BAB 5
JAM loceng berbunyi nyaring hingga membangunkan penghuni bilik itu. Dizyan menggosok mata yang masih mengantuk. Dia mengeliat sedikit. Terasa lega. Kemudian, perlahan-lahan dia bangun dari katilnya dan berjalan ke arah bilik air. Dicapai tuala yang tersangkut di penyidai dan membuka lampu bilik air. Masuk untuk membersihkan diri. Usai mandi, Dizyan keluar dengan sudah siap berwuduk untuk menunaikan solat yang wajib. Disarungkan telekung ke badannya dan segera menjalankan perintah-Nya. Selesai bersolat, Dizyan melangkah ke arah almari dan diambil baju sekolahnya. Dia duduk dihadapan cermin solek dan membelek wajah. Kenapalah budak-budak sekolahnya asyik membuli dia? Pernah sekali Dizyan memberitahu Puan Hajjah Karissa bahawa dia ingin berpindah sekolah. Sudah tidak tertahan lagi mendengar kata-kata ejekan mereka. Tetapi Misha dan Yasmin selalu menasihati Dizyan, buat tidak tahu sahaja dengan mereka. Yang paling dia tidak tahan sekali dengan geng Faizal. Entah apa yang dibuat olehnya sehinggakan mereka menjadikan Dizyan sebagai musuh. Dicapai beg galas yang diletakkan di atas meja tulis. Dizyan melangkah turun ke tingkat bawah. Aroma masakan sarapan pagi menusuk hidung. Nasi lemak daun pisang terhidang di atas meja. Perutnya berkeroncong minta diisi. Tuan Haji Azmin dan Puan Hajjah Karissa turut menyertai Dizyan di meja makan.
“Morning, Umi. Morning, Abah.” Tersenyum ke arah kedua orang tuanya.
“Assalamualaikum. Kita ni orang Islam, Yan.” Tegur Tuan Haji Azmin lembut. Dizyan terdiam.
“Ops…sorry. Assalamualaikum Umi, Abah…” Dizyan membetulkan semula kata-katanya. Puan Hajjah Karissa tersenyum melihat gelagat anak perempuan seorangnya ini. Asyifa baru sahaja melangkah ke arah meja makan turut melabuhkan punggung disebelah Dizyan. Gadis itu menghulurkan pinggan makan kepada Asyifa.
“Syifa, hari ni ada kes apa?” tanya Tuan Haji Azmin dan disuapkan ke mulutnya sesudu nasi lemak. Asyifa tersentak dan mengangkat muka memandang lelaki tua yang bercermin mata itu.
“Hari ni pasal kes cerai Puan Sharifah Mahani against Tuan Syed Akhbar.” Asyifa berkata. Cuba mengingat kembali pasal kes tuntutan cerai yang difailkan oleh Puan Sharifah Mahani di Mahkamah Syariah bulan lepas. Tuan Haji Azmin mengangguk.
“Abang ni pun. Biarlah budak tu makan dulu. Belum sempat dia nak menyuap ke mulut lagi, dah ditanya pasal kerja.” Rungut Puan Hajjah Karissa.
“Abang kena tahu Syifa ke mana hari ni.” Ujar Tuan Haji Azmin pula.
“Syifa kena ke mahkamah hari ni, Abah Az.” Sela Asyifa. Puan Hajjah Karissa mengangguk. Kasihan pula pada Asyifa yang terpaksa menggantikan tempat Izham sementara anak lelaki yang bakal menjadi pewaris kepada firma guamannya itu pergi menuntut ilmu di perantauan.
“Kesian Umi tengok Syifa. Ke hulu, ke hilir. Terkejar-kejar ke court memanjang.” Gelengan kepala Puan Hajjah Karissa semakin laju.
“Tak apalah, Umi Rissa. Syifa tolong Abah Az uruskan dulu firm ni. Sementara nak tunggu Iz balik.” Tukas Asyifa dengan senyuman manis. Dia ikhlas ingin membantu keluarga yang banyak berjasa kepadanya. Tidak terbalas budi baik mereka kepada Asyifa selama ini.
“Susahkan Syifa pulak. Umi tahu, Syifa ada cita-cita sendiri. Tapi terpaksa ikut jugak kehendak Abah kamu ni.” Tidak senang hati menyusahkan anak muda itu. Dizyan hanya memerhatikan Puan Hajjah Karissa dan Asyifa silih berganti.
