BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, April 9, 2010

SEINDAH AL-HAMRA BAB 9

BAB 9

PINTU utama rumah Dr. Hanita terkuak perlahan. Seorang lelaki terjengket-jengket melangkah masuk ke dalam rumah lalu menutup pintu tanpa kedengaran langsung. Ruang tamu yang gelap, tidak menghalang lelaki tersebut melintasi ruang itu. Niat dihati ingin mendaki anak tangga menuju ke kamar Durrah yang terletak di sebelah dapur tetapi terbatal apabila terlihat kelibat Laily menuruni anak tangga dan menuju ke dapur. Kelihatan Laily sedang membuka peti sejuk dan menuangkan air sejuk yang diambilnya itu ke dalam gelas yang dicapai di sebelah peti sejuk tersebut. Lelaki itu mengundurkan langkah sehingga terlanggar sebuah meja. Berdentum bunyi pasu bergolek. Air yang diminum oleh Laily segera diletakkan di atas meja. Dia menjenguk ke arah ruang tamu yang gelap itu. Tidak nampak bayangan sesiapa pun di sana. Hati Laily berdebar-debar. Perasaan tidak sedap hati mula menerjah di fikiran.
“Siapa tu?” laung Laily lantang.
Tiada reaksi atau juga respon. Laily menelan air liurnya. Segera dihabiskan air sejuk yang masih berbaki itu dan meletakkan gelas yang diminum ke dalam sinki. Pantas Laily menutup suis lampu dan berlari-lari anak menuju ke tangga. Mendakinya sepantas mungkin. Dihempas pintu kamar setelah berjaya meloloskan diri. Lelaki tersebut yang masih berada di ruang tamu, menekup mulutnya. Tidak mahu ketawanya meletus dari mulut. Kalau Laily tahu Uzair berada di rumah, naya sahaja.
“Padan muka kau.” Ujar Uzair dalam hati.
Perlahan-lahan dia menjengket ke arah kamar Durrah. Belum sempat untuk Uzair mengetuk pintu atau memulas tombol pintu kamar Durrah, pintu kamar tersebut telah pun terkuak luas. Uzair menyorokkan dirinya di dalam kegelapan. Tidak juga mahu Durrah sedar akan kehadirannya. Kelihatan gadis itu sedang mengambil segelas air sejuk dari dapur dan menuju semula ke kamarnya. Belum sempat untuk Durrah menutup pintu, pintu kamarnya itu sudah ditahan oleh satu tangan gagah milik seorang lelaki. Terkejut Durrah dan hampir-hampir gelas tersebut terlepas dari tangannya.
“A...apa...apa yang...Uzai buat kat rumah?” tergagap Durrah menyoal.
Uzair sudah menarik sengih ke tepi. Dia juga meloloskan diri masuk ke dalam bilik Durrah. Menutup pintu tersebut perlahan-lahan lalu dikuncinya. Naik turun dada Durrah cuba menahan nafas. Setapak demi setapak kaki Durrah mengundur ke belakang. Uzair semakin mendekati Durrah. Gadis itu mencampakkan air yang ada di dalam gelas tersebut ke muka Uzair. Tetapi Uzair mengelap air tersebut dengan wajahnya masih tersenyum sinis. Semakin lama badan Uzair semakin mendekati Durrah dan tanpa dapat dikawal, Durrah terlepas pegangan gelas itu. Berderai bunyinya. Disentuh rambut Durrah yang baru sahaja lepas disyampu. Baunya yang harum telah membangkitkan suatu perasaan yang sukar ditafsirkan dlaam diri Uzair. Dia segera menolak badan Durrah ke atas katil.
“Apa ni?” jerit Durrah sambil cuba menolak badan Uzair itu.
Walaupun Uzair berbadan kurus tetapi apalah daya Durrah hendak melawan kekuatan lelaki itu dengan kudrat wanitanya. Durrah meronta-ronta dari cengkaman Uzair. Puas Durrah menolak badan Uzair.
“Uzai...lepaskan saya.” Dengan sekuat hati Durrah menolak badan Uzair. Tetapi Uzair tidak mendengar rontaan itu sebaliknya semakin kuat menindih badan Durrah. Dan semakin kuat jugalah jeritan Durrah.
“Janganlah buat saya macam ni. Saya merayu pada awak.” Separuh merayu Durrah berkata.
“Kau tampar aku hari tu, ni tamparan untuk kau.” Uzair menampar pipi Durrah berkali-kali sehingga gadis itu terasa lemah. Tidak berdaya lagi untuk melawan kekuatan Uzair.
“Jangan...tolong jangan....” lemah Durrah menolak badan Uzair.
Uzair masih tidak mempedulikan rayuan itu. Dikoyak baju Durrah dengan kasar. Mendedahkan sebahagian bahu Durrah yang putih gebu itu. Dengan rakus, Uzair mencium pipi, wajah dan juga leher Durrah. Gadis itu sudah menangis teresak-esak.

