BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, June 24, 2009

Kau Milikku 21

BAB 21

KALI ini kemarahan Tuan Haji Azmin benar-benar terduga. Apabila mendapat tahu Dizyan ditangkap khalwat. Segera Tuan Haji Azmin dan Puan Hajjah Karissa pulang ke Kuala Lumpur dengan menaiki kapal terbang seawal jam 8 pagi dari Kedah. Izham dan Yasmin juga turut ingin pulang tetapi dihalang oleh Tuan Haji Azmin. Dia membiarkan anak serta menantunya berseronok dahulu di kampung. Dizyan hanya duduk berteleku di sebelah Asyifa. Kakak sepupunya itu berulang kali mengusap belakang Dizyan. Puan Hajjah Karissa hanya duduk di sudut ruang tamu dan memerhatikan suami yang mundar-mandir dihadapan anaknya itu. Puan Hajjah Karissa tidak dapat menolong Dizyan. Sesekali terdengar keluhan kuat yang keluar dari mulut Tuan Haji Azmin. Akhirnya, Tuan Haji Azmin melabuhkan punggung di atas sofa. Menghadap Dizyan yang sedari tadi hanya menundukkan wajah.
“Abah dah berbincang dengan Datuk Farid. Dan, kami dah capai persetujuan.” Ujar Tuan Haji Azmin memulakan butir bicara. Dizyan mendongak wajah memandang Tuan Haji Azmin. Serius sahaja wajah Abahnya ketika itu.
“Kami nak Yan dan Faizal, kahwin.” Kata-kata Tuan Haji Azmin membuatkan Dizyan terpaku.
“Kahwin? Yan tak nak kahwin dengan Faizal, Abah. Yan tak suka dia.” Dizyan merayu. Dia berdiri dan mendekati Puan Hajjah Karissa. Duduk bersebelahan dengan Uminya. Mencari simpati si ibu.
“Yan...ini untuk kebaikan semua. Untuk kebaikan keluarga Datuk Farid dan untuk kebaikan keluarga kita.” Lembut sahaja Puan Hajjah Karissa berkata. Asyifa tidak berkata apa-apa. Tidak mahu masuk campur. Silap haribulan, dia juga turut akan terlibat sama dalam kemarahan Tuan Haji Azmin. Dizyan menggenggam erat jari jemari Puan Hajjah Karissa. Sengaja dia merengek tidak mahu. Mana tahu, lembut hati Puan Hajjah Karissa.
“Sudah! Yan jangan cuba nak pujuk Umi. Abah dan Umi dah setuju nak kahwinkan Yan. Perkahwinan ni dapat menyelamatkan maruah keluarga kita dan juga keluarga Datuk Farid. Kalau Yan tak nak kahwin, Yan akan malukan Abah dan juga Kak Syifa. Tolonglah, Yan. Jaga air muka kami. Kami peguam yang dikenali. Tentu malu jika keluarga kami menghadapi masalah macam ni.” Sudah memuncak kemarahan Tuan Haji Azmin. Dizyan mencebik. Tanda tidak puas hati. Tapi, apa salahnya buat kali ini, menuruti kata-kata Abah. Sudah banyak kali, dia melawan kata Tuan Haji Azmin jika apa yang disuruh oleh Abahnya itu tidak mendapat kepuasan hati Dizyan.
“Tapi Yan cuma kerja kat rumah dia, Abah.” Ujar Dizyan. Masih cuba mencari ruang simpati dalam diri Tuan Haji Azmin untuknya.
“Kerja kat rumah dia? Sebagai apa?” berkerut dahi Tuan Haji Azmin memandang Dizyan. Puan Hajjah Karissa dan Asyifa juga turut memandang gadis gempal itu. Dizyan tahu dia sudah terlepas kata.
“Sebagai....sebagai...pem...pembantu....rumah.” tergagap-gagap Dizyan menjawab. Wajahnya ditundukkan. Tidak mahu memandang wajah Tuan Haji Azmin yang menyinga.
“Pembantu rumah? Abah ingat, Yan kerja kat office. Selama ni Yan tipu kami semua? Apa nak jadi dengan Yan ni? Abah dah beri kebenaran untuk Yan kerja dengan orang di office. Bukan di rumah orang. Astaghfirullahilazim. Yan...Yan...” Merah menyala wajah Tuan Haji Azmin. Selama ini, disangkanya Dizyan bekerja di dalam pejabat. Tidak menyangka pula sebagai pembantu rumah. Hairan juga dia apabila dikhabarkan oleh salah seorang lelaki dari Pejabat Agama, bahawa Dizyan ditangkap khalwat bersama majikannya di dalam banglo milik majikan itu. Rupa-rupanya, Dizyan bekerja sebagai pembantu rumah. Tuan Haji Azmin mengeluh.
“Sudahlah, Abang. Benda dah jadi. Kita nak buat macam mana lagi.” Puan Hajjah Karissa berkata. Ingin memujuk hati suami yang sedang panas membara.
“Awak tengoklah anak awak ni. Mati-mati selama ni dia tipu kita. Itulah awak. Manjakan sangat budak ni. Apa kehendak dia, kita ikut saja. Cuba kalau awak bertegas sikit dengan dia ni macam awak tegas dengan Iz dan Syifa. Dah jadi orang, agaknya sekarang ni.” Kemarahan Tuan Haji Azmin dihamburkan pula kepada Puan Hajjah Karissa. Asyifa menahan gelak mendengarkan kata-kata Tuan Haji Azmin. Kedua orang tua dihadapannya itu pula seperti hendak memulakan pergaduhan.
“Ish...saya pulak. Abang tu, ha. Dulu saya suruh Abang tegas dengan Yan, Abang kata, tak apalah. Anak bongsu. Nanti kalau tegas sangat, jadi macam Iz pulak. Tak balik-balik lepas belajar. Sekarang ni Abang nak salah saya pulak.” Puan Hajjah Karissa memulangkan paku buah keras. Terdiam Tuan Haji Azmin. Memang diakui, itulah yang dikatakan kepada isterinya itu.
“Sudahlah. Saya malas nak bergaduh dengan awak.” Ujar Tuan Haji Azmin lalu berdiri. Dipandang tepat ke arah Dizyan yang masih menundukkan wajah.
“Yan, Abah nak Yan kahwin dengan budak Faizal tu, 3 bulan dari sekarang. Awak dan Syifa, tolong buat apa-apa persiapan yang patut. Walaupun kena tangkap basah, kita tetap akan menyambut menantu lagi 3 bulan.” Pesan Tuan Haji Azmin. Puan Hajjah Karissa dan Asyifa mengangguk tanda mengerti. Dizyan mendongak memandang bayangan Tuan Haji Azmin hilang dari pandangan. Satu keluhan kesal dilepaskan kuat oleh Dizyan. Puan Hajjah Karissa mengusap belakang Dizyan. Asyifa berdiri dan mendekati Dizyan. Ditepuk perlahan bahu Dizyan.
“Sabar, Yan. Kak Syifa yakin, pasti ada hikmahnya disebalik semua kejadian ini.” Ujar Asyifa. Melegakan hati Dizyan yang gundah gulana. Puan Hajjah Karissa tersenyum untuk menghilangkan keresahan hati anak bongsunya itu.
“Kak Syifa senanglah cakap. Yan ni yang susah hati.” Dizyan berkata perlahan. Kedua-dua wanita itu hanya tersenyum. Dia menyandarkan badan ke sofa empuk itu. Lemah sudah terasa segala badannya. Macam manalah agaknya kalau Faizal tahu rancangan keluarga mereka? Dizyan tidak mahu memikirkan kemungkinan itu.


“ZAL tak setuju, Pa. Papa nak Zal kahwin dengan orang gaji kita sendiri? Memang taklah.” Bantah Faizal sekerasnya. Faizal berdiri tercegat dihadapan Datuk Farid. Kata-kata Papanya itu langsung tidak boleh diterima. Diraup rambut yang berjuraian di dahi ke belakang. Datuk Farid memandang tajam ke arah anak sulungnya itu.
“Habis, kenapa boleh tinggal kamu berdua je dalam rumah ni? Bila masa budak Dizyan tu kerja dekat sini?” bertalu-talu soalan seperti peluru keluar menghambur dari mulut Datuk Farid.
“Manalah Zal tahu Bibik balik Kampung Medan. Zal ingat Bibik memang ada dalam rumah ni. Dia tu start kerja seminggu lepas Papa dan Mama pergi Switzerland.” Faizal menjawab soalan-soalan yang ditanya. Datin Rubaiyah hanya diam membisu.
“Jadi, kenapa kamu pakai seluar pendek dengan sleeveless t-shirt tu? Kamu tahu kan dia ada kat dalam rumah.” Kata-kata Datuk Farid seperti peluru menghujam dada Faizal ketika itu.
“Zal...Zal....Zal tak...” sudah tidak tahu hendak berkata apa lagi. Setiap ayat yang dihamburkan Datuk Farid itu ada benarnya.
“Papa dah tak nak dengar apa-apa lagi dah. Kamu akan kahwin dengan Dizyan, lagi 3 bulan.” Muktamad Datuk Farid menyatakan pendiriannya. Terduduk Faizal di kerusi. Berkahwin dengan musuh ketatnya sejak sekolah? Itu satu-satunya kemungkinan yang dia tidak langsung terfikir.
“Abang....Abang nak suruh Zal kahwin dengan budak tu? Saya ni tahu sangat taste perempuan yang Zal suka. Abang nak suruh budak tembam tu jadi menantu kita? Mana saya nak letak muka saya kalau kawan-kawan saya tengok menantu saya macam tu. Saya selalu beritahu dia orang semua yang bakal menantu saya, international model. Pelakon iklan.” Datin Rubaiyah sungguh tidak setuju dengan cadangan suaminya itu. Faizal mengangkat muka memandang Mamanya. Mengangguk dan turut bersetuju dengan kata-kata Datin Rubaiyah.
“Saya peduli apa. Muka saya ni lagi malu, tau. Press semua dah tahu yang anak pemilik RUFA Tower kena tangkap basah. Nasib baik saya slow talk dengan press. Kata, jangan hebohkan perkara ni. Faizal akan kahwin dengan budak yang dia kena tangkap basah tu. Kalau kawan-kawan awak tengok bakal menantu awak tu tak macam yang awak canangkan, awak malu kecil je tau. Kalau masuk paper, awak malu satu Malaysia. Mana awak nak?” Datuk Farid memandang tajam ke arah isterinya. Datin Rubaiyah mencebik. Faizal menghempaskan badan ke sofa yang didudukinya. Datuk Farid beredar dari situ dengan menggelengkan kepala yang separuh botak itu.
“Ma, Zal tak suka dengan dia.” Faizal berkata perlahan. Datin Rubaiyah mengengsot sedikit. Merapatkan badan dengan anak sulungnya itu.
“Mama tahu. Tapi kalau dah Papa kata hitam tu, hitam lah jawabnya. Mama dah tak boleh tolong Zal. Salah Zal jugak. Siapa suruh Zal pakai macam tu hari tu.” Datin Rubaiyah mengusap rambut Faizal semasa anak lelakinya itu membaringkan diri di atas peha Datin Rubaiyah. Satu keluhan kecil keluar dari mulut Faizal.


TARIKH perkahwinan Dizyan dan Faizal semakin hampir. Faizal langsung tidak mahu mempedulikan persiapan perkahwinannya. Bagi dia, itu bukanlah satu perkahwinan diatas kehendaknya. Faizal masih belum mengkhabarkan berita perkahwinan dia itu kepada orang bawahan juga teman sepejabat. Juga belum dikhabarkan kepada KU Zhety. Agaknya bagaimanalah penerimaan Ku Zhety nanti bila tahu dia akan berkahwin dengan perempuan yang sangat dibenci oleh mereka. Nasib baik Ku Zhety berada di Milan kerana menjayakan satu fashion show. Sepanjang 3 bulan Faizal dan Dizyan langsung tidak berhubung di antara satu sama lain. Berkali-kali Puan Hajjah Karissa meminta DIzyan untuk menelefon Faizal dan bertanyakan kelancaran persiapannya.
“Ish...malaslah, Yan. Kalau Umi nak, Umi call Datin Rubi.” Nombor telefon rumah banglo milik Datuk Farid itu diserahkan kepada Puan Hajjah Karissa.
“Eh, eh...Umi pulak yang call? Kamu tu yang nak kahwin.” Puan Hajjah Karissa menolak semula kertas yang dihulurkan oleh Dizyan itu.
“Ini bukan kahwin betul. Ini kahwin paksa.” Dizyan berkata. Sedikit memberontak. Puan Hajjah Karissa menggelengkan kepalanya. Dia melabuhkan punggung di atas katil Dizyan. Duduk sebelah anak gadisnya. Rambut Dizyan yang panjang itu, diusap perlahan.
“Yan, pasti ada hikmahnya disebalik semua kejadian ini yang berlaku. Apapun yang terjadi, Yan kena anggap ini semua adalah dugaan yang diberikan kepada Yan oleh Allah s.w.t.” hujah Puan Hajjah Karissa. Dizyan mengangkat muka perlahan memandang Uminya itu. Puan Hajjah Karissa tersenyum dan melangkah keluar dari bilik Dizyan. Membiarkan Dizyan keseorangan untuk berfikir baik buruknya kejadian ditangkap khalwat itu berlaku.
Dicapai telefon bimbit yang ada di atas meja sisi tepi katilnya. Kemudian, mendail nombor telefon rumah Datuk Farid. Ada nada dering dan ada yang menjawab panggilannya itu.
“Hallo?” suara yang amat dikenalinya menjawab panggilan Dizyan itu. Dizyan tersenyum lebar mendengarkan suara Sutinah yang amat dirinduinya itu.
“Bik, Yan ni.” Jawab Dizyan. Sutinah bersuara girang dapat mendengar suara Dizyan.
“Yan? Kamu apa khabar, sih?” tanya Sutinah. Sudah lama tidak berjumpa dengan Dizyan semenjak dia dikehendaki berhenti dari bekerja di rumah banglo itu lagi.
“Baik, Bik. Bik...Encik Faizal ada?” tanya Dizyan, terus bertanyakan tentang Faizal. Tidak mahu lama bercakap dengan Sutinah. Takut nanti airmatanya akan merembes keluar.
“Nggak ada. Dia ke kantor lagi. Si Ijal ini udah mau menikah, lagi sibuk di kantor. Jarang sekali pulang ke rumah.” Terang Sutinah. Dizyan mengangguk perlahan, walaupun Sutinah tidak nampak akan perbuatannya itu. Tiba-tiba, Sutinah mengeluh. Dizyan mengerutkan dahi.
“Kenapa, Bik? Ada apa-apa yang berlaku ke?” Dizyan bertanya apabila keluhan Sutinah didengarinya. Sutinah tidak segera menjawab.
“Semenjak kebelakangan ini, Ijal asik terus berantem(asyik bergaduh) ama Aneeq. Aneeq bilang, Ijal udah nggak anggap dia itu lagi temennya(kawan). Mau menikah, nggak dibilang ama mereka. Ijal pula, asik terus marah-marah. Kayaknya(seperti) bukan lagi Ijal yang dulu. Ceria, suka ketawa terus.” Sutinah menerangkan perihal yang berlaku selama 3 bulan Dizyan sudah tidak lagi bekerja disitu. Faizal dan Aneeq bergaduh? Ini bermakna, Aneeq sudah tahu bahawa mereka akan berkahwin tidak lama lagi.
“Tak apalah, Bik. Yan kena letak dulu ni. Banyak lagi urusan yang nak diselesaikan.” Ujar Dizyan. Hatinya semakin kacau.
“Iya...udah deh. Bibik nggak sabar ni, mau liat(lihat) kamu ama Ijal menikah.” Berterus-terang Sutinah berkata. Dizyan langsung tidak memberikan apa-apa respon. Perasaannya kosong.
“Baiklah, Bik. Assalamualaikum.” Salam yang diberikan Dizyan, dijawab oleh Sutinah. Kemudian, mereka sama-sama mematikan talian. Dizyan mencampakkan telefon bimbitnya ke atas katil. Mundar-mandir di dalam bilik. Bagus juga Aneeq sudah tahu akan hal ini. Tetapi kenapa hati Dizyan tidak tenteram? Serasa ingin menjerit disitu. Tetapi nanti dikatakan tidak betul pula oleh jiran sebelah. Akhirnya, Dizyan menghempaskan badan ke atas katil.


GELAS kaca berderaian jatuh ke atas lantai. Peluh jantan sudah memercik di dahi. Menitik darah dari celah jari Aneeq sudah tidak dipedulikannya lagi. Hatinya remuk. Bila mendapat tahu, gadis yang dicintainya bakal menjadi milik orang lain tidak lama lagi. Semenjak 2-3 hari ini selepas mendapat tahu bahawa Faizal akan menikahi Dizyan, hidup Aneeq menjadi tidak tenang. Setiap hari terbayangkan wajah basah kuyup Dizyan sewaktu menangisi kesilapan yang dilakukan oleh Aneeq semasa mereka masih lagi bergelar pelajar di sana. Diraup rambut yang berjuraian di dahi. Penghawa dingin yang berada di ruang tamu kondo milik Aneeq tidak terasa dinginnya.
“Kau jangan sentuh aku!!!” jeritan Dizyan masih terngiang-ngiang di telinga Aneeq. Cuba memejamkan mata dan menghilangkan bayangan Dizyan.
“Binatang! Lelaki tak guna! Tak guna....” sekali lagi Dizyan menjerit. Dia seperti orang gila. Terpaksa cuba ditenangkan oleh Yasmin yang sudah turut sama menangis melihat keadaan Dizyan.
“Apa yang kau dah buat pada dia, ha?” Yasmin bertanya sambil menolak badan Aneeq dengan kuat. Aneeq tidak berkata apa-apa. Tiada respon atau jawapan yang diberikan.
“Kau pergi dari sini. Aku dah tak nak tengok muka kau. Pergi!!!!” Yasmin menolak Aneeq sekuat hati sehingga lelaki itu terdorong ke belakang. Tanpa membuang masa lagi, Aneeq terus melangkah pergi. Tetapi dia sempat beralih dan memandang Dizyan buat kali terakhir.
“Maafkan aku, sayang. Aku terlalu mencintaimu. Aku tak sanggup kehilangan kau. Dan, aku tahu. Perbuatan aku ini, tak mungkin akan mendapat kemaafan darimu.” Hati Aneeq berkata-kata. Dia sememangnya menyesali diatas segala perbuatan yang telah dilakukan oleh dia.
Lagu Demi Cinta nyanyian Kerispatih berkumandang dari radio yang dipasang kuat oleh Aneeq. Airmata lelakinya laju menuruni pipi. Belum pernah dia menangis disebabkan oleh seorang perempuan. Kali ini, hati dia turut terluka. Barulah dia tahu. Begini rasanya hati dilukai oleh seseorang.



Maaf kutelah menyakitimu
Ku telah kecewakanmu
Bahkan kusia siakan hidupku
Dan kubawa kau seperti diriku
Walau hati ini terus menangis
Menahan kesakitan ini
Tapi ku lakukan semua demi cinta

Akhirnya juga harus kurelakan
Kehilangan cinta sejatiku
Segalanya tlah kuberikan
Juga semua kekuranganku
Jika memang ini yang terbaik
Untuk diriku dan dirinya
Kan kuterima semua demi cinta

Jujur aku tak kuasa
Saat terakhirku genggam tanganmu
Namun yang pasti terjadi
Kita mungkin tak bersama lagi

Bila nanti esok hari
Kutemukan dirimu bahagia
Ijinkan aku titipkan
Rasa cinta kita selamanya….


Aneeq berbaring di atas sofa. Tangannya yang berdarah dibiarkan berjuntai ke bawah. Menitis darah tersebut ke atas lantai. Sakitnya tangan itu, sudah tidak dipedulikan lagi. Hatinya yang remuk lebih perit menahan kesakitan.

BERSAMBUNG....

6 tukang komen paling setia:

ha-ra said...

aneeq da wat pe sbnar nye??
dia rgol yan ke??alahai...
ecah cpt la smbg...
huhuhu

ShAydA said...

suspen...x sabo nak tau ape aneeq dah buat kat yan..cepat2 la post n3 baru ye..

keSENGALan teserlah.. said...

huh..
aneeq watpe kat yan??
dye rape yan ker??
alahaii..aneeq cintakan yan??
yan pulak??cm cintakan aneeq gak..
then faizal..
huhu..nk lgi..

Anonymous said...

aaahhhhh aneeq! fight for your love man! ugh taknak yan dgn faizal :(

sYaFaRiNa said...

haha dh climax citer ni

LiNa said...

aneeq wat pe ek?
xsabar nak tau..
sambung lagi yer..