“Tak susahlah, Umi Rissa. Kalau nak diikutkan jasa Umi Rissa dan Abah Az pada Syifa, belum dapat Syifa balas walaupun Syifa tolong Abah Az uruskan firm ni.” Asyifa tidak mahu mereka terasa bersalah kerana menyusahkannya.
“Dahlah tu. Makan cepat. Nanti Syifa lambat pulak nak ke mahkamah.” Ujar Tuan Haji Azmin. Gadis itu mengangguk pantas dan segera menyuapkan nasi lemak ke mulutnya.
“Yan nak Abah hantar Yan hari ni?” tanya Tuan Haji Azmin kepada anak kandungnya. Gadis itu seperti berfikir sesuatu.
“Tak payahlah, Abah. Yan ambil bas je.” Tolak Dizyan. Dia tidak mahu rakan-rakan sekolahnya tahu dia anak peguambela dan peguamcara terkenal, Tuan Haji Azmin yang bertanggungjawab ke atas kes perceraian artis-artis terkenal di Malaysia. Biarlah orang kenal dia sebagai Dizyan Farhana binti Azmin. Itu sudah cukup buat Dizyan jika ada yang sudi mengenali dirinya. Hanya Misha dan Yasmin sahaja yang tahu tentang rahsia diri Dizyan itu.
“Takkan Yan nak ambil bas waktu macam ni. Dah pukul berapa dah ni? Bas pun dah lepas. Kak Syifa hantar Yan pergi sekolah, ya?” Asyifa pula yang mempelawa.
“Tak menyusahkan Kak Syifa ke?” takut juga jika menyusahkan peguam muda itu.
“Taklah. Kak Syifa nak lalu jalan yang sama juga.” Ujar Asyifa. Dizyan mengangguk perlahan tanda setuju dengan cadangan itu.
“Oklah, Umi...Abah. Yan pergi dulu.” Ujar Dizyan dan tunduk menyalami kedua ibubapanya. Asyifa juga turut melakukan perkara yang sama.
Dizyan menyarungkan kasut sekolahnya. Kemudian, dia segera masuk ke dalam perut kereta apabila jarum jam tangannya sudah menunjukkan pukul 7.15 pagi. Kalau Dizyan lambat, alamatnya nama dia pasti akan dimasukkan ke dalam buku pengawas. Sudah beberapa kali namanya ada di dalam buku itu. Tidak mahu disenaraihitamkan diri sendiri pada tahun terakhir. Cukuplah dia hanya berada di dalam senarai yang paling dikehendaki oleh ahli kumpulan Faizal.
KERETA Asyifa berhenti betul-betul dihadapan pintu pagar sekolah. Dizyan turun dari kereta itu dan melambai ke arah kakak sepupunya. Lambaian dibalas. Kereta Asyifa terus menderum pergi meninggalkan kawasan sekolah Dizyan. Pintu pagar sekolah dibuka sekecil yang mungkin. Segera Dizyan memboloskan diri sebelum pintu pagar tersebut ditutup oleh pengawas sekolah yang bertugas pada hari itu. Tersengih Andika melihat Dizyan.
“Nasib baik kau awal beberapa minit, Yan. Kalau tak, nama kau dah ada dalam buku aku ni.” Sindir Andika. Dizyan mencebik.
“Nak tunjuk dia berkuasalah tu.” Gumam Dizyan. Andika mengerutkan dahi.
“Apa, Yan?” tanya Andika tiba-tiba. Dizyan tersentak.
“Tak ada apa-apa. Hari ni bangun awal, tu lah sebabnya datang awal beberapa minit.” Perli Dizyan semula. Kali ini, Andika pula yang mencebik. Dizyan pun pelik. Kenapa pengawas sekolah dan juga geng yang terkenal dengan sikap pembuli mereka itu selalu sahaja cari pasal dengannya? Terus sahaja Dizyan melangkah ke laman sekolah untuk beratur bersama rakan sekelas. Berdiri di belakang Misha. Diletakkan beg galas ke bawah. Misha beralih ke belakang.
“Mamat poyo tu tak pulak tulis nama kau.” Kata Misha. Dizyan menggeleng.
“Kesemua pelajar dikehendaki meluruskan barisan dan pandang ke hadapan.” Pelajar-pelajar yang berdiri di laman sekolah segera mematuhi arahan yang diberikan oleh pengerusi majlis.
Selesai perhimpunan, mereka semua kembali ke kelas. Kerusi disebelah Dizyan kosong. Tercari-cari akan Dizyan wajah itu. Dipandang ke arah Misha dan Yasmin.
“Mana Tika?” tanya Dizyan.
“Hari ni dia tak datang. Demam, katanya. Dia suruh aku cakap dengan cikgu. Tika call aku pagi tadi. Pepagi buta pulak tu. Nasib baik aku dah bangun dari membuta." Seloroh Yasmin. Mereka berdua tergelak kecil. Seketika kemudian, Puan Wong yang mengajar subjek Matematik melangkah masuk. Satu kelas bangun dan mengucapkan selamat pagi. Mereka mengeluarkan buku latihan Matematik. Satu persatu latihan yang diberikan oleh Puan Wong. Setelah itu mereka harus menyiapkan latihan di dalam kelas. Sedang Dizyan leka menyiapkan latihannya, tiba-tiba seorang pelajar tingkatan 3 mengetuk pintu. Mata seluruh kelas tertumpu ke arah pelajar tersebut. Dizyan tunduk semula menghadap buku latihan dihadapan. Malas hendak mengambil tahu urusan pelajar itu dengan Puan Wong.
“Dizyan Farhana Azmin.” Panggil Puan Wong. Dizyan segera mengangkat kepala memandang guru yang sedang berdiri tercegat dihadapan. Kesemua mata rakan sekelas tertumpu pula kepadanya.
“Adik kamu nak berjumpa. Dia sedang tunggu kamu di kantin.” Fasih sekali Puan Wong berkata-kata. Dizyan mengerutkan dahi. Pelik. Mengalih pandang ke arah Misha dan Yasmin yang turut sama mengerutkan dahi.
“Adik? Kau kan tak ada adik.” Bisik Misha perlahan. Dizyan gelisah diduduknya.
“Memanglah. Aduhh...siapa pulak yang nak kenakan aku ni.” Dizyan masih tidak berganjak dari kerusi yang diduduki.
“Dizyan, ada apa-apa masalah ke?” Puan Wong bertanya. Diturunkan sedikit cermin matanya supaya dapat nampak Dizyan dengan lebih jelas.
“Tak ada apa-apa, Puan Wong. Nanti waktu rehat saya jumpa dengan ‘adik’ saya tu.” Sengaja ditekankan perkataan adik itu.
“Pergilah sekarang. Katanya, urgent.” Puan Wong memandang pelajar tingkatan 3 itu. Segera pelajar tersebut mengangguk.
“Saya masih tak siapkan lagi latihan ni, cikgu.” Sedaya-upaya Dizyan cuba menolak.
“Tak apa. Kamu boleh hantar pada saya kejap lagi atau esok saja.” Beria-ia Puan Wong menyuruhnya pergi berjumpa dengan budak yang dikatakan ‘adik’ Dizyan itu. Dizyan sudah tidak boleh mengelak lagi. Mahu atau tidak, perlahan-lahan dia bangun dari kerusinya dan keluar dari kelas tersebut. Pelajar tingkatan 3 itu telah kembali ke kelasnya semula setelah melihat Dizyan menurut arahan Puan Wong itu. Tidak boleh disalahkan Puan Wong juga. Dia tidak tahu latar belakang keluarga Dizyan dan juga tidak tahu ada orang yang berniat untuk mengenakan gadis itu. Misha dan Yasmin saling berpandangan. Kemudian, mereka segera menyiapkan latihan yang sudah diberikan.
Dizyan melangkah malas ke arah kantin. Siapalah pula yang berniat jahat ingin mendajalkan dia? Dizyan sudah mendekati kantin. Hati berasa kurang enak. Diurut dada berulangkali. Bersabar. Dilabuhkan punggung di atas kerusi di dalam kantin tersebut. Menunggu kedatangan ‘adik’nya itu. Tiba-tiba, Dizyan terasa diri dilanggar dari belakang dan ada cecair panas yang mengalir dibelakangnya. Terus sahaja Dizyan berdiri dan memandang gerangan yang melanggarnya itu. Terlihat Ku Zhety memegang semangkuk mee rebus. Dan, di dalam mangkuk itu hanya separuh mee serta kuah sahaja yang tinggal. Dizyan teringat akan cecair panas yang mengalir dibelakangnya. Dipegang. Berlendir dan berbau kuah mee rebus. Dizyan sedaya-upaya menahan amarah. Melihat wajah Ku Zhety yang memandangnya seperti orang tidak bersalah dan tersenyum sinis.
“Oppss...sorry. Sengaja.” Ujar Ku Zhety dengan sinis sekali.
“Apa you dah buat ni, Zhety?” jerit seorang lelaki. Tidak perlu Dizyan memandangnya. Sudah tahu akan gerangan pemilik suara itu.
“I tak sengajalah, sayang.” Ku Zhety berkata manja.
“You tak sengaja? Takkanlah you tak nampak dugong sesat ni duduk kat depan you yang sikit punya besar ni.” Ejek lelaki tersebut.
“Ini memang kerja kau orang kan. Apa salah aku sampai kau orang dendam sangat dengan aku? Aku tak kacau hidup kau orang. Apasal kau orang nak kacau hidup aku? Kau sendiri semalam kata nak berdamai dengan aku. Apa dah jadi sekarang ni? Kalau macam nilah perangai kau, cancel aku nak berdamai dengan kau.” perlahan sahaja Dizyan bertanya. Faizal tersenyum sinis.
“Aku nak berdamai dengan kau? In your dreams. Kau patutnya jaga sikit mulut kau tu. Jangan biadap sangat. Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.” Siap berperibahasa lagi Faizal berkata-kata. Perlahan sahaja dia mengucapkan kata-kata itu ditelinga Dizyan.
“Ohh...pandai jugak kau gunakan peribahasa. Aku ingatkan kau ni buta bahasa.” Sindir Dizyan.
“Tak kisahlah kau nak cakap apa pun. Kau balik mandilah. Dah bau mee rebus.” Selepas sahaja Faizal habis berkata, ahli kumpulannya ketawa berdekah-dekah. Dizyan mendengus kuat. Terlupa pula dia akan kuah mee rebus yang sudah mewarnai baju putihnya. Dizyan segera berlalu menuju ke tandas.
Dibuka baju yang dipakainya dan digosok menggunakan tisu untuk membersihkan kotoran kesan kuah mee rebus tersebut. Semakin teruk. Bukan semakin bersih. Dizyan melepaskan keluhan. Dia menyarungkan semula baju tersebut ke badannya dan menuju ke pondok telefon yang terletak di dalam kawasan sekolah. Sudah dipegang gagang telefon itu, tetapi diletakkan kembali. Siapa yang boleh diharapkan untuk mengambil dia dari sekolah? Kalau Asyifa, gadis itu sudah lama ke mahkamah. Lagipun tidak elok menganggu orang yang sedang sibuk bekerja. Tuan Haji Azmin? Abahnya itu mempunyai kes yang perlu diselesaikan juga pada pagi itu. Puan Hajjah Karissa? Wanita anggun itu tidak boleh membawa kereta. Mak Kiah? Sudah pasti orang tua itu juga tidak boleh memandu. Pening! Dizyan memegang kepala. Dia harus menjalani persekolahannya dengan baju yang berbau kurang enak itu.
Perlahan-lahan Dizyan melangkah masuk. Nasib baik guru subjek seterusnya belum lagi masuk ke dalam kelas. Sebaik sahaja Dizyan masuk ke dalam kelas, semua mata tertumpu ke arahnya. Ada yang berbisik sesama sendiri, ada yang tertawa melihat keadaannya itu. Misha dan Yasmin ternganga.
“Kenapa dengan kau ni, Yan?” tanya Yasmin. Dia segera berubah tempat dan duduk disebelah Dizyan. Gadis itu menjadi tidak selesa apabila menjadi tumpuan kelas pada hari itu.
“Ni semua kerja Zhety dengan Faizal.” Ujar Dizyan perlahan.
“Lagi-lagi syaitan dua ekor tu punya kerja. Dia orang ni memang cari pasal.” Yasmin sudah mengepal penumbuk.
“Kesian kat kau, Yan.” Misha berkata simpati. Yasmin mengangguk.
“Thanks sebab kau orang ada masa aku dalam susah macam ni.” Ucap Dizyan bersungguh-sungguh. Yasmin menggenggam erat jemari Dizyan.
“Nasib baik si Asrul tu tak bersekongkol dengan geng syaitan tu. Kalau tak, dah lama aku debik si Asrul.” Yasmin berkata sambil menunjukkan gayanya. Dizyan dan Misha tergelak kecil.
“Habis, apa kau nak buat sekarang?” Misha bertanya pula.
“I...declare...war. Perang ni dia yang mulakan, biar aku je yang habiskan.” Dizyan berkata dengan penuh perasaan yang sukar dimengertikan oleh Misha dan Yasmin.
“Aku nak join, boleh?” tanya Yasmin dengan penuh teruja. Dizyan menggeleng perlahan.
“This is between me and him.” Sela Dizyan. Diangkat kening sebelah kiri.
“Kau jangan buat sampai kantoi dengan Cikgu Alias, sudah.” Pesan Yasmin sebelum berlalu semula ke tempatnya apabila guru subjek Perdagangan mereka masuk ke dalam kelas. Puan Chiu membuka buku teks Perdagangan. Tiba-tiba hidungnya terbau sesuatu. Cuba mencari kesan dari mana bau tersebut datang. Pelajar-pelajarnya pelik dengan tindakan guru mereka itu.
“Kenapa cikgu bau mee rebus?” tanya Puan Chiu. Seluruh kelas tergelak. Dizyan masam mencuka. Puan Chiu pelik apabila melihat pelajar-pelajarnya tergelak sakan.
“Macam mana cikgu tak bau mee rebus. Ni ha....Yan mandi dengan kuah mee rebus.” Seloroh Zahim. Mata Puan Chiu terarah kepada Dizyan.
“Yan mandi kuah mee rebus?” tanya Puan Chiu kebingungan. Dizyan hanya mendiamkan diri.
“Hmm...tak apalah. Sila buka buku teks kamu. Muka surat 13.” Selepas menerima arahan dari Puan Chiu, segera mereka menyelak buku teks Perdagangan.
LOCENG sekolah berbunyi nyaring. Menandakan waktu untuk pulang dari sekolah. Dizyan mengemas buku yang berselerak di atas meja dan disimpan di dalam beg galasnya. Bergerak keluar dari kelas bersama Misha dan Yasmin. Beg tersebut tidak di galas sebaliknya hanya memegang sahaja. Takut beg tersebut melekat bau kuah mee rebus. Mereka bertiga melintasi geng Faizal yang sedang melepak di tempat biasa mereka. Entah lawak apa yang dibuat oleh Yasmin sehingga Dizyan tertawa kuat. Misha menekup mulutnya. Yasmin memang pandai menghiburkan hati mereka berdua.
“Baju dah kena kuah mee rebus pun masih boleh gelak lagi. Kalau aku, malu gila. Entah-entah aku terus pindah je sekolah.” Aneeq berkata kuat. Tiga gadis tersebut terhenti gelak tawa mereka. Mengalih pandang ke arah kumpulan yang sedang merehatkan diri dibawah pokok.
“Aku ingatkan jembalang mana tadi. Rupa-rupanya beruk hutan ni.” Selamba sahaja Yasmin berkata. Dizyan tertawa kecil. Misha malas mahu ikut campur. Didiamkan sahaja dirinya. Asrul pernah memberi amaran kepada Misha. Geng-geng Faizal jangan dibuat main. Mereka itu mampu lakukan apa sahaja perkara yang berada di batasan luar fikiran mereka.
“Woii...perempuan jual mee rebus. Balik ni nak jual mee rebus ke?” ejek Aneeq. Faizal hanya tersenyum sinis. Ahli yang lain hanya tertawa menyakitkan hati.
“Kalau aku jual mee rebus pun, sekurang-kurangnya dapat duit yang halal dari rezeki yang halal. Bukan macam kau orang. Asyik peras ugut orang. Makan duit haram.” Dizyan meluahkan perasaan geram yang tidak terkata kepada mereka. Aneeq berjalan laju menuju ke arah mereka bertiga dengan penumbuk yang dikepalnya. Ingin sekali dia menumbuk wajah mulus itu. Tetapi sempat ditahan oleh Asrul yang lalu disitu.
“Neeq, kau ni tak malu ke nak pukul perempuan. Pilihlah orang yang boleh lawan kau balik.” Asrul berbisik ditelinga Aneeq sambil menahan badan anak muda itu dari terus menghampiri ketiga-tiga gadis tersebut. Yasmin cuak. Misha seperti mahu menangis sahaja. Tetapi wajah Dizyan masih selamba.
“Fez...kau nasihatkan sikit kawan kau ni. Kalau dia berani sentuh dia orang bertiga ni, aku takkan maafkan kau. Forever.” Laung Asrul dari jauh. Faizal mendengus geram. Asrul cepat sahaja mengajak mereka beredar.
BERSAMBUNG.... |
5 tukang komen paling setia:
ngeeee....
geramnye...
sengal tul geng fezal nieh..
aneeq uh asal??
dye yg lebey2 lak..
huh..
smbung2 kak ecah..
aneeq tu napa!!!!
sesuka ati je nak uat anak org..
debik sat gi bru tau..
hehe..
cpt smbg ye..
bengkek giler budak aneeq tu... huh... teruskan kak ecah....
eiiii...geramya...
kesiannya yan tu....
melampau betul lah...
ecah bila nk smbung...
ternanti2 ni..
keep up a gud work k!!!
Post a Comment