‘Ya Allah, selamatkanlah maruahku ini. Jangan biarkan ia tercemar. Kerana aku pasti tidak sanggup berhadapan dengan sesiapapun.’ Sudah tidak tahu hendak berbuat apa-apa lagi. Durrah hanya memohon petunjuk dan pertolongan daripada-Nya.
Pintu kamar Durrah dirempuh kuat. Terjengul Laily di sebalik muka pintu. Wajahnya menyinga. Tanpa sempat berfikir, Laily menolak Uzair sehingga terjatuh dari katil. Terus menarik lengan Durrah dan menolak gadis itu ke belakangnya. Menghalang dari Uzair mendekati Durrah.
“Apa yang kau buat ni, Uzai? Kau dah gila?” kuat sekali Laily menyoal. Kalau tidak difikirkan budak lelaki dihadapannya itu adalah adik sendiri, sudah pasti lumat dikerjakan. Durrah yang menangis teresak-esak, segera ditenangkan.
“Kau jangan masuk campur hal aku.” Uzair menempelak kuat. Laily berundur setapak ke belakang. Begitu juga dengan Durrah.
“Perempuan ni buat aku sakit hati.” Uzair meraup rambutnya sehingga kusut masai. Laily mengerutkan dahi.
“Kalau dia buat kau sakit hati, tak boleh ke berbincang elok-elok? Mesti ke kau buat dia macam ni?” Laily juga turut meninggikan suara. Geramnya tidak tertahan pada Uzair yang semakin hari semakin melampau.
“Suka hati aku lah.” Sekali lagi suara Uzair meninggi. Laily hanya menggelengkan kepalanya melihat kelakuan Uzair itu.
“Kau keluar dari bilik ni sekarang. Keluar!” arah Laily.
Uzair mendengus kuat. Semasa hendak melangkah keluar dari bilik Durrah sempat Uzair melanggar bahu Laily sehingga gadis itu terdorong ke belakang. Uzair menyentuh rambut Durrah. Laily menepis kasar tangan Uzair. Adiknya itu tersenyum sinis dan melangkah keluar. Laily terus memeluk Durrah yang masih tidak berhenti menangis. Memujuk hati gadis yang berkecamuk itu.
“Dura, Laily minta maaf, ya. MInta maaf bagi pihak Uzai.” Ucap Laily bersungguh. Durrah tidak berkata apa-apa. Hanya esak tangis sahaja yang kedengaran. Erat dia memeluk Laily.


