BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, January 9, 2009

Kasih Aishah Najyha BAB 27

BAB 27

AISHAH mengemas meja apabila menyedari jam sudah hampir menunjukkan pukul 8 malam. Sebentar sahaja lagi Hariz akan datang mengambilnya. Pintu bilik pejabat diketuk. Arahan masuk diberikan. Putri segera masuk dan meletakkan satu fail di atas meja ketuanya. Aishah mengambil fail tersebut dan diselak satu persatu muka surat yang ada di dalam fail tersebut. Kemudian, dia menurunkan tandatangan.
“Kak, kalau tak ada apa-apa lagi, Put nak mintak diri dulu.” Kata Putri. Aishah mengangkat muka memandangnya.
“Ok. Tapi esok jangan lambat. Datin Normala dan anak dia, Naryssa, akan datang esok tau. Pagi.” Kata Aishah.
“Agak-agak dalam pukul berapa? Sebab Put nak pergi bank kejap. Nak bayar duit kereta.” Ujar Putri sambil menggalas tas tangannya.
“Dalam pukul 11 or 11.30.” jawab Aishah. Putri mengangguk perlahan.
“Sempatnya Put sampai butik. Oklah, Kak. Put balik dulu.” Ujar Putri dan berkita-kira hendak beredar.
“Kamu balik dengan siapa ni?” tanya Aishah yang prihatin akan pekerja-pekerjanya. Kesian pada mereka yang terpaksa pulang lewat kerana menyelesaikan tempahan yang ditempah oleh pelanggan.
“Hairy ambil Put.” Putri berkata. Aishah kenal akan tunang Putri, Hairy. Baik orangnya. Lemah lembut budi bicara.
Putri berpaling untuk keluar tetapi dia berpaling semula ke arah Aishah apabila namanya dipanggil.
“Wawa, Ila dengan Kamal dah balik ke?” tanya ketuanya lagi.
“Dia orang semua belum balik lagi, Kak. Banyak kerja tak siap.” Ujar Putri. Kerjanya juga tidak selesai lagi. Tetapi hari sudah menganjak ke malam. Ibunya sudah berkali-kali telefon mengatakan bila mahu pulang. Lagipun, tempahan itu masih sempat untuk disiapkan. Pelanggan itu mahukan tempahan itu disiapkan pada awal bulan hadapan. Masih ada lagi 3 minggu untuk dia bertungkus lumus menyiapkannya.
“Kalau macam tu, tak apalah. Terima kasih, Put.”
“Kasih anda diterima.” Sempat lagi Putri berseloroh. Kakinya melangkah keluar dari pejabat Aishah. Ketuanya hanya tersenyum sambil menggeleng. Telefon bimbit Aishah berbunyi kuat. Terkejut dia dengan deringan itu yang sedang tengah asyik menyelesaikan kerja.
“Assalamualaikum.” Sahut satu suara.
“Waalaikumussalam.” Aishah menjawab. Dia sudah mengenal pasti akan pemanggil itu.
“Saya on the way ke butik awak.” Ujar Hariz.
“Ok. Saya tunggu awak.” Aishah mematikan talian. Dia keluar dari bilik pejabat dan ternampak Najwa baru sahaja masuk ke dalam butik. Dia menuju ke arah gadis itu.
“Wawa, Akak balik dulu. Ila dan Kamal belum balik lagi kan?” Aishah berkata sambil memasukkan fail-fail pelanggan ke dalam beg kertas yang tersedia di atas meja. Dia harus bawa balik fail itu dan diteliti semula.
“Belum lagi, Kak.” Jawab Najwa ringkas.
“Nanti jangan lupa kunci pintu lepas Akak keluar. Najwa nak balik pukul berapa ni?” tanya Aishah. Risau juga dia meninggalkan butik kepada pembantu-pembantunya di waktu malam. Takut juga apa-apa yang terjadi. Lekas-lekas dia mengusir pemikiran sebegitu. Didoakan tidak terjadi apa-apa.
“Dalam pukul 9.”
“Balik macam mana ni?” tanya Aishah lagi.
“Babah datang ambil.” Najwa berkata. Sememangnya Aishah ketahui, Najwa adalah anak kesayangan bapanya. Jadi, tidak hairanlah kemana sahaja Najwa pergi, pasti bapanya akan pergi bersama. Yalah, satu-satunya anak perempuan, katakan.
“Nanti Wawa tunggu sampai Ila dan Kamal balik, ya? Sebab kunci ada kat Wawa. Dia orang tak ada kunci.” Pesan Aishah berkali-kali. Najwa mengangguk dan tersenyum. Aishah menggalas tas tangannya.
“Iya, Kak. Jangan risau. Akak pergilah dating.” Teka Najwa sambil tersenyum lebar. Aishah mengerutkan kening.
“Hah?” Aishah seperti kurang dengar apa yang diperkatakan oleh Najwa.
“Pergilah dating dengan aman.” Ujar Najwa sekali lagi.
“Mana Wawa tahu ni?” Aishah bertanya. Terpinga-pinga.
“Eleh….macamlah orang tak tahu. Akak tak mungkin balik seawal ni kalau tak ada apa-apa hal. Kan banyak lagi tempahan pelanggan yang Akak tak baca lagi. Lagipun Wawa terdengar perbualan Akak dengan Abang Hariz tadi.” Najwa berkata sambil tersengih hingga menampakkan gigi. Aishah menggeleng perlahan dan tersenyum.
Aishah terjenguk-jenguk ke luar. Mencari kelibat kereta Hariz. Masih tidak nampak. Dia berkali-kali melihat telefon. Kenapa dia tidak sampai lagi? Sepatutnya dia sudah sampai. Pejabat dengan butik Aishah tidaklah begitu jauh. Hati Aishah dirundung resah. Aishah menjenguk sekali lagi ke luar.
Kereta Hariz berhenti betul-betul dihadapan butiknya. Aishah segera meluru keluar. Hariz tersenyum apabila ternampak kelibat gadis itu. Masuk sahaja ke dalam kereta, Aishah terus bertanya.
“Kenapa Hariz lambat?”
“Riz lambat ke?” Hariz melihat jam tangan. Baru 8.20 malam.
“Sorry. Riz pergi ambil petrol. Minyak dah nak habis dah tadi. Kalau kereta tak boleh berjalan, nanti kita sama-sama kena tolak.” Hariz berkata seloroh. Aishah tersenyum kelegaan.
“Aishah nak makan kat mana?” tanya Hariz sebelum keretanya bergerak menuju destinasi. Aishah seperti berfikir sesuatu.
“Saya ikut Riz je. Tak kisah makan kat mana-mana pun. Asalkan boleh makan. Saya dah lapar sangat ni.” Kata Aishah. Hariz tersenyum dan keretanya menderum pergi.





AISHAH membuka pintu rumah. Ruang tamu gelap tetapi masih terpasang televisyen. Gadis itu mengerutkan dahi. Dia berjalan ke arah ruang tamu untuk melihat siapakah yang berada di sana. Terjengket-jengket Aishah berjalan kerana tidak mahu mengejutkan orang yang sedang menonton televisyen itu. Syed Mahfuz menyandarkan diri di sofa dengan mulut yang sedikit ternganga. Dengkuran pun kedengaran. Aishah melihat jam dinding. Sudah hampir jam 1 pagi. Lama juga di keluar dengan Hariz. Tidak pernah selambat ini dia pulang kecuali atas urusan kerja.
“Pa…Pa…Papa….” Kejut Aishah perlahan. Dia tidak mahu kejut kuat-kuat. Nanti kena sakit jantung pula orang tua itu.
“Pa…” kejut Aishah sekali lagi. Syed Mahfuz membuka mata perlahan-lahan. Melihat anak gadisnya. Aishah tersenyum.
“Eh, Adik.” Syed Mahfuz membetulkan duduk dan memakai semula cermin mata. Untuk melihat gambaran dengan lebih jelas.
“Dah pukul berapa dah ni?” tanya Syed Mahfuz.
“Dah pukul 1 dah, Pa. Papa tunggu Adik ke?” tanya Aishah. Kesian pula dia kepada Syed Mahfuz.
“Papa risaukan Adik. Adik balik lambat hari ni.”
“Adik tak apa-apa, Pa. Adik keluar dengan kawan.”
“Kawan lelaki ke kawan perempuan?” tanya Syed Mahfuz dengan nada mengusik. Aishah tersenyum manja.
“Ishh…apa Papa ni.”
“Betullah. Papa tanya ni. Lelaki ke perempuan?” tanya Syed Mahfuz sekali lagi. Lambat-lambat Aishah hendak menjawab.
