BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, November 21, 2008

Dari KL ke Luxembourg 22

BAB 22

SELEPAS 14 jam perjalanan daripada Luxembourg, mereka tiba di Lapangan Terbang KLIA. Qaseh turun dari pesawat dan segera menuju ke arah tempat yang dikhaskan untuk mengambil bagasi. Dia telah mengecam bagasinya, bagasi Fareez serta bagasi Amirul. Serta-merta dia menarik bagasi-bagasi tersebut dan diletakkan di atas troli yang diambilnya sewaktu mereka keluar dari ruang ketibaan. Selepas mengambil kesemua bagasi, mereka bertiga berjalan beriringan menuju ke arah pintu keluar. Mereka menyangka tiada sesiapa yang datang menyambut daripada lapangan terbang. Tetapi sangkaan mereka meleset sama sekali. Dari kejauhan lagi terlihat bayangan Datuk, Tan Sri Firdaus, Fitri Adriana, Fitri Amelya dan Fitri Annabella sedang melambai ke arah mereka bertiga. Qaseh menyorong troli keluar. Fareez segera memeluk Datuk dan Papanya. Qaseh pula memeluk ketiga-tiga anak buahnya.
“ Lama ke sampai?” tanya Qaseh kepada Datuk.
“ Baru saja.” Datuk memeluk bahu cucu kesayangannya itu. Qaseh tergelak kecil. Walaupun dia sudah berkahwin, Datuk masih lagi menganggapnya seperti anak kecil. Dia tidak kisah semua itu.
“ Mana yang lain?” tanya Fareez. Fitri Amelya memeluk lengan Fareez. Dia paling rapat dengan Fareez dan juga merupakan anak buah kesayangan Fareez. Mereka berjalan ke arah tempat letak kereta.
“ Dia orang semua ada kat rumah. Tunggu kamu berdua.” Tan Sri Firdaus membayar harga tiket tempat letak kereta. Dia memasukkan tiket dan kemudian memasukkan not RM 10. Tetapi mesin tersebut tidak menerima duit itu dan dikeluarkan semula not tersebut. Tertera perkataan ‘Syiling sahaja’ di mesin itu. Tan Sri Firdaus mengorek poket seluarnya dan mengeluarkan duit syiling sebanyak RM 3.50 dari poket. Dimasukkan duit syiling tersebut ke dalam mesin. Mesin itu memuntahkan semula tiket yang dimasukkan sebentar tadi dan mereka semua berjalan ke arah kereta.
Tan Sri Firdaus menolong Fareez memasukkan bagasi-bagasi mereka ke dalam but kereta. Datuk, Qaseh dan ketiga-tiga anak saudara Fareez sudah masuk ke dalam kereta. Tan Sri Firdaus memandu kereta Estima kepunyaannya. Fareez terpaksa duduk di sebelah Tan Sri Firdaus kerana Datuk awal-awal lagi sudah duduk di belakang bersama-sama Qaseh. Banyak perkara yang hendak Datuk tanya kepada Qaseh.
“ So, how’s your trip?” tanya Tan Sri Firdaus.
“ It’s great. And…fun. Adib pun ada kat sana. Tak sangka pulak.” Fareez berkata sambil matanya memandang ke arah Qaseh melalui cermin pandang belakang. Qaseh seperti menyedari kata-kata Fareez itu ditujukan khas buatnya, menelan air liur. Qaseh melontarkan pandangan ke luar. Fitri Adriana dan Fitri Amelya sedang sibuk mengusik Fitri Annabella dan Amirul. Gelak ketawa mereka bergema di dalam kereta. Datuk tersenyum melihat gelagat anak-anak kecil yang sedang bermain sesama mereka. Sesekali mata Datuk singgah kepada wajah cucunya yang hanya mendiamkan diri semenjak mereka beredar dari KLIA. Qaseh seperti termenung jauh. Apalah agaknya di dalam fikirannya sekarang? Fikir Datuk sendirian. Datuk menggenggam jari jemari Qaseh. Dia yang seperti tersedar dari lamunan yang panjang, memandang wajah Datuk.
“ Qaseh, macam mana Wiltz? Still the same?” tanya Tan Sri Firdaus secara tiba-tiba. Qaseh tersenyum kecil.
“ Ya, uncle. Still the same.”
“ Uncle lagi? Patutnya Walid lah. Cuba panggil Walid.” Tan Sri Firdaus membetulkan panggilan Qaseh kepadanya. Kekok apabila terpaksa memanggil Tan Sri Firdaus yang selama ini dipanggilnya Uncle kepada Walid. Qaseh sekali lagi menelan air liur. Dia berdehem kecil sebelum cuba untuk memanggil Tan Sri Firdaus dengan panggilan yang lebih mesra.
“ Walid.” Serta merta darah merah menyerbu ke mukanya. Qaseh memandang wajah Fareez yang selamba itu. Tiada respon dari suaminya. Adakah selama-lamanya dia akan bersikap dingin seperti itu di sepanjang perkahwinan mereka?
Perjalanan dari KLIA ke rumah Tan Sri Firdaus memakan masa 1 jam. Kepenatan jelas tergambar di wajah Qaseh dan Fareez tetapi tidak pada Amirul. Dia masih boleh bermain bersama saudara-saudaranya. Tan Sri Firdaus, Datuk dan Fareez memunggah bagasi-bagasi mereka ke dalam rumah. Qaseh menuju ke dapur. Tidak sabar untuk bertemu dengan ibu mertuanya. Qaseh berpaling semula apabila ada orang yang memanggil nama dia. Dia memandang ke arah tangga.
“ Qaseh…” sapa Fitri Marlis yang baru sahaja mencecahkan kakinya di tangga terakhir.
“ Kak Fit.” Qaseh menyalami kakak iparnya itu dan memeluk. Gembira dapat pulang ke rumah yang dipenuhi oleh orang-orang yang berwajah riang. Bukan seperti di Wiltz. Hanya muram sahaja yang menghiasi hidupnya selama 2 minggu. Tetapi dia tetap berasa seronok apabila dapat melepaskan rindu kepada kehidupannya yang dahulu.
“ Wah! Akak tengok Qaseh semakin berisi. Ada apa-apa ke?” usik Fitri Marlis. Qaseh tersipu-sipu malu.
“ Ada apa, Kak? Tak fahamlah.” Qaseh buat-buat tidak faham. Dia tidak mahu mereka semua menaruh harapan ke atas perkara yang tidak mungkin akan menjadi kenyataan.
“ Eh, Qaseh.” Sapa ibu mertuanya, Puan Sri Marlisa. Qaseh tunduk menyalami tangan Puan Sri Marlisa. Puan Sri Marlisa mencium kedua-dua belah pipi menantu barunya itu. Semenjak mereka berkahwin, baru inilah Puan Sri Marlisa dapat berjumpa dengan Qaseh. Setelah dua minggu Qaseh sah menjadi menantu rumah banglo itu.
“ Mirul.” Puan Sri Marlisa beralih ke arah cucu lelaki tunggalnya. Amirul tunduk menyalami Puan Sri Marlisa. Amirul begitu hormatkan orang tua walaupun dia dibesarkan di luar negara. Puan Sri Marlisa berkali-kali mencium pipi Amirul sehingga naik rimas anak kecil itu.
Mereka semua tergelak melihat gelagat Amirul yang cuba melepaskan diri daripada nenek yang masih tidak puas mencium pipinya. Qaseh menuju ke ruang tamu. Badannya terasa sengal-sengal. Dia mahu sahaja pulang ke rumah dan berbaring di atas katil empuk yang menjadi teman setianya. Tetapi, inilah rumahnya kini. Dan selama-lamanya.
Amirul memunggah bagasi dan mengeluarkan segala cenderahati yang dibeli semasa melancong mengelilingi Eropah bersama Fitri Azharina. Diserahkan kepada datuk dan nenek. Kemudian kepada pakcik dan makcik-makcik. Akhir sekali kepada sepupu-sepupu. Qaseh juga turut memunggah bagasi pakaian miliknya dan mengeluarkan cenderahati yang dibeli. Dia menghulurkan selendang yang dibeli daripada sebuah kedai di Grevenmacher kepada Puan Sri Marlisa. Kemudian dia menghulurkan tali leher kepada Tan Sri Firdaus.
“ Lawanya tie, Walid. Belum pernah Wan tengok Walid ada tie warna ni.” Ikhwan seolah-olah berminat dengan tali leher bapa mentuanya.
“ Terima kasih, Qaseh.” Ucap bapa mentua Qaseh sambil memandang wajah Qaseh. Senyuman sentiasa menghiasi bibir Qaseh. Fareez sudah menghilangkan diri. Sekali lagi. Seperti mana yang dilakukannya sewaktu mereka berada di Wiltz.
“ Ni untuk Kak Liza, Kak Fit dan Abang Wan.” Diserahkan tiga bungkusan kepada kakak-kakak ipar dan birasnya.
