BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, June 20, 2009

Kau Milikku 20

BAB 20

SUDAH berkali-kali Faizal berulang alik ke tandas. Berlari anak dia ke tandas sambil memegang perut yang terasa memulas-mulas. Sudahnya, dia tersandar kepenatan di kerusi empuk miliknya. Peluh sudah memercik di dahi. Wajahnya pucat lesi. Dicengkam meja sekuat hati. Hendak kata tidak makan, sudah melantak sepinggan penuh. Takkanlah masih gastrik lagi. Hatinya berdetik sendirian. Perut yang memulas membuatkan Faizal tidak dapat menahan kesakitannya. Terus dia menekan interkom. Memanggil Hartanty. Ketukan di pintu bilik, Faizal menjawab dengan lemah. Sudah tidak berdaya mengeluarkan suara seperti halilintar memecah bumi sebagaimana yang dilakukannya selalu. Hartanty melangkah masuk ke dalam bilik Faizal dengan membawa organizer. Berkerut dahi Hartanty melihat Faizal tertunduk-tunduk menahan sakit perut.
“Bos…bos tak apa-apa ke?” Hartanty bertanya. Risau juga melihat wajah pucat ketuanya itu walaupun selalu Hartanty yang menjadi tempat untuk dia menghamburkan kemarahan.
“Saya tak berapa sihatlah, Tanty. Awak batalkan apa sahaja appointment saya petang ni. Dan inform pada Kak Mid yang meeting petang ni postponed.” Arahan Faizal dicatit di dalam organizer yang berada di dalam genggamannya.
“Bos tak nak balik berehat ke?” Hartanty bertanya lagi. Gelengan yang diterima daripada Faizal cukup membuatkan Hartanty mengeluh. Sememangnya diakui Faizal adalah seorang ketua yang sangat berdedikasi. Walaupun badannya kurang sihat, dia tetap akan cuba menyelesaikan kerja yang terbengkalai. Dia tetap akan pergi kerja walaupun demam.
Hartanty berjalan ke arah meja Faizal, mendekati komputer riba yang terpasang. Faizal masih menekan perut yang kesakitan. Menekan punat Ctrl dan S untuk save. Menyimpan segala data ke dalam memori komputer. Ditutup komputer riba tersebut. Faizal hanya memerhatikan sahaja gerak geri Hartanty. Dicapai kot yang tergantung di rak kot dan diserahkan kepada Faizal.
“Baliklah, bos. Jangan seksa diri. Nanti melarat pulak. Balik berehat.” Faizal memandang huluran kot yang diberikan oleh Hartanty. Dilepaskan keluhan kecil. Dia mengangguk perlahan dan mencapai kot tersebut. Diambil beg bimbit dari bawah meja.
“Laptop ni....” Faizal memandang Hartanty. Gadis itu tersenyum.
“Bos jangan risau. Nanti saya simpankan. Bos balik je.” Ujar Hartanty dengan senyuman manis. Faizal mengangguk lemah. Sudah tidak tertahan berlama disitu. Terus sahaja beredar.
Faizal menekan butang lif untuk ke Basement. Perut terasa menyucuk. Kunci kereta segera dikeluarkan dari dalam poket seluar. Sebaik sahaja pintu lif terbuka, terus dia menekan alat penggera kereta. Bergema bunyi nyaring dari alat penggera itu. Dibuka pintu kereta dan dicampak kot serta beg bimbit ke tempat duduk sebelah. Menderu kereta Mazda MX-5 itu keluar dari kawasan tempat letak kereta tersebut. Sambil memandu, Faizal masih menekan perut yang terasa sakit. Jalan semakin sesak apabila waktu mula menginjak petang, membuatkan kenderaan yang berada di sekitar Kuala Lumpur mula memenuhi jalan-jalan utama. Sejam kemudian, kereta Mazda MX-5 tiba di Kota Damansara. Hati Faizal sedikit lega. Dia sudah berhampiran dengan kawasan rumahnya. Perut yang sebentar tadi terasa sakit yang amat sangat, kini sudah beransur hilang. Faizal menekan pintu pagar automatik dan pintu itu terbuka luas. Diletakkan keretanya di dalam garaj. Bersebelahan BMW 7 series kepunyaan Datuk Farid. Dia membawa beg bimbit dan kotnya ke dalam rumah. Kunci kedengaran berlaga di luar rumah. Ditolak pintu utama sekuat hati. Membuka kasut dan menutup semula pintu tersebut. Faizal mencampakkan kot dan beg bimbitnya ke atas sofa. Biarlah disitu. Pasti sebentar lagi Dizyan akan membawa beg bimbitnya ke dalam bilik bacaan.
“Bik...Bik...” nama Sutinah dilaungkan oleh Faizal. Tiada jawapan atau respon yang diterimanya. Tiba-tiba, kepala Faizal pula terasa berdenyut. Kepala terasa berat.
“Bik...” sekali lagi nama Sutinah dipanggil.
“Mana pulak orang tua ni pergi? Bik....” cuba memanggil sekali lagi. Juga masih sama. Tiada jawapan. Faizal melepaskan keluhan kuat.
“Yan...” kali ini nama Dizyan pula dilaungkan. Tiada jawapan. Faizal sudah tidak tertahan menunggu disitu lagi. Perlahan-lahan dia menapak naik ke tingkat atas. Menuju ke kamarnya. Dibuka pintu bilik itu dan dia terus merebahkan diri di atas katil. Dari atas katil, satu persatu baju kerjanya ditanggal dan dicampak di atas lantai. Lega dapat merehatkan diri yang keletihan akibat kesan cirit-birit yang dialami oleh Faizal itu. Lena Faizal sehingga tidak menyedari apa-apa langsung.


DIZYAN bernyanyi kecil mengikut rentak dan irama lagu yang didengarinya daripada iPod yang memang sentiasa dibawa bersama. Kotak muzik kecil itu memang penuh dengan lagu-lagu yang dimuat turun oleh Dizyan. Tidak kiralah sama ada lagu Inggeris, Melayu atau Korea semuanya ada didalam iPod milik Dizyan itu. Leka Dizyan menyeterika baju-baju kerja Faizal. Sambil itu, menunggu mesin basuh selesai mencuci baju sebelum disidai. Baju yang diseterika dengan kemas itu, digantung menggunakan penyangkut baju. Mesin basuh sudah berbunyi 2 kali menandakan baju-baju yang sudah siap dibasuh. Diangkat baju-baju kerja Faizal dan dimasukkan ke dalam mesin pengering. Baju-baju lain seperti kemeja T dan seluar dimasukkan ke dalam mesin pembasuh. Berkali-kali Sutinah memesan kepada Dizyan bahawa baju kerja Faizal tidak boleh dibasuh sekali dengan baju biasa. Takut nanti warna baju-baju biasa akan melekat pada baju kemeja Faizal. Bingit telinga kalau mendengar Faizal membebel pula nanti.
“Bik...Bik...” Dizyan mengangkat muka. Berkerut dahinya mendengar seseorang menjerit memanggil nama Sutinah. Tiba-tiba, bulu romanya berdiri menegak. Segera dikuatkan suara iPodnya itu. Seram bulu tengkuk Dizyan sebentar.
Mesin basuh berbunyi sebanyak 2 kali mengejutkan Dizyan. Diurut dada. Diperlahan semula volume iPod. Diangkat baju-baju yang berada di dalam mesin basuh dan diletakkan di dalam bakul. Kemudian, Dizyan mengangkat bakul tersebut dan dibawa ke tempat penyidai yang terletak di pintu belakang. Kelihatan Wina sedang menyapu daun-daun kering yang bertaburan di halaman belakang. Tersenyum pada pembantu rumah sebelah itu.
“Kamu sendirian di rumah?” tanya Wina. Dizyan tidak menjawab soalan itu. Dia masih leka menyidai pakaian yang baru sahaja dibasuhnya itu. Berkerut dahi Wina. Kenapa Dizyan tidak menjawab soalan Wina? Selalunya, pantang Wina memulakan perbualan, pasti panjang lebar Dizyan bercerita. Wina ternampak tali yang tergantung dari telinga Dizyan itu.
“Yan...” kuat Wina memanggilnya. Dizyan tercari-cari suara yang memanggil namanya. Dipandang ke atas. Ke kiri dan ke kanan. Masih tidak nampak bayangan suara yang memanggilnya. Bertambah meremang bulu roma. Kemudian, Dizyan berpaling dan ternampak Wina tersenyum.
“Kak Wina panggil saya ke?” Dizyan pula yang bertanya.
“Ya iyalah, dong.” Jawab Wina sambil tersenyum sinis. Dizyan mencabut penyumbat telinganya sebelah. Melepaskan nafas kelegaan.
“Maaf, Kak Wina. Tak dengar.” Dizyan menjawab lembut. Berjalan ke arah pagar yang memisahkan rumah Datuk Farid dan jiran sebelah, Tuan Kamal. Dizyan sudah selesai kerja menyidai baju. Memandang Wina yang masih memegang sebatang penyapu.
“Kamu sendirian di rumah?” Wina bertanya sekali lagi. Dizyan mengangguk lemah.
“Yalah, Kak Wina. Bibik janji nak balik petang ni. Tapi, dia baru je telefon tadi. Suami dia sakit teruk. Tak sampai hati pulak dia nak tinggalkan suaminya. Jadi, Yan cakap dengan dia, teman jelah suami Bibik tu. Esok pagi balik pun tak apa.” Dizyan berkata dalam senyuman. Sedangkan hatinya yang bergelora, tiada siapa yang tahu. Kena ditinggalkan bersendirian dengan Faizal di dalam rumah yang besar itu. Membuatkan hati Dizyan tidak keruan.
“Nggak apa-apa kamu ditinggalkan sama Tuan Ijal?” pertanyaan Wina itu membuatkan hati Dizyan bertambah celaru. Ditinggalkan bersendirian bersama lelaki yang bukan muhrimnya.
“Nak buat macam mana, Kak Wina? Takkan nak paksa Bibik balik pulak. Kesian kat suami dia.” Dizyan menggigit bibir. Sedangkan waktu itu, dia berharap sangat bahawa Sutinah segera pulang ke rumah banglo itu.
“Iya...Kak Wina pikir nggak apa-apa kok. Lagian, Tuan Ijal itu selalunya pulang telat(lambat). Jam 2, jam 3, baru dia mau pulang.” Kata-kata Wina sedikit sebanyak mengurangkan keresahan hati Dizyan.
“Wina...Wina....” majikan Wina melaung nama pembantu rumahnya itu.
“Kak Wina ke dalam dulu, ya. Itu udah dipanggil oleh ibu(puan).” Wina berkata sambil meletakkan penyapu ke dinding. Dizyan mengangguk perlahan dan tersenyum. Melihat bayangan Wina menghilang di sebalik pintu.
“Bila dia dah balik, aku duduk je dalam bilik. Dia panggil pun, buat tak tahu je.” Dizyan berkata sendirian. Dia mengangkat bakul yang digunakan tadi dan dibawa masuk ke dalam bilik dobi semula. Kembali menyangkutkan tali penyumbat telinga ke telinganya semula. Seharian Dizyan meneruskan kerja-kerja membersihkan rumah seperti yang selalu dilakukannya.
“Ish...aku ni boleh dianggap sebagai menantu pilihan lah. Dulu kat rumah aku sendiri pun, tak pernah aku buat kerja-kerja macam ni. Sekarang ni, macam-macam kena buat. Tak buat, makan gaji buta pulak.” Bebel Dizyan sendirian.
Setelah selesai memvakum permaidani yang terhampar di ruang tamu, Dizyan menyimpan semula penyedut hampagas itu ke dalam stor. Dia menghempaskan punggungnya ke atas sofa Itali yang terletak di ruang tamu itu. Mengeliat. Melepaskan penat bekerja. Badan yang terasa lekit, terasa ingin dibersihkan. Dizyan mengangkat punggungnya dan berjalan menuju ke arah kamar yang terletak dibahagian dapur. Selesai membersihkan diri dan bersolat Asar, Dizyan berkira-kira hendak melelapkan mata barang sejam dua. Tetapi teringat pula pesanan Umi. Tidak elok sekiranya kita tidur selepas Asar. Boleh melemahkan daya ingatan. Dizyan melepaskan keluhan. Tidak dapat tidur, sekadar berbaring pun tidak mengapa. Minda Dizyan terbang melayang. Teringatkan perbualannya dengan Izham 3 hari lepas. Izham dan Yasmin sudah pun pulang ke Malaysia. Dizyan tidak dapat menyambut kepulangan abang yang dirinduinya itu kerana terpaksa bekerja. Pernah dia berkata kepada Faizal bahawa dia ingin minta cuti setengah hari pada hari Izham pulang ke Malaysia, ingin sekali dia menyambut Izham di lapangan terbang. Tetapi permintaannya itu ditolak mentah-mentah. Faizal tidak membenarkan dia bercuti.
“Siapa yang nak tolong Bibik kalau kau cuti?” teringat kata-kata Faizal pada hari itu.
“Iya, nggak apa-apa, Ijal. Biarin(biar) aja Yan berlibur(bercuti). Ya Ijal, ya?” Sutinah turut menolong Dizyan memujuk Faizal untuk meminta kebenarannya.
“Tak boleh. Kau tak boleh cuti.” Tegas Faizal berkata.
“Sekejap je, Encik Faizal. Saya tak pernah mintak cuti lagi sebelum ni.” Separuh merayu Dizyan berkata. Dizyan memandang wajah Faizal. Ingin meminta simpati. Tetapi hati lelaki itu langsung tidak bersimpati. Malahan, dia memandang Dizyan dengan sinis.
“Kau dah lupa ke apa yang aku nyatakan dalam contract tu?” uji Faizal. Dipandang wajah Dizyan. Gadis itu hanya menundukkan wajah. Gelengan perlahan yang diterima sebagai jawapan kepada persoalan Faizal itu.
“Cuba kau beritahu aku. Apa yang aku nyatakan dalam contract tu?” sekali lagi Faizal berniat ingin menguji Dizyan. Gadis itu melepaskan keluhan perlahan. Hatinya mendidih menahan amarah.
“Saya kena dengar dan patuh kepada arahan Encik Faizal.” Lemah sahaja Dizyan menjawab. Sutinah memandang wajah Dizyan dengan perasaan simpati. Dialihkan pula memandang Faizal yang memeluk tubuh memandang Dizyan dengan senyuman sinis.
“Bagus. Nampaknya kau tak lupa apa yang aku tulis dalam contract tu. Jadi, kau kena dengar cakap aku. Bila aku kata, tak boleh cuti. Maknanya, tak boleh cuti. Faham!!!” kata-kata Faizal muktamad. Airmata Dizyan berada di tubir mata. Serasa seperti hendak pecah. Tetapi ditahan. Dia tidak boleh kelihatan lemah dihadapan Faizal ketika itu.
Buat entah ke berapa kalinya Dizyan mengeluh. Baru kelmarin dapat menelefon Izham. Abangnya itu berkata dia dan Yasmin akan pulang ke kampung bersama Umi dan Abah. Hendak membawa Yasmin berjalan-jalan di kampung mereka. Sudah lama rasanya Izham tidak berpeluang pulang ke kampung. Lagipun, kepulangan mereka ke kampung bertujuan hendak memperkenalkan Yasmin kepada sanak-saudara yang berada di kampung. Maklumlah semasa kenduri kahwin 2 tahun yang lepas, mereka tidak sempat untuk beramah mesra bersama tetamu yang hadir kerana seminggu selepas itu Izham dan Yasmin terus terbang semula ke Australia. Dizyan menyandarkan diri ke kepala katil. Suasana riuh rendah di kampung bersama sepupunya terlayar di ruang mata. Rindunya dia pada Kasidah, Hajar, Hairi, Tapa, Nun, Kak Yati, Kak Mizah, Abang Huzair dan abang sepupu yang perasan dirinya itu paling kacak, Abang Aman. Ketampanan wajah Abang Aman memang tidak dinafikan lagi. Dia selalu menjadi kegilaan gadis-gadis kampung dan kota. Siapa yang tidak kenal dengan Abang Aman? Kasanova terkenal. Masihkah Abang Aman dengan Kak Madina? Perangai Abang Aman yang kasanova itu membuatkan Kak Madina selalu risau. Selalunya, Dizyan dan Hajar lah orang yang bertanggungjawab menyatukan kembali mereka berdua.
Makanan yang menjadi sajian terkenal di kampung mereka itu juga terlayar di minda Dizyan. Apam lenggang, pulut inti, serabai berkuahkan durian, nasi Malaysia, capati sardin. Tiba-tiba perutnya berbunyi kelaparan. Dapatkah Yasmin makan segala makanan yang ada di kampung Dizyan itu? Setiap kali Dizyan bercerita keenakan makanan yang ada di kampungnya itu, pasti Yasmin dan Misha terliur mendengar. Pernah sekali Dizyan bercerita kepada mereka berdua sehinggakan Yasmin terasa ingin pergi ke kampung Dizyan pada hari itu juga.
“Kau nak pergi kampung aku? Nak buat apa?” Dizyan bertanya kehairanan.
“Kau selalu cerita pasal makanan yang ada kat kampung kau. Aku dah kecur air liur ni.” Ujar Yasmin pula. Dizyan tersenyum.
“Boleh. Tapi kau kena kahwin dulu dengan orang sana. Baru boleh balik kampung aku selalu.” Usik Dizyan. Yasmin mencebik.
“Tak naklah aku. Sepupu-sepupu kau semuanya tak boleh pakai.” Yasmin sengaja berkata begitu. Giliran Dizyan pula mencebik.
“Hello, cousin aku semua handsome, okay. Kalau kau tak nak, dengan abang aku pun okay jugak.” Dizyan berkata dengan sinis. Tahu sangat Yasmin tidak begitu setuju dengan Izham.
“Dengan abang kau? Lagi...haram tak boleh pakai.” Ujar Yasmin. Dizyan mencubit pinggang Yasmin sehingga gadis itu mengaduh kecil. Ah! Rindunya pada zaman sekolah dulu. Sekali lagi Dizyan mengeluh. Kali ini lebih kuat.
Lama Dizyan berangan sehingga tidak sedar sudah masuk waktu Maghrib. Segera Dizyan mengambil wuduk dan menunaikan solat Maghrib. Usai bersolat, disangkutkan sejadah juga telekung ke tempat penyidai. Dizyan keluar dari biliknya dan menuju ke dapur. Ingin melihat apa yang boleh dimasak untuk dijadikan makan malam hanya untuk dirinya. Dibuka pintu peti sejuk sambil berfikir.
“Nak makan apa, ya? Aku seorang je pun yang nak makan malam ni.” Ligat otak Dizyan berfikir.
“Ah...makan yang ringkas, sudah.” Dizyan mencapai burger dan juga frankfurter yang berada di dalam tempat sejuk beku. Dihidupkan api di stove. Selesai memasak, Dizyan hanya menjamu selera di meja makan yang terletak di dalam dapur. Dia dan Sutinah lebih selesa makan berdua di dapur. Menurut Sutinah, jika Datuk Farid dan Datin Rubaiyah berada di rumah, cuma sediakan sarapan pagi dan makan tengah hari sahaja. Makan malam hanya disediakan kadangkala sahaja. Jika mereka tidak mempunyai jemputan untuk makan di luar. Faizal pula jarang sekali makan malam di rumah. Hati Dizyan rasa berdebar pula untuk berjumpa dengan Datuk Farid dan Datin Rubaiyah esok. Dari perbualan yang didengari semasa Faizal dan Sutinah bersembang, majikan mereka itu akan pulang pada esok pagi. Macam mana dia hendak berhadapan dengan Datuk dan Datin semasa Sutinah tiada? Sutinah akan pulang pada esok petang.
Sedang asyik Dizyan berangan, pintu rumah diketuk kuat. Tersentak Dizyan seketika. Lambat-lambat dia bangun dari kerusi yang didudukinya. Siapa pula yang datang malam-malam begini? Hati Dizyan terasa gusar. Tetapi, dia tetap bangun dan menuju ke pintu utama. Faizal yang baru sahaja menuruni anak tangga, terus menuju ke pintu utama. Perlahan sahaja Dizyan memulas tombol pintu dan kemudian, pintu utama itu terkuak luas.
“Assalamualaikum!!!” ucap 4-5 orang lelaki yang berbaju Melayu dan bersongkok serta berkopiah putih. Berkerut dahi Dizyan. Tiba-tiba dia berasa tidak sedap hati.
“Siapa tu, Yan?” tanya Faizal.
“Assalamualaikum.” Seorang lelaki sekali lagi memberikan salam kepada Faizal.
“Wa...waal...waalaikmussalam.” Faizal menjawab sedikit gagap.
“Kami daripada Jabatan Agama Islam Selangor. Kami mendapati Cik dan Tuan berkhalwat di dalam rumah ini. Sila ikut kami ke Pejabat Agama.” Ujar salah seorang lelaki yang berdiri dihadapan. Terpana Faizal mendengar kata-kata itu. Dizyan terjelepuk jatuh dihadapan pintu.
“Tapi kami tak buat apa-apa, Encik. Dia hanya kerja di rumah saya.” Faizal cuba memberikan penjelasan kepada lelaki-lelaki tersebut.
“Setiap pasangan yang ditangkap berkhalwat akan berkata begitu.” Ujar seorang lelaki lain pula. Dizyan mendongak memandang mereka semua.
“Betul, Encik. Saya hanya pembantu rumah di rumah ni saja.” Dizyan pula cuba untuk memberikan penjelasan. Ada yang menggelengkan kepala, ada pula yang tersenyum sinis.
“Kalau betul kamu ni pembantu rumah Tuan ni, takkanlah kamu dan Tuan berpakaian begini semasa berada di dalam rumah.” Sinis sekali salah seorang daripada lelaki-lelaki itu berkata. Dizyan memandang pakaian yang dipakainya. Terlupa pula dia sedang memakai baju tidur paras lutut. Pandangannya dihalakan ke arah Faizal yang hanya memakai seluar pendek serta berbaju T tanpa lengan. Serta-merta Dizyan merasakan pandangannya terasa gelap.
“Sudah. Ikut saja kami ke Pejabat Agama. Kita akan cerita lebih panjang disitu.” Ujar lelaki bersongkok hitam itu. Dizyan dan Faizal dikehendaki menukar pakaian kepada pakaian yang lebih sopan sebelum mereka dibawa ke Pejabat Agama.

BERSAMBUNG.....

8 tukang komen paling setia:

ShAh said...

makin menarik..cepat2 la sambung x sabo nak tau selanjutnya

keSENGALan teserlah.. said...

whoaaaa..
tgkp basah..??
ngeeee..
menarik2..nk lgi..

sYaFaRiNa said...

dh kena tgkap basah...
adoyai, mlg nsib yan..

::cHeeSeCaKe:: said...

xpsl kne tgkap basah..
lg la faizal bengang ngn yan..
cmne la klu ayah yan tau..?
sure die geram je..coz slame ni yan jd pmbntu rumah jer..

along said...

boleh tak nak teka cite dia cam ne

pasni diaorg kawin tp yan still jadi org jadi supaya parents faizal x tahu.
then they fall in love...
hehehehe...

agaknye kot... depend kat penulis

LiNa said...

best2..sambung lagi yer..
xsabar nak tau sambungannya...

miss nina said...

musykil2x..sape lak yg dengkikan faizal-yan?
kesiannya kat yan

ceritaku MEMORIKU said...

tangkap basah?
adoiii suke2
ahakzz
-na'dz