BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, October 23, 2009

Dan Sebenarnya....43

BAB 43

“PUAN…Puan…Puan….” Mastura mengejar wanita yang dipanggilnya itu. Termengah-mengah mencuri nafas. Langkah kaki Yasmin semakin melaju menuju ke arah bilik Faizal. Misha membuntuti Yasmin. Kasihan pula melihat Mastura begitu. Setiap pekerja yang berselisih dengan Yasmin, dapat merasakan perasaan amarah yang sedang dibawanya. Kebanyakan pekerja berbisik sesama sendiri, ada yang terjenguk-jenguk ke arah Yasmin.
Yasmin merempuh pintu bilik Faizal. Misha menahan Yasmin dari bertindak melulu. Tangan Misha direntap kasar. Misha menggigit bibir. Geram juga dia melihat keadaan yang berlaku dihadapannya. Terlihat Ku Zhety sedang duduk di atas meja Faizal dan mengusap kepala Faizal yang sedang kusut itu. Wajah Yasmin semakin membara. Ku Zhety memandang selamba ke arah Yasmin dan Misha. Kemudian, menjeling. Masih meneruskan usapan di kepala Faizal itu.
“Maafkan saya, Encik Faizal. Saya dah cuba menghalang tapi….” Ayat Mastura segera dipintas oleh Faizal. Faizal menepis perlahan jemari Ku Zhety yang mengurut kepalanya.
“It’s okay, Mas. Awak boleh keluar.” Ujar Faizal. Mastura mengangguk perlahan dan melangkah keluar. Segera menutup pintu apabila dilihatnya Yasmin sudah bercekak pinggang.
“Kau ni memang tak guna!” belum sempat Faizal berkata apa-apa, Yasmin sudah menyerangnya. Lantang sekali suaranya memecah suasana. Misha menarik tangan Yasmin. Pekerja-pekerja yang lalu-lalang, mesti mengalihkan kepala mereka memandang ke arah bilik Faizal yang tertutup itu.
“Kau boleh tak tolong jangan datang sini dan buat kecoh. Lebih baik kau balik. Sebab aku banyak sangat kerja sekarang ni.” Faizal meningkah. Mata Yasmin sudah memerah. Misha masih menarik tangan Yasmin. Ingin segera beredar dari situ. Yasmin tidak mempedulikan Misha.
“Kerja apa yang kau sibukkan sangat tu? Nak berasmara dengan perempuan tak tahu malu ni?” jari telunjuk Yasmin mengunjuk ke arah Ku Zhety yang berdiri di sebelah Faizal. Jelek melihat perempuan itu berskirt pendek dan memakai baju bertali halus. Ku Zhety memeluk tubuh dan memandang sinis ke arah Yasmin dan Misha.
“Apa hal kau datang office aku ni? Ada apa-apa keperluan yang kau nak? Atau….duit?” Faizal bertanya sinis. Yasmin rasa terhina. Menuju ke arah Faizal dengan penumbuk yang digenggam. Tetapi segera dihalang oleh Misha.
“Kau jangan bersikap kurang ajar dengan aku. Aku ni kakak ipar kau! Kalau setakat duit kau tu, aku tak heranlah. Laki aku pun banyak duit.” Yasmin menjerit. Mata Ku Zhety terbeliak. Kakak ipar?
“Yas, sabarlah. Kau jangan bertindak melulu.” Misha berkata.
“Kakak ipar? Sejak bila you kahwin?” bertubi-tubi soalan yang keluar dari mulut Ku Zhety. Dahinya berkerut memandang Faizal dan Yasmin silih berganti.
“Ohh….maknanya ‘kekasih’ kau ni, tak tahulah yang kau dah kahwin? Hah…memang dasar lelaki buaya.” Terjerit-jerit Yasmin meluahkan apa yang terbuku di hatinya. Misha masih menarik lagi tangan Yasmin yang sudah semakin mendekati meja Faizal.
“Excuse me. Kau tu cuma bekas….kakak…ipar aku je. Aku dah tak ada apa-apa hubungan dengan adik ipar kau tu.” Faizal juga turut menjerit. Geramnya Yasmin tidak terkata pada Faizal.
“Kau tahu tak apa yang berlaku pada Yan?” Yasmin menepuk meja Faizal, kuat. Terkejut Ku Zhety dan Faizal. Ku Zhety mengurut dada. Menjeling pada Yasmin. Misha juga turut mengurut dada.
“Apa yang berlaku pada dia, bukan masalah aku lagi dah. Aku dah bercerai dengan dia.” Faizal menukas. Mata Ku Zhety sekali lagi membeliak.
“Yan? You kahwin dengan Yan?” pertanyaan Ku Zhety itu tidak dijawab oleh sesiapapun. Yasmin menjeling tajam. Faizal melonggarkan sedikit tali lehernya yang menjerut lehernya.
“You…you…jawablah. You kahwin dengan Yan?” Ku Zhety memaksa lagi. Menggoncangkan lengan Faizal. Lelaki itu berasa jengkel dan segera menjawab.
“Yes. Tapi dia curang dengan Aneeq. Aneeq my dearest best friend.” Faizal berkata sambil memandang Yasmin dan Ku Zhety silih berganti. Kemudian, perempuan itu tersenyum sinis.
“Oh…nampaknya dia pun bukanlah jenis perempuan yang baik-baik. Pandai jugak ya, kawan kau nak bermain kayu tiga.” Sindir Ku Zhety. Mata Yasmin membulat. Tercengang Misha dibuatnya.
“Kau jangan masuk campur. Ini hal antara aku dan dia.” Yasmin mengunjukkan jari telunjuknya ke dada dan juga ke arah Faizal.
“Yan tak ada apa-apa dengan Aneeq. Itu semua hanya salah faham.” Yasmin cuba menjelaskan perkara sebenar.
“Salah faham? Kalau salah faham takkanlah semua itu terbukti di atas gambar. Aku bukan menuduh sembarangan. Tapi aku ada bukti.” Faizal membentak.
“Kau tak dengar dulu penjelasan Yan. Kau terus cerai dan halau dia macam tu je.” Suara Yasmin yang sedari tadi dikendurkan, kini ditinggikan kembali.
“Sudahlah, Yas. Kau pergilah balik. Aku dan Yan dah tak ada apa-apa.” Faizal berkata perlahan. Kembali duduk di tempatnya. Semakin melebar senyuman sinis di bibir Ku Zhety.
“Huh! Begitu senang sekali kau ucapkan lafaz cerai kan? Dasar lelaki. Kau orang fikir kau orang boleh buat apa saja? Kami yang perempuan ni jugak yang tersepit.” Suara Yasmin sudah mengendur. Misha kesal dengan sikap yang ditunjukkan oleh Faizal.
Yasmin mendekati Faizal. Ditolak Ku Zhety yang berdiri di sebelah kerusi lelaki itu. Perempuan tersebut terdorong ke belakang. Bercekak pinggang menahan marah. Menolak kerusi Faizal dengan kasar. Terpusing lelaki itu menghadap Yasmin. Wajahnya semakin memerah. Satu tamparan hinggap di pipi kiri Faizal. Terpana Faizal dengan kejadian yang berlaku tiba-tiba.
“Itu satu penampar untuk kau kerana menyakiti hati Yan. Dan…” belum sempat ayat Yasmin habis, satu lagi tamparan hinggap di pipi kanan Faizal.
“….satu lagi untuk anak kau yang dah keguguran.” Terus sahaja Yasmin melangkah, ingin keluar dari bilik Faizal. Sempat menarik Misha yang masih tercengang.
“Anak? Gugur?” mata Faizal terarah ke pintu yang tertutup itu. Faizal meraup wajahnya. Menekup mulut. Matanya terkebil-kebil. Benarkah apa yang didengarinya itu?
“Sudahlah you. Tak payah ingatkan dia lagi. She’s history.” Ku Zhety kembali mengusap rambut Faizal. Lelaki itu menepis perlahan.
“Zhety, you pergi baliklah. I need some time alone.” Ujar Faizal. Ku Zhety merengek manja.
“I tak nak. I nak temankan you. I duduk sini.” Ku Zhety berkata dengan gediknya. Faizal mendengus kasar.
“I kata balik, balik Zhety. Tolong jangan ganggu I.” Faizal berkata lagi. Wajah Ku Zhety sudah memuncung. Faizal sudah tidak mempedulikannya. Disandarkan badan ke kerusi dan memejamkan mata. Faizal hanya terdengar dengusan nafas Ku Zhety. Dan juga dentuman pintu biliknya.


DIZYAN membuka matanya. Kemudian, kembali mengecilkan mata yang terasa silau. Menarik nafas sebelum melepaskannya perlahan-lahan. Terasa sentuhan di tangannya. Membuka mata seluasnya, mencari orang yang menyentuh tangan dia. Kelihatan senyuman manis terukir di bibir wanita elegan itu. Dizyan membalasnya lemah.
“Umi….” Panggil Dizyan. Puan Hajjah Karissa tersenyum. Dizyan menggerakkan badannya. Cuba untuk duduk menghadap Uminya.
“Yan, baring jelah.” Ujar Puan Hajjah Karissa. Dizyan menggeleng.
“Dah lama Yan tidur. Bosanlah.” Dizyan berkata lemah. Puan Hajjah Karissa menolong Dizyan untuk duduk. Disandarkan badan ke kepala katil.
“Umi…kenapa Yan ada kat sini?” tanya Dizyan. Kepalanya terlentok di atas bantal. Memandang wajah Puan Hajjah Karissa dan menantikan jawapan dari bibir tua itu. Puan Hajjah Karissa mengeluh perlahan dan meraih jari jemari Dizyan.
“Yan jatuh bilik air semalam. Dan....” Puan Hajjah Karissa tidak jadi meneruskan ayatnya. Tidak sampai hati melihat wajah pucat anaknya itu. Dizyan sekali lagi membetulkan duduknya supaya dapat memandang wajah Puan Hajjah Karissa dengan lebih jelas.
“Kenapa Umi? Kenapa dengan Yan?” Dizyan menjadi tidak sabar ingin mendengar kata-kata daripada Uminya. Puan Hajjah Karissa tidak tahu bagaimana hendak memberitahu khabar buruk itu. Mata Dizyan bercahaya memandang Puan Hajjah Karissa. Wanita tua itu tiba-tiba sahaja menitiskan airmata. Dizyan pelik. Tanpa sebab yang pasti, Uminya menitiskan airmata? Dizyan mengerutkan dahi.
“Umi....kenapa ni?” tanya Dizyan lembut. Masih menanti kata-kata yang akan keluar dari mulut Puan Hajjah Karissa.
“....Yan keguguran.” Puan Hajjah Karissa berkata ringkas. Dizyan terpana. Keguguran? Mata Dizyan membulat. Diusap perlahan perutnya yang sudah tiada isi itu.
“Ya, sayang. Yan dah 6 minggu mengandung.” Ujar Puan Hajjah Karissa. Airmata Dizyan mengalir. Menitis perlahan di pipinya.
“Usah menangis, Yan. Bukan rezeki Yan untuk memiliki anugerah yang diberikan Allah itu.” Mengusap jari jemari Dizyan. Dilap airmata di pipi Dizyan.
“Kalau Yan tahu, mesti Yan akan jaga diri Yan sendiri.” Dizyan berkata dalam esak tangisnya. Puan Hajjah Karissa menggeleng perlahan.
“Bukan rezeki, Yan. Sudahlah, sayang. Jangan menangis lagi.” Puan Hajjah Karissa segera memeluk Dizyan. Tanpa Dizyan dapat menahan diri, dia teresak di bahu Uminya.
“Yan masih ada Umi.” Puan Hajjah Karissa cuba memujuk hati anak yang sedang lara.


SUDAH 3 minggu Dizyan pulang ke rumah. Dizyan memeluk tubuh dan berdiri di balkoni. Menebarkan pandangan ke luar. Berpaling ke dalam apabila terdengar telefon bimbitnya berbunyi menandakan mesej masuk. Melangkah perlahan masuk ke dalam. Mencapai telefon bimbit tersebut dan melihat siapakah gerangan yang menghantar khidmat pesanan ringkas kepadanya. Tersenyum hambar apabila nama Aneeq yang terpapar di skrin telefonnya. Ingin berjumpa dengan Dizyan. Tetapi Dizyan menyatakan bahawa dia sedang berpantang. Lagipun tidak manis jika dia keluar berjumpa dengan Aneeq sedangkan dia baru sahaja berpisah dengan suaminya. Permintaan Aneeq ditolak lembut. Tidak mahu menyakiti hati lelaki itu. Sejak dari hari Aneeq menjelaskan perkara sebenar, perasaan amarah dan dendam yang disimpan selama ini terpadam begitu sahaja. Diletakkan semula telefon bimbitnya ke atas meja solek. Berjalan ke arah balkoni. Sekali lagi menebarkan pandangan ke luar. Entah kenapa, hatinya sudah nekad dengan keputusan yang telah dibuat seminggu lepas.
Sewaktu makan malam, Dizyan ingin memberitahu keputusan yang telah dibuatnya itu. Semasa menjamu selera pencuci mulut, Dizyan menarik nafas dan dilepaskannya perlahan-lahan. Memandang ke arah Tuan Haji Azmin dan Puan Hajjah Karissa.
“Umi....Abah...” panggil Dizyan. Keuda orang tua itu mengangkat muka memandang ke arah Dizyan. Izham, Yasmin dan Asyifa yang turut berada di meja makan memandang ke arah Dizyan.
“Lepas kes cerai Yan selesai dan majlis kahwin Kak Syifa, Yan nak pergi Australia.” Ujar Dizyan. Mereka yang lain memandang Dizyan dengan pandangan tdak percaya.
“Pergi Australia? Buat apa?” tanya Izham. Dizyan tersenyum hambar. Memandang satu persatu wajah ahli keluarganya.
“Sambung belajar.” Jawab Dizyan ringkas. Izham ingin berkata sesuatu tetapi Yasmin menarik lengan Izham. Memberikan isyarat mata kepada suaminya untuk menguncikan mulut. Tuan Haji Azmin membetulkan duduknya.
“Yan pasti dengan keputusan ini?” tanya Abahnya. Dizyan memandang ke arah Tuan Haji Azmin.
“Tak pernah Yan rasa seyakin ini, Abah.” Dizyan menjawab bersungguh-sungguh. Tuan Haji Azmin mengangguk. Merelakan anak perempuan tunggalnya pergi menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tertinggi. Mungkin Dizyan ingin menenangkan perasaan yang gundah gulana. Jika dihalang, pasti akan membuatkan Dizyan tidak keruan. Puan Hajjah Karissa menghadap Dizyan yang duduk di sebelahnya. Meraih jemari anaknya itu.
“Yan, Umi dan Abah tak melarang Yan nak pergi sambung belajar. Tapi janji dengan Umi. Janji yang Yan akan pulang semula ke sini.” Genggaman tangan Puan Hajjah Karissa dieratkan. Dizyan mengangguk pantas. Dia memang hendak pergi dari sini. Tetapi satu hari nanti, dia pasti akan pulang semula ke Malaysia. Untuk membina hidup baru di atas kenangan semalam.
Dizyan beralih pandang ke arah insa-insan yang amat disayanginya. Yasmin dan Asyifa memberikan senyuman tanda setuju. Hanya Izham sahaja tidak memberikan apa-apa reaksi.
“Abang Iz benarkan Yan pergi, ya?” ujar Dizyan. Memandang wajah Izham. Akhirnya, Izham melepaskan keluhan dan mengangguk perlahan. Dengan hati yang berat, dia harus juga melepaskan adiknya yang seorang itu pergi. Mencari harga diri dan kenangan yang baru. Dizyan tersenyum manis.
Habis sahaja mereka menjamu makan malam, Dizyan menarik Yasmin jauh daripada ahli keluarga mereka. Menuju ke taman. Mereka sama-sama melabuhkan di atas kerusi yang disediakan di halaman rumah. Yasmin pelik dengan tindakan Dizyan itu. Berkerut dahinya memandang wajah Dizyan.
“Yas, aku nak mintak tolong kau sebagai seorang sahabat. Boleh tak?” Dizyan bertanya. Kerutan di dahi Yasmin semakin bertambah.
“Apa dia?” Yasmin bertanya pula.
“Temankan aku esok. Aku nak pergi ambil barang-barang aku yang tertinggal kat rumah bekas mertua aku.” Bersungguh-sungguh Dizyan meminta pertolongan Yasmin. Kakak iparnya itu tersenyum. Dizyan membalas senyuman Yasmin itu. Walaupun Yasmin tidak menyatakan persetujuannya melalui mulut, hanya dengan senyuman sahaja sudah melegakan hati Dizyan bahawa Yasmin setuju untuk menemaninya esok.
“Tapi....kau tak takut ke kalau terserempak dengan Faizal?” pertanyaan Yasmin itu terus sahaja mematikan senyuman yang terukir di bibir Dizyan.
“Tipulah kalau aku kata, aku tak takut....” Dizyan menarik dan melepaskan nafas perlahan.
“....tipu jugak kalau aku kata, aku tak ada perasaan dah pada dia. Dialah lelaki kedua yang berjaya bertakhta di hati aku. Aku tak pernah ada perasaan macam ni pada orang lain. Walaupun yang datang menghulurkan cinta dulu adalah Aneeq. Faizal berjaya membuatkan aku rasa diri aku dihargai walaupun dia tidak pernah melayan aku sebagai seorang isteri.” Dizyan menyambung kata. Yasmin memandang simpati ke arah Dizyan.
“Entahlah. Mungkin silap aku jugak sebab aku tak explain dulu tentang perkara ni masa awal perkahwinan kami.” Dizyan berkata. Yasmin memeluk bahu Dizyan. Airmata yang menitis di pipi seakan sudah hilang rasanya.
“Kau tahu kan, kau selalu ada aku untuk kau curahkan segala perasaan.” Yasmin mengusap perlahan bahu Dizyan. Gadis itu terlentok di bahu Yasmin.
“Thanks, Yas. Kau dengan Misha je yang baik dengan aku.” Dizyan berkata lagi. Dilap airmata yang masih menuruni pipi.
“Hey, come on lah. Kita kawan daripada sekolah. Of courselah aku dan Misha baik dengan kau.” Yasmin tersenyum mendengar kata-kata Dizyan itu. Puan Hajjah Karissa menjenguk ke taman rumah. Kelihatan anak dan menantunya sedang bersembang di bawah gazebo.
“Yas, bawak masuk Yan tu. Dia baru je lepas berpantang. Tak elok berembun.” Laung Puan Hajjah Karissa. Mereka berdua beralih dan memandang ke arah Puan Hajjah Karissa yang berdiri tercegat di pintu utama. Yasmin dan Dizyan berjalan beriringan masuk ke dalam rumah.


YASMIN sudah siap menunggu di dalam kereta. Berkali-kali Yasmin berkata ingin menemani Dizyan masuk ke dalam rumah. Dan berkali-kali juga Dizyan menolak niat baik Yasmin. Tidak mahu menyusahkan sahabat baik merangkap kakak iparnya itu. Yasmin mendengus dan akhirnya melepaskan Dizyan masuk seorang diri ke dalam rumah banglo yang terserlah indah itu. Dizyan melepaskan keluhan. Melangkah perlahan-lahan mendekati pintu utama. Dizyan memejamkan mata. Dibuka matanya kembali dan mengetuk pintu utama perlahan. Tiada jawapan daripada penghuni rumah itu. Dizyan semakin gelisah. Diketuk sekali lagi. Juga tiada respon. Untuk kali ketiga, Dizyan sekali lagi mengetuk. Jika tiada jawapan, Dizyan ingin beredar. Lain kali sahaja dia datang kembali. Tiba-tiba kedengaran selak kunci berbunyi dari dalam. Dizyan tersenyum kecil. Mungkin Sutinah yang membuka pintu. Tetapi sangkaannya meleset. Terjengul wajah yang tidak disangkakannya langsung. Dizyan tergamam.
“Apa yang kau buat kat sini?” tanya Faizal serius. Langsung tidak memandang ke arah Dizyan. Egonya tetap meninggi. Walaupun pada ketika itu, serasa ingin dipeluk sahaja perempuan dihadapannya itu. Dizyan rasa seperti ingin lari dari situ. Tetapi terasa seperti sesuatu telah merantai kakinya. Hampir 4 bulan tidak melihat wajah lelaki itu membuatkan Dizyan merindu. Terasa ingin membelai wajah dihadapannya.
“Saya datang nak ambil barang-barang saya yang masih ada.” Ujar Dizyan. Faizal mendengus, kasar. Dizyan cuba mencari wajah lelaki itu. Ingin sekali dia merasa pelukan hangat Faizal.
“Siapa tu, Zal?” tanya Datin Rubaiyah. Menjenguk ke luar. Terlihat Dizyan yang berdiri di hadapan pintu utama. Segera Datin Rubaiyah meluru dan memeluk bekas menantunya.
“Mama rindukan, Yan.” Ujar Datin Rubaiyah dalam tangisan. Airmata Dizyan menitis setitik di pipi. Dia juga rindu untuk bersembang bersama Datin Rubaiyah dan menolong Sutinah membuat kerja-kerja dapur. Juga rindukan nasihat daripada Datuk Farid.
Faizal sudah tidak sanggup melihat ‘drama’ dihadapannya. Dia keluar melintasi Dizyan yang masih tercegat disitu. Berpaling semula ke arah Dizyan.
“Lepas ni, kau jangan datang sini lagi dah. Aku dah tak nak tengok muka kau.” Hancur luluh hati Dizyan mendengarkan kata-kata Faizal. Datin Rubaiyah menjegilkan matanya kepada Faizal.
“Kenapa Faizal cakap macam tu? Mama tak sukalah.” Datin Rubaiyah meningkah. Tidak suka dengan kata-kata sarcastic anaknya itu.
“Ma...dia bekas menantu Mama. Jadi buat apa dia datang sini lagi.” Faizal menukas. Datin Rubaiyah mendengus.
“Biarlah Yan nak datang sini. Mama seronok dapat bersembang dengan Yan.” Datin Rubaiyah memeluk bahu Dizyan. Gadis itu hanya mendiamkan diri.
“Ma, Zal dah tak ada apa-apa hubungan dengan dia. Dan, mulai saat ini terputuslah semua hubungan kau dengan keluarga ini. Kita dah bercerai.” Ujar Faizal. Hati Dizyan terhiris. Rasa seperti ditoreh dengan pisau.
“Zal!!!” Datin Rubaiyah sedikit terjerit menyebut nama anaknya.
“Ma...” Dizyan bertindak meleraikan pergaduhan yang bakal terjadi sebentar lagi di antara Datin Rubaiyah dan Faizal. Dizyan berpaling ke arah Faizal.
“Saya janji saya takkan datang sini lagi.” Dizyan menyatakan janjinya. Faizal memainkan kunci kereta di jari. Lelaki itu membunyikan alat penggera kereta dan terus sahaja masuk ke dalam keretanya. Menderum keluar dari kawasan perumahan. Dizyan hanya menghantar kereta Faizal dengan pandangan sayu. Setitik lagi airmata menitis di pipi.
‘Saya janji, Zal. Ini kali terakhir saya datang ke sini.’ Segera mengelap airmatanya apabila Dizyan terasa sentuhan lembut di bahunya. Beralih memandang ke arah Datin Rubaiyah.
“Yan datang seorang?” tanya Datin Rubaiyah. Dizyan menggeleng perlahan. Kasihan melihat apa yang dilakukan Faizal terhadap Dizyan.
“Tak, Ma. Yan datang dengan kakak ipar Yan, Yasmin.” Ujar Dizyan. Datin Rubaiyah menjenguk ke luar. Mencari orang yang datang bersama Dizyan.
“Mana kakak ipar Yan?” Datin Rubaiyah bertanya lagi. Dizyan mengunjuk ke arah kereta Vios TRD Sportivo yang tersadai di bawah pokok seberang jalan menghadap rumah mereka.
“Laa...kenapa tak panggil dia masuk?” Datin Rubaiyah berkata. Dizyan tersenyum.
“Tak apalah, Ma. Sekejap je ni.” Dizyan menolak cadangan Datin Rubaiyah.
“Panggil dia masuk. Kesian dia berpanas kat situ. Kalau masuk dalam, boleh jugak minum-minum. Mama ada banyak perkara nak sembang dengan Yan. Tak bestlah kalau sekejap-sekejap.” Datin Rubaiyah berkata. Dizyan mengangguk dan segera menuju ke pintu pagar. Memanggil Yasmin yang berada di dalam kereta.

BERSAMBUNG.....

14 tukang komen paling setia:

keSENGALan teserlah.. said...

ya ALLAH faizall..
egonye kau..
aku sekeh laju2 kang..
eeeii..kang yan da tade..
baru meroyan mencari macam kucing ilang anak..
isk2..geram betullah..
adeehh..
kak ecah yg baik atyy..nk lagik..

ceritaku MEMORIKU said...

zatie jom sekeh.
esok kite serang.
adoiii.pergi ngek ah.
ego tggi lebih mcm hape tah
tgk ah nnt yan dah berubah.padan muke ko.tol2 yan xde baru nk rindu.kunk meroyan mcm pmpuan hbs pntg.yan xmeroyan die meroyan.adoiii.
gerammmm.tidakkk.
kak ecah nak lagi.hehehe
:)
-na'dz

Hana_aniz said...

hish.. nape tak kasi penumbuk terus je kt si faizal tu??? ego menggunung tinggi!! bagus lah. kasi peluang kt aneeq plak or syed ezra. huh!! kak ecah n3 satu!! (hehehe.. mcm order teh tarik) ngee~ bez r citer ni kak ecah..

ha-ra said...

tgi melangit btol ego si faizal ni....
gram btol!!!
cpat2 la yan ilg..g aussie...
biar si faizal ni jdi xtntu hala...

kak ecah cpat la smbg...
cti 2ari kan??? :)

alom said...

waaaa..
ecah yg baiiiiiiiiikkkk... nk lg plizzzz... eiii pejal ni memg poyo laaa..cah..lagi..lagi..ecah kan bek atiiii..cayam ecah..muah2..n3 lg erk:p

LiNa said...

mcm nak ketuk je kepala si faizal tue..
cian kat yan..
nnti bila yg dah pergi bru di tau..ego je lebih..
sambung lagi yer..

::cHeeSeCaKe:: said...

eeeeeee..rse nk hempuk2 je si faizal ni..
sabar je la aku..
ade gak yg gila talak pasni...
xsabar nye nk bce yg strusnye..
next kak...

Nomie Aziz said...

Yan, akak tunggu next entry..tak sabar rasanya :-)..best!

aL-HaNis said...

waaa sedeh entry kali ni. huhu kalo jd yan pun sy g overseas gak la. siut la faizal.

eh sy dh nk balik msia ni yan pulak nk dtg oz. haha. sy kt brisbane. suh yan g sydney ke melbourne ke. Brisbane cam msia skt

.:farah:. said...

wargh..
nape ler faizal neh..
ego menggunung!!
yan..baik cpt2 pegi Australia tuh..
biar meroyan si faizal tuh..
haha..biaq pdan ngan mke dia..

sedey nyer n3 neh..
kak ecah...nak lgi!!
he~

aqilah said...

sampai hati aneeq! gi lah jumpa faizal, terangkan cerita yg sebenarnya. mesti faizal menyesal lepas tu! lelaki.......lelaki................

mimiebatrisya said...

apela si faizal tu.. egonye... xnk mngaku y dia sgt syg kt yan.. ego menggunung.. geram nyea.... k.ecah smbung lg la... nk tau citernye... smbung2...

pop said...

uikkkk...
sabar pop sabar...
dh emo da ne..
uhhh..
sakit nyerr ati...!!

alreinsy said...

geramnya kt faizal nih... ketuk kepala baru tau... ego setinggi everest... padahal hati dia mmg rindu kt yan... bila yan dah gi australia, baru tau nk cari balik... cepat2 la aneeq tell da truth... semuanya gara2 si rohan tu... pas 2, baru la zal gelabah cari yan balik... kot2 yan kurus pas blk dr australia nnt... masa tu, x lyn dah dgn zal... dia baik blk dgn aneeq kot... baru zal jealous... kita tgk nnt...

ecah, smbg lagi yea... x sbr akak nk tau kisah seterusnya... makin best la pulak... hehehe...