BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, January 5, 2010

SEINDAH AL-HAMRA BAB 5

BAB 5

SARAPAN pagi sudah siap terhidang di atas meja. Uzair sudah siap melabuhkan punggungnya menghadap Laily yang sedang menunggu Dr. Faiz dan Dr. Hanita di meja makan. Diceduk mee goreng ke dalam pinggannya. Durrah meletakkan seteko air kopi dan cawan-cawannya disusun elok. Uzair memandang Durrah tidak berkelip. Belum pernah dia melihat wanita secantik itu. Sambil melakukan kerjanya, Durrah tersenyum kecil. Dituang air kopi tersebut ke dalam cawan dihadapan Laily dan Uzair. Laily mengucapkan terima kasih kepada Durrah sebelum gadis itu melangkah masuk semula ke dalam dapur. Laily memandang adiknya itu yang asyik memerhatikan gerak-geri Durrah. Kepalanya berpaling mengikut langkah Durrah. Laily mendehem kuat. Uzair berpaling semula ke arah kakaknya. Laily menghulurkan sepinggan mee goreng ke arah Uzair. Pinggan itu bersambut.
“Uzai pergi mana semalam?” soal Laily. Uzair menggelabah. Tidak tahu hendak berkata apa. Tergaru-garu mencari jawapan.
“Uzai pergi melepak lagi ke dengan kawan-kawan?” bertubi Laily menyoal. Keningnya bertaut. Mencerlung memandang wajah Uzair.
“Eh, mana ada Kak. Uzai keluar minum je dengan Afiq, Kuzai dan Mel.” Uzair menguis mee goreng yang berada di dalam pinggannya itu.
Tiba-tiba sahaja seleranya terbantut dengan soalan Laily itu. Durrah keluar semula ke ruang makan. Meletakkan sepiring kuih karipap sardin yang masih panas dihadapan mereka berdua. Laily terdiam seribu bahasa. Uzair mengangkat muka memandang wajah manis Durrah itu. Uzair menongkat dagu di atas meja dan meneliti seluruh wajah Durrah. Gadis itu menjadi segan dengan tenungan Uzair. Selepas itu, Durrah terus masuk semula ke dalam dapur.
“Tolong jangan berangan ye, Uzai. Dura tua 2 tahun daripada Uzai. Uzai kena panggil dia kakak.” Laily berkata sambil menyuap mee goreng ke mulut.
“Ala, Kak. Orang zaman sekarang ni tak kisah kahwin dengan lelaki muda.” Uzair berkata selamba. Dihirup kopi yang masih berasap itu.
“Pandai Uzai berangan, kan. Ada hati nak kahwin. SPM pun tak lepas lagi. Fikir dulu macam mana nak dapatkan 11A.” Sindir Laily. Uzair mencebik geram.
“Apa salahnya berangan. Akak pun berangan kan nak kahwin dengan Abang Upik.” Giliran Uzair pula berkata sinis. Laily sudah menggenggam jemarinya dan jari telunjuk dihalakan ke muka Uzair.
“Jangan kata apa-apa pada Mummy dan Daddy. Rahsia ni bocor, tahulah nasib Uzai.” Ugut Laily. Giginya diketap. Uzair tersenyum sinis. Sengaja mahu menyakitkan hati kakaknya.
“Akak simpan rahsia Uzai, Uzai simpan rahsia Akak.” Uzair membuat satu perjanjian. Hanya dengan cara mengugut dapat menutup mulut Laily dari terus bercerita mengenai perihal Uzair kepada kedua ibubapa mereka. Jari telunjuk Laily masih menuju ke arah muka Uzair.
“Kamu berdua ni. Depan rezeki pun masih nak bergaduh ke?” Dr. Faiz berkata tegas. Laily menurunkan tangannya. Uzair menyuap mee goreng selamba ke mulut. Dr. Hanita menggeleng melihat gelagat kedua anaknya itu.
Safiah muncul di ruang makan dan diikuti oleh Durrah. Gadis itu hanya menundukkan sahaja wajahnya. Segan pula untuk menatap wajah majikannya.
“Tuan Faiz, Puan Ita...inilah anak saudara Kak Piah, Durrah.” Safiah memperkenalkan Durrah. Dia mengangkat muka perlahan untuk melihat wajah-wajah dihadapannya itu. Durrah berjalan menuju ke Dr. Hanita dan tunduk menyalami wanita elegan tersebut.
“Amboi! Cantiknya. Sudahlah cantik, sopan pulak tu.” Puji Dr. Hanita. Dr. Faiz hanya mengangguk perlahan. Mengiakan kata-kata isterinya itu.
“Tak adalah, Puan Ita. Dia ni pun ada juga kekurangan sebagai seorang manusia. Kalau Tuan Faiz atau Puan Ita tak puas hati dengan kerja dia, marah je dia ni. Anggaplah dia macam anak Tuan Faiz dan Puan Ita.” Ujar Safiah. Durrah langsung tidak mengangkat wajah. Hanya tunduk menekur lantai. Dr. Hanita tersenyum dan mengangguk perlahan.
“Yalah, Kak Piah.” Sela Dr. Hanita. Safiah beralih pula kepada Laily dan Uzair.
“Dura dah kenalkan dengan Laily semalam? Yang ni pula adik Laily, Uzair.” Safiah memperkenalkan Uzair kepada Durrah. Uzair sudah berdiri menghadap Durrah.
“Wafiy Uzair. Panggil Uzai je.” Uzair berkata.
Dihulurkan tangannya kepada Durrah. Gadis itu hanya mengangguk perlahan dan tersenyum kecil. Berkerut dahinya melihat huluran tangan Uzair. Tidak tahukah lelaki ini halal dan haram menyentuh perempuan yang bukan muhrimnya biarpun dengan hanya bersalam? hati Durrah berdetak.
“Kenapa angguk je? Salamlah. Kita bukan kat Negara Jepun. Main angguk-angguk. Kita kat Malaysia.” Huluran tangan Uzair semakin dekat dengan Durrah. Dr. Faiz berdehem perlahan.
“Uzai...duduk, makan.” Arah Dr. Faiz keras. Mengangkat muka dan memandang wajah Durrah yang sudah berubah.
“Dura maafkanlah Uzai tu. Biasalah, budak-budak.” Dr. Faiz segera menukas. Durrah menggeleng perlahan.
“Tak apa, Tuan. Dura faham.” Tingkah Durrah. Uzair mencebik geram.
“Dura mintak diri dulu ke dalam, Tuan...Puan.” ujar Durrah meminta diri. Serentak majikannya mengangguk perlahan.
“Kak Piah dengan Dura dah makan?” tanya Dr. Hanita.
“Kejap lagi kami makan, Puan.” Safiah berkata.
“Kak Piah jangan lupa makan, tau. Nanti sakit perut lagi macam hari tu.” Dr. Hanita berpesan. Safiah tersenyum kecil.
“Yalah, Puan. Kak Piah masuk dulu ke dalam.” Giliran Safiah pula meminta diri. Banyak lagi kerja yang belum diselesaikan di dalam dapur. Mereka berempat teruskan menjamu selera.


“SAL benci Abang....Sal benci Abang....Sal benci!!!!” jerit Salina lantang memenuhi ruang rumah kecil itu. Bergegar sebentar rumah kayu tersebut.
Hasan yang sedang duduk meniarap di atas lantai untuk mengulangkaji pada mulanya, kini menikus di sebelah ibu yang sedang leka melipat baju. Jeritan Salina itu menakutkan Hasan. Hasanah menepuk perlahan peha Hasan. Dia tahu, Hasan takut dengan Salina. Gadis itu kalau mengamuk, amat menakutkan siapa yang melihatnya. Dahulu jika tidak puas hati dengan Durrah, Salina memukul Hasan dengan teruk sekali kerana dia tahu Durrah sangat sayangkan Hasan. Habis lebam badan anak kecil itu. Hasanah hanya menggelengkan kepala. Malas mahu ikut campur urusan rumahtangga anaknya. Biarlah dia selesaikan sendiri.
Murfiqah yang baru sahaja tiba di rumah ibunya, masuk melalui pintu dapur yang tidak berkunci. Murfiqah melepaskan keluhan perlahan. Sudah berkali-kali Murfiqah berpesan kepada Hasanah untuk menguncikan pintu belakang. Takut juga jika ada tetamu yang tidak diundang masuk melalui pintu tersebut. Terus mendaki tangga menuju ke tingkat atas. Melihat Hasanah yang sedang leka melipat baju sambil menonton televisyen.
“Mak...dah banyak kali Iqah pesan dengan Mak. Soh(suruh) kunci pintu belakang nu. Takut ada kawaq(pencuri) masuk.” Murfiqah melabuhkan punggungnya di sebelah Hasanah. Pelik melihat Hasan yang asyik sedari tadi tertinjau-tinjau ke arah bilik Salina. Buku pelajaran Hasan masih bersepah di ruang tamu itu.
“San...pasai pa tak baca buku?” soal Murfiqah.
Belum sempat Hasan menjawab pertanyaan kakaknya itu, bunyi berdentum dari bilik Salina mengejutkan Murfiqah. Diurut dadanya. Murfiqah menggelengkan kepala. Tidak lain dan tidak bukan, bergaduh lagi. Murfiqah bangun dan menuju ke bilik Salina. Diketuk perlahan pintu kayu tersebut.
“Nak apa?!” jerit Salina dari dalam bilik.
“Buka pintu ni. Kak nak cakap sikit dengan hang.” Murfiqah berkata lembut. Hasanah mengalih sekilas ke arah Murfiqah.
“Kak pi lah balik ghumah Kak. Jangan dok kacau ghumah tangga Sal.” Salina masih menjerit, kuat. Murfiqah menarik nafas dan dilepaskannya perlahan. Dengan adik yang seorang ini, tidak boleh berkasar. Pasti akan dilawannya kembali.
“Buka lah sat. Kak ada benda ni nak habaq kat hang.” Murfiqah masih berusaha untuk memujuk Salina. Akhirnya, pintu kayu itu terbuka sedikit. Murfiqah menguak pintu tersebut sehingga luas. Melihat bilik Salina seperti tongkang pecah. Mencari kelibat Nizam. Tetapi tidak dijumpai di mana-mana.
“Hang marah kat sapa?” tanya Murfiqah. Dikerutkan sedikit dahinya. Kaca bertaburan di seluruh bilik. Berhati-hati Murfiqah memijak karpet dalam bilik Salina.
“Abang Zam lah.” Jawab Salina ringkas. Bertambah-tambah kerutan di dahi Murfiqah.
“Kak tak nampak pun Zam. Dia kat mana?” Murfiqah menyoal lagi.
“Dia kat rumah mak dia lah. Sal balik sini seorang. Malas nak tengok muka dia.” Salina berkata. Dihempaskan punggungnya ke atas katil.
“Hang gaduh lagi ka dengan dia?” Murfiqah bertanya. Tidak faham dengan sikap Salina yang panas baran itu. Siapa tahan dengan perangainya yang satu itu? Murfiqah mengutip bingkai gambar kahwin yang retak seribu itu dan diletakkan di atas meja solek Salina.
“Hang gaduh pasai apa?” Murfiqah menyoal lagi apabila tiada respon daripada Salina.
“Pasal apa lagi. Pasal Kak Dura la. Kalau Kak nak tau, dia masih simpan lagi gambaq Kak Dura dalam almari baju dia. Lagu(macam) mana Sal tak marah. Sal ni isteri dia tau. Tapi dia masih dok ingat kat perempuan tu lagi, nak buat apa.” Luah Salina. Kesal dengan sikap Nizam. Murfiqah tersenyum sinis. Siapa suruh dulu kau juga yang tergila-gilakan dia? Tunangan orang pula, hati Murfiqah bermain kata.
“Hang cakap la elok-elok dengan dia. Hang jangan dok tengking dia. Dia tu laki hang. Hang kena hormat dia.” nasihat Murfiqah bagai angin lalu. Langsung tidak terkesan di hati Salina.
“Kak toksah dok masuk campuq la pasai hal ghumahtangga aku. Taulah aku nak buat macam mana. Kak pi jaga ja Abang Majid tu elok-elok.” Sindir Salina. Murfiqah mengetap bibir. Geram dengan kata-kata Salina. Murfiqah menarik nafas dan dilepaskannya perlahan-lahan. Kalau tidak kerana difikirkan ibunya, sudah lunyai Salina dikerjakan oleh Murfiqah.
“Pasai pa dengan hang ni sekarang, Sal? Hang cukup kurang ajaq(ajar) dengan Kak dan Kak Zu. Nak kata Mak tak ajaq hang, lebih daripada tu lagi Mak ajaq hang. Hang cakap baik-baik sikit, na. Jangan kerana mulut longkang hang tu, badan binasa.” Selepas sahaja berkata, Murfiqah terus melangkah keluar dari bilik Salina.
Dihempas pintu kayu tersebut sekuat hatinya. Geramnya tidak terkata pada Salina. Hasanah mengangkat muka memandang Murfiqah yang sudah berada di tangga untuk turun ke dapur. Murfiqah beralih ke arah Hasanah dan Hasan.
“Mak...Iqah balik dulu. Esok-esok Iqah mai lain na. Assalamualaikum.” Ucap Murfiqah sebelum berlalu pergi. Salam Murfiqah dijawab di dalam hati. Hasanah menggelengkan kepalanya. Itu sudah tentu kes bergaduh dengan Salina. Kalau tidak, masakan wajah Murfiqah masam mencuka.
Karim yang baru sahaja pulang dari surau, mendaki tangga dan merehatkan diri di muka pintu. Mengambil angin malam yang bertiup kencang. Seperti hendak hujan sahaja malam itu. Membuka songkok dan diletakkan di atas lututnya. Hasanah turun ke dapur dan naik semula ke atas dengan membawa secawan kopi ‘O buatan tangan Hasanah sendiri. Karim lebih suka minum kopi yang ditumbuk oleh Hasanah daripada meminum kopi buatan mesin kilang. Hasanah melabuhkan punggungnya di sebelah Karim. Menebarkan pandangan ke luar.
“Salina tak balik lagi ghumah mak mentua dia?” tanya Karim. Dilihatnya Hasanah menggeleng perlahan. Karim mengeluh perlahan. Menggaru kepala yang separuh botak itu.
“Pi talipon Nizam. Soh(suruh) dia mai ambil bini dia. Aku tak suka orang kampung dok mengata yang bukan-bukan pasai anak aku.” Luah Karim. Tegas memberi arahan kepada Hasanah. Isterinya itu hanya mengangguk dan mengikut sahaja kata-kata Karim.
Pantas bangun dari duduknya dan menuju ke telefon yang terletak elok di satu sudut. Hasanah mengangkat gagang telefon dan mula mendail satu persatu nombor telefon rumah besannya. Ada nada dering. Panggilannya juga bersahut.
“Assalamualaikum, Che’ Dah.” Ucap Hasanah kepada besannya.
“Waalaikumussalam, Che’ Nah.” Salam Hasanah berjawab. Hasanah tersenyum kecil. Karim memandang sekilas ke arah Hasanah yang sedang bercakap di talian.
“Lagu(macam) ni, Che’ Dah. Abang Karim suruh Nizam mai ambil Sal kat rumah ni. Dia tak suka orang dok mengata pasai Sal dengan Nizam. Bingit dah telinga dia.” luah Hasanah terus-terang. Tidak mahu berkias lagi. Terdengar keluhan dari besannya, Abdah.
“Saya ni pun tak tau nak kata apa lagi dah. Saya dah suruh Nizam pi ambil Salina. Tapi dia dok keras hati lagu(macam) tu. Berbuih dah mulut saya dengan Abang Hamid dok paksa dia. Dia boleh buat kayu ja. Buat-buat tak dengaq.” Abdah juga meluahkan rasa. Hasanah melepaskan keluhan perlahan. Memandang ke arah Karim yang sedang leka melipat rokok tembakaunya.
“Tolonglah, Che’ Dah. Paksa lagi si Nizam tu. Kalau Zam tak mai ambil Sal malam ni, Abang Karim nak pi hantaq dia balik ghumah Che’ Dah.” Pujuk Hasanah.
Teringat ugutan Karim semalam. Hampir seminggu Salina menghuni di rumah mereka itu. Dan, setiap hari juga Salina akan mengamuk seperti orang gila. Sudah bermacam cerita yang keluar dari mulut orang kampung. Naik bernanah telinga Karim mendengar cerita-cerita tersebut.
“Yalah...insya-Allah, Che’ Nah. Saya cuba.” Akhirnya Abdah memberikan kata putus. Lega sedikit hati Hasanah mendengarkan kata persetujuan yang keluar dari mulut Abdah. Dilepaskan keluhan perlahan. Mengukirkan senyuman hambar.
“Terima kasih lah, Che’ Dah. Tolong na. Pujuk Nizam.” Sekali lagi Hasanah berkata.
“Yalah. Assalamualaikum.” Ucap Abdah. Dia juga sudah tidak tahu bagaimana hendak memujuk anak lelakinya itu.
“Waalaikumussalam.” Hasanah menjawab ucapan itu. Mereka sama-sama mematikan talian. Hasanah meletakkan gagang telefon. Berjalan menuju ke arah Karim yang sedang menghirup kopi ‘O panas itu. Terasa lega apabila air panas itu menuruni tekaknya yang dahaga.
“Apa kata besan awak tu?” tanya Karim. Matanya ditala ke arah Hasanah yang duduk bersimpuh di sebelah Karim. Hasanah melepaskan keluhan perlahan.
“Nizam pun keras kepala jugak, Bang. Tak mau mai ambil Sal. Che’ Mid dan Abdah dah paksa dia.” ujar Hasanah. Memandang sekilas ke arah Hasan yang sedang leka menonton kartun.
“Kalau lagu tu, awak soh Sal siap. Saya pi hantaq dia kat ghumah Hamid malam ni jugak.” Karim berkata, tegas. Hasanah mendengus perlahan. Tetapi diangkat jua punggungnya menuju ke bilik Salina yang tertutup rapat itu. Karim hanya memandang langkah longlai Hasanah.
“Sal...Sal...bukak pintu ni sat. Mak nak cakap sikit.” Ujar Hasanah lembut bersama ketukan perlahan di pintu. Pintu bilik Salina terkuak sedikit. Hasanah menolak pintu kayu tersebut dan melangkah masuk ke dalam bilik Salina yang semak itu. Hasanah melabuhkan punggung di atas katil. Salina membuang pandang melalui jendela yang terbuka luas.
“Sal, hang siap-siaplah. Ayah nak hantaq hang balik ke ghumah mentua hang.” Terdengar dengusan kasar yang keluar dari hidung Salina apabila mendengar kata-kata Hasanah.
“Tak maulah, Mak. Pandang muka dia, buat sakit hati ja.” Salina berkata geram. Hasanah menggeleng perlahan.
“Sudah-sudahlah tu. Dah seminggu hang dok kat ghumah ni. Sakit dah telinga Ayah dok dengaq orang kampung dok cerita pasai hang. Hang tak malu ka? Kalau hang tak pikiaq pasai diri hang, hang pikiaq la pasai Mak dan Ayah.” Nasihat Hasanah. Salina mendengus lagi kuat. Menyampah mendengar leteran Hasanah yang tidak sudah-sudah itu.
“Hang siap sekarang. Tu...Nizam dah mai.” Ujar Karim yang muncul di muka pintu dan terus sahaja beredar selepas berkata-kata. Salina menyembunyikan senyumannya. Kalah juga Nizam dengan aku, desis Salina dalam hati.
Tiba-tiba sahaja wajah Salina bertukar ceria. Segera mengambil pakaian yang berada di dalam almari dan memasukkan pakaian-pakaian tersebut ke dalam beg bajunya. Sambil itu dia bernyanyi-nyanyi kecil. Hasanah menggeleng dan terus sahaja melangkah keluar dari bilik Salina. Sekejap sahaja berubah angin Salina itu.
Karim yang sedang menghisap rokok tembakau di anjung rumah, memandang sekilas ke arah Hasanah. Nizam duduk bersila dihadapan Karim. Hasanah tersenyum memandang menantunya itu.
“Zam duduk sat, na. Mak buat ayaq(air).” Hasanah berkata dan melangkah ke dapur sebaik sahaja melihat senyuman dan anggukan kepala daripada Nizam.
Karim sedang leka menikmati rokok tembakaunya itu. Berkepul-kepul asap keluar dari mulut lelaki tua tersebut. Nizam kelihatan gelisah. Seperti ada satu pertanyaan yang ingin diajukan kepada Karim. Bapa mertua Nizam itu memandang ke arah menantunya.
“Pasai pa, Zam? Zam ada benda nak tanya kat Ayah ka?” soal Karim apabila soalan yang ditunggu-tunggu tidak keluar dari mulut Nizam.
“Ayah...” panggil Nizam lembut. Karim memandang Nizam melalui ekor matanya.
“Dura macam mana? Dia sihat?” terluah juga apa yang ingin ditanya oleh Nizam itu. Karim yang masih menghembus asap rokok, tersenyum kecil.
“Dia sihat. Baru semalam ja dia talipon. Pasai pa hang tanya?” giliran Karim pula menyoal. Nizam menggaru kepala yang tidak gatal. Karim mendehem. Kemudian terbatuk kecil.
“Lupakanlah pasai Dura, Zam. Dia dah tak ada apa-apa hubungan dengan hang kecuali sebagai kakak ipar hang. Hang patut jaga hati Sal. Jangan dok bagi dia mengamuk tak tentu hala. Kalau dia gaduh ja dengan hang, dia mesti balik sini. Ayah tak suka. Tak suka orang kampung dok mengata pasai hangpa suami isteri.” Pesan Karim.
Nizam menundukkan wajah. Malu untuk terus menatap wajah tua dihadapannya itu. Mungkin ada benarnya kata-kata Karim. Dia perlu melupakan Durrah. Kerana Durrah bukan lagi tunangan dia tetapi hanyalah kakak iparnya kini. Hati Salina perlu dijaga. Salina itu adalah isterinya.
Salina berdiri di muka pintu dengan beg pakaian di tangan. Wajahnya sengaja dimasamkan. Nizam mengangkat muka memandang Salina.
“Jomlah balik.” Ajak Salina, kasar. Nizam melepaskan keluhan. Dia sudah bangun dan ingin membuntuti Salina. Hasanah yang muncul dari belakang Salina, menatang secawan kopi ‘O.
“Tak minum dulu, Zam?” tanya Hasanah.
“Tak payahlah, Mak. Dah malam ni. Nanti tak nampak jalan pulak bila balik nanti.” Salina yang tolong menjawab soalan Hasanah itu bagi pihak Nizam. Tetapi dijawabnya dengan kasar. Nizam menjegilkan mata ke arah Salina yang berwajah selamba.
“Boleh jugak, Mak.” Ujar Nizam.
Nizam menghirup sedikit kopi ‘O yang dibawa. Tidak mahu menghampakan hati tua itu apabila terlihat perubahan wajah Hasanah sebaik sahaja Salina berkata begitu. Karim tidak peduli dengan ‘drama’ yang berlaku dihadapannya. Masih leka menghisap rokok tembakaunya. Nizam menyerahkan kembali cawannya itu kepada Hasanah.
“Terima kasih, Mak....Ayah kami balik dulu.” Nizam meminta diri.
Karim hanya mengangguk tetapi tidak dipandang ke arah anak dan menantunya itu. Hasanah turut mengangguk. Salina langsung tidak meminta diri atau menyalami kedua orang tuanya. Terus sahaja masuk ke dalam kereta Saga SE milik Nizam itu tanpa memandang ke arah Hasanah ataupun Karim.

BERSAMBUNG....

1 tukang komen paling setia:

atiqah sohaimi said...

eiiii...rs cam nk tampaq laju2 muke si sal tuh!!!huh...dasar ank x kng budi..dh la rmps tunang kakak sndiri pastuh marah konon bile laki igt kat kakak die...spe suro gatai pi amik laki org..bangang!!!!wah3...emo sdikit...hahhaha
cpt sikit ye kak nxt n3..bagai nk gile tggu nih...thx!