangan beritahu apa-apapun kepada Fareez. Aku tak mahu dia tahu di mana aku berada. Aku inginkan ketenangan. Kau boleh tolong aku?” pinta Qaseh mengharap.
“ Aku janji.” Ucap Aishah. Mereka berpelukan sekali lagi sebelum Qaseh meleraikan pelukan itu dan berjalan ke arah pintu balai berlepas.
Semasa Qaseh melepasi pintu balai berlepas, sempat lagi dia memandang ke sekeliling. Mencari wajah yang akan dirinduinya. Tiada. Dengan perasaan hampa, Qaseh melangkah longlai memasuki balai berlepas. Diserahkan pasport dan tiket kepada pegawai yang berdiri dihadapan pintu itu. Dia membawa beg sorong yang diletaknya barang-barang berharga. Perlahan-lahan dia mendaki tangga untuk masuk ke dalam perut kapal terbang. Salah seorang pramugara menolong Qaseh mengangkat beg sorong tersebut. Pramugara tersebut meminta tiket Qaseh dan membawa Qaseh ke tempat duduknya. Selepas mengucapkan terima kasih, pramugara tersebut beredar dari situ. Kerusi Qaseh berdekatan dengan tingkap. Qaseh memang suka pemandangan di tepi tingkap.

‘ Selamat tinggal Malaysia. Akan aku tinggalkan kenangan pahit aku di sini. Kenangan manis tetap akan aku simpan di hati ini. Walaupun hati
ini pernah terluka dengan perbuatannya tetapi cinta aku terhadap dia masih ada. Aku berjanji akan mengajar anak ini mengenali ayahnya walaupun dia dilahirkan tanpa belaian ayahnya di sisi. Aku takkan biarkan dia tidak mengenali Fareez. Akan aku ceritakan kepada dia kenangan manis aku bersama ayahnya. Satu hari nanti aku berjanji akan mempertemukan mereka berdua.’

Hati Qaseh sempat berbisik sendirian. Sehingga saat kapal terbang itu bergerak meninggalkan landasan, wajah Fareez terlayang di ruang fikirannya.

‘Abang, terima kasih. Terima kasih kerana memberikan hadiah yang paling berharga buat Qaseh. Qaseh akan jaga pemberian Abang ini sebaiknya. Mungkin satu hari nanti, Qaseh akan memulangkan semula hadiah ini kepada Abang. Cinta Abang tetap di hati ini. Selamanya.’
Qaseh mengusap perutnya yang semakin hari semakin membesar. Dia tidak sabar menunggu kelahiran anak ini ke dunia. Akan Qaseh ajar dia untuk mengerti perkataan kasih sayang dan cinta.

BERSAMBUNG.....

0 tukang komen paling setia: