BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, November 20, 2008

Dari KL ke Luxembourg 6

BAB 6

QASEH dan Aishah sampai di pejabat. Namira lari terkedek-kedek ke arah mereka. Aishah kembali ke mejanya.
“ Cik Qaseh…Encik Fareez cari tadi. Dia nak Cik Qaseh call dia sekarang juga. Urgent.” Kata Namira, setiausaha kepada Qaseh. Qaseh mengangguk dan segera masuk ke dalam biliknya. Dia mengangkat telefon dan segera mendail telefon bimbit Fareez. Lama dia menunggu. Ada orang menjawab panggilan di sebelah sana.
“ Hello?” suara itu bertanya. Lembut. Tidak seperti suara lelaki. Qaseh segera meletakkan gagang telefon dan mendail semula nombor Fareez. Suara yang tadi juga menjawabnya.
“ Hello? Awak ni main-main ke?” marah suara itu. Qaseh tersenyum. Dia segera menjawab.
“ Boleh saya bercakap dengan Encik Fareez?” tanya Qaseh. Dia yakin ini telefon bimbit Fareez kerana sebelum mendailnya Qaseh memeriksa semula nombor tersebut dari skrin telefon pejabatnya.
“ Fareez? Sekejap.”
“ B, ada perempuan call you ni. Perempuan mana pulak ni? Semenjak I tinggalkan you, you dah pandai cari perempuan lain.” Kata suara itu manja. Meluat Qaseh mendengarnya. Sengaja perempuan itu berkata kuat supaya Qaseh mendengar. Macamlah Qaseh tergila-gilakan lelaki itu.
“ Berapa kali I kata? Jangan panggil I, B. I tak suka. We doesn’t have any relationship any more. I dengan you dah divorce. I’m not your hubby and you’re not my wife. We’re finish. Understood? So, panggil I Fareez. And one more thing. Suka hati I lah nak cari perempuan lain. Kenapa? Tak boleh? You boleh pulak cari lelaki lain semasa you jadi wife I.” Qaseh mendengar setiap patah perkataan yang keluar dari mulut Fareez. Kuat juga Fareez berkata-kata. Ex-wife dia, hati Qaseh berdetik. Qaseh terdengar perempuan itu merengek manja. Qaseh mengetuk jari jemarinya di atas meja. Dia ingat bil telefon pejabat ni, dia yang bayar. Hati Qaseh bergetus geram. Fareez menjawab panggilan telefon tersebut.
“ Hello?” jawab Fareez dengan nada marah.
“ Encik Fareez? Saya, Qaseh. Secretary saya kata Encik Fareez cari saya. Ada apa-apa yang boleh saya bantu Encik Fareez?” kata Qaseh sopan. Geram juga dia apabila orang telefon dengan cara baik tetapi disambut dengan kasar. Fareez berdehem.
“ Hmm… saya nak jumpa awak petang ni. Pukul 4.00 petang di Kopi Club, Plaza Low Yatt.” Belum sempat Qaseh berkata apa-apa, Fareez meletakkan gagang telefonnya. Qaseh menggenggam gagang telefon dengan kuat. Dihempasnya gagang telefon tersebut. Macam mana dengan janjinya petang ini? Dia sudah berjanji dengan Datuk untuk makan malam di rumah Mak Ngah. Datuk sekarang tinggal di rumah Mak Ngah semenjak Datuk keluar dari hospital. Qaseh selalu sibuk dengan kerjanya dan jarang dapat meluangkan masa bersama Datuk. Dia tidak sanggup membiarkan Datuk keseorangan di rumah. Takut apa-apa terjadi. Qaseh memeluk tubuhnya. Dia beranikan diri untuk menelefon rumah Mak Ngah. Didailnya nombor rumah itu perlahan-lahan.
“ Hello?” satu suara menjawab.
“ Midi, Akak ni. Atuk ada?”
“ Atuk solat. Kenapa, Kak?”
“ Mama ada?” tanya Qaseh lagi.
“ Ada. Kat dapur.”
“ Panggil Mama kejap.” Qaseh menyuruh sepupunya, Hamidi, memanggil Mak Ngah. Hamidi meletakkan gagang telefon di atas meja telefon dan berlari ke arah dapur untuk memanggil Mamanya. Sebentar kemudian, Mak Ngah menjawab panggilan telefon itu. Qaseh tersenyum kecil.
“ Hah! Qaseh. Kenapa Qaseh telefon ni?”
“ Mak Ngah cakap dengan Atuk, Qaseh tak dapat balik makan malam kat rumah sebab Qaseh kena jumpa pelanggan. Cakap dengan Atuk, Qaseh minta maaf sangat-sangat. Lepas jumpa pelanggan, Qaseh akan terus balik rumah.” Qaseh menerangkan perkara sebenar kepada Mak Ngah.
“ Tak apalah, Qaseh. Nak buat macam mana, kan? Qaseh pun ada kerja jugak.”
“ Tolong ye, Mak Ngah.”
“ Qaseh jangan risaulah. Atuk mesti faham punya.” Qaseh berasa lega mendengar kata-kata Mak Ngah. Dia menghelakan nafasnya. Setelah mendapat keizinan daripada Mak Ngah, Qaseh meletakkan gagang telefon. Qaseh menyambung semula kerjanya.






TEPAT pukul 3.30 petang, Qaseh mengemas mejanya. Dia harus tiba sebelum Fareez. Kalau dia sampai lambat daripada pelanggan, nanti akan adalah aduan yang sampai ke telinga bosnya, Encik Sulaiman. Dia sudah pernah terkena dengan pelanggan lamanya di Luxembourg dahulu. Qaseh tidak memberitahu sesiapapun yang dia pernah bekerja di sana selama setahun setengah. Kalau Datuk tahu, tentu Datuk mengamuk. Duit yang Datuk kirim, semuanya disimpan. Tidak digunakan langsung. Duit gaji yang dia dapat sudah cukup untuk menampung hidupnya selama dia berada di sana. Qaseh mengumpul duit gajinya dan bercadang untuk membina impiannya dengan duit itu. Tidak selama-lamanya dia akan bekerja dengan syarikat orang. Dia juga ingin membuka syarikat milik dia sendiri. Dia mengimpikan impian ini semasa dia berada di Luxembourg. Dia bekerja dengan sebuah syarikat yang diusahakan oleh bumiputera Malaysia. Qaseh amat berbangga dengan kejayaan rakyat Malaysia. Pemilik syarikat itu seorang perempuan. Dia bercita-cita hendak menjadi seperti wanita itu tetapi dia hendak membuka syarikatnya di tanah air. Tidak perlulah jauh-jauh. Di dalam Malaysia pun, kebanyakan syarikat pengiklanan diusahakan oleh kaum Adam. Dia mahu menjadi kaum Hawa yang pertama mengusahakan syarikat pengiklanan yang terbesar dan maju.
Tergesa-gesa Qaseh menuruni ke tempat letak kereta. Keadaan jalanraya di dalam bandar Kuala Lumpur ini tidak tentu. Kadangkala sibuk dan kadangkala berjalan lancar. Kena pada hari hujan, lagilah tidak berjalan langsung. Qaseh pun pening. Selalu lewat malam dia akan tiba di rumah. Disebabkan itulah, Qaseh membawa datuknya tinggal dengan Rafidah. Keluarga Mak Ngah memang tidak kisah. Mereka amat menyayangi Datuk. Pak Ngah Din seorang suami dan menantu yang baik. Beliau sangat suka kalau Datuk tinggal bersama-sama mereka. Bolehlah mereka menjaga Datuk sebaik mungkin sehingga Datuk sembuh seperti sediakala. Tetapi Datuk lebih rela tinggal di rumah peninggalan arwah Tuan Nizam dan Puan Yasmin. Qaseh telah membuat perjanjian dengan Datuk. Sekali-sekala Datuk akan tinggal di rumah Tuan Nizam tetapi selalunya Datuk akan menghabiskan masa di rumah Mak Ngah Idah.
Kereta Qaseh berada ditengah-tengah jalanraya. Kenapalah dia pilih Plaza Low Yatt? Dia tak tahu ke kawasan tu sibuk, desis hati Qaseh. Dia memarkirkan Honda Jazznya di tempat letak kereta yang disediakan. Diletakkan di sebelah BMW 7 series, kereta kegemaran Qaseh dari kecil lagi. Nombor platnya pun cantik, WNS 9889. Kalau mengikut orang cina, itu mesti ong punya. Qaseh turun dari keretanya dan menuju ke arah lif. Qaseh sudah tiba di hadapan Kopi Club. Dia mencari kelibat Fareez. Masih tidak kelihatan. Qaseh melihat jam ditangan. Dia terlewat 7 minit. Takkan Fareez sudah pergi? Hatinya gusar. Qaseh mundar mandir di hadapan restoran tersebut. Sekali-sekala matanya meliar ke sekeliling. Manalah tahu Fareez sekadar ingin menguji dia. Qaseh melihat jam ditangan sekali lagi. Sudah 15 minit berlalu. Bayang-bayang Fareez masih tidak kelihatan. Nanti mesti dia kena marah dengan Encik Sulaiman kerana terlewat tiba di tempat yang dijanjikan oleh pelanggan. Qaseh mengeluarkan telefon bimbitnya dan mula mendail nombor telefon Fareez. Tidak berjawab. Sah! Fareez marah dengannya. Tapi takkanlah tidak boleh bertimbang rasa. Dia baru terlewat 7 minit. Qaseh baru berkira-kira hendak meninggalkan tempat itu.
Tiba-tiba namanya dipanggil. Dia beralih ke arah suara tersebut. Fareez! Hatinya geram dengan Fareez. Ada bungkusan di tangannya. Fareez mendekati Qaseh.
“ Baru sampai?” tanya Fareez sambil menarik kerusi dan duduk di Restoran Kopi Club. Qaseh tersenyum sinis.
“ Baru. Adalah dalam 20 minit.” Kata Qaseh. Fareez memandang Qaseh. Dipandangnya ke atas dan ke bawah.
“ Duduklah. Apasal awak berdiri?” Fareez membuka bungkusan yang ada di tangannya perlahan-lahan. Sebuah komputer riba. Sempat lagi dia pergi membeli-belah. Yang aku, penat-penat berdiri macam tunggul kat sini, getus hati Qaseh, geram. Mahu sahaja dipelangkungnya si Fareez ini. Qaseh menarik kerusi dan duduk berhadapan dengan Fareez. Pelayan restoran tersebut datang dengan membawa menu. Fareez membelek-belek menu. Nak makan apa, ye? Hati Fareez berkata-kata.
“ Hmm…Bagi saya Assam Laksa dan Ice Lemon Tea.” makanan kegemaran Fareez yang juga merupakan makanan kegemaran Qaseh. Qaseh memanggung kepalanya memandang Fareez.
“ Awak nak makan apa?”
“ Tak apalah, Encik Fareez. Saya dah kenyang.” Qaseh menolak pelawaan Fareez dengan lembut.
“ Makanlah sikit. Buat apa saya ajak awak ke restoran kalau awak tak makan. Bincang kat ofis lagi baik.” Fareez berkata sambil menyerahkan menu kepada pelayan itu semula. Mahu tak mahu, Qaseh memesan juga makanan. Aku sudah kenyang, disuruhnya makan juga. Kalau buncit, siapa yang nak sukakan aku? Detik hati kecil Qaseh.
“ Samalah untuk saya.” Pelayan itu berlalu pergi meninggalkan mereka berdua. Fareez masih asyik membelek komputer ribanya. Fareez tidak menyangka komputer riba yang berjenama Sony VAIO boleh didapati dengan murah di Plaza Low Yatt. Nasib baik dia tidak membeli komputer itu di tempat lain. Pasti lebih mahal harganya. Dia mendengar kata-kata sahabat baiknya yang selalu mengunjungi Plaza Low Yatt jika ingin mendapatkan barangan seperti komputer dan peralatan lain dengan harga yang murah.
“ Kenapa Encik Fareez nak jumpa saya?” Qaseh segera bertanya kerana dilihatnya Fareez sedang leka dengan komputer barunya itu.
“ Pasal iklan syarikat saya tu.” Mendengarkan kata-kata Fareez, laju sahaja jantung Qaseh berdegup.
“ Kenapa dengan iklan tu? Ada apa-apa yang tak kena ke?” Qaseh menelan air liur. Janganlah ditukarnya lagi. Iklan itupun pening dia memikirkannya. Kalau Fareez berhasrat hendak menukar iklan itu, maknanya tidak tidur malamlah dia.
“ Tak ada apa-apa. Cuma awak boleh mula buat iklan tu.” Makanan yang dipesan sampai. Fareez makan Assam Laksanya dengan selera sekali. Dia tengah lapar. Qaseh menyuap Assam Laksa perlahan-lahan ke mulut. Panas. Tebal betul lidah dia ni! Desis hati Qaseh. Qaseh menghirup airnya. Tawar. Qaseh memanggil semula pelayan tersebut. Pelayan itu datang menghampiri meja yang mereka berdua duduki.
“ Ya, Cik?”
“ Tolong tambah sikit limau. Bagi masam sikit.” Qaseh menyerahkan gelas kepada pelayan tersebut. Fareez memandang wajah Qaseh.
“ Awak suka yang masam-masam ke?” tanya Fareez. Qaseh tersenyum dan mengangguk. Pelayan itu menuju semula ke arah meja yang diduduki oleh Fareez dan Qaseh.
“ Cik nak tambah gula sikit ke?” tanya pelayan itu.
“ Hmm…tak payahlah.” Pelayan itu berlalu semula ke dapur restoran. 5 minit kemudian, pelayan tersebut datang semula membawa air minuman Qaseh. Mereka menjamu selera. Fareez senyap sahaja sewaktu makan. Memang itu perangai Fareez. Dia tidak suka bercakap depan rezeki.
“ Jadi, bila nak mulakan penggambaran iklan tu, Encik Fareez?” tanya Qaseh. Dia rasa tidak sabar lagi untuk melihat bagaimana penggambaran iklan dijalankan.
“ Boleh bagi saya habis makan dulu tak?” Fareez memandang tajam ke arah Qaseh. Segera Qaseh mengangguk. Perlahan-lahan dia menghabiskan makanannya. Makanan tengah hari tadi belum lagi habis dihadam, kini dia makan lagi. Bagus juga dia menaikkan beberapa kilo.
Sambil makan, mata Fareez sesekali melirik ke arah gadis dihadapannya. Cantik. Dengan alis mata yang lentik, mata yang redup serta anak mata berwarna Hazel, hidung yang mancung ala-ala Arab, rambut yang ikal mayang, berkulit sawo matang. Menambahkan lagi kecantikan yang sedia ada pada gadis itu. Bersih sahaja wajahnya. Wajah yang tenang. Setenang lautan. Bibir merah merekah. Dia tidak ubah seperti seseorang yang Fareez cukup kenali. Wajah seakan-akan seseorang yang Fareez anggap seperti ibu. Seseorang yang telah lama pergi meninggalkan mereka semua. Auntie Min! Hati Fareez berdetik. Anak Auntie Min kah? Tapi tidak mungkin. Anak Auntie Min belum balik lagi ke Malaysia, Fareez bermain dengan kata hatinya. Walaupun dia tidak begitu mengenali anak Tuan Nizam dan Puan Yasmin tetapi dia pernah melihat gambar anak Tuan Nizam dan Puan Yasmin. Dia cuma mengetahui anak mereka berdua sedang melanjutkan pelajarannya di luar negara. Dia tua 6 tahun daripada anak Tuan Nizam dan Puan Yasmin. Apa khabar Qaseh sekarang? Tiba-tiba sahaja hatinya teringat pada si gadis bernama Qaseh itu. Gadis yang berada di depannya pun bernama Qaseh. Tetapi tidak mungkin Qaseh anak Tuan Nizam dan Puan Yasmin. Tak mungkin! Kata Ummi, anak Auntie Min lemah lembut dan tak pandai menjawab, hati kecil Fareez berbisik sendirian.
“ Encik Fareez…. Encik Fareez….” Qaseh menggawang-gawangkan tangannya dihadapan muka Fareez. Fareez tersedar dari lamunan.
“ Boleh kita mulakan sekarang?” tanya Fareez. Tiba-tiba sahaja dia tidak berselera. Ditolak mangkuk Assam Laksa ketepi. Qaseh mengangguk. Pelik dia melihat Fareez. Sekejap ceria, sekejap muram.
Qaseh menerangkan satu persatu kepada Fareez. Warna iklannya juga cukup menarik hati Fareez. Pandai Qaseh memilih warna yang sesuai. Dia tahu Qaseh berbakat. Tetapi hari itu Fareez cuma mahu menguji kesabaran Qaseh. Berapa lama dia boleh bertahan dengan sikap panas baran Fareez.

BAB 6
BERSAMBUNG......

0 tukang komen paling setia: