BAB 21 KERETA Honda Civic milik Aishah tiba di perkarangan rumahnya. Dia memarkirkan kereta di dalam garaj. Aishah keluar dari perut kereta dan melangkah masuk ke dalam rumah. Dilihatnya Nadira sedang menonton televisyen dengan berpakaian baju kurung yang lengkap. Siap bersolek lagi. Aishah mengerutkan dahi. “Dira nak kemana cantik-cantik ni?” tanya Aishah. “Ke kenduri kahwin Kak D lah.” Jawab Nadira sedikit pelik. Dikerutkan dahi. “Ohh…Mama dan Papa ikut sekali ke?” tanya Aishah lagi. “Ha’ah. Kak Na dan Abang Sof pun pergi jugak.” Nadira berkata tetapi matanya masih ditumpukan di kaca televisyen. Budak seorang ini memang tidak boleh lepas dari menonton televisyen. Kadangkala tidak ada cerita menarik pun akan ditontonnya. Nina yang baru sahaja turun ke bawah ternampak Aishah. “Aikk? Adik tak pergi kenduri D ke?” tanya Nina apabila dilihatnya Aishah pulang ke rumah. “Pergi, Kak. Tapi Adik nak mandi dan tukar baju dulu. Lepas tu, Adik nak kena pergi tengok rumah pelanggan-pelanggan Adik. Tengok dia orang punya arrangement macam mana. Lancar ke tak. Sebab Putri pergi rumah D. Ila pergi rumah customer kat Puchong. Wawa pulak ke TTDI. Kamal tak tahu apa-apa. Tugas dia kat studio and outdoor je. Itupun shoot gambar. Adik boleh harapkan kat Putri seorang je. Yang dua orang lagi tu kena pergi buat check up sikit.” Terang Aishah. Nina asyik memandang wajah adiknya itu. Langsung tidak ada masa untuk bercinta. Hidupnya hanya kerja, kerja dan kerja. Bilakah hatimu akan terbuka untuk menerima sekeping hati, adikku? Desis Nina sendirian. “Akak nak pergi dah ke?” pertanyaan Aishah mengejutkan Nina dari lamunan. “Hmm…” ringkas jawapan Nina. “Kalau macam tu, tak apalah. Adik naik mandi dulu.” Aishah meminta diri dan menuju ke tingkat atas. Dia membuka pintu bilik dan segera mencapai tuala mandi. Dia melangkah masuk ke dalam bilik air. Selepas itu, dia menukar pakaian ke pakaian yang lebih selesa. Dia membaringkan diri di atas katil sambil memejamkan mata. Dia harus tidur sebentar. Pening kepalanya seperti tidak mahu hilang. Aishah terjaga dari tidur dan melihat jam loceng diatas meja sisi di sebelah katil. Sudah pukul 1.30 petang. Dia berjanji hendak pergi melihat kelancaran majlis-majlis perkahwinan pelanggan-pelanggannya. Dia juga sudah berjanji dengan Diyana hendak pergi semula ke kendurinya. Aishah masuk semula ke dalam bilik air dan membersihkan diri sekali lagi. Selepas itu, dia bersiap dan bersolek ala kadar. Cukuplah wajahnya nampak berseri. Tidak perlu tebal-tebal. Siapalah yang hendak melihatnya nanti. Dia melihat wajah di cermin sekali imbas dan mencapai tas tangan di atas sofa dan keluar dari bilik. Dia berjalan turun ke tingkat bawah dan mencapai kunci kereta yang tergantung di dalam almari kaca. Selepas menghidupkan enjin kereta, dia menderum pergi dan menuju ke destinasi yang sudah pasti. HAFIZ memarkirkan kereta agak jauh. Senang nanti dia hendak keluar. Tidaklah terperangkap di dalam kesesakan dihadapan rumah Diyana. Ellisa turun dari kereta dan membetulkan baju kebaya pendek yang dipakainya. Dia menyangkutkan selendang yang melurut itu semula ke bahu. Dengan mengepit tas tangan yang tidak bertali, menampakkan Ellisa benar-benar anggun. Siapa yang terpandangkannya pasti akan terpikat pada gadis berkacukan Arab itu. Nina yang baru sahaja tiba bersama ahli keluarganya terus menerpa ke arah Ellisa. Dia bersalaman dan berpeluk cium. Seperti kawan lama sahaja, gayanya. Hafiz tersenyum dan turut bersalaman dengan Sofyan. “Ni aku kenalkan, Papa dan Mama aku.” Nina memperkenalkan Syed Mahfuz dan Nurradiah kepada Hafiz dan Ellisa. “Ini Hafiz. Dan ini bakal tunang dia, Lisa.” Nina memperkenalkan pula dua orang sahabat itu kepada ibubapanya. Nurradiah memandang wajah Nina apabila anaknya itu menyebut nama lelaki yang selalu menjadi sebutan Aishah. Nina membalas pandangan Nurradiah dan mengangguk perlahan. “Kau kenalkan Dira?” tanya Nina pada Hafiz. Lelaki itu tersenyum dan mengangguk. Nadira membalas senyuman itu. “Ni tunang dia, Shah Fuzey. Anak angkat keluarga aku.” Nina tidak lupa memperkenalkan tunang Nadira kepada Hafiz. “Eh! Jomlah kita masuk. Apa tunggu lagi kat luar ni?” kata Nina. Mereka berjalan masuk secara beriringan. Tetapi Hafiz menarik lengan Nina dan mereka jalan di bahagian paling belakang sekali. “Mana dia?” tanya Hafiz. Sememangnya pertanyaan itu sudah dijangka oleh Nina. Sofyan hanya memandang sekilas ke arah dua sahabat itu. “She’s not coming. Dia ada hal.” Ringkas sahaja jawapan Nina. Dia tahu Aishah akan datang ke kenduri Diyana. Cuma, lambat sedikit. Dia ada urusan yang perlu diselesaikannya. Tetapi dia tidak mahu Hafiz menunggu kedatangan Aishah. Dia tidak mahu sekali-kali Aishah terserempak dengan Hafiz. Biarlah cerita duka ini berlalu. Nina tidak mahu Aishah terluka sekali lagi. Dia mahu adiknya itu meneruskan hidup. Bercinta dengan orang lain. Bukan dengan Hafiz. Kerana Hafiz sudah menjadi kepunyaan orang. Hafiz adalah bayangan semalam. “Tapi kan, D best friend dia.” Kata Hafiz lagi. “Fiz, please. Dia takkan datang. Tak payahlah kau tunggu dia.” Ujar Nina sedikit kasar. Tidak sengaja dia meninggikan suara. Nina memandang wajah kecewa Hafiz. Dia tahu Hafiz hendak melihat wajah Aishah. Tetapi dia tidak mahu Ellisa berkecil hati dengan sikap Hafiz. “Dahlah tu, Fiz. Lupakan dia. Dia dah ada hidup baru. Let her go on with her life.” Ujar Nina. Mereka sama-sama tersenyum dan berjalan masuk ke dalam khemah yang disediakan. Ellisa berdiri dihadapan bekas yang disediakan untuk meletakkan nasi. Dia mencedok sepinggan nasi minyak dan diserahkan kepada Hafiz. Kemudian, dia mencedok nasi itu untuk dirinya. Hafiz terasa yang Ellisa melebihkan dirinya dalam segala hal. Dia terasa bahagia mempunyai kekasih seperti Ellisa. Hafiz mencuit pinggang Ellisa dan gadis itu terperanjat serta melatah. Hafiz tergelak kecil. Perbuatan Hafiz itu dibalas cubitan kecil di lengan Hafiz oleh Ellisa. Nina tersenyum melihat gelagat manja Ellisa apabila diusik oleh Hafiz. Gayanya tidak ubah seperti Aishah. ‘Maafkan Kak Na, Adik. Kak Na terpaksa. Kak Na terpaksa membuatkan Hafiz lupakan Adik. Kak Na tak sanggup melukakan hati Lisa. Dia terlalu baik. Kak Na tak sanggup melihat Lisa kecewa.’ Hati kecil Nina berbisik. Hafiz dan Ellisa duduk semeja dengan keluarga Nina. Baru hari ini Syed Mahfuz mendapat tahu bahawa Hariz itu adalah adik kepada Hafiz. Perasaan Nurradiah semakin tidak tenteram. Dia memandang kedua anak gadisnya. Mereka hanya mampu menundukkan wajah. Tidak sanggup bertentang mata dengan Mama mereka. Selepas sahaja selesai makan, Syed Mahfuz segera meminta diri daripada tuan rumah. Mereka semua turut pulang. Kecuali Hafiz dan Ellisa. Mereka hendak berjumpa dengan pengantin dahulu. “Oklah. Aku balik dulu.” Kata Nina. “Baliklah. Tak ada siapa yang halang pun.” Hafiz berkata secara berseloroh. Ellisa menyiku lengan Hafiz. “Kau memang nak kena dengan aku ke?” “Elehh…baliklah cepat-cepat sikit.” Hafiz berkata secara berseloroh lagi. Sofyan tersenyum dan menggeleng. Hafiz ini ada sahaja benda yang hendak dikenakan Nina. “Nanti kau call lah aku. Kita keluar minum ke.” Ujar Sofyan. Hafiz mengangguk dan bersalaman dengan sahabatnya itu. Nina dan Sofyan berjalan ke arah kereta yang diparkir di bawah pohon yang rendang. Hafiz dan Ellisa melambai ke arah Nina sekeluarga. Kemudian, mereka masuk ke dalam rumah. “Sof dan Fuzey naik kereta dengan Papa, ya? Mama, Nina dan Dira naik kereta Sof.” Kata Nurradiah. Sofyan mengangguk dan menyerahkan kunci kereta kepada Nina tanpa banyak bersoal. “Kenapa pulak ni? Selalunya, awak naik kereta dengan saya.” Tanya Syed Mahfuz. Pelik dengan sikap isterinya. “We have some women things to discuss.” Ujar Nurradiah. “Suka hati awaklah.” Kata Syed Mahfuz. Malas hendak bertekak dengan isteri kesayangannya. “Pa, biar Sof bawak.” Kata Sofyan. Syed Mahfuz mengangguk dan menyerahkan kunci kepada Sofyan. Syed Mahfuz segera masuk ke dalam kereta. Diikuti oleh Sofyan dan Fuzey. Nurradiah masuk ke dalam perut kereta. Nina dan Nadira masih berdiri di luar. Mereka bertukar-tukar pandangan. Nina mengeluh. Nurradiah menjengahkan kepala ke luar. Melihat anak-anak gadisnya. “Hah! Apa lagi yang ditunggunya tu? Masuklah cepat.” Kata Nurradiah. Nina menghidupkan enjin kereta dan menderum meninggalkan rumah Diyana. “Kamu berdua dah tahu yang Hariz tu adik Hafiz?” memang Nina dan Nadira sudah dapat mengagak bahawa pertanyaan itu yang akan ditanya oleh Nurradiah. Tetapi mereka tidak sangka secepat ini soalan itu akan ditanya. “Tahu, Ma.” Mereka berdua menjawab serentak. “Kenapa kamu rahsiakan daripada Mama? Daripada Adik?” “Kami takut Mama tak benarkan Adik berkawan dengan Hariz. Kami rasa Hariz yang dapat memberikan kebahagiaan kepada Adik. Kami nak Adik lupakan Hafiz.” Jelas Nina. Dia meluahkan apa yang terpendam di dadanya selama ini. “Dengan membiarkan Adik berkawan dengan Hariz? Itu bukan hendak membuatkan Adik lupa pada Hafiz. Mereka akan jadi ipar duai. Kalau Hariz benar-benar masuk meminang Adik. Kelam kabut jadinya. Adik dan Hafiz sama-sama saling mencintai di antara satu sama lain. Cuma, tidak ada sesiapapun di antara mereka yang meluahkan perasaan itu.” Nurradiah juga turut meluahkan rasa bimbang. Nina terkejut dengan pernyataan Mamanya itu. Dia memandang wajah di sebelah. “Mana Mama tahu Hafiz cintakan Adik?” “Mama ni makan garam lebih daripada kamu semua. Walaupun Mama tak tahu sangat perkembangan mengenai diri Hafiz, tapi dari cara dia pandang Ellisa tak seperti cara dia melihat Adik.” Kata Nurradiah bersungguh-sungguh. “Mana Mama nampak Hafiz lihat Adik?” tanya Nina lagi. Pelik. Kerana selama Aishah berkawan dengan Hafiz, belum pernah Hafiz datang kerumahnya lagi. “Kamu ni banyak tanya pulak. Kalau Mama cakap, Mama tahu maknanya Mama tahulah. Perasaan tu macam pertama kali Papa memandang Mama.” Ujar Nurradiah sambil teringat kisah silamnya. “Memang betul cakap Mama tu. Sof sendiri beritahu pada Na yang Hafiz cintakan Adik. Bodoh kan dia orang tu, Ma. Cinta sama cinta tapi takut nak luah.” Kata Nina sambil tersenyum kecil dan menggeleng. “Dia orang tak bodoh, Nina.” Ringkas kata-kata Nurradiah. Nina dan Nadira mengerutkan dahi tanda tidak faham. Nina menumpukan sepenuh perhatian ke atas pemanduannya. Nadira yang berada di belakang hanya mampu mendiamkan diri. Dia tidak berani hendak masuk campur. Keadaan di dalam kereta itu menjadi senyap. Hanya bunyi angin penghawa dingin yang menderu masuk dan menyejukkan orang-orang di dalamnya sahaja. “Bagaimana kalau Hariz masuk meminang Adik?” soal Nurradiah tiba-tiba. Nina memandang Mamanya sekilas. “Mama berfikir terlalu jauh. Belum tentu mereka tu nak berkahwin.” Kata Nina. Dia tersenyum kecil. “Itu kata kamu, Nina. Soal masa depan, siapa yang tahu. Kita sendiri tak tahu. Ini semua sudah ketentuan-Nya. Mungkin benar ada jodoh di antara Hariz dan Adik. Bagaimana? Kamu tak terfikirkan benda-benda ni semua?” Ada benarnya juga kata-kata Nurradiah itu. Nina tiba-tiba berfikir. “Kamu tak bercadang nak beritahu Adik yang Hariz tu adik kepada Hafiz?” tanya Nurradiah. Nina memandang Mamanya dan Nadira berselang-seli. “Tak, Ma. Na tak sanggup lukakan hati Adik.” Nurradiah mengangguk perlahan. Kemudian, terdengar dia mengeluh. “Eloklah tu. Biar dia sendiri yang dapat tahu. Kita jangan masuk campur. Faham tu?” pesan Nurradiah. Anak-anaknya hanya mengangguk. Tanda patuh akan arahan Mama mereka. Kereta yang dipandu oleh Nina menuju ke destinasi yang ingin ditujui. Sepanjang perjalan, masing-masing hanya mendiamkan diri. Hanya alunan radio sahaja yang kedengaran. AISHAH menuju ke rumah Diyana setelah dia pergi ke rumah pelanggan-pelanggannya. Semua berjalan dengan lancar. Nampaknya, dia boleh mengharapkan Najwa dan Suhailah. Aishah memarkirkan kereta tidak jauh dari rumah pengantin. Dia turun dari kereta dan berjalan masuk ke dalam rumah. Aishah melihat Diyana yang sedang menjamu selera. Pengantin baru itu selalu sahaja tersenyum. Kecantikannya terserlah. Acara suap menyuap sudah menjadi seperti satu adat. Kerlipan cahaya kamera bertalu-talu. Kamal juga ada disitu. Turut mengambil gambar seperti yang dilakukan di setiap kenduri. Putri yang berada dihujung khemah sedari tadi tidak habis menguap. Aishah tersenyum dan berjalan ke arahnya. Putri perasan akan kehadiran ketuanya segera berdiri dengan tegak seperti seorang askar. “Putri mengantuk ke?” tanya Aishah. “Adalah sikit, Kak.” Putri menjawab sambil tersengih. “Semua kerja dah beres?” Aishah bertanya lagi. “Dah, Kak. Cuma tunggu Kamal habis ambil gambar je.” Jarinya dituding ke arah Kamal yang sedang sibuk mengambil gambar pengantin. “Tak apalah. Akak tunggu Kamal. Putri pergilah balik tidur.” “Betul ke ni, Kak?” tanya Putri meminta kepastian. “Betul. Pergilah. Muka dah sembap.” “Terima kasih, Kak.” Aishah mengangguk. Putri beredar dari situ dengan segera. Tanpa Aishah sedar, ada sepasang mata melihatnya dari jauh. Orang itu mendekati Aishah. Tetapi dia masih tidak menyedari kehadiran orang itu. “Assalamualaikum.” “Waalaikumussalam.” Jawab Aishah. Memandang orang disebelahnya yang sedang tersenyum. “Eh! Awak?” tanya Aishah, kaget. “Ya, saya. Awak buat apa kat sini?” tanya Hariz. Aishah mengerutkan dahi. “Saya kan best friend and wedding planner D.” “Oh, lupa pulak.” Mereka sama-sama memandang ke arah kedua pengantin baru tersebut. Mereka sudah bangun dan bersalaman. Diyana memperkenalkan Khazrul kepada saudara maranya. “Cuba awak tengok dia orang dua orang tu. Sesuai kan?” kata Hariz. Aishah memandang Hariz. Tidak faham dengan kata-kata lelaki itu. Hariz memandang Aishah. Kemudian, tersenyum. “Maksud saya, D tu seorang yang ceria. Susah nak tengok dia sedih. Khaz pulak, tegas tapi pendiam. Sesuai. Api dan air.” Barulah Aisha dapat menangkap kata-kata Hariz. Diyana dan Khazrul menuju ke arah mereka berdua. Diyana tersenyum lebar. Dia terus sahaja memeluk dan mencium kedua belah pipi Aishah. “Congratulations. I’m happy for you.” Ujar Aishah. Dia bersalaman pula dengan Khazrul. “Thanks, Shah. This is so beautiful.” Kata Khazrul. “Of course, I choose it and she design it.” Kata Diyana sambil menjeling ke arah Khazrul. Lelaki itu tergelak kecil. Begitu juga dengan Hariz. “Aku harap kau akan jaga dia dengan baik, Khaz. She’s the best sister…beside Nita.” Pesan Hariz kepada lelaki dihadapannya itu. “Dah tentu, Riz.” Mereka bersalaman dan berpelukan. Pelukan dileraikan. “Lepas ni, D dah jadi wife orang. Jagalah kelakuan D. Angah tahu D pandai jaga maruah diri. Jangan naik angin selalu.” Pesan Hariz. Diyana mengangguk perlahan. Dia terima sahaja setiap nasihat yang diberikan oleh Hariz kerana dia menganggap Hariz seperti abangnya. Dia tidak ada abang dan anak sulung daripada 3 beradik. Selama ini, Hafiz dan Hariz yang menjaganya. Mata Diyana melilau ke sekeliling. Tercari-cari seseorang. “Angah, Along mana?” tanya Diyana. “Dia dah balik. Hantar Kak Lisa balik.” Kata Hariz. Diyana mengangguk. Tidak dapatlah dia hendak mempertemukan Hafiz dan Aishah. Wajah Diyana kelihatan kecewa. “Lepas hantar Kak Lisa, Along datang sini balik.” Ujar Hariz. Diyana mengangkat wajah. “Along kata nak datang sini balik?” “Dia call Angah tadi. Dia kena hantar Kak Lisa. Kak Lisa tak ada transport.” ujar Hariz lagi. “Kau tunggu kejap ya, Shah. Aku nak kenalkan kau dengan abang aku yang lagi sorang tu.” Kata Diyana. Aishah mengangguk perlahan. Lama mereka bersembang. Tiba-tiba telefon Aishah berdering. Dia mengangkat telefon tersebut kerana tidak mahu pemanggil itu menunggu dengan lebih lama. Selepas bercakap dengan pemanggil itu, Aishah terus sahaja bangun. “Kau nak kemana, Shah?” tanya Diyana. “Aku kena balik dulu, D.” “Kenapa? Kau janji nak tunggu Along datang.” “Lain kalilah aku jumpa dia. Aku kena balik dulu ni. Aku terlupa nak pergi kenduri sepupu aku.” Aishah hendak melangkah tetapi lengannya ditarik oleh Diyana. “Kalau kau tak pergi, tak boleh ke?” “Tak eloklah kalau aku tak pergi. Dia sepupu yang paling rapat dengan aku. Mak saudara aku dah bising-bising. Kenapa tak sampai lagi.” Kata Aishah. Perlahan-lahan Diyana melepaskan lengan Aishah. “Tak apalah, D. Kan Shah dah janji yang lain kali dia akan jumpa dengan Along.” Pujuk Khazrul. Diyana tersenyum dan mengangguk. Hariz menghantar Aishah ke kereta. Selepas Aishah beredar, Diyana berfikir. Adakah betul tidak ada jodoh di antara mereka? Setiap kali mereka hampir bertemu, pasti ada yang akan datang menghalang. Bahu Diyana dipeluk. Gadis itu tersedar dan memandang wajah suaminya. Khazrul tahu tujuan Diyana hendak memperkenalkan Aishah kepada Hafiz. Dia juga tahu cerita mereka berdua kerana Diyana pernah menceritakan kepadanya dahulu. “Tapi, B…” “Kalau ada jodoh, tak kemana. Ayang tak usah buat apa-apa. Kalau betul ada jodoh di antara mereka, biar apapun yang datang menghalang, pasti mereka tidak akan berpisah.” Kata-kata Khazrul itu mempunyai kebenaran. Diyana tidak mahu membuat apa-apa. Biarlah jodoh yang mempertemukan mereka. Biarlah masa yang menentukannya. BERSAMBUNG.... |
Friday, January 2, 2009
Kasih Aishah Najyha BAB 21
Yang merepek merapu meraban Aishah Hamzah at 1/02/2009 03:33:00 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 tukang komen paling setia:
shit!!!!!!!!!!
agagaga.
asl xjmpe ag.
nie nk mrh nie.
asyk2 de je hlgn.tol2 kalo jodoh xkemne.
suke2.love it.
-na`dz
adooy....
geram btol akuh...
ble dorang nk jumpe nieh....
isk2...
kak ecah sje wat suspen...
tersekse jiwe rageku...
huh...
smabung2...
Post a Comment