BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, June 29, 2009

Kau Milikku 23

BAB 23

JAM loceng Faizal berdering nyaring tepat jam 6 pagi. Dizyan mengeliat. Meregangkan sendi-sendi yang kendur akibat tidur di tempat yang kurang selesa. Dia menggosok mata yang kabur. Sempat lagi Dizyan duduk di atas sofa tersebut dan termenung. Faizal menekup mukanya dengan bantal. Belum pernah dia bangun seawal jam ini. Siapa pula yang pandai-pandai ubah waktu jam locengnya berdering? Dizyan mematikan jam loceng yang bunyinya semakin kuat. Dizyan melihat wajah Faizal yang berada di bawah bantal. Wajah lelaki itu sangat tenang di dalam tidurnya. Kalau dia terjaga, mulutnya itu yang membuatkan sesiapa sahaja akan berasa sakit hati. Leka Dizyan memerhatikan seraut wajah Faizal itu. Kadangkala dia tersenyum kecil.
“Handsome sangat ke aku ni sampai kau tengok tak berkelip?” tiba-tiba terdengar Faizal berkata sesuatu. Dizyan tersentak dari lamunan. Kegelisahan gadis itu dibuatnya.
“Hish...perasanlah. Keling botol lagi handsome dari awak tau.” Dizyan melipat gebar yang dijadikan selimutnya itu. Faizal tersenyum kecil tetapi matanya tidak dibuka luas. Dia hanya memandang Dizyan melalui mata yang dibuka kecil.
“Masalahnya, kau tak kahwin dengan keling botol. Kau kahwin dengan aku.” Faizal berkata lagi. Dizyan mencebik. Malas mahu melayan Faizal, dia terus mencapai tuala yang berada di dalam beg pakaiannya. Sejak semalam belum sempat untuk dia menyimpan pakaiannya di dalam almari.
Selesai membersihkan diri, Dizyan mengambil wuduk untuk bersolat Subuh. Usai bersolat, dia melipat sejadah dan telekung digantung di tempat penyidai baju. Memandang ke arah katil. Faizal masih lagi bergelumang di atas katil. Dizyan menggelengkan kepalanya perlahan. Dia mendekati Faizal dan teragak-agak dia menyentuh Faizal. Tetapi jika tidak digerakkan nanti, Faizal akan tertinggal Subuh. Gerakkan sahajalah. Kalau dia marah, pekakkan sahaja telinga.
“Awak...bangun awak. Subuh dah nak habis dah ni. Cepatlah bangun.” Dizyan berkata perlahan. Masih tiada respon daripada Faizal. Dizyan menelan air liur. Sekali lagi dia menyentuh bahu Faizal.
“Awak...bangunlah.” kali ini Dizyan menggoncangkan bahu Faizal lebih kuat. Faizal mengeliat dan menepis tangan Dizyan.
“Kacaulah. Kejap lagi aku bangun.” Faizal mengambil bantalnya dan menekup muka. Dizyan menggigit bibir. Kemudian, tersenyum sinis. Dia bangun dari katil dan menuju ke bilik air. Terkapai-kapai Faizal bangun kerana disangkanya dia sedang lemas apabila Dizyan mencurahkan segayung air ke muka Faizal. Dilap muka yang basah kuyup itu. Memandang Dizyan dengan tajam.
“Saya dah suruh bangun. Awak tak nak bangun. Inilah padahnya orang yang malas nak bangun solat Subuh.” Dizyan berkata sambil menggawangkan gayung air tersebut dihadapan wajah Faizal. Dia membawa semula gayung air itu ke dalam bilik air.
“Nanti kau. Tak apa...tak apa....Ini hari kau. Esok-esok hari aku.” Ujar Faizal perlahan. Dizyan yang melangkah keluar dari bilik air menuju ke pintu bilik, mengalih pandang ke arah Faizal.
“Jangan lupa solat pulak. Saya nak turun buat sarapan ni.” Ujar Dizyan. Terus memulas tombol pintu dan menutup semula pintu bilik tersebut setelah keluar dari bilik yang dahulunya milik Faizal itu. Faizal mendengus geram. Tiba-tiba terlintas satu idea di fikirannya. Dia tersenyum sinis. Kemudian, Faizal melompat turun dari katilnya dan mencapai tuala. Dia melangkah masuk ke dalam bilik air untuk membersihkan diri sebelum bersolat.


KELIHATAN Sutinah sedang sibuk menyediakan sarapan pagi di dalam dapur. Dizyan yang baru sahaja turun dari tingkat atas terus mencapai teko serta sudu untuk membancuh kopi. Dipanaskan air yang berada di dalam teko pemanas. Dimasukkan 5 sudu besar gula dan 2 sudu besar serbuk kopi. Sutinah yang baru perasan akan kehadiran Dizyan itu tersenyum lebar melihat anak gadis yang dahulunya datang sebagai pembantu rumah. Kini, sekali lagi datang di rumah banglo itu tetapi sebagai menantu kepada majikannya.
“Nggak apa-apa, Yan. Bibik bisa ngurusin sendirian. Kamu pergi liat(lihat) aja samada Ijal itu udah siap atau belum.” Sutinah berkata. Serba-salah Dizyan dibuatnya.
“Tak apa, Bik. Biar saya bancuh air dulu.” Ujar Dizyan.
Sebaik sahaja suis teko pemanas sudah berdetik, Dizyan menuang air panas yang masih mendidih itu ke dalam teko. Berasap sahaja. Dikacau bancuhan kopi tersebut dan diletakkan cawan-cawan yang sedondon dengan teko tersebut ke atas dulang. Kemudian, diletakkan di atas meja makan. Setelah itu, Dizyan melangkah semula ke tingkat atas untuk melihat Faizal samada sudah siap atau masih berulit di atas katil. Dibuka pintu bilik itu perlahan. Terkejut besar Dizyan melihat bilik yang semak seperti tongkang pecah. Faizal yang baru sahaja keluar dari walk-in wardrobe nya, memandang Dizyan dengan senyuman yang sukar dimengerti. Tali leher yang masih belum diikat, tergantung dileher Faizal. Dia mendekati Dizyan dan hanya menunggu untuk gadis itu mengikat tali lehernya. Dizyan melepaskan keluhan perlahan. Tetapi diikatkan juga tali leher itu.
“Kemas bilik ni. Aku tak nak tengok semak macam ni. Selagi tak kemas, kau tak boleh turun.” Ugut Faizal semasa Dizyan sedang mengikat tali lehernya itu. Hati Dizyan mendongkol geram. Sengaja diketatkan ikatan tali leher tersebut sehingga menjerut tengkuk Faizal.
“Woi...kau nak cekik aku ke?” Faizal berkata keras. Dia melepaskan diri dari tangan Dizyan yang masih mencengkam tali lehernya itu.
“Baiklah, Encik Faizal.” Dizyan berkata mengejek. Faizal tersenyum sinis.
“Bagus! Malam nanti, kau jangan tidur awal. Aku ada benda nak bincangkan dengan kau.” Ujar Faizal lagi. Dizyan hanya mencebik. Malas melayan karenah Faizal yang tidak menentu itu.
Setelah Faizal keluar dari bilik tersebut, Dizyan melepaskan keluhan kuat. Semaknya! Dizyan mula kemas almari pakaian Faizal dan katil yang berselerak dengan bantal yang jatuh ke atas lantai itu. Kemudian, mengemas pula meja solek. Habis barang keperluan penjagaan asas muka Dizyan itu berselerak. Dia bergerak pula ke bilik air setelah dilihatnya kesemua barang sudah disusun atur dengan elok. Bathtub yang masih penuh dengan air, ditarik penyumbat lubang air itu supaya air dapat menuruni lubang tersebut dengan cepat. Syampu dan sabun mandi gel yang berterabur di atas lantai, diletakkan semula di atas rak khas yang memang ada di dalam bilik air tersebut. Berus gigi dan ubat gigi yang berselerak di atas sinki, diletakkan semula di tempatnya.
Faizal turun ke bawah untuk bersarapan bersama ibu dan bapanya. Ditarik kerusi dan duduk menghadap Datin Rubaiyah yang sudah lama berada di meja makan itu.
“Morning, Ma.” Ucap Faizal. Tersenyum pada ibunya.
“Morning, sayang.” Datin Rubaiyah menjawab. Diambil pinggan dan dicedukkan bihun goreng ke dalam pinggan. Air kopi yang masih berasap dituang di dalam cawan. Datin Rubaiyah ingin bertanya sesuatu. Dahinya dikerutkan.
“Isteri Zal mana?” tanya Datin Rubaiyah. Faizal mendongak memandang wajah Mamanya.
“Tu ada kat atas. Tidur lagi.” Bohong Faizal. Berkerut marah wajah Datin Rubaiyah. Faizal tersenyum dalam diam. Dia memang tahu Datin Rubaiyah memang pantang jika seorang isteri bangun lambat dari suaminya dan tidak menyediakan keperluan untuk sang suami sebelum si suami berangkat ke tempat kerja. Datin Rubaiyah mendengus marah.
“Hish...apa nak jadi dengan perempuan zaman sekarang ni? Pemalas.” Ujar Datin Rubaiyah sebelum meneruskan suapan.
“Papa mana, Ma?” Faizal bertanya apabila tidak kelihatan bayangan Datuk Farid sejak dari tadi.
“Papa outstation. Ada urgent meeting kat Singapore. Lepas Subuh tadi, Pak Leman dah datang ambil Papa.” Jelas Datin Rubaiyah. Faizal mengangguk perlahan.
Dizyan memandang sekeliling bilik. Berpuas hati dengan susun atur di dalam bilik itu, dia melangkah ke tangga untuk turun ke tingkat bawah. Datin Rubaiyah sedang enak bersarapan bersama anak lelakinya. Faizal memandang ke arah tangga apabila terperasan akan bayangan gadis itu yang baru melangkah turun dari tangga. Dia berdehem kecil. Dizyan mendekati meja makan tersebut.
“Assalamualaikum, Mama.” Ucap Dizyan pada Datin Rubaiyah. Wanita itu langsung tidak mengalih pandang ke arah menantunya. Salam Dizyan hanya dijawab di dalam hati. Tiada jawapan daripada Datin Rubaiyah, Dizyan terus sahaja ingin ke dapur. Tetapi kata-kata Datin Rubaiyah membuatkan langkah kaki Dizyan terhenti.
“Selamat pagi, tuan puteri. Awal tuan puteri bangun.” Perli Datin Rubaiyah. Dizyan tersentak. Apa maksud Datin Rubaiyah itu?
“Dah pukul berapa ni baru nak bangun? Kamu ni isteri jenis apa ha. Bangun lambat dari suami. Sepatutnya kamu dah kena ada kat bawah, sediakan sarapan. Biarpun ada Bibik tapi tugas kamu sebagai isteri tetap kamu kena laksanakan.” Panjang lebar Datin Rubaiyah berceramah. Dizyan hanya menundukkan wajah.
“Entahlah, Ma. Macam mana Zal boleh dapat isteri pemalas macam ni.” Faizal turut menyokong kata-kata Mamanya itu. Dizyan menjeling tajam ke arah Faizal.
“Tapi Ma, Yan dah lama bangun. Yan....” belum sempat Dizyan menghabiskan ayatnya, sudah dipintas oleh Datin Rubaiyah yang memandangnya tajam.
“Pandai pulak kamu nak melawan cakap Mama, ya. Tanggungjawab isteri tu, haruslah kamu laksanakan dengan baik. Tak adalah nanti orang nak cakap buruk tentang menantu Datin Rubi dan Datuk Farid. Isteri kepada Fezrull Faizal. Kalau kamu tak fikir tentang diri kamu tu, fikirlah tentang kami. Kebaikan keluarga kami, jaga maruah suami dan jaga nama baik kami.” Dizyan terasa disindir dengan kata-kata Datin Rubaiyah itu. Sedangkan, baru hari pertama dia bergelar menantu di rumah itu. Dizyan sudah tidak tahu hendak berkata apa-apa lagi.
“Zal pergi dulu, Ma.” Ujar Faizal. Diambil tangan Datin Rubaiyah dan tunduk menyalami Mamanya itu. Datin Rubaiyah mengusap perlahan kepala Faizal. Semasa Faizal melintasi Dizyan, sempat dia mengalih pandang ke arah gadis itu dan tersenyum sinis.
“Apa lagi yang tercegat kat situ tu? Pergilah hantar suami kamu sampai pintu pagar. Itupun nak kena cakap ke. Jangan lupa. Salam tangan Zal tu.” Datin Rubaiyah berkata geram. Dizyan mengangguk perlahan dan membuntuti Faizal sehingga ke keretanya. Faizal membunyikan alat penggera keretanya. Dimasukkan beg bimbit serta kot ke dalam kereta. Dizyan hanya berdiri tercegat tanpa berkata sepatah perkataan pun. Faizal memandang Dizyan sekilas dan bersedia untuk masuk ke perut kereta.
“Awak...” panggil Dizyan. Pergerakan Faizal terhenti. Dizyan menghulurkan tangan. Huluran tangan Dizyan disambut lambat-lambat. Terus sahaja Dizyan tunduk menyalami Faizal. Dengan pantas, Faizal menarik semula tangannya.
“Buat baik dengan Datin Rubi tu. Apa yang dia kata dengar je. Jangan melawan. Dia tak suka orang melawan cakap dia.” Pesan Faizal. Serba-salah pula Faizal apabila melihat wajah keruh isterinya itu. Dizyan mengangguk perlahan dan mengukirkan senyuman kecil. Enjin kereta Faizal menderu bunyi meninggalkan perkarangan rumah banglo itu. Dizyan melangkah semula masuk ke dalam rumah.


KEHADIRAN Faizal di pejabat pagi itu, mengejutkan para pekerjanya yang tahu dia masih bercuti untuk berbulan madu. Ian Khalif yang baru sahaja tiba di lobi, turut terkejut. Dia menepuk bahu Faizal yang baru sahaja hendak masuk ke dalam lif.
“Aku ingatkan kau masih honeymoon. Baru semalam selesai majlis kau. Hari ni dah kerja balik?” Ian Khalif berkata. Faizal hanya tersenyum. Malas mahu mengulas panjang kerana para pekerja yang sememangnya kaki penyibuk juga turut berada di dalam lif. Ian Khalif faham akan tindakan Faizal itu.
“Kau tak pergi location?” Faizal pula yang bertanya.
“Pergi. Tapi ni aku tertinggal barang. Tu yang kena balik office kejap ni.” Ujar Ian Khalif. Sebaik sahaja pintu lif terbuka di tingkat 10, Ian Khalif melangkah keluar. Sempat menunjukkan isyarat bahawa dia akan menelefon kepada Faizal. Sahabatnya itu hanya mengangguk.
Faizal melintasi meja Hartanty. Gadis itu sedang sibuk berada di talian. Wajahnya juga mempamerkan reaksi terkejut melihat kehadiran Faizal. Ketuanya sempat tersenyum dan mengenyitkan mata ke arah Hartanty. Faizal memulas tombol pintu bilik dan masuk ke dalam bilik itu yang terasa nyaman dan damai itu. Berada di rumah dan sebilik dengan Dizyan membuatkan Faizal terasa sesak nafas. Terasa ingin tinggal sahaja di pejabat. Pintu bilik Faizal diketuk perlahan. Arahan masuk diberikan. Terjengul wajah Hartanty dengan membawa segelas Nescafe yang masih berasap. Hartanty meletakkan gelas tersebut ke atas meja.
“Maaf, bos. Saya tak tahu bos kerja hari ni. Jadi, saya tak buat air pun.” Ujar Hartanty takut-takut. Faizal ingin tergelak melihat reaksi Hartanty itu. Tetapi wajahnya tetap diseriuskan.
“Kenapa awak tak buat air saya? Kalau saya pecat awak, awak nak?” Faizal bertanya dengan wajah serius. Hartanty terus mendongakkan wajah dengan mata yang terbeliak.
“Pe...pe...pe...pec...pecat?” tergagap-gagap Hartanty bertanya. Kemudian, Faizal tertawa kecil. Makin lama, berdekah-dekah.
“Sudahlah, Tanty. Saya pun memang tak beritahu yang saya start dah kerja hari ni. Lagipun, malaslah duduk rumah lama-lama.” Faizal menukas. Ditarik laci yang disimpan komputer ribanya. Diambil dan dicucukkan adaptor ke komputer riba itu sebelum menekan suis on. Hartanty mengangguk perlahan. Dahinya dikerutkan. Setahu dia, Datuk Farid sudah memesan bahawa Faizal akan bercuti selama seminggu kerana berbulan madu. Alih-alih, Faizal muncul di tempat kerja.
“Ada apa-apa lagi ke?” tanya Faizal apabila dilihatnya Hartanty menggarukan kepala yang tidak gatal. Hartanty memandang Faizal dan dengan pantas menggeleng.
“So, hari ni saya ada apa-apa appointment?” Faizal sekali lagi bertanya.
“Disebabkan Datuk Farid beri arahan yang bos cuti seminggu, selama seminggu ni lah bos tak ada apa-apa appointment.” Ujar Hartanty.
“Okay. Cuba check schedule Aaron Aziz dan Elly Mazlein. Saya nak berjumpa dengan dia orang. Nak discuss pasal drama bersiri untuk Astro Prima tu.” Arahan pertama yang diberikan oleh Faizal setelah kembali bekerja. Hartanty mengangguk. Dia tidak membawa sekali organizer untuk catitan. Jadi, disimpan data-data itu ke dalam otaknya.
“Lagi, bos?”
“Bila Encik Aneeq free, suruh dia datang jumpa saya. Saya nak tanya dia pasal progress slot Cerekarama tu. Dengar kata, ada problem dengan pelakon.” Arahan kedua pula diberikan. Sekali lagi Hartanty terangguk-angguk seperti burung belatuk.
“Ada apa-apa lagi, bos?”
“Okay, that’s all for now. Cuma saya nak follow up cepat sikit daripada Encik Aneeq.” Faizal berkata lagi. Hartanty mengangguk dan beredar dari bilik Faizal setelah menerima arahan-arahan yang perlu dilaksanakannya secepat mungkin.


LEKA Faizal melakukan kerja-kerja yang terbengkalai sehingga tidak sedar waktu sudah tengah hari. Pintu bilik diketuk. Selepas arahan masuk diberikan, Hartanty terus meluru masuk ke dalam bilik pejabat Faizal itu.
“Yes, Tanty?” Faizal bertanya. Matanya masih tidak lepas dari memandang skrin komputer riba.
“Cik Zhety nak berjumpa dengan bos.” Ujar Hartanty teragak-agak. Terus Faizal mendongak. Terkejut dengan perkhabaran itu. Memandang wajah Hartanty.
“Dia dah ada kat luar. Marah-marah, kata Mas.” Ujar Hartanty lagi. Diberitahu kepada Faizal apa yang baru didengarinya daripada Mastura. Faizal mengeluh kecil. Sebelah tangan disilangkan ke dada, sebelah lagi melurut dagu.
“Suruh dia masuk.” Ucap Faizal perlahan. Hartanty mengangguk pantas. Segera dia keluar dari bilik Faizal itu dan menuju ke kaunter penyambut tetamu. Kelihatan Ku Zhety sedang duduk sambil menyilangkan lengannya. Kaki yang panjang dan putih melepak itu, disilangkan. Wajahnya mencuka masam. Hartanty dan Mastura sama-sama berpandangan. Mastura menjuihkan bibirnya ke arah Ku Zhety. Wajah Hartanty juga kelat. Dia mendekati Ku Zhety.
“Cik Zhety, bos sedang tunggu Cik Zhety.” Ujar Hartanty. Ku Zhety memandang tajam ke arah penolong peribadi kekasihnya itu. Dia mendengus kuat dan bangun dari kerusi yang diduduknya. Dicapai tas tangan Louis Vitton miliknya. Hartanty mencebik ke arah Mastura apabila melihat pakaian yang dikenakan oleh Ku Zhety itu. Skirt pendek paras lutut dan baju tanpa lengan serta kasut tinggi bertali.
Tanpa menunggu kebenaran daripada Hartanty lagi, Ku Zhety terus meluru masuk ke dalam bilik pejabat Faizal. Ketika itu, Faizal yang sedang leka melakukan kerjanya, tercampak pen yang sedang dipegang. Dia melepaskan keluhan kecil. Ku Zhety menutup pintu bilik itu sehingga berdentum bunyinya. Hartanty mengurut dada yang terasa sakit. Fateen mendekati meja Hartanty.
“Kenapa tu?” sibuk sahaja Fateen bertanya.

“Dia dah tahulah agaknya tu.” Ujar Hartanty ringkas. Fateen turut mengangguk. Kemudian berlalu semula ke mejanya untuk menyelesaikan kerja yang tertangguh.


BERSAMBUNG....


Thursday, June 25, 2009

Kau Milikku 22

BAB 22

RUMAH Datuk Farid meriah dengan sanak-saudara yang datang berkunjung untuk melihat persiapan perkahwinan Faizal. Datin Rubaiyah dan Sutinah sibuk menyediakan makanan untuk mereka semua yang hadir. Fikhri dan Fathiq tidak dapat pulang ke Malaysia untuk menghadiri majlis perkahwinan abang mereka kerana sedang menghadapi peperiksaan akhir untuk semester itu. Salah seorang kakak Datuk Farid yang menyediakan segala kelengkapan perkahwinan. Dari bunga telur sehinggalah pelamin untuk bersanding secara kecil-kecilan walaupun sebelah Faizal hanyalah sambut menantu. Sudah berkali-kali Datin Rubaiyah menolak cadangan kakak Datuk Farid itu. Tetapi sebaliknya, Datuk Farid menyokong tindakan kakaknya. Segala persiapan sudah disiapkan. Hanya menunggu hari untuk akad nikah serta bersanding di sebelah pihak pengantin perempuan pada esok hari. Wajah Datin Rubaiyah tidak langsung menunjukkan keikhlasan menerima menantu pertama. Mencuka sahaja. Sehingga menimbulkan tanda tanya di benak saudara-mara yang datang menziarahi.
“Kamu dah jemput wartawan yang nak datang untuk buat liputan esok?” tanya kakak sulung Datuk Farid, Halimah. Datin Rubaiyah hanya mengangguk perlahan.
“Kamu ni kenapa, Rubi? Macam tak suka je nak dapat menantu.” Ujar Halimah sambil tangannya masih ligat membetulkan bunga telur yang terletak di atas pahar.
“Macam mana saya nak suka, Kak Limah. Bukan menantu pilihan saya.” Terus-terang Datin Rubaiyah memberitahu apa yang tersirat dihatinya. Halimah hanya menggelengkan kepala.
“Kamu kena ingat, Rubi. Hal ni adalah untuk menutup malu keluarga kamu. Kamu suka atau tidak, semua ni kamu kena tolak ketepi. Yang penting, jangan wartawan datang dan bawak cerita buruk tentang keluarga kamu pulak. Yang malu nanti Farid.” Nasihat Halimah. Sudah berbakul Datin Rubaiyah mendengar nasihat yang sama daripada adik beradik yang lain.
“Apa lagi yang nak saya tolong, Kak Limah?” Datin Rubaiyah bertanya. Malas mahu memikirkan perihal itu lagi.
“Dah tak ada apa dah ni. Semua dah siap.” Ujar Halimah. Dia berdiri sambil menatang pahar yang penuh dengan bunga telur tersebut dan diletakkan di tepi pelamin.
Jam antik berdenting sebanyak 10 kali. Menandakan jam sudah menggerakkan jarumnya ke angka 10 malam. Kelibat Faizal masih juga belum pulang. Datuk Farid menyuruh Faizal untuk mengambil cuti sahaja bermula daripada hari Khamis. Tetapi dibangkang oleh Faizal kerana masih banyak kerja yang belum diselesaikannya lagi. Lagipun, dia bukannya beria-ia untuk berkahwin. Saudara-mara yang tinggal berdekatan sudah beransur pulang. Manakala yang tinggal berjauhan, tidur di rumah Datuk Farid. Rumah banglo itu masih mempunyai 4 buah bilik yang masih kosong. Sengaja Datuk Farid membina banglonya begitu. Supaya senang sanak-saudara yang datang dari jauh untuk menumpang tidur di rumahnya itu daripada terpaksa menempah hotel. Datuk Farid mundar-mandir di ruang tamu. Faizal masih belum pulang. Berkali-kali didail nombor telefon anak sulungnya itu. Tidak berjawab dan asyik masuk peti suara sahaja. Datin Rubaiyah yang masih sibuk bersembang dengan adiknya, Safura di meja makan yang terletak di dapur. Sambil dihidangkan kopi panas dan biskut kering, lebih rancak perbincangan mereka. Suami Safura, Rais sudah lama masuk tidur. Tidak tertahan mata yang terasa mengantuk kerana seharian memandu dari Changlun, Kedah ke Kuala Lumpur.
Kereta Mazda MX-5 baru sahaja memasuki perkarangan rumah. Diparkir keretanya di dalam garaj. Membawa kot dan beg bimbit turun dari kereta. Wajah yang keletihan ketara sangat yang ditunjukkan oleh Faizal. Datuk Farid segera menuju ke pintu utama setelah pintu tersebut dibuka oleh Sutinah yang menyedari kepulangan Faizal. Diserah beg bimbit dan kotnya kepada Sutinah. Terkejut Faizal melihat wajah Datuk Farid yang muncul di sebalik pintu. Terdengar dia melepaskan keluhan. Sudah pasti Datuk Farid ingin membebel. Ditadah sahaja telinganya itu.
“Kenapa Zal lambat balik? Zal tahu tak esok pagi Zal nak akad nikah.” Datuk Farid berkata. Faizal malas hendak melayan kata-kata Datuk Farid dan terus sahaja beredar dari situ.
“Zal, Papa cakap dengan Zal ni.” Ujar Datuk Farid. Suaranya bertambah serius.
“Zal dengarlah, Pa. Zal penat ni. Okay? Papa nak membebel ke, apa ke, esok je. Zal dah tak larat lagi dah. Kepala Zal dah pening. Goodnight, Pa.” ucap Faizal sambil kakinya melangkah naik ke tingkat atas dengan cepat.
“Zal, bangun awal esok. Kita kena keluar dari rumah pukul 10 pagi.” Sempat Datuk Farid berpesan. Faizal mengangkat tangan dan mengangguk perlahan walaupun tidak pusing menghadap Papanya. Datuk Farid melepaskan keluhan dan menggeleng perlahan.
“Sudahlah tu, Bang. Dah cukup bagus kalau esok dia ikut perancangan Abang tu. Buatnya dia lari…tak ke naya. Abang tu cukup-cukuplah membebel. Lebih daripada saya pulak.” Datin Rubaiyah yang muncul dari belakang dengan Safura itu benar-benar mengejutkan Datuk Farid yang sedang mengelamun. Safura tersenyum kecil.
“Tak apalah, Kak Rubi…Abang Farid. Pora naik atas dulu.” Ujar Safura. Dia berlalu melintasi Datuk Farid yang berdiri di atas tangga. Datin Rubaiyah mendekati Datuk Farid yang bersandar di rel tangga. Memeluk lengan suaminya. Datuk Farid menarik lengannya perlahan dan memeluk bahu isteri tercinta. Hampir 26 tahun menyemai cinta, sekalipun Datuk Farid tidak pernah memandang perempuan lain. Baginya, Datin Rubaiyah adalah cinta pertama dan terakhir buat diri dia.
Faizal menghempaskan badan yang keletihan ke atas katil. Tangan sebelah diletakkan di atas dahi. Memandang kipas siling yang berputar perlahan. Biarpun sudah memasang penghawa dingin, kedinginnya masih belum terasa. Dipasang pula kipas siling. Hatinya terasa panas membara. Esok adalah hari bersejarah buat orang yang berkahwin bersama pilihan hatinya. Tetapi bagi Faizal, esok adalah hari yang paling ingin sekali dielakkannya. Kalau dia lari meninggalkan majlis begitu sahaja, pasti kesemua ahli keluarganya menanggung malu. Begitu juga dengan keluarga Dizyan. Faizal memejamkan matanya serapat mungkin. Berharap ini semua adalah mimpi. Lusa Ku Zhety akan pulang dari Milan. Bagaimanakah agaknya reaksi Ku Zhety jika perkara ini tersebar ke pengetahuan dia tanpa sempat Faizal memberitahu apa-apa? Ahli kumpulan Faizal and the boys sudah memaklumkan kedatangan mereka ke majlis Faizal itu. Turut serta pengantin baru, Najib dan Nadia. Mereka semua terkejut dengan perkahwinan segera Faizal ini. Tambahan pula, Faizal akan berkahwin dengan musuh ketat mereka. Bukan dengan Ku Zhety.
“Argh!!!!” Faizal menjerit kuat. Nasib baik bilik yang tertutup rapat itu tidak dapat didengari suaranya sehingga ke bilik sebelah. Dia bangun dari katil dan menarik tali lehernya dengan kasar. Dicampak ke atas lantai. Baju kemeja serta seluarnya juga dicampak ke atas lantai.


HARI pernikahan Faizal dan Dizyan, akhirnya tiba jua. Serasa Faizal ingin melarikan diri dengan terjun dari balkoni. Tetapi bila difikirkan ketinggiannya semula, terus dia tidak jadi melakukan apa yang dihajati. Seawal jam 6 pagi, Datin Rubaiyah sudah mengejutkan Faizal. Berhempas-pulas Faizal di atas katil. Liat untuk bangun pagi. Tetapi disebabkan ketukan tanpa henti itu, digagahkan jua diri untuk bangun. Faizal membuka pintu biliknya dengan kasar.
“Bangun, sayang. Papa panggil solat Subuh berjemaah kat bawah.” Ujar Datin Rubaiyah yang sudah siap bertelekung. Faizal mendengus geram. Mulut yang terbuka luas, segera ditutup dengan telapak tangan. Dia masuk semula ke dalam bilik dan mencapai tuala yang tersangkut di tepi pintu bilik air. Membersihkan diri dan berpakaian sopan. Berbaju Melayu, berkain pelikat dan bersongkok. Kemudian, Faizal turun ke tingkat bawah. Dilihatnya sanak-saudara sudah sedia menunggunya. Bapa saudara Faizal suami kepada Halimah, Ghaffar menarik tangan Faizal untuk berdiri di sebelahnya. Usai bersolat Subuh, mereka dijamu sarapan pagi yang disediakan oleh Sutinah dan ditolong oleh anak-anak saudara perempuan Datuk Farid dan Datin Rubaiyah yang uzur. Faizal tidak begitu berselera untuk menjamu sarapan seawal itu. Dia terus masuk ke dalam biliknya untuk berbaring. Kesan kantuknya masih ada.
Difikirkannya hendak lelap sekejap sebelum bangun untuk bersiap. Tidak menyangka pula bahawa terlelap sehingga jam 9 pagi. Kelam-kabut Faizal bangun untuk membersihkan diri dan bersiap. Pintu biliknya diketuk perlahan. Faizal membuka pintu tersebut sambil menggigit kain sampin yang masih belum diikat. Abang sepupu Faizal, Zakwan dan adiknya, Zakir tergelak kecil melihat kelakuan Faizal itu. Mereka berdua masuk ke dalam bilik Faizal. Zakwan menolong Faizal mengikat sampin. Manakala Zakir hanya duduk di atas katil Faizal dan melihat sahaja. Zakwan dan Zakir memang bersahabat baik dengan Faizal sedari kecil lagi. Mereka berdua selalu tidur dan bermain di rumah Datuk Farid apabila tiba waktu cuti sekolah. Kini, Zakwan menjadi pensyarah di salah sebuah universiti tempatan di Malaysia. Manakala Zakir pula menjawat jawatan Penolong Pengarah di sebuah syarikat yang mempunyai empayar terbesar di Malaysia. Mereka bertiga pernah bertaruh bahawa siapa yang akan berkahwin dahulu. Zakwan dan Zakir selalu mengatakan Faizal yang akan mendirikan rumah tangga dahulu. Kerana rupa parasnya yang memang kacak serta berkarisma tinggi, dapat menawan mana-mana perempuan yang boleh dijadikan isteri. Tetapi Faizal tidak bersetuju. Dia menyatakan dengan tegas bahawa Zakir yang akan terlebih dahulu berumah tangga kerana dia itu pandai mengayat wanita dan digelar kasanova.
“Dah siap. Uish...handsome kau hari ni, Zal. Mesti permaisuri kau pun cantik jugak.” Usik Zakwan. Zakir ketawa mengekeh. Faizal mencebik.
“Ada-ada jelah, Abang Wan ni. Dahlah tu. Jom.” Faizal malas mahu memanjangkan lagi usikan mereka berdua itu. Dia memandang sekilas dirinya di dalam cermin.
“Turun pun pengantin kita ni. Lamanya make-up.” Usik Ghaffar. Yang lain hanya tersenyum melihat kekacakan Faizal di dalam baju Melayu berona putih itu. Dia hanya tersenyum hambar.
“Jom cepat semua. Kita dah lambat ni.” Ujar Datuk Farid. Mereka yang lain berpusu-pusu keluar dari rumah dan menaiki kenderaan masing-masing. Datuk Farid menyuruh Faizal menaiki keretanya sendiri tetapi dipandu oleh Zakwan. Faizal menolak. Pantang baginya jika orang lain yang membawa kereta dia. Dia lebih suka memandu sendiri. Zakwan hanya menjadi penumpang keretanya.


SETENGAH jam kemudian, rombongan pihak lelaki tiba dihadapan rumah Tuan Haji Azmin. Khemah-khemah yang dibina di sepanjang jalan hadapan rumahnya menghalang kenderaan rombongan pihak lelaki untuk meletakkan kereta mereka berdekatan rumah banglo milik keluarga Dizyan. Lambat-lambat Faizal turun dari keretanya. Kenderaan-kenderaan milik wartawan yang tiba awal di rumah Dizyan sudah memenuhi jalan-jalan utama disitu. Ahli keluarga pihak lelaki menatang dulang hantaran. 7 dulang berbalas 9 dulang. Kesemua ahli keluarga Faizal menjejakkan kaki masuk ke dalam rumah Dizyan dan diletakkan dulang-dulang hantaran tersebut di atas permaidani yang sudah dihampar khas. Dulang hantaran daripada pihak perempuan juga sudah diletakkan di atas permaidani tersebut. Perlahan kaki Faizal melangkah masuk ke dalam rumah. Kesemua hadirin dan para wartawan yang hadir terpegun melihat ketampanan wajah Faizal. Dia melabuhkan punggungnya di atas kusyen yang disediakan. Duduk menghadap jurunikah. Entah kenapa hatinya berdebar-debar sedangkan dia langsung tidak ada niat untuk berkahwin. Selesai segala urusan yang diuruskan oleh jurunikah setelah meminta tandatangan pengantin lelaki dan perempuan. Tuan Haji Azmin ingin sendiri menikahkan Dizyan. Tanggungjawab itu diserahkan oleh jurunikah kepada abah Dizyan. Tuan Haji Azmin menghulurkan tangan dan disambut oleh Faizal. Digenggam erat jari jemari menantunya itu.
“Aku nikahkan dikau dengan Dizyan Farhana binti Azmin dengan mas kahwin RM 80, tunai.” Ucap Tuan Haji Azmin dengan sekali nafas.
“Aku terima nikahnya Dizyan Farhana binti Azmin dengan mas kahwin RM 80 tunai.” Jawab Faizal pula. Hanya dengan sekali lafaz, Dizyan sah bergelar isteri kepada lelaki yang langsung tidak disangka akan menjadi suaminya satu hari nanti. Dizyan yang berada di dalam bilik menitiskan airmata. Dia tidak tahu kenapa dia harus begitu. Tetapi yang pasti airmatanya tetap turun.
“Bawak turun pengantin.” Salah seorang daripada hadirin berkata. Misha yang menjadi pengapitnya dikehendaki membawa Dizyan turun ke tingkat bawah. Perlahan-lahan langkah kaki Dizyan melangkah turun ke bawah. Dizyan kelihatan anggun sekali dengan baju kebaya berorganza putih dan tudung melitupi kepalanya. Wajahnya disolek cantik. Mata Faizal terkaku pada Dizyan tetapi hatinya tidak langsung rasa berdebar.
Dizyan duduk bersila di atas pelamin. Berkelipan lampu kamera milik wartawan yang hadir. Mengambil gambar perkahwinan anak pemilik RUFA Tower, Fezrull Faizal Datuk Farid dan anak peguamcara dan peguambela terkenal, Dizyan Farhana Tuan Haji Azmin. Sebentuk cincin berlian emas putih diserahkan kepada Faizal oleh Asrul yang menjadi pengapitnya. Disarungkan ke jari manis Dizyan. Gadis itu turut menyarungkan sebentuk cincin emas putih ke jari Faizal. Kemudian, Dizyan tunduk menyalami Dizyan dan sebagai balasannya, Faizal mencium dahi Dizyan. Sekali lagi cahaya lampu kamera berkelipan. Bermacam gaya yang mereka posing untuk diambil gambar buat tatapan pembaca. Selesai bersanding, kedua pengantin diiringi oleh pengapit untuk menjamu selera di bawah khemah bersama para hadirin dan tetamu yang hadir. Semasa menjamu selera, mereka disuruh oleh jurugambar untuk acara suap-menyuap pula. Segan apabila disuruh berbuat demikian. Acara memotong kek juga telah disempurnakan oleh mereka berdua. Para jurugambar masih sibuk mengambil gambar setiap acara yang berlangsung. Tiba-tiba sahaja Faizal tergelak kecil. Dizyan memandang wajah suami yang baru dinikahinya itu dengan kerutan di dahi.
“Kenapa awak gelak?” tanya Dizyan. Tetapi tetap memberikan senyuman kepada jurugambar-jurugambar tersebut.
“Tak adalah. Kita kahwin macam sebab cinta. Tapi sebenarnya kita kahwin sebab kena tangkap basah.” Ujar Faizal perlahan di tepi telinga Dizyan. Meremang sebentar bulu roma Dizyan. Gadis itu tidak berkata apa-apa sebaliknya hanya tersenyum kecil.
Sedang mereka asyik disuruh berposing, mata Dizyan tertancap pada sekujur tubuh yang amat dikenalinya. Lama mata mereka bertaut. Aneeq mendekati pasangan pengantin yang baru sahaja berkahwin itu. Dizyan jadi gelisah. Tidak keruan. Dia mengalihkan pandangannya ke arah yang lain. Aneeq menepuk bahu Faizal dengan kuat. Terkejut sahabatnya itu.
“Woih! Kau baru sampai ke?” Faizal bertanya. Pautan di bahu Dizyan tidak dilepaskan.
“Taklah. Aku dah lama sampai. Dah makan dah pun.” Ujar Aneeq. Ingin sekali Dizyan melarikan diri jauh dari situ. Tidak mahu langsung melihat wajah lelaki itu.
“Congrats.” Ucap Aneeq seikhlas yang mungkin walaupun dalam hatinya bermacam perasaan yang melanda. Dihulurkan tangan dan bersalaman dengan Faizal. Dihulur pula pada Dizyan. Faizal menggoncangkan sedikit bahu Dizyan. Gadis itu beralih perlahan-lahan memandang Aneeq.
“Tahniah.” Aneeq berucap lembut. Dizyan hanya menyentuh jemari Aneeq di hujung jarinya sahaja. Kemudian, dia melepaskan diri dari pautan Faizal. Rimas berlama disitu.
“Pedulikan je dia tu. Angin tak berapa nak betul.” Faizal berkata. Menepuk-nepuk bahu Aneeq.
“Kau jagalah dia baik-baik.” Ujar Aneeq perlahan. Dahi Faizal berkerut.
“Apa kau cakap?” Faizal bertanya. Kurang jelas di pendengarannya apa yang diperkatakan oleh Aneeq. Lelaki itu tersenyum dan menggeleng. Kemudian, Faizal memperkenalkan Aneeq pada saudara-saudara perempuannya.



KEBANYAKAN saudara-mara yang datang sudah beransur pulang. Yang tinggal berjauhan juga sudah pulang sebaik sahaja selesai kenduri menyambut menantu bagi pihak Datuk Farid pada keesokkan harinya. Faizal yang kepenatan, terus sahaja masuk ke dalam bilik dan membaringkan diri. Tanpa menukar baju dan membersihkan badan yang melekit. Entah bila masa dia terlelap pun, dia tidak sedar. Faizal terkejut jaga apabil terasa seperti seseorang membuka pintu biliknya. Dalam kesamaran cahaya lampu bilik, terkebil-kebil mata Faizal memandang satu lembaga. Digosok matanya perlahan. Dizyan sedang berdiri menghadap cermin. Menyisir rambutnya yang panjang ikal mayang itu.
“Kau buat apa dalam bilik aku ni?” tanya Faizal dalam suara yang tersekat-sekat. Penat tadi masih belum hilang.
“Kita kan dah jadi suami isteri. Kalau ini bilik awak, bermakna inipun bilik sayalah. Takkan saya nak tidur bilik tamu pulak. Nanti apa kata Mama dan Papa.” Ujar Dizyan. Diletakkan sikat itu semula ke atas meja solek dan berjalan mendekati katil. Dilabuhkan punggung ke atas katil. Ditepuk bantal tidur itu berulang kali. Faizal hanya mengerutkan dahi memerhatikan gerak geri Dizyan itu.
“Kau buat apa ni?” sekali lagi Faizal bertanya. Matanya tidak lepas dari memandang Dizyan.
“Nak tidurlah. Penat.” Jawab Dizyan ringkas. Seraya itu, Dizyan membaringkan diri dan membelakangkan Faizal yang masih terpinga-pinga.
“Eh, suka hati kau je. Ni katil aku. Kalau kau tak boleh tidur bilik lain, sekurang-kurangnya kau tak boleh tidur atas katil aku ni.” Faizal berkata. Dizyan masih membelakangkan Faizal.
“Saya peduli apa. Dahlah. Tidur je. Saya ni penat, tau. Bercakap dengan awak, boleh mengurangkan tenaga saya lagi.” Dizyan malas mahu melayan karenah Faizal yang tidak berkesudahan itu. Faizal mencebik geram.
“Kau penat, ya? Nanti kau.” Faizal berkata dalam hati. Dia mengengsot mendekati Dizyan dan dengan perlahan-lahan menolak badan gadis itu. DIzyan yang tidak sempat berbuat apa-apa, terus jatuh tersembam ke atas permaidani yang dihampar di dalam bilik itu.
“AAAAA....” Dizyan menjerit. Menggosok punggung yang terasa sakit. Dia segera bangun berdiri dan menjeling tajam ke arah Faizal. Lelaki itu hanya tersenyum sinis.
“Kau pergi tidur atas sofa tu. Ni katil aku.” Faizal berkata dan sengaja mendepangkan kakinya. Tidak mahu Dizyan kembali merebahkan diri di atas katilnya. Dizyan mencebik geram. Dia ingin mengambil bantal tidur. Tetapi Faizal tidak melepaskan sebiji bantal pun yang ada di atas katil itu.
“Fine.” Dizyan sudah semakin geram. Dia menarik gebar yang menyelimuti Faizal itu dan dibawanya ke sofa tersebut.
“Kalau saya tak dapat bantal, dapat selimut pun jadilah.” Dizyan berkata sinis. Dia segera baring di atas sofa itu dan menyelimuti dirinya yang kesejukan.
“Ada aku kesah? Tempat aku lagi best. Katil ni...ermm empuknya. Bantal ni...huih best tu.” Sengaja Faizal ingin membakar perasaan Dizyan. Entah bila masa sedang berseronok bertikam lidah, mereka sama-sama terlena di tempat tidur masing-masing.

BERSAMBUNG....


Wednesday, June 24, 2009

Kau Milikku 21

BAB 21

KALI ini kemarahan Tuan Haji Azmin benar-benar terduga. Apabila mendapat tahu Dizyan ditangkap khalwat. Segera Tuan Haji Azmin dan Puan Hajjah Karissa pulang ke Kuala Lumpur dengan menaiki kapal terbang seawal jam 8 pagi dari Kedah. Izham dan Yasmin juga turut ingin pulang tetapi dihalang oleh Tuan Haji Azmin. Dia membiarkan anak serta menantunya berseronok dahulu di kampung. Dizyan hanya duduk berteleku di sebelah Asyifa. Kakak sepupunya itu berulang kali mengusap belakang Dizyan. Puan Hajjah Karissa hanya duduk di sudut ruang tamu dan memerhatikan suami yang mundar-mandir dihadapan anaknya itu. Puan Hajjah Karissa tidak dapat menolong Dizyan. Sesekali terdengar keluhan kuat yang keluar dari mulut Tuan Haji Azmin. Akhirnya, Tuan Haji Azmin melabuhkan punggung di atas sofa. Menghadap Dizyan yang sedari tadi hanya menundukkan wajah.
“Abah dah berbincang dengan Datuk Farid. Dan, kami dah capai persetujuan.” Ujar Tuan Haji Azmin memulakan butir bicara. Dizyan mendongak wajah memandang Tuan Haji Azmin. Serius sahaja wajah Abahnya ketika itu.
“Kami nak Yan dan Faizal, kahwin.” Kata-kata Tuan Haji Azmin membuatkan Dizyan terpaku.
“Kahwin? Yan tak nak kahwin dengan Faizal, Abah. Yan tak suka dia.” Dizyan merayu. Dia berdiri dan mendekati Puan Hajjah Karissa. Duduk bersebelahan dengan Uminya. Mencari simpati si ibu.
“Yan...ini untuk kebaikan semua. Untuk kebaikan keluarga Datuk Farid dan untuk kebaikan keluarga kita.” Lembut sahaja Puan Hajjah Karissa berkata. Asyifa tidak berkata apa-apa. Tidak mahu masuk campur. Silap haribulan, dia juga turut akan terlibat sama dalam kemarahan Tuan Haji Azmin. Dizyan menggenggam erat jari jemari Puan Hajjah Karissa. Sengaja dia merengek tidak mahu. Mana tahu, lembut hati Puan Hajjah Karissa.
“Sudah! Yan jangan cuba nak pujuk Umi. Abah dan Umi dah setuju nak kahwinkan Yan. Perkahwinan ni dapat menyelamatkan maruah keluarga kita dan juga keluarga Datuk Farid. Kalau Yan tak nak kahwin, Yan akan malukan Abah dan juga Kak Syifa. Tolonglah, Yan. Jaga air muka kami. Kami peguam yang dikenali. Tentu malu jika keluarga kami menghadapi masalah macam ni.” Sudah memuncak kemarahan Tuan Haji Azmin. Dizyan mencebik. Tanda tidak puas hati. Tapi, apa salahnya buat kali ini, menuruti kata-kata Abah. Sudah banyak kali, dia melawan kata Tuan Haji Azmin jika apa yang disuruh oleh Abahnya itu tidak mendapat kepuasan hati Dizyan.
“Tapi Yan cuma kerja kat rumah dia, Abah.” Ujar Dizyan. Masih cuba mencari ruang simpati dalam diri Tuan Haji Azmin untuknya.
“Kerja kat rumah dia? Sebagai apa?” berkerut dahi Tuan Haji Azmin memandang Dizyan. Puan Hajjah Karissa dan Asyifa juga turut memandang gadis gempal itu. Dizyan tahu dia sudah terlepas kata.
“Sebagai....sebagai...pem...pembantu....rumah.” tergagap-gagap Dizyan menjawab. Wajahnya ditundukkan. Tidak mahu memandang wajah Tuan Haji Azmin yang menyinga.
“Pembantu rumah? Abah ingat, Yan kerja kat office. Selama ni Yan tipu kami semua? Apa nak jadi dengan Yan ni? Abah dah beri kebenaran untuk Yan kerja dengan orang di office. Bukan di rumah orang. Astaghfirullahilazim. Yan...Yan...” Merah menyala wajah Tuan Haji Azmin. Selama ini, disangkanya Dizyan bekerja di dalam pejabat. Tidak menyangka pula sebagai pembantu rumah. Hairan juga dia apabila dikhabarkan oleh salah seorang lelaki dari Pejabat Agama, bahawa Dizyan ditangkap khalwat bersama majikannya di dalam banglo milik majikan itu. Rupa-rupanya, Dizyan bekerja sebagai pembantu rumah. Tuan Haji Azmin mengeluh.
“Sudahlah, Abang. Benda dah jadi. Kita nak buat macam mana lagi.” Puan Hajjah Karissa berkata. Ingin memujuk hati suami yang sedang panas membara.
“Awak tengoklah anak awak ni. Mati-mati selama ni dia tipu kita. Itulah awak. Manjakan sangat budak ni. Apa kehendak dia, kita ikut saja. Cuba kalau awak bertegas sikit dengan dia ni macam awak tegas dengan Iz dan Syifa. Dah jadi orang, agaknya sekarang ni.” Kemarahan Tuan Haji Azmin dihamburkan pula kepada Puan Hajjah Karissa. Asyifa menahan gelak mendengarkan kata-kata Tuan Haji Azmin. Kedua orang tua dihadapannya itu pula seperti hendak memulakan pergaduhan.
“Ish...saya pulak. Abang tu, ha. Dulu saya suruh Abang tegas dengan Yan, Abang kata, tak apalah. Anak bongsu. Nanti kalau tegas sangat, jadi macam Iz pulak. Tak balik-balik lepas belajar. Sekarang ni Abang nak salah saya pulak.” Puan Hajjah Karissa memulangkan paku buah keras. Terdiam Tuan Haji Azmin. Memang diakui, itulah yang dikatakan kepada isterinya itu.
“Sudahlah. Saya malas nak bergaduh dengan awak.” Ujar Tuan Haji Azmin lalu berdiri. Dipandang tepat ke arah Dizyan yang masih menundukkan wajah.
“Yan, Abah nak Yan kahwin dengan budak Faizal tu, 3 bulan dari sekarang. Awak dan Syifa, tolong buat apa-apa persiapan yang patut. Walaupun kena tangkap basah, kita tetap akan menyambut menantu lagi 3 bulan.” Pesan Tuan Haji Azmin. Puan Hajjah Karissa dan Asyifa mengangguk tanda mengerti. Dizyan mendongak memandang bayangan Tuan Haji Azmin hilang dari pandangan. Satu keluhan kesal dilepaskan kuat oleh Dizyan. Puan Hajjah Karissa mengusap belakang Dizyan. Asyifa berdiri dan mendekati Dizyan. Ditepuk perlahan bahu Dizyan.
“Sabar, Yan. Kak Syifa yakin, pasti ada hikmahnya disebalik semua kejadian ini.” Ujar Asyifa. Melegakan hati Dizyan yang gundah gulana. Puan Hajjah Karissa tersenyum untuk menghilangkan keresahan hati anak bongsunya itu.
“Kak Syifa senanglah cakap. Yan ni yang susah hati.” Dizyan berkata perlahan. Kedua-dua wanita itu hanya tersenyum. Dia menyandarkan badan ke sofa empuk itu. Lemah sudah terasa segala badannya. Macam manalah agaknya kalau Faizal tahu rancangan keluarga mereka? Dizyan tidak mahu memikirkan kemungkinan itu.


“ZAL tak setuju, Pa. Papa nak Zal kahwin dengan orang gaji kita sendiri? Memang taklah.” Bantah Faizal sekerasnya. Faizal berdiri tercegat dihadapan Datuk Farid. Kata-kata Papanya itu langsung tidak boleh diterima. Diraup rambut yang berjuraian di dahi ke belakang. Datuk Farid memandang tajam ke arah anak sulungnya itu.
“Habis, kenapa boleh tinggal kamu berdua je dalam rumah ni? Bila masa budak Dizyan tu kerja dekat sini?” bertalu-talu soalan seperti peluru keluar menghambur dari mulut Datuk Farid.
“Manalah Zal tahu Bibik balik Kampung Medan. Zal ingat Bibik memang ada dalam rumah ni. Dia tu start kerja seminggu lepas Papa dan Mama pergi Switzerland.” Faizal menjawab soalan-soalan yang ditanya. Datin Rubaiyah hanya diam membisu.
“Jadi, kenapa kamu pakai seluar pendek dengan sleeveless t-shirt tu? Kamu tahu kan dia ada kat dalam rumah.” Kata-kata Datuk Farid seperti peluru menghujam dada Faizal ketika itu.
“Zal...Zal....Zal tak...” sudah tidak tahu hendak berkata apa lagi. Setiap ayat yang dihamburkan Datuk Farid itu ada benarnya.
“Papa dah tak nak dengar apa-apa lagi dah. Kamu akan kahwin dengan Dizyan, lagi 3 bulan.” Muktamad Datuk Farid menyatakan pendiriannya. Terduduk Faizal di kerusi. Berkahwin dengan musuh ketatnya sejak sekolah? Itu satu-satunya kemungkinan yang dia tidak langsung terfikir.
“Abang....Abang nak suruh Zal kahwin dengan budak tu? Saya ni tahu sangat taste perempuan yang Zal suka. Abang nak suruh budak tembam tu jadi menantu kita? Mana saya nak letak muka saya kalau kawan-kawan saya tengok menantu saya macam tu. Saya selalu beritahu dia orang semua yang bakal menantu saya, international model. Pelakon iklan.” Datin Rubaiyah sungguh tidak setuju dengan cadangan suaminya itu. Faizal mengangkat muka memandang Mamanya. Mengangguk dan turut bersetuju dengan kata-kata Datin Rubaiyah.
“Saya peduli apa. Muka saya ni lagi malu, tau. Press semua dah tahu yang anak pemilik RUFA Tower kena tangkap basah. Nasib baik saya slow talk dengan press. Kata, jangan hebohkan perkara ni. Faizal akan kahwin dengan budak yang dia kena tangkap basah tu. Kalau kawan-kawan awak tengok bakal menantu awak tu tak macam yang awak canangkan, awak malu kecil je tau. Kalau masuk paper, awak malu satu Malaysia. Mana awak nak?” Datuk Farid memandang tajam ke arah isterinya. Datin Rubaiyah mencebik. Faizal menghempaskan badan ke sofa yang didudukinya. Datuk Farid beredar dari situ dengan menggelengkan kepala yang separuh botak itu.
“Ma, Zal tak suka dengan dia.” Faizal berkata perlahan. Datin Rubaiyah mengengsot sedikit. Merapatkan badan dengan anak sulungnya itu.
“Mama tahu. Tapi kalau dah Papa kata hitam tu, hitam lah jawabnya. Mama dah tak boleh tolong Zal. Salah Zal jugak. Siapa suruh Zal pakai macam tu hari tu.” Datin Rubaiyah mengusap rambut Faizal semasa anak lelakinya itu membaringkan diri di atas peha Datin Rubaiyah. Satu keluhan kecil keluar dari mulut Faizal.


TARIKH perkahwinan Dizyan dan Faizal semakin hampir. Faizal langsung tidak mahu mempedulikan persiapan perkahwinannya. Bagi dia, itu bukanlah satu perkahwinan diatas kehendaknya. Faizal masih belum mengkhabarkan berita perkahwinan dia itu kepada orang bawahan juga teman sepejabat. Juga belum dikhabarkan kepada KU Zhety. Agaknya bagaimanalah penerimaan Ku Zhety nanti bila tahu dia akan berkahwin dengan perempuan yang sangat dibenci oleh mereka. Nasib baik Ku Zhety berada di Milan kerana menjayakan satu fashion show. Sepanjang 3 bulan Faizal dan Dizyan langsung tidak berhubung di antara satu sama lain. Berkali-kali Puan Hajjah Karissa meminta DIzyan untuk menelefon Faizal dan bertanyakan kelancaran persiapannya.
“Ish...malaslah, Yan. Kalau Umi nak, Umi call Datin Rubi.” Nombor telefon rumah banglo milik Datuk Farid itu diserahkan kepada Puan Hajjah Karissa.
“Eh, eh...Umi pulak yang call? Kamu tu yang nak kahwin.” Puan Hajjah Karissa menolak semula kertas yang dihulurkan oleh Dizyan itu.
“Ini bukan kahwin betul. Ini kahwin paksa.” Dizyan berkata. Sedikit memberontak. Puan Hajjah Karissa menggelengkan kepalanya. Dia melabuhkan punggung di atas katil Dizyan. Duduk sebelah anak gadisnya. Rambut Dizyan yang panjang itu, diusap perlahan.
“Yan, pasti ada hikmahnya disebalik semua kejadian ini yang berlaku. Apapun yang terjadi, Yan kena anggap ini semua adalah dugaan yang diberikan kepada Yan oleh Allah s.w.t.” hujah Puan Hajjah Karissa. Dizyan mengangkat muka perlahan memandang Uminya itu. Puan Hajjah Karissa tersenyum dan melangkah keluar dari bilik Dizyan. Membiarkan Dizyan keseorangan untuk berfikir baik buruknya kejadian ditangkap khalwat itu berlaku.
Dicapai telefon bimbit yang ada di atas meja sisi tepi katilnya. Kemudian, mendail nombor telefon rumah Datuk Farid. Ada nada dering dan ada yang menjawab panggilannya itu.
“Hallo?” suara yang amat dikenalinya menjawab panggilan Dizyan itu. Dizyan tersenyum lebar mendengarkan suara Sutinah yang amat dirinduinya itu.
“Bik, Yan ni.” Jawab Dizyan. Sutinah bersuara girang dapat mendengar suara Dizyan.
“Yan? Kamu apa khabar, sih?” tanya Sutinah. Sudah lama tidak berjumpa dengan Dizyan semenjak dia dikehendaki berhenti dari bekerja di rumah banglo itu lagi.
“Baik, Bik. Bik...Encik Faizal ada?” tanya Dizyan, terus bertanyakan tentang Faizal. Tidak mahu lama bercakap dengan Sutinah. Takut nanti airmatanya akan merembes keluar.
“Nggak ada. Dia ke kantor lagi. Si Ijal ini udah mau menikah, lagi sibuk di kantor. Jarang sekali pulang ke rumah.” Terang Sutinah. Dizyan mengangguk perlahan, walaupun Sutinah tidak nampak akan perbuatannya itu. Tiba-tiba, Sutinah mengeluh. Dizyan mengerutkan dahi.
“Kenapa, Bik? Ada apa-apa yang berlaku ke?” Dizyan bertanya apabila keluhan Sutinah didengarinya. Sutinah tidak segera menjawab.
“Semenjak kebelakangan ini, Ijal asik terus berantem(asyik bergaduh) ama Aneeq. Aneeq bilang, Ijal udah nggak anggap dia itu lagi temennya(kawan). Mau menikah, nggak dibilang ama mereka. Ijal pula, asik terus marah-marah. Kayaknya(seperti) bukan lagi Ijal yang dulu. Ceria, suka ketawa terus.” Sutinah menerangkan perihal yang berlaku selama 3 bulan Dizyan sudah tidak lagi bekerja disitu. Faizal dan Aneeq bergaduh? Ini bermakna, Aneeq sudah tahu bahawa mereka akan berkahwin tidak lama lagi.
“Tak apalah, Bik. Yan kena letak dulu ni. Banyak lagi urusan yang nak diselesaikan.” Ujar Dizyan. Hatinya semakin kacau.
“Iya...udah deh. Bibik nggak sabar ni, mau liat(lihat) kamu ama Ijal menikah.” Berterus-terang Sutinah berkata. Dizyan langsung tidak memberikan apa-apa respon. Perasaannya kosong.
“Baiklah, Bik. Assalamualaikum.” Salam yang diberikan Dizyan, dijawab oleh Sutinah. Kemudian, mereka sama-sama mematikan talian. Dizyan mencampakkan telefon bimbitnya ke atas katil. Mundar-mandir di dalam bilik. Bagus juga Aneeq sudah tahu akan hal ini. Tetapi kenapa hati Dizyan tidak tenteram? Serasa ingin menjerit disitu. Tetapi nanti dikatakan tidak betul pula oleh jiran sebelah. Akhirnya, Dizyan menghempaskan badan ke atas katil.


GELAS kaca berderaian jatuh ke atas lantai. Peluh jantan sudah memercik di dahi. Menitik darah dari celah jari Aneeq sudah tidak dipedulikannya lagi. Hatinya remuk. Bila mendapat tahu, gadis yang dicintainya bakal menjadi milik orang lain tidak lama lagi. Semenjak 2-3 hari ini selepas mendapat tahu bahawa Faizal akan menikahi Dizyan, hidup Aneeq menjadi tidak tenang. Setiap hari terbayangkan wajah basah kuyup Dizyan sewaktu menangisi kesilapan yang dilakukan oleh Aneeq semasa mereka masih lagi bergelar pelajar di sana. Diraup rambut yang berjuraian di dahi. Penghawa dingin yang berada di ruang tamu kondo milik Aneeq tidak terasa dinginnya.
“Kau jangan sentuh aku!!!” jeritan Dizyan masih terngiang-ngiang di telinga Aneeq. Cuba memejamkan mata dan menghilangkan bayangan Dizyan.
“Binatang! Lelaki tak guna! Tak guna....” sekali lagi Dizyan menjerit. Dia seperti orang gila. Terpaksa cuba ditenangkan oleh Yasmin yang sudah turut sama menangis melihat keadaan Dizyan.
“Apa yang kau dah buat pada dia, ha?” Yasmin bertanya sambil menolak badan Aneeq dengan kuat. Aneeq tidak berkata apa-apa. Tiada respon atau jawapan yang diberikan.
“Kau pergi dari sini. Aku dah tak nak tengok muka kau. Pergi!!!!” Yasmin menolak Aneeq sekuat hati sehingga lelaki itu terdorong ke belakang. Tanpa membuang masa lagi, Aneeq terus melangkah pergi. Tetapi dia sempat beralih dan memandang Dizyan buat kali terakhir.
“Maafkan aku, sayang. Aku terlalu mencintaimu. Aku tak sanggup kehilangan kau. Dan, aku tahu. Perbuatan aku ini, tak mungkin akan mendapat kemaafan darimu.” Hati Aneeq berkata-kata. Dia sememangnya menyesali diatas segala perbuatan yang telah dilakukan oleh dia.
Lagu Demi Cinta nyanyian Kerispatih berkumandang dari radio yang dipasang kuat oleh Aneeq. Airmata lelakinya laju menuruni pipi. Belum pernah dia menangis disebabkan oleh seorang perempuan. Kali ini, hati dia turut terluka. Barulah dia tahu. Begini rasanya hati dilukai oleh seseorang.



Maaf kutelah menyakitimu
Ku telah kecewakanmu
Bahkan kusia siakan hidupku
Dan kubawa kau seperti diriku
Walau hati ini terus menangis
Menahan kesakitan ini
Tapi ku lakukan semua demi cinta

Akhirnya juga harus kurelakan
Kehilangan cinta sejatiku
Segalanya tlah kuberikan
Juga semua kekuranganku
Jika memang ini yang terbaik
Untuk diriku dan dirinya
Kan kuterima semua demi cinta

Jujur aku tak kuasa
Saat terakhirku genggam tanganmu
Namun yang pasti terjadi
Kita mungkin tak bersama lagi

Bila nanti esok hari
Kutemukan dirimu bahagia
Ijinkan aku titipkan
Rasa cinta kita selamanya….


Aneeq berbaring di atas sofa. Tangannya yang berdarah dibiarkan berjuntai ke bawah. Menitis darah tersebut ke atas lantai. Sakitnya tangan itu, sudah tidak dipedulikan lagi. Hatinya yang remuk lebih perit menahan kesakitan.

BERSAMBUNG....

Saturday, June 20, 2009

Kau Milikku 20

BAB 20

SUDAH berkali-kali Faizal berulang alik ke tandas. Berlari anak dia ke tandas sambil memegang perut yang terasa memulas-mulas. Sudahnya, dia tersandar kepenatan di kerusi empuk miliknya. Peluh sudah memercik di dahi. Wajahnya pucat lesi. Dicengkam meja sekuat hati. Hendak kata tidak makan, sudah melantak sepinggan penuh. Takkanlah masih gastrik lagi. Hatinya berdetik sendirian. Perut yang memulas membuatkan Faizal tidak dapat menahan kesakitannya. Terus dia menekan interkom. Memanggil Hartanty. Ketukan di pintu bilik, Faizal menjawab dengan lemah. Sudah tidak berdaya mengeluarkan suara seperti halilintar memecah bumi sebagaimana yang dilakukannya selalu. Hartanty melangkah masuk ke dalam bilik Faizal dengan membawa organizer. Berkerut dahi Hartanty melihat Faizal tertunduk-tunduk menahan sakit perut.
“Bos…bos tak apa-apa ke?” Hartanty bertanya. Risau juga melihat wajah pucat ketuanya itu walaupun selalu Hartanty yang menjadi tempat untuk dia menghamburkan kemarahan.
“Saya tak berapa sihatlah, Tanty. Awak batalkan apa sahaja appointment saya petang ni. Dan inform pada Kak Mid yang meeting petang ni postponed.” Arahan Faizal dicatit di dalam organizer yang berada di dalam genggamannya.
“Bos tak nak balik berehat ke?” Hartanty bertanya lagi. Gelengan yang diterima daripada Faizal cukup membuatkan Hartanty mengeluh. Sememangnya diakui Faizal adalah seorang ketua yang sangat berdedikasi. Walaupun badannya kurang sihat, dia tetap akan cuba menyelesaikan kerja yang terbengkalai. Dia tetap akan pergi kerja walaupun demam.
Hartanty berjalan ke arah meja Faizal, mendekati komputer riba yang terpasang. Faizal masih menekan perut yang kesakitan. Menekan punat Ctrl dan S untuk save. Menyimpan segala data ke dalam memori komputer. Ditutup komputer riba tersebut. Faizal hanya memerhatikan sahaja gerak geri Hartanty. Dicapai kot yang tergantung di rak kot dan diserahkan kepada Faizal.
“Baliklah, bos. Jangan seksa diri. Nanti melarat pulak. Balik berehat.” Faizal memandang huluran kot yang diberikan oleh Hartanty. Dilepaskan keluhan kecil. Dia mengangguk perlahan dan mencapai kot tersebut. Diambil beg bimbit dari bawah meja.
“Laptop ni....” Faizal memandang Hartanty. Gadis itu tersenyum.
“Bos jangan risau. Nanti saya simpankan. Bos balik je.” Ujar Hartanty dengan senyuman manis. Faizal mengangguk lemah. Sudah tidak tertahan berlama disitu. Terus sahaja beredar.
Faizal menekan butang lif untuk ke Basement. Perut terasa menyucuk. Kunci kereta segera dikeluarkan dari dalam poket seluar. Sebaik sahaja pintu lif terbuka, terus dia menekan alat penggera kereta. Bergema bunyi nyaring dari alat penggera itu. Dibuka pintu kereta dan dicampak kot serta beg bimbit ke tempat duduk sebelah. Menderu kereta Mazda MX-5 itu keluar dari kawasan tempat letak kereta tersebut. Sambil memandu, Faizal masih menekan perut yang terasa sakit. Jalan semakin sesak apabila waktu mula menginjak petang, membuatkan kenderaan yang berada di sekitar Kuala Lumpur mula memenuhi jalan-jalan utama. Sejam kemudian, kereta Mazda MX-5 tiba di Kota Damansara. Hati Faizal sedikit lega. Dia sudah berhampiran dengan kawasan rumahnya. Perut yang sebentar tadi terasa sakit yang amat sangat, kini sudah beransur hilang. Faizal menekan pintu pagar automatik dan pintu itu terbuka luas. Diletakkan keretanya di dalam garaj. Bersebelahan BMW 7 series kepunyaan Datuk Farid. Dia membawa beg bimbit dan kotnya ke dalam rumah. Kunci kedengaran berlaga di luar rumah. Ditolak pintu utama sekuat hati. Membuka kasut dan menutup semula pintu tersebut. Faizal mencampakkan kot dan beg bimbitnya ke atas sofa. Biarlah disitu. Pasti sebentar lagi Dizyan akan membawa beg bimbitnya ke dalam bilik bacaan.
“Bik...Bik...” nama Sutinah dilaungkan oleh Faizal. Tiada jawapan atau respon yang diterimanya. Tiba-tiba, kepala Faizal pula terasa berdenyut. Kepala terasa berat.
“Bik...” sekali lagi nama Sutinah dipanggil.
“Mana pulak orang tua ni pergi? Bik....” cuba memanggil sekali lagi. Juga masih sama. Tiada jawapan. Faizal melepaskan keluhan kuat.
“Yan...” kali ini nama Dizyan pula dilaungkan. Tiada jawapan. Faizal sudah tidak tertahan menunggu disitu lagi. Perlahan-lahan dia menapak naik ke tingkat atas. Menuju ke kamarnya. Dibuka pintu bilik itu dan dia terus merebahkan diri di atas katil. Dari atas katil, satu persatu baju kerjanya ditanggal dan dicampak di atas lantai. Lega dapat merehatkan diri yang keletihan akibat kesan cirit-birit yang dialami oleh Faizal itu. Lena Faizal sehingga tidak menyedari apa-apa langsung.


DIZYAN bernyanyi kecil mengikut rentak dan irama lagu yang didengarinya daripada iPod yang memang sentiasa dibawa bersama. Kotak muzik kecil itu memang penuh dengan lagu-lagu yang dimuat turun oleh Dizyan. Tidak kiralah sama ada lagu Inggeris, Melayu atau Korea semuanya ada didalam iPod milik Dizyan itu. Leka Dizyan menyeterika baju-baju kerja Faizal. Sambil itu, menunggu mesin basuh selesai mencuci baju sebelum disidai. Baju yang diseterika dengan kemas itu, digantung menggunakan penyangkut baju. Mesin basuh sudah berbunyi 2 kali menandakan baju-baju yang sudah siap dibasuh. Diangkat baju-baju kerja Faizal dan dimasukkan ke dalam mesin pengering. Baju-baju lain seperti kemeja T dan seluar dimasukkan ke dalam mesin pembasuh. Berkali-kali Sutinah memesan kepada Dizyan bahawa baju kerja Faizal tidak boleh dibasuh sekali dengan baju biasa. Takut nanti warna baju-baju biasa akan melekat pada baju kemeja Faizal. Bingit telinga kalau mendengar Faizal membebel pula nanti.
“Bik...Bik...” Dizyan mengangkat muka. Berkerut dahinya mendengar seseorang menjerit memanggil nama Sutinah. Tiba-tiba, bulu romanya berdiri menegak. Segera dikuatkan suara iPodnya itu. Seram bulu tengkuk Dizyan sebentar.
Mesin basuh berbunyi sebanyak 2 kali mengejutkan Dizyan. Diurut dada. Diperlahan semula volume iPod. Diangkat baju-baju yang berada di dalam mesin basuh dan diletakkan di dalam bakul. Kemudian, Dizyan mengangkat bakul tersebut dan dibawa ke tempat penyidai yang terletak di pintu belakang. Kelihatan Wina sedang menyapu daun-daun kering yang bertaburan di halaman belakang. Tersenyum pada pembantu rumah sebelah itu.
“Kamu sendirian di rumah?” tanya Wina. Dizyan tidak menjawab soalan itu. Dia masih leka menyidai pakaian yang baru sahaja dibasuhnya itu. Berkerut dahi Wina. Kenapa Dizyan tidak menjawab soalan Wina? Selalunya, pantang Wina memulakan perbualan, pasti panjang lebar Dizyan bercerita. Wina ternampak tali yang tergantung dari telinga Dizyan itu.
“Yan...” kuat Wina memanggilnya. Dizyan tercari-cari suara yang memanggil namanya. Dipandang ke atas. Ke kiri dan ke kanan. Masih tidak nampak bayangan suara yang memanggilnya. Bertambah meremang bulu roma. Kemudian, Dizyan berpaling dan ternampak Wina tersenyum.
“Kak Wina panggil saya ke?” Dizyan pula yang bertanya.
“Ya iyalah, dong.” Jawab Wina sambil tersenyum sinis. Dizyan mencabut penyumbat telinganya sebelah. Melepaskan nafas kelegaan.
“Maaf, Kak Wina. Tak dengar.” Dizyan menjawab lembut. Berjalan ke arah pagar yang memisahkan rumah Datuk Farid dan jiran sebelah, Tuan Kamal. Dizyan sudah selesai kerja menyidai baju. Memandang Wina yang masih memegang sebatang penyapu.
“Kamu sendirian di rumah?” Wina bertanya sekali lagi. Dizyan mengangguk lemah.
“Yalah, Kak Wina. Bibik janji nak balik petang ni. Tapi, dia baru je telefon tadi. Suami dia sakit teruk. Tak sampai hati pulak dia nak tinggalkan suaminya. Jadi, Yan cakap dengan dia, teman jelah suami Bibik tu. Esok pagi balik pun tak apa.” Dizyan berkata dalam senyuman. Sedangkan hatinya yang bergelora, tiada siapa yang tahu. Kena ditinggalkan bersendirian dengan Faizal di dalam rumah yang besar itu. Membuatkan hati Dizyan tidak keruan.
“Nggak apa-apa kamu ditinggalkan sama Tuan Ijal?” pertanyaan Wina itu membuatkan hati Dizyan bertambah celaru. Ditinggalkan bersendirian bersama lelaki yang bukan muhrimnya.
“Nak buat macam mana, Kak Wina? Takkan nak paksa Bibik balik pulak. Kesian kat suami dia.” Dizyan menggigit bibir. Sedangkan waktu itu, dia berharap sangat bahawa Sutinah segera pulang ke rumah banglo itu.
“Iya...Kak Wina pikir nggak apa-apa kok. Lagian, Tuan Ijal itu selalunya pulang telat(lambat). Jam 2, jam 3, baru dia mau pulang.” Kata-kata Wina sedikit sebanyak mengurangkan keresahan hati Dizyan.
“Wina...Wina....” majikan Wina melaung nama pembantu rumahnya itu.
“Kak Wina ke dalam dulu, ya. Itu udah dipanggil oleh ibu(puan).” Wina berkata sambil meletakkan penyapu ke dinding. Dizyan mengangguk perlahan dan tersenyum. Melihat bayangan Wina menghilang di sebalik pintu.
“Bila dia dah balik, aku duduk je dalam bilik. Dia panggil pun, buat tak tahu je.” Dizyan berkata sendirian. Dia mengangkat bakul yang digunakan tadi dan dibawa masuk ke dalam bilik dobi semula. Kembali menyangkutkan tali penyumbat telinga ke telinganya semula. Seharian Dizyan meneruskan kerja-kerja membersihkan rumah seperti yang selalu dilakukannya.
“Ish...aku ni boleh dianggap sebagai menantu pilihan lah. Dulu kat rumah aku sendiri pun, tak pernah aku buat kerja-kerja macam ni. Sekarang ni, macam-macam kena buat. Tak buat, makan gaji buta pulak.” Bebel Dizyan sendirian.
Setelah selesai memvakum permaidani yang terhampar di ruang tamu, Dizyan menyimpan semula penyedut hampagas itu ke dalam stor. Dia menghempaskan punggungnya ke atas sofa Itali yang terletak di ruang tamu itu. Mengeliat. Melepaskan penat bekerja. Badan yang terasa lekit, terasa ingin dibersihkan. Dizyan mengangkat punggungnya dan berjalan menuju ke arah kamar yang terletak dibahagian dapur. Selesai membersihkan diri dan bersolat Asar, Dizyan berkira-kira hendak melelapkan mata barang sejam dua. Tetapi teringat pula pesanan Umi. Tidak elok sekiranya kita tidur selepas Asar. Boleh melemahkan daya ingatan. Dizyan melepaskan keluhan. Tidak dapat tidur, sekadar berbaring pun tidak mengapa. Minda Dizyan terbang melayang. Teringatkan perbualannya dengan Izham 3 hari lepas. Izham dan Yasmin sudah pun pulang ke Malaysia. Dizyan tidak dapat menyambut kepulangan abang yang dirinduinya itu kerana terpaksa bekerja. Pernah dia berkata kepada Faizal bahawa dia ingin minta cuti setengah hari pada hari Izham pulang ke Malaysia, ingin sekali dia menyambut Izham di lapangan terbang. Tetapi permintaannya itu ditolak mentah-mentah. Faizal tidak membenarkan dia bercuti.
“Siapa yang nak tolong Bibik kalau kau cuti?” teringat kata-kata Faizal pada hari itu.
“Iya, nggak apa-apa, Ijal. Biarin(biar) aja Yan berlibur(bercuti). Ya Ijal, ya?” Sutinah turut menolong Dizyan memujuk Faizal untuk meminta kebenarannya.
“Tak boleh. Kau tak boleh cuti.” Tegas Faizal berkata.
“Sekejap je, Encik Faizal. Saya tak pernah mintak cuti lagi sebelum ni.” Separuh merayu Dizyan berkata. Dizyan memandang wajah Faizal. Ingin meminta simpati. Tetapi hati lelaki itu langsung tidak bersimpati. Malahan, dia memandang Dizyan dengan sinis.
“Kau dah lupa ke apa yang aku nyatakan dalam contract tu?” uji Faizal. Dipandang wajah Dizyan. Gadis itu hanya menundukkan wajah. Gelengan perlahan yang diterima sebagai jawapan kepada persoalan Faizal itu.
“Cuba kau beritahu aku. Apa yang aku nyatakan dalam contract tu?” sekali lagi Faizal berniat ingin menguji Dizyan. Gadis itu melepaskan keluhan perlahan. Hatinya mendidih menahan amarah.
“Saya kena dengar dan patuh kepada arahan Encik Faizal.” Lemah sahaja Dizyan menjawab. Sutinah memandang wajah Dizyan dengan perasaan simpati. Dialihkan pula memandang Faizal yang memeluk tubuh memandang Dizyan dengan senyuman sinis.
“Bagus. Nampaknya kau tak lupa apa yang aku tulis dalam contract tu. Jadi, kau kena dengar cakap aku. Bila aku kata, tak boleh cuti. Maknanya, tak boleh cuti. Faham!!!” kata-kata Faizal muktamad. Airmata Dizyan berada di tubir mata. Serasa seperti hendak pecah. Tetapi ditahan. Dia tidak boleh kelihatan lemah dihadapan Faizal ketika itu.
Buat entah ke berapa kalinya Dizyan mengeluh. Baru kelmarin dapat menelefon Izham. Abangnya itu berkata dia dan Yasmin akan pulang ke kampung bersama Umi dan Abah. Hendak membawa Yasmin berjalan-jalan di kampung mereka. Sudah lama rasanya Izham tidak berpeluang pulang ke kampung. Lagipun, kepulangan mereka ke kampung bertujuan hendak memperkenalkan Yasmin kepada sanak-saudara yang berada di kampung. Maklumlah semasa kenduri kahwin 2 tahun yang lepas, mereka tidak sempat untuk beramah mesra bersama tetamu yang hadir kerana seminggu selepas itu Izham dan Yasmin terus terbang semula ke Australia. Dizyan menyandarkan diri ke kepala katil. Suasana riuh rendah di kampung bersama sepupunya terlayar di ruang mata. Rindunya dia pada Kasidah, Hajar, Hairi, Tapa, Nun, Kak Yati, Kak Mizah, Abang Huzair dan abang sepupu yang perasan dirinya itu paling kacak, Abang Aman. Ketampanan wajah Abang Aman memang tidak dinafikan lagi. Dia selalu menjadi kegilaan gadis-gadis kampung dan kota. Siapa yang tidak kenal dengan Abang Aman? Kasanova terkenal. Masihkah Abang Aman dengan Kak Madina? Perangai Abang Aman yang kasanova itu membuatkan Kak Madina selalu risau. Selalunya, Dizyan dan Hajar lah orang yang bertanggungjawab menyatukan kembali mereka berdua.
Makanan yang menjadi sajian terkenal di kampung mereka itu juga terlayar di minda Dizyan. Apam lenggang, pulut inti, serabai berkuahkan durian, nasi Malaysia, capati sardin. Tiba-tiba perutnya berbunyi kelaparan. Dapatkah Yasmin makan segala makanan yang ada di kampung Dizyan itu? Setiap kali Dizyan bercerita keenakan makanan yang ada di kampungnya itu, pasti Yasmin dan Misha terliur mendengar. Pernah sekali Dizyan bercerita kepada mereka berdua sehinggakan Yasmin terasa ingin pergi ke kampung Dizyan pada hari itu juga.
“Kau nak pergi kampung aku? Nak buat apa?” Dizyan bertanya kehairanan.
“Kau selalu cerita pasal makanan yang ada kat kampung kau. Aku dah kecur air liur ni.” Ujar Yasmin pula. Dizyan tersenyum.
“Boleh. Tapi kau kena kahwin dulu dengan orang sana. Baru boleh balik kampung aku selalu.” Usik Dizyan. Yasmin mencebik.
“Tak naklah aku. Sepupu-sepupu kau semuanya tak boleh pakai.” Yasmin sengaja berkata begitu. Giliran Dizyan pula mencebik.
“Hello, cousin aku semua handsome, okay. Kalau kau tak nak, dengan abang aku pun okay jugak.” Dizyan berkata dengan sinis. Tahu sangat Yasmin tidak begitu setuju dengan Izham.
“Dengan abang kau? Lagi...haram tak boleh pakai.” Ujar Yasmin. Dizyan mencubit pinggang Yasmin sehingga gadis itu mengaduh kecil. Ah! Rindunya pada zaman sekolah dulu. Sekali lagi Dizyan mengeluh. Kali ini lebih kuat.
Lama Dizyan berangan sehingga tidak sedar sudah masuk waktu Maghrib. Segera Dizyan mengambil wuduk dan menunaikan solat Maghrib. Usai bersolat, disangkutkan sejadah juga telekung ke tempat penyidai. Dizyan keluar dari biliknya dan menuju ke dapur. Ingin melihat apa yang boleh dimasak untuk dijadikan makan malam hanya untuk dirinya. Dibuka pintu peti sejuk sambil berfikir.
“Nak makan apa, ya? Aku seorang je pun yang nak makan malam ni.” Ligat otak Dizyan berfikir.
“Ah...makan yang ringkas, sudah.” Dizyan mencapai burger dan juga frankfurter yang berada di dalam tempat sejuk beku. Dihidupkan api di stove. Selesai memasak, Dizyan hanya menjamu selera di meja makan yang terletak di dalam dapur. Dia dan Sutinah lebih selesa makan berdua di dapur. Menurut Sutinah, jika Datuk Farid dan Datin Rubaiyah berada di rumah, cuma sediakan sarapan pagi dan makan tengah hari sahaja. Makan malam hanya disediakan kadangkala sahaja. Jika mereka tidak mempunyai jemputan untuk makan di luar. Faizal pula jarang sekali makan malam di rumah. Hati Dizyan rasa berdebar pula untuk berjumpa dengan Datuk Farid dan Datin Rubaiyah esok. Dari perbualan yang didengari semasa Faizal dan Sutinah bersembang, majikan mereka itu akan pulang pada esok pagi. Macam mana dia hendak berhadapan dengan Datuk dan Datin semasa Sutinah tiada? Sutinah akan pulang pada esok petang.
Sedang asyik Dizyan berangan, pintu rumah diketuk kuat. Tersentak Dizyan seketika. Lambat-lambat dia bangun dari kerusi yang didudukinya. Siapa pula yang datang malam-malam begini? Hati Dizyan terasa gusar. Tetapi, dia tetap bangun dan menuju ke pintu utama. Faizal yang baru sahaja menuruni anak tangga, terus menuju ke pintu utama. Perlahan sahaja Dizyan memulas tombol pintu dan kemudian, pintu utama itu terkuak luas.
“Assalamualaikum!!!” ucap 4-5 orang lelaki yang berbaju Melayu dan bersongkok serta berkopiah putih. Berkerut dahi Dizyan. Tiba-tiba dia berasa tidak sedap hati.
“Siapa tu, Yan?” tanya Faizal.
“Assalamualaikum.” Seorang lelaki sekali lagi memberikan salam kepada Faizal.
“Wa...waal...waalaikmussalam.” Faizal menjawab sedikit gagap.
“Kami daripada Jabatan Agama Islam Selangor. Kami mendapati Cik dan Tuan berkhalwat di dalam rumah ini. Sila ikut kami ke Pejabat Agama.” Ujar salah seorang lelaki yang berdiri dihadapan. Terpana Faizal mendengar kata-kata itu. Dizyan terjelepuk jatuh dihadapan pintu.
“Tapi kami tak buat apa-apa, Encik. Dia hanya kerja di rumah saya.” Faizal cuba memberikan penjelasan kepada lelaki-lelaki tersebut.
“Setiap pasangan yang ditangkap berkhalwat akan berkata begitu.” Ujar seorang lelaki lain pula. Dizyan mendongak memandang mereka semua.
“Betul, Encik. Saya hanya pembantu rumah di rumah ni saja.” Dizyan pula cuba untuk memberikan penjelasan. Ada yang menggelengkan kepala, ada pula yang tersenyum sinis.
“Kalau betul kamu ni pembantu rumah Tuan ni, takkanlah kamu dan Tuan berpakaian begini semasa berada di dalam rumah.” Sinis sekali salah seorang daripada lelaki-lelaki itu berkata. Dizyan memandang pakaian yang dipakainya. Terlupa pula dia sedang memakai baju tidur paras lutut. Pandangannya dihalakan ke arah Faizal yang hanya memakai seluar pendek serta berbaju T tanpa lengan. Serta-merta Dizyan merasakan pandangannya terasa gelap.
“Sudah. Ikut saja kami ke Pejabat Agama. Kita akan cerita lebih panjang disitu.” Ujar lelaki bersongkok hitam itu. Dizyan dan Faizal dikehendaki menukar pakaian kepada pakaian yang lebih sopan sebelum mereka dibawa ke Pejabat Agama.

