BAB 15 PINTU pagar automatik terbuka luas. Hartanty melangkah masuk dahulu. Diikuti oleh Dizyan dari belakang. Pintu utama rumah terbuka. Terjengul wajah Sutinah. Tersenyum pada Hartanty. Dia sudah mengenali Hartanty kerana selalu sahaja gadis itu datang ke rumahnya jika Faizal tidak ke pejabat. Kadangkala dirungut juga kepada Sutinah. Dia terpaksa bersusah-payah meredah kesesakan di Kuala Lumpur dan datang ke Kota Damansara. Claim minyak kereta yang terdahulu juga masih belum diselesaikan lagi. Bengang juga. Sudahlah gaji tiap-tiap bulan tidak seberapa. Terpaksa pula hulur dahulu kepada stesen minyak untuk ke rumah ketuanya yang jauh berbatu ini. “Bik...” panggil Hartanty. Menyalami pembantu rumah yang sudah bertahun berkhidmat di rumah banglo itu. “Tanty. Masuklah.” Pelawa Sutinah. Tersenyum pada Dizyan dibelakang Hartanty. Senyuman dibalas dan Dizyan menyalami Sutinah. “Encik Faizal ada, Bik?” tanya Hartanty. Memang sudah diketahui Sutinah bahawa Faizal adalah orang yang dicari Hartanty. “Nggak ada. Udah pamit (keluar).” Ujar Sutinah. Hartanty melabuhkan punggungnya di atas kerusi. Mempelawa Dizyan untuk duduk bersamanya. Dizyan perlahan-lahan duduk di atas sofa mewah itu. Memperhatikan keadaan sekeliling. Rumah banglo itu terasa ada kedamaian. Susun atur hiasan kediaman itu, begitu menarik dan unik. Mesti tuan punya rumah ini mempunyai citarasa yang tinggi. Lihat sahajalah jam antik yang terletak di sudut rumah. Susah hendak mencari jenis itu lagi. “Kemana dia pergi, Bik?” pertanyaan Hartanty itu menyebabkan Dizyan memandang wajah gadis dihadapannya. “Iya...katanya lagi ada urusan ama Non Zhety. Langsung lagi pergi.” Ujar Sutinah. Cemberut sahaja wajah Hartanty. “Non Zhety? Urusan apalah yang dia ada dengan perempuan tu, Bik?” Hartanty berkata jelek. Sutinah menjungkitkan bahu dan terus berlalu ke dapur. Untuk membancuh air buat tetamunya. “Kenapa, Tanty? Jealous ke?” usik Dizyan sambil menepuk perlahan bahu Hartanty. “Hish...tak ada maknanya nak jealous. Nanti bila dia dah jumpa perempuan tu, dia orang akan gaduh. Nanti, orang tua tu balik office dia lepaskan kemarahan dia pada saya. Siapa tak geram, Cik Dizyan. Balik-balik kita yang kena.” Keluh Hartanty. Sudah faham sangat akan sikap Faizal. Dizyan menggeleng. Teruk juga perangai si Faizal ini. Seketika kemudian, Sutinah kembali ke ruang tamu dengan membawa sejag air oren dan 2 gelas kosong. Diletakkan dihadapan Hartanty dan Dizyan. Dituang ke dalam gelas mereka. Kemudian, Sutinah melabuhkan punggungnya di sebelah Hartanty. “Jemput, ya.” Ujar Sutinah. Dizyan dan Hartanty mengangguk serentak. Hartanty mencapai air oren itu dan menghirupnya dengan rakus. Kedahagaan di tahap maksimum sudah hilang. “Ada apaan kamu ke sini, Tan?” tanya Sutinah. Tidak pernah dia melihat Hartanty membawa rakan bersama dengannya jika dia ada urusan dengan Faizal. “Begini, Bik. Mulai hari ni, Cik Dizyan akan tolong Bik uruskan rumah ni.” Jelas Hartanty satu persatu. Kening Sutinah berkerut. “Nolongin (tolong)?” Sutinah bertanya lagi. “Ya. Encik Faizal dah cari pembantu untuk tolong Bik uruskan rumah ni.” Hartanty memperjelaskan lagi supaya Sutinah faham akan kehendak majikan mudanya itu. “Jadinya, Non...” Sutinah memandang ke arah Dizyan. Gadis itu tersenyum. “Yan.” Jawab Dizyan lembut. “Non Yan nolongin Bik urusin rumah ini?” berkali-kali Sutinah bertanya inginkan kepastian. “Ya, Bik.” Hartanty menjawab sambil mengangguk perlahan. “Aduh! Gimana ni? Bik udah biasak ngurusin rumahnya sendirian.” Berkerut dahi Sutinah. Hartanty tersenyum. Faham akan perasaan Sutinah yang sudah biasa menguruskan kediaman itu sendiri. Kini, bertambah pembantu pula akan mengurangkan kerjanya. Sutinah tidak suka duduk sahaja. Dia lebih suka melakukan kerja-kerja rumah. Cuma, apabila kerjanya sudah selesai, barulah dia akan mengajak pembantu rumah sebelah bersembang. Itupun bukan Sutinah ke rumah sebelah tetapi hanya bersembang di kawasan belakang dapur. “Tak apa, Bik. Sekurang-kurangnya Bibik ada orang yang tolong.” Pujuk Hartanty. Lama Sutinah terdiam. Memandang wajah Hartanty dan Dizyan silih berganti. “Iya...udah deh. Kalau itu yang di bilang Ijal, Bik ikut aja.” Sutinah mengalah. Hartanty tersenyum lega. Lega dapat memujuk Sutinah. “Kalau macam tu, Bik nanti tolong cakap pada Cik Dizyan apa yang perlu Cik Dizyan tolong.” Hartanty berkata. Sutinah mengangguk pantas. “Tak payahlah ber Cik dengan saya. Namanya pun saya dah jadi pembantu rumah. Tanty panggil saya Yan je dah cukup.” Dizyan berkata hambar. “Maafkan saya, Cik....Yan.” Hartanty serba salah. Tetapi itu bukan kehendaknya. Dia disuruh untuk bersubahat dengan Faizal. Jika tidak dia akan kehilangan kerja. Almaklumlah, tahun 2009 ini kegawatan ekonomi masih belum stabil. Mahu tidak mahu, terpaksa juga bekerja dengan singa tua itu. Seketika kemudian, Hartanty meminta diri untuk pulang ke pejabat setelah berkali-kali Faizal menelefonnya supaya segera ke pejabat. Ada urusan penting Faizal hendak berjumpanya. Setelah kelibat kereta Hartanty hilang dari pandangan, Dizyan menutup pintu rumah banglo itu. Dia beralih ke arah dapur. Ingin menolong Sutinah yang sedang melakukan kerjanya disitu. “Bik...ada apa-apa yang perlu saya tolong?” tanya Dizyan. Sutinah beralih ke arah gadis itu yang berada di muka pintu dapur. “Eh, nggak usah deh, Non. Bik bisa kok ngurusin sendirian.” Pintas Sutinah. Tidak biasa mempunyai penolong. Sedari dulu lagi, Sutinah melakukan kerja-kerja rumah sendirian. “Tak apalah, Bik. Encik Faizal bayar gaji saya untuk tolong Bibik.” Ujar Dizyan sambil tersenyum. Sutinah mengerutkan dahinya. Tidak senang jika ada yang menolongnya. “Iya kalau udah gitu yang di bilang Non. Baju di laundry room masih belum dicuci.” Sutinah memberikan ‘arahan’nya yang pertama. Terasa kekok terpaksa menyuruh orang lain membuat kerjanya. Dizyan mengangguk dan berjalan pantas ke arah laundry room yang dinyatakan oleh Sutinah. Leka dia melakukan kerja membasuh baju di bilik itu. Setelah dimasukkan baju ke dalam mesin pembasuh front load, Dizyan menunggu untuk baju-baju itu selesai membasuh. Selepas mesin pembasuh itu berbunyi sebanyak 3 kali, diangkat baju-baju tersebut dan dimasukkan ke dalam dryer atau mesin pengering. Ditunggu pula untuk mesin pengering itu berbunyi. Selepas itu, dikeluarkan baju-baju tersebut dan melipatnya. Dizyan sudah biasa menolong Mak Kiah dan Mak Nani di bilik dobi. Jadi, tidaklah terasa kekok melakukan kerja-kerja sebegitu. Dilipat sahaja baju-baju tersebut kerana belum betul mengenali pemilik baju itu. Diletakkan baju-baju tersebut ketepi. Nanti Sutinah yang akan membawa baju-baju kepunyaan penghuni rumah itu ke bilik masing-masing. Baju yang perlu diseterika, siap diseterika dan digantung oleh Dizyan. Sutinah yang baru sahaja selesai kerjanya di dapur, masuk ke dalam laundry room dan ingin menolong Dizyan. Tetapi nampaknya, Dizyan sudah menyelesaikan kerja yang diberikan. Sutinah tersenyum. Berpuas hati. Rupanya tidak susah jika mempunyai pembantu. Dapat juga menolong menyelesaikan kerja lain dan meringkan bebannya sedikit. “Saya dah lipat baju tu, Bik. Nanti Bik bawaklah ke bilik dia orang. Saya tak tahu yang mana satu baju Faizal. Jadi saya letak je kat tepi tu dulu.” Ujar Dizyan sambil tersengih. Diunjuk ke arah baju-baju yang sudah berlipat. “Iya, nggak apa-apa. Biar Bik aja yang buat.” Sutinah mengangkat baju-baju yang sudah dilipat itu dan mengasingkan baju-baju tersebut mengikut pemilik. “Non, tolong ya antarin baju Ijal ke biliknya. Soalnya, tangan Bik udah penuh.” Sutinah bukanlah mengarah tetapi meminta tolong. Baju yang dikendongnya sahaja sudah tinggi melangit. “Bilik dia kat mana, Bik?” tanya Dizyan. Sutinah berpaling kembali memandang Dizyan. “Itu di tingkat atas. Sebelah kiri.” Sutinah memberi arah. Dizyan mengangguk. Mengangkat baju Faizal yang sudah dilipat dan diseterika itu ke tingkat atas. “Atas. Sebelah kiri.” Gumam Dizyan. Kakinya sudah jejak di tingkat atas. Mengalih badan ke sebelah kiri. Berjalan menghampiri pintu bilik kayu yang sederhana besar itu. Dizyan jadi teragak-agak hendak masuk ke dalam bilik itu.Tidak manis seorang gadis memasuki bilik anak teruna. Tetapi apakan daya. Dia bekerja disitu. Dan sudah menjadi kerja dia untuk menghantar baju-baju itu ke bilik tuannya. Memulas tombol bilik tersebut perlahan-lahan. Terpegun Dizyan melihat bilik itu. Dinding berwarna pastel beige yang menenangkan. Ada telefon cordless yang terletak di atas meja sisi katil. Meja solek yang terletak di hujung katil tetapi tiada tempat duduk. Yalah, diakan lelaki. Kenapa perlu duduk menghadap meja solek lama-lama. Katil polster kayu jati. Nasib baik tiada kain yang berjuraian di tiang katil tersebut. Dizyan tergelak kecil. Tidak disangka segangster Faizal itu, susun atur biliknya kemas dan teratur. Dimana almari baju? Ada satu tirai yang menutupi satu bilik. Dizyan menyelak tirai itu dan memasang suis lampu yang ada di dinding tersebut. Menyala. Terang benderang menyuluh bilik yang sedari tadi gelap itu. Walk-in wardrobe. Tidak pernah Dizyan menyangka Faizal mempunyai koleksi baju dan kasut sebanyak itu. Matanya meneliti di setiap sudut almari itu. Memang Dizyan ingin mempunyai walk-in wardrobe. Tetapi bajunya tidak sebanyak itu. Diletakkan baju yang sudah dilipat itu di rak yang dikhaskan untuk baju yang dilipat. Dizyan keluar dari bilik itu dan menutup semula lampu dan tirai. Belum sempat kaki Dizyan melangkah keluar, matanya terpandang gambar-gambar yang terletak elok disisi katil. Dizyan berjalan ke arah meja sisi. Dicapai kedua-dua gambar yang berbingkai lutsinar itu. Satu bingkai diletakkan gambar Ku Zhety. Dizyan tergelak kecil. “Sentimental jugak mamat ni.” Dizyan omong sendirian. Diletakkan semula gambar Ku Zhety ke tempatnya. Bingkai yang satu lagi, diletakkan gambar ahli kumpulan mereka yang masih memakai baju sekolah tetapi tandatangan sudah memenuhi baju putih itu. “Mesti masa last day.” Dizyan berkata sendirian lagi. Tiba-tiba matanya tertancap pada seseorang. Hati Dizyan berdegup pantas. Airmata menitis setitik. Segera dilap sebelum berjuraian lebat. Hatinya pernah dilukai oleh orang itu. Tidak mungkin untuk dia memaafkan lelaki yang banyak menyakiti hati dia. Dilap airmata yang menitis di atas bingkai gambar. Diletakkan semula di atas meja sisi. Berjalan keluar dari bilik Faizal. Menutup semula pintu kayu tersebut. JAM antik di sudut rumah sudah berdenting sebanyak 1 kali. Dizyan semakin kegelisahan. Hati tidak tenang. Langit luar semakin gelap. Menggaru kepala yang tidak gatal. Apakah alasan yang akan diberikan kepada keluarganya nanti jika dia pulang selewat itu? Wajahnya jelas terpampang riak tidak senang duduk. Sesekali dijenguk ke arah pintu pagar. Masih tiada tanda-tanda bahawa Faizal pulang. Sutinah juga masih belum tidur. Mata yang mengantuk tidak sedikit pun menganggu dia. Risau juga melihat Dizyan kelakuan sebegitu. “Ngapain, Yan? Kamu duduk disini aja.” tanya Sutinah. Dizyan mengalih badannya ke arah Sutinah. Dahinya berkerut. Ingin bertanya sesuatu, tetapi tidak jadi. “Udah jam setengah satu ni. Kamu pulang aja deh.” Usul Sutinah. Dizyan serba salah. Haruskah diikuti arahan yang diberikan? “Tak boleh, Bik. Encik Faizal dah beri arahan yang selagi dia belum balik, saya tak boleh balik.” Dizyan berkata. Menyatakan apa yang tertulis di dalam kertas arahan yang diberikan kepada Hartanty itu. Giliran dahi Sutinah pula berkerut. “Nggak apa-apa kok. Kamu pulang aja. Bentar lagi kalau Ijal pulang, Bibik ngomong sama dia. Yang kamu udah pulang duluan.” Sutinah berkata lagi. Dizyan melepaskan keluhan perlahan. “Bik...memang selalu ke Encik Faizal pulang lewat?” tanya Dizyan. Ingin juga mengetahui serba sedikit aktiviti majikannya. “Iya...udah biasak kok dia pulang jam segini. Udah dibentak ama Tuan dan Puan pun, masih juga nggak mau didengarin.” Sutinah menyambung kata. Dizyan menggeleng. “Degil betul mamat ni.” Gumam Dizyan. Sedang mereka berdua asyik bersembang di atas buaian di luar rumah, kelihatan lampu kereta menyuluh masuk ke dalam kawasan rumah. Pintu pagar automatik terbuka sendiri. Kereta Faizal masuk ke dalam garaj. Dizyan berdiri. Untuk menyambut majikannya yang baru sahaja pulang. Sutinah sudah mendekati Faizal yang baru sahaja turun dari kereta dengan mengendong fail dan beg bimbit. Diambil fail dan beg bimbit dari Faizal. Dibawa masuk ke dalam rumah. Sutinah tahu dia harus meletakkan barang-barang itu di bilik bacaan Faizal. “Bik...” panggil Faizal. Sutinah berpaling memandang majikan mudanya itu. “Suruh dia hantar barang Zal tu.” Juih Faizal ke arah Dizyan. Gadis itu mencebik. “Udah, Ijal. Nggak apa-apa. Biar Bik aja yang buat, ya.” Sutinah tidak mahu Dizyan dibebani apa-apa kerja lagi. Sudah banyak yang dia tolong Sutinah semasa siang tadi. “Bik, mulai sekarang ini kerja dia. Jadi, dia harus tahu buat kerja dia. Bik bagi je barang Zal tu pada dia.” Arah Faizal sedikit keras. Sutinah serba salah. “Tak apa, Bik. Biar saya buat.” Dizyan mengambil barang-barang Faizal dari Sutinah dan terus sahaja membawa masuk ke dalam rumah. Dibawa ke bilik bacaan Faizal. Sebentar kemudian, Dizyan muncul semula di ruang tamu dengan menggalas tas tangan. Faizal yang sedang merehatkan kepalanya di sofa, membuka mata. “Kau nak kemana?” tanya Faizal. “Saya nak balik.” Ujar Dizyan ringkas. Faizal mengangkat kepalanya memandang Dizyan. “Balik mana?” Faizal menjungkitkan keningnya sedikit. “Balik rumah sayalah.” Jawab Dizyan. Faizal kembali membaringkan kepala di atas sofa. “Hmmm....” itu sahaja jawapan yang keluar dari mulut Faizal. Dizyan sudah menggenggam penumbuk. Mahu ditumbuk sahaja sehingga lumat wajah putih bersih itu. “Saya minta diri dulu, Encik Faizal.” Dizyan berkata selembut mungkin. Sedangkan hatinya panas membara. Dia terus menyarungkan kasut tumit tinggi yang dipakainya sebentar tadi dan melangkah keluar dari rumah banglo itu. Menghidupkan enjin kereta yang berada di luar rumah. Dan menderum pergi meninggalkan kawasan perumahan banglo yang mewah itu. Faizal mengangkat semula kepalanya. Memandang Sutinah yang sedang meletakkan secawan nescafe panas di atas meja. Berfikir sesuatu. Tidak elok membiarkan seorang perempuan pulang ke rumahnya keseorangan. Nanti jika apa-apa yang terjadi kepada gadis itu, tidak akan dimaafkan dirinya. Kemudian, dicapai kunci kereta yang tergantung elok di dalam almari kaca. “Mau kemana lagi tu, Jal?” tanya Sutinah apabila dilihatnya Faizal terburu-buru keluar dari rumah itu. Tanpa menoleh dan berkata apa-apa, dia terus sahaja menghidupkan enjin kereta Mazda MX-5 yang baru sahaja dibelinya bulan lalu. Sutinah menjenguk di luar. Bayangan kereta Faizal sudah tidak kelihatan. Sutinah menggeleng perlahan dan menutup semula pintu utama rumah itu. BERKALI-kali Dizyan melihat melalui cermin pandang belakang. Kereta yang sama mengikuti daripada dia keluar dari kawasan perumahan banglo itu sehingga dia hampir ke kawasan rumahnya. Sengaja dia ikut jalan jauh untuk pulang ke rumahnya. Kereta itu masih lagi setia mengikuti kereta milik Dizyan. Risau juga. Tiba-tiba telefon bimbitnya menjerit nyaring. Tersentak Dizyan. Nasib baik dia tidak menekan minyak kerana terlalu terkejut. Melihat nombor yang tertera di skrin. Tidak pernah dilihat nombor itu. Dizyan mengerutkan dahi. Dijawab juga telefon itu. “He...hell...hello?” tergagap-gagap Dizyan menjawabnya. “Kau ni memang nak kena dengan aku ke! Kat mana rumah kau ni sebenarnya?” si pemanggil memarahi Dizyan. Terkejut dia. Sehingga dijarakkan sedikit telefon itu dari telinganya. “Kau ni siapa? Tanya pasal rumah aku pulak.” Dizyan memarahi kembali si pemanggil. “Aku ni siapa? Aku ni bos kaulah.” Hampir terjerit Faizal berkata. “Hah?! Encik Faizal? Kenapa Encik Faizal tanya pasal rumah saya?” pelik juga Dizyan. Sampai berkerut seribu dahinya. “Aku tengah follow kereta kau daripada belakang. Kau ni tak nak balik rumah ke?” Faizal membentak. Dizyan terdiam. Dilihat melalui cermin pandang belakang. Lampu yang menyuluh mata, tidak dapat dilihat dengan jelas kereta di belakang. “Kenapa Encik Faizal ikut saya?” tanya Dizyan lagi. Inginkan kepastian. “Kau tu kan perempuan. Takkan aku nak biarkan kau balik seorang-seorang. Walaupun aku ni kejam, tapi taklah sampai sanggup nak tengok kau diapa-apakan.” Ujar Faizal dengan nada suara yang sudah dikendurkan sedikit. Dizyan tersenyum sinis. “Tahu pun kau ni kejam.” Dizyan bercakap perlahan tetapi tidak disangkanya Faizal terdengar apa yang telah dikatakan oleh Dizyan. “Apa kau kata? Cuba ulang sekali lagi.” Tukas Faizal. Dizyan terdiam. Ditelan air liur yang tersekat di kerongkong. “Tak ada apa-apa. Terima kasih ya, Encik Faizal. Sebab teman saya.” Ucapan diberikan seikhlas hati oleh Dizyan. “Hmm...cepatlah balik rumah kau. Habis dah minyak kereta aku.” Ujar Faizal dan sekaligus mematikan talian. Tercengang Dizyan. “Hish...baru aku nak fikir kau tu memang baik. Rupanya tak ikhlas jugak.” Gumam Dizyan, geram. Terus sahaja dia memandu kereta MyVi nya menuju ke kawasan perumahan banglo yang berada berhadapan dengan UITM Shah Alam. Pintu pagar automatik dibuka. Kereta Dizyan menderum masuk sehingga ke garaj. Sempat juga Faizal meneliti rumah banglo milik keluarga Dizyan itu. Terfikir juga dia kenapa Dizyan sanggup bersusah-payah untuk bekerja dengan orang. Sedangkan kalau dilihat dari rumah yang tersergam indah itu, pasti keluarganya bukanlah calang-calang orang. Pasti mempunyai perniagaan keluarga sendiri. Selepas memastikan pintu pagar rumah Dizyan ditutup rapat, kereta Faizal terus sahaja menderum meninggalkan kawasan perumahan. BERSAMBUNG...... |
Tuesday, May 26, 2009
Kau Milikku 15
Yang merepek merapu meraban Aishah Hamzah at 5/26/2009 03:05:00 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
5 tukang komen paling setia:
uhuu..
baek gak si faizal nieh..
bagos2..
faizal kan hero cite nieh??
hehe.
xske aneeq..
kijam itu lelaki..
smbung2..
heh mesti dia jumpa gmbar aneeq kan?
;)
ha ah. sy pn nk die ngn faizal gk. aneeq bia couple ngn ku zety... hihihihi
hehe baik si ijal tu ye...
pape pon ecah,
keep up a good work...
huhuh..xsgke tol, bertggungjawab gak si faizal ni..nak dizyan ngn faizal..!xnkla aneeq ngn yan..
erm, td tu, yan nmpk gmbr aneeq ek?ape je aneeq da wat kt die smpai die sesedih tu nmpk gmbr aneeq? teringin sgt nk tau...!
Post a Comment