“Lelaki.”
“Ohh…”
“Kenapa, Pa?”
“Bolehlah Papa buat menantu.” Malu Aishah apabila diusik begitu. Dia tersenyum. Syed Mahfuz tergelak besar.
“Dahlah, Adik. Adik pergi naik atas. Papa pun nak naik tidur ni. Mengantuk sangat.” Kata Syed Mahfuz sambil menguap luas.
“Esok Papa ada meeting ke?”
“Ya. Pukul 10 pagi.” Syed Mahfuz berjalan ke arah televisyen dan menutup suis peti tersebut. Mereka berjalan beriringan menuju ke tingkat atas. Selepas mengucapkan selamat malam, Aishah masuk ke dalam kamarnya untuk membersihkan diri.
Aishah Najyha membaringkan diri di atas katil selepas menyalin pakaian kerja kepada pakaian tidur. Dia tahu ada satu mesej masuk apabila telefon bimbitnya berdering lagu So What. Aishah bangun dari perbaringan dan mencapai beg tangan. Dia mengeluarkan telefon bimbit dan membaca mesej tersebut. Nombor yang tidak dikenalinya. Dia membaca mesej tersebut satu persatu. Kemudian, dia membalas mesej itu kembali. Daripada Hafiz. Dia mahu berjumpa dengan Aishah esok di perhentian bas dihadapan sekolah lamanya.
Aishah gelisah. Perasaannya tidak tenteram. Apa lagi yang Hafiz mahukan darinya? Dia sudah cuba untuk melupakan Hafiz. Semakin dia rasa dia tidak mampu. Semakin dia cuba menjauh, semakin cinta itu dekat di hati. Semakin dia cuba mengelak, semakin wajah itu menemani tidurnya setiap hari. Dia baring semula. Aishah bersetuju untuk berjumpa dengan Hafiz. Tapi matanya masih tidak boleh lelap. Dia masih memikirkan bagaimana reaksinya esok apabila berhadapan dengan Hafiz. Masih kuatkah dia? Atau hatinya akan lemah, hancur dan luluh? Aishah tidak pasti. Dia membaringkan diri dan memandang siling. Malam yang hening itu, hanya kedengaran keluh kesahnya. Biarlah apa yang akan terjadi hari esok. Dia tidak akan mengelak lagi. Dia harus berdepan. Entah bila matanya tertutup, dia sendiri tidak sedar. Yang tahu, dia sedang melayari mimpi.

AISHAH bangun apabila jam loceng berbunyi kuat. Dia menggosok mata yang terasa berat. Lambat-lambat dia bangun dari katil. Dicapai tuala yang tersangkut di penyidai. Setelah membersihkan diri, disarungkan baju yang sudah tersedia sangkut di dalam almari. Dia berjalan dan duduk menghadap meja solek. Memandang wajah pucatnya. Disapu mekap asas. Kemudian, barulah dia memakai maskara, pembayang mata, eye liner dan lipstik. Natural sahaja. Dia tidak suka terlalu tebal solekannya. Biarlah semulajadi. Barulah nampak kecantikkan yang asli. Dibelek sekali imbas. Puas hati. Dia turun ke tingkat bawah selepas keluar dari biliknya. Menuju ke ruang makan. Kelihatan Mama, Papa dan adik beradiknya yang lain berada di ruang makan. Sedang menikmati sarapan pagi. Aishah tersenyum dan menyertai mereka.
“Lambat Adik balik semalam.” Kata Nurradiah sambil tangan menyuap mihun goreng ke mulut tetapi matanya memandang ke arah Aishah. Semua mata memandang ke arah Aishah. Tetapi tidak Syed Mahfuz. Dia hanya tersenyum.
“Sorry lah, Mama. Kawan Adik yang hantar Adik balik semalam.”
“Kenapa Adik tak call kita orang?” tanya Nina.
“Phone Adik tak ada bateri.”
“Kawan Adik tak ada phone ke?” tanya Khairul pula.
“Ada.” Jawab Aishah ringkas.
“Habis tu? Kenapa tak pinjam phone dia?” tanya Khairul lagi. Aishah terdiam. Kenapalah dia tidak terfikir?
“Kawan Adik tu lelaki ke perempuan?” desak Khairul dengan pertanyaan yang bertubi-tubi.
“Abang…” kata Sabrina perlahan. Dia tahu Aishah berasa serba salah. Adik iparnya itu hanya menelan air liur.
“Abang cuma tanya. Salah ke?” alih Khairul kepada Sabrina. Walaupun perlahan tetapi dia tahu ada nada kemarahan dalam suara itu. Sabrina menggeleng dan mendengus perlahan.
“Tak salah. Tapi pertanyaan Abang membuatkan Adik…” ayat Sabrina tergantung. Khairul memandang isteri di sebelah dengan wajah geram.
“Apa? Takut?” tanya Khairul lagi.
“Abang….” Sabrina berkata dan melepaskan keluhan perlahan.
“Lelaki.” Jawab Aishah ringkas. Dia tidak mahu Khairul dan Sabrina berterusan bergaduh hanya kerana dia.
“Berani pula Adik balik dengan lelaki sampai tengah-tengah malam?” Nurradiah meninggikan sedikit suaranya apabila mendengar jawapan Aishah. Syed Mahfuz berdehem kecil. Aishah menundukkan wajah. Tidak berani bertentang mata dengan mana-mana ahli keluarganya. Nadira yang seakan-akan faham dengan perasaan kakaknya, menggenggam jari jemari Aishah. Meleraikan kekusutan di fikiran. Wajah Aishah sedikit keruh. Fikirannya tentang perjumpaan dengan Hafiz masih lagi dalam dilema. Kini, diserang bertubi-tubi oleh ahli keluarganya pula.
“Mama ni bukannya apa, Adik. Mama tak suka Adik keluar dengan sesiapa yang kita orang tak kenal. Kenapa Adik tak bawak balik dia dan kenalkan dengan Mama dan Papa? Lain kali Adik jangan balik tengah-tengah malam. Mama risaukan keselamatan Adik.” Jelas Nurradiah apabila dia terperasan perubahan wajah anaknya. Aishah mendengus perlahan. Mereka ini terlalu banyak persoalan yang bermain di fikiran. Berkawan salah, tak berkawan lagilah salah. Keluar salah, tak keluar salah. Getus Aishah.
“Mama kenal dia.” Jawab Aishah.
“Siapa?” tanya Nurradiah.
“Hariz.” Jawab Aishah ringkas.
“Sudah-sudahlah tu. Kamu ni tak habis lagi ke nak menyoal siasat dia? Biarlah dia nak berkawan dengan siapa pun. Tapi, pesan Papa pada Adik, apa-apa hal yang terjadi telefon dulu ke rumah. Kami kat sini risau.” Syed Mahfuz meleraikan persoalan mereka sebelum percakapan ini terjadi pertengkaran. Aishah mengangguk.
“Maafkan, Adik. Sebab tak telefon dulu.” Aishah sedar. Ini adalah kesalahannya.
“Kami tak marah pada Adik. Tapi, lain kali telefon dulu, ya?” kata-kata Nina membuatkan Aishah kelegaan. Wajah Aishah kembali tenang. Walaupun hatinya tidak setenang wajahnya.
Masing-masing kembali menjamu selera. Nurradiah mengangkat muka memandang Syed Mahfuz.
“Tadi Abang kata nak cakap sesuatu.”
“Cakap apa, ya?” tanya Syed Mahfuz kembali sambil memikirkan sesuatu. Nurradiah menggeleng.
“Abang ni cepat sangatlah pelupa.”
“Ohh…ya. Hujung minggu ni kita ke Sungai Petani.”
“Kenapa, Bang? Ada masalah dengan syarikat Abang?”
“Imran. Dia dah hilangkan diri. Selepas dia gelapkan duit syarikat hampir beberapa juta.” Kata Syed Mahfuz. Mereka yang ada di meja makan, tercengang. Tidak percaya dengan apa yang diperkatakan oleh Syed Mahfuz.
“Abang ni biar benar. Imran tu kan adik ipar Abang.” Ujar Nurradiah lagi.
“Sebab dia fikir dia adik ipar sayalah, dia boleh buat macam-macam.” Ujar Syed Mahfuz pula. Nurradiah menggeleng perlahan.
“Tentu Norell susah hati kan, Bang?” kata Nurradiah. Dia tiba-tiba sahaja teringatkan adik iparnya itu.
“Ong tak percayalah Uncle Imran sanggup buat macam tu.” Tukas Khairul.
“Betul, Ong. Papa dah ada bukti.” Sela Syed Mahfuz.
“Kalau macam tu, Ong nak ikut Papa pergi jenguk Lang Norell.” Kata Khairul.
“Papa tak nak ganggulah perancangan kamu berdua hujung minggu ni. Manalah tahu, Bri nak balik rumah mak dia ke.” Kata Syed Mahfuz dan memandang Sabrina. Wanita itu tersenyum.
“Tak adalah, Papa. Kami memang tak ada perancangan. Bagus jugak pergi ziarah Lang Norell.” Ujar Sabrina. Syed Mahfuz mengangguk perlahan.
“Nina pun nak pergi jugaklah.” Kata Nina tiba-tiba.
“Betul tu, Pa. Kami pun nak ziarah jugak Lang.” Kata Sofyan pula.
“Kami pun sama.” Kata Shah Fuzey. Nadira turut mengiakan kata-kata suaminya. Syed Mahfuz sekali lagi tersenyum dan mengangguk.
“Adik pun.” ujar Aishah. Syed Mahfuz kelegaan. Kesemua anaknya hendak mengikuti mereka pergi ke Sungai Petani untuk melawat adik Syed Mahfuz.
Setelah itu, seorang demi seorang anak-anak dan menantunya meminta diri untuk pergi ke tempat kerja.


KERETA Aishah berhenti agak jauh daripada perhentian bas dihadapan sekolah lama dia. Matanya memerhati sekeliling. Tidak ada kelibat kereta Hafiz pun. Belum sampai, agaknya. Dia melihat jam di tangan. Baru pukul 9 pagi. Tiada sesiapapun di situ. Dipandu kereta dan berhenti dihadapan perhentian bas tersebut. Kakinya melangkah turun dan dia melabuhkan punggung di atas kerusi perhentian bas tersebut. Aishah leka memerhati kawasan sekolah. Sunyi. Sekarang ini, musim cuti sekolah. Memori lama terlayang-layang di ruang di fikiran. Di sekolah dan stesen bas itu tersimpan semua kenangan bersama Hafiz. Disinilah, buat pertama kali dia terpandang wajah Hafiz. Pertama kali, Hafiz menghulurkan salam persahabatan. Pertama kali, dia mengalami perasaan cinta. Dan pertama kali, memutuskan perhubungan yang begitu bermakna buat dirinya.
Aishah memeluk tubuh. Air mata turun berjuraian. Terlalu banyak kenangan pahit dari kenangan manis. Tanpa dia sedari, ada sepasang mata sedang memerhatikan gerak gerinya dari jauh. Aishah segera mengelap air mata. Malulah kalau orang yang lalu lalang ternampak air mata yang berjuraian menuruni pipi gebu itu. Dia sudah berjanji pada dirinya bahawa dia tidak akan dianggap lemah. Dia tidak akan dibuli lagi.
Derapan kaki di belakang Aishah membuatkan jantung gadis itu seakan-akan berhenti berdenyut. Dia menyeka air mata yang bertakung di tubir mata. Aishah mengumpul segala kekuatan. Perlahan-lahan dia memusingkan badan menghadap sesusuk tubuh yang tegak berdiri. Tetapi wajahnya tetap menunduk. Tidak sanggup melihat wajah yang sentiasa bertakhta di hatinya. Hafiz melabuhkan punggung di sebelah Aishah.
“Aishah apa khabar?” tanya Hafiz. Suara itulah yang selalu menganggu tidurnya dahulu dan kini.
“Baik.” Wajahnya masih tidak diangkat.
“Fiz harap pertemuan kita ni tak diketahui oleh Hariz.” Kata-kata Hafiz itu membuatkan Aishah mengangkat muka. Dikerut sedikit dahi. Hafiz tersenyum.
“Supaya tak timbul salah faham.” Jelas Hafiz. Aishah mengangguk perlahan.
“Saya pun harap Ellisa tak tahu.” Kata Aishah. Lama Hafiz merenung gadis yang amat dicintainya itu. Aishah memandang ke tempat lain. Perasaan malu masih ada. Hafiz tersenyum. Baginya, Aishah tidak pernah berubah sedikitpun. Masih seperti dulu. Hafiz memandang ke arah sekolah yang banyak menyimpan seribu satu rahsia.