BERSAMBUNG.....

Monday, June 15, 2009

Kau Milikku 19

BAB 19

TERSENTAK Dizyan apabila bahunya ditepuk kuat oleh Sutinah. Nasib baik gelas yang dipegangnya tidak jatuh terhempas. Sutinah tergelak kecil ketika melihat pandangan tajam Dizyan menikam seluruh wajahnya. Dizyan kembali menebarkan pandangan ke hadapan.
“Kenapa, Yan? Dari tadi Bik ngeliatin(lihat) kamu, menung terus.” Tanya Sutinah. Sekilas Dizyan memandang ke sebelah. Keluhan kecil dilepaskan.
“Tak ada apalah, Bik. Teringatkan seseorang dari masa silam saya je.” Ujar Dizyan lemah. Tetapi masih dapat memberikan senyuman.
“Siapa?” tanya Sutinah. Ingin tahu. Dizyan masih tidak menjawab pertanyaan Sutinah itu sebaliknya meneruskan sahaja menungannya.
“Siapa?” Sutinah sekali lagi bertanya.
“Adalah orang tu.” Jawab Dizyan cuba berahsia.
“Ya, udah deh kalau kamu bilang begitu. Oh iya. Sebelum Bibik lupa, esok Bibik harus pulang ke Kampung Medan ya. Kerna suami Bibik lagi sakit.” Sutinah berkata sambil berdiri. Dizyan mengerutkan dahi. Dia seperti berfikir sesuatu.
“Kampung Medan? Bibik nak balik ke Indonesia?” tanya Dizyan. Sutinah juga turut mengerutkan dahi. Juga berfikir sesuatu.
“Nggak ah. Kampung Medan di Taman Datuk Harun, Petaling Jaya.” Panjang lebar Sutinah menerangkan destinasinya. Gadis dihadapannya itu menekup mulut menahan tawa. Macam mana dia boleh terlupa. Sutinah menghabiskan sisa tawanya sambil berjalan masuk ke dalam rumah.
Sudah berpuluh kali Dizyan menguap. Faizal masih lagi belum pulang. Dia mengangkat punggung dan berjalan masuk ke dalam rumah. Mundar-mandir di ruang tamu. Masih lagi belum kelihatan kelibat Faizal atau keretanya. Dizyan sudah tidak tahan menunggu dan segera masuk ke dalam biliknya dan membaringkan diri. Ingin menunggu kepulangan Faizal tetapi mata yang semakin mengecil sudah tidak dapat ditahan lebih lama. Alih-alih, Dizyan terlelap sehingga kedengaran azan Subuh. Dia bangun dari tidur dan mengerjakan kewajipan kepada Pencipta-Nya.
Usai membersihkan diri dan bersolat, Dizyan keluar dari biliknya dan menuju ke dapur untuk menolong Sutinah menyediakan sarapan. Kelihatan wanita tua itu sedang leka memasak.
“Bik…” panggil Dizyan. Sutinah mengalih pandang sekilas ke arah Dizyan dan tersenyum.
“Pukul berapa Bibik nak balik ke Kampung Medan tu?” tanya Dizyan sambil menekan satu punat di teko air panas untuk memasak air bagi menyediakan minuman. Sutinah mengaut masakan yang dimasaknya itu dari dalam kuali dan diletakkan di atas pinggan. Aroma masakan Sutinah itu menusuk hidung Dizyan.
“Jam 10.” Jawab Sutinah ringkas. Dizyan mengangguk perlahan.
“Nanti sore(petang) Bibik langsung pulang ke sini.” Sambung Sutinah. Sekali lagi Dizyan mengangguk. Dia membancuh air kopi di dalam teko dan dibawa ke ruang makan. Dihidang di atas meja.
Faizal yang baru sahaja turun dari tingkat atas memandang Dizyan dengan tajam. Hatinya masih sebal disebabkan semalam. Ingin sahaja dimarahinya Dizyan disitu tetapi sebaik sahaja melihat Sutinah yang baru keluar dari dapur, terus tidak jadi hendak memuntahkan lahar yang masih menggelegak dalam hati. Faizal berdehem kecil. Dizyan langsung tidak memandang wajah Faizal. Dia sedang leka menceduk makaroni goreng ke dalam pinggan untuk Faizal. Kemudian, dituang kopi ke dalam cawan yang telah disediakan. Sebaik sahaja kelibat Sutinah kembali menghilang di sebalik pintu dapur, Faizal sekali lagi berdehem.
“Apasal semalam kau tak tunggu aku balik?” perlahan sahaja Faizal berkata. Dizyan masih tidak memberikan sebarang respon.
“Aku tanya kau ni. Apasal semalam kau tak tunggu aku balik?” sekali lagi Faizal bertanya. Kali ini suaranya ditinggikan sedikit. Masih lagi tiada respon yang diterima dari Dizyan.
“Kau pekak ke? Aku tanya kau ni, apasal semalam kau tak tunggu aku balik?” suara Faizal semakin meninggi. Masih tiada respon yang diterimanya. Faizal mengetap gigi, geram. Diangkat wajahnya dan memandang ke hadapan. Tetapi tiada langsung tanda-tanda Dizyan berada disitu.
“Encik Faizal ni kenapa? Jerit-jerit dari tadi.” Dizyan yang baru muncul dari dapur, mengerutkan dahi. Pelik melihat sikap Faizal. Faizal melepaskan keluhan perlahan. Rupa-rupanya Dizyan berada di dapur. Patutlah tiada respon yang diterima.
“Tak ada apalah. Buang masa je cakap dengan kau ni.” Ujar Faizal dan seraya bangun setelah selesai menjamu sarapan paginya. Dia menuju ke dapur untuk mencari Sutinah. Dizyan mencebik. Diangkat pinggan dan cawan yang digunakan oleh Faizal itu ke dapur.
“Bik, tolong ikatkan tie saya ni.” Memang itulah yang selalu dilakukan oleh Sutinah. Sejak dari mula lagi, Faizal bekerja di syarikat Datuk Farid itu, Sutinah yang banyak menolong dia mengikat tali leher. Dahulu Sutinah memang tidak tahu bagaimana untuk mengikat tali leher tetapi setelah diajar oleh Datin Rubaiyah, dia menjadi semakin cekap. Sutinah memandang Faizal.
“Tangan Bibik kotor. Bau daging lagi. Yan, tolong Bibik ikatkan tie Ijal ini.” Sutinah meminta tolong Dizyan. Gadis itu mengangguk dan meletakkan pinggan serta cawan ke dalam sinki.
“Hish…tak naklah, Bik. Nanti karang dia bukannya ikat tie, dia jerut saya pakai tie ni pulak.” Faizal sudah mengundur ke belakang apabila dilihatnya Dizyan melangkah menuju ke arahnya. Terhenti langkah Dizyan.
“Kalau saya nak bunuh Encik Faizal, tak perlu saya pakai tie Encik Faizal ni. Lebih baik saya letak racun dalam makanan Encik Faizal. Boleh bunuh secara senyap dan tidak meninggalkan kesan pun.” Dengan selamba Dizyan berkata. Sesuka hatinya sahaja hendak menuduh orang. Faizal menjegilkan mata memandang Dizyan. Sutinah tergelak kecil.
“Udah. Yan, tolong ikatkan tali lehernya itu.” Sutinah berkata dalam sisa tawa yang masih ada. Dizyan mendekati Faizal. Kali ini Faizal tidak lagi mengundur sebaliknya berdiri tegak.
“Itulah. Dari duluan lagi Bik udah bilang, cepat aja kamu menikah ama Non Zhety. Supaya semua ini dilakukan oleh Non Zhety.” Sutinah kembali melakukan kerja-kerja memotong daging supaya senang malam nanti sebaik sahaja dia pulang, dia boleh masak untuk makan malam. Laju sahaja tangan Dizyan memintal tali leher yang tergantung di leher Faizal itu.
“Hish…apa pula kesitunya Bibik ni. Zhety nak buat semua ni? Mati hidup balik pun dia takkan buat, Bik.” Ujar Faizal selamba. Sutinah menggeleng perlahan. Leka Dizyan memintal tali leher itu sehingga tidak sedar mata Faizal yang sedang asyik meneliti seraut wajah milik gadis gempal itu. Matanya yang berwarna coklat cair. Bulu mata melentik, bibir merah merekah bak delima. Rambut yang panjang ikal mayang dan selalu rambut itu akan diikat satu. Belum pernah Faizal lihat Dizyan melepaskan rambutnya. Tidak kiralah semasa di sekolah dahulu sehingga kini.
“Dah, Encik Faizal.” Ujar Dizyan. Mengembalikan Faizal ke alam nyata. Faizal kembali membetulkan tali lehernya dan berdehem kecil. Sutinah yang terlihat akan perbuatan Faizal sebentar tadi, tersenyum kecil.
“Oklah, Bik. Zal pergi dulu.” Ujar Faizal. Sutinah mengangguk. Terus sahaja dia menuju ke rak kasut dan menyarungkan kasutnya. Faizal menekan alat kawan pintu pagar automatik itu. Enjin kereta dihidupkan dan dibuka hud kereta. Dia lebih suka mengambil angin pagi dari menggunakan angin penghawa dingin kereta. Perlahan-lahan keretanya mengundur keluar dari garaj tersebut. Selepas kereta Mazda MX-5 itu hilang dari pandangan. Dizyan menekan punat di alat kawalan jauh untuk menutup pintu pagar itu semula.


SEDARI tadi Faizal asyik mengetuk stering keretanya sambil mendengar lagu yang berkumandang di radio. Kadangkala mulutnya terkumat-kamit menyanyi sekali lagu itu. Kereta yang dipandu oleh Faizal itu tiba dihadapan RUFA Tower tepat jam 9.30 pagi. Kota Kuala Lumpur yang sesak itu menyukarkan keadaan buat sesiapa sahaja yang ingin tiba ditempat kerja lebih awal. Nasib baik Faizal keluar agak awal dari rumahnya. Dia memarkirkan kereta di tempat yang tersedia khas di hadapan lobi yang hanya untuk pegawai-pegawai berjawatan tinggi serta pemilik RUFA Tower itu. Sebaik sahaja Faizal melangkah masuk ke dalam lobi, dia disapa oleh Auzra. Gadis penyambut tetamu di lobi itu. Tersenyum pada Auzra. Sempat dikenyitkan mata. Tersipu-sipu Auzra membalas senyumannya. Faizal menekan punat anak panah yang menuju ke tingkat atas. Sambil menunggu pintu lif itu terbuka, bahunya ditepuk kuat oleh seseorang. Faizal memandang di sebelah. Aneeq tersenyum kecil.
“Awal kau sampai hari ni. Kalau tak selagi tak pukul 10, batang hidung kau pun tak nampak.” Perli Aneeq. Faizal tersenyum kecil.
“Saja. Dah aku bangun awal, takkan nak tercongok pulak kat rumah tu. Bosanlah nak menghadap orang gaji baru aku tu.” Ujar Faizal. Sebaik sahaja pintu lif terbuka, mereka sama-sama melangkah masuk. Mereka berdua disapa oleh Hadi.
“Encik Aneeq, ada skrip baru yang saya nak Encik Aneeq review.” Ujar Hadi. Aneeq memandang wajah lelaki yang bersandar ke dinding lif.
“Ok. Letak je atas meja saya. Nanti saya baca. Sebab sekarang ni saya nak pergi location dulu.” Aneeq berkata. Dilihat jam tangan yang tersangkut di pergelangan tangannya itu. Hadi hanya mengangguk dan meminta diri untuk keluar dari lif apabila lif tersebut berhenti di tingkat yang sudah ditekan punatnya.
“So….macam mana dengan orang gaji baru kau tu?” Aneeq bertanya, sekadar ingin tahu.
“So far so good. Tak adalah kerja dia nak menyusahkan Bibik pulak. Dapatlah meringkan kerja-kerja Bibik sikit.” Ujar Faizal. Masih tidak dapat menghidu sebab sebenar Aneeq bertanya. Lelaki itu mengangguk perlahan.
“Dia macam mana? Okay kerja kat rumah kau?” sekali lagi Aneeq bertanya.
“Okay je aku tengok. Taklah pulak merungut ke, apa ke.” Jawab Faizal. Pintu lif terbuka dan seorang gadis bertudung masuk ke dalam lif. Tersenyum kepada Faizal dan Aneeq. Senyuman itu dibalas.
“Kak Mid…” panggil Faizal. Hamidah berpaling memandang wajah adik saudaranya itu.
“Nanti Kak Mid buat announcement. Ada meeting pukul 3. Saya nak jumpa semua construction group. Nak tanya perkembangan projek yang tengah diusahakan ni.” Faizal memberikan arahan. Hamidah mengangguk dan mencatit sesuatu di dalam organizer yang memang selalu dibawa kemana sahaja. Faizal terjenguk-jenguk ke dalam organizer Hamidah itu.
“Alright.” Jawab Hamidah ringkas. Hamidah keluar semula apabila lif itu berhenti di tingkat 7.
“Kenapa kau banyak sangat tanya pasal orang gaji baru aku tu? Takkan berkenan kot?” usik Faizal. Wajah Aneeq sudah berubah.
“Kau ni merepek jelah. Aku tanya sebab kan dulu kita pernah kenakan dia. Takkan lah dia tak kenakan kau balik masa duduk kat rumah kau.” Aneeq seperti menyembunyikan sesuatu. Dan Faizal dapat merasakan bukan itu sebabnya Aneeq bertanya perihal Dizyan.
“Setakat ni tak ada apa-apa lagilah. Okay je.” Pintu lif terbuka di tingkat 10 dan mereka sama-sama melangkah keluar. Mastura berdiri dan menyapa Faizal dan Aneeq.
“Encik Faizal, tadi Datuk Farid ada call. Dia minta Encik Faizal call dia balik.” Mastura berkata. Faizal mengangguk. Ingin beredar tetapi langkah kakinya terhenti. Berpaling ke arah Mastura.
“Tanty dah sampai belum?” tanya Faizal kepada Mastura. Hanya gelengan yang diterima oleh Faizal. Dia beredar dari situ setelah menerima jawapan dari Mastura.
“Encik Aneeq, Cik Delaila dah ada di location.” Mastura menyampaikan pesanan pula kepada Aneeq. Lelaki itu terus sahaja beredar menuju ke pejabatnya setelah menerima pesanan.
Faizal membuka pintu bilik dan meletakkan beg bimbit ke bawah mejanya dan mengeluarkan komputer riba dari dalam laci meja. Menghidupkan suis komputer riba dan mengangkat gagang telefon untuk mendail nombor Datuk Farid.
“Hello, Pa?” Faizal berkata apabila panggilannya bersahut.
“Kamu baru sampai ke, Zal?” giliran Datuk Farid pula bertanya.
“Ha’ah, Pa. Kenapa Papa call Zal?”
“Papa nak ingatkan kamu je. Jangan lupa ambil Mama dan Papa kat airport esok pagi.” Sudah berkali-kali Datuk Farid berpesan. Khuatir benar jika Faizal terlupa untuk mengambil mereka.
“Yalah, Pa. Zal ingat.”
“Papa nak tanya kamu ni. Kamu ambil orang gaji baru ke?” pertanyaan Datuk Farid membuatkan air liur yang menuruni kerongkong Faizal, begitu sukar untuk ditelan.
“Kenapa Papa tanya?” soalan berbalas soalan.
“Tak adalah. Papa tak pernah dengar pun suara perempuan tu. Nak kata Bibik, suara Bibik bukan macam tu.” Faizal tidak memberikan apa-apa respon. Hanya berdiam diri sahaja.
“Nantilah, Pa. Bila Papa dan Mama dan balik sini, baru Zal cerita. Okaylah, Pa. Zal ada kerja nak siapkan ni. Assalamualaikum.” Cepat-cepat Faizal mengubah topik. Datuk Farid mengeluh.
“Yalah. Waalaikumussalam.” Mereka sama-sama mematikan talian. Sebaik sahaja meletakkan gagang telefon, Faizal melepaskan keluhan kuat. Faizal menjenguk ke luar. Terlihat kelibat Hartanty yang baru sahaja tiba dan duduk ditempatnya. Interkom ditekan dan segera memanggil Hartanty untuk masuk ke biliknya. Pintu bilik diketuk dan arahan masuk diberikan. Hartanty melangkah masuk ke dalam bilik Faizal dengan membawa organizer yang memang selalu dibawanya.
“Yes, Bos?” Hartanty bertanya dan membuka organizer. Pen sudah ada di tangan. Sedia untuk mencatit apa sahaja keperluan Faizal. Didongakkan kepala memandang Hartanty yang berdiri tercegat.
“Hari ni saya ada meeting dengan construction group pukul 3. So, pagi ni saya ada apa-apa appointment tak?” tanya Faizal. Hartanty membelek jadual Faizal pada pagi itu.
“Pagi ni tak ada apa-apa appointment.” Hartanty mencatit pula mesyuarat yang baru sahaja dinyatakan oleh Faizal itu ke dalam organizernya itu. Manalah tahu, kalau-kalau Faizal terlupa akan mesyuaratnya pada hari itu. Jadi, senang untuk Hartanty mengingatkannya.
“Dan, satu lagi. Esok pagi, saya kena pergi ambil Datuk dan Datin kat airport. Saya takut saya terlupa atau tertidur. So, saya nak awak remind kan saya. Then, printkan proposal yang perlu diberikan pada Datuk untuk Datuk review.” Arahan yang baru sahaja diterima dari Faizal, terus sahaja dicatit. Terangguk-angguk Hartanty menerima arahan.
“Baiklah, bos. Itu saja?” Hartanty bertanya pula. Faizal mengangguk sekali. Hartanty meminta diri untuk keluar tetapi berpaling semula apabila dipanggil oleh Faizal.
“Saya tak nak sesiapa pun menganggu saya jika tiada hal penting atau kecemasan. Hanya hal antara hidup dan mati saja, yang boleh datang berjumpa saya. Jika tidak, saya tak mahu diganggu.” Sekali lagi Hartanty menerima arahan dan dia hanya mengangguk sambil tersenyum. Tahu sangat sikap Faizal yang tidak suka diganggu semasa sedang menyelesaikan kerja. Hartanty beredar dari bilik Faizal dan menuju ke mejanya.



PINTU bilik Faizal diketuk kuat sehingga mengejutkan Faizal yang sedang leka menyelesaikan kerjanya. Dia sedang menaip sesuatu di komputer riba. Dilepaskan keluhan perlahan sebelum memberi arahan masuk. Terjengul wajah Ian Khalif yang sedang tersenyum. Faizal masih leka menatap komputer ribanya. Tidak langsung dipedulikan Ian Khalif yang sudah duduk menghadapnya.
“Zal, jom lunch.” Ajak Ian Khalif. Diketuk meja dihadapan Faizal sehingga membuatkan Faizal mendongakkan wajahnya sedikit.
“Kau tak pergi location ke hari ni?” tanya Faizal dengan kening yang sengaja dijungkitkan.
“Pergi. Tapi hari ni ada shot petang.” Ujar Ian Khalif kembali. Dipusing-pusingkan kerusi yang diduduknya itu. Bosan terpaksa terperap di dalam pejabat. Jika ada penggambaran yang perlu dijalankan, sudah pasti dia berada di lokasi.
“Kejap lagilah. Aku nak siapkan proposal ni. Nak bagi Papa aku review.” Ujar Faizal. Langsung tidak dipedulikan pelawaan Ian Khalif itu.
“Datuk Farid nak balik esok. Apa yang kau kelam-kabut nak siapkan sekarang ni. Lepas lunch nanti, kau boleh siapkan lagi. Dah, sekarang kau ikut je aku pergi melantak. Aku tak peduli. Aku kalau lapar, dengan kau pun aku boleh telan.” Seloroh Ian Khalif. Ditarik lengan Faizal supaya membuntutinya.
“Kok ye pun, tunggulah aku save dulu benda ni.” Faizal menarik semula lengannya. Ian Khalif bercekak pinggang. Faizal ini kalau tidak dipaksa untuk makan tengah hari, serasanya dia akan lupa untuk makan. Asyik dengan kerja sahaja 24 jam. Macam mana Ku Zhety tidak mengamuk? Langsung tiada masa untuk berdua-duaan. Sebaliknya hanya diutamakan kerja sahaja. Itulah sepatutnya ciri-ciri yang perlu ada dalam seorang lelaki. Kerja, kerja dan kerja. Kalau kaki perempuan, bukankah lagi susah. Faizal membuntuti Ian Khalif beredar dari pejabatnya.



BERSAMBUNG.....


Friday, June 5, 2009

Kau Milikku 18

BAB 18

KAWASAN kampus bersesak dengan para pelajar yang baru mendaftar dan juga yang ingin mencari kelas masing-masing. Tidak terkecuali dua orang gadis yang datang jauh dari Malaysia. Sibuk ke hulu ke hilir mencari kelas yang tidak juga dijumpai mereka. Kawasan fakulti tidaklah sebesar mana pun. Tetapi masih tidak juga mereka jumpa kelas yang dicari. Tiba-tiba salah seorang daripada mereka terlanggar seseorang. Habis buku yang dipegangnya terlepas dari genggaman. Dizyan duduk di atas lututnya untuk mengutip buku-buku yang bertaburan. Yasmin turut menolong sahabatnya. Orang yang melanggar Dizyan juga menolong gadis itu mengutip bukunya.
“I’m sorry. Saya tak sengaja.” Ujar orang tersebut. Dizyan dan yasmin sama-sama mengerutkan dahi. Mereka berada jauh di rantauan. Masakan orang disana boleh mengucapkan kata-kata di dalam bahasa ibunda Malaysia, bahasa Melayu. Kedua orang gadis itu mendongak serentak. Nyata terkejut dengan kehadiran seseorang yang sememangnya tidak diingini.
“Kau ni kan, Aneeq, memang dari dulu apa yang kau buat, memang sengaja. Banyak kau punya sorry. Sorry naik lori lah.” Yasmin berkata kuat. Rakan-rakan sekampus yang lalu-lalang berdekatan mereka memandang mereka bertiga dengan tanda tanya. Dizyan menarik lengan Yasmin untuk beredar dari situ. Malu juga menjadi perhatian pelajar lain.
“Sorry.” Laung Aneeq dari jauh. Mereka buat-buat tidak dengar sahaja.
“Maafkan jelah dia tu. Benda yang dia buat kat aku kan dah lama.” Ujar Dizyan semasa mereka masih melangkah untuk mencari kelas di fakulti mereka. Terus langkah kaki Yasmin terberhenti.
“Eh, hello. Aku takkan maafkan dia atau kawan-kawan dia tu sebab dia pernah buli kau, tau. Kau dengan Misha je bestfriend aku. Dan, aku tak suka orang lain buli bestfriend aku. Kalau sesiapa nak buli kau orang, kena berhadapan dengan aku dulu.” Yasmin menepuk dadanya berulangkali. Tersenyum sahaja Dizyan melihat Yasmin.
“Yalah, Cik Yasmin Raudhah. Jom kita cari kelas kita. Kejap lagi, lambat pulak masuk kelas.” Dizyan sekali lagi menarik lengan Yasmin untuk menuruti langkahnya.
Kaki mereka berdua berhenti dihadapan kelas yang dinyatakan di dalam kertas yang dipegang masing-masing. Bersama mereka melangkah masuk ke dalam kelas. Kebanyakan pelajar masih bersembang sesama sendiri. Pensyarah belum ada yang masuk. Yasmin tercari-cari tempat kosong untuk mereka berdua. Ternampak ada sedikit ruangan yang kosong. Dia menarik tangan Dizyan dan menuju ke tempat tersebut sebelum ada yang mendapatkan tempat itu. Duduk bersebelahan dengan seorang gadis. Tersenyum sahaja mereka berdua pada gadis itu.
“Hi, I’m Claude.” Ujar gadis itu sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Yasmin yang duduk di sebelahnya.
“I’m Yasmin. And this is my friend, Dizyan.” Yasmin memperkenalkan diri sekaligus memperkenalkan Dizyan juga disebelahnya. Mereka bersalaman.
“Where’re you guy’s from?” Claude bertanya. Yasmin lebih ramah untuk menjawab soalan berbanding Dizyan yang hanya lebih suka mendiamkan diri.
“We’re from Malaysia.” Yasmin menjawab lagi.
“I see. I’m from Manhattan.” Giliran Claude pula menjawab. Yasmin mengangguk. Mereka tidak jadi meneruskan perbualan apabila kelihatan seorang pensyarah berkulit hitam melangkah masuk ke dalam kelas. Kelas yang menjadi hingar-bingar, terus sunyi sepi.
3 jam kemudian, kelas bersurai. Dizyan mengemas buku yang berselerakan di atas mejanya. Yasmin masih leka bersembang dengan gadis dari Manhattan itu. Ditepuk bahu Yasmin perlahan. Sahabatnya itu menoleh. Menjungkitkan kening apabila melihat Dizyan seperti berwajah gelisah.
“Kenapa, Yan?” tanya Yasmin. Dizyan hanya tersengih.
“Kau ni kenapa?” pelik Yasmin melihat Dizyan yang sejak tadi berwajah gelisah, tiba-tiba sahaja tersengih seperti kerang busuk.
“Aku nak pergi toilet.” Ujar Dizyan, masih lagi tersengih.
“Ya Allah. Pergi jelah.” Yasmin berkata sambil tersenyum kecil.
“Please excuse me.” Ucap Dizyan kepada Claude.
“Ya, sure.” Claude menjawab. Tersenyum manis ke arah gadis gempal itu.
Dizyan terus sahaja beredar dari situ. Berlari menuju ke tandas yang berada bersebelahan dengan bilik kuliahnya. Tergesa memasuki salah sebuah tandas. Selepas itu, dia keluar dari tandas tersebut. Dan tanpa disengajakan, Dizyan terlanggar seseorang. Dia tidak dapat mengimbangi badannya dan hampir terjatuh. Sempat disambut oleh orang itu. Dizyan cuba mengimbangi badannya dan berdiri. Mendongak memandang gerangan yang menyambutnya. Ingin diucapkan terima kasih. Ternganga Dizyan dibuatnya. Terus Dizyan melepaskan genggaman tangannya pada lengan orang itu.
“Sorry.” Dizyan ingin segera beredar dari situ.
“Awak tak apa-apa?” pertanyaan orang itu membuatkan langkah Dizyan tidak jadi diteruskan. Dia berpaling perlahan sambil mengerutkan dahi. Pada pandangan Dizyan, senyuman yang diberikan orang itu sangat ikhlas. Tetapi hatinya keras dengan mengatakan tidak. Dia itu mesti ada niat tertentu.
“Ya, I’m okay.” Jawab Dizyan kasar.
“Sorry sebab terlanggar awak tadi.” Ujar orang itu dengan sebaiknya. Tetapi Dizyan masih curiga. Sejak perbuatan yang dilakukannya terhadap Dizyan semasa sekolah dahulu, Dizyan tidak akan sekali-kali melupakan perbuatan mereka satu kumpulan.
“Kenapa kau baik sangat dengan aku? Kau ada niat apa-apa ke? Atau ketua segala ‘kepala’ kau orang tu yang suruh kau kenakan aku lagi?” tanya Dizyan sambil menyilangkan lengan ke dada. Aneeq memasukkan tangan kanan ke dalam poket seluar manakala yang sebelah lagi memegang beg galas yang tergantung di bahu.
Berbeza sekali gaya lelaki itu dari zaman sekolah dengan sekarang. Semasa sekolah, nampak sangat selekeh. Sekarang, dia lebih bergaya dan ada ciri-ciri lelaki idaman. Dizyan memejamkan matanya rapat dan menggelengkan kepala berkali-kali.
“Ishh...apa pulak ke situ yang aku fikirnya.” Bicara Dizyan di dalam hati.
“Kenapa, Yan? Awak tak apa-apa?” Aneeq bertanya dengan lembut. Dizyan memandang lelaki dihadapannya itu dengan perasaan yang jengkel.
“Awak masih tak percaya dengan saya? Yan, lupakan jelah apa yang dah berlaku masa kita sekolah dulu. Saya masih kebudak-budakan waktu tu. Sekarang ni, saya memang ikhlas nak berkawan dengan awak.” Ujar Aneeq. Masih dengan senyumannya. Dihulurkan tangan untuk berjabat.
Dizyan memandang dingin tangan yang dihulurkan. Berfikir samada patut atau tidak dia menerima huluran persahabatan itu. Hatinya berbelah bahagi. Yasmin yang baru sahaja melangkah keluar dari kelas dengan menggalas beg Dizyan dan juga buku-buku milik Dizyan, berjalan serta bergelak ketawa bersama sahabat baru yang ditemuinya, Claude. Entah lawak apa yang disembangkan mereka berdua. Terhenti langkah Yasmin melihat situasi yang berlaku dihadapannya itu. Claude juga turut sama terhenti langkahnya. Memerhati Yasmin yang memandang Dizyan dan Aneeq tidak berkelip.
“Yasmin, what’s wrong?” tanya Claude apabila tiada reaksi dari Yasmin semasa dia menggoncang bahu gadis itu. Tersentak Yasmin dibuatnya dan memandang Claude di sebelah.
“Claude, I think I better make a move.” Ujar Yasmin. Claude mengangguk perlahan.
“Okay. See you tomorrow.” Claude pula berkata. Yasmin tersenyum dan mengangguk. Menghantar langkah Claude pergi meninggalkan dia. Mata Yasmin tajam menikam dua wajah dihadapannya itu. Kaki yang terseliuh akibat terjatuh kerana tersepak kerusi tadi di dalam bilik kuliah, tidak terasa sakitnya. Yang penting, dia mesti melindungi Dizyan daripada lelaki buaya seperti Aneeq itu. Yasmin menolak huluran tangan Aneeq dan berdiri dihadapan Dizyan. Bersemuka dengan Aneeq.
“Ap yang kau nak lagi? Tak cukup ke dengan apa yang kau dah buat kat dia masa sekolah dulu? Sekarang ni, boleh tak kau jangan ganggu hidup kami lagi?” suara Yasmin yang kuat itu menyebabkan pelajar yang lalu-lalang memerhatikan mereka bertiga sambil berbisik sesama sendiri.
“Yas, slow lah sikit volume kau tu.” Ujar Dizyan. Terasa tebal kulit mukanya apabila tiba-tiba sahaja menjadi perhatian rakan seuniversiti. Yasmin menjegilkan matanya memandang Dizyan. Beralih semula memandang Aneeq yang berdiri tercegat dihadapan mereka itu.
“Okay, aku tahu dulu memang aku salah. Tapi bukan niat aku untuk buat dia macam tu.” Aneeq berkata. Yasmin mendengus. Kemudian tersenyum sinis.
“Bukan niat? Eh, hello. Kau nak mengenakan orang pun kena pasang niat ke?” Yasmin menyindir. Aneeq menyilangkan lengan ke dadanya.
“Okay, Yas. Aku minta maaf. Dulu memang aku mengaku, aku suka nak kenakan dia. Tapi sekarang ni, niat aku baik. Aku nak berbaik dengan Dizyan.” Lembut sungguh tutur bicara Aneeq. Hampir sahaja Yasmin terpedaya. Cepat sahaja dia mengalihkan wajah memandang Dizyan di belakang. Gadis itu mengerutkan dahi mendengar kata-kata Aneeq. Dia juga tidak percaya Aneeq boleh secepat itu berubah. Baru setahun mereka tidak bersua muka.
“Sudahlah, Aneeq. Apa yang kau nak katakan sekarang ni, aku langsung tak percaya. Dan, aku tak nak Yan pun turut percaya dengan apa yang kau nak cakap. Mulai sekarang, kau ikut haluan kau. Dan kami, ikut haluan kami. Pendek kata, kita orang dah tak nak ada apa-apa kaitan dengan kau dan geng-geng kau. Apa kata kalau kita berlakon macam strangers? Kita orang tak pernah kenal kau, dan kau pun tak pernah kenal kita orang.” Ujar Yasmin. Sudah malas mahu berbicara panjang lebar dengan lelaki dihadapannya itu.
“Macam mana aku nak buat tak kenal kau orang? Namanya pun kita satu faculty. Dan aku senior kau orang.” Aneeq masih tidak mahu berputus asa. Yasmin mengeluh kuat.
“Jadi, kau berlagaklah macam senior. Kan senior tak pernah tegur junior.” Yasmin menukas. Aneeq tersenyum kecil dan mengangguk perlahan. Ada benarnya juga kata-kata Yasmin itu. Mana pernah senior menegur junior, jika tidak junior yang mengambil inisiatif untuk menegur senior.
“Jom, Yan. Dari melayan mamat tak betul ni, lebih baik kita pergi ‘mencekik’. Aku dah lapar ni.” Yasmin segera menarik tangan Dizyan. Gadis itu terdorong mengikut rentak langkah Yasmin. Sempat memandang wajah Aneeq yang tersenyum kecil kepadanya itu. Tetapi senyuman Aneeq, tidak berbalas.
“Kenapa mesti aku kena dengar cakap Yasmin tu? Aku cuma nak berbaik dengan Yan. Tengok sajalah Yas. Aku pasti akan berbaik semula dengan Dizyan.” Aneeq bergumam sendirian. Terus sahaja dia beredar dari situ.
Yasmin berjalan laju meninggalkan Dizyan yang terpinga-pinga di belakang. Tercungap dia mengejar rentak kaki Yasmin.Tiba-tiba Yasmin berhenti dihadapan sebuah kafe dan terus sahaja melangkah masuk tanpa berkata apa-apa. Dizyan menarik dan melepaskan nafasnya perlahan. Dia juga turut melangkah masuk ke dalam kafe tersebut. Yasmin melabuhkan punggungnya di satu sudut. Dizyan duduk menghadap Yasmin yang sudah menggawangkan tangan untuk memanggil pelayan kafe itu. Pelayan itu menyerahkan menu kepada Yasmin dan juga Dizyan. Mereka membelek menu tersebut dari atas sehinggalah ke bawah.
“May I take your order, Madam?” tanya pelayan itu dengan sebuah senyuman dilemparkan ke arah mereka berdua.
“Set C.” Ujar Yasmin apabila sudah tahu apa yang hendak dijamahnya. Pelayan itu memandang pula Dizyan yang masih lagi membelek menu tersebut.
“Same goes with me.” Ujar Dizyan pula dan menyerahkan kembali menu tersebut kepada pelayan yang sedang mencatit pesanan makanan mereka. Pelayan itu kemudian beredar ke dapur dengan membawa pesanan yang baru sahaja pelanggan kafe itu memesan.
Baru sahaja Dizyan ingin berkata sesuatu tetapi tidak jadi apabila dilihatnya Yasmin sedang sibuk membalas SMS. Sebaik sahaja Yasmin selesai membalas SMS, Dizyan masih ingin berkata sesuatu tetapi sekali tidak jadi. Dilihatnya Yasmin memasang earphone ke telinga. Mendengar lagu-lagu dari iPod miliknya yang sempat dimuat turun di Malaysia sebelum ke Australia. Serasa geram sangat melihat kelakuan Yasmin itu. Dizyan menarik tali earphone yang tersangkut elok di telinga Yasmin.
“Kau ni kenapa? Marah sangat ke sebab aku bercakap dengan Aneeq tadi?” Dizyan bertanya. Yasmin mendengus kasar. Tidak suka diganggu sedang dia tengah berseronok mendengar lagu.
“Tak adalah.” Jawab Yasmin ringkas.
“Habis?” Dizyan bertanya lagi. Tidak berpuas hati dengan jawapan yang diterima daripada Yasmin. Sahabatnya itu meletakkan iPod ke atas meja. Mengeluh sedikit.
“Aku tak suka kau berbaik dengan dia. Kau tak ingat ke apa yang geng dia dah buat pada kau?” giliran Yasmin pula untuk bertanya. Dizyan menyandarkan badannya ke belakang.
“Itu je sebab sebenarnya kenapa aku tak suka kau berkawan dengan dia.” Yasmin memberikan jawapan mudah dan dapat diterima oleh Dizyan. Gadis itu mengangguk perlahan dan tersenyum.
Sebentar kemudian, makanan yang dipesan oleh mereka tiba dan dihidangkan dihadapan mereka. Begitu berselera sekali mereka berdua menjamu selera. Selesai bersantap, Yasmin membayar harga hidangan mereka itu. Mereka berjalan beriringan keluar dari kafe tersebut.
“Sedap jugak kan makanan kat sini? Halal pulak tu.” Ujar Yasmin. Dizyan hanya mengangguk.
“Kau ada nak kemana-mana ke lepas ni?” tanya Dizyan. Yasmin seperti berfikir sesuatu. Kemudian menggeleng pantas.
“Kenapa? Kau nak pergi mana?” Yasmin bertanya sambil membetulkan beg galas yang sudah melurut turun.
“Aku nak pergi bookstore. Nak beli buku rujukan. Kau nak ikut?” ajakan Dizyan ditolak oleh Yasmin dengan gelengan dan senyuman.
“Tak naklah. Aku nak balik dulu. Bilik aku tak kemas lagi. Bersepah. Baju dengan buku-buku aku semua ada atas lantai lagi.” Yasmin tersengih. Dizyan mengangguk perlahan.
“Okay. Jumpa kat rumah nanti.” Dizyan berkata.
“Okay. Hati-hati tau.” Tukas Yasmin pula. Sahabatnya mengangguk. Mereka berpisah disitu. Sempat Yasmin melambai ke arah Dizyan dan lambaian dibalas.


LANGKAH kaki Dizyan berhenti dihadapan kedai buku berhampiran kawasan kampus. Menurut pelajar-pelajar disitu, jika ingin membeli buku rujukan, hanya kedai yang berdekatan kawasan kampus itu sahaja yang ada menjual pelbagai jenis buku rujukan. Dia melangkah masuk ke dalam kedai buku tersebut. Menuju ke arah rak buku rujukan. Dibelek satu persatu. Kemudian ditarik buku tersebut dan dibaca sepintas lalu isi kandungan buku itu. Sedang asyik Dizyan mencari buku rujukan yang diperlukan, terasa bahunya dilanggar seseorang sehingga buku-buku yang digendong bertaburan.
“I’m sorry, Miss.” Ujar seseorang lalu menolong Dizyan mengutip buku-buku tersebut.
“It’s okay.” Jawab Dizyan ringkas. Mengangkat muka untuk memandang gerangan yang melanggarnya. Terkejut Dizyan melihat kehadiran seseorang yang tidak diingininya itu.
“Awak tak apa-apa?” tanya Aneeq apabila dilihatnya Dizyan sedikit terkaku.
“Saya tak apa-apa.” Jawab Dizyan ringkas. Ingin sahaja beredar dari situ dengan segera. Tetapi tidak jadi melangkah apabila Aneeq berkata sesuatu.
“Maafkan saya.” Dizyan beralih dan berdiri menghadap Aneeq yang lebih tinggi darinya itu.
“Kenapa awak nak minta maaf pulak?” kening Dizyan bertaut. Pelik dengan ucapan maaf yang terluah dari mulut lelaki itu.
“Saya tahu perbuatan kami satu geng pada awak dulu memang sesuatu yang tak baik. Tapi....” ayat Aneeq tergantung. Mata Dizyan masih tidak lepas dari memandang wajah Aneeq yang sudah banyak berubah itu.
“Maafkan saya. Saya yang hasut kawan-kawan lain untuk kenakan awak. Saya mengaku masa tu saya masih kebudak-budakan lagi. Tapi semenjak saya berada disini, saya dah banyak berubah.” Dizyan masih memandang Aneeq dengan perasaan tidak percaya. Betulkah dia ini sudah berubah? Atau hanya auta sahaja? Senyuman Aneeq mengembalikan Dizyan ke alam nyata.
“Jadi, apa yang awak nak dengan saya?” Dizyan bertanya. Berdehem kecil.
“Saya nak berkawan dengan awak. Saya nak berbaik dengan awak. Saya dah tak mahu jadi musuh awak.” Aneeq menukas. Dihulurkan tangan untuk berjabat. Fikiran Dizyan bertelagah sesama sendiri. Perlukah dia menerima huluran salam itu? Tetapi dia sudah banyak berubah. Kalau tahu dek Yasmin, bagaimana pula nanti? Mahukan Yasmin menerima penerangan Dizyan nanti?
“Saya rasa tak perlu sampai kita nak berkawan. Cukuplah sekadar saya tahu awak dah tak berniat nak kenakan saya lagi.” Dizyan berkata ringkas dan segera beredar dari situ. Huluran tangan Aneeq dibiarkan tidak bersambut. Aneeq menarik semula huluran tangannya dan menggenggam seperti penumbuk. Dia tersenyum kecil. Mungkin ambil masa untuk Dizyan menerima dirinya sebagai sahabat. Tidak mengapa. Dia tetap akan cuba untuk mendekati Dizyan.

BERSAMBUNG....