“ Untuk Abang Wan pun ada jugak?” tanya Ikhwan sambil mencapai bungkusan yang dihulurkan oleh Qaseh kepadanya. Qaseh mengangguk. Ikhwan mengucapkan terima kasih. Dengan rakus, mereka bertiga membuka bungkusan yang membalut cenderahati tersebut.
“ Ni pulak untuk Ana, Mia dan yang paling comel sekali, Bell.” Kata Qaseh. Dia mencuit pipi kanak-kanak kecil itu. Fitri Annabella tergelak kecil. Mereka bertiga ketawa riang apabila membuka balutan yang membalut bungkusan tersebut. Mungkin mereka dapat apa yang mereka ingini sebelum ini. Amirul turut membuka pemberian Qaseh. Melompat riang kanak-kanak itu apabila Qaseh membelikannya baju yang bercorak pemandangan Echternach. Dia segera memeluk Qaseh. Semua yang berada di ruang tamu tersebut, tersenyum riang melihat gelagat Amirul. Mereka yakin Qaseh dapat menjadi seorang ibu yang baik kepada Amirul. Di dalam hati Puan Sri Marlisa, dia berharap sangat agar Shilea tidak menuntut anaknya. Tan Sri Firdaus tahu apa yang bermain di fikiran isterinya, segera memeluk bahu Puan Sri Marlisa.






MAKAN malam itu sungguh meriah. Dengan keriuhan suara kanak-kanak serta tangisan bayi kecil bergema di seluruh rumah itu. Tidak kurang juga suara yang bersembang sesama mereka. Qaseh duduk bersebelahan dengan Puan Sri Marlisa. Fitri Marlis dan Fitri Shaliza duduk berhadapan mereka berdua. Mereka berempat bersembang di dapur. Sementara itu, Fareez, Tan Sri Firdaus dan Ikhwan sedang bersembang di ruang tamu sambil menonton rancangan kegemaran mereka iaitu CSI: Miami. Sesekali mata Qaseh melirik ke arah ruang tamu. Melihat Fareez yang sedang khusyuk menonton televisyen tanpa mempedulikan mata yang sedang merenungnya.
“ So…” kata Fitri Marlis. Qaseh memusingkan kepala memandang Fitri Marlis yang tersenyum simpul. Fitri Shaliza dan Puan Sri Marlisa sibuk menyediakan pencuci mulut. Dia tidak sedar bila masa mereka beredar. Qaseh mengerutkan dahi. Masih tidak memahami maksud Fitri Marlis yang tersirat. Fitri Marlis masih lagi seperti mahu berteka-teki dengan Qaseh.
“ What?” tanya Qaseh.
“ Ummi buat apa tu?” tanya Ikhwan yang tiba-tiba sahaja muncul di muka pintu dapur.
“ Buat dessert.” Puan Sri Marlisa masih meneruskan kerja-kerjanya.
“ Shiqeen dah tidur, Bang?”
“ Dah. Hari ni susah sangat dia nak tidur.” kata Ikhwan. Kemudian, dia berlalu dari situ dan menuju ke arah ruang tamu. Qaseh memandang ke arah Puan Sri Marlisa. Terjenguk-jenguk hendak melihat pencuci mulut yang dibuat oleh mereka berdua. Pencuci mulut kegemaran Qaseh.
“ So…” Qaseh memandang Fitri Marlis. Apakah yang sebenarnya yang cuba dicakapkan oleh kakak iparnya itu?
“ How’s your vacation?” tanya Fitri Marlis dalam senyum simpul.
“ Ok. Best. Memang dah lama nak balik ke Luxembourg. Tapi tak ada masa. Rindu suasana kat sana.” Qaseh masih tidak dapat membaca persoalan yang sedang bermain di fikiran Fitri Marlis.
“ Did something happen?”
“ What?!” terbeliak biji mata Qaseh. Fitri Marlis tergelak. Puan Sri Marlisa dan Fitri Shaliza memandang ke arah mereka berdua dan menggelengkan kepala serentak. Meneruskan semula kerja mereka. Muka Qaseh merah. Menahan malu. Walaupun tidak terjadi apa-apa diantara dirinya dan Fareez tetapi apabila soal seperti itu dibangkitkan tetap akan menimbulkan perasaan malu.
“ Qaseh, tolong bawak dessert ni ke depan.” Arah Puan Sri Marlisa. Qaseh segera bangun dan menatang dulang yang berisi semangkuk dessert pisang custard. Kegemaran Qaseh. Diletaknya dulang tersebut ke atas meja makan.
“ Marilah makan.” Laung Fitri Marlis. Ikhwan dan Tan Sri Firdaus bangun dari duduknya dan berjalan ke arah meja makan.
“ Qaseh, pergi panggil Fareez.” Puan Sri Marlisa mengarah. Laju sahaja kakinya melangkah ke ruang tamu.
“ Abang…Marilah makan.” Lemah lembut Qaseh memanggil suaminya. Fareez memandang sekilas ke arah Qaseh. Dia segera bangun dan melintasi Qaseh yang masih tercegat berdiri. Fareez menarik tangan Qaseh dan gadis itu terdorong ke dalam dakapan Fareez. Fareez memeluk bahu Qaseh. Mereka berjalan beriringan menuju ke meja makan. Kesemua mereka yang berada di meja makan tersebut, hanya tersenyum memandang mereka berdua. Wajah Qaseh merona merah. Fareez menarik keusi untuk Qaseh. Fareez duduk bersebelahan dengannya. Dia kelihatan mesra sekali. Qaseh pelik dengan perbuatan suaminya itu. Sewaktu makan malam tadi pun, tidaklah semesra itu. Diambil semangkuk pisang custard dan dihulurkan kepada Qaseh.
Setelah selesai mereka menjamu pencuci mulut, Qaseh menolong kakak-kakak iparnya mengemas. Fareez sudah lama menghilangkan diri ke bilik bacaan. Tan Sri Firdaus dan Ikhwan pula kembali ke ruang tamu untuk menonton rancangan bola sepak. Sekarang adalah musim World Cup. Suasana di ruang tamu riuh dengan sorakan mereka berdua. Anak-anak mereka juga tidak ketinggalan membuat bising.
“ Walid tahu tak? Ronaldinho ni pernah dapat pemain terbaik dunia. Dia pun pernah dapat kasut emas. Kalahkan rakan sepasukannya. Muda lagi dia ni.” Kecoh mulut Ikhwan bercerita. Memang Tan Sri Firdaus tahu pemain bola sepak kegemaran Ikhwan ialah Ronaldinho.
“ Walid minat siapa?” tanya Ikhwan. Dia ingin tahu pemain bola sepak kegemaran bapa mentuanya.
“ Walid minat Michael Ballack. Tapi dari dulu Walid suka sampai sekarang, Maradona dan Pele. Walid suka tengok Maradona main. Kalau dia gelecek bola…Huu…Tapi Walid paling suka tricycle kick Pele. Dia seorang je pemain bola yang boleh buat tricycle kick tu. Pemain lain macam berat kaki.” Ikhwan tersenyum. Dia tidak tahu bapa mentuanya itu juga peminat bola sepak dari luar negara. Sangkanya Tan Sri Firdaus meminati pemain bola sepak Malaysia yang sudah veteran.
“ Maradona dah gemuk sekarang.” Kata Ikhwan.
“ Dah tak aktif main bola semenjak ambil dadah dulu.” Kata Tan Sri Firdaus. Matanya masih menatap ke kaca televisyen.
“ Sekarang dia dah berhentikan?” tanya Ikhwan. Tan Sri Firdaus mengangguk dan matanya masih ditumpukan ke kaca televisyen.
“ Apa yang dua beranak ni sembangkan?” tanya Puan Sri Marlisa seraya melabuhkan punggung di sebelah suami tersayang.
“ Tak ada apa-apa, Ummi. Pasal bola.” Ikhwan juga tidak menyangka bahawa ibu mentuanya itu meminati bola sepak. Tidak seperti wanita lain.
“ Ummi suka siapa?” tanya Ikhwan.
“ Siapa apa?” tanya Puan Sri Marlisa kembali.
“ Pemain yang mana?” tanya menantunya lagi.
“ Ohh…tentulah pemain Portugal yang paling handsome dan menjadi kegilaan gadis-gadis muda zaman sekarang. Siapa lagi kalau bukan…” Puan Sri Marlisa memandang ke arah Tan Sri Firdaus.
“ Christiano Ronaldo.” Mereka menjawabnya serentak. Ikhwan tertawa kecil. Mereka bertiga menonton bola sepak dengan khusyuk sekali. Di ruang dapur ketiga-tiga wanita sedang asyik bersembang.
“ Kak…Qaseh naik dulu, ya?” kata Qaseh dan meninggalkan kedua kakak iparnya. Dia mendaki tangga dan menuju ke bilik yang berada di tingkat atas sekali. Dibuka pintu bilik tersebut. Tiada sesiapa. Kelibat Fareez tidak dilihat di mana-mana.