“APA yang dah merasuk kamu ni, Uzai? Apa nak jadi dengan kamu ni?” bertubi-tubi soalan yang keluar dari mulut Dr. Faiz.
Matanya memerah menahan geram. Dr. Faiz dan Dr. Hanita terus pulang ke Kuala Lumpur sebaik sahaja mendengar khabar berita daripada Laily. Safiah berdiri di satu sudut dan Durrah berdiri di belakang Safiah. Gadis itu hanya menundukkan wajah. Tidak langsung mahu memandang ke arah majikannya itu.
“Apa kena dengan kamu, Uzai? Tak habis-habis lagi ke dengan perangai kamu ni?” soal Dr. Hanita. Lembut sahaja bersuara. Uzair mencebik malas.
“Tak ada apalah, Mummy. Perkara kecil je.” Uzair menjawab. Mata Dr. Faiz sudah membeliak.
“Tak ada-apa kamu kata? Sampai koyak baju Dura kamu buat, kamu kata tak ada apa-apa lagi?” suara Dr. Faiz semakin lama semakin meninggi.
“Come on lah, Daddy. Belum sempat pun Uzai nak buat apa-apa. Kakak ni je exaggerate lebih-lebih.” Uzair menjeling tajam ke arah Laily. Gadis itu membalasnya dengan menjelir lidah.
“Kalau macam ni lah perangai kamu, tahun depan Daddy akan hantar kamu ke Mak Long Unis.” Arah Dr. Faiz.
Seperti terkena kejutan elektrik, Uzair terus berdiri menegak. Matanya terbeliak dan mulut sedikit ternganga. Tidak mahu dia tinggal bersama Mak Longnya, Uniswati. Terpaksa tinggal di Perak. Kawasan kampung pula. Sememang rumah Uniswati terdiri daripada ciri-ciri moden tetapi tempatnya masih jauh di pendalaman. Harus meredah berjam-jam dari pekan sebelum sampai ke rumahnya. Lagipun, disitu susah hendak mendapatkan kemudahan internet dan juga talian telefon. Uzair tidak dapat hidup tanpa semua itu.
“What?! Mak Long Unis? No way, Daddy.” Tangan Uzair menggawang pantas dihadapan muka Dr. Faiz.
“Kalau kamu tak jaga kelakuan kamu, Daddy tetap akan hantar kamu ke Mak Long Unis.” Ugut Dr. Faiz. Terjelepuk Uzair duduk di atas kerusi. Laily mengangkat ibu jarinya dan menghala ke arah Uzair.
“Laily...” Dr. Hanita memanggil nama Laily. Segera Laily menurunkan semula ibu jarinya. Tersipu-sipu melihat renungan tajam Dr. Hanita.
“Maafkan kami, Kak Piah. Kami tak tahu kenapa Uzai berkelakuan sampai macam tu sekali.” Dr. Faiz memohon kemaafan daripada Safiah. Dia juga tahu bahawa Safiah sangat marah akan kejadian yang berlaku itu.
“Tak apalah, Tuan. Benda dah nak jadi.” Jawab Safiah perlahan.
Perasaan amarah Safiah memuncak apabila mendengar berita daripada Dr. Hanita bahawa Uzair hampir-hampir mencabul kehormatan Durrah. Dr. Hanita sudah berdiri dan menghampiri wanita separuh abad itu. Mencapai dan menggenggam jari jemari Safiah seeratnya.
“Kak Piah, kami benar-benar minta maaf. Kami dah berbincang yang kami berniat ingin menghantar Dura ke rumah Kak Syah.” Ujar Dr. Hanita. Lekas sahaja kepala Safiah memanggung memandang Dr. Hanita dengan tanda tanya.
“Kenapa mesti Dura dihantar ke rumah Datin?” soal Safiah kebingungan. Dr. Hanita menarik dan melepaskan nafasnya perlahan.
“Pembantu rumah Kak Syah dah nak balik kampung hujung minggu ni. Jadi, tak ada orang nak tolong dia menguruskan rumah tu.” Jelas Dr. Hanita satu persatu.
“Tapi bukan ke Adam dan Amar...” ayat Safiah tergantung apabila terlihat senyuman di bibir Dr. Hanita.
“Ita tahu Kak Piah mesti risaukan kalau Dura tinggal sana. Tapi, Adam dah pindah rumah baru. Sebab dia beli rumah dah. Amar pun akan pindah dekat dengan tempat kerja dia. Kata Amar, ulang-alik dari K.L ke Shah Alam memenatkan. Jadi dia dah buat keputusan untuk pindah. Hanya tinggal Natrah dan Aida je.” Sambung Dr. Hanita lagi. Safiah melepaskan keluhan lega.
“Kak Piah tak payah risaulah. Saya tahu Dura akan dijaga baik kat rumah tu. Lagi satu, Dura akan tinggal di sana sementara Uzai nak habis SPM. Lepas tu, saya akan hantar dia ke Kak Long. Kemudian, Dura boleh balik bekerja sini.” Dr. Faiz memberikan janjinya kepada Safiah. Wanita itu hanya mendiamkan diri. Tidak tahu hendak memberikan reaksi apa-apa.
“Kak Piah ikut je apa kata Puan dan Tuan. Baik untuk Dura, baik jugalah untuk Kak Piah.” Akhirnya Safiah berkata-kata setelah lama mendiamkan diri.
“Terima kasih, Kak Piah kerana memahami.” Semakin erat genggaman tangan Dr. Hanita. Tidak tahu bagaimana hendak menyatakan terima kasihnya lagi kepada Safiah kerana tidak menyalahkan Uzair dan sanggup bertolak ansur.



DURRAH duduk bersila di atas katil dan melipat baju-bajunya. Dimasukkan ke dalam beg pakaian yang ternganga luas dihadapannya. Pintu kamarnya diketuk. Perlahan-lahan Durrah berdiri dari katilnya dan menuju ke pintu. Selak yang dibuka berbunyi dan dipulas tombol pintunya. Terjengul wajah Safiah. Tersenyum sahaja kepada anak saudaranya itu.
“Boleh Mak Lang masuk?” tanya Safiah lembut.
Durrah tersenyum kecil dan mengangguk perlahan. Memberikan laluan kepada Safiah untuk masuk ke dalam biliknya. Kemudian, ditutup pintu tersebut. Durrah melabuhkan punggung ke atas katil. Begitu juga dengan Safiah.
“Tak apa ke Dura pergi rumah Datin?” soal Safiah. Kasihan melihat Durrah yang terpaksa berpindah ke rumah Datin Aisyah. Durrah meneruskan kerjanya melipat baju.
“Tak apalah, Mak Lang. Dura tak kisah. Betul jugak kata Puan Ita. Dura lebih selamat kalau Dura duduk sana.” Jawab Durrah seikhlasnya.
Tangan Safiah mencapai baju Durrah dan turut sama menolong Durrah melipat baju dan dimasukkan ke dalam beg pakaian.
“Maafkan Mak Lang. Mak Lang tak tahu pulak akan jadi begini.” Ucap Safiah. Durrah menggeleng.
“Mak Lang tak salah.” Sela Durrah.
Dicapai jemari Safiah dan digenggam lembut. Safiah menepuk tangan Durrah sambil tersenyum. Hati tuanya berasa lega apabila Durrah sanggup berpindah ke rumah Datin Aisyah. Risau juga jika Durrah membantah.
“Mak Lang yang beria nak bawa Dura ke sini. Kalau lah mak dan Ayah Dura tahu, mesti dia orang marah.” Safiah menundukkan wajah. Durrah meletakkan baju yang telah dilipat dan memandang wajah sedih Safiah itu.
“Sudahlah, Mak Lang. Dura datang sini sebab Dura nak kerja dan kumpul duit. Dura berazam nak sambung belajar. Tu sebabnya Dura kerja jugak, Mak Lang.” Durrah meluahkan apa yang tersimpan di dalam benaknya. Safiah mengangguk.
“Yalah. Cepatlah kemaskan beg Dura ni. Esok pagi, Puan Ita nak hantar kamu ke rumah Datin.” Tingkah Safiah.
Durrah kembali meneruskan kerja-kerja mengemas begnya. Selepas itu, Safiah meminta diri untuk ke kamarnya sendiri. Perlu merehatkan diri yang keletihan. Safiah bergegas pulang dari Rawang ke Ukay Perdana. Walaupun perjalanannya singkat tetapi agak memakan masa kerana kawasan tersebut selalu sibuk dengan lalulintas. Malam itu, Durrah tidak dapat melelapkan mata. Niat dihati ingin keluar sebentar dari kamarnya untuk mengambil angin. Tetapi mematikan niatnya apabila teringatkan perbuatan Uzair. Risau juga jika Uzair tidak tidur lagi dan bagaimana jika kejadian malam semalam berulang lagi? Tidak mahu Durrah memikirkan kemungkinan itu. Sebelum tidur, sekali lagi Durrah bangun dari katilnya dan menuju ke pintu. Memastikan pintunya berkunci dan diselak. Tetapi tidak dipadam lampu kamarnya. Selepas berpuas hati, Durrah kembali ke katilnya dan dilabuhkan punggung. Membaringkan diri dan cuba untuk memejamkan mata. Membiarkan malam itu berlalu dengan tenangnya.


BERSAMBUNG....

0 tukang komen paling setia: