BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, June 25, 2009

Kau Milikku 22

BAB 22

RUMAH Datuk Farid meriah dengan sanak-saudara yang datang berkunjung untuk melihat persiapan perkahwinan Faizal. Datin Rubaiyah dan Sutinah sibuk menyediakan makanan untuk mereka semua yang hadir. Fikhri dan Fathiq tidak dapat pulang ke Malaysia untuk menghadiri majlis perkahwinan abang mereka kerana sedang menghadapi peperiksaan akhir untuk semester itu. Salah seorang kakak Datuk Farid yang menyediakan segala kelengkapan perkahwinan. Dari bunga telur sehinggalah pelamin untuk bersanding secara kecil-kecilan walaupun sebelah Faizal hanyalah sambut menantu. Sudah berkali-kali Datin Rubaiyah menolak cadangan kakak Datuk Farid itu. Tetapi sebaliknya, Datuk Farid menyokong tindakan kakaknya. Segala persiapan sudah disiapkan. Hanya menunggu hari untuk akad nikah serta bersanding di sebelah pihak pengantin perempuan pada esok hari. Wajah Datin Rubaiyah tidak langsung menunjukkan keikhlasan menerima menantu pertama. Mencuka sahaja. Sehingga menimbulkan tanda tanya di benak saudara-mara yang datang menziarahi.
“Kamu dah jemput wartawan yang nak datang untuk buat liputan esok?” tanya kakak sulung Datuk Farid, Halimah. Datin Rubaiyah hanya mengangguk perlahan.
“Kamu ni kenapa, Rubi? Macam tak suka je nak dapat menantu.” Ujar Halimah sambil tangannya masih ligat membetulkan bunga telur yang terletak di atas pahar.
“Macam mana saya nak suka, Kak Limah. Bukan menantu pilihan saya.” Terus-terang Datin Rubaiyah memberitahu apa yang tersirat dihatinya. Halimah hanya menggelengkan kepala.
“Kamu kena ingat, Rubi. Hal ni adalah untuk menutup malu keluarga kamu. Kamu suka atau tidak, semua ni kamu kena tolak ketepi. Yang penting, jangan wartawan datang dan bawak cerita buruk tentang keluarga kamu pulak. Yang malu nanti Farid.” Nasihat Halimah. Sudah berbakul Datin Rubaiyah mendengar nasihat yang sama daripada adik beradik yang lain.
“Apa lagi yang nak saya tolong, Kak Limah?” Datin Rubaiyah bertanya. Malas mahu memikirkan perihal itu lagi.
“Dah tak ada apa dah ni. Semua dah siap.” Ujar Halimah. Dia berdiri sambil menatang pahar yang penuh dengan bunga telur tersebut dan diletakkan di tepi pelamin.
Jam antik berdenting sebanyak 10 kali. Menandakan jam sudah menggerakkan jarumnya ke angka 10 malam. Kelibat Faizal masih juga belum pulang. Datuk Farid menyuruh Faizal untuk mengambil cuti sahaja bermula daripada hari Khamis. Tetapi dibangkang oleh Faizal kerana masih banyak kerja yang belum diselesaikannya lagi. Lagipun, dia bukannya beria-ia untuk berkahwin. Saudara-mara yang tinggal berdekatan sudah beransur pulang. Manakala yang tinggal berjauhan, tidur di rumah Datuk Farid. Rumah banglo itu masih mempunyai 4 buah bilik yang masih kosong. Sengaja Datuk Farid membina banglonya begitu. Supaya senang sanak-saudara yang datang dari jauh untuk menumpang tidur di rumahnya itu daripada terpaksa menempah hotel. Datuk Farid mundar-mandir di ruang tamu. Faizal masih belum pulang. Berkali-kali didail nombor telefon anak sulungnya itu. Tidak berjawab dan asyik masuk peti suara sahaja. Datin Rubaiyah yang masih sibuk bersembang dengan adiknya, Safura di meja makan yang terletak di dapur. Sambil dihidangkan kopi panas dan biskut kering, lebih rancak perbincangan mereka. Suami Safura, Rais sudah lama masuk tidur. Tidak tertahan mata yang terasa mengantuk kerana seharian memandu dari Changlun, Kedah ke Kuala Lumpur.
Kereta Mazda MX-5 baru sahaja memasuki perkarangan rumah. Diparkir keretanya di dalam garaj. Membawa kot dan beg bimbit turun dari kereta. Wajah yang keletihan ketara sangat yang ditunjukkan oleh Faizal. Datuk Farid segera menuju ke pintu utama setelah pintu tersebut dibuka oleh Sutinah yang menyedari kepulangan Faizal. Diserah beg bimbit dan kotnya kepada Sutinah. Terkejut Faizal melihat wajah Datuk Farid yang muncul di sebalik pintu. Terdengar dia melepaskan keluhan. Sudah pasti Datuk Farid ingin membebel. Ditadah sahaja telinganya itu.
“Kenapa Zal lambat balik? Zal tahu tak esok pagi Zal nak akad nikah.” Datuk Farid berkata. Faizal malas hendak melayan kata-kata Datuk Farid dan terus sahaja beredar dari situ.
“Zal, Papa cakap dengan Zal ni.” Ujar Datuk Farid. Suaranya bertambah serius.
“Zal dengarlah, Pa. Zal penat ni. Okay? Papa nak membebel ke, apa ke, esok je. Zal dah tak larat lagi dah. Kepala Zal dah pening. Goodnight, Pa.” ucap Faizal sambil kakinya melangkah naik ke tingkat atas dengan cepat.
“Zal, bangun awal esok. Kita kena keluar dari rumah pukul 10 pagi.” Sempat Datuk Farid berpesan. Faizal mengangkat tangan dan mengangguk perlahan walaupun tidak pusing menghadap Papanya. Datuk Farid melepaskan keluhan dan menggeleng perlahan.
“Sudahlah tu, Bang. Dah cukup bagus kalau esok dia ikut perancangan Abang tu. Buatnya dia lari…tak ke naya. Abang tu cukup-cukuplah membebel. Lebih daripada saya pulak.” Datin Rubaiyah yang muncul dari belakang dengan Safura itu benar-benar mengejutkan Datuk Farid yang sedang mengelamun. Safura tersenyum kecil.
“Tak apalah, Kak Rubi…Abang Farid. Pora naik atas dulu.” Ujar Safura. Dia berlalu melintasi Datuk Farid yang berdiri di atas tangga. Datin Rubaiyah mendekati Datuk Farid yang bersandar di rel tangga. Memeluk lengan suaminya. Datuk Farid menarik lengannya perlahan dan memeluk bahu isteri tercinta. Hampir 26 tahun menyemai cinta, sekalipun Datuk Farid tidak pernah memandang perempuan lain. Baginya, Datin Rubaiyah adalah cinta pertama dan terakhir buat diri dia.
Faizal menghempaskan badan yang keletihan ke atas katil. Tangan sebelah diletakkan di atas dahi. Memandang kipas siling yang berputar perlahan. Biarpun sudah memasang penghawa dingin, kedinginnya masih belum terasa. Dipasang pula kipas siling. Hatinya terasa panas membara. Esok adalah hari bersejarah buat orang yang berkahwin bersama pilihan hatinya. Tetapi bagi Faizal, esok adalah hari yang paling ingin sekali dielakkannya. Kalau dia lari meninggalkan majlis begitu sahaja, pasti kesemua ahli keluarganya menanggung malu. Begitu juga dengan keluarga Dizyan. Faizal memejamkan matanya serapat mungkin. Berharap ini semua adalah mimpi. Lusa Ku Zhety akan pulang dari Milan. Bagaimanakah agaknya reaksi Ku Zhety jika perkara ini tersebar ke pengetahuan dia tanpa sempat Faizal memberitahu apa-apa? Ahli kumpulan Faizal and the boys sudah memaklumkan kedatangan mereka ke majlis Faizal itu. Turut serta pengantin baru, Najib dan Nadia. Mereka semua terkejut dengan perkahwinan segera Faizal ini. Tambahan pula, Faizal akan berkahwin dengan musuh ketat mereka. Bukan dengan Ku Zhety.
“Argh!!!!” Faizal menjerit kuat. Nasib baik bilik yang tertutup rapat itu tidak dapat didengari suaranya sehingga ke bilik sebelah. Dia bangun dari katil dan menarik tali lehernya dengan kasar. Dicampak ke atas lantai. Baju kemeja serta seluarnya juga dicampak ke atas lantai.


HARI pernikahan Faizal dan Dizyan, akhirnya tiba jua. Serasa Faizal ingin melarikan diri dengan terjun dari balkoni. Tetapi bila difikirkan ketinggiannya semula, terus dia tidak jadi melakukan apa yang dihajati. Seawal jam 6 pagi, Datin Rubaiyah sudah mengejutkan Faizal. Berhempas-pulas Faizal di atas katil. Liat untuk bangun pagi. Tetapi disebabkan ketukan tanpa henti itu, digagahkan jua diri untuk bangun. Faizal membuka pintu biliknya dengan kasar.
“Bangun, sayang. Papa panggil solat Subuh berjemaah kat bawah.” Ujar Datin Rubaiyah yang sudah siap bertelekung. Faizal mendengus geram. Mulut yang terbuka luas, segera ditutup dengan telapak tangan. Dia masuk semula ke dalam bilik dan mencapai tuala yang tersangkut di tepi pintu bilik air. Membersihkan diri dan berpakaian sopan. Berbaju Melayu, berkain pelikat dan bersongkok. Kemudian, Faizal turun ke tingkat bawah. Dilihatnya sanak-saudara sudah sedia menunggunya. Bapa saudara Faizal suami kepada Halimah, Ghaffar menarik tangan Faizal untuk berdiri di sebelahnya. Usai bersolat Subuh, mereka dijamu sarapan pagi yang disediakan oleh Sutinah dan ditolong oleh anak-anak saudara perempuan Datuk Farid dan Datin Rubaiyah yang uzur. Faizal tidak begitu berselera untuk menjamu sarapan seawal itu. Dia terus masuk ke dalam biliknya untuk berbaring. Kesan kantuknya masih ada.
Difikirkannya hendak lelap sekejap sebelum bangun untuk bersiap. Tidak menyangka pula bahawa terlelap sehingga jam 9 pagi. Kelam-kabut Faizal bangun untuk membersihkan diri dan bersiap. Pintu biliknya diketuk perlahan. Faizal membuka pintu tersebut sambil menggigit kain sampin yang masih belum diikat. Abang sepupu Faizal, Zakwan dan adiknya, Zakir tergelak kecil melihat kelakuan Faizal itu. Mereka berdua masuk ke dalam bilik Faizal. Zakwan menolong Faizal mengikat sampin. Manakala Zakir hanya duduk di atas katil Faizal dan melihat sahaja. Zakwan dan Zakir memang bersahabat baik dengan Faizal sedari kecil lagi. Mereka berdua selalu tidur dan bermain di rumah Datuk Farid apabila tiba waktu cuti sekolah. Kini, Zakwan menjadi pensyarah di salah sebuah universiti tempatan di Malaysia. Manakala Zakir pula menjawat jawatan Penolong Pengarah di sebuah syarikat yang mempunyai empayar terbesar di Malaysia. Mereka bertiga pernah bertaruh bahawa siapa yang akan berkahwin dahulu. Zakwan dan Zakir selalu mengatakan Faizal yang akan mendirikan rumah tangga dahulu. Kerana rupa parasnya yang memang kacak serta berkarisma tinggi, dapat menawan mana-mana perempuan yang boleh dijadikan isteri. Tetapi Faizal tidak bersetuju. Dia menyatakan dengan tegas bahawa Zakir yang akan terlebih dahulu berumah tangga kerana dia itu pandai mengayat wanita dan digelar kasanova.
“Dah siap. Uish...handsome kau hari ni, Zal. Mesti permaisuri kau pun cantik jugak.” Usik Zakwan. Zakir ketawa mengekeh. Faizal mencebik.
“Ada-ada jelah, Abang Wan ni. Dahlah tu. Jom.” Faizal malas mahu memanjangkan lagi usikan mereka berdua itu. Dia memandang sekilas dirinya di dalam cermin.
“Turun pun pengantin kita ni. Lamanya make-up.” Usik Ghaffar. Yang lain hanya tersenyum melihat kekacakan Faizal di dalam baju Melayu berona putih itu. Dia hanya tersenyum hambar.
“Jom cepat semua. Kita dah lambat ni.” Ujar Datuk Farid. Mereka yang lain berpusu-pusu keluar dari rumah dan menaiki kenderaan masing-masing. Datuk Farid menyuruh Faizal menaiki keretanya sendiri tetapi dipandu oleh Zakwan. Faizal menolak. Pantang baginya jika orang lain yang membawa kereta dia. Dia lebih suka memandu sendiri. Zakwan hanya menjadi penumpang keretanya.


SETENGAH jam kemudian, rombongan pihak lelaki tiba dihadapan rumah Tuan Haji Azmin. Khemah-khemah yang dibina di sepanjang jalan hadapan rumahnya menghalang kenderaan rombongan pihak lelaki untuk meletakkan kereta mereka berdekatan rumah banglo milik keluarga Dizyan. Lambat-lambat Faizal turun dari keretanya. Kenderaan-kenderaan milik wartawan yang tiba awal di rumah Dizyan sudah memenuhi jalan-jalan utama disitu. Ahli keluarga pihak lelaki menatang dulang hantaran. 7 dulang berbalas 9 dulang. Kesemua ahli keluarga Faizal menjejakkan kaki masuk ke dalam rumah Dizyan dan diletakkan dulang-dulang hantaran tersebut di atas permaidani yang sudah dihampar khas. Dulang hantaran daripada pihak perempuan juga sudah diletakkan di atas permaidani tersebut. Perlahan kaki Faizal melangkah masuk ke dalam rumah. Kesemua hadirin dan para wartawan yang hadir terpegun melihat ketampanan wajah Faizal. Dia melabuhkan punggungnya di atas kusyen yang disediakan. Duduk menghadap jurunikah. Entah kenapa hatinya berdebar-debar sedangkan dia langsung tidak ada niat untuk berkahwin. Selesai segala urusan yang diuruskan oleh jurunikah setelah meminta tandatangan pengantin lelaki dan perempuan. Tuan Haji Azmin ingin sendiri menikahkan Dizyan. Tanggungjawab itu diserahkan oleh jurunikah kepada abah Dizyan. Tuan Haji Azmin menghulurkan tangan dan disambut oleh Faizal. Digenggam erat jari jemari menantunya itu.
“Aku nikahkan dikau dengan Dizyan Farhana binti Azmin dengan mas kahwin RM 80, tunai.” Ucap Tuan Haji Azmin dengan sekali nafas.
“Aku terima nikahnya Dizyan Farhana binti Azmin dengan mas kahwin RM 80 tunai.” Jawab Faizal pula. Hanya dengan sekali lafaz, Dizyan sah bergelar isteri kepada lelaki yang langsung tidak disangka akan menjadi suaminya satu hari nanti. Dizyan yang berada di dalam bilik menitiskan airmata. Dia tidak tahu kenapa dia harus begitu. Tetapi yang pasti airmatanya tetap turun.
“Bawak turun pengantin.” Salah seorang daripada hadirin berkata. Misha yang menjadi pengapitnya dikehendaki membawa Dizyan turun ke tingkat bawah. Perlahan-lahan langkah kaki Dizyan melangkah turun ke bawah. Dizyan kelihatan anggun sekali dengan baju kebaya berorganza putih dan tudung melitupi kepalanya. Wajahnya disolek cantik. Mata Faizal terkaku pada Dizyan tetapi hatinya tidak langsung rasa berdebar.
Dizyan duduk bersila di atas pelamin. Berkelipan lampu kamera milik wartawan yang hadir. Mengambil gambar perkahwinan anak pemilik RUFA Tower, Fezrull Faizal Datuk Farid dan anak peguamcara dan peguambela terkenal, Dizyan Farhana Tuan Haji Azmin. Sebentuk cincin berlian emas putih diserahkan kepada Faizal oleh Asrul yang menjadi pengapitnya. Disarungkan ke jari manis Dizyan. Gadis itu turut menyarungkan sebentuk cincin emas putih ke jari Faizal. Kemudian, Dizyan tunduk menyalami Dizyan dan sebagai balasannya, Faizal mencium dahi Dizyan. Sekali lagi cahaya lampu kamera berkelipan. Bermacam gaya yang mereka posing untuk diambil gambar buat tatapan pembaca. Selesai bersanding, kedua pengantin diiringi oleh pengapit untuk menjamu selera di bawah khemah bersama para hadirin dan tetamu yang hadir. Semasa menjamu selera, mereka disuruh oleh jurugambar untuk acara suap-menyuap pula. Segan apabila disuruh berbuat demikian. Acara memotong kek juga telah disempurnakan oleh mereka berdua. Para jurugambar masih sibuk mengambil gambar setiap acara yang berlangsung. Tiba-tiba sahaja Faizal tergelak kecil. Dizyan memandang wajah suami yang baru dinikahinya itu dengan kerutan di dahi.
“Kenapa awak gelak?” tanya Dizyan. Tetapi tetap memberikan senyuman kepada jurugambar-jurugambar tersebut.
“Tak adalah. Kita kahwin macam sebab cinta. Tapi sebenarnya kita kahwin sebab kena tangkap basah.” Ujar Faizal perlahan di tepi telinga Dizyan. Meremang sebentar bulu roma Dizyan. Gadis itu tidak berkata apa-apa sebaliknya hanya tersenyum kecil.
Sedang mereka asyik disuruh berposing, mata Dizyan tertancap pada sekujur tubuh yang amat dikenalinya. Lama mata mereka bertaut. Aneeq mendekati pasangan pengantin yang baru sahaja berkahwin itu. Dizyan jadi gelisah. Tidak keruan. Dia mengalihkan pandangannya ke arah yang lain. Aneeq menepuk bahu Faizal dengan kuat. Terkejut sahabatnya itu.
“Woih! Kau baru sampai ke?” Faizal bertanya. Pautan di bahu Dizyan tidak dilepaskan.
“Taklah. Aku dah lama sampai. Dah makan dah pun.” Ujar Aneeq. Ingin sekali Dizyan melarikan diri jauh dari situ. Tidak mahu langsung melihat wajah lelaki itu.
“Congrats.” Ucap Aneeq seikhlas yang mungkin walaupun dalam hatinya bermacam perasaan yang melanda. Dihulurkan tangan dan bersalaman dengan Faizal. Dihulur pula pada Dizyan. Faizal menggoncangkan sedikit bahu Dizyan. Gadis itu beralih perlahan-lahan memandang Aneeq.
“Tahniah.” Aneeq berucap lembut. Dizyan hanya menyentuh jemari Aneeq di hujung jarinya sahaja. Kemudian, dia melepaskan diri dari pautan Faizal. Rimas berlama disitu.
“Pedulikan je dia tu. Angin tak berapa nak betul.” Faizal berkata. Menepuk-nepuk bahu Aneeq.
“Kau jagalah dia baik-baik.” Ujar Aneeq perlahan. Dahi Faizal berkerut.
“Apa kau cakap?” Faizal bertanya. Kurang jelas di pendengarannya apa yang diperkatakan oleh Aneeq. Lelaki itu tersenyum dan menggeleng. Kemudian, Faizal memperkenalkan Aneeq pada saudara-saudara perempuannya.



KEBANYAKAN saudara-mara yang datang sudah beransur pulang. Yang tinggal berjauhan juga sudah pulang sebaik sahaja selesai kenduri menyambut menantu bagi pihak Datuk Farid pada keesokkan harinya. Faizal yang kepenatan, terus sahaja masuk ke dalam bilik dan membaringkan diri. Tanpa menukar baju dan membersihkan badan yang melekit. Entah bila masa dia terlelap pun, dia tidak sedar. Faizal terkejut jaga apabil terasa seperti seseorang membuka pintu biliknya. Dalam kesamaran cahaya lampu bilik, terkebil-kebil mata Faizal memandang satu lembaga. Digosok matanya perlahan. Dizyan sedang berdiri menghadap cermin. Menyisir rambutnya yang panjang ikal mayang itu.
“Kau buat apa dalam bilik aku ni?” tanya Faizal dalam suara yang tersekat-sekat. Penat tadi masih belum hilang.
“Kita kan dah jadi suami isteri. Kalau ini bilik awak, bermakna inipun bilik sayalah. Takkan saya nak tidur bilik tamu pulak. Nanti apa kata Mama dan Papa.” Ujar Dizyan. Diletakkan sikat itu semula ke atas meja solek dan berjalan mendekati katil. Dilabuhkan punggung ke atas katil. Ditepuk bantal tidur itu berulang kali. Faizal hanya mengerutkan dahi memerhatikan gerak geri Dizyan itu.
“Kau buat apa ni?” sekali lagi Faizal bertanya. Matanya tidak lepas dari memandang Dizyan.
“Nak tidurlah. Penat.” Jawab Dizyan ringkas. Seraya itu, Dizyan membaringkan diri dan membelakangkan Faizal yang masih terpinga-pinga.
“Eh, suka hati kau je. Ni katil aku. Kalau kau tak boleh tidur bilik lain, sekurang-kurangnya kau tak boleh tidur atas katil aku ni.” Faizal berkata. Dizyan masih membelakangkan Faizal.
“Saya peduli apa. Dahlah. Tidur je. Saya ni penat, tau. Bercakap dengan awak, boleh mengurangkan tenaga saya lagi.” Dizyan malas mahu melayan karenah Faizal yang tidak berkesudahan itu. Faizal mencebik geram.
“Kau penat, ya? Nanti kau.” Faizal berkata dalam hati. Dia mengengsot mendekati Dizyan dan dengan perlahan-lahan menolak badan gadis itu. DIzyan yang tidak sempat berbuat apa-apa, terus jatuh tersembam ke atas permaidani yang dihampar di dalam bilik itu.
“AAAAA....” Dizyan menjerit. Menggosok punggung yang terasa sakit. Dia segera bangun berdiri dan menjeling tajam ke arah Faizal. Lelaki itu hanya tersenyum sinis.
“Kau pergi tidur atas sofa tu. Ni katil aku.” Faizal berkata dan sengaja mendepangkan kakinya. Tidak mahu Dizyan kembali merebahkan diri di atas katilnya. Dizyan mencebik geram. Dia ingin mengambil bantal tidur. Tetapi Faizal tidak melepaskan sebiji bantal pun yang ada di atas katil itu.
“Fine.” Dizyan sudah semakin geram. Dia menarik gebar yang menyelimuti Faizal itu dan dibawanya ke sofa tersebut.
“Kalau saya tak dapat bantal, dapat selimut pun jadilah.” Dizyan berkata sinis. Dia segera baring di atas sofa itu dan menyelimuti dirinya yang kesejukan.
“Ada aku kesah? Tempat aku lagi best. Katil ni...ermm empuknya. Bantal ni...huih best tu.” Sengaja Faizal ingin membakar perasaan Dizyan. Entah bila masa sedang berseronok bertikam lidah, mereka sama-sama terlena di tempat tidur masing-masing.

BERSAMBUNG....


6 tukang komen paling setia:

sYaFaRiNa said...

jahat ar faizal ni...

ShAh said...

mesti aneeq kecewa sgt kan.....

keSENGALan teserlah.. said...

adeehh..
faizal nieh la kan,..
smpai hati wt yan cmtuh..
sedey lak tok aneeq..
tp kompius..!!

double-space said...

da start da alm umh tga...
hahahhaha

LiNa said...

makin lama makin best...
sambung lagi yer...

::cHeeSeCaKe:: said...

klaka la faizal ni..
kedekut nk mmpus..haha..
sean la plak kt aneeq..