BAB 4 PINTU pagar automatik terbuka luas. Kelihatan kereta Datuk Farid masuk ke perkarangan rumah. Dia mengeluarkan beg bimbit dari kerusi belakang. Datin Rubaiyah terjengul di muka pintu dengan senyuman. Datuk Farid membalas senyuman itu dengan wajah yang keletihan. Dia mencapai tangan suaminya dan dicium tangan gagah itu. Kemudian, diambil pula beg bimbit milik Datuk Farid. “Awal Abang balik hari ni?” tanya Datin Rubaiyah. Datuk Farid membuntuti Datin Rubaiyah sehingga ke ruang tamu. Dilabuhkan punggung di atas sofa empuk itu. “Hari ni meeting dengan client kena postponed. Jadi, dah tak ada apa Abang nak buat kat office. Terus Abang baliklah.” Ujar Datuk Farid sambil melonggarkan tali lehernya. Datin Rubaiyah turut melabuhkan punggung disebelah suaminya. “Bik…oh Bik…” panggil Datin Rubaiyah. Bibik yang bernama Sutinah itu telah berkhidmat di rumah mereka sejak dari Faizal baru lahir. Sutinah berlari-lari anak menuju ke ruang tamu. “Iya, Datin?” tanya Sutinah perlahan. “Tolong buatkan air untuk Tuan, ya.” Arah Datin Rubaiyah lembut. Dengan senyuman. Terangguk-angguk Sutinah menerima arahan. Selepas Sutinah beredar, Datin Rubaiyah memandang kembali wajah suami yang sudah dimamah usia itu. “Itulah sebabnya Abang tak sabar nak tunggu Faizal dah boleh menguruskan company Abang tu. Abang ni dah tua, Rubi. Entah esok entah lusa, sampai lah tu masa Abang. Bila masanya Abang nak khusyuk menghadap Allah, kalau otak Abang ni asyik teringatkan kerja saja.” Sambung Datuk Farid. Datin Rubaiyah menggenggam jari jemari Datuk Farid. “Abang jangan cakap macam tu. Rubi percaya satu hari nanti, Faizal boleh menguruskan company Abang.” Datin Rubaiyah memberikan jaminan yang dia percaya anak sulungnya itu mampu melakukan apa sahaja. “Abang harap bakal menantu kita nanti, dapatlah bentuk si Faizal tu. Abang tengok dah tak serupa orang. Sabtu dan Ahad je tak lekat kat rumah. Keluar merewang dengan kawan-kawan dia. Sampai ke tengah malam, baru teringat nak balik. Macam tak fikir dia tu nak SPM tahun ni.” Luah Datuk Farid, kesal dengan sikap Faizal. “Faizal tu lain sikit perangai dia, Bang. Lain dari kembar tu.” Sela Datin Rubaiyah. Menggeleng kepala separuh botak Datuk Farid itu. “Hah…cerita pasal Faizal, mana budak-budak tu semua? Dari tadi Abang tak nampak.” Terjenguk-jenguk mencari bayangan tiga orang anaknya itu. “Macamlah Abang tak kenal Faizal. Selagi tak Maghrib, tak baliklah lagi. Fikhri dengan Fathiq ke rumah kawan dia orang kat banglo hujung jalan tu. Anak Puan Seri ajak dia orang datang rumahnya tadi.” Jelas Datin Rubaiyah. Suaminya hanya mendengus kasar dan menggelengkan kepala. “Apa nak jadilah dengan budak-budak ni? Yang seorang nak SPM, yang dua orang lagi nak PMR. Pening kepala saya dengan dia orang ni. Hmm...dahlah tu. Dari bercakap pasal dia orang, terlepas pulak Asar Abang nanti. Abang naik dululah.” Tukas Datuk Farid seraya mengangkat punggung dan menuju ke tangga. Datin Rubaiyah hanya mampu mengangguk. “Kejap lagi Abang turun makan tau.” Pesan Datin Rubaiyah. Risau jika Datuk Farid tertidur kerana terlampau letih. “Yalah.” Laju kaki Datuk Farid melangkah ke tingkat atas. Beberapa minit kemudian, Sutinah keluar dengan menatang segelas air jus oren. “Datin, airnya.” Ucap Sutinah. Datin Rubaiyah memandang ke arah pembantu rumahnya itu. “Letak je atas meja. Kejap lagi Tuan turun minum.” Arah datin Rubaiyah sekali lagi. Sutinah tersenyum dan mengangguk. JAM antik yang terletak di sudut rumah banglo itu berdenting sebanyak 7 kali. Datin Rubaiyah mendongak melihat jam tersebut. Sudah pukul 7 malam. Faizal masih juga tidak pulang. Fikhri dan Fathiq baru sahaja sebentar tadi mereka pulang. Kena ‘basuh’ sebaldi dengan Datuk Farid, kemudian mereka dikehendaki bersiap dan mengikuti Papa mereka ke surau untuk berjemaah Maghrib. Niat dihati Datuk Farid ingin menunggu anak sulungnya itu tetapi Datin Rubaiyah takut mereka terlambat nanti hendak ke surau. “Assalamualaikum.” Seseorang memberi salam di muka pintu. Lega Datin Rubaiyah melihat wajah anak sulung yang terjengul. “Waalaikumussalam. Lambat Zal balik hari ni?” tanya Datin Rubaiyah. Faizal tersengih. “Kita orang buat study group. Apa chapter yang nak masuk first paper nanti.” Faizal berkata sedikit berbohong. Datin Rubaiyah tersenyum penuh makna. “Zal study ke? Setahu Mama, kalau Zal duduk lepak dengan kawan-kawan geng Zal tu, tambah pulak ada Zhety, bukan study namanya tu.” Sindir Datin Rubaiyah. Faizal tersengih sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal itu. “Tak apalah, Ma. Zal naik dulu. Nak mandi.” Cepat sahaja Faizal ingin lari dari Mamanya itu. Kalau lebih lama disitu, mahu sebakul nasihat yang diberikan. Faizal berdiri di atas tangga dan berpaling semula ke arah Datin Rubaiyah. “Papa dah balik ke, Ma?” tanya Faizal. Dilihatnya Datin Rubaiyah mengangguk pantas. “Habis, Papa kat mana? Tak nampak pun dalam rumah.” “Ke surau dengan adik-adik. Baik Zal pergi berjemaah kat surau. Kejap lagi Papa balik tengok Zal melepak dalam bilik, lagi berangin dia. Tadi dia nak tunggu Zal balik. Tapi Mama yang suruh pergi dulu. Kalau kejap lagi Papa marah Zal, Mama tak boleh tolong. Ni memang salah Zal.” Ugut Datin Rubaiyah. Faizal melepaskan keluhan. Ada benar juga kata-kata Mamanya itu. Kalau kejap lagi Datuk Farid naik angin, habis satu rumah diputing beliungkannya. Seperti hurricane Katrina. Silap-silap haribulan, dengan Sutinah sekali dimarahinya. “Yalah, Ma.” Faizal terus berlari anak menuju ke bilik untuk membersihkan diri dan bersiap ke surau. Usai bersiap, dia turun semula ke tingkat bawah. Sebaik sahaja Faizal berjalan kaki hendak ke surau yang terletak di hujung simpang kawasan perumahan yang menempatkan banglo-banglo mewah itu, dia dihon dari arah belakang. Terkejut dan segera ke tepi. Motor itu bersaing dengan Faizal. “Fez, jomlah naik dengan aku. Kau nak ke surau kan?” ujar suara garau yang cukup dikenali oleh Faizal itu. Dia mengalih pandang ke arah lelaki itu. Tersenyum Asrul kepada Faizal. “Lah…kau ke Rul. Aku ingatkan siapalah yang nak mengurat aku tadi.” Seloroh Faizal. “Kau ingat kau tu cantik? Dahlah. Naik je.” Asrul menyindir. Dia memberhentikan motor untuk membolehkan Faizal membonceng. SELESAI berjemaah Maghrib juga Isya’, Faizal dan Asrul leka bersembang di pintu pagar surau. Sudah lama tidak lepak sebegitu bersama teman baiknya. Najib yang kebetulan juga baru selesai berjemaah, turut menyertai mereka bersembang. Tiba-tiba mata Faizal tertancap pada sekujur tubuh Datuk Farid dan adik-adiknya. Datuk Farid berdehem kecil. Asrul dan Najib pantas memandang ke arah lelaki tua itu. “Uncle.” Serentak Najib dan Asrul bangun dari tembok yang dijadikan tempat duduk untuk bersalaman dengan Datuk Farid. “Hmm…lama tak nampak Najib dengan Asrul.” Ujar Datuk Farid lembut. “Kami ada je, Uncle. Tak pergi mana-mana.” Seloroh Najib. Datuk Farid tergelak kecil. “Ermm, Uncle…Kami nak ajak Fez pergi minum boleh tak?” takut-takut Asrul bertanya. Datuk Farid mengangguk perlahan. “Pergilah. Tapi jangan lewat sangat.” Pesan Papanya itu kepada Faizal. Mereka bertiga mengangguk serentak. Kalau dengan Najib dan Asrul, Datuk Farid tidak kisah sangat sebab dia kenal akan keluarga kedua anak muda itu. Tetapi yang dia tidak berkenannya itu dengan Aneeq. Pertama kali melihat Aneeq sewaktu anak muda itu datang ke rumahnya untuk kenduri arwah ibu Datuk Farid. Aneeq dijumpai sedang menghisap rokok di belakang rumahnya. Dan disitu Faizal serta geng-geng yang lain ada bersama. Kecuali Asrul dan Najib. Teruk Faizal dibelasah malam itu oleh Datuk Farid kerana ikuti merokok bersama. Bertukar-tukar puntung di antara satu sama lain. Sejak dari itu, Datuk Farid tidak membenarkan ahli kumpulan yang lain datang ke rumahnya kecuali Najib yang dikenali sejak dari anak muda itu masih kecil lagi. Dan juga Asrul, anak jiran sebelah rumah mereka. Mereka bertiga beredar dari kawasan surau itu. Faizal membonceng Asrul. Najib membawa motor sendiri. Menuju ke gerai Pak Alim. Faizal melabuhkan punggung disebelah Najib sambil memesan minuman dari anak perempuan Pak Alim yang sangat cantik jelita. “Abang nak minum apa?” tanya Nadia kepada mereka bertiga dengan lembut. Tersengih-sengih Najib memandang gadis berumur 16 tahun itu. “Wei, dia tanya kau nak minum apa. Macamlah dia tanya nombor telefon kau.” Usik Faizal sambil menyinggung teman disebelah. Tersentak Najib. Tapi masih tersengih. “Kalau Nadia nak tahu nombor Abang…Najib ni, 019-2744 tekan-tekan tak dapat.” Seloroh Faizal menyebabkan Asrul ketawa terbahak-bahak. Tiba-tiba keluar Pak Alim dari celah pintu dapur dan bercekak pinggang. “Apa yang kamu usikkan anak dara aku tu, Zal?” tegur Pak Alim. Asrul segera terdiam. Faizal tersenyum sumbing. Nadia tertunduk segan. “Order jelah air kamu tu. Yang kamu nak usik si Nadia tu, buat apa.” Mata Pak Alim sudah mencerlung ke arah mereka bertiga. “Yelah, Pak Alim.” Laung Faizal. “Teh tarik tiga.” Cepat sahaja mulut Faizal berkata. Nadia mengangguk perlahan dan segera beredar ke dapur. Seketika kemudian, dia keluar semula dari dapur dengan menatang sedulang tiga gelas air teh tarik. Faizal dan Asrul segera menghirupnya. Kedahagaan sudah melampaui batasan. “Sedapnya. Siapa buat air hari ni? Mak Nadia buat ke atau Nadia?” puji Najib. Nadia malu-malu hendak menjawabnya. “Nadia.” Perlahan sahaja tutur bahasa gadis itu. Cair hati Najib mendengar suara itu. “Senanglah mak kau nanti, Jib. Ada menantu lemah-lembut, sopan-santun, pandai buat air. Dan yang paling penting, pandai masak. Uish!!!Beruntung mak kau ni, Jib.” Ujar Faizal. Asrul mengangguk pantas. Muka Nadia jadi memerah. Segera dia berlalu ke dapur semula. Terkekeh Faizal dan Asrul tertawa. Cemberut sahaja wajah Najib. “Kau orang ni suka nak kenenkan aku dengan Nadia tu.” Najib pura-pura masam muka. “Alah…kau pun suka jugak kan.” Asrul berkata dalam sisa tawanya. Kemudian, Najib tersenyum semula. Susah hendak lama-lama merajuk dengan mereka berdua ini. Kalau tiada Aneeq, rasanya ahli kumpulan mereka tidak akan menjadi geng yang paling dikehendaki di sekolah. Sejak Aneeq mula menyertai mereka, Faizal sudah pandai hendak menganiaya orang dan membuli orang-orang yang lemah seperti geek dan nerd sekolah, menggoda budak-budak perempuan dengan menggunakan wajahnya yang kacak itu terutama Dizyan. Entah apa yang didendamkan sangat dengan gadis itu pun, tidak pula mereka tahu. Asrul malas hendak menyertai mereka sejak kebelakangan ini. Najib juga jarang-jarang sekali bertegur sapa dengan Faizal ketika di sekolah. Aneeq seperti takut yang Najib akan menghasut Faizal supaya kembali ke jalan yang benar. Sudah lama Faizal tidak rasa gembira bergelak ketawa dengan ahli kumpulannya sebegitu. Tiba-tiba Faizal terasa lengannya disiku oleh Najib. Lelaki itu menjuihkan bibirnya ke arah seseorang. Terlihat kelibat montel yang melintasi meja mereka cukup membuatkan perasaan dendam Faizal semakin membara. Gadis itu begitu manis berseluar track panjang dan berbaju T. Ditambah dengan senyuman manis. Faizal sendiri tidak dapat gambarkan kenapa perasaan dendamnya mengatasi lebih daripada perasaan lain. Nadia tersenyum ke arah Dizyan sebaik sahaja gadis itu mendekatinya. Tunduk menyalami Dizyan. Sudah dianggap seperti kakak sendiri. Nadia tiada kakak kerana dia yang sulung. Jadi, Dizyan selalu mengunjungi gerai mereka itu untuk berbual dengan Nadia. Dan, Nadia juga tidak kekok untuk meluahkan apa-apa perasaan sekalipun pada Dizyan. “Akak nak makan apa hari ni?” tanya Nadia seperti biasa. “Bagi Nasi dengan Ayam masak Paprik. Dengan Teh Ais. Bungkus, ya.” Pesanan Dizyan diambil dan dibawa masuk ke dalam dapur. “Aii…kata perempuan. Tapi makan bungkus jugak? Tak reti masak dah ke?” perli Faizal. Matanya ditala ke arah Dizyan. Gadis itu berpaling. Tercari-cari suara sumbang yang berani menegurnya. Mata Dizyan tertancap ke arah Faizal yang sedang tersenyum sumbing. “Ohh…kau ada kat sini rupanya, kambing! Apasal kau tak balik pagut rumput je kat kandang kau? Asyik nak mengembek kat sini je. Bisinglah!” Dizyan menjeling geram. Mata Faizal terbeliak. Asrul dan Najib sudah menahan gelak. Mereka kagum dengan Dizyan. Hanya gadis itu sahaja yang berani melawan kata dengan Faizal. Kalau gadis-gadis lain di sekolah mereka pasti sudah tergoda ataupun takut dengan kehadiran Faizal disitu. “Dahlah tu, Fez. Asyik nak bergaduh je dengan Yan. Orang tua kata, mula-mula bergaduh. Nanti lama-lama jatuh sayang.” Giat Asrul. Najib menghamburkan tawanya. “Tak ada maknanya aku nak sayang pada perempuan gemuk macam tu.” Faizal mencebik. Mereka berdua memegang perut. Serasa hendak pecah perut mentertawakan sahabat yang seorang itu. Selepas mengambil bungkusan dan membayar duit makanan yang dibelinya itu, Dizyan melangkah cepat untuk keluar dari gerai Pak Alim itu. Sudah tidak sanggup berlama disitu. Dia memandang Faizal sekilas dan menjeling. Terus sahaja Dizyan beredar dari situ. “Elehh...dia ingat dia cantik sangat ke. Huh....” Faizal bergumam sendirian. Najib menepuk bahu Faizal kuat sehingga lelaki itu tersedak. “Woiii....nasib baik aku ni sihat lagi tau. Kalau tak, mahu aku masuk hospital sakit jantung. Apa pukul-pukul ni? Kau nak kena belasah dengan aku?” Faizal berkata sambil menayangkan penumbuknya. Najib menyusun sepuluh jari dihadapan wajah Faizal. “Jomlah blah. Dah pukul berapa dah ni? Nanti bising pulak Papa kau.” Ujar Najib sambil melihat jam di tangan. Jarum jam sudah bergerak ke angka 10 malam. Faizal mengangguk perlahan. Faizal memanggil Arif, anak lelaki Pak Alim yang baru sahaja tiba di kedai untuk mengira harga minuman mereka. Setelah memberikan wang yang cukup kepada Arif, mereka bertiga beredar dari situ. Asrul menghantar Faizal pulang. Manakala Najib berlalu dengan motornya melalui jalan yang bertentangan. FAIZAL melangkah masuk ke dalam rumah. Lampu di ruang tamu terpasang. Masih cerah. Selalunya waktu sebegini Datuk Farid dan Datin Rubaiyah sudah masuk tidur. Kecuali Fikhri dan Fathiq. Tetapi mereka akan memerap di dalam bilik sahaja. Tidak mungkin Sutinah. Selepas kedua ibubapa Faizal masuk tidur, dia akan menyudahkan kerjanya dengan cepat dan juga masuk tidur. Hanya Faizal sahaja yang akan berjaga dan menonton televisyen di ruang tamu. Terjenguk ke arah ruang tamu. Kelihatan Datuk Farid masih menonton. Terjengket-jengket Faizal menuju ke tingkat atas untuk ke biliknya. “Zal…” panggil Datuk Farid. Terhenti langkah Faizal dan berpaling semula ke arah ruang tamu. Dia mengeluh perlahan. Pasti akan ada syarahan ‘percuma’ yang harus ditadah telinganya. Faizal mendekati Datuk Farid yang masih membelakanginya. Dia berdehem kecil. “Ya, Pa?” “Duduk kejap. Papa ada hal nak cakap dengan kamu ni.” Datuk Farid memulakan bicara. Dia membetulkan sedikit duduknya. Faizal melabuhkan punggung menghadap Datuk Farid. Masih menunggu bicara seterusnya dari Datuk Farid. “Bila kamu final paper?” tanya Datuk Farid. Disilangkan lengan ke dada. Faizal seperti berfikir sesuatu. Betul-betul terlupa tarikh untuk kertas terakhirnya. “Hujung bulan depan kot, Pa.” jawab Faizal, kurang pasti. “Kot? Jadi kamu tak pasti bila?” Datuk Farid bertanya lagi. Faizal menggeleng perlahan. “Hmm…tak apalah. Nanti Papa tanya Asrul.” Ujar Datuk Farid. Lama mereka terdiam. Faizal berkira-kira untuk beredar tetapi dilabuhkan semula punggungnya apabila Datuk Farid menahan. “Kamu nak kemana? Papa tak habis lagi cakap ni.” Sela Datuk Farid. “Zal ingat Papa dah habis cakap.” Sempat lagi Faizal menjawab. “Habis je final paper Zal, Papa akan hantar Zal kepada Auntie Kay.” Kata-kata Datuk Farid itu membuatkan Faizal tergamam. “Tapi, Pa…Zal lebih suka duduk sini. Zal ramai kawan kat sini.” Bantah Faizal dengan nada yang sedikit tinggi. Dia berdiri dan mundar-mandir dihadapan Datuk Farid. Benar tidak suka dengan sikap Papanya itu. “Zal, behave yourself. Ingat dengan siapa Zal bercakap ni.” Nada Datuk Farid tegas tetapi dalam masa yang sama sedikit tenang. Faizal kembali menghenyakkan punggungnya di sofa. “Pa...Zal ada hidup Zal sendiri. Yang Zal berhak untuk tentukan. Kemana Zal nak pergi, atau macam mana Zal nak hidup. You have no rights to make a decision for me.” Faizal berkata dalam nada yang sudah mengendur. Wajah Datuk Farid kelihatan tenang. “I still have the rights to determine my children’s life. Selagi Zal duduk dalam rumah ni, Papa ada hak untuk tentukan apa-apa saja yang berkaitan dengan diri Zal dan adik-adik. You are my son. And, you’re my only hope to inherit our family businesses. Hanya Zal je harapan Papa.” Sela Datuk Farid. Faizal hanya menundukkan wajah. “Tapi Pa, Zal belum bersedia untuk pikul tanggungjawab as the chairman of the company. I’m not qualified for that. Kan Encik Kamal boleh tolong Papa. Dia lebih layak. Dia lebih lama kerja dengan Papa.” Faizal mengusulkan cadangan. Tidak mahu dia membebankan diri dengan memikirkan perihal kerja yang tidak berkesudahan itu. “Encik Kamal hanyalah seorang pembantu yang membantu Papa menguruskan syarikat. Tapi Papa perlukan pewaris. Bukan pembantu. Dan Zal adalah pewaris Papa. Yang lebih berhak ke atas syarikat-syarikat kita ni. Papa takkan serahkan pada orang luar. Bukan niat Papa untuk membebankan Zal. Atau berniat untuk menyusahkan. Tapi bagi Papa, sebagai anak sulung, Zal kena ada rasa tanggungjawab. Kalau satu hari nanti Papa dah tak ada, kepada siapa lagi Papa nak harapkan untuk jaga Mama dan adik-adik. Zal kena fikirkan mereka. Mereka sangat memerlukan perhatian Zal. Papa tahu. Hidup sebagai anak sulung memang kena bersusah dahulu. Tapi, percayalah cakap Papa, satu hari nanti, Zal takkan menyesal dengan keputusan yang Papa ambil ni.” Panjang lebar Datuk Farid menjelaskan. Faizal masih tidak berpuas hati. Ada sahaja perkara dimindanya ingin membantah. “Papa tunggu jelah Fikhri dan Fathiq besar. Lepas tu, bagi kat dia orang.” Ujar Faizal. Datuk Farid menggelengkan kepala. Susah bercakap dengan anak yang keras kepala. Biarlah. Satu hari nanti, dia akan mengerti akan sebab semuanya itu berlaku. “Papa tak nak dengar bantahan Zal lagi. Keputusan Papa muktamad. Samada Zal terima atau tak, Zal akan Papa hantar kepada Auntie Kay.” Tegas sekali Datuk Farid berkata. Dia bangun dan berkira untuk beredar. “Zal takkan pergi.” Masih berniat untuk melawan kata-kata lelaki tua itu. “Zal…it’s my final decision. Whether you like it or not, you have got to go to Perth. Finish. Fullstop. Understand? No more arguments.” Faizal tersandar di sofa. Pasti kata-kata Datuk Farid sudah tidak boleh dibangkang. Diraup wajahnya. Bagaimana dia hendak meninggalkan sahabat-sahabatnya? Sudah tentu, Faizal akan merindui mereka. Terutama sekali Ku Zhety. Pasti dia akan merindui sikap manja gadis itu. “Arghh...” Faizal menjerit perlahan. BERSAMBUNG..... |
Saturday, April 11, 2009
Kau Milikku 4
Yang merepek merapu meraban Aishah Hamzah at 4/11/2009 02:26:00 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 tukang komen paling setia:
urm org 1st..
makin seronok jer..
mesti nanti dier hati ngan org yang slalu dier kutuk tu..
Post a Comment