BAB 8 TUMBUKAN kuat di meja Faizal mengejutkan kelas 5 Kemboja. Mata kesemua para pelajar tertumpu ke arahnya. Ku Zhety juga turut terkejut dengan tindakan Faizal itu. Belum pernah Faizal semarah itu. Bukan dia tidak pernah marah, tapi belum pernah sehingga menumbuk meja. “Kenapa ni, you?” tanya Ku Zhety. Takut juga ingin menegur Faizal yang sedang amuk itu. Faizal tidak menjawab apa-apa sebaliknya hanya mendiamkan diri. Guru subjek Matematik melangkah masuk ke dalam kelas. Faizal tidak terasa untuk belajar apa-apa pelajaran pun hari ini. Dia segera bangun dan ingin keluar dari kelas tersebut. Kata-kata Encik Bahar membuatkan kaki Faizal berhenti dari melangkah. “Kalau awak berani keluar masa kelas saya, saya akan laporkan pada Cikgu Alias.” Ugut Encik Bahar. Faizal memandang sekilas. Kemudian, terus sahaja keluar tanpa berkata sepatah pun. Ahli kumpulannya tercengang. Tidak pernah Faizal bersikap biadap sebegitu. Sesungguhnya mereka memang gangster sekolah. Tetapi tidak pernah bersikap kurang ajar dengan mana-mana pun guru sekolah itu. Cuma, mereka selalu sahaja dipanggil oleh Cikgu Alias. Itu tidak boleh dielakkan. Namanya pun guru disiplin. Encik Bahar meneruskan kelas untuk hari itu. Faizal melabuhkan punggung bawah pokok tempat mereka selalu berkumpul itu. Hatinya mendongkol geram bila teringatkan kembali perbualan antara dia dan Cikgu Alias. “Apa nak jadi dengan kamu ni ha, Faizal?” lantang suara Cikgu Alias bertanya sebaik sahaja Faizal menutup pintu bilik guru disiplin itu. “Kalau ya pun kamu marahkan saya, jangan calarkan kereta saya. Sekarang ni, kereta saya dah calar. Siapa nak ganti? Kamu? Kamu bukannya berduit. Harapkan ibubapa kamu saja yang kaya. Cubalah untuk sekali ni, jangan malukan ibubapa kamu terutama bapa kamu tu, Datuk Farid. Siapa tak kenal dengan Datuk Farid? Penyumbang terbesar di sekolah ni. Jadi, kamu ingat bila bapa kamu dah jadi penyumbang di sekolah ni, kamu boleh buat sesuka hati? Begitu? Ingat, Faizal. Kamu datang sini untuk belajar. Bukan untuk jadi gangster atau ketua mafia sekolah. Kes peras ugut kamu terhadap pelajar tingkatan 2 tu pun belum selesai lagi. Jangan bawak masalah pada sekolah ni. Jangan beri masalah pada saya. Ini tahun terakhir kamu disini. Harap kamu tak berikan masalah untuk tahun terakhir kamu. Ingat! Penilaian kamu berdasarkan kelakuan kamu. Pelajar-pelajar lain akan dinilai oleh guru kelas masing-masing. Tapi bagi kes kamu, saya sendiri akan menilai kamu. Ya, saya tahu kamu pandai. Paling pandai dalam kelas 5 Kemboja tu. Kamu jugak pelajar cemerlang. Lebih cemerlang daripada sesetengah pelajar 5 Amanah. Tapi, kenapa kamu buat masalah? Kamu ada masalah di rumah?” panjang lebar Cikgu Alias berleter. Faizal menundukkan wajah. Malas mahu menjawab. “Kalau kamu tak nak cerita pada saya, ceritakan pada guru kaunseling kamu. Dia sentiasa ada untuk menolong kamu.” Sambung Cikgu Alias. Disilangkan lengan ke dada. Cikgu Alias melepaskan keluhan. Pening kepala dengan pelajar seorang ini. “Saya takkan beri apa-apa hukuman kepada kamu hari ni. Cuma, pada Jumaat ni, sewaktu perhimpunan, saya mahu kamu minta maaf kepada saya di hadapan pelajar-pelajar lain kerana mencalarkan kereta saya.” Ujar Cikgu Alias. Faizal membeliakkan mata. “Tapi, Cikgu....” ayat Faizal dipintas oleh Cikgu Alias. “Tak ada tapi-tapi lagi. Kamu boleh masuk ke kelas sekarang.” Arah Cikgu Alias. Faizal masih tidak berganjak dari kerusi yang didudukinya. “Ada apa-apa masalah lagi, Faizal? Kamu nak saya tambah lagi hukuman kamu?” ugut Cikgu Alias. Dengan malas, Faizal bangun dan beredar dari bilik guru disiplin itu. Meminta maaf dihadapan pelajar-pelajar lain sewaktu perhimpunan? Ini akan memalukan dia sebagai ketua gangster sekolah. Faizal menumbuk pokok yang dijadikan tempat berteduh itu. Ini memang kerja Dizyan. Tidak lain dan tidak bukan, mesti dia! “Sabar, Zal! Sabar. Kau mesti bertenang kalau nak kenakan dugong tu. Kau mesti kenakan dia habis-habisan. Kau mesti malukan dia.” Faizal memberi kata-kata semangat kepada dirinya sendiri. Dia melepaskan keluhan perlahan. Dizyan terlihat Faizal melintasi kelasnya dengan wajah yang muram. Membuatkan dia terfikir. Apakah hukuman yang diberikan oleh Cikgu Alias kepada Faizal? Loceng berbunyi sekali menandakan subjek Prinsip Akaun yang sedang Dizyan belajar tamat pada hari itu. Cikgu Izwan keluar dari kelas setelah memberikan kerja rumah untuk pelajar-pelajarnya. Misha dan Yasmin mendekati Dizyan yang sedang leka menyiapkan kerja rumah Prinsip Akaunnya itu. “Yan, kau nak tahu tak?” ujar Yasmin membuatkan Dizyan mendongak memandang sahabatnya itu. Dikerutkan sedikit dahi. Seperti wartawan sahaja, gayanya. “Faizal calarkan kereta Cikgu Alias.” Misha pula berkata. Menyambung ayat Yasmin. “Ohh...ye ke? Itu aku dah tahu.” Perlahan sahaja tutur Dizyan. Misha dan Yasmin saling berpandangan. “Macam mana kau tahu? Aku pun dapat tahu masa lalu depan bilik Cikgu Alias tadi.” Sela Yasmin. Tiada reaksi menggelabah yang ditunjukkan Dizyan. Sebaliknya, hanya tersenyum meleret. “Jangan-jangan kau....” ayat Yasmin tergantung. “Kau jangan nak tuduh aku. Tak ada bukti, tak boleh tuduh.” Kata Dizyan, masih dengan senyuman misterinya. Misha menyilangkan lengan dan menggeleng perlahan. “Kau tahu tak Cikgu Alias bagi hukuman apa?” ujar Yasmin lagi. Ingin mencari reaksi Dizyan. Gadis itu menjungkitkan bahu. “Minta maaf secara terbuka masa kat perhimpunan nanti.” Yasmin menukas. “So? Apa yang susahnya? Minta maaf saja, sudah. Aku ingatkan hukuman apalah tadi.” Ujar Dizyan. Sahabat-sahabatnya hanya menggelengkan kepala. Mereka seperti sudah tidak mengenali gadis yang bernama Dizyan Farhana ini. “Kau tahu tak, minta maaf bagi orang macam dia tu, it’s just like a suicide.” Tingkah Yasmin. Dizyan masih berwajah selamba. “Biarlah dia nak suicide sekalipun. Aku tak hairan.” Ujar Dizyan, seperti orang yang tiada perasaan. Misha hanya mendiamkan diri. Malas mahu ikut campur. “Yan, kenapa dengan kau sekarang ni? Bukan macam Yan yang dulu. Yan yang ini dah tak ada sifat keperimanusiaan.” Sela Misha. Yasmin mengangguk pantas. “Dia yang mulakan perang ni. Dan, aku akan pastikan, aku yang tamatkan perang ni.” Dengan penuh perasaan dendam, Dizyan mengucapkan kata-kata. “Yan...nasihat aku untuk kau. Kau orang nak gaduh, jangan libatkan sesiapa pun.”Misha menyampaikan nasihat. Dizyan mengangguk sambil tersenyum kecil. “Kau orang jangan risau. Aku takkan libatkan sesiapa. Sebab ini adalah perang antara aku dan dia je.” Dizyan memberi janji. Misha dan Yasmin sedikit lega walaupun mereka pada mulanya tidak pasti akan janji itu. HARI Jumaat, hari yang paling disukai oleh semua orang terutama sekali bagi pelajar-pelajar sekolah. Tidak terkecuali bagi Dizyan juga. Begitu bersemangat dia ke sekolah. Seorang gadis pengawas tersenyum ke arahnya. Seawal 7 pagi lagi, Dizyan sudah terpacak dihadapan pintu pagar sekolah. “Awal kau hari ni?” ujar pengawas itu yang memakai tag nama Afyza. “Biasalah, Afy. Aku memang boleh datang awal. Saja je aku suka melengah.” Sengih Dizyan. Afyza menggelengkan kepalanya. “Bersemangat kau hari ni.” Puji Afyza. “Haruslah aku bersemangat. Sebab aku dah berjaya kenakan gangster sekolah.” Ujar Dizyan sambil membetulkan beg galas yang sudah melurut ke bawah. “Siapa? Faizal?” terbelalak biji mata Afyza melihatkan wajah selamba Dizyan. “Siapa lagi?” Dizyan berkata. “Hah...cerita pasal Faizal. Katanya, dia ada satu pengumuman yang dia nak buat waktu perhimpunan nanti.” Afyza menyambung. Dizyan tersenyum penuh makna. “Tulah sebabnya aku bersemangat nak datang awal hari ni.” Ujar Dizyan dan terus melangkah meninggalkan Afyza yang terpinga-pinga. Sempat melambai ke arah sahabatnya itu. Dizyan menuju ke kelasnya yang terletak di tingkat atas. Meletakkan beg galas ke atas kerusi. Dilabuhkan punggung sebentar sebelum loceng berbunyi menandakan mereka harus beratur. Tidak sabar dia menunggu untuk ‘pengumuman’ khas yang akan disampaikan oleh Faizal itu. Dizyan beratur di belakang Yasmin. Misha beratur di belakangnya. Seperti biasa semasa perhimpunan, mereka dikehendaki menyanyikan lagu kebangsaan, lagu negeri dan diikuti pula oleh lagu sekolah. Kemudian, membaca ikrar dan rukun negara oleh ketua pengawas. Pengerusi majlis mencapai mikrofon yang tergantung itu. “Sekarang diminta Azem untuk membacakan doa. Dipersilakan.” Seorang pelajar yang memakai baju putih dan seluar hijau tua, naik ke atas pentas untuk membaca doa. Memang setiap minggu dia dipertanggungjawabkan untuk membaca doa. Selesai doa dibacakan, pengerusi majlis mengambil semula mikrofon dan mula menyampaikan ‘amanat-amanat’ guru yang diberikan untuk disampaikan kepada pelajar-pelajar. Sesekali terdengar Dizyan mengeluh kuat. Yasmin memusingkan kepala ke belakang. Misha mendekatkan badannya ke badan Dizyan. “Apasal kau ni dari tadi mengeluh tak habis-habis?” tanya Yasmin. Dizyan tersenyum kecil. Mereka seperti memahami akan maksud senyuman itu. Yasmin menjungkitkan bahu dan memaling semula ke hadapan. Misha menggeleng perlahan. “Sekarang kita ada satu pengumuman yang akan disampaikan oleh salah seorang rakan kita. Dipersilakan Faizal untuk naik ke pentas.” Mata Dizyan yang sejak sedari tadi kuyu sahaja, terus menjadi segar apabila mendengar kata-kata pengerusi majlis itu. Tersenyum lebar. Ahli kumpulan Faizal tercengang. Ada sesetengah pelajar berbisik sesama sendiri. Ku Zhety yang pada mulanya leka bersembang bersama rakan-rakan, terus mengalihkan pandangan ke hadapan. Perlahan-lahan Faizal melangkah naik ke atas pentas. Disambut mikrofon yang dihulurkan pengerusi majlis. Faizal berdehem kecil. Kesemua pelajar masih menanti butir bicara anak muda itu. “Pertama sekali, terima kasih kepada pengerusi majlis sebab berikan saya peluang ni untuk menyampaikan sesuatu.” Ucap Faizal dan memandang ke arah pengerusi majlis yang berdiri tidak jauh dari situ. Budak lelaki yang dikenali sebagai Ashraff atau Acap itu, mengangguk perlahan dan tersenyum. “Keduanya, saya ingin minta maaf dengan Cikgu Alias sebab calarkan kereta cikgu hari tu. Saya sebenarnya tak berniat. Tapi sebab ikutkan rasa marah, saya buat jugak.” Suara Faizal yang lembut itu membuatkan hati Cikgu Alias tidak lagi dibakar api. Sebaliknya terus sejuk. Hilang sudah rasa amarahnya. Senyuman di bibir Dizyan serta-merta mati. Tidak lagi selebar tadi. Rasa bersalah menerpa di benak. Aku yang buat, dia yang tanggung, gumam hati Dizyan sendiri. “Di kesempatan ini jugak, saya nak minta maaf kepada semua yang pernah saya buli atau peras ugut. Saya tahu saya banyak buat salah pada kau orang. Saya mengaku saya rasa seronok bila kenakan kau orang. Tapi lama-kelamaan rasa seronok tu jadi rasa bersalah. Hati saya rasa tak tenang.” Jelas Faizal. Wajahnya ditundukkan sebentar. Kemudian didongakkan semula dan memandang ke hadapan. Tepat ke arah Dizyan. Gadis itu kegelisahan. Pura-pura memandang ke arah lain. “Tapi, ego saya terlalu besar. Dan, menghalang saya daripada meminta maaf. Hari ni, hati saya telah terbuka untuk meminta maaf. Maafkanlah saya. Ini tahun terakhir saya berada disini. Berharap kemaafan kau orang semua dapat menjadikan saya manusia yang lebih berguna kelak.” Panjang lebar Faizal berucap. Kesemua mata memandang sayu ke arahnya. Tiba-tiba hati Faizal digeletek lucu. Nampak sangat rancangannya sudah berjaya. Dia memandang ke arah Dizyan. Gadis itu juga menampakkan riak wajah bersalah. Ingin tersenyum tetapi segera ditahan. Faizal menghulurkan mikrofon itu semula kepada pengerusi majlis. “Terima kasih, Faizal. Jadi, macam mana? Kau orang semua maafkan dia?” Acap bertanya kepada ratusan pelajar dihadapannya. Mereka semua mengatakan setuju serentak. Acap menyuakan mikrofon tersebut ke arah mulut Faizal. “Terima kasih. Walaupun dah macam-macam aku buat, kau orang tetap maafkan aku. Terima kasih banyak-banyak.” Faizal berkata se’ikhlas’nya. Yasmin memusingkan badan ke belakang. Memandang Dizyan “Kau tengok. Dia sanggup ketepikan ego dia dan minta maaf. Kau tak rasa apa-apa ke?” Yasmin menyindir. Dizyan mendengus perlahan. “Dahlah tu. Aku dah cukup rasa bersalah ni.” Ujar Dizyan.Yasmin tersenyum kecil. “Tahu tak apa.” Yasmin memusingkan semula badannya ke hadapan. SELEPAS tamat perhimpunan, ahli kumpulan Faizal menyerbunya. Mereka masih tidak percaya dengan apa yang berlaku sebentar tadi. Ada yang meluahkan rasa tidak puas hati kerana Faizal cepat sangat mengikut kata-kata Cikgu Alias. Faizal tidak peduli semua itu. Yang penting, dia rasa puas dapat melihat reaksi Dizyan tadi. Sudah pasti gadis itu mengena jeratnya. Dia hanya tersenyum penuh misteri. Asrul dan Najib menuju ke arah Faizal yang dikerumuni ahli kumpulannya. “Apa yang ada dalam fikiran kau?” tanya Najib tiba-tiba. Aneeq memandang Najib dengan perasaan jengkel. Tidak suka Faizal selalu bergaul dengan anak muda itu. Tetapi apakan daya, mereka sudah bersahabat sejak dari kecil. Aneeq berfikir sesuatu. Dia harus mencari jalan supaya Faizal tidak selalu mendekati Najib. Baginya, Najib membawa pengaruh positif terhadap Faizal. Dan sekaligus akan mengurangkan nilai-nilai negatif yang disemai oleh Aneeq dalam diri Faizal. “Tak ada apa-apa. Betul jugak cakap Cikgu Alias. Aku kena minta maaf dengan semua orang. Sebab ini, last year aku kat sini.” Ujar Faizal. Tiada reaksi yang ditunjukkan. Tetapi dia tahu, Najib tetap dapat membaca isi hatinya. “Come on lah, Zal. Ingat! Aku kenal kau.” Najib seperti memberi amaran. “Kau jangan buat benda-benda yang akan memalukan family kau nanti. Papa kau tu, Datuk Farid.” Sela Asrul pula. Faizal mengeluh bosan. “Yelah, aku tahu. Berapa kali kau orang nak remind kan aku tentang bapak aku tu?” Faizal sudah menyampah. Setiap kali seseorang ingin memberikan nasihat atau pesanan kepadanya, pasti akan disebut nama Papa Faizal sekali. Dia sudah bosan. Bosan hidup dibawah nama Datuk Farid. Faizal ingin orang mengenalinya kerana Fezrull Faizal bukan kerana Datuk Farid. Tetapi, namanya pun berbinkan Datuk Farid. Kemana lagi harus dia buang nama itu? Nama itu akan sentiasa mengikuti dia sehingga hari tua kelak. Asrul menepuk bahu Faizal perlahan. “Fez, jom karaoke malam ni.” Ajak Aneeq. Yang lain turut bersetuju dengan cadangannya itu. Faizal memandang malas. “Sorry, guys. Fez tak boleh ikut kau orang.” Najib mencelah. Mata Aneeq mencerlung memandang anak muda itu. “Kau apahal nak tolong cakap untuk Fez? Ada aku ajak kau? Tak, kan? Jadi, tolong diam. Aku tanya Fez.” Kata-kata Aneeq mencetuskan kemarahan Najib. “Aneeq, kau kena ingat. Kalau tak kerana Fez kesiankan kau dan ajak kau masuk kumpulan kami dulu, sumpah sampai sekarang pun kau masih akan jadi orang yang dibuli. Bila kau dah masuk kumpulan ni, pandai-pandai pulak kau nak hasut Fez jadi budak jahat. Dulu, kumpulan ni tak pernah jadi most wanted A-list Cikgu Alias. Sekarang ni, sejak ada kau, kumpulan ni dah selalu diburu guru disiplin dan pengawas sekolah. Kalau aku kata Fez tak boleh pergi karaoke malam ni, apa kau nak buat?” ugut Najib. Faizal menyilangkan lengan dan menyandarkan badan ke batang pokok yang dijadikan tempat berteduh mereka. Aneeq sudah berdiri dari duduknya dan berhadapan dengan Najib. “Sekarang ni pun kau bukan ahli kumpulan ni lagi dah. Apa kata kalau kau blah je dari sini? Sebelum kau masuk hospital sebab aku belasah kau.” Aneeq mengugut. Najib tersenyum sinis. Asrul menggeleng perlahan. “Kau nak belasah aku? Kau fikir sikit siapa yang tukar imej kau jadi macam ni sekarang kalau tak aku yang buat. Kalau tak, imej kau still macam dulu. Geeky. Nerd.” Ujar Najib membuka cerita. Ahli kumpulan yang lain sudah bersedia untuk mendengar cerita Najib. Faizal mendengus kasar. Tidak suka Najib mula mengungkit kisah lama. “Dahlah, Jib. Apa yang dah lepas, lupakan je. Janganlah nak ungkit kat sini.” Faizal berkata perlahan. Najib memandang Faizal selamba. “Aku memang tak nak ungkit. Tapi kawan kau ni yang tak sedar diri.” Lantang Najib melontarkan rasa amarah yang ditahan-tahan selama ini. Faizal berdiri dan menepuk-nepuk bahu Najib perlahan. “Dahlah tu. Aku tak nak kau orang gaduh kat sini. Please...” rayu Faizal perlahan ditelinga sahabat karibnya itu. Najib mengangguk perlahan. Terpaksa akur dengan kehendak Faizal. “Aku lepaskan kau sebab Fez je tau.” Ujar Najib. Sengaja Aneeq menyengetkan mulutnya. Membuat muka jahat. Najib menuding jari ke arah Aneeq. Tanda amaran. Najib terus sahaja beredar dari situ. Malas hendak melihat wajah Aneeq lagi. BERSAMBUNG..... |
Saturday, May 9, 2009
Kau Milikku 8
Yang merepek merapu meraban Aishah Hamzah at 5/09/2009 03:58:00 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 tukang komen paling setia:
ape yg aneeq nak sbnrnye ek dgn membawa pengaruh negatif kt faizal..?die cm berdendam je ngn faizal..
-cheesecake-
nak lg..
apa maksu najib tu..
napa dia kuar dr kumpulan tu..
cpt la smbg..
Post a Comment