BAB 11
ALAT kawalan jauh di tangan ditekan berkali-kali. Tiada rancangan yang menarik perhatiannya. Mula-mula dibiarkan rancangan HBO tayangan Astro tersiar di kaca televisyen. Kemudian, diubah pula kepada AXN. Sebentar kemudian, diubah pula ke Asian Food Channel (AFC). Ditekan sekali lagi alat kawalan jauh tersebut dan rancangan yang tersiar kembali ke HBO. Adam di sebelah melepaskan keluhan melihat Zurin. Seperti ada yang menganggu fikirannya. Berpinar biji mata Adam melihat rancangan yang ditukar selalu oleh Zurin. Akhir sekali rancangan HBO juga yang menjadi pilihannya. Diletakkan alat kawalan jauh tersebut ke atas meja kopi. Satu keluhan dilepaskan. Zurin menyandarkan badannya ke sofa dan memeluk tubuh.
“Sayang, kenapa ni?” tanya Adam apabila dilihatnya Zurin bukan menumpukan perhatian ke kaca televisyen. Sebaliknya, dilihat Zurin seperti termenung jauh.
Zurin tidak berkata apa-apa. Lebih baik mendiamkan diri daripada berkata-kata. Buat sakit hati saja nanti. Adam mencapai alat kawalan jauh tersebut lalu ditekan punat merah. Mematikan siaran yang tersiar di televisyen. Tiada respon daripada Zurin. Selalunya jika Adam berbuat demikian, pasti bising Zurin memarahinya kerana dia sedang menonton dengan asyik. Perlahan Adam mengalihkan badan menghadap Zurin yang memasamkan wajah.
“Sayang…” panggil Adam lembut. Digapai jemari Zurin ke dalam genggamannya. Dicium lembut. Perlahan-lahan Zurin menarik jemarinya semula.
“Tak ada apa-apalah. Rin okay je.” Jawab Zurin acuh tidak acuh.
Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa sakitnya hati dia apabila Adam menyatakan bahawa dia akan pulang ke rumah ibubapanya hujung minggu ini. Sedangkan, ulang tahun perkahwinan mereka juga pada hujung minggu ini. Tidak ingatkah Adam akan ulang tahun perkahwinan mereka?
“Rin marahkan Am, ya? Rin marah sebab Am nak balik rumah Mama dan Ayah hujung minggu ni?” soal Adam bertubi.
Zurin memandang sekilas ke arah Adam. Kemudian, dia bingkas bangun. Malas mahu berkata apa-apa. Zurin menuju ke arah dapur. Lebih baik membancuh air. Adam melepaskan keluhan. Dia juga turut bangun dan menuju ke dapur. Adam berdiri di pintu dapur sambil memeluk tubuh. Disandarkan badannya ke pintu tersebut. Zurin masih leka membancuh air. Sesekali terdengar keluhan perlahan keluar dari mulut mungil itu. Adam berjalan ke arah Zurin. Dipeluk wanita itu dari belakang. Terhenti kerja Zurin mengacau air Nescafe yang masih berasap.
“Am tahu Rin marahkan Am sebab fikir Am tak ingat our wedding anniversary this weekend, kan?” disangkut dagunya ke bahu isterinya. Zurin menjarakkan sedikit kepalanya dari kepala Adam dan memandang lelaki itu dengan kerutan di dahi.
“Kalau Am dah ingat, kenapa Am nak balik jugak?” tanya Zurin sedikit keanak-anakan. Adam melepaskan pelukan pinggang tersebut.
“Rin dah lupa? Am kan dah janji dengan Mama yang Am nak balik rumah dia 2 minggu sekali.” Adam memutarkan kembali memori Zurin dimana Adam berkata kepada dia mengenai perkara tersebut. Zurin melepaskan keluhan. Dikalihkan badannya menghadap Adam. Suaminya itu semakin kacak sejak kebelakangan ini. Walaupun hanya berbaju T dan juga berkain pelikat.
“Rin tak lupa. But, this weekend is our….wedding anniversary.” Zurin merintih. Sebak menguasai diri. Sekali lagi Adam melepaskan keluhan.
“Okay…okay. Am promise yang kita tetap akan celebrate our wedding anniversary this weekend. Let’s make it special.” Adam kembali memeluk pinggang Zurin. Wanita itu tersenyum dan memaut leher Adam.
Susah untuk Zurin merajuk lama dengan Adam. Lelaki itu sangat pandai memujuk. Zurin memang terkenal dengan sikap tegasnya semasa di universiti. Mana-mana lelaki cuba mendekatinya, pasti akan ditolak mentah-mentah. Biarpun yang datang pada masa itu adalah anak kepada orang yang berpangkat seperti Sir, Lord, Duke dan sebagainya. Juga lelaki-lelaki itu terdiri daripada anak-anak orang kaya di Kota London. Tidak kurang anak Datuk, Datuk Sri, Tan Sri dan lain-lain lagi yang datang menghulurkan persahabatan. Tetapi berlainan dengan Adam. Lelaki itu tidak cuba untuk menggodanya. Sebaliknya Adam buat tidak peduli dan tidak hairan pun akan kewujudan Zurin di universiti itu. Entah kenapa hati Zurin berdebar setiap kali Adam melintasi dihadapannya. Atas paksaan sahabat perempuannya, Zurin memulakan langkah dahulu dengan menghulurkan salam persahabatan. Bermula sebagai sahabat dan akhirnya membibitkan perasaan cinta dalam hati masing-masing. Sehingga mereka mendirikan rumahtangga. Walaupun terpaksa berselindung daripada kedua ibubapa mereka.
Tersentak Zurin apabila dirasakan tangan gagah Adam mengusap pipinya. Senyuman Adam membuatkan Zurin lupa akan segala keresahan dan juga masalah yang melanda mereka. Lupa akan segala-galanya.
“Am janji tau.” Rengek Zurin. Adam tersenyum kecil dan mengangguk perlahan.
“Macam budak-budaklah Rin ni.” Dicuit hidung Zurin sehingga gadis itu tergelak.
BARANGAN yang baru sahaja dibeli dari pasar, dikendong oleh Durrah. Dia menemani Jamilah ke pasar. Mereka berdua dibawa oleh Pak Tam ke pasar. Seawal jam 6 pagi selepas Subuh, Durrah dan Jamilah sudah bersiap-siap ke pasar. Bersusah-payah Durrah mengendong beg plastik yang berat itu.
“Boleh ke, Dura?” soal Jamilah apabila dilihatnya berkerut muka Durrah memegang plastik yang bermacam warna itu.
“Boleh, Kak Milah. Banyaknya barang yang Kak Milah beli.” Ujar Durrah sambil melihat beg-beg plastik tersebut.
Jamilah hanya tersenyum dan meneruskan kembali perjalanan dalam pasar itu. Banyak lagi barang yang belum dibelinya seperti sayur-sayuran dan juga buah-buahan. Dari satu ke satu kedai, Jamilah singgah untuk membeli keperluan masakannya nanti. Selepas puas membeli, Jamilah dan Durrah menuju ke kereta. Kepala Pak Tam terlentok ke kiri. Sekejap ke kanan. Jamilah meletakkan barangan yang berat tersebut ke bawah. Sempat bercekak pinggang dan mengetap gigi.
“Kita penat-penat pergi beli barang, orang tua ni boleh sedap je tidur.” Pantas kaki Jamilah melangkah ke arah pintu pemandu.
Diketuk kuat cermin tersebut. Terkejut Pak Tam yang sedang nyenyak tidur itu. Segera memandang ke luar. Kelihatan Jamilah bercekak pinggang dengan wajah yang berpeluh. Pak Tam tersengih sumbing. Pantas dia membuka pintu dan terus keluar dari kereta itu. Mereka berdua ke but kereta dan memasukkan barangan yang dibeli.
“Sekejap je Milah beli barang hari ni. Selalunya selagi pasar tak tutup, selagi tu lah Milah tak habis membeli.” Perli Pak Tam. Wajah Jamilah memerah menahan marah ditambah pula oleh sinaran cahaya yang semakin meninggi.
“Banyak bunyi pulak orang tua ni.” Jamilah mengomel sendirian. Durrah tersenyum sahaja memerhatikan gelagat dua manusia dihadapannya.
“Dah ke?” tanya Pak Tam sebaik sahaja dia menutup but kereta tersebut. Jamilah mengangkat muka memandang Pak Tam dengan pelik.
“Apa yang dah?” soalnya kembali.
“Milah dah habis membeli ke? Atau Milah nak singgah mana-mana lagi?” Pak Tam bertanya.
Selalunya selepas ke pasar, pasti Jamilah akan mengajak Pak Tam ke gerai milik seorang peniaga cina yang berhampiran Pasar Besar Klang untuk membeli barangan kering seperti ikan bilis, cili kering, bawang merah, bawang putih dan sebagainya. Sesetengah barangan kering disitu boleh didapati dengan harga yang murah. Jamilah seperti berfikir sesuatu. Kemudian, menggeleng.
“Barang kering banyak lagi. Yang Milah beli minggu lepas pun tak habis lagi.” Jawab Jamilah.
Mereka bertiga masuk ke dalam perut kereta dan meninggalkan kawasan pasar yang mula kurang sesaknya. Tidak seperti pagi tadi semasa mereka mula-mula sampai disitu. Hendak masuk ke dalam kawasan pasar pun boleh kesesakan lalulintas.
“Bila kamu nak balik ke kampung tu, Milah?” soal Pak Tam semasa dalam perjalanan pulang ke rumah.
“Hari Isnin ni.” Jawab Jamilah ringkas.
Pak Tam menganggukkan kepalanya perlahan. Kereta BMW yang dipandu oleh Pak Tam perlahan-lahan menyusur keluar dari Klang. Durrah yang duduk di kerusi belakang melemparkan pandangannya ke luar.
“Balik naik bas ke?” soal Pak Tam lagi. Jamilah mengangguk perlahan.
“Bas pukul berapa?” pertanyaan demi pertanyaan keluar dari mulut Pak Tam. Jamilah memandang ke sebelah.
“Pagi. Dalam pukul 10.” Jawab Jamilah. Pak Tam mengangguk. Kembali menumpukan perhatian terhadap pemanduannya.
“Nanti mesti Pak Tam rindu masakan dan mulut bising Milah.” Ikhlas Pak Tam berkata. Jamilah tergelak kecil.
“Ye ke Pak Tam rindu? Ke Pak Tam seronok sangat bila saya nak berhenti ni?” usik Jamilah. Memandang sinis ke arah Pak Tam yang sedang tersengih seperti kerang busuk. Orang tua itu menggaru kepala yang tidak gatal.
“Hah, ni sebelum saya lupa. Nanti Pak Tam tunjukkan ya kat kedai mana saya selalu beli barang kering kat Dura. Saya dah tunjuk dah tadi kat mana saya selalu beli daging, ikan, ayam, sayur dan buah kat pasar.” Jamilah berkata. Pak Tam memandang sekilas ke sebelah.
“Hmm…yalah. Nanti kita kena selalu pergi pasar sama-samalah, Dura.” Ujar Pak Tam. Durrah memandang dan tersenyum kecil ke arah lelaki separuh abad itu.
Setiba sahaja di rumah, Pak Tam menolong Durrah dan Jamilah memunggah barangan yang dibeli sebentar tadi. Mereka masuk melalui pintu dapur. Durrah meletakkan beg-beg plastik yang berisi ayam dan ikan itu ke dalam sinki. Darah ayam melimpah di halaman belakang. Segera Durrah keluar semula dan menuju ke arah paip. Dicapai getah paip dan disembur ke atas lantai untuk menghilangkan darah-darah tersebut. Selepas puas melihat darah tersebut mengalir ke dalam longkang, Durrah masuk semula ke dalam rumah.
“Tolong Kak Milah siang ikan ni. Kak Milah nak masukkan barang-barang tu dalam peti ais.” Unjuk Jamilah ke arah beg plastik sayur-sayuran yang dibeli.
Durrah mengangguk dan segera mengambil alih kerja Jamilah menyiang ikan. Jamilah menuju ke arah beg plastik tersebut dan membuka peti ais. Jamilah memasukkan barangan tersebut sambil mencangkung. Datin Aisyah yang baru sahaja turun dari tingkat atas, terus menuju ke dapur apabila terlihat kelibat Durrah dan Jamilah di dapur.
“Apa yang Milah beli tu?” soal Datin Aisyah. Dilihatnya bersusah payah Jamilah sedang leka melakukan kerja. Jamilah mengangkat muka memandang majikannya. Durrah juga turut mengalih pandang ke arah Datin Aisyah dan Jamilah.
“Sayur Kailan, Datin. Kegemaran Adam, kan.” Jawab Jamilah sambil tersenyum.
Datin Aisyah mengangguk perlahan. Menuju pula ke arah Durrah. Menjenguk ke dalam sinki. Menimbun ayam dan ikan di dalam sinki tersebut. Cekap betul Durrah melakukan kerjanya. Dalam sekelip mata, ikan yang ada sampai dua plastik itu sudah siap disiang. Begitu juga ayam tersebut. Ditarik keluar lemak dan juga hati ayam. Kemudian, dipotong kecil mengikut permintaan Jamilah. Tersenyum sahaja Datin Aisyah melihat Durrah melakukan kerjanya.
“Apa yang Datin pandang tu?” soal Jamilah seraya bangun dan melabuhkan punggung di kerusi makan yang ada di dalam dapur itu.
Datin Aisyah tersentak dan memandang ke arah Jamilah. Begitu juga Durrah. Wanita elegan itu tersenyum dan menuju semula ke arah Jamilah lalu dilabuhkan punggungnya di sebelah Jamilah.
“Datin tak pergi butik hari ni?” soal Jamilah.
Pelik majikannya berada di rumah. Selalunya di hujung minggu beginilah, Datin Aisyah lebih sibuk berbanding hari bekerja. Lebih banyak pelanggan yang datang untuk membuat tempahan perkahwinan mereka.
“Tak. Dira yang uruskan. Saya cutilah hari ni. Nak tengok anak-anak saya balik rumah.” Senyuman sentiasa menghiasi bibir wanita itu apabila tiba hujung minggu. Menunggu kepulangan dua orang anak teruna kesayangannya.
“Ohh...kalau begitu, saya buat kerjalah dulu, Datin. Nak masak yang special punya untuk Adam dan Amar.” Ujar Jamilah.
Datin Aisyah mengangguk. Dia juga turut meminta diri untuk beredar dari situ. Tidak mahu menganggu Jamilah dan Durrah melakukan kerja mereka.
“ASSALAMUALAIKUM....” laung seseorang dari muka pintu.
Datin Aisyah yang berada di ruang dapur, menjenguk ke luar. Kelihatan sesusuk tubuh orang yang ditunggu-tunggunya. Natrah muncul dari ruang tamu. Tunduk menyalami abang sulungnya. Segera Adam menuju ke arah Datin Aisyah yang masih berdiri di muka pintu dapur. Datin Aisyah memegang pipi Adam. Lelaki itu hanya tersenyum. Kesemua mata memandang ke arah tangga apabila terdengar derapan kaki laju menuruni anak tangga. Aida berlari-lari anak dan terus memeluk Adam. Rindunya menggunung pada Adam walaupun baru sahaja dua minggu tidak ketemu. Semasa pertama kali Adam berangkat ke London, hampir setiap hari Aida menangis kerana merindui Adam. Mereka memang rapat. Sejak Aida kecil, Adam yang mengasuh Aida sehingga Aida mencecah umur 10 tahun. Kini Aida sudah berumur 17 tahun pun, masih bersikap keanak-anakan dengan Adam.
“Rindu kat Along, eh?” tanya Adam. Dipeluk erat bahu Aida.
“Mestilah.” Aida memuncungkan bibirnya. Natrah hanya mencebik menyampah. Mulalah perangai mengada-ngada Aida itu. Tersenyum Adam melihat cebikan itu. Dipeluk juga bahu Natrah.
“Yelah...yelah. Along sayang dua-dua sekali.” Ucap Adam, tidak mahu mengecilkan hati Natrah.
“Dah, dahlah tu Along. Dari melayan dua orang adik kamu tu.” Datin Aisyah berkata. Adam menjenguk ke dalam dapur. Kelihatan dua wanita sedang sibuk menyiapkan kerja memasak mereka. Dahinya berkerut.
“Siapa tu, Ma?” soal Adam. Dijuihkan bibirnya ke arah Durrah. Datin Aisyah mengalih pandang ke arah Durrah.
“Pembantu baru kita. Yang nak ganti Kak Milah.” Jawab Datin Aisyah. Kepala Adam terangguk-angguk.
“Along, jom kita main game. Dah lama tak battle PS3 dengan Along.” Ujar Natrah. Aida mengangguk mengiakan kata-kata kakaknya itu.
“Nat tak menyesal ke nanti kalau kalah dengan Along?” usik Adam. Natrah menjelirkan lidahnya.
“Hey, tolong sikit. Nat dah lama practice, okay. Selama Along duduk kat London tu, hari-hari Nat practice. Jadi bila Along balik kita boleh battle. Along tu tak takut ke nanti kalah dengan Nat atau Aida?” giliran Natrah pula memerli Adam.
Lelaki itu menyekeh kepala adiknya dan segera berlari ke ruang tamu. Natrah mengejarnya dari belakang, begitu juga dengan Aida. Datin Aisyah hanya menggelengkan kepala melihat gelagat tiga beradik itu.
BERSAMBUNG....
Thursday, April 29, 2010
SEINDAH AL-HAMRA BAB 11
Yang merepek merapu meraban Aishah Hamzah at 4/29/2010 10:40:00 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 tukang komen paling setia:
Post a Comment