Qaseh masuk ke dalam bilik air untuk menggosok gigi dan mencuci kaki. Sebaik sahaja keluar dari bilik air, Qaseh terkejut dengan kehadiran Fareez yang duduk di sofa yang terletak di hujung katil dan memandangnya tidak berkelip. Fareez melihat Qaseh seperti hendak menerkam.
“ Apa yang kau cakap pada Walid?” tanya Fareez dengan suara garaunya. Qaseh memandang Fareez. Dia tidak faham.
“ Cakap apa, Bang?” tanya Qaseh kembali. Dia sendiri tidak faham dengan soalan Fareez.
“ Kau jangan nak pura-pura tak faham pulak.” Fareez sudah meninggikan suaranya sedikit. Dia bangun dari sofa dan berjalan ke arah Qaseh. Qaseh berundur ke belakang sedikit.
“ Qaseh tak ada cakap apa-apa, Bang.”
“ Ah! Aku tak percaya.” Lantang suara Fareez. Qaseh kecut perut.
“ Percayalah cakap Qaseh. Qaseh tak cakap apa-apa.” Matanya sudah berair. Fareez memusingkan badannya semula dan berjalan ke arah sofa dan duduk semula di situ. Qaseh seperti orang yang dalam ketakutan yang amat sangat.
“ Huh! Itulah perempuan. Air mata jadi senjata. Kau jangan ingat aku akan cair dengan air mata kau tu.” Fareez merebahkan badannya di sofa tersebut. Qaseh berjalan perlahan-lahan ke arah katil dan membaringkan diri. Air mata masih turun membasahi pipi gebunya.
“ Kau dengar sini. Kalau aku tahu kau cerita apa-apa kat Ummi atau Walid, siaplah kau. Kau jangan nak pandai-pandai pergi cerita kat Kak Liza atau Kak Fit.” Sambil berkata-kata Fareez memejamkan matanya. Tidak mahu memandang wajah Qaseh yang kebasahan itu. Qaseh menangis dalam senyap. Dia terlena di dalam tangisnya.







QASEH terjaga dari tidurnya. Dia melihat jam loceng di meja sisi. Sudah pukul 5.45 pagi. Dia segera bangun dan menuju ke bilik air untuk membersihkan diri dan menunaikan solat Subuh. Selesai bersolat, dia duduk bersimpuh di atas sejadahnya dan berdoa. Dia memohon agar dilembutkan hati suaminya itu. Sudah setahun Fareez tidak bercakap dengannya. Mula-mula Fareez jarang bercakap tetapi semenjak mereka berpindah rumah, Fareez seperti tidak mahu lagi bercakap dengannya. Qaseh bangun dan melipat telekung. Disangkut di atas penyidai baju. Dia menyikat rambut yang kebasahan. Lama dia menatap wajah di cermin. Kemudian Qaseh tersedar. Dikerling ke arah jam tangan. Sudah pukul 6.30 pagi. Amirul belum dikejutkan lagi. Dia mencapai tas tangan serta beg bimbit. Dia segera keluar dari kamar tidurnya dan menuju ke bilik Amirul. Diketuk pintu tersebut perlahan-lahan. Terjengul wajah Amirul yang sudah siap berpakaian. Tersengih sahaja anak kecil itu memandang Qaseh.
“ Eh! Awal Mirul hari ni?”
“ Ayah kejutkan Mirul tadi.” Kata Amirul sambil menyandang beg sekolah di bahu. Mereka turun ke tingkat bawah secara beriringan.
“ Mirul nak makan apa pagi ni?” tanya Qaseh. Dia meletakkan tas tangan dan beg bimbitnya ke atas sofa di ruang tamu.
“ Mirul nak telur setengah masak.” Amirul menarik kerusi dan duduk di meja makan. Qaseh mencapai air panas dan direndamkan 2 biji telur ke dalam air panas tersebut. Dia membancuh air kopi serta membakar roti. Amirul turut menolong ibu tirinya itu melakukan kerja. Diletaknya mentega, jam dan kaya di atas meja makan.
Fareez menuruni anak tangga dan melintasi ruang makan. Dia langsung tidak menoleh ke arah dapur. Qaseh terperasan akan kehadiran Fareez. Dia segera menoleh memandang Fareez.
“ Abang tak makan dulu?” tanya Qaseh lemah lembut. Tiada jawapan daripada mulut lelaki itu. Qaseh mengeluh kecewa. Sudah hampir 14 bulan perkahwinan mereka. Fareez masih lagi bersikap dingin. Fareez menyarungkan kasut dan menderum pergi bersama-sama keretanya.


BERSAMBUNG.....

0 tukang komen paling setia: