BAB 10
KERETA BMW 7 series milik seorang wanita berhenti dihadapan rumah Datin Aisyah. Durrah melangkah turun dahulu sebelum Dr. Hanita. Setelah mematikan enjin, Dr. Hanita turun dari keretanya. Membunyikan alat penggera kereta menandakan kereta dikunci. Dr. Hanita menuju ke arah loceng rumah. Ditekan sekali, kemudian dua kali. Pintu pagar automatik itu pun terbuka luas. Seorang wanita separuh abad keluar dari rumah dan menuju ke arah mereka berdua. Berpelukan bersama Dr. Hanita. Durrah hanya menundukkan wajahnya. Segan untuk memandang majikan barunya.
“Dura, jangan segan. Masuklah. Ita, jom masuk.” Ramah sekali Datin Aisyah cuba untuk meredakan perasaan gemuruh Durrah.
Inilah pertama kali Durrah menjejakkan kaki ke rumah yang 4 kali ganda dari rumah kampungnya. Semasa menjejakkan kaki ke rumah Dr. Hanita pun, tidaklah segemuruh itu. Entah kenapa perasaannya terasa berserabut. Berbolak-balik. Dr. Hanita dan Datin Aisyah mendahului langkah Durrah. Menuju masuk ke dalam rumah. Langkahan kaki Durrah perlahan-lahan masuk ke dalam rumah. Sebaik sahaja menjejakkan kaki ke dalam rumah banglo itu, sekali lagi Durrah terpegun dengan hiasan dalamannya. Susun atur yang sangat kemas, kesemua perabot-perabotnya dihiasi oleh barangan antik. Tidak langsung ada barangan moden. Mata Durrah melekap pada sekujur tubuh Datin Aisyah. Wanita elegan itu langsung tidak menunjukkan bahawa dia adalah seorang yang meminati barangan antik. Dengan pakaiannya yang sering ‘up to date’, mustahillah orang lain dapat mengagak bahawa dia adalah peminat barangan antik.
Datin Aisyah yang sedang sibuk bersembang bersama adik iparnya itu, perasan akan mata Durrah yang tidak lepas dari memandang dia. Datin Aisyah mengalih pandang ke arah Durrah dan tersenyum. Gadis itu yang tersedar akan perbuatannya segera menundukkan wajah. Segan apabila perbuatannya dapat dihidu. Datin Aisyah menuju ke arah Durrah dan menyentuh bahu gadis itu.
“Kenapa Dura pandang saya macam tu?” soal Datin Aisyah bersama sebuah senyuman manis.
Perasaan Durrah yang sebentar tadi berkecamuk, terus hilang dibawa dek senyuman Datin Aisyah itu. Terasa seperti Hasanah yang sedang tersenyum kepadanya. Tiba-tiba Durrah berasa rindu dengan kampung.
“Tak ada apa-apa, Datin.” Jawab Durrah. Datin Aisyah memandang ke arah Dr. Hanita. Mereka sama-sama tersenyum.
“Tak usahlah berDatin dengan saya. Panggil je saya Auntie.” Ujar Datin Aisyah.
Sememangnya Datin Aisyah kurang selesa apabila ada orang mula memanggilnya dengan panggilan Datin. Walaupun hampir 5 tahun dia memegang gelaran sebagai Datin. Biarlah orang hendak mengenalinya sebagai Puan Syarifah Aisyah Najyha.
“Eh, tak boleh macam tu, Datin. Datin majikan saya. Tak manis kalau saya panggil Datin, Auntie.” Tolak Durrah. Tidak mahu nanti ada orang yang mengatakan dia mengambil kesempatan di atas kebaikan Datin Aisyah.
“Tak apalah Dura kalau Datin Aisyah ni minta Dura panggil dia Auntie. Kalau dia suruh panggil Mama kan lagi susah.” Usik Dr. Hanita.
Durrah tertunduk malu. Digigit bibirnya. Tidak mengapakah dia memanggil Datin Aisyah dengan panggilan Auntie? Nanti apa pula kata anak-anaknya?
“Baiklah, Da…Aun…Auntie.” Tergagap Durrah hendak mengeluarkan perkataan Auntie dari mulutnya.
“Ha…macam tu kan bagus.” Sela Datin Aisyah. Sedari tadi Durrah asyik menundukkan wajahnya sahaja.
“Jom kita breakfast sekali, Ita…Dura.” Pelawa Datin Aisyah. Dr. Hanita melihat jam di tangan.
“Eh, tak apalah, Kak Syah. Ita kena pergi kampus dah sekarang ni. Kelas start pukul 9. Nanti takut lambat pulak sampai.” Ujar Dr. Hanita.
Nasib baik rumah Datin Aisyah tidak jauh dari kampus UiTM di Shah Alam. Hanya mengambil beberapa minit sahaja untuk dia sampai ke kampus. Dr. Hanita tidak suka sampai lambat ke kelas. Dia seorang yang menepati masa.
Dr. Hanita bersalaman dan berpelukan dengan Datin Aisyah. Durrah tunduk menyalami Dr. Hanita. Kepala Durrah diusap oleh wanita tersebut.
“Terima kasih Dura kerana faham.” Ujar Dr. Hanita sebaik sahaja Durrah mengangkat muka, memandang Dr. Hanita dengan kerutan di dahi. Seketika kemudian, Durrah mengukirkan senyuman.
“Tak apa, Puan. Dura tak kisah.” Jawab Durrah seikhlasnya.
Dr. Hanita segera meminta diri apabila jarum jam mula menginjak ke pukul 8.30 pagi. Sempat melambai ke arah Durrah dan Datin Aisyah yang berada di muka pintu. Selepas bayangan kereta Dr. Hanita menghilang dari pandangan mereka, Datin Aisyah dan Durrah masuk ke dalam rumah.
“Mari Auntie tunjukkan bilik Dura.” Ujar Datin Aisyah.
Durrah mengangguk perlahan dan segera membuntuti Datin Aisyah hingga ke bilik yang diunjukkan oleh wanita elegan itu. Dibuka pintu kamar sederhana itu dan memberikan laluan kepada Durrah untuk masuk dahulu. Tanpa disedari, Durrah mengukirkan senyuman. Bilik ini lebih besar daripada biliknya di rumah Dr. Hanita. Walau apapun, Durrah tetap bersyukur kerana diterima baik samada di rumah Dr. Hanita atau Datin Aisyah.
“Dura rehatlah, ya. Nanti Auntie kenalkan Dura dengan Kak Milah. Ni dia tak ada. Pergi pasar. Kejap lagi baliklah tu. Auntie keluar dulu, ya.” Ujar Datin Aisyah lembut.
Durrah mengangguk perlahan sambil tersenyum. Memerhatikan kelibat Datin Aisyah menghilang di sebalik pintu yang sudah tertutup itu. Perlahan-lahan Durrah meletakkan beg pakaiannya ke atas katil. Berjalan ke arah jendela lalu dibuka tingkap tersebut. Terbentang luas halaman yang dipenuhi bunga-bungaan bermacam warna sebagai pemandangan. Indah sekali. Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Pintu bilik Durrah diketuk perlahan. Terkejut dengan ketukan itu, Durrah segera berjalan ke arah pintu biliknya dan memulas tombol pintu tersebut. Terjengul wajah Natrah. Gadis itu terkejut dengan kehadiran Durrah di dalam rumah itu.
“Maaf. Saya ingatkan bilik Kak Milah tadi.” Ucap Natrah memohon maaf. Durrah tersenyum dan menggeleng.
“Tak apa...tak apa.” Tingkah Durrah pantas. Terkebil-kebil mata Natrah memandang Durrah.
“Awak ni siapa?” soal Natrah. Kebingungan otaknya cuba mencerna wajah dihadapan. Seperti pernah dilihat. Tetapi dimana, ya?
“Saya, Durrah.” Ujar Durrah sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman. Hulurannya itu bersambut.
“Ohh...bukan ke awak ni pembantu rumah Ucu Ita?” tanya Natrah lagi. Durrah mengerutkan dahi. Kemudian, dia tersenyum. Baru teringat akan siapakah gerangannya Ucu Ita itu.
“Ya, saya.” Jawab Durrah ringkas. Dahi Natrah berkerut.
“Awak buat apa kat sini?” tanya Natrah. Durrah terdiam sejenak. Tahu akan kesilapannya berkata-kata, Natrah menggigit bibir.
“Maafkan saya kalau bertanya.” Sambung Natrah lagi. Durrah menggeleng pantas. Lambat-laun mereka juga harus mengetahui sebabnya dia dihantar ke rumah Datin Aisyah.
“Puan Ita hantar saya ke sini untuk tolong Datin. Sebab Puan Ita kata pembantu rumah Datin, Kak Milah dah nak balik kampung minggu depan. Jadi, dah tak ada orang nak bantu Datin uruskan rumah ni.” Jelas Durrah. Belum bersedia untuk membongkarkan rahsia sebenar kepada Natrah. Lambat-lambat Natrah mengangguk.
“Ohh...awak baru sampai?” soal Natrah lagi apabila terpandangkan beg pakaian Durrah yang terletak di atas katil. Durrah turut memandang ke arah yang dipandang oleh Natrah. Kemudian, dia mengangguk.
“Tak apalah. Saya tak nak ganggu Dura. Dura berkemaslah, ya. Nanti kita boleh sembang panjang-panjang.” Natrah berkata seraya meminta diri.
Selepas anak majikannya itu beredar dari situ, Durrah menutup pintu dan berpaling ke arah katil. Membuka zip beg tersebut dan memunggah pakaiannya. Menyusun pakaian ke dalam almari.
DURRAH sedang leka mencuci pinggan dan periuk belanga kotor di dalam sinki dan menyidai di rak penyidai pinggan. Jamilah sibuk menyiapkan masakannya. Selepas Durrah siap dengan kerjanya, dia berdiri berdekatan dengan Jamilah. Memerhatikan masakan yang sedang dimasak oleh wanita itu. Aroma masakan itu menusuk hidungnya. Tiba-tiba perut Durrah berkeriuk berbunyi menandakan bahawa dia sejak petang tadi dia menahan lapar.
“Dura boleh memasak?” tanya Jamilah tiba-tiba. Durrah mengangkat muka memandang Jamilah yang sedang menggaul masak lemak cili apinya itu.
“Bolehlah, Kak. Tapi masak yang biasa-biasa je.” Jawab Durrah jujur. Dia sememangnya reti memasak. Tetapi tidaklah sepandai Jamilah atau Safiah.
“Okaylah tu. Daripada tak reti memasak langsung.” Ujar Jamilah dengan senyuman. Durrah mengangguk mengiakan kata-kata Jamilah.
“Kenapa Kak Milah nak balik kampung? Kak Milah dah tak suka kerja kat sini?” bertubi soalan yang keluar dari mulut Durrah. Disimpan soalan tersebut sedari pagi tadi. Itulah soalan yang tersimpan dalam benaknya.
“Mak Kak Milah dah sakit teruk. Kak Milah nak kena balik kampung jaga dia.” Jelas Jamilah. Terlihat Durrah mengangguk mendengar permulaan cerita Jamilah.
“Jadi, Kak Milah tak balik sini dah lah?” satu lagi soalan terpacul dari mulut Durrah. Peramah pula dia dengan Jamilah. Mungkin disebabkan wanita itu juga peramah dengannya.
“Nampaknya begitulah, Dura. Mak Kak Milah beria-ia carikan calon suami untuk Kak Milah. Kata mak Kak Milah, teringin juga dia nak tengok Kak Milah berumah tangga sebelum dia menutup mata.” Sambung Jamilah lagi. Sekali lagi Durrah mengangguk.
“Orang kampung tu jugak ke?” lagi satu soalan yang terpacul keluar.
“Ha’ah. Rupa-rupanya kawan sekolah Kak Milah. Tapi dia dah bercerai. Duda anak seorang. Isterinya tinggalkan dia masa anak tu kecil lagi.” Durrah menggeleng mendengar penjelasan Jamilah itu.
“Ambilkan mangkuk tu, Dura.” Unjuk Jamilah ke arah mangkuk yang tersidai di rak penyidai pinggan di sebelah Durrah. Dicapai lalu dihulurkan kepada Jamilah. Diceduk kuah masak lemak tersebut ke dalam mangkuk. Diserahkan kepada Durrah untuk dihidangkan di meja makan. Kemudian, Durrah muncul semula di dapur.
“Dura datang sini untuk apa? Takkan selama-lamanya Dura nak kerja jadi pembantu rumah? Dura muda lagi. Tentu banyak benda yang Dura nak kejarkan.” sela Jamilah. Durrah menyandarkan badannya ke dinding dapur. Memerhatikan Jamilah yang sudah melabuhkan punggung di kerusi yang tersedia di dalam dapur.
“Memang niat Dura nak sambung belajar, Kak Milah. Tu sebabnya Dura keluar jugak dari kampung dan datang kerja sini. Sebab Dura nak kumpul duit untuk sambung belajar.” Ujar Durrah bersungguh. Jamilah menghirup air sejuk dalam gelas yang ada di atas meja makan dalam dapur tersebut.
Leka mereka berdua bersembang sehingga tidak sedar akan kehadiran Datin Aisyah di dalam dapur itu. Dia melabuhkan punggung di atas kerusi meja makan tersebut. Tersenyum melihat kedua pembantunya saling beramah mesra.
“Apa yang seronok sangat Milah dengan Dura bersembang ni?” soal Datin Aisyah apabila kedengaran suara mereka berdua bergelak di dalam dapur sebentar tadi. Durrah terus sahaja tersipu malu.
“Tak ada apa-apa, Datin. Saja berkenalan dengan Dura.” Jawab Jamilah jujur.
“Hah, Milah...sebelum saya lupa. Minggu ni, Adam balik rumah ya. Milah masaklah makanan favourite dia. Dia tak nak orang lain masak. Dia nak Milah jugak. Katanya, nanti bila Milah balik kampung, mesti dia rindu masakan Milah.” Tukas Datin Aisyah tentang apa yang diperkatakan oleh Adam.
“Yalah, Datin.” Jawab Jamilah.
“Nanti Milah ajarkanlah Dura favourite food setiap orang dalam rumah ni.” Sambung Datin Aisyah lagi.
Jamilah hanya mengangguk. Memang itu pun niatnya hendak mengajar Durrah makanan kegemaran setiap penghuni di dalam rumah ini. Jam antik yang terletak di satu sudut dalam ruang tamu, berdenting kuat. Serentak Durrah, Jamilah dan Datin Aisyah melangut memandang jam dinding yang tergantung di dalam dapur.
“Eh, dah pukul 7.30 malam. Lambat Datuk balik hari ni.” Ujar Jamilah sambil matanya memandang ke arah garaj. Selalunya jam 6 petang, Datuk Hafiz sudah pulang dari kerja dan kadangkala Datin Aisyah yang pulang lewat dari butik pengantinnya.
“Datuk call saya tadi. Dia kena jumpa client. Lepas tu, dia Maghrib sekali kat office. Hmm...Milah saya naik Maghrib dululah.” Sela Datin Aisyah seraya berdiri dari kerusi yang didudukinya. Meletakkan semula kerusi tersebut di tempatnya.
“Dura, nanti panggilkan Natrah dan Aida, ya.” Datin Aisyah berkata. Durrah mengangguk perlahan.
“Baiklah, Datin.” Jawapan Durrah itu menyebabkan Datin Aisyah berpaling memandang Durrah dengan mencuka masam.
“Kan Auntie dah kata. Jangan panggil Datin. Panggil Auntie.” Durrah menggigit bibir. Dia tahu, dia sudah tersalah memanggil panggilan Datin kepada Datin Aisyah. Jamilah memandang Durrah dan Datin Aisyah bersilih ganti. Pelik melihat dua manusia dihadapannya. Dahi Jamilah berkerut.
“Maaf. Dura belum biasakan diri lagi nak panggil Datin dengan panggilan Auntie.” Jawab Durrah jujur. Datin Aisyah memegang bahu Durrah.
“Tak apalah. Lama-lama nanti biasalah.” Ujar Datin Aisyah lagi.
Durrah menundukkan wajahnya. Dia tahu Jamilah sedang merenung ke arahnya. Selepas itu, Datin Aisyah meminta diri untuk ke tingkat atas. Untuk menunaikan solat Maghrib. Jamilah juga meminta diri untuk menunaikan solat. Hanya Durrah sahaja yang masih tercegat di dapur.
“Kamu tak solat ke, Dura?” tanya Jamilah apabila dilihatnya Durrah sibuk mengemas dapur yang berselerak itu.
“Tak bolehlah, Kak Milah.” Memerah pipi Durrah. Segan pula untuk memberitahu bahawa dia sedang uzur walaupun Jamilah juga adalah seorang perempuan.
“Ohh...bendera jepun. Okaylah. Kak Milah pergi solat dulu.” Usik Jamilah dan terus berlalu pergi. Durrah meneruskan kembali kerja-kerja mengemas dapur.
BERSAMBUNG...
Sunday, April 18, 2010
SEINDAH AL-HAMRA BAB 10
Yang merepek merapu meraban Aishah Hamzah at 4/18/2010 05:44:00 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 tukang komen paling setia:
Post a Comment