BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, November 21, 2008

Dari KL ke Luxembourg 25

PADA hari yang dijanjikan, Ashwad keluar makan tengah hari bersama Qaseh. Ashwad beria-ia hendak menjemput Qaseh dari pejabatnya tetapi Qaseh menolak dengan alasan dia hendak berjumpa pelanggan selepas makan tengah hari bersama Ashwad. Qaseh memasuki Restoran Pelita dan memerhati di sekeliling. Memang ramai pelanggan restoran tersebut. Dia mencari kelibat Ashwad. Seorang lelaki melambai tangan ke arahnya. Laju sahaja kaki Qaseh menuju ke arah lelaki tersebut. Dia menarik kerusi dan duduk di hadapan Ashwad.
“ Wad ingat Qaseh tak dapat datang.”
“ Well…I’m here now.” Qaseh bercakap dengan kasar.
“ Kenapa Qaseh sekarang ni? Qaseh macam tak suka nak keluar dengan Wad.” Ashwad memandang muka Qaseh. Dia mendengus kuat.
“ Memang saya tak suka keluar dengan awak.”
“ Kenapa Qaseh? Apa salah Wad sampai Qaseh tak suka nak keluar dengan Wad?” pertanyaan Ashwad dirasakan sangat kelakar.
“ Awak tanya saya? Patutnya awak dah tahu jawapan untuk soalan tu.” Qaseh berkata. Dia tidak memandang langsung muka Ashwad.
“ Wad tak faham.” Kata Ashwad. Qaseh memandang muka lelaki dihadapannya itu.
“ Saya dah kahwin. Tak manis isteri orang keluar dengan bujang.” Qaseh mengalihkan pandangannya semula ke tempat lain.
“ Tapi rahsia perkahwinan Qaseh, Wad tahu.”
“ Apa yang awak tahu?” Qaseh terkejut dengan kenyataan Ashwad.
“ Wad tahu, Qaseh tak suka dengan Abang Fareez. Abang Fareez tak cintakan Qaseh. Tapi sebab sebenar kenapa Qaseh kahwin dengan Abang Fareez, Wad masih tak tahu.” Ashwad tersenyum sinis. Qaseh mengeluh. Apa yang Ashwad tahu mengenai perkahwinannya?
“ Tolonglah. Walau apapun sebabnya saya kahwin dengan Abang Fareez, saya sayang dan cintakan dia. Awak jangan persoalkan lagi perasaan kami.” Qaseh memandang ke sekeliling restoran. Dia dapat rasakan ada mata yang sedang memandang mereka. Matanya tertancap pada seorang lelaki yang segak berbaju kemeja sedang menjamu selera. Jantungnya berhenti berdegup. Nafas terasa sesak.
“ Tapi Qaseh….Wad sayangkan Qaseh.” Tiada respon dari Qaseh apabila Ashwad berkata begitu kepada gadis dihadapannya. Qaseh masih memandang ke arah seorang lelaki. Lelaki itu memandang Qaseh dengan pandangan tajam. Ashwad memegang tangan Qaseh. Dia terkejut. Segera dia menarik semula tangannya. Ashwad turut mengekori pandangan mata Qaseh. Ashwad terkedu. Dia tidak menyangka akan terserempak dengan Fareez. Kenapalah dalam banyak-banyak restoran mereka boleh terserempak di situ?
Fareez menuju ke arah mereka. Adib cuba menahan Fareez dari bertindak ganas. Fareez menepis kasar tangan itu. Adib mengikuti Fareez. Dia tidak mahu sepupunya itu membuat kacau di situ.
“ Apa Wad buat kat sini?” tanya Fareez sambil tersenyum sedangkan hatinya sudah membara. Qaseh gelisah di tempat duduk.
“ Wad jumpa kawan.” Ashwad menjawab takut-takut. Fareez mengalihkan pandangannya kepada Qaseh. Tersenyum. Qaseh tidak berani mengangkat mukanya memandang Fareez.
“ Wad tahu dia isteri orang?” tanya Fareez lagi.
“ Tahu, Bang.”
“ Kalau tahu, kenapa Wad keluar lagi dengan dia?” Fareez memandang tajam. Seperti hendak ditelannya sahaja Ashwad.
“ Wad tak kerja hari ni?” Adib segera mencelah. Dia tahu ada bahang kemarahan dalam nada Fareez.
“ Kerja.” Ringkas jawapan Ashwad.
“ Kenapa tak pergi airport lagi? Ong rasa perbualan Wad dan Qaseh dah tamat. Lebih baik Wad pergi airport.” Adib menepuk bahu Ashwad dan mengajaknya beredar dari situ. Ashwad seperti faham akan isyarat tersebut menuruti abangnya. Fareez mencengkam lengan Qaseh dan menarik Qaseh keluar dari restoran tersebut. Wajah Qaseh berkerut menahan kesakitan. Pelanggan yang sedang menjamu selera di dalam kedia itu turut memandang Fareez dan Qaseh. Mereka yakin ada sesuatu yang sedang berlaku di antara dua orang itu.
“ Kau ikut aku balik rumah sekarang jugak!” kata Fareez perlahan.
“ Tapi Bang…Qaseh bawak kereta.”
“ Kau pergi ambil kereta kau dan ikut aku balik rumah sekarang jugak.” Fareez berkata sambil mengetap giginya. Qaseh segera berlalu. Kereta Fareez menderum pergi. Qaseh mendapatkan keretanya yang diletakkan dibawah sepohon pokok dan menuju ke destinasi yang sudah pasti.






QASEH memarkirkan keretanya di sebelah kereta Fareez. Pintu garaj ditutup semula. Perlahan-lahan Qaseh menapak masuk ke dalam rumah. Fareez sedang menunggu Qaseh di ruang tamu. Qaseh berjalan ke arah suaminya. Fareez merenung wajah Qaseh tidak berkelip. Qaseh duduk di atas sofa Itali yang dibeli oleh Fareez ketika dia melancong bersama Shilea. Qaseh memandang wajah Fareez yang bengis itu. Kemudian, Qaseh menekur pandangan ke lantai.
“ Apa hubungan kau dengan Ashwad?” tanya Fareez dengan suara yang mendatar. Qaseh mengangkat muka. Cuba melawan pandangan Fareez tetapi gagal. Dia kembali memandang lantai.
“ Kawan satu sekolah.” Perlahan sahaja suaranya menjawab pertanyaan Fareez. Fareez memandang Qaseh dengan tajam.
“ Kau selalu jumpa dia?” tanya Fareez lagi. Qaseh menggeleng pantas.
“ Tapi kalau dia call, kau mesti keluar kan?” Fareez bertanya lagi tetapi kali ini suaranya sengaja ditinggikan. Qaseh terkejut. Fareez sudah dapat tahukah? Qaseh menggeleng lagi. Menutup kebenaran melalui pembohongan yang diciptanya.
“ Kau jangan nak menipu aku. Aku bukan bodohlah. Aku tahu segala-galanya mengenai kisah percintaan kau dengan Ashwad. Isteri jenis apa kau ni, hah? Bila kekasih lama datang menagih kasih, kau pun terhegeh-hegeh nak balik ke pangkuannya. Hei, perempuan! Kau kena ingat sikit. Kau tu isteri orang. Selagi aku tak lepaskan kau, selagi itulah kau masih isteri aku. Kau faham? Aku dah tak nak dengar kau buat skandal belakang aku lagi. Semua perempuan sama saja.” Lantang Fareez berkata-kata. Kecut perut Qaseh apabila mendengar suara Fareez seperti halilintar memecah bumi.
“ Abang jangan cakap macam tu. Saya tak macam perempuan lain. Saya tak sama dengan Shilea.” Kata Qaseh. Dia membela dirinya. Tidak suka maruah diri dipijak-pijak. Fareez memandang Qaseh tajam.
“ Kau jangan sebut nama dia lagi. Kau ni kan suka sangat buat aku naik darah. Kau dah lama tak makan penampar, ya?” Fareez berkata. Qaseh mendiamkan diri. Dia tidak berani melawan kata-kata suaminya lagi.
“ Sekali lagi kau sebut nama dia, tahulah nasib kau.” Kata-kata Fareez seolah mengugut Qaseh.
Fareez beredar dari ruang tamu setelah dia selesai memaki hamun Qaseh. Qaseh terduduk di atas kerusi. Menangisi nasibnya. Menyesalkah dia berkahwin dengan lelaki yang dia tidak tahu perangai sebenarnya? Dia sendiri tidak pasti. Tapi yang pasti, dia semakin mencintai lelaki itu. Entah kenapa perasaannya sukar dikikis walaupun sudah bermacam-macam cara yang dilakukan oleh lelaki itu untuk menyakiti hati Qaseh. Nasib baik Amirul tiada di rumah. Amirul berada di rumah Tan Sri Firdaus dan Puan Sri Marlisa. Sebab Fareez menghantar Amirul ke rumah ibubapanya, Qaseh tidak tahu. Segala apa yang dilakukan oleh Fareez tidak pernah diberitahu kepada Qaseh.
Perlahan-lahan kakinya melangkah menuju ke tingkat atas. Qaseh merebahkan diri ke atas katil. Mata ditala ke arah siling. Fikirannya melayang-layang. Entah bila masa dia sendiri kurang pasti, dia terlelap.






FAREEZ mundar-mandir di dalam bilik. Hatinya tidak senang dengan renungan, senyuman dan cara bercakap Ashwad. Dan yang paling kurang senang, sentuhan yang Ashwad lakukan terhadap isterinya. Ashwad ingat Qaseh boleh dipegang sesuka hati. Qaseh isteri aku, jerit Fareez di dalam hati. Ada satu perasaan aneh yang menjalar di dalam hatinya. Dia sendiri kurang pasti perasaan apakah itu. Hanya satu perkara sahaja yang dia pasti iaitu dia tidak suka Qaseh berjumpa dengan Ashwad. Dia menganggap Ashwad sebagai saingannya kerana wajah yang ala-ala model itu mampu memikat hati mana-mana perempuan. Fareez tidak senang duduk. Sekejap berdiri, sekejap baring. Dia mesti berbuat sesuatu untuk mengikat Qaseh. Dia berbaring di atas sofa. Meletakkan tangan di atas dahi. Apakah ini cinta? Tidak mungkin. Suatu perasaan yang bernama cinta tiada lagi di dalam kamus Amer Fareez. Cintanya sudah mati sewaktu Shilea mengkhianati perasaan suci yang pernah diberikan olehnya kepada bekas isterinya itu. Perasaan kasih sayang dan cinta sudah pudar semasa Shilea curang dan pergi kepada kawan baiknya sendiri. Perasaan itu tidak wujud lagi. Kini, adakah perasaan itu muncul kembali? Adakah cinta datang lagi? Fareez mengeluh. Dia sendiri tidak tahu. Bagaimana hendak mentafsirkan perasaannya yang satu ini? Cinta? Kasih? Kasihan? Atau simpati? Entahlah. Biar masa yang menentukan perasaan ini. Perlahan-lahan dia memejamkan mata. Berharap perasaan ini akan pergi dengan segera.
Azan Maghrib berkumandang dari masjid berdekatan dengan rumah mereka. Fareez terjaga dan segera bangun dari tidurnya untuk membersihkan diri. Sampai sekarang dia belum mandi. Fareez terlena dengan badan yang melekit dan perasaan bercelaru. Dia mencapai tuala yang disangkut di atas penyidai. Selepas membersihkan diri, Fareez menunaikan solat Maghrib. Selesai sahaja bersolat, Fareez keluar dari biliknya dan menuju ke tingkat bawah. Sewaktu melintasi bilik Qaseh, dilihatnya Qaseh sedang bersolat. Matanya melekap pada wajah Qaseh yang putih bersih. Wajah yang sentiasa berseri walaupun hatinya terluka. Benarlah kata orang. Tidak perlu bersolek tebal-tebal untul mencantikkan wajah. Cukup sekadar dengan mengambil air wuduk. Qaseh mengangkat tangan untuk berdoa. Fareez masih lagi menatap wajah putih bersih itu.
Fareez berselindung di sebalik pintu apabila dia perasan bahawa Qaseh sedar akan kehadirannya. Fareez segera turun ke tingkat bawah dan menuju ke ruang tamu untuk menonton televisyen. Dipasang suis televisyen. Matanya dihalakan ke arah ruang skrin televisyen tersebut tetapi fokusnya tidak ke situ. Derapan kaki Qaseh kedengaran sedang turun tangga dan menuju ke arah Fareez.
“ Abang nak makan? Qaseh dah siapkan makanan.” Terketar-ketar suara Qaseh. Dia tidak tahu apa pula mood suaminya kali ini.
“ Hmm…” itu sahaja kata-kata Fareez. Qaseh berlalu ke dapur. Dia segera menghidangkan makanan yang sudah dimasaknya itu ke atas meja makan.
“ Abang, makanan dah siap.” Qaseh berkata sambil berdiri di sebelah Fareez. Lucu pula Fareez melihat gelagat Qaseh yang seperti orang gaji itu. Fareez berjalan ke arah ruang makan tanpa berkata sepatah perkataan pun. Qaseh membuntuti suaminya itu seperti orang bodoh.
Qaseh menghulurkan pinggan yang berisi nasi kepada Fareez. Fareez menyambutnya dan segera mengambil lauk-pauk yang terhidang enak di atas meja. Dari tengah hari tadi dia tidak menjamah sebutir nasi. Setelah melihat perbuatan Qaseh, hilang terus seleranya.
Begitu berselera Fareez menyuap nasi ke mulut. Qaseh berdiri tegak di sebelah Fareez. Tidak berani menyertai suaminya itu.
“ Duduklah sekali.” Suara Fareez jelas kedengaran di cuping telinga Qaseh. Dia memandang Fareez yang masih meneruskan lagi suapan di mulut tetapi Qaseh segera menarik kerusi dan duduk berhadapan dengan Fareez. Mengambil pinggan dan menceduk nasi ke dalam pinggan. Dia turut menjamu selera. Perut berkeroncong tetapi tidak berani menyertai Fareez untuk makan malam. Nanti kena sergah lagi. Apabila Fareez menjemputnya makan sekali, Qaseh agak terkejut dengan perbuatan Fareez. Tidak pernah Fareez bersikap begitu.
Selesai mereka berdua menjamu selera, Qaseh mengemas meja makan dan menyediakan pencuci mulut. Qaseh tahu pencuci mulut kegemaran Fareez ialah serawa pisang. Awal-awal lagi sudah disediakan pencuci mulut tersebut. Diceduk serawa yang masih berasap itu ke dalam mangkuk. Diletakkan di atas dulang dan membawa dulang yang berisi semangkuk serawa ke ruang tamu di mana tempat Fareez merehatkan badan. Qaseh melihat Fareez sedang memejamkan matanya. Dia meletakkan dulang tersebut ke atas meja dengan perlahan-lahan. Diamati wajah suaminya sebentar. Wajah itu sangat tenang di dalam lenanya. Lebih kacak berwajah tenang dari berwajah bengis. Mengapa Fareez selalu menunjukkan muka masamnya? Adakah dia mengahwiniku kerana terpaksa? Kenapa dia tidak membantah perkahwinan ini kalau dia rasa perkahwinan ini sepatutnya tidak berlaku? Atau adakah dia juga sudah jatuh cinta terhadap diriku? Pertanyaan demi pertanyaan berlegar di dalam kepala Qaseh. Sukar menafsir perasaan lelaki dihadapannya.
Fareez menggerak-gerakkan sedikit badannya supaya dia berasa selesa dengan posisi yang betul. Qaseh kembali tercegat. Fareez masih tidak membuka matanya. Benarkah Fareez sudah tidur? Seketika kemudian, Fareez mencelikkan mata dan memandang Qaseh yang masih berdiri tercegat dihadapannya. Fareez berdehem. Mengejutkan Qaseh dari lamunan.
“ Abang makanlah. Qaseh baru buat.” Qaseh menghulurkan mangkuk tersebut kepada Fareez. Fareez menyambutnya dan menyuap serawa pisang yang masih panas tersebut ke mulut. Sedap jugak, hati Fareez berkata-kata.
“ Ok tak, Bang?” tanya Qaseh. Sudah lama dia tidak menyediakan pencuci mulut serawa pisang. Cara-cara membuat serawa pisang pun Qaseh ingat-ingat lupa.
“ Mmm….” Itu sahaja yang dapat diperkatakan oleh Fareez. Qaseh menatang dulang tersebut ke dapur. Menyelesaikan kerja-kerja mengemas dapur. Membasuh pinggan mangkuk dan mengemas apa-apa yang patut.
Fareez menyandarkan badan yang kekenyangan selepas menjamu selera dan menjamu pencuci mulut yang dibuat oleh isterinya. Tidak disangka Qaseh pandai memasak. Selalu Fareez tidak pernah makan di rumah. Tidak pernah menjamah masakan yang dibuat daripada air tangan Qaseh sendiri. Inilah kali pertama dia merasainya. Boleh tahan untuk orang yang kuat bekerja seperti Qaseh walaupun bukanlah selalu Qaseh memasak. Sesekali mata Fareez meninjau keadaan isteri yang berada di dapur. Leka Qaseh melakukan kerja-kerja sehingga tidak disedari bahawa dirinya sedang menjadi perhatian seseorang.
Fareez menutup televisyen dan menuju ke tingkat atas. Sempat dia mengerling ke arah dapur. Qaseh masih melakukan kerja-kerja mengemasnya. Tidak sedar Fareez sudah beredar.
Selesai mengemas, Qaseh menutup suis lampu dapur. Matanya meninjau ke arah ruang tamu. Tiada orang di situ. Mungkin Fareez sudah naik ke atas. Fikir Qaseh sendirian. Kakinya juga ingin melangkah ke tingkat atas. Dia menutup suis lampu ruang tamu. Semasa dia mendaki tangga, bahunya dilanggar seseorang. Hampir sahaja dia jatuh tersungkur. Tetapi dia sempat disambut. Dengusan nafas itu cukup untuk membuatkan Qaseh tahu bahawa itu adalah Fareez.
“ Qaseh okey ke?” tanya Fareez. Qaseh berdiri untuk mengimbangi dirinya semula. Qaseh cuba berdiri dengan stabil.
“ Okey, Bang. Qaseh minta maaf sebab tutup lampu.” Qaseh menjelaskan sebelum dia kena marah.
“ Tak apa. Abang dahaga. Tu sebabnya Abang turun.” Kata Fareez. Qaseh mengerutkan dahi apabila mendengar kata-kata Fareez. Abang? Fareez sudah mula membahasakan dirinya Abang? Tetapi nasib baik gelap. Jadi Fareez tidak nampak kerutan di dahinya.
Tiba-tiba lampu ruang tamu terbuka dan cerah. Qaseh mengecilkan sedikit matanya memandang Fareez yang sedang memandangnya.
“ Abang nak Qaseh buatkan air untuk Abang?”
“ Tak payah. Abang boleh buat sendiri. Qaseh pergilah naik tidur.”
“ Baiklah, Abang.” Qaseh berpaling dan mendaki semula tangga untuk ke bilik tidurnya. Perasaan tertanya-tanya masih ada.
Qaseh menghempas badan di atas katil empuknya. Fikirannya berputar-putar. Memikirkan pasal Fareez. Kenapa tiba-tiba sahaja Fareez berubah menjadi seorang yang baik dengannya? Adakah Fareez sekadar ingin mengujinya? Tetapi untuk apa diuji?





QASEH bangun pagi untuk menyiapkan sarapan dan dihidangkan di atas meja. Dia menyediakan nasi lemak kegemaran Fareez. Turun sahaja Fareez ke tingkat bawah, dia terus menuju ke ruang makan. Seperti terhidu aroma nasi lemak. Dia menarik kerusi dan terus sahaja duduk. Qaseh menceduk nasi lemak ke dalam pinggan dan diserahkan kepada Fareez. Segera Fareez mencapai pinggan itu dan menceduk sambal sotong dan ikan bilis serta telur goreng. Qaseh berdiri tercegat memandang Fareez yang begitu berselera makan. Fareez tersedar dirinya sedang diperhatikan. Dia mengangkat muka memandang Qaseh. Qaseh segera mengalihkan pandangan ke tempat lain.
“ Qaseh tak makan sekali?”
“ Tak apalah, Bang. Kejap lagi.”
“ Jemputlah makan sekali. Duduk. Kita makan bersama.” Ajak Fareez. Qaseh tersenyum kecil. Dia mengambil pinggan dan menceduk sedikit nasi lemak itu dan menjamu selera dengan perasaan yang sukar untuk ditafsirkan. Qaseh tidak pernah membayangkan bahawa dia akan duduk semeja makan bersama suami yang sudah dikahwininya lebih daripada 2 tahun.
“ Qaseh tak pergi kerja ke hari ni?” tanya Fareez tiba-tiba.
“ Ermm…pergi, Bang.”
“ Habis tu, kenapa Qaseh macam tak bersiap lagi?”
“ Hari ni masuk lewat sikit. Nak jumpa client dulu.” Jelas Qaseh. Perlahan-lahan dia menyuap nasi lemak itu ke mulutnya.
“ Hhmm…hari ni Abang pergi ambil Mirul kat rumah Ummi.”
“ Ye ke, Bang? Qaseh pun dah rindu sangat kat Mirul ni.” Ujar Qaseh.
“ Qaseh sibuk tak hujung minggu ni?”
“ Tak, Bang.” Jawab Qaseh. Fareez terdiam.
“ Kenapa Abang tanya?” tanya Qaseh pula. Tiada respon dari Fareez. Lelaki itu sedang sibuk mengisi perutnya. Qaseh tidak berani menyambung cakapnya. Dia hanya mendiamkan diri sahaja. Menunggu Fareez untuk bersuara.
“ Abang kena outstation hujung minggu ni. Hong Kong. Qaseh boleh ke jaga Mirul seorang diri kat rumah ni?” Fareez bertanya tiba-tiba. Qaseh mengangguk perlahan dan tersenyum.
“ Kalau tak, Abang ingat Qaseh pergilah rumah Ummi.”
“ Tak apa, Bang. Abang jangan risaukan Qaseh. Qaseh boleh jaga Mirul kat sini.” Kata Qaseh.
“ Are you sure?”
“ Ya, I’m sure. Berapa lama Abang nak pergi?”
“ Seminggu. Betul ke ni Qaseh boleh duduk dengan Amirul je dalam rumah ni?” tanya Fareez sekali lagi. Dia tidak mahu menyusahkan Qaseh.
“ Betul, Bang.”
“ Kalau Qaseh tak nak pergi rumah Ummi, Qaseh pergilah rumah Mak Ngah Idah.” Ujar Fareez lagi. Qaseh menggeleng.
“ Qaseh tak nak menyusahkan sesiapa pun. Qaseh boleh jaga Amirul. Abang janganlah risau. Qaseh tak apa-apa.” Qaseh sedaya-upaya menolak cadangan Fareez. Dia tidak mahu menyusahkan ibu dan bapa mertuanya. Cukuplah hari bekerja Puan Sri Marlisa menjaga Amirul. Bila tiba hujung minggu, gilirannya pula untuk menjaga Amirul. Dia juga tidak mahu menyusahkan Rafidah.
“ Baiklah kalau macam tu. Kalau ada apa-apa, Qaseh jangan lupa telefon Ummi.” Fareez berpesan. Qaseh mengangguk. Dalam masa yang sama, Qaseh berasa hairan. Tidak pernah Fareez berpesan begini.
Kalau Fareez terpaksa bekerja luar atas urusan kerjanya, tidak pernah Fareez berpesan begitu. Mungkin Fareez sudah sedar akan kepentingan Qaseh di rumah ini. Mungkin Fareez sudah mula mengambil berat akan diri Qaseh. Dalam hati Qaseh, dia begitu bersyukur kerana akhirnya terbuka juga pintu hati Fareez untuk dirinya. Dia tidak pernah menyangka. Memang selama ini itulah harapannya.
Fareez berdiri dan mengangkat pinggannya. Qaseh tersedar dari lamunan.
“ Eh! Tak apalah, Bang. Biar Qaseh yang angkat.” Kata Qaseh. Qaseh memegang pinggan makanan Fareez. Menghalang Fareez. Lelaki itu menolak perlahan tangan isterinya. Qaseh pelik dengan sikap Fareez. Tetapi dalam pada itu, dia amat bersyukur.
“ Tak apalah, Qaseh. Qaseh pun dah bersusah-payah masakkan untuk Abang nasi lemak ni. Abang berterima kasih. Sekarang ni, untuk ringankan beban Qaseh biarlah Abang yang bawak pinggan ni ke belakang.” Terang Fareez. Qaseh rasa segan. Tidak pernah Fareez melayaninya dengan baik begini. Inilah kali pertama dia mula rasa bahagia. Benar kata Aishah. Kalau dia bersabar dan banyak berdoa, pasti kebahagiaan akan menjadi miliknya. Dia tersenyum sendirian.
Qaseh terdengar deruan air dari sinki. Dia menjengahkan kepala ke dapur. Fareez sedang mencuci pinggan yang digunanya. Qaseh segera menyuapkan nasi lemak ke mulutnya semula apabila Fareez berjalan keluar dari dapur. Fareez mengelap mulut dengan tisu yang disediakan di atas meja.
“ Oklah, Abang pergi dulu.”
“ Bila Abang nak pergi outstation?” tanya Qaseh.
“ Petang ni jugak. Lepas kerja. Abang hantar Amirul ke rumah. Baru Abang pergi airport.” Kata Fareez.
“ Tak apa ke, Bang? Tak menyusahkan Abang? Biar Qaseh pergi ambil Mirul je.” Qaseh berkata. Dia tidak mahu Fareez terkejar-kejar untuk ke lapangan terbang.
“ Tak apa. Lagipun Abang nak kena hantar kereta ni balik ke rumah dulu.”
“ Baiklah, Abang.” Ujar Qaseh.
Fareez segera beredar ke rak kasut. Dicapainya kasut kulit berwarna hitam. Disarungkan stoking dan kasut ke kakinya.
“ Abang…” panggil Qaseh lembut. Fareez berpaling semula. Qaseh menghulurkan tangan untuk bersalam. Fareez menyambut huluran itu. Qaseh tunduk menyalami suaminya. Itulah perkara yang terlalu ingin dilakukan oleh Qaseh.
“ Hati-hati, Bang.”
“ Yalah.”
Fareez berjalan keluar menuju ke garaj. Alat penggera kereta berbunyi dua kali menandakan pintu kereta sudah tidak berkunci. Fareez meletakkan beg bimbit di kerusi belakang. Dia segera menghidupkan enjin kereta untuk memanaskannya dahulu. Pintu pagar automatik terbuka. Kereta Fareez menderum pergi meninggalkan kawasan perkarangan rumah banglo dua tingkat itu. Di dalam rumah, Qaseh berasa teramat gembira. Tidak sabar dia hendak menceritakan perkara yang terjadi ini kepada Aishah. Pasti sahabatnya itu turut bergembira mendengar perkara ini.



BERSAMBUNG......


2 tukang komen paling setia:

Ikie Omar said...

salam....cepatla sambung pleaseeeee....

sYaFaRiNa said...

huhu cepatlah upload yg baru...
xsabar nk baca citer ni...
best !!!!!
pleazzzzzzzz..............