BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, November 20, 2008

Dari KL ke Luxembourg 14

BAB 14

“ HELLO…Qaseh?” satu suara bertanya.
“ Qaseh bercakap di sini. Boleh saya tahu siapa di sana?” tanya Qaseh kembali. Dia tidak begitu mengenali suara yang menelefonnya.
“ Auntie Lisa ni.” Orang itu memperkenalkan dirinya.
“ Oh! Auntie. Kenapa Auntie call Qaseh?” lemah lembut Qaseh bertanya. Dia tidak mahu mengecilkan hati Puan Sri Marlisa. Sebenarnya dia banyak lagi urusan yang perlu diselesaikan. Urusan itu terganggu kerana panggilan telefon tersebut.
“ Hujung minggu ni Auntie ada buat kenduri cukur jambul. Qaseh datanglah dengan Atuk dan ajak sekali family Mak Ngah Idah.” Qaseh meneliti diari yang berada di atas mejanya. Dia harap hujung minggu ini dia tidak begitu sibuk dengan urusannya. Nampaknya tidak ada apa-apa.
“ Insya-ALLAH, Auntie. Qaseh tak janji. Tapi kalau Atuk, mesti dia pergi.”
“ Qaseh sibuk ke?”
“ Sekarang ni agak sibuk. Qaseh baru dapat projek. Jadi, busy sangat. Tapi Qaseh akan cuba pergi ke rumah Auntie.” Jelas Qaseh perkara sebenar.
“ Kalau Qaseh tak boleh pergi, tak apalah. Nak buat macam mana. Tapi jangan lupa beritahu pada Atuk dan Mak Ngah, ya?” kata Puan Sri Marlisa. Dia benar-benar mengharap Qaseh dapat menghadirkan diri. Tetapi dia juga tahu anak muda itu baru sahaja memulakan syarikatnya. Dia tidak boleh leka dalam menjalankan tugasnya.
“ Insya-ALLAH, Auntie.” Selepas itu mereka mematikan talian telefon. Qaseh bersandar pada kerusi empuknya. Kemudian dia teringat sesuatu dan segera menekan interkom.
“ Fern, masuk sekejap.” Arah Qaseh pada setiausahanya, Fernaizza. Selepas menerima arahan daripada ketuanya, Fernaizza segera masuk ke dalam bilik pejabat Qaseh dengan membawa buku catitan dan sebatang pen untuk menulis arahan daripada ketuanya.
“ Hari ni saya ada temu janji dengan Raja Zikri. So, saya nak awak tolong informkan pada Mutiara Idaman. Katakan saya nak berjumpa dengan wakil mereka secepat mungkin sebelum saya buat storyboard. Dan…satu lagi. Tolong beritahu Encik Fareez yang saya tak dapat lunch dengan dia hari ni.” Segala arahan yang baru sahaja diberikan, dicatit ke dalam buku catitan. Memang Qaseh sukakan cara Fernaizza bekerja. Kemas dan teratur. Terangguk-angguk dia menerima arahan daripada Qaseh.
“ Itu saja, Cik Qaseh?” tanya Fernaizza. Mahukan kepastian. Dia tidak mahu kerjanya tidak selesai.
“ Itu saja.” Fernaizza menuju ke pintu untuk keluar. Tetapi dia berpusing semula ke arah Qaseh apabila namanya dipanggil.
“ Saya nak keluar sekarang. Kalau ada sesiapa telefon saya, suruh dia tinggalkan pesanan.” Arah Qaseh. Tersenyum pada setiausahanya yang satu itu. Qaseh berdiri dari kerusi empuknya.
“ Baiklah, Cik Qaseh.” Fernaizza menuju semula ke pintu dan keluar daripada bilik tersebut. Dia menuju ke mejanya dan mula melakukan tugas-tugas yang baru sahaja diberikan oleh Qaseh.
Qaseh mengambil tas tangan dan beg bimbitnya yang berisi storyboard di bawah meja. Qaseh keluar dari bilik dan melintasi meja Fernaizza.
“ Cik Qaseh, wakil Mutiara Idaman nak berjumpa dengan Cik Qaseh esok pada pukul 10.00 pagi.” Fernaizza memberitahu ketuanya itu. Terkejut Qaseh. Pantasnya Fernaizza melakukan arahan yang diberikan. Tidak rugi dia mengambil Fernaizza bekerja dengannya.
“ Cepatnya awak dapat bercakap dengan wakil Mutiara Idaman.” Kata Qaseh. Fernaizza tersenyum.
“ Mungkin talian Mutiara Idaman tak sibuk.” Fernaizza bergurau. Dia senang dengan Qaseh. Boleh bergurau. Kalau dengan majikannya dahulu, bergurau sahaja sedikit sudah pasti akan ditempelak.
“ Ada-ada saja awak ni. Tolong catit dalam kalendar. Takut terlupa.” Kata Qaseh. Fernaizza mencatit temu janji untuk esok di dalam kalendar dihadapannya. Qaseh pun turut mencatit temu janji tersebut di dalam diarinya. Dia tidak mahu terlepas satu pun pelanggan-pelanggan baru. Inilah masa untuk syarikatnya kukuh berdiri. Setanding dengan syarikat-syarikat pengiklanan yang sudah sedia ada.
“ Dia nak jumpa saya kat mana?”
“ Kat Intekma Resort, UiTM Shah Alam.” Jawab Fernaizza. Qaseh mencatit di dalam diari. Kemudian, disimpan diari tersebut.
“ Oklah, saya pergi dulu.” Qaseh berjalan meninggalkan Fernaizza. Setelah kelibat Qaseh hilang dari pandangan, Fernaizza meneruskan semula kerjanya. Banyak lagi tugasan yang harus diselesaikan.
Oleh kerana syarikat Qaseh baru sahaja beroperasi, pekerjanya juga tidak ramai. Jadi, Fernaizza terpaksa melakukan bermacam-macam kerja. Dialah setiausaha, dialah pereka iklan dan dia jugalah penyambut tetamu.





QASEH memarkirkan keretanya di tempat letak kereta di KLCC. Sambil meletakkan keretanya, sempat lagi Qaseh mengomel seorang diri.
“ Nak parking sekejap pun mahal.” Qaseh keluar dari keretanya dan menuju ke arah eskalator yang disediakan. Menuju ke arah Ground Floor. Qaseh terasa malas hendak naik eskalator. Dia memilih untuk naik lif. Qaseh menekan butang untuk naik ke tingkat atas. Pintu lif tersebut terbuka dan Qaseh masuk ke dalam. Lif itu sesak dengan orang ramai yang datang ke KLCC pada waktu tengah hari untuk menjamu selera. Tangannya tidak sampai. Dia terpaksa meminta tolong kepada orang yang paling hampir dengan butang lif tersebut. Diucapkan terima kasih. Sebaik sahaja lif itu sampai di tingkat 1, berpusu-pusu orang ramai keluar daripada lif tersebut. Qaseh juga turut berebut untuk keluar. Belum sempat Qaseh keluar, pengunjung-pengunjung kompleks membeli-belah itu yang sedang menunggu di luar menolak Qaseh dan dia tertolak semula ke dalam lif tersebut. Qaseh tidak ada cara lain lagi. Kalau bercakap elok, tentu mereka tidak dengar. Satu sahaja caranya.
“ Boleh tak bagi orang lain keluar dulu? Tak larinya lif ni.” Qaseh berkata separuh menjerit. Semua mata yang ada di situ memandangnya. Termasuk pelancong-pelancong asing. Tebal mukanya. Hilang sudah keayuannya. Mereka memberi laluan kepada Qaseh untuk keluar. Ada yang berbisik, ada yang ketawa dan tidak kurang juga ada yang mencebik pada Qaseh. Tetapi dia buat tidak tahu sahaja. Buat apa dilayan mereka semua. Buek habih beras ajo, bisik Qaseh di dalam hati.
Pantas kakinya menuju ke arah Restoran Chinoz In The Park yang terletak di pintu keluar KLCC. Tercari-cari wajah pelanggannya. Jumpa. Dia segera menuju ke arah pelanggan yang sedang menunggunya. Dia terasa segan. Sepatutnya dialah sampai dahulu. Ini tidak, pelanggan sampai dahulu sebelum dia.
“ Sorry, Raja. Lambat sikit.” Qaseh meminta maaf. Dia tahu itu silapnya.
“ It’s ok. Saya pun baru sampai.” Kata-kata Raja Zikri itu melegakan hatinya. Dia tercari-cari wajah seseorang.
“ Raja kata Raja bawak isteri sekali. Dimana dia? Tak nampak pun.” Mata Qaseh melilau ke sekeliling restoran tersebut.
“ Kejap lagi dia sampailah tu.” Qaseh meletakkan beg bimbitnya di atas kerusi. Raja Zikri tersenyum memandangnya.
“ Silakan duduk.” Pelawa Raja Zikri.
“ Terima kasih.” Qaseh terus sahaja melabuhkan punggungnya di atas kerusi. Raja Zikri mengangguk perlahan.
“ Shall we begin?” tanya Qaseh. Membuka zip beg bimbitnya.
“ Kita order dulu makanan.” Raja Zikri melambai ke arah seorang pelayan. Pelayan tersebut menuju ke arah mereka.
“ Macam biasa, Raja?” tanya pelayan tersebut. Qaseh memandang pelayan itu. Pelik dengan pertanyaan pelayan itu. Raja Zikri yang terperasan riak wajah Qaseh segera menerangkan perkara sebenar.
“ Saya dan isteri saya selalu makan kat sini.” Kata Raja Zikri. Qaseh memandang wajah Raja Zikri dan mengangguk. Kemudian tersenyum. Pelayan tersebut memegang menu di tangannya. Diserahkan kepada Raja Zikri dan Qaseh. Qaseh meneliti menu tersebut. Mahalnya makanan di sini. Dia menelan air liur seketika. Tak apalah. Sekali-sekala, kata Qaseh sendirian.
“ Hari ni saya nak tukar selera. Bagi saya Sirloin Steak.” Raja Zikri menyerahkan semula menu tersebut. Qaseh masih lagi tercari-cari makanan yang sedap dan boleh melalui ‘tekak’ Melayunya. Dia jarang menjamu makanan Barat. Selalunya masakan kampung dan Laksa sahaja menjadi santapannya.
“ Drinks?” memang kebiasaan pelayan itu akan bertanya soalan yang sama kepada setiap pelanggannya.
“ Mocha Ice.”
“ Untuk Tengku?” tanya pelayan itu lagi.
“ Macam biasa.” Ujar Raja Zikri. Pelayan itu mencatit sesuatu di atas kertas memesan makanan.
“ Cik?” pelayan itu menanya kepada Qaseh.
“ Bagi saya Chicken Chop.” Itu sahaja yang rasanya mampu mengenyangkan seleranya. Diserahkan semula menu tersebut kepada pelayan itu.
“ Drinks?”
“ Apple juice.” Pelayan tersebut hendak beredar untuk memberi pesanan pelanggan kepada tukang masak di dapur.
“ Chicken Chop?” tanya Raja Zikri. Pelayan itu tidak jadi hendak beredar. Dia memaling semula ke arah mereka berdua.
“ That’s a normal dish. Kenapa tak order sesuatu yang tak dapat kat restoran lain?” tanya Raja Zikri. Qaseh tersenyum sumbing.
“ Saya memang suka Chicken Chop.” Kata Qaseh. Dia tidak mahu memilih makanan lain. Kalau dia pilih lain, takut nanti tidak terhabis pula. Pelayan tersebut segera beredar.
“ Sekarang ni, Chicken Chop boleh dapat kat mana-mana saja. Even the mamak’s stall also you can get it.” Ujar Raja Zikri. Qaseh terasa kerdil dihadapan Raja Zikri. Mungkin kerabat diraja yang seorang ini selalu makan makanan yang mewah. Qaseh makan ala kadar sahaja. Janji dapat mengalas perut. Qaseh memandang ke sekeliling restoran.
“ Itu isteri saya dah sampai.” Tuding Raja Zikri ke arah seorang perempuan. Qaseh mengalihkan pandangannya ke arah yang ditunjukkan oleh Raja Zikri. Dia seperti pernah nampak perempuan tersebut. Tetapi dimana, ya? Tergaru-garu Qaseh mencari jawapan.
“ Sorry, Yang. Lambat. Jalan jam.” Isteri Raja Zikri duduk disebelahnya. Wanita itu penuh elegan. Berjalannya pun ada gaya. Dia memang seperti pernah berjumpa perempuan itu. Dia masih tidak dapat jawapannya lagi.
“ Qaseh, kenalkan isteri saya, Tengku Nadirah. Nad, this is the designer for our company.” Raja Zikri memperkenalkan Qaseh kepada Tengku Nadirah. Mereka bersalaman. Seketika kemudian, Tengku Nadirah terpana.
“ Qaseh?” tanya Tengku Nadirah tidak percaya.
“ Nad…” mereka berpelukan. Raja Zikri terpinga-pinga. Tidak faham dengan kejadian yang berlaku dihadapannya. Orang ramai yang menjamu selera di dalam kedai tersebut turut menyaksikan mereka berdua. Mereka meleraikan pelukan. Duduk di tempat masing-masing.
“ Lama tak jumpa kau. Kau kemana sebenarnya?” tanya Tengku Nadirah. Dia sudah lama tidak berjumpa dengan rakan baiknya sewaktu zaman persekolahan. Selalu tertanya-tanya di dalam fikirannya. Kemanakah menghilang Qaseh selama ini? Tidak sangka dia akan berjumpa dengan Qaseh kembali. Setelah beberapa lama.
“ Aku tak kemana. Aku kat sinilah.”
“ Aku try call kau. Tapi Atuk cakap kau ada kat Luxembourg. Kau buat apa kat sana, hah?” becok mulut Tengku Nadirah bertanya.
“ Aku tak buat apa. Cuci mata. Kata ramai orang kulit putih kat sana. Manalah tahu, kalau sangkut sorang.” Qaseh berseloroh. Tengku Nadirah memasamkan mukanya.
“ Kau ni, main-main tau.” Tengku Nadirah pura-pura merajuk.
“ Aku gurau sikit pun tak boleh. Aku nak buat apa lagi. Belajarlah. Aku ambil advertising.” Qaseh menjawab soalan Tengku Nadirah dengan gaya percakapannya sewaktu di zaman persekolahan. Manja dan periang. Lupa sebentar dia pada Raja Zikri. Seronok dapat berjumpa Tengku Nadirah. Mereka asyik bersembang sehingga lupa akan tujuan mereka berjumpa. Makanan yang dipesan pun sampai. Lagilah rancak mereka bersembang.
“ Wei, Zeke…Nad…” panggil satu suara. Terhenti perbualan Qaseh dan Tengku Nadirah. Mereka berdua mengalihkan pandangan ke arah tetamu yang baru sahaja tiba.
“ Syukur, Alhamdulillah. Kau dah sampai, Fareez. Kalau tak, aku macam orang bodohlah kat sini. Tercongok sorang-sorang.” Kata-kata Raja Zikri meledakkan tawa Tengku Nadirah dan Qaseh.
“ Awak tengok. Saya pun dah ada orang nak bersembang.” Ujar Raja Zikri. Tengku Nadirah mencebikkan bibirnya.
“ Eh, Qaseh?” Fareez cuba mengecam gadis dihadapannya. Qaseh tersenyum manis ke arah Fareez.
“ Kau kenal dia ke?” tanya Raja Zikri.
“ Kenal. Dialah yang commercialise syarikat aku.” Raja Zikri mengangguk mendengar penjelasan Fareez. Fareez duduk disebelah Qaseh.
“ Qaseh kata tak dapat lunch dengan saya.”
“ Sebab saya nak berjumpa dengan pelanggan saya.” Ujar Qaseh. Fareez memesan makanan. Seketika kemudian, makanan yang dipesan sampai. Leka mereka berempat bersembang. Selesai menjamu selera, Raja Zikri memesan pencuci mulut.
“ Hmm….Raja, boleh kita mulakan sekarang?” tanya Qaseh. Raja Zikri mengangguk memandang Qaseh. Qaseh mengeluarkan storyboard yang sudah disiapkan untuk ditunjukkan kepada Raja Zikri dan Tengku Nadirah. Satu persatu storyboard dilihat oleh Raja Zikri.
“ I like your creative mind. This is perfect. What do you think, honey?” tanya Raja Zikri kepada Tengku Nadirah. Ditunjukkan storyboard tersebut kepada isteri di sebelahnya.
“ Awak sajalah yang buat keputusan. Saya tak pandai sangat tentang benda-benda ni semua.” Tengku Nadirah menyerahkan semua keputusan kepada suaminya. Raja Zikri lebih mahir dalam soal-soal komersial ini.
“ I want to change the colour. It’s too…dull.” Raja Zikri sukakan warna-warna cerah.
“ Ok. Lepas saya perbaiki, nanti saya tunjukkan pada Raja.”
“ Ok. Mmm…Qaseh kawan dengan Nad, kan?”
“ Ya. Kenapa, Raja?”
“ Kalau dengan Nad, Qaseh tak panggil Tengku. Dengan saya pun tak payahlah Raja. Panggil saja Zeke….Z.E.K.E…Zeke.” Raja Zikri peramah orangnya. Qaseh tersenyum dan mengangguk.
“ Awak tak ingat ke?” tanya Tengku Nadirah. Raja Zikri memandang wajah isterinya dengan kerutan di dahi.
“ Ingat apa?”
“ Masa awak dan Fareez datang KLCC untuk makan. Lea pun ada sekali. And then, saya datang dan kita bercakap-cakap. Lepas tu, baru saya introduce Qaseh pada you guys. Ingat tak?” Tengku Nadirah memutarkan kembali memori mereka berdua. Fareez teringat sesuatu.
“ Ooo…yang pakai baju kurung tu?” Fareez bertanya inginkan kepastian. Tengku Nadirah mengangguk pantas.
“ Patutlah macam pernah tengok. Saya ingatkan girlfriend lama saya.” Kata-kata Raja Zikri dibalas dengan cubitan lembut dipahanya oleh isteri tersayang.
“ Gatal.” Getus Tengku Nadirah. Geram. Ketawa Raja Zikri dan Fareez meledak. Qaseh tersenyum kecil. Masih teringat lagi di zaman sekolahnya dahulu. Tidak ada yang berubah pada diri Tengku Nadirah.
Tengku Nadirah terkenal dengan gelaran playgirlnya semasa di sekolah kerana berkawan dengan pelajar-pelajar lelaki di sekolah tersebut. Qaseh pula lebih dikenali sebagai sidekick Tengku Nadirah. Dimana ada Tengku Nadirah, di situlah akan ada Qaseh. Ada juga antara rakan-rakan lelaki Tengku Nadirah meminati Qaseh, tetapi dibuat endah tak endah sahaja. Pernah cuba diperkenalkan tetapi jawapan Qaseh tetap sama, masih belajar. Belum sampai masanya untuk bercinta. Tetapi akhirnya, Qaseh tertewas pada seorang lelaki sahaja di zaman persekolahan. Ashwad. Nama yang sentiasa melekat di bibir Qaseh sewaktu mereka sedang hangat memadu kasih. Naik menyampah Tengku Nadirah mendengar nama itu. Asyik-asyik Ashwad. Bosanlah dia. Selepas putus cinta dengan Ashwad, hati Qaseh seolah-olah tertutup untuk menyambut huluran cinta daripada lelaki. Baginya, semua lelaki sama sahaja. Tengku Nadirah cuba memujuk Qaseh untuk berkawan dengan sepupu Tengku Nadirah yang tergila-gilakannya. Qaseh buat tidak layan. Sudah lama perkara itu berlaku tetapi Qaseh masih lagi bersendirian. Entah siapalah yang ditunggunya. Mungkin putera raja dari kayangan, agaknya.
Gelak ketawa mereka bertiga memecahkan lamunan Qaseh. Tersenyum Qaseh pada Tengku Nadirah. Ketawa Tengku Nadirah masih seperti dahulu. Kuat. Lagaknya tidak seperti kerabat diraja. Dipandang wajah Fareez yang menghabiskan sisa-sisa tawanya. Wajah Fareez yang putih itu menjadi kemerah-merahan kerana terlalu banyak ketawa. Leka Qaseh meneliti wajah di sebelahnya. Tengku Nadirah menendang kaki Qaseh dengan perlahan. Terjaga dari lamunannya. Nasib baik Fareez tidak perasan. Memandang Tengku Nadirah. Tengku Nadirah tersenyum sinis. Qaseh mengalihkan pandangannya ke arah lain. Dia melihat sekilas jam di tangan.
“ Aku minta diri dulu, Nad.” Kata Qaseh sambil mengemas storyboard dan dimasukkan ke dalam beg bimbitnya.
“ Awal lagi ni. Kau ambil je cuti half day.” Ujar Tengku Nadirah.
“ Tak bolehlah, Nad. Aku ketua kat syarikat sekarang. Kalau aku tunjukkan prestasi yang tak bagus, macam mana aku nak jadikan diri aku teladan kepada pekerja-pekerja aku.” Ada benarnya kata Qaseh.
“ Kau tahu nombor phone aku, kan? Sesenang call lah aku.” Kata Tengku Nadirah. Akhirnya mengalah pada Qaseh.
“ Kau masih pakai nombor lama?”
“ Yup. Cuma kau tu aje yang malas nak call aku. Yalah. Mana nak ingat kita lagi. Dah buka syarikat baru pun tak nak beritahu kita. Siapalah aku.” Kata Tengku Nadirah. Seperti merajuk sahaja bunyinya. Qaseh dan Tengku Nadirah berdiri. Mereka berpelukan sebentar sebelum Qaseh beredar dari situ. Pelukan dileraikan. Qaseh menggenggam jari jemari Tengku Nadirah.
“ Kau jangan merajuk. Aku janji, aku akan call kau.” Janji Qaseh.
“ Kau jangan tak call aku.” Pesan Tengku Nadirah sekali lagi. Qaseh tersenyum dan mengangguk.

BERSAMBUNG.....

0 tukang komen paling setia: