BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, January 2, 2009

Kasih Aishah Najyha BAB 22

BAB 22

SUDAH setahun Aishah dan Hariz berkenalan. Dan, baru 2 bulan lepas Aishah menyambut huluran cinta yang diberikan oleh Hariz. Puas Hariz cuba untuk memikat hati gadis itu. Pada mulanya, hampir sahaja Hariz berputus asa tetapi dengan desakan semangat dari Diyana, dia bertekad untuk memiliki sekeping hati milik gadis yang bernama Aishah Najyha ini.
Hariz mengajak Aishah keluar pada hari itu untuk menyambut harijadi Aishah yang ke-30. Gadis itu bersetuju. Mereka pergi makan dan setelah itu bersiar-siar di Suria KLCC. Aishah begitu teringin hendak pergi ke Aquaria tetapi tidak ada masa. Sekarang, dia tidak mahu melepaskan peluang begitu sahaja. Bukan senang dia mengambil cuti dan menyerahkan segala tugas kepada anak-anak buahnya. Dia rasa tidak senang hati. Hari ni dia mahu melepaskan semua tekanan. Hariz membeli tiket. Mereka berdua masuk beriringan. Aishah mahupun Hariz lebih selesa berjalan seperti seorang kawan. Mereka pernah cuba untuk berjalan sambil berpegangan tangan tetapi Aishah berasa kekok dan tidak selesa. Jadi, mereka lebih senang berjalan seperti biasa.
Banyak ikan-ikan yang melintasi di atas kepala mereka. Aishah terasa seperti berada di dasar lautan. Tiba-tiba ada jerung putih yang mendekati mereka. Aishah terkejut dan dengan pantas memaut lengan Hariz. Lama dia berpaut pada Hariz. Kemudian, Aishah tersedar dan cepat-cepat meleraikan pautan itu. Hariz tersenyum kecil. Mereka sama-sama berjalan keluar dari Aquaria itu.
Laju sahaja kaki Aishah menuju ke kedai cenderahati yang disediakan di situ. Patung-patung yang ada disitu menarik perhatian Aishah. Dia hendak menghadiahkan patung-patung itu kepada anak-anak abang dan kakaknya. Nadira juga turut menunggu cahaya mata yang pertama. Aishah tumpang gembira untuk adiknya itu. Tinggal beberapa hari lagi Nadira akan bersalin. Sudah lama dia tidak merasa seronok begini. Walaupun dia masih malu-malu apabila ditenung oleh Hariz tetapi entah kenapa hati dia berbunga-bunga ketika setiap kali Hariz mengajaknya keluar. Seluruh ahli keluarga Aishah juga tumpang gembira melihat perubahan gadis itu.
Telefon bimbit Aishah berdering. Dia mengeluarkan telefon bimbit dari dalam beg.
“Hello…” jawab Aishah.
“Assalamualaikum, Adik.” Kata satu suara yang amat dikenali oleh Aishah.
“Waalaikumussalam, Ong. Kenapa Ong call Adik?”
“Adik cepat ke hospital. Kak Bri dan Dira dah masuk labour room.” Nada suara Khairul kedengaran cemas.
“Ba..bai…baiklah, Ong. Adik balik sekarang.” Mereka sama-sama mematikan talian telefon. Aishah menuju ke arah Hariz .
“Riz, saya kena balik sekarang.” Ujar Aishah. Nadanya turut kedengaran cemas.
“Kenapa, Shah?” tanya Hariz yang risau akan keadaan kekasihnya itu.
“Dira dan kakak ipar saya dah masuk wad.”
“Dira dan kakak ipar awak?” tanya Hariz sekali lagi. Aishah mengangguk sebagai tanda menjawab kepada persoalan Hariz tadi.
“Jomlah.” Mereka menuju ke tempat meletakkan kereta yang disediakan.
Sepanjang perjalanan, mereka hanya mendiamkan diri. Perasaan risau Aishah tidak dapat disembunyikan. Hariz memandang gadis disebelah dan mengenggam erat jari jemari gadis itu. Aishah membiarkan perbuatan Hariz itu. Dia berasa selesa dan selamat dengan Hariz. Dia juga pernah ada perasaan selamat begini sewaktu dengan Hafiz. Kenapalah disaat yang cemas begini pun masih boleh teringatkan lelaki itu? Desis hati Aishah. Adakah kesungguhan Hariz selama setahun itu tidak dapat membuatkan Aishah membuang nama Hafiz jauh dari sudut hatinya? Betulkah ada cinta untuk Hariz? Hati Aishah sering tertanya-tanya. Dia memandang Hariz yang sedang tenang memandu disebelah. Iras wajah Hariz dari tepi membuatkan dia teringat pada Hafiz. Aishah segera mengalihkan pandangannya ke luar.
Kereta Hariz membelok masuk ke dalam perkarangan hospital. Hariz menurunkan Aishah di lobi hospital. Sementara dia memarkirkan kereta. Aishah segera menuju ke kaunter pertanyaan. Tetapi belum sempat dia bertanya, namanya dilaung. Aishah mencari-cari wajah orang yang memanggilnya. Nina mendekati.
“Dah bersalin ke, Kak Na?” tanya Aishah, tidak sabar.
“Belum lagi. Tapi air ketuban dah pecah. Kejap lagilah tu. Kak Na risau ni.” Kata Nina. Aishah melepaskan keluhan.
“Jomlah kita naik atas.” Nina menarik tangan Aishah.
“Kejap. Adik tengah tunggu Hariz.”
“Hariz pun datang jugak?” tanya Nina. Terkejut. Aishah mengangguk. Hariz masuk melalui pintu lobi. Aishah melambai ke arah lelaki itu. Hariz menuju ke arah mereka. Tersenyum kepada dua wanita itu.
“Hai, Kak Na.” ucap Hariz.
“Riz pun ada jugak. Kak Na ingat Aishah datang seorang.”
“Mulanya, memang dia nak datang seorang diri. Tapi Riz yang beria-ia nak hantar dia. Lagipun dia tak bawak kereta.” Ujar Hariz.
“Jomlah.” Ajak Nina sekali lagi. Sampai sahaja dihadapan pintu bilik wad, Nina
menguak pintu bilik yang berkelas dua itu yang menempatkan dua buah katil pesakit.
“Dira dah bersalin ke, Ma? Kak Bri macam mana?” tanya Nina bertubi-tubi.
“Belum lagi. Mama tak tahu.” Kata Nurradiah. Dia begitu risaukan menantu dan anak bongsunya itu. Semasa Nina bersalin pun, dia tidak serisau ini. Nampaknya, Nadira dan kakak iparnya, Sabrina, akan bersalin pada hari yang sama. Dan juga pada tarikh harijadi Aishah. Nurradiah memandang Aishah yang sedang gelisah sambil berdiri disebelah Hariz. Nurradiah meluru ke arah anaknya itu dan memeluk Aishah. Semua yang berada disitu terkejut dengan tindakan spontan Nurradiah.
“Happy birthday, sayang. Mama lupa nak wish pagi tadi.” Ucap Nurradiah. Kemudian, seorang demi seorang daripada ahli keluarga mengucapkan selamat harijadi kepada Aishah. Dia hanya mengangguk dan tersenyum manis.
Tiba-tiba pintu bilik wad tersebut dikuak. Terjengul wajah Shah Fuzey yang masam. Nurradiah sudah tidak senang duduk. Sofyan mendekati Shah Fuzey. Ditepuk bahu birasnya itu.
“Macam mana, Fuzey? Dira macam mana?” tanya Nurradiah tidak sabar untuk mengetahui keadaan anaknya itu. Kemudian, Shah Fuzey tersenyum lebar.
“Dia dah selamat melahirkan.” Mereka semua lega dengan kata-kata Shah Fuzey. Terdengar keluhan yang keluar dari setiap mulut ahli keluarganya.
“Kamu ni buat terkejut Mama je tau.” Marah Nurradiah.
“Anak apa, Fuzey?” tanya Syed Mahfuz.
“Kembar.” Jawab ringkas Shah Fuzey.
“Alhamdulillah.” Mereka berkata serentak.
“Sepasang.” Jawab Shah Fuzey lagi.
“Alhamdulillah.” Mereka berkata serentak sekali lagi. Aishah tersenyum sambil melepaskan nafas kelegaan. Adiknya itu sudah menjadi seorang ibu.
“Bila boleh berjumpa dengan Dira?” tanya Nurradiah.
“Doktor kata, biarlah Dira berehat dulu. Badan dia lemah sangat sekarang. Esok, baru dia boleh menerima kehadiran pelawat.” Kata Shah Fuzey. Nurradiah kelihatan sedikit kecewa. Syed Mahfuz memeluk bahu isterinya.
“Tak apalah, Nur. Biarlah Dira berehat. Dia dah kepenatan kerana melahirkan cucu kembar buat kita. Esok awak boleh jumpa dia.” Syed Mahfuz memujuk Nurradiah. Kesemua anak-anaknya hanya tersenyum.
Pintu wad dikuak sekali lagi. Terjengul wajah Khairul yang ceria. Mereka hanya menantikan berita gembira yang akan keluar dari mulut Khairul.
“Macam mana, Ong?” tanya Syed Mahfuz.
“Lelaki, Pa.” kata Khairul. Mereka memanjatkan kesyukuran. Keluarga Syed Mahfuz dan Nurradiah menerima 3 cahaya mata sekaligus.
“Kamu dah azankan?” tanya Syed Mahfuz lagi.
“Dah, Pa.” jawab Khairul.
“Kamu, Fuzey? Dah azan? Dah qamatkan anak tu?” soalan Syed Mahfuz beralih kepada Shah Fuzey yang tersenyum gembira.
“Sudah, Papa.” Shah Fuzey menjawab pertanyaan Syed Mahfuz. Dia melabuhkan punggung di sebelah Aishah. Kakak iparnya tersenyum melihat dia. Shah Fuzey memang manja dengan Aishah sejak dari kecil lagi. Segala rahsia akan diceritakan kepada Aishah.
Ahli keluarga kebanyakannya sudah beredar pulang. Cuma Aishah sahaja yang masih belum pulang. Hariz juga sudah pulang kerana dia ada urusan sedikit di pejabat. Shah Fuzey dan Aishah menuju ke kantin hospital.
Setelah membeli makanan dan minuman, mereka memilih satu tempat yang agak tersorok. Aishah memandang ke luar. Shah Fuzey duduk menghadapnya. Aishah
mengalihkan pandangan ke arah lelaki itu. Dia tersenyum.
“Akak tak makan?”
“Tak. Akak dah makan tadi.” Ujar Aishah.
Keadaan menjadi senyap. Tiba-tiba sahaja Shah Fuzey tidak tahu hendak berbual topik apa buat pertama kalinya. Dia menyusun ayat sebaik mungkin supaya sedap di pendengaran Aishah. Dia mengeluh kecil.
“Kak…kalau Fuzey tanya Akak sesuatu, Akak jangan marah, yeh?”
“Fuzey nak tanya apa?” Aishah memandang Shah Fuzey lembut.
“Dira dah ceritakan segala-galanya pasal Akak kat Fuzey.” Takut-takut dia memandang wajah Aishah.
“Apa yang dia cerita?” Aishah bertanya sambil tersenyum.
“Kenapa Akak takut sangat nak bercinta? Akak dah pernah dikecewakan orang?” Shah Fuzey menghirup air nescafe yang masih berwap.
“Kata Dira dah ceritakan segala-galanya. Kenapa tanya Akak lagi?”
“Fuzey nakkan kepastian.” Tegas Shah Fuzey. Aishah mengeluh. Dia tidak tahu hendak berkata apa-apa lagi.
“Abang Hariz tak sesuai dengan Akak?” tanya Shah Fuzey apabila Aishah hanya mendiamkan diri. Aishah berdehem kecil.
“Itulah masalahnya.”
“Masalah?” tanya Shah Fuzey lagi.
“Bukan Abang Hariz yang tak sesuai dengan Akak. Akak yang tak sesuai dengan dia. Abang Hariz terlalu baik buat Akak.” Aishah tunduk memandang minumannya. Shah Fuzey memegang tangan Aishah yang dianggap sebagai kakak kandung. Dia mengeluh. Tiba-tiba rasa bersalah menerpa. Kenapalah masa ini hendak dibangkitkan pasal percintaan yang membawa duka itu? Shah Fuzey tidak tahu hendak berkata apa-apa untuk menenangkan hati kakaknya. Shah Fuzey melepaskan genggaman tangannya.
“Kak, maafkan Fuzey. Tak patut Fuzey bangkitkan hal ni.”
“Tak apalah, Fuzey. Fuzey nakkan kepastian Akak je. Bukan salah Fuzey. Tapi untuk kebaikan semua orang, Akak akan cuba menyayangi Abang Hariz.” Ujar Aishah dalam tidak kepastian. Dia sendiri tidak tahu. Mampukah dia menyayangi Hariz sepertimana dia mencintai Hafiz?
“Akak, jangan lafazkan ayat yang Akak sendiri tak pasti kemana arah tujunya.” Shah Fuzey memandang Aishah dengan perasaan simpati.
“Wahh…dah pandai berfalsafah sekarang. Nak jadi doktor pakar cinta, ya?” seloroh Aishah. Gadis itu tergelak kecil. Shah Fuzey sedikit pun tidak mahu gelak.
“Akak, I’m trying to be serious, here.” Ujar Shah Fuzey.
“Akak pun serious jugak. Fuzey jangan risaulah. Tahulah apa yang Akak akan buat nanti.” Aishah berkata untuk menenangkan hati Shah Fuzey.
“Akak janji?” tanya Shah Fuzey. Dilihatnya Aishah mengangguk sambil tersenyum ke arahnya. Shah Fuzey sedikit kelegaan.
Mereka sama-sama menuju ke wad Nadira dan Sabrina ditempatkan. Adiknya itu sedang tidur bersama bayi kembar. Shah Fuzey mencium dahi isterinya. Dia mengangkat salah seorang daripada bayi dan diserahkan kepada Aishah. Shah Fuzey mengangkat seorang lagi bayinya. Aishah mendukung bayi lelaki. Dia melihat ke arah Shah Fuzey. Dia sedikitpun tidak kekok memegang anaknya. Aishah memandang semula ke arah bayi yang sedang lena tidur. Hatinya tersentuh. Alangkah bahagia mempunyai anak sendiri. Anak yang dibelai dan disayangi. Sahabat-sahabat baiknya juga sudah mempunyai anak. Zanariah bakal melahirkan anak sulung. Soraya sudah melahirkan anak kedua. Amy bakal melahirkan anak keempat. Produktif sungguh sahabatnya yang seorang itu. Diyana, baru sahaja keguguran anak yang kedua. Kesian pada Diyana. Dia sungguh gembira apabila menerima berita yang dia sedang mengandung anak kedua. Tetapi bukan rezekinya. Lily dan Zura akan melahirkan anak mereka pada bulan yang sama. Ceria sahaja bakal ibu-ibu itu. Orang-orang disekeliling sudah mempunyai keluarga bahagia. Adakah peluang sebegitu untuk dirinya? Dia menyoal diri sendiri.

‘Bagaimana kau hendak ada peluang sebegini. Kau sendiri tak
memberi peluang kepada diri sendiri. Kau tak teringinkah
mempunyai anak dan keluarga yang bahagia? Kau tanyalah pada
diri sendiri.’ Kata hatinya tiba-tiba berkata.
‘Aku tak perlukan sesiapa untuk bahagia. Aku boleh bahagia.
Walaupun sendirian.’ Ujar Aishah, lemah.
‘Kau terlalu degil. Aku tak tahu macam mana hendak menyakinkan
kau bahawa Hariz itu lelaki yang sesuai untuk kau.’ Kata hati sudah bosan menyakinkan dirinya. Aishah mengeluh.
‘Aku akan cuba menyayangi dia.’ Janji Aishah walaupun dia tidak tahu samada dia boleh memenuhi atau tidak janji itu.
‘Tidak cukup dengan hanya sekadar menyayangi dia. Kau harus kenal
dan cuba mencintai dia.’ Kata hati berkata lagi.
‘Aku akan cuba. Tapi biarlah buat masa ini aku menyayangi dia
dahulu.’ Akhirnya kata-kata hati itu hilang. Lenyap. Aishah termenung jauh sambil memerhati raut wajah bayi lelaki yang dipangkunya itu. Ada seperti suara orang sedang bercakap. Aishah mengangkat muka dan memandang ke hadapan. Nadira sudah tersedar dan sedang bercakap-cakap dengan Shah Fuzey. Mereka sama-sama memandang ke arah Aishah. Sabrina yang berada di katil sebelah sedang tertidur lena. Khairul pulang ke rumah untuk membersihkan diri kerana semalaman berada di hospital. Habis badannya berbau ubat-ubatan.
“Kak.” Panggil Nadira. Aishah tersenyum dan bangun dari tempat duduk menuju ke arah Nadira yang sedang bersandar pada kepala katil hospital.
“Kami dah buat keputusan nak menamakan anak-anak kami.” Kata Nadira. Kakaknya itu tersenyum lebar.
“Apa nama mereka?” tanya Aishah sambil mengagah bayi lelaki yang didukungnya.
“Yang Akak pegang tu, perkenalkan Shah Faezal Indra.”
“Yang ini pulak, Sarah Faezah….Najyha.” habis sahaja Nadira berkata, Aishah memandang wajah adiknya yang pucat itu. Nadira mengangguk sambil tersenyum kecil.
“Thanks, Dira…Fuzey. Akak tak tahu nak cakap apa. It means a lot to me.” Ucap Aishah. Nadira menghulurkan tangan. Aishah turut menghulurkan tangan. Tangan mereka bertaut dihadapan Shah Fuzey.
“Akak…You deserve a better man. I hope you will find him. He’s lost somewhere. Better find him, hurry.” Seloroh Nadira. Aishah tersenyum. Kemudian dia mengangguk. Dia tidak mahu lagi membiarkan dirinya terkapai-kapai keseorangan tanpa arah tujuan yang tidak pasti. Dia perlu menerima hakikat bahawa Hafiz memang tidak tertulis menjadi sebahagian daripada hidupnya.
Hampir pukul 10 malam, Aishah meminta diri untuk pulang. Shah Fuzey beria-ia hendak menghantarnya pulang. Aishah menolak dan mengatakan Hariz akan datang menjemputnya. Shah Fuzey menemani Aishah turun ke lobi. Tetapi tanpa disangkanya, Hariz sedang menunggu Aishah. Dia tidak menelefon pun Hariz. Shah Fuzey berasa lega apabila ternampak kelibat Hariz di lobi. Mereka sama-sama menuju ke arah Hariz. Hariz berdiri dan bersalaman dengan Shah Fuzey. Adik iparnya itu meminta diri untuk naik ke tingkat atas. Mereka jalan beriringan menuju ke tempat meletak kereta.
“Saya tak telefon pun awak. Macam mana awak tahu pukul berapa saya nak balik?” tanya Aishah. Dikerutkan sedikit dahi.
“Saya memang dah agak yang awak takkan telefon saya. Jadi, lepas saya uruskan hal saya tu, saya datang balik ke sini. Lepas tu, saya pun tunggulah kat lobi ni.” Kata Hariz. Aishah mengerutkan dahi. Lama sungguh dia menunggu aku! Detik hati Aishah.
Mereka sama-sama menuju ke arah kereta. Hariz cuba memegang tangan Aishah. Tetapi tangan gadis itu kerapkali terlepas. Aishah dapat merasakan yang Hariz ada mencuba memegang tangannya. Dia menarik nafas dalam-dalam. Dia akan cuba memberi peluang kepada lelaki itu. Aishah berjalan agak rapat dengan Hariz. Kemudian, dia memegang tangan lelaki itu. Hariz agak terkejut. Aishah tersenyum ke arahnya. Hariz membalas senyuman itu. Dia berasa sungguh bahagia hari itu. Hatinya yakin. Hariz akan membahagiakannya.


SELEPAS Hariz menghantar Aishah pulang, dia menuju ke destinasinya iaitu rumah. Hariz melangkah masuk ke dalam rumah perlahan-lahan. Tiba-tiba sahaja satu tepukan kuat dibahu mengejutkannya. Hariz memandang orang itu.
“Along….terkejut Angah dibuatnya.” Kata Hariz sambil mengurut dada. Hafiz tersengih seperti kerang busuk.
“Kenapa Along tak tidur lagi?” tanya Hariz apabila Hafiz melabuhkan punggung di atas sofa.
“Along tunggu Angah. Kenapa Angah balik lambat?” tanya Hafiz pula. Hariz tersenyum simpul.
“Hantar kawan balik rumah.”
“Yelah tu. Kawan ke kawan istimewa?” Hafiz melirik ke arah Hariz yang masih sedang tersenyum simpul.
“Hish…taklah, Along.”
“Angah jangan nak tipu Along. Along kenal sangat muka angau macam ni.” Seloroh Hafiz.
“Ohh…jadik Along pernahlah buat muka angau. Sebab Along tahu macam mana muka orang yang sedang angau.” Balas Hariz. Mereka sama-sama tergelak kecil.
“So?” tanya Hafiz.
“So what?”
“How was she?” tanya Hafiz lagi inginkan kepastian. Hariz tersenyum.
“She’s a nice girl. Kalau Along tengok dia, mesti Along berkenan.” Ujar Hariz sambil membayangkan wajah gadis itu.
“Kalau Along berkenan, Kak Lisa kau tu nak campak kat mana?” sekali lagi Hafiz berseloroh. Mereka sama-sama tergelak.
“Maksud Angah, Along pasti akan sukakan perwatakan dia.”
“Baguslah kalau macam tu. Senang hati Along dengar yang sekarang adik Along ni sedang…apa kata orang Indon tu? Berpacaran?” usik Hafiz. Hariz tersenyum dan menggeleng.
“Tapi kan, Long…dia tu pemalu sikit orangnya.”
“Oklah tu. Kalau Angah dapat orang yang tak tahu malu, macam mana?” ada benarnya juga kata-kata Hafiz itu.
“Apa kata kalau Angah bawak dia ke rumah? Kenalkan dengan kami.” Cadang Hafiz. Ada juga Hariz terfikirkan perkara ini. Tetapi sewaktu itu masih awal lagi dia hendak memperkenalkan Aishah kepada keluarganya. Masih belum dapat ‘confirmation’ lagi tentang hubungan mereka. Kini, dia sudah pasti.
“Boleh jugak tu, Along. Nanti Angah tanya Mama.” Kata Hariz.
“Angah naik dulu.” Sambung Hariz. Dia bangun dari sofa itu dan berkira-kira hendak meninggalkan Hafiz.
“Ngah, what is her name?” tanya Hafiz. Ingin tahu.
“Lain kali Angah beritahu. Bila dia dah datang ke rumah ni untuk berkenalan dengan family kita.” Ujar Hariz sambil tersenyum lebar. Dia melangkah laju ke bilik yang berada di tingkat atas. Hafiz menggeleng perlahan dan juga turut tersenyum.

BERSAMBUNG.....

3 tukang komen paling setia:

keSENGALan teserlah.. said...

amek je la hariz tuh aisyah..
dye pon xkurang gak..
geram plak akuh kat si hafiz nieh...
huhu...
smbung2..
mkin excited nieh..

ceritaku MEMORIKU said...

betol2 zaty.
aku sokong.
amik jelah hariz2.
agagag.
aku bet mesti hafiz berkenan.
tgk ah.
hafiz tggulah penumbuk dr ku.
agagag.
-na`dz

Bie Hassan said...

suka la kat hariz...terima la dia aisyah...