BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, January 22, 2010

SEINDAH AL-HAMRA BAB 6

Salam semua, setelah sekian lama barulah ada lagi e-novel yang dipost. Hope korg enjoyz, k!

BAB 6

SUDAH 2 minggu Durrah bekerja sebagai pembantu di rumah Dr. Faiz dan Dr. Hanita. Majikannya amat berpuas hati dengan kerja Durrah. Segalanya disiapkan sebelum sempat mereka meminta tolong. Durrah menyidai pakaian yang baru sahaja di ambil dari mesin basuh. Disidai di kawasan belakang rumah. Safiah pula menyapu kawasan rumah yang penuh dengan dedaun kering berguguran dari pokok mangga. Mengangkat wajah dan memandang Durrah yang sedang leka dengan kerjanya itu. Safiah tersenyum kecil dan berpaling masuk ke dalam rumah. Banyak lagi kerja di dalam rumah yang perlu diselesaikan. Matahari yang menyuluh mata Durrah, dikecilkan sedikit matanya. Tanpa disedari oleh Durrah, seseorang mendekatinya. Terdengar seseorang berdehem. Durrah mengangkat muka dan memandang wajah seorang lelaki muda yang tersenyum simpul.
“Assalamualaikum.” Ucap Uzair.
“Waalaikmussalam.” Jawab Durrah lembut.
Tunduk semula memandang bakul yang masih penuh dengan baju-baju. Mengambil sehelai demi sehelai dan mula menyangkutkannya di penyidai. Tangan kanan Uzair disilangkan ke dada dan sebelah kiri melurut dagu. Meneliti setiap inci tubuh Durrah dari atas sehinggalah ke bawah. Durrah yang perasan akan pandangan itu, merasa tidak selesa dengan renungan Uzair. Dikuak rambut yang melepasi bahu ke belakang telinga. Durrah masih meneruskan kerja-kerjanya. Ibu jari tangan kiri Uzair sudah menyentuh bibirnya sendiri.
“Dura dah ada boyfriend?” soal Uzair tanpa berselindung.
Durrah mengerutkan dahi. Pelik dengan soalan Uzair itu. Mengangkat wajah memandang anak muda dihadapannya. Tetapi hanya sekejap. Kembali tunduk menekur bakul yang sudah tinggal separuh sahaja lagi baju yang perlu disidai. Semakin tidak selesa dengan pandangan tajam Uzair.
“Tunang.” Jawab Durrah ringkas tanpa mengurai lebih lanjut. Wajah Uzair berubah.
“Ohh...tunang Dura bagi pulak Dura kerja kat sini?” satu lagi soalan yang keluar dari mulut Uzair.
“Kami dah putus.” Sekali lagi Durrah berkata ringkas.
Senyuman kecil perlahan-lahan terukir di bibir Uzair. Hatinya gembira tidak terkata mendengar ayat yang meluncur laju keluar dari mulut Durrah itu. Durrah sudah mengangkat bakul yang kosong dan dikepitkan di pinggang. Mula melangkah meninggalkan Uzair disitu.
“Ada can lah Uzai nak masuk jarum.” Kata-kata Uzair itu membuatkan langkah Durrah terhenti. Kembali berpaling ke arah Uzair dengan satu pandangan yang sukar ditafsirkan. Dahinya berkerut.
“Maaf, Uzai. Dura datang sini untuk bekerja. Bukan bercinta. Lagipun Dura tak mahu pisang berbuah dua kali.” Durrah meningkah dan terus laju meninggalkan Uzair yang terpinga-pinga. Senyuman sinis perlahan-lahan menghiasi bibir Uzair.
“Tak apa, Dura. Sekarang mungkin kau kata kau datang untuk bekerja. Tapi aku akan pastikan kau jatuh cinta kat aku.” Uzair berkata penuh tekad. Nekad untuk memiliki jasad dan hati Durrah.
Durrah menghempaskan bakul kosong di dalam bilik dobi yang tersedia di sebelah stor rumah banglo itu. Mendengus geram. Menggenggam kedua belah jemarinya dan menggigit bibir. Geramnya tidak terkata kepada lelaki bernama Wafiy Uzair.
“Huh...dasar budak hingusan. Ada hati nak kat aku. Luluskan SPM tu dulu. Lepas tu sambung belajar. Jangan asyik fikir pasal couple je. Argh!” tanpa disedari, Durrah menepuk kuat mesin basuh. Mengejutkan Safiah yang menjenguk di muka pintu bilik dobi. Safiah mengurut dada.
“Pasai pa dengan hang ni, Dura?” tanya Safiah dengan kerutan di dahi. Durrah malas mahu berkata apa-apa tentang Uzair. Sudah tentu Safiah lebih mengenali Uzair dari dirinya yang baru sahaja 2 minggu kenal akan anak muda itu.
“Tak ada apalah, Mak Lang.” Jawab Durrah. Dia duduk bersimpuh dan mula melipat baju yang sudah kering dan baru sahaja dikutipnya sebentar tadi.
“Ni mesti pasai Uzai usik hang kan?” duga Safiah.
Durrah mengangkat muka. Dapat dihidukah oleh Safiah tentang perbuatan Uzair itu? Melihat reaksi Durrah, Safiah sudah tahu. Tidak lain dan tidak bukan mengenai Uzair. Sudah beberapa hari Durrah asyik mengadu tentang Uzair yang suka sangat mengacaunya tidak kira di mana sahaja Uzair terserempak dengan Durrah. Gadis itu hanya mendengus perlahan. Kembali menundukkan wajah dan meneruskan kerja melipat baju. Safiah tersenyum kecil.
“Dahlah, Dura. Buat tak tau ja dengan dia. Dia memang lagu tu. Bila dia dah bosan nanti, dia tak kacau lah Dura.” Sudah berbakul pesanan Safiah berikan kepada Durrah.
Durrah tekun melakukan kerjanya. Kemudian tangan yang sedang melipat baju, terhenti gerakannya. Tetapi fikiran Durrah bukan berada disitu. Melayang entah kemana. Safiah bercekak pinggang. Menggeleng kepala perlahan melihat kelakuan Durrah yang tidak menentu itu.
“Dura pikiaq apa tu?” tanya Safiah apabila dilihatnya tiba-tiba sahaja Durrah termenung jauh.
“Semalam Kak Zu telefon. Dia kata Sal dah mengandung 6 minggu.” Lirih sahaja suara Durrah berkata-kata.
Safiah tahu Durrah masih terkenangkan Nizam. Kalau tidak masakan selama 2 minggu dia berada disitu, Durrah akan termenung bila waktu mereka tidak terlalu sibuk dengan kerja. Safiah melabuhkan punggung di sebelah Durrah.
“Dura tak suka Sal mengandung?” Safiah menyoal. Durrah memandang ke arah Safiah. Tersenyum.
“Pasai pa pulak Dura tak suka? Dura suka sebab bertambah lagi anak saudara Dura. Dan, Abang Zam tentulah orang yang paling gembira sebab dia sukakan budak-budak. Mak Lang pun tahu kan, macam mana dia layan Hasan dulu? Dia layan Hasan macam adik dia sendiri. Tambahan la ni, dia ada anak pulak. Zuriat dia sendiri. Lagilah dia sayang. Tapi alangkah indahnya kalau anak yang Sal kandung tu adalah anak Dura dan Abang Zam. Pasti lebih bahagia kan begitu?” tanpa dapat dikawal, airmata yang ditahan, akhirnya tumpah jua menitis di pipi. Memandang Safiah dengan renungan sayu. Safiah melepaskan keluhan perlahan. Memeluk Durrah yang sudah teresak kecil.
Safiah mengusap lembut kepala Durrah. Cuba untuk menenangkan hati yang lara. Airmata Safiah juga turut menitis. Simpatinya berganda pada Durrah.

‘Ya Allah, berikanlah petunjuk kepada Durrah. Semoga dia dapat menjalani hari-hari yang mendatang dengan lebih tabah,’ doa Safiah di dalam hati.

Lama mereka berpelukan. Sehingga tangisan Durrah semakin mereda. Safiah mengelap airmatanya. Tidak mahu kelihatan lemah dihadapan Durrah. Dia harus tabah demi Durrah. Safiah mengelap airmata Durrah yang lencun membasahi pipi.
“Sudahlah tu. Dura siapkan kerja Dura ni. Nanti mai tolong Mak Lang kat dapuq. Mak Lang nak siapkan makan tengah hari. Sat lagi Laily balik kelas, dia nak makan.” Ujar Safiah seraya mengangkat punggungnya. Durrah mengangguk lemah. Safiah meninggalkan Durrah keseorangan di dalam bilik dobi tersebut. Fikirannya teringat kata-kata Nizam setahun yang lalu.
“Kalau kita dapat anak lelaki, Dura nak bagi nama apa?” tanya Nizam suatu petang sewaktu mereka bertemu di pondok yang terletak di tepi bendang. Hasan yang menemani Durrah sedang seronok mencari ikan puyu di dalam petak sawah.
“Dura nak bagi nama...Daim Najmi.”
“Apa maksud nama tu?” tanya Nizam lagi. Berkerut-kerut dahinya.
“Kekal abadi, bintangku.” Ujar Durrah.
Nizam mengangguk perlahan. Cuaca mendung di langit, menandakan hari akan hujan sebentar lagi. Tetapi Durrah masih belum terasa hendak pulang awal. Sebulan tidak ketemu Nizam kerana lelaki itu keluar bekerja di luar bandar atas arahan ketua di tempat kerjanya. Jika Nizam bekerja di luar bandar, dia akan mendapat elaun. Satu hari sudah RM80. Jika sebulan, sebanyak RM2400 Nizam boleh dapat. Tambah duit gajinya lagi. Bolehlah dia menyimpan sehingga hari perkahwinan dia dan Durrah nanti.
“Kalau perempuan?” soal Nizam lagi. Durrah seperti berfikir sesuatu.
“Durar Najla’.” Sekali lagi kening Nizam bertaut.
“Maksudnya?”
“Batu permata, yang mempunyai sepasang mata yang cantik.” Durrah nekad. Itulah nama yang akan dinamakan anak-anaknya kelak. Nizam tersenyum simpul.
“Sedap nama-nama tu dan maknanya sekali. Abang nak sepasanglah.” Ujar Nizam berkias. Giliran kening Durrah pula yang bertaut.
“Apa yang sepasangnya, Bang?” tanya Durrah kembali. Nizam mengukirkan senyuman lebar.
“Anak lah. Abang nak anak kita nanti sepasang.” Kata Nizam. Mulut Durrah sudah ternganga. Segera mencubit lengan Nizam. Lelaki itu mengaduh kecil sambil tergelak besar. Durrah juga turut tergelak. Ah...bahagianya ketika itu.
Durrah tersentak dari lamunan apabila jam antik yang berada di sudut ruang tamu tersebut, berbunyi sebanyak 11 kali. Durrah mengangkat wajah memandang jam dinding yang tergantung elok di dalam bilik dobi tersebut. Sudah pukul 11 pagi. Pasti Safiah lagi sibuk di dapur. Cepat sahaja Durrah menyelesaikan kerja melipat baju dan segera menolong Safiah yang sedang menyediakan bahan-bahan untuk memasak di dapur.


ADAM segera melangkah turun dari kereta Honda CRV miliknya dan berjalan menuju ke arah restoran mewah yang semakin penuh dengan kunjungan orang ramai yang memenuhi restoran tersebut untuk menjamu makan tengah hari. Adam menuju ke arah seseorang yang sedang setia menunggunya. Tersenyum sahaja Zurin melihat Adam. Lelaki itu melabuhkan punggung menghadap Zurin.
“Dah lama sampai?” tanya Adam, lembut. Zurin menggeleng perlahan dengan senyuman kecil terukir di bibir.
“Baru je.” Jawab Zurin ringkas.
Seorang pelayan mendekati meja mereka dan mengambil pesan makanan dan minuman Adam. Selepas itu, pelayan tersebut meninggalkan meja mereka berdua setelah pesanan diambil. Zurinmembetulkan duduknya. Lama Adam merenung wajah mulus perempuan dihadapannya itu. Pelik Zurin melihat Adam. Dahinya dikerutkan sedikit.
“Kenapa Am pandang Rin macam tu?” soal Zurin lembut. Lantas Adam menggeleng. Rindu mendengar suara gemersik itu.
“Am rindu. Rindu kat Rin, rindu kat suara Rin. Semuanya Am rindu tentang Rin.” Ujar Adam lirih.
Wajah Zurin bertukar sayu. Entah kenapa perasaan rindu seakan terlerai melihat wajah dan mendengar suara Adam. Dicapai jemari Adam yang berada di atas meja dan digenggam erat. Kemudian dilekapkan jemari Adam ke pipinya. Nasib baik tempat yang dipilih Zurin agak tersorok dari pandangan awam. Dapat juga melepaskan kerinduan masing-masing setelah seminggu lebih tidak dapat berjumpa.
“Rin pun.” Ujar Zurin lalu meletakkan semula jemari Adam di atas meja.
“Am ingat malam ni, Am nak spend time dengan Zurin. Am tak mahulah balik rumah.” Adam berkata tiba-tiba. Mata Zurin membulat. Tidak percaya dengan apa yang diperkatakan oleh Adam itu.
“Tak apa ke? Mama tak marah?” soal Zurin kurang senang. Adam hanya tersenyum.
“Am tak kisah apa yang Mama nak kata. Yang penting, Am dapat bersama dengan Rin.” Ujar Adam bersungguh. Melihat kesungguhan Adam itu, hati Zurin sedikit demi sedikit menjadi tenang. Tetapi belum cukup lega.
“Baiklah kalau Am cakap macam tu.” Akhirnya Zurin berkata.
Zurin tetap berasa tidak senang hati. Adam menarik jemari Zurin. Tangan mereka bertaut. Zurin melepaskan keluhan perlahan. Hidangan yang dipesan sudah pun tiba dan siap dihidangkan hadapan mereka. Begitu berselera Adam menyuap makanan ke mulutnya. Tetapi bagi Zurin, serasa tidak tertelan makanan di celah kerongkongnya. Adam mengangkat wajahnya. Memandang pelik ke arah Zurin yang hanya menguis-nguis makanan di dalam pinggan.
“Kenapa Rin tak makan?” tanya Adam. Spaghetti Marinara masih penuh tidak terusik di dalam pinggan dihadapan Zurin.
“Tak lapar.” Ringkas jawab Zurin. Adam menggeleng perlahan.
“Jangan risaulah. Am tahu apa yang Am lakukan ni.” Adam cuba menyedapkan hati Zurin sedangkan dia sendiri tidak pasti apa yang akan berlaku jika Datin Aisyah tahu akan perkara ini.
Mungkin Mamanya itu tidak akan mengamuk, tetapi mungkin juga melancarkan ‘perang dingin’. Tidak bercakap dengan dia untuk berbulan-bulan lamanya. Pernah dahulu, Adam berkeras tidak mahu belajar di universiti tempatan kerana telah mendapat tawaran untuk belajar di luar negara. Datin Aisyah tidak mahu Adam berjauhan dengannya. Tetapi Adam tetap mahu belajar di universiti luar. Katanya, ingin mencari pengalaman untuk menimba ilmu di perantauan lain. Sebulan, Datin Aisyah tidak mahu berkata apa-apa kepada Adam sehinggalah Datuk Hafiz memujuk isterinya itu dengan mengatakan tidak salah jika Adam ingin menimba ilmu di perantauan. Biarlah Adam dapat membuka matanya dan menilai mana yang baik dan buruk untuk diri sendiri. Barulah Datin Aisyah mula bercakap dengan Adam. Tetapi hanya bercakap perkara yang penting sahaja. Jika Datin Aisyah tahu mengenai hal dia dan Zurin, pasti bertambah kecil hati wanita tua itu.
“Hei, kenapa ni?” Zurin bertanya. Menyentuh perlahan lengan Adam. Lelaki itu tersedar dari lamunannya dan memandang ke arah Zurin dengan terpinga-pinga.
“Hah?!” bingung Adam bertanya kembali.
“Kenapa dengan Am ni? Termenung jauh nampak.” Sela Zurin. Adam menggeleng perlahan.
“Am fikirkan tentang Mama?” Zurin menyoal seolah-olah tahu apa yang bermain difikiran Adam. Dilihatnya Adam mengangguk. Dilepaskan keluhan perlahan.
“Dahlah. Pasal Mama, biar Am uruskan.” Jawab Adam sekaligus memberikan keyakinan kepada Zurin untuk menghadapi Datin Aisyah kemudian hari. Zurin tidak berkata apa-apa. Mereka menjamu semula makanan yang terhidang itu.


DATIN Aisyah mundar-mandir di ruang tamu. Menunggu kepulangan Adam. Datuk Hafiz yang sedang leka menonton berita di peti televisyen terpasang itu sedikit terganggu dengan dengusan dan keluhan yang keluar dari mulut isterinya itu. Mengangkat wajah dari peti televisyen itu dan menala pandangan ke arah Datin Aisyah. Dahinya berkerut.
“Kenapa dengan Syah ni?” tanya Datuk Hafiz. Datin Aisyah melepaskan keluhan berat dan melabuhkan punggung di sebelah suaminya.
“Adam...tak balik lagi. Syah risaulah, Bang.” Luah Datin Aisyah. Datuk Hafiz mengangguk. Mengerti akan kerisauan seorang ibu apabila anak kesayangannya tidak pulang semalaman. Hanya pesanan khidmat ringkas sahaja dihantar mengatakan dia akan bermalam diluar.
“Kejap lagi baliklah budak tu. Kan dia kata, semalam je nak tumpang tidur rumah kawan. Siapa nama kawan dia tu? Apa ke nama budak tu...” Ujar Datuk Hafiz sambil cuba mengingati nama sahabat baik Adam dari sekolah rendah. Pandangannya ditalakan semula ke arah peti televisyen.
“Khalil.” Jawab Datin Aisyah. Masih menjenguk ke arah garaj. Belum ada tanda-tanda bahawa Adam akan pulang. Jam sudah menunjukkan pukul 8.30 malam.
“Baru pukul 8.30, Syah. Kejap lagi sampailah dia.” memeluk bahu Datin Aisyah untuk mengurangkan keresahan di hati wanita yang teramat disayanginya itu.
“Aii...Ma, Ayah. Bermanja-manjaan nampak.” Usik Amar Syauqi yang baru sahaja pulang dari kerja. Kedua orang tua itu mengalih pandang ke arah Amar. Menghadiahkan sebuah senyuman buat anak kedua mereka.
“Apa salahnya? Dah lama kami tak dapat berdua-duaan. Sekarang ni, kamu semua dah besar, tambah pulak Aida dah nak SPM pun.” Tukas Datuk Hafiz. Amar hanya menyengih.
“Hah...yang kamu balik lambat sangat ni, kenapa?” soal Datin Aisyah. Amar melepaskan keluhan dan melabuhkan punggung menghadap kedua ibubapanya.
“Load sangat kerja, Ma. Tadi baru je siapkan Afidavit Jawapan Defendan. Client ni susah sikit, Ma. Semua nak dengar cakap dia. Yang dia tahu, dia mesti menang kes ni. Tapi duit punyalah liat nak bayar.” Terang Amar yang baru selesai chambering 2 bulan lepas. Lega Datuk Hafiz dan Datin Aisyah apabila Amar sudah sah menjadi peguam. Datin Aisyah mengangkat punggung dan menuju ke dapur. Mengambil air untuk anak yang kehausan itu.
“Biasalah, Mar. Customer always right.” Ujar Datuk Hafiz ringkas.
Mengingatkan kepada Amar bahawa apa sahaja perniagaan yang melibatkan pelanggan, sudah semestinya pelanggan adalah selalu betul biarpun kadangkala pelanggan membuat kesalahan.
“True, Ayah.” Sela Amar. Memandang jam antik yang sudah berdenting sebanyak 9 kali. Menandakan jam 9.00 malam.
“So, macam mana kerja dengan Tuan Haji Azmin? The best lawyer in town.” soal Datuk Hafiz. Hanya sengihan sahaja yang Amar mampu diberikan kepada Datuk Hafiz.
“Err...” serba-salah Amar dibuatnya. Mahu berterus-terang atau menipu.
“Come on. Tuan Azmin is my dearest friend. He can’t be that bad, right?” Datuk Hafiz menyoal lagi. Amar menggaru kepala yang tidak gatal.
“Only one word that can described him...” ayat Amar tergantung. Datuk Hafiz menanti jawapan dari mulut anaknya itu.
“...fussy.” mendengarkan jawapan Amar itu, Datuk Hafiz tergelak besar. Sudah tahu akan jawapan yang keluar dari mulut Amar.
“Ayah ingat cerita pasal dia sangat cerewet tu, hanyalah satu ‘dongengan’ semata-mata.” Datuk Hafiz berseloroh.
“Ini bukan cerita lagenda ya, Ayah. Ini cerita betul.” Amar berkata. Datin Aisyah muncul semula dari dapur dengan menatang dulang. Diatasnya terletak 2 cawan kopi. Diletakkan secawan dihadapan Datuk Hafiz dan Amar.
“Apa yang betul atau tak betul ni? Kecoh sangat Abang bergelak. Sampai ke dapur boleh dengar.” Datin Aisyah melabuhkan semula punggungnya di sebelah Datuk Hafiz. Suaminya menghabiskan sisa tawa.
“Pasal Azmin.” Sejurus selepas Datuk Hafiz berkata begitu, Datin Aisyah turut tergelak sama. Amar memandang pelik ke arah kedua orang tuanya. Malas mahu masuk campur, segera menghabiskan air kopi yang masih bersisa dan terus meminta diri untuk naik ke tingkat atas.

BERSAMBUNG.....

3 tukang komen paling setia:

::cHeeSeCaKe:: said...

syauqi ke hero?
adam ngn zurin da kwin snyap2 kt overseas ek?
ingtkn adam ni anak majikan tmpat durrah bekerja..
smbung2..biar sy leh paham cite ni..huhu

::cHeeSeCaKe:: said...

tp bce sinopsis kt dpan..
name adam..bkn name syauqi..
myb nti zurin mati kot..
aahaha..

qyqa said...

puzzle in my mind..
cepat kak ecah...
leraikan..
sambonk3..