“Old memories, huh?” tanya Hafiz. Aishah tidak menjawab sebaliknya tersenyum penuh makna.
Hafiz masih ingat bagaimana Tengku Nora hampir dikerjakan oleh Nina di padang sekolah kerana cuba untuk membuli Aishah, ura-ura percintaannya dengan Tengku Nora kecoh satu sekolah, Shila terlentok manja di bahunya semasa di dalam perpustakaan sehingga ditegur oleh Puan Rayyah, guru perpustakaan. Tengku Nora setiap hari belanja dia makan sehingga ada orang yang mengatakan bahawa mereka berdua adalah sepasang kekasih yang secocok dan bermacam-macam lagilah. Sungguh kelakar masa itu. Dia langsung tidak ada hati pada Tengku Nora masakan dia menganggap gadis itu sebagai kekasihnya. Sudah ada orang hendak belanja. Rezeki, takkanlah hendak ditolak pula. Detik hati kecil Hafiz. Dia dengar dari mulut Shazmy, sahabat baiknya, Tengku Nora sudah berkahwin dengan pilihan keluarganya. Baguslah. Sudah tidak ada orang yang akan menganggunya lagi.
“Kenapa awak nak jumpa saya di sini?” pertanyaan Aishah itu membuatkan lamunan Hafiz terbang.
“Saya dah lama nak jumpa awak. Tapi saya tak ada masa nak balik Malaysia. Saya pernah nampak gambar awak dalam majalah. Itu lagi membuatkan saya tak sabar nak balik Malaysia. Tapi, saya tak tahu awak dah ada orang lain.” Hafiz berkata-kata. Mengharapkan Aishah memahami setiap kata-katanya.
“Saya pun tak sangka yang awak dah ada orang lain.”
“Maksud awak?” Hafiz tidak faham dengan kata-kata Aishah. Lama gadis itu mendiam seribu bahasa. Aishah kemudian berkata-kata. Membuatkan Hafiz tidak lepas dari memandangnya.
“Tentu awak pernah dengar daripada Nina yang saya tak pernah ada sesiapa selepas awak dalam hidup saya selama 12 tahun ni.” Aishah lihat Hafiz menggeleng perlahan. Aishah pelik. Bukankah Nina pemberi maklumat kepada Hafiz?
“Bukan dari Nina.” Hafiz berkata perlahan. Aishah semakin pelik.
“Habis, siapa?”
“Diyana.” Jawab Hafiz ringkas.
“D? Diyana Zhafran?” tanya Aishah inginkan kepastian. Dia terkejut apabila Hafiz mengangguk.
“Tapi, saya dengar daripada Nina yang awak bawak balik tunang. Saya rasa hati saya berkecai. Saya tunggu awak. Selama 12 tahun ni, saya cuba menerima lelaki lain. Tetapi tak ada orang yang dapat menggantikan tempat awak.” Sambung Aishah.
“Saya terlalu istimewa di hati awak?” tanya Hafiz. Dia inginkan kepastian. Aishah tersenyum kecil sambil meraup ke belakang anak rambutnya yang berjuraian di dahi. Rimas apabila rambut bertebangan ditiup angin.
“Am I special to you?” ulang Hafiz.
“Awak tak faham ke atau awak buat-buat tak faham?”
“Apa maksud awak?” tanya Hafiz seperti orang bodoh.
“Sudahlah. Anggap saja saya tak pernah cakap apa-apa.” Aishah kesal. Dia cuba untuk meluahkan perasaannya tetapi Hafiz masih tidak faham. Dia sangat menyesal kerana bersetuju untuk berjumpa dengan Hafiz hari ini. Kalau dia tahu, dibatalkan sahaja. Hafiz tersenyum kecil.
“Saya faham maksud awak. Saya jugak rasa macam tu masa awak minta kita putuskan persahabatan. Saya rasa kecil hati. Saya tak tahu kenapa awak buat macam tu. Berhari-hari saya fikirkan. Sampai saya sanggup tak nak terima tawaran belajar disebabkan perhubungan istimewa yang kita mulakan. Mula-mula saya rasa, saya bertepuk sebelah tangan. Tapi kini, saya dah dapat jawapan yang pasti.” Hafiz meluahkan kegembiraannya. Dia tidak menyangka sama sekali bahawa Aishah juga mempunyai perasaan yang sama. Serasa mahu dipeluk gadis dihadapannya itu. Aishah tetap menundukkan wajah.
“Kenapa dulu awak tak nak tanya kat saya kenapa saya nak putuskan perhubungan kita?” tanya Aishah. Dia benar-benar inginkan jawapan. Hafiz memandang wajah dihadapannya dengan satu perasaan yang sukar ditafsirkan.
“Sebab awak dah berikan saya alasan.”
“Bukan sebab tu sebenarnya saya dah putuskan hubungan dengan awak.” Kata Aishah. Dia mengeluh. Kalaulah masa dapat diundurkan kembali.
“Saya dapat tahu dari Shila yang awak bertaruh dengan Lutfi untuk…” ayat Aishah tergantung.
“Jalinkan hubungan dengan awak?” pintas Hafiz. Aishah mengangguk perlahan.
“Saya ikhlas nak berkawan dengan awak. Saya tak pernah bertaruh dengan Lutfi.” Jelas Hafiz.
“Tapi saya nampak Lutfi bagi duit kat awak.” Desak Aishah lagi supaya Hafiz menceritakan perkara sebenar walaupun dia sudah tahu.
“Duit? Duit…duit…” Hafiz memutarkan kembali fikiran. Cuba mengingati masa Lutfi memberikan duit kepadanya.
“Ohh…duit RM 200 tu? Itu duit yang Lutfi pinjam kat saya. Katanya, mak dia nak guna bawak adik dia ke hospital.” Tiba-tiba Hafiz teringat.
“Tapi Shila kata…” ayat Aishah tergantung. Sengaja dia berbuat begitu. Tapi tidak ada guna lagi memaksa Hafiz sedangkan perkara sebenar sudah dia ketahui.
“Shila kata apa?”
“Tak…tak ada apa-apalah.”
“Shah…” panggil Hafiz perlahan. Aishah memandang ke arah Hafiz. Perasaan yang pernah datang dahulu, menerjah semula.
“Saya harap kita akan terus berkawan. Tak kira walau apapun yang terjadi. Saya sayangkan awak.” Kata-kata dari Hafiz itu membuatkan Aishah tertunduk malu. Dia tidak membayangkan bahawa lelaki yang amat dicintainya itu akan mengucapkan kata-kata sayang.
“Saya pun harap kita akan terus berkawan macam dulu.”
“Biar saya perkenalkan diri. Saya Hafiz.” Hafiz menghulurkan tangan.
“Saya Aishah…Najyha.” Aishah menyambut huluran itu. Mereka sama-sama mengukir senyuman.
“Tapi, saya harap awak jangan beritahu pasal hubungan kita ni pada Hariz dan Lisa. Kita kena fikirkan pasal mereka. Jangan kerana kita nak ikutkan perasaan, kita lukakan hati mereka.” Ujar Aishah. Dia tidak sanggup melukakan kedua-dua hati orang yang amat menyayangi mereka.
“Jadi, awak nak buat macam mana?” tanya Hafiz. Dia tidak mahu kehilangan Ellisa. Dia juga tidak mahu kehilangan Aishah. Tamak? Dia memang bersifat tamak. Dia takut kehilangan gadis sebaik Ellisa. Dia juga takut untuk kehilangan Aishah, gadis yang amat dicintainya.
“Biarlah kita rahsiakan dulu perhubungan kita ni. Bila dah tiba masanya, baru kita jelaskan pada mereka.” Cadang Hafiz apabila Aishah hanya mendiamkan diri.
“Tapi saya tak nak Hariz tahu daripada orang lain mengenai hubungan ni.” Luah Aishah. Dia takut nanti Hariz kecewa dengan sikapnya. Mula-mula memberi harapan. Kemudian, diragut begitu sahaja.
“Saya faham. Saya jugak tak nak Hariz dan Lisa tahu daripada orang lain.” Hafiz mengeluh perlahan.
Mereka bersembang mengenai masa lampau yang tidak mungkin dapat diputarkan kembali biarpun ianya seribu tahun yang akan datang.

BERSAMBUNG.....

2 tukang komen paling setia:

ceritaku MEMORIKU said...

warghhh.sweetnye.
akhirnye bertemu jugak n luahkn perasaan masing2.
agagag.
suke2.
nk ag.smbung2.
-na`dz

keSENGALan teserlah.. said...

ngee...
da jumpe,,da jumpe..
best...
nk lgi...