BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, January 21, 2009

Kasih Aishah Najyha BAB 32

BAB 32

HARI perkahwinan Aishah dan Hariz tinggal seminggu sahaja lagi. Sudah seminggu Aishah tidak bertemu atau bercakap dengan Hariz. Ini semua atas permintaan Farehan dan juga Nurradiah. Mereka masih mengekalkan adat lama. Tidak mahu bakal pengantin berjumpa sebelum tibanya hari akad nikah. Tidak manis menurut mereka. Aishah dan Hariz hanya menurut kata-kata mereka berdua sahaja. Apalah guna melawan kata. Mereka terlebih dahulu makan garam dan merasai ada-ada perkahwinan ini semua. Aishah sedang mengubah serba sedikit hantarannya. Shah Fuzey sedang sibuk mengambil gambar hantaran dan juga pelamin akad nikah. Nina yang baru datang dari dapur menuju ke arah mereka semua dengan menatang dulang sejag air dan gelas. Diletakkan disisi Aishah. Dituang dan dihulurkan kepada mereka semua air jus oren tersebut. Nina hanya memerhatikan Aishah menyelesaikan kerjanya. Putri hendak datang menolong tetapi dihalang oleh Aishah. Tugasnya hanya memastikan baju pengantin sudah siap dan dijahit manik-manik yang diimport khas oleh Aishah dari luar negara. Nadira juga melabuhkan punggung disebelah Aishah sambil tangannya sibuk menolong apa-apa yang patut. Mereka semua dapat melepaskan nafas kelegaan apabila Aishah bersetuju untuk menerima pinangan Hariz. Tetapi mereka yang lain tahu bahawa Aishah sedang menangis di dalam hatinya. Cuma tidak diluahkan sahaja melalui mulut. Leka Nina memerhatikan wajah Aishah yang nampak berseri itu. Aishah yang terperasan mengalihkan pandangan ke arah Nina.
“Kenapa Kak Na?” tanya Aishah. Dia mengerutkan sedikit dahinya.
“Kenapa apa?” tanya Nina kembali.
“Yalah. Kenapa Kak Na tengok Adik macam tu?” Aishah bertanya. Nina segera menggeleng dan menolong apa-apa yang boleh dibuatnya. Nadira memandang Nina dan membuat isyarat untuk bertanya. Nina segera menggeleng dan tersenyum kecil. Nadira tahu apa yang bersarang di kepala kakaknya itu. Dan, Nadira pasti Aishah yakin dengan keputusannya itu.
Sofyan baru sahaja pulang dari menemui Hafiz. Nina segera menuju ke arah Sofyan terus melangkah naik menuju ke kamar mereka. Nina membuntuti Sofyan. Sebaik sahaja pintu kamar bilik mereka tertutup, Nina terus menerpa ke arah Sofyan.
“Apa yang Abang bincangkan dengan Hafiz tadi?” soal Nina yang benar-benar ingin tahu apa yang dibicarakan oleh dua orang sahabat itu.
“Kenapa sayang nak tahu?” tanya Sofyan kembali.
“Ya Allah, Bang. Mestilah Na nak tahu. Apa yang kau orang cakapkan.” Ujar Nina dan duduk di birai katil. Sofyan melangkah ke arah Nina dan melabuhkan punggungnya di sebelah isteri tersayang.
“Hafiz kata lepas je Adik dan Hariz kahwin, dia dah mintak transfer nak balik ke London.” Sofyan berkata perlahan. Nina begitu terkejut sampai ternganga mulutnya. Kenapalah selepas satu perkara terjadi satu perkara mula lagi terjadi? Nina meraup mukanya. Letih mendengar kisah cinta yang tidak kesampaian mereka ini. Entahlah. Mulai dari sekarang Nina sudah tidak mahu masuk campur dan mengambil tahu akan keadaan cinta mereka. Biar mereka yang menyelesaikannya sendiri. Pening…pening….Sofyan bangun dan melangkah ke arah pintu.
“Nak kemana pulak tu, Bang?” tanya Nina.
“Turun ke bawahlah. Kan banyak lagi benda yang nak ditolongnya. Kalau kita duduk memerap kat bilik ni, karang apa pulak kata yang lain.” Ujar Sofyan. Nina seperti tersedar yang keluarganya sedang sibuk dengan majlis perkahwinan yang akan berlangsung. Dia bangun dan turut melangkah turun kebawah bersama-sama suaminya. Nina tertancap pandangan ke arah Aishah. Dia nampak begitu gembira sekali. Tidak perlulah dikhabarkan berita yang baru sahaja didengarinya. Aishah, Nadira dan Shah Fuzey begitu seronok sekali bergelak ketawa. Nina turut menyertai mereka dan bergelak bersama mereka.
Sejak jam 4 pagi, Aishah sudah bangun dan menunaikan solat Istikharah. Bersolat meminta petunjuk bahawa pilihan suaminya adalah yang terbaik dan dapat memberikan kebahagian kepadanya. Dan, selama 2 hari berturut-turut Aishah sudah mendapat petunjuknya. Dia bersyukur dan bersolat untuk menenangkan hati yang gundah gulana. Kenapa dia harus memikirkan hati dan perasaan Hafiz sedangkan lelaki itu langsung tidak memikirkan hati dan perasaannya? Usai solat Istikharah, Aishah melipat sejadah dan telekung. Disangkutnya ke penyidai. Dia membaringkan diri dan matanya ditala ke arah kipas yang berputar laju di siling. Kemudian, perlahan-lahan memejamkan mata. Biarlah bermimpi yang indah. Hanya mimpi yang indah boleh melupakan kenangan silam.
Aishah terjaga semula jam 6 pagi. Perlahan-lahan dia bangun dari katilnya dan melangkah menuju ke bilik air. Dicapai tuala yang tersangkut di penyidai. Selesai membersihkan diri dan mengambil wuduk, Aishah mula menunaikan solat Subuh. Selepas bersolat, Aishah turun ke tingkat bawah. Dijenguk ke dapur. Nurradiah sedang sibuk menyediakan sarapan. Dipeluk pinggang Mamanya dari belakang. Nurradiah terkejut sehingga melatah. Aishah tergelak kecil.
“Ishhh….budak ni. Terkejut Mama tau.” Kata Nurradiah. Aishah meleraikan pelukan itu.
“Mama masak apa tu?” tanya Aishah sambil menjenguk ke dalam kuali yang sedang panas. Nurradiah menyenduk keluar lauk dari kuali tersebut. Nurradiah menghidangkan sarapan diatas meja. Aishah memasak air panas dengan menggunakan cerek air elektrik. Dimasukkan 4 sudu kecil serbuk kopi dan 5 sudu kecil gula ke dalam teko. Sesudah air panas masak, dituang ke dalam teko. Dibancuh air kopi dan diletakkan di atas meja. Diletakkan juga 7 cawan yang beraneka jenis dan warna. Dia menolong Mamanya menghidangkan makanan untuk sarapan. Nurradiah asyik memerhatikan gerak geri Aishah. Selepas dia berkahwin nanti, bila pula akan Aishah datang menolongnya menyediakan sarapan. Sudah tentu tidak ada masa. Selepas berkahwin, dia haruslah melayani suaminya pula. Entah-entah datang menjenguknya pun sebulan sekali. Tiba-tiba satu keluhan keluar dari mulut Nurradiah. Aishah yang sedang leka melakukan kerjanya memandang ke arah Nurradiah.
“Kenapa, Ma?” tanya Aishah menyebabkan lamunan Nurradiah terhenti. Dia tersentak dan segera memandang anak gadisnya itu. Kemudian, menggeleng perlahan.
“Tak ada apa-apalah. Adik dah siap hidang?” tanya Nurradiah kembali. Dilihatnya Aishah mengangguk perlahan. Dia tahu apa yang bersarang difikiran Nurradiah.
“Pergilah panggil yang lain turun makan.” Arah Nurradiah. Aishah segera melangkah ke pintu dapur dan sebelum dia keluar dari dapur, Aishah berpaling semula.
“Mama jangan risau. Adik akan selalu datang jenguk dan tolong Mama siapkan sarapan.” Ujar Aishah. Nurradiah tersentak. Kemudian, tersenyum.
“Hish….Adik dah kahwin nanti, kena sediakan sarapan untuk Hariz pulak.” Usik Nurradiah. Wajah Aishah memerah seperti dibakar bahang matahari. Dia terus melangkah keluar dari dapur untuk memanggil ahli keluarga yang lain turun makan. My only hope is to see you happy, doa hati Nurradiah.

SUDAH 2 hari berturut-turut Putri, Najwa dan Suhaila berkampung di Dewan Banquet MBSA bagi menghias dewan tersebut menjadi sebuah impian perkahwinan yang diidamkan oleh Aishah. Hiasan itu adalah hadiah kejutan buat Aishah dan Hariz. Langsung tidak diberi kebenaran untuk Aishah melihat apa-apa yang patut di majlis tersebut. Kata mereka, ini adalah hadiah buat Aishah kerana atas dasar tunjuk ajar selama ini. Ingin mereka buktikan kepada Aishah bahawa mereka sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab lebih besar tanpa pengawasan Aishah. Nina dan Nadira sekali-sekala datang menjenguk. Tetapi mereka tidak membenarkan Nina dan Nadira melaporkan apa-apa sekalipun kepada Aishah. Nanti tiada kejutan. Hanya dituruti sahaja kemahuan mereka.
Dirumah Aishah sedang menghias pelamin akad nikah dan untuk majlis berinai pada sebelah malamnya. Dia melepaskan nafas kelegaan setelah melihat pelamin sudah siap dihias. Saudara mara yang hadir mengagumi hasil kerja Aishah. Adik Syed Mahfuz, Sharifah Kirana turun dari Sarawak bersama suaminya, Hamzani. Adik Syed Mahfuz yang paling bongsu, Syed Izuan beserta isterinya, Sharifah Rianna, turut terbang dari Paris untuk melihat majlis perkahwinan anak Syed Mahfuz yang terakhir walaupun Aishah bukan yang bongsu. Sepupu-sepupu Aishah tidak melepaskan peluang untuk menolong apa-apa pertolongan yang diperlukan oleh Aishah.
“Lepas ni, Kak Kya pulak.” Usik Nadira. Tersipu-sipu Kyarana menahan malu.
“Apa pulak Kak Kya. Kirin dulu la.” Ujar Kyarana sambil menjuihkan mulut ke arah Kiriyna. Gadis itu turut menunduk malu.
“Tak la. Kay dulu.” Kiriyna mengusik adik mereka yang bongsu, Kayeisha.
“Eh, Kay kecik lagi la.” Kayeisha berkata. Yang lain hanya mentertawakan gelagat budak perempuan berusia 11 tahun itu. Sharifah Kirana sudah maklum akan perangai anak-anak perempuannya yang suka mengusik diantara satu sama lain. Malam itu, Syed Mahfuz dan Nurradiah memesan katering untuk menjamu sanak saudara.
Pagi esoknya seawal jam 6 pagi, Aishah sudah bangun untuk membersihkan diri dan bersolat Subuh. Putri sudah sampai dirumahnya tepat jam 8 pagi untuk menyolek dan mendandan Aishah. Dia bersiap sedia dihadapan meja solek. Shah Fuzey sibuk mengambil wajah Aishah sebelum bersolek. Putri membuka beg make-up nya dan memulakan tugas. Satu persatu dititipkan diwajah Aishah. Selesai siap bersolek, sekali lagi Shah Fuzey mengambil gambarnya. Untuk disimpan di dalam album, katanya. Kemudian, Shah Fuzey keluar dari kamar Aishah kerana gadis itu hendak menukar baju. Seketika kemudian, Shah Fuzey masuk semula untuk mengambil gambar. Tidak ketinggalan Kamal juga turut menjalankan tugas. Nina melihat jam ditangan. Hampir jam 11 pagi. Khairul masuk ke dalam kamar Aishah. Dia terpegun melihat keanggunan dan kecantikan adiknya itu sehingga mulutnya ternganga.
“Kenapa sampai macam tu sekali, Ong?” tanya Aishah. Kemudian, Khairul menggeleng.
“Okay, sekarang beritahu pada Ong aturcara majlis ni.” Ujar Khairul.
“Pukul 11, tunang dulu. Lepas Zuhur, akad nikah. Lepas Maghrib, majlis berinai.” Nadira pula yang berkata-kata.
“Ohh...ok. Sanding?” tanya Khairul lagi.
“Esok malam.” Jawab Aishah ringkas. Khairul mengangguk. Dia keluar dari kamar Aishah dan menuju ke tingkat bawah apabila salah seorang sepupunya, Rashidin memberitahu rombongan pengantin lelaki sudah tiba. Dada Aishah bertambah-tambah debarnya dengan pengumuman itu. Dia membetulkan duduk. Nadira membetulkan selendang yang menutupi separuh kepalanya. Dari kamar Aishah, boleh kedengaran suara riuh rendah. Nina dan Nadira berbisik sesama sendiri. Tertawa kecil melihat gelagat gelabah Aishah itu.
Seketika kemudian, seorang perempuan yang sudah berusia masuk ke dalam kamar Aishah. Tiba-tiba sahaja kamarnya dipenuhi orang yang tidak begitu dikenali. Selepas menyarungkan cincin, Aishah tunduk menyalami wanita tua itu. Nina dan Nadira turut bersalaman dengan wanita tua tersebut.
“Mana Umi Hariz?” tanya Nina pada wanita itu.
“Ada dibawah.” Jawapannya ringkas.
“Mak cik ni?” tanya Nina kembali. Wanita tersebut mendehem perlahan.
“Saya kakak kepada Abah Hariz. Dia orang panggil saya Mak Long.” Kata wanita tua yang dikenali sebagai Mak Long itu. Nina dan Nadira mengangguk serentak. Mak Long keluar dari kamar dan menuju ke bawah. Mereka membuntuti Mak Long sehingga ke bawah. Di dalam bilik, Aishah melepaskan nafas kelegaan. Selesai sudah satu majlis. Tinggal lagi 3 aturcara. Saudara mara, sahabat handai dan juga pekerja-pekerja butiknya mengerumuni Aishah untuk melihat cincin pertunangan milik gadis itu. Cincin belah rotan yang berwarna platinum. Masih diingat lagi Hariz apa yang diberitahu oleh Aishah kepadanya. Fikiran Aishah melayang-layang sebentar. Dia tersenyum sendirian.
“Kalau diberi pilihan, Shah nak cincin warna apa?” tanya Hariz tiba-tiba. Aishah terpinga-pinga dengan soalan itu. Dia terdiam seketika. Aishah memandang wajah Hariz yang tampak serius itu. Hariz mengalihkan pandangan ke arah Aishah.
“Ehh...Shah jangan salah faham. Riz cuma nak tahu.” Hariz berkata kemudian.
“Ermm...saya prefer warna platinum.” Kata Aishah.
“Kenapa tak suka gold?” tanya Hariz lagi.
“Tak naklah. Dah biasa tengok orang pakai warna gold. Lagipun saya suka warna platinum.” Ujar Aishah lagi. Hariz mengangguk perlahan. Dia kemudian tersenyum kecil. Aishha pelik. Dikerutkan sedikit dahinya.
“Kenapa Hariz beria-ia nak tahu?” Aishah bertanya. Pelik. Belum pernah ada orang bertanyakan warna kegemaran untuk cincinnya.
“Saja.” Hariz berkata seraya menjungkitkan bahu.
Tiba-tiba Aishah tersentak apabila bahunya ditepuk kuat. Dilihat Nina dan Nadira tersengih melihat Aishah. Matanya jatuh pada cincin yang bersinar ditangan. Dia sudah menjadi milik seseorang. Dan sebentar lagi, akan menjadi milik sah dan mutlak seseorang. Akan dijaga kesucian dan kemurnian cincin tersebut. Aishah melepaskan keluhan. Nina melabuhkan punggung disebelah Aishah. Nadira hanya berdiri sambil memeluk tiang katil.
“Apa yang difikirkan lagi, Adik?” tanya Nina apabila melihat wajah Aishah yang tadi ceria tiba-tiba bertukar sedih.
“Tak ada apa-apalah, Kak Na.” Ujar Aishah dan tersenyum kecil. Mengusir kerisauan dihati Nina.
“Usah difikirkan masa lalu. Hariz adalah sekarang. Hafiz adalah dulu.” Nina memberi kata semangat. Cuba membuatkan Aishah lupa akan kenangan lalu.
“Bahagiakanlah Abang Hariz, Kak. He deserves it.” Nadira pula berkata. Aishah tersenyum dan mengangguk perlahan. Dia sudah berjanji. Dan, janji itu akan ditepatinya.
Tepat jam 2.30 petang, pihak pengantin lelaki tiba di perkarangan rumah banglo milik Syed Mahfuz dan Nurradiah. Rombongan dijemput masuk oleh wakil pihak pengantin perempuan. Kadi juga tiba bersama pembantunya selang beberapa minit. Berjalan masuk menuju ke pintu rumah. Pembantunya mengendong fail dan beg bimbit yang diperlukan untuk menjalankan upacara akad nikah dengan sempurna. Hariz melabuhkan punggungnya diatas kusyen khas yang disediakan dihadapan kadi. Dada terasa sesak tiba-tiba. Menggelabah tidak tentu arah. Fareez turut datang ke majlis pernikahannya. Dia mengurut perlahan belakang Hariz. Dia faham dengan situasi Hariz sekarang. Aishah turun ke tingkat bawah. Diiringi oleh Diyana. Aishah melabuhkan punggungnya diatas pelamin yang disediakan. Semua mata tertumpu ke arah Aishah yang anggun berbaju kebaya moden berona putih dan bertatahkan berlian serta bertudung litup. Hariz hanya menundukkan wajah. Menekur pandangan ke lantai. Langsung tidak memandang Aishah. Seram sejuk jadinya. Selepas semua bersiap sedia, kadi tersebut mengalihkan badan ke arah Syed Mahfuz yang duduk menghadap kadi dan Hariz. Kadi bertanyakan kepada Syed Mahfuz samada Syed Mahfuz sendiri hendak mengakad atau diserahkan kuasa kepada kadi untuk menjalankan upacara akad. Lalu Syed Mahfuz sendiri bersetuju untuk mengakad Aishah kerana baginya ini adalah anak terakhir berkahwin dan dia sendiri ingin menjadi kadinya. Bertambah-tambah debaran dihati Hariz. Fareez tersenyum kecil melihat gelagat sahabatnya itu. Upacara akad dimulai.
“Aku nikahkan akan dikau dengan anakku, Syarifah Aishah Najyha binti Syed Mahfuz dengan mas kahwinnya 80 ringgit, tunai.” Ucap Syed Mahfuz.
“Aku terima akan nikahnya, Syarifah Aishah Najyha binti Syed Mahfuz dengan mas kahwinnya 80 ringgit, tunai.” Dengan sekali lafaz, Aishah sah menjadi milik Hariz semutlaknya. Berjurai air mata Aishah menuruni pipi. Diyana segera menghulurkan tisu kepada Aishah. Dilapnya air mata tersebut perlahan-lahan. Tidak mahu merosakkan solekan yang sedia cantik.
Hariz membaca aturan yang disediakan di dalam kertas dan wajib bagi semua pengantin untuk membaca aturan tersebut. Diikuti pula oleh Aishah. Selesai sudah majlis akad, Hariz bersolat sunat 2 rakaat. Kemudian, dia menuju ke arah Aishah yang hanya setia menunggu untuk menyarungkan cincin. Hariz duduk diatas lututnya dan menghadap Aishah. Hariz menarik perlahan jemari halus itu dan disarungkan cincin. Terbatallah sudah hubungan yang menghalang mereka bersentuhan. Sudah ada ikatan yang sah. Yang menghalalkan perkara yang haram selama ini. Kaku sebentar perbuatan mereka itu kerana kehendak jurugambar untuk mengambil foto buat kenangan. Kemudian, dicium dahi Aishah. Sekali lagi mereka kaku. Tapi ada yang sempat usik-mengusik membuatkan kedua pengantin tersipu-sipu malu. Memerah wajah mereka. Aishah tersenyum malu. Tiba-tiba pandangannya melekat pada satu wajah di belakang Hariz. Wajah itu yang seharus dilupai kerana dirinya sudah dimiliki. Aishah tunduk memandang lantai. Tidak sanggup lagi memandang wajah itu.
Jurugambar sibuk menyuruh mereka membuat aksi-aksi pengantin baru diatas pelamin. Aishah terasa segan apabila Hariz memeluk pinggangnya. Kemudian, pengantin baru sama-sama menuju ke luar untuk menjamu selera bersama tetamu. Riuh rendah banglo itu pada hari bersejarah yang menyaksikan anak Syed Mahfuz yang terakhir sekali berkahwin. Aishah memandang wajah Hariz disebelah. Berseri-seri wajah itu. Kemudian, Aishah beralih pandang kepada Syed Mahfuz dan Nurradiah yang sibuk melayan tetamu. Kegembiraan jelas terpancar diwajah-wajah tua itu. Begitu juga dengan Khairul, Nina dan Nadira. Tidak lupa kepada ipar-ipar duainya yang masing-masing sibuk mengawasi kelancaran majlis tersebut.

SEBAIK sahaja solat Maghrib selesai, mereka sudah bersedia untuk majlis berinai. Hariz sudah pulang kerumah keluarganya semula. Aishah dan Hariz akan berjumpa semula di majlis bersanding. Malam itu, sakan Aishah bergambar bermacam-macam pose. Kelipan lampu kamera tidak henti-henti mengelip. Berpinau sebentar matanya. Majlis itu hanya dihadiri oleh sanak saudara kaum wanita sahaja. Kaum lelaki tidak dibenarkan mengikuti majlis tersebut. Bertambah riuh dengan gelak ketawa kaum wanita. Sesekali bertemu pasti beginilah jadinya. Selesai sahaja majlis berinai, sanak saudaranya beransur pulang. Mereka akan terus ke dewan pada keesokkan malamnya. Walaupun hanya majlis berinai, sudah bertimbun hadiah yang diterima oleh Aishah. Nurradiah, Nina, Nadira dan Sabrina sibuk melihat Aishah merungkaikan kertas-kertas pembalut hadiah. Ingin juga mereka tahu apakah hadiah yang diterimanya. Ada yang diterimanya perkakas-perkakas dapur dan juga pinggan mangkuk.
Jam menunjukkan angka 11 malam. Nurradiah sudah lama naik tidur. Kepenatan seharian bertungkus-lumus. Aishah, Nina dan Nadira sibuk bersembang di tingkat bawah. Ada sahaja cerita yang ingin diceritakan. Selepas ini, pasti ini semua sudah tidak sama lagi. Aishah sudah tentu berpindah ke kediaman baru yang dihadiahi oleh bapa Hariz kepada pasangan pengantin baru. Segan untuk Aishah menerima hadiah tersebut. Dia tidak kisah tinggal dimanapun. Samada di rumah Syed Mahfuz ataupun di rumah Najmuddin. Tetapi hadiah itu adalah pemberian ikhlas oleh keluarga mentuanya. Mahu tidak mahu, Aishah menerima juga.
Gelak ketawa mereka menyebabkan Nurradiah tidak boleh tidur. Dia menjenguk ke bawah dari pintu kamarnya. Melihat 3 orang anak dara yang sudah dimiliki sedang bersembang sesama sendiri. Tidak mengapalah. Dibiarkan sahaja. Entah bila lagi mereka akan bersama-sama seperti ini. Nurradiah masuk semula ke dalam dan ditutup pintu kamar perlahan-lahan. Apabila jam loceng berdenting pukul 2 pagi, masing-masing beransur ke bilik. Yang lain tidur berteman. Hanya Aishah sahaja tidur keseorangan. Pada mulanya, ada yang menyuruh Hariz tidur sahaja dirumah Syed Mahfuz tetapi kehendak itu dihalang oleh Mak Long Hariz. Katanya, tidak berserilah wajah di malam persandingan nanti. Lebih baik dituruti pantang larang orang-orang tua dari membangkang.

BERSAMBUNG....




4 tukang komen paling setia:

ecah hamzah said...

sori lmbt sket post kali nie....
tgh memerut ide nk wat....
cm 2 la kalo ide x dtg.....

kurnia said...

nak lagi...nak lagi.....tak sabar nak tahu kesudahan nyer....hehehe ecah sambunglah cepat....

keSENGALan teserlah.. said...

lorr..
ape jd kat hafiz??
cpat2 smbung...
excited nieh...

ceritaku MEMORIKU said...

awat kawen dgn hariz.
nak dgn hafiz.
ape jd kat hafiz.aduhh.
sakit jantungKu.agagagag
kak ecah.smbung2.